Jumaat, 2 November 2012

Imam Al-Hafiz Ibnu ‘Asakir

Nama

Nama sebenar Imam Ibnu ‘Asakir adalah Ali bin Hasan bin Hibatullah bin Abdullah bin Husain bin 'Asakir As-Syafi’i

Kelahiran

Beliau  lahir di kota Damsyik pada tahun 499 H bersamaan 1104 M. Kelahiran beliau bersamaan  dengan penguasaan Dinasti Seljuk terhadap Dinasti Abbasiah, iaitu pada permulaan abad 6 H/12 Masehi.

Ayahnya adalah seorang ulama yang ahli fiqh mazhab as-Syafi’ dan beliau wafat 519 H/1125 M. Imam Ibnu Asakir mempunyai empat orang adik beradik (termasuk Ibnu Asakir), tiga orang lelaki dan seorang perempuan. Abangnya yang pertama bernama Hibatullah Al-Hasan al-Sha’in (w. 563 H/1167 M), seorang ahli fiqh yang thiqah. Abangnya yang kedua bernama Muhammad bin Al-Hasan, riwayat hidupnya hanya sedikit yang diketahui, namun ada yang mengatakan bahwa Muhammad menjadi Qadhi di Damsyik , mempunyai  anak yang ramai dan berkebolehan menjadi pengajar serta penyebar ilmu hadith. Sedangkan saudara perempuannya (tidak disebutkan namanya) pandai dalam bidang agama dan dunia, yang dinikahi Muhammad bin Ali bin al-Fath Al-Salami.

Menuntut ilmu

Imam Ibnu Asakir dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan tinggi. Beliau mula belajar ketika berumur 6 tahun kepada abangnya (Al-Sha’in) dalam bidang fiqh, dan dalam bidang bahasa dan sastera Arab di bawah bimbingan datuknya sendiri, Abu Al-Mufaddhal Al-Qurashi. Kedua-dua pakciknya iaitu Abu Al-Ma’ali Muhammad bin Yahya bin Ali Al-Qurashi (w.537 H), Abu Al-Makarim Sulthan bin Yahya (w. 530 H)  sangat berpengaruh terhadap keilmuan Imam Ibnu Asakir.

Sejak masa mudanya, beliau mendapat pengiktirafan dari ahli hadith di Damsyik, Baghdad, dan Khurasan. Ketika beliau berumur 20 tahun iaitu setelah ayahnya wafat, beliau mengembara ke negara-negara Islam untuk memperdalami ilmu hadith dan turut mengerjakan haji di Mekah. Setelah pulang ke Damaskus, beliau mengerjakan haji buat kali kedua dan ketiga pada tahun 519H dan 533H.
Imam al-Hafiz Ibnu Asakir mendengarkan (meriwayatkan) hadith dari 1300 guru lelaki dan 80 guru wanita yang tersebar di Baghdad, Mekah, Madinah, Naisabur, Tibriz, Baihaq, Heart, Azerbaijan, Ray, Sarkhas, Kufah, Hamadhan, dan tempat yang lain. Tidak dapat diketahui berapa tahun beliau mengembara di tempat-tempat itu, namun tercatat  bahawa beliau mengembara sehingga tahun 533 H. Beliau tergolong sebagai orang yang rajin menuntut ilmu hadith, bahkan setelah dikaruniakan anak yang bernama al-Qasim (sebab inilah Ibnu Asakir digelar Abi al-Qasim), beliau tetap pergi mencari ilmu.

Setelah tahun 533 H sampai 571 H, Ibnu Asakir menyibukkan dirinya dengan mengarang kitab, mengumpulkan hadith dan riwayat, serta mengajar hadith di masjid Umayyah, Damaskus, dan madrasah Dar al-Sunnah yang didirikan oleh al-Malik al-Adil Nur Al-Din Mahmud bin Zanki.

Karya-karyanya

Terdapat lebih kurang 51 buah hasil karya Imam Ibnu ‘Asakir, di antaranya:

1. Tarikh Dimasy(80 jilid)



2. Al-Muwafaqaah(2 jilid)

3. Gharaib Malik(10 jilid)

4. Al-Mu’jam(12 jilid)

5. al-Musalsalat

6. Tarikh al-Mazah

7. Mu’jam an-Niswan

8. Mu’jam as-Syuyukh wa an-Nubula 

9. Al-Mu’jam al-Musytamil ‘Ala Asma’ al-Kutub as-Sittah

10. Tabyin Kazib Al-Muftari Bi Ma Nusiba Illa Al-Imam Abu Hasan Al-Asy’ari



Sifat peribadi

Beliau tergolong dalam kalangan ulama yang wara’, tidak tergila-gilakan jawatan dan pangkat, sering mengingatkan dirinya sendiri akan pentingnya amar ma’ruf nahi munkar, menerima kunjungan sesiapa sahaja yang ingin bertemu dengannnya tanpa memilih orang tersebut, meskipun orang tersebut sultan atau orang biasa. Kehidupan Imam Ibnu Asakir  penuh dengan pengembaraan mencari ilmu, mengarang dan menyusun kitab serta mengajar.

Pujian para ulama kepada Imam Ibnu ‘Asakir

Ibnu Khalkan (w.681 H) memuji Imam Ibnu Asakir  dengan berkata : “Beliau adalah ahli fiqh mazhab Syafi’i, ahli hadith, pejuang hadith sejati yang pantang menyerah, pencari ilmu, penjaga agama, tutur katanya halus dan sopan, pengarang Tarikh Dimasyq sebanyak 80 jilid yang penuh dengan keajaiban.”

Kematian

Imam Ibnu ‘Asakir meninggal dunia sewaktu berusia 72 tahun iaitu pada tahun 571H bersamaan dengan masa awal pemerintahan Shalahuddin al-Ayyubi. Shalahuddin pun turut sama mengurus jenazah Imam Ibnu Asakir yang menjadi gurunya.

Kitab Tarikh Damsyik



Imam al-Hafiz Abi Al-Qasim Ibnu Asakir memberi nama kitab ini sebagai Tarikh Damsyik kerena di dalam kitab ini menerangkan mengenai keindahan kota Damsyik dan penduduknya walaupun orang yang hanya singgah sebentar di kota ini. Kitab ini merupakan kitab besar dan terlengkap setelah Tarikh Baghdad, bahkan Ibnu Khalkan berpendapat bahwa kitab ini dikarang hasil inspirasi dari Tarikh Baghdad karya al-Khatib al-Baghdadi.

Jilid awal Kitab Tarikh Damsyik ini menyebutkan Futuh al-Syam dan keindahannya. Manakala sebagian jilid kedua menceritakan orang-orang terkemuka dan termasyhur yang pernah memerintah kota Damsyik serta orang-orang yang pernah tinggal dan singgah sementara di kota tersebut. Mereka terdiri daripada ulama fiqh, Qadhi, dan ulama.

Metodologi penyusunan kitab Tarikh Dimasq

1. Disusun sama seperti kitab-kitab biografi yang lain, dimulai dengan orang yang bernama Ahmad sebelum nama Ibrahim.

2. Mendatangkan sanadnya dulu kemudian khabarnya.

3. Menyebutkan nama ayah,datuk, gelaran, kerakyatan setiap orang yang terdapat dalam kitab ini.

4. Dimulai dengan kisah pembebasan kota Syam.

Kitab ini telah diringkaskan oleh ramai ulama, antaranya diringkas oleh Syeikh Abdul Qadir Badran dengan membuang isnad dan perkara yang diulang-ulang di dalam kitab ini. Kitab ringkasan ini diberi judul Tahdzib Tarikh Ibnu Asakir.

Keistimewaan kitab Tarikh Dimasq

1. Periwayatan tidak disusun mengikut turutannya untuk sebahagian biografi.

2. Persamaan dengan Imam Khatib al-Baghdadi ialah al-Hafiz Ibnu ‘Asakir menyelesaikan Tarikh Dimasq pada tahun wafatnya iaitu tahun 571 H seperti selesainya Tarikh Baghdad pada tahun wafatnya Imam Khatib al – Baghdadi iaitu tahun 463 H.

4. Perbezaan Tarikh Dimasq dengan Tarikh Baghdad ialah  Tarikh Dimasq lebih luas perbahasannya, dimulai dengan kisah zaman jahiliyyah hingga masa al-Hafiz Ibnu Asakir  sendiri, berbeza dengan Tarikh Baghdad.


Ilmu Mustholah Hadith siri 1

Istilah-istilah asas ilmu hadith

1. Ilmu Mustholah Hadith : Ilmu tentang asas-asas dan kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengetahui keadaan sanad dan matan hadith sama ada diterima atau ditolak.

2. Perkara yang menjadi perbahasan ilmu mustolah hadith : Perkara yang dijadikan perbahasan dalam ilmu mustolah hadith adalah sanad dan matan hadith, sama ada diterima atau ditolak.

3. Manfaat ilmu mustolah hadith : Dapat mengetahui hadith sahih dan hadith-hadith yang lemah.

4. Hadith

a. Menurut bahasa : Al-jadid(baru)

b. Menurut istilah : Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi S.A.W, samada perkataan, perbuatan, taqrir(diamnya) mahupun sifatnya.

5. Khabar

a. Menurut bahasa : An-Naba’(berita)

b. Menurut istilah : Terdapat tiga pendapat :

1. Maksud yang sama dengan hadith : Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi S.A.W, samada perkataan, perbuatan, taqrir(diamnya) mahupun sifatnya.

2. Maksud yang berbeza dengan hadith : Hadith berasal dari Nabi S.A.W, manakala khabar adalah selain daripada Nabi S.A.W.

3. Maksud yang lebih umum daripada hadith : Hadith berasal daripada Nabi S.A.W sedangkan khabar adalah sesuatu yang berasal daripada Nabi S.A.W mahupun selain daripada Nabi S.A.W.

6. Athar

a. Menurut bahasa : Sisa daripada sesuatu

b. Menurut istilah : Terdapat dua pendapat :

1. Maksud yang sama dengan hadith : Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi S.A.W, samada perkataan, perbuatan, taqrir(diamnya) mahupun sifatnya.

2. Maksud yang berbeza dengan hadith : Sesuatu yang disandarkan kepada sahabat dan tabi’in, samada perkataan mahupun perbuatan.

7.  Perawi Hadis : Perawi hadith ialah orang yang menerima dan menyampaikan hadis daripada Rasulullah S.A.W.

8. Sanad

a. Menurut bahasa : al-Mu’tamad(tempat bersandar). Disebut seperti itu kerana hadith disandarkan kepada sanad.

b. Menurut istilah : Rangkaian para perawi hadith yang bersambung dengan matan.

8.. Isnad 

Terdapat dua maksud :

a. Mengembalikan hadith kepada yang mengatakannya(perawi), sebagai sandaran.

b. Urutan para perawi hadith yang bersambung dengan matan(teks hadith). Dengan makna ini, maka mas\ksud isnad adalah sama dengan sanad.

9. Matan

a. Menurut bahasa : Tanah yang keras

b. Menurut istilah : Perkataan terakhir dari sanad(teks hadith)

10. Musnad

a. Menurut bahasa : Menyandarkan kepada sesuatu

b. Menurut istilah : Setiap kitab yang di dalamnya mengandungi kumpulan hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat menurut syarat tertentu.

11. Musnid : Orang yang meriwayatkan hadith dengan sanadnya, samada orang itu mengetahui ataupun tidak mengetahui hadith yang diriwayatkannya.

12. Muhaddith : Orang yang menceburi bidang hadith, samaada dari segi riwayah dan mahupun dirayah, mengetahui banyak riwayat hadith dan keadaan para perawi hadith.

13. Al-Hafiz 

Terdapat dua pendapat ;

a. Menurut ulama hadith, maksu hafiz sama dengan muhaddith.

b. Ada yang berpendapat martabat hafiz lebih tinggi daripada muhaddith kerana sorang hafiz lebih banyak mengetahui setiap perkara berkenaan hadith samada dari segi sanad dan matan hadith.

14. Hakim : Orang yang mengetahui seluruh hadith-hadith sehingga tidak ada perkara yang tidak diketahuinya melaikan amat sedikit.

Rujukan 

Taisir Mustholah al-Hadith karya Dr Mahmud Thohan






Khamis, 1 November 2012

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani

*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.

Makam Imam Ibnu Hajar al-Asqalani


Beliau ialah al-Imam al-‘Allamah al-Hafiz Syihabuddin Abul Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Mahmud bin Hajar, al-Kinani, al-‘Asqalani, asy-Syafie, al-Mishri. Kemudian dikenal dengan nama Ibnu Hajar, dan gelaranya ialah “al-Hafiz”. Adapun penyebutan ‘Asqalani adalah dinisbahkan kepada ‘Asqalan’, sebuah kota yang termasuk dalam wilayah Palestin, dekat Ghuzzah (Jalur Gaza).

Beliau lahir di Mesir pada bulan Syaaban 773H/1352M, namun tarikh kelahirannya diperselisihkan. Beliau membesar di sana dan beliau menjadi  anak yatim piatu sejak kecil, kerana ibunya meninggal dunia ketika beliau masih bayi, kemudian bapanya menyusul meninggal ketika beliau berumur empat tahun.

Sebelum meninggal dunia, bapanya berwasiat kepada dua orang ‘alim untuk menjaga Ibnu Hajar yang masih kecil itu. Dua orang itu ialah Zakiyuddin al-Kharrubi dan Syamsuddin Ibnul Qaththan al-Mishri.

Perjalanan Ilmiah

Perjalanan hidup al-Hafiz Ibnu Hajar sangatlah berkesan. Meski yatim piatu, semenjak kecil beliau memiliki semangat yang tinggi untuk belajar. Beliau memasuki kuttab (sebuah tempat mempelajari al-Quran) sewaktu berusia lima tahun. Beliau  menghafal al-Quran ketika  berusia sembilan tahun. Di samping itu, pada masa kecilnya, beliau menghafal kitab-kitab ilmu yang ringkas, seperti al-‘Umdah, al-Hawi as-Shagir, Mukhtashar Ibnu Hajib dan Milhatul I’rab.

Semangat beliau dalam menuntut ilmu, beliau tunjukkan dengan tidak mencari ilmu di Mesir sahaja, tetapi beliau melakukan rihlah (perjalanan) ke banyak negeri. Semua negeri itu beliau kunjungi untuk menimba ilmu. Negeri-negeri yang pernah beliau singgahi dan tinggal disana, di antaranya:

1. Dua tanah haram, iaitu Makkah dan Madinah.
Beliau tinggal di Makkah al-Mukarramah dan shalat Tarawih di Masjidil Haram pada tahun 785 H iaitu pada umur 12 tahun. Beliau mendengarkan Sahih Bukhari di Makkah daripada Syaikh al-Muhaddits (ahli hadith) ‘Afifuddin an-Naisaburi (an-Nasyawari) kemudian al-Makki Rahimahullah. Al-Hafiz Ibnu Hajar berulang kali pergi ke Makkah untuk melakukah haji dan umrah.

2. Dimasyq (Damaskus).
Di negeri ini, beliau bertemu dengan murid-murid ahli sejarah dari kota Syam, Ibu ‘Asakir Rahimahullah. Dan beliau menimba ilmu dari Ibnu Mulaqqin dan al-Bulqini.

3. Baitul Maqdis dan  kota-kota di Palestin, seperti Nablus, Khalil, Ramlah dan Ghuzzah.
Beliau bertemu dengan para ulama di tempat-tempat tersebut dan mengambil manfaat daripada mereka.

4. Shana’ dan beberapa kota di Yaman dan menimba ilmu dari mereka.

Semua ini, dilakukan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar untuk menimba ilmu dan mengambil ilmu secara langsung daripada ulama-ulama besar. Dari sini kita dapat mengerti, bahawa guru-guru al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqalani sangat banyak, dan merupakan ulama-ulama yang masyhur. Antara gurunya adalah:

1.     ‘Afifuddin an-Naisaburi an-Nasyawari

2.    Muhammad bin ‘Abdullah bin Zhahirah al Makki (wafat 717 H)

3.    Abul Hasan al-Haitsami (wafat 807 H)

4.    Ibnul Mulaqqin (wafat 804 H)

5.    Sirajuddin al-Bulqini (wafat 805 H)  
Beliaulah orang yang pertama kali mengizinkan al-Hafiz Ibnu Hajar mengajar dan berfatwa.

6.    Abul-Fadhl al-‘Iraqi (wafat 806 H)
Beliaulah yang menmanggil al-Hafiz Ibnu Hajar dengan sebutan al Hafiz, mengagungkannya dan mempersaksikan bahwa Ibnu Hajar adalah muridnya yang paling pandai dalam bidang hadits.

7.    ‘Abdurrahim bin Razin Rahimahullah
Daripada beliau, al-Hafiz mendengar Sahih Bukhari

8.    Al-‘Izz bin Jama’ah Rahimahullah
Al-Hafiz Ibnu Hajar banyak menimba ilmu daripadanya.

9.    Al-Hummam al-Khawarizmi

10.    Fairuz Abadi. Beliau merupakan pengarang kitab Qamus al-Muhith. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengambil ilmu bahasa Arab daripada beliau.

11.    Ahmad bin Abdurrahman Rahimahullah.

12.    Burhan at-Tanukhi. Al-Hafiz Ibnu Hajar belajar ilmu Qiraat Sab’ah daripada beliau.

Jumlah guru-guru al-Hafiz Ibnu Hajar mencapai 500 orang guru dalam berbagai cabang ilmu, khususnya fiqh dan hadith.

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani mengambil ilmu dari para imam pada zamannya di kota Mesir dan melakukakan rihlah(perjalanan) ke negeri-negeri lain untuk menimba ilmu, sebagaimana kebiasaan para ahli hadith.

Sebagai seorang ‘alim yang luas ilmunya, maka beliau juga didatangi para thalibul ‘ilmi (para penuntut ilmu) dari berbagai penjuru dunia yang ingin mengambil ilmu daripada beliau, sehingga ramai sekali murid beliau. Bahkan tokoh-tokoh ulama dari berbagai mazhab adalah murid-murid beliau. Yang termasyhur antaranya adalah:

1.     Imam ash-shakhawi (wafat 902 H)
Beliau merupakan murid khusus al-Hafizh dan penyebar ilmunya.

2.    Al-Biqa’i (wafat 885 H)

3.    Zakaria al-Anshari (wafat 926 H)

4.    Ibnu Qadhi Syuhbah (wafat 874 H)

5.    Ibnu Taghri Bardi (wafat 874 H)

6.    Ibnu Fahd al-Makki (wafat 871 H)

Karya-Karyanya

Kepakaran al-Hafiz Ibnu Hajar sangat terbukti. Beliau mulai menulis pada usia 23 tahun sehinggalah sampai mendekati ajalnya. Beliau mendapatkan kurnia Allah Ta’ala di dalam karya-karyanya, iaitu keistimewaan-keistimewaan yang jarang didapati pada orang lain. Oleh karena itu, karya-karya beliau banyak diterima umat Islam dan tersebar luas, semenjak beliau masih hidup. Para raja dan amir biasa saling memberikan hadiah dengan kitab-kitab al-Hafiz Ibnu Hajar. Bahkan sampai sekarang, kita dapati banyak peneliti dan penulis bersandar pada karya-karya beliau.

Di antara karya beliau yang terkenal ialah:

Kitab Fathul Bari

1.     Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari

Kitab Bulughul Maram min Adillatil Ahkam


2.    Bulughul Maram min Adillatil Ahkam

Kitab Al-Ishabah fi Tamyizish Shahabah


3.    Al-Ishabah fi Tamyizish Shahabah

Kitab Tahdzibut Tahdzib


4.    Tahdzibut Tahdzib

5.    Ad-Durarul Kaminah

6.    Taghliqut Ta’liq

7.    Inbaul Ghumr bi Anbail Umr 

Bahkan menurut muridnya, iaitu Imam asy-Syakhawi, karya beliau mencapai lebih dari 270 buah kitab. Sebahagian peneliti pada zaman ini menghitungnya, dan mendapatkan sampai 282 kitab. Kebanyakan berkaitan dengan pembahasan hadith, secara riwayat dan dirayat (kajian).

Sifat Peribadinya dan Memikul Tugas Sebagai Hakim

Beliau terkenal memiliki sifat tawadhu’, tinggi sifat sabar, beribadah, solat malam, puasa sunat dan lainnya. Selain itu, beliau juga dikenali dengan sifat wara’ (kehati-hatian), dermawan, suka mengalah dan memiliki adab yang baik kepada para ulama pada zaman dahulu dan yang kemudian, serta terhadap orang-orang yang bergaul dengan beliau, baik tua mahupun muda. Dengan sifat-sifat yang beliau miliki, tidaak hairanlah jika beliau ditawarkan untuk menjawat jawatan hakim.

Sebagai contohya, ada seorang hakim yang bernama Ashadr al Munawi, menawarkan kepada al-Hafiz Ibnu Hajar untuk menjadi wakilnya, namun beliau menolaknya, bahkan bertekad untuk tidak menjawat jawatan di jabatan kehakiman. Kemudian, Sultan al-Muayyad menyerahkan kehakiman dalam perkara yang khusus kepada al-Hafiz Ibnu Hajar. Demikian juga hakim Jalaluddin al-Bulqani mendesak al-Hafiz Ibnu Hajar agar mahu menjadi wakilnya. Sultan juga menawarkan kepada beliau untuk memangku jabatan Hakim Agung di negeri Mesir pada tahun 827 H. Pada waktu itu beliau menerima, tetapi pada akhirnya beliau menyesalinya, kerana para pejabat negara tidak mahu membezakan antara orang salih dengan lainnya. Para pejabat negara juga suka mengecam apabila keinginan mereka ditolak, walaupun menyelisihi kebenaran. Bahkan mereka memusuhi orang kerana itu. Maka seorang hakim harus berbasa-basi dengan banyak Pihak sehingga sangat menyulitkan untuk menegakkan keadilan. Setelah satu tahun, iaitu tanggal 7 atau 8 Zulkaedah 828 H, akhirnya beliau mengundurkan diri.

Pada tahun ini pula, Sultan memintanya lagi dengan sangat, agar beliau menerima jabatan sebagai hakim kembali. Sehingga al-Hafiz Ibnu Hajar memandang bahawa hal tersebut wajib bagi beliau. Kemudian, beliau menerima jabatan tersebut tanggal 2 Rajab. Masyarakat pun sangat bergembira, kerana memang mereka sangat mencintai beliau. Kekuasaan beliau pun ditambah, iaitu diserahkannya kehakiman kota Syam kepada beliau pada tahun 833 H.

Jabatan sebagai hakim, beliau jalani pasang surut. Terkadang beliau memangku jabatan hakim itu, dan terkadang meninggalkannya. Ini berulang sampai tujuh kali. Penyebabnya, karena banyaknya fitnah, fanatisme dan hawa nafsu.

Jika dihitung, tempoh masa beliau memegang jabatan kehakiman beliau mencapai 21 tahun. Kali terakhir, beliau memegang jabatan hakim, iaitu pada tanggal 8 Rabiul Akhir 852H, tahun beliau wafat.

Selain bertugas di jabatan kehakiman, beliau juga memilki tugas-tugas:
- Berkhutbah di Masjid Jami’ al-Azhar.
- Berkhutbah di Masjid Jami’ ‘Amr bin al Ash di Kaherah.
- Jabatan memberi fatwa di Mahkamah.

Walaupun sibuk dengan tugasnya, beliau tetap tekun dalam samudera ilmu, seperti mengkaji dan meneliti hadith-hadith, membacanya, membacakan kepada umat, menyusun kitab-kitab, mengajar tafsir, hadith, fiqh dan memberi ceramah di berbagai tempat. Beliau juga tutur mengajar di 20 buah madrasah. Banyak orang-orang utama dan tokoh-tokoh ulama yang mendatanginya dan mengambil ilmu darinya.

Kedudukan Ibnu Hajar

Al-Hafiz Ibnu Hajar menjadi salah satu ulama kebanggaan umat, salah satu tokoh dari kalangan ulama, salah satu pemimpin ilmu. Allah Ta’ala memberikan manfaat dengan ilmu yang beliau miliki, sehingga lahirlah murid-murid besar dan disusunnya kitab-kitab.

Seandainya kitab beliau hanya Fathul Bari, cukuplah untuk meninggikan dan menunjukkan keagungan kedudukan beliau. Kerana kitab ini benar-benar merupakan kamus Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaii wasallam. Sedangkan karya beliau berjumlah lebih dari 150 kitab.
Adapun riwayat ringkas ini, sama sekali belum memenuhi hak beliau. Belum menampakkan keistimewaan-keistimewaan beliau, dan belum menonjolkan keutamaan-keutamaan beliau. Banyak para ulama telah menyusun riwayat hidup al-Hafizh Ibnu Hajar secara luas. Di antara yang terbaik, iaitu tulisan murid beliau, al-‘Allamah as-Sakhawi, dalam kitabnya, al- Jawahir wad Durar fi Tarjamati al-Hafiz Ibnu Hajar.

Wafatnya

Ibnu Hajar wafat pada 28 Zulhijjah 852H/1431M di Mesir, setelah kehidupannya dipenuhi dengan ilmu nafi’ (yang bermanfaat) dan amal soleh. Beliau dikuburkan di Qarafah ash-Shugra. Semoga Allah merahmati beliau.


Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazzali



*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.

Imam al-Ghazzali, sebuah nama yang tidak asing di telinga kaum muslimin. Beliau merupakan tokoh yang terkemuka dalam bidang falsafah, fiqh dan tasawuf.  Beliau memiliki pengaruh dan pemikiran yang telah menyebar ke seantero dunia Islam. Ironisnya, sejarah dan perjalanan hidupnya masih terasa asing. Kebanyakan kaum muslimin belum mengengetahui secara mendalam mengenai hidup beliau. Berikut adalah sebagian daripada biografi beliau. Setiap kaum muslimin yang mengikutinya, hendaknya mengambil hikmah daripada sejarah hidup beliau.
Nama, Nasab dan Kelahiran beliau
Beliau bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad at-Thusi. Beliau digelar Abu Hamid al-Ghazzali. Para ulama nasab berselisih dalam penyandaran nama Imam al-Ghazzali. Sebagian mengatakan bahawa penyandaran nama beliau kepada daerah Ghazalah di Thusi, tempat kelahiran beliau. Ini dikuatkan oleh al-Fayumi dalam al-Mishbah al-Munir.
Sebagian lagi mengatakan penyandaran nama beliau kepada al-Ghazzali kerana pekerjaan bapanya sebagai seorang penenun bulu biri-biri. Sehingga nisbatnya ditasydid (al-Ghazzali). Demikian pendapat Ibnul Atsir.
Dan dinyatakan bahawa Imam Nawawi berkata: “Tasydid dalam al-Ghazzali adalah yang benar.” Bahkan Ibnu Assam’ani mengingkari penyandaran nama yang pertama dan berkata: “Saya telah bertanya kepada penduduk Thusi tentang daerah al-Ghazalah, dan mereka mengingkari kewujudannya.”
Pendapat yang dijadikan pegangan oleh para ahli nasab mutaakhirin adalah pendapat Ibnul Atsir dengan tasydid(al-Ghazzali), iaitu penyandaran nama kepada pekerjaan dan keahlian(menenun bulu biri-biri) bapak dan datuknyanya.

Tarikh Kelahiran
Imam Ghazali dilahirkan di kota Tusi tahun 450H/1029M dan memiliki seorang saudara yang bernama Ahmad.

Kehidupan dan perjalanannya menuntut ilmu
Ayah Imam al-Ghazzali adalah seorang penenun kain shuf (kain yang dibuat dari bulu biri-biri) dan menjualnya di kota Tusi. Menjelang wafatnya, beliau mewasiatkan agar kedua-dua anaknya dijaga oleh seorang temannya daripada kalangan orang yang baik. Beliau berpesan: “Sungguh saya menyesal tidak belajar khat (ilmu menulis tulisan Arab) dan saya ingin memperbaiki apa yang telah saya alami kepada kedua anak saya ini. Maka saya mohon engkau mengajarinya, dan harta yang saya tinggalkan boleh digunakan untuk keduanya.”
Setelah meninggal, maka temannya tersebut mengajari kedua-duanya ilmu-ilmu Islam, hingga habislah harta peninggalan yang sedikit tersebut. Kemudian beliau meminta maaf kerana tidak dapat melanjutkan wasiat ayah Imam Ghazzali dengan harta benda yang dimilikinya. Beliau berkata, “Ketahuilah oleh kalian berdua, saya telah membelanjakan untuk kalian daripada harta kalian. Saya seorang fakir dan miskin yang tidak memiliki harta. Saya menganjurkan agar kalian berdua untuk masuk ke madrasah seolah-olah sebagai penuntut ilmua agar kamu dapat memperoleh makanan yang dapat membantu kalian berdua.”
Lalu, kedua-duanya melaksanakan anjuran tersebut. Inilah yang menjadi sebab kebahagiaan dan ketinggian mereka. Demikianlah diceritakan oleh al-Ghazzali, hingga beliau berkata, “Kami menuntut ilmu bukan karena Allah S.W.T , akan tetapi ilmu enggan(sukar diperolehi) kecuali hanya kerana Allah S.W.T.”
Imam al-Ghazzali menceritakan bahawa ayahnya seorang fakir yang soleh. Beliau tidak makan kecuali hasil pekerjaannya membuat pakaian daripada bulu biri-biri. Beliau sering mengujungi ahli fiqh dan berbincang dengan mereka. Apabila beliau mendengar perkataan mereka(ahli fiqh), beliau menangis dan berdoa memohon diberi anak yang faqih. Apabila hadir di majlis ceramah nasihat, beliau menangis dan memohon kepada Allah S.W.T agar diberikan anak yang alim dalam ilmu agama.
Allah S.W.T telah mengabulkan kedua-dua doa beliau tersebut. Imam al-Ghazzali menjadi seorang yang faqih dan saudaranya (Ahmad) menjadi seorang yang ahli dalam memberi nasihat.

Imam al-Ghazzali mula belajar ilmu-ilmu agama semenjak masih kecil lagi. Beliau mempelajari ilmu fiqh daripada Syaikh Ahmad bin Muhammad ar-Radzakani di kota Tusi. Kemudian, beliau berangkat ke Jurjan untuk mengambil ilmu daripada Imam Abu Nashr al-Isma’ili dan beliau mula menulis sebuah buku yang bertajuk at-Ta’liqat. Kemudian, beliau pulang semula ke Thusi.
Seterusnya, beliau pergi ke kota Naisabur dan berguru kepada Imam Haramain al-Juwaini dengan penuh kesungguhan sehingga beliau dapat menguasai dengan sangat baik fiqh mazhab Syafi’e, ilmu perdebatan, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu hikmah dan falsafah. Beliau dapat memahami perkataan para ahli ilmu tersebut dan membantah orang yang menyelisihinya.
Setelah Imam Haramain meninggal, Imam al-Ghazzali bertemu dengan Wazir Nidzamul Malik. Kemudian Nidzamul Malik mengangkat beliau menjadi tenaga pengajar di madrasahnya di Baghdad dan memerintahkannya untuk berpindah ke sana. Maka, pada tahun 484H beliau berangkat ke Baghdad dan mengajar di Madrasah an-Nidzamiyah dan beliau berusia 34 tahun ketika itu. Disinilah beliau menjadi terkenal dan mencapai kedudukan yang sangat tinggi.
Kitab-kitab karangan Imam al-Ghazzali
Antara kitab-kitab karangan Imam al-Ghazzali adalah:
Kitab Ihya' ulumuddin
1.    Ihya’ ulumuddin
Kitab Minhajul 'Abidin

2.    Minhajul ‘abidin
3.    Al-wajiz fi usul fiqh
Kitab Mukashafal al-Qulub

4.    Mukashafal al-qulub

5.    Tahafut al-falasifah
Kitab Bidayatul hidayah

6.    Bidayatul hidayah
Pengaruh falsafah dalam dirinya
Pengaruh falsafah dalam diri beliau begitu mendalam sehingga beliau dapat menyusun buku-buku yang mengkritik ahli falsafah yang menyeleweng, seperti kitab Tahafut Falasifah yang membongkar kesesatan ahli falsafah yang menyeleweng. Walaubagaimanapun, beliau tetap menyetujui mereka dalam beberapa hal.
Polemik Kejiwaan Imam Ghazali
Kedudukan dan ketinggian Imam al-Ghazzali ini tidak membuatkannya menjadi sombong dan cinta kepada dunia. Bahkan dalam jiwanya berkecamuk polemik (perang batin) yang membuat beliau jatuh cinta untuk menekuni ilmu-ilmu kezuhudan. Beliau menolak jabatan tinggi dan kembali kepada ibadah, melatih sifat ikhlas dan perbaikan jiwa. Pada bulan Zulkaedah tahun 488H, beliau menunaikan haji dan mengangkat saudaranya yang bernama Ahmad sebagai penggantinya.
Pada tahun 489H, beliau memasuki kota Damsyik dan tinggal di sana selama beberapa hari. Kemudian, beliau menziarahi Baitul Maqdis beberapa lama, dan kembali ke Damaskus beri’tikaf di menara barat masjid Jami’ Umawi. Beliau selalu duduk di tempat Syaikh Nashr bin Ibrahim al-Maqdisi di masjid Jami’ Umawi(yang sekarang dinamai al-Ghazaliyah). Beliau tinggal di sana dan menulis kitab Ihya Ulumuddin, al-Arba’in, al-Qisthas dan kitab Mahakkun Nadzar. Beliau melatih jiwanya dan memakai pakaian ahli sufi. Beliau tinggal di Syam sekitar 10 tahun.
Ibnu Asakir berkata: “Abu Hamid rahimahullah berhaji dan tinggal di Syam sekitar 10 tahun. Beliau menulis, bermujahadah dan tinggal di menara barat masjid Jami’ Umawi. Beliau turut mendengar kitab Sahih Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin Ubaidilah al-Hafshi.” (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Ibnu Khallakan berkata: “An-Nidzam (Nidzam Mulk) mengutusnya(Imam al-Ghazzali) untuk menjadi tenaga pengajar di madrasahnya di Baghdad tahun 484H. Beliau meninggalkan jawatannya pada tahun 488H lalu menjadi orang yang zuhud, berhaji dan tinggal menetap di Damsyik selama beberapa lama. Kemudian, beliau berpindah ke Baitul Maqdis, lalu ke Mesir dan tinggal selama beberapa lama di Iskandariyah. Kemudian, beliau kembali semula ke Thusi.” (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Ketika Wazir Fakhrul Mulk menjadi penguasa Khurasan, Imam al-Ghazzali telah dipanggil dan diminta untuk tinggal di Naisabur. Beliau datang ke Naisabur dan mengajar di madrasah an-Nidzamiyah. Setelah beberapa tahun mengajar di sana, beliau pulang semula ke negerinya untuk menekuni ilmu dan menjaga waktunya dengan beribadah. Beliau mendirikan sebuah madrasah berhampiran dengan rumahnya dan sebuah tempat untuk ahli-ahli sufi. Beliau menghabiskan sisa waktunya dengan mengkhatam al-Quran, berkumpul dengan ahli ibadah, mengajar para penuntut ilmu dan melakukan salat dan berpuasa serta ibadah-ibadah yang lain sehingga beliau meninggal dunia.
Masa Akhir Kehidupannya
Di akhir kehidupannya, beliau menghabiskan waktunya dengan mempelajari hadith dan berkumpul dengan para ahli hadith. Berkata Imam Zahabi: “Pada akhir kehidupannya, beliau tekun menuntut ilmu hadith dan berkumpul dengan ahlinya serta menelaah sahihain(Sahih Bukhari dan Muslim). Seandainya beliau berumur panjang, nescaya beliau dapat menguasai semuanya dalam waktu yang singkat. Beliau belum sempat meriwayatkan hadits dan tidak memiliki keturunan kecuali beberapa orang anak perempuan.”
Kajian Imam al-Ghazzali terhadap Sahih Bukhari dan Muslim di akhir hayat beliau sama sekali tidak menunjukkan bahawa beliau sebelumnya jauh dari Sunnah, kerana beliau sudah akrab dengan Sunnah sejak beliau mencari ilmu.
Imam Ibnu Jauzi menyampaikan kisah meninggalnya Imam al-Ghazzali dalam kitab ats-Tsabat Indal Mamat. Beliau menukil sebuah kisah yang diceritakan oleh Ahmad (saudara Imam al-Ghazzali). Beliau(Ahmad)berkata: “Pada subuh hari Isnin, saudaraku Abu Hamid berwudhu dan solat, lalu berkata, “Bawa kemari kain kafan saya.” Lalu beliau mengambil dan menciumnya serta meletakkannya di kedua matanya, dan berkata, “Saya patuh dan taat untuk menemui Malaikat Maut.” Kemudian beliau meluruskan kakinya dan menghadap kiblat. Beliau meninggal sebelum langit menguning(menjelang pagi hari). (Dinukil oleh Imam Zahabi dalam Siyar A’lam Nubala 6/34).
Imam Ghazzali meninggal dunia di kota Thus, pada hari Isnin t 14 Jamadilakhir tahun 505H/1084M dan dikuburkan di pekuburan at-Thabaran. (Thabaqat asy-Syafi’iyah 6/201).

Jumaat, 21 September 2012

Musnid Ad-Dunya Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani



*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.

Syeikh Yasin al-Fadani duduk di tengah sekali
Kelahiran

Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa al-Fadani lahir di kota Makkah pada tahun 1915 dan meninggal dunia pada tahun 1990.


Pencetus idea mendirikan Madrasah Darul Ulum

Beliau adalah ulama besar yang pernah bersekolah di Madrasah Shaulatiyyah. Beliau adalah pencetus idea berdirinya Madrasah Darul-Ulũm sekaligus menjadi murid pertama madrasah itu.

Kononya sebab tercetusnya idea untuk membangunkan Madrasah tersebut adalah disebabkan oleh tindakan Mudir Madrasah Shaulatiyyah yang mendiskriminasi kebanyakan pelajar dari Asia Tenggara pada waktu itu. Hal ini terbukti dengan berpindahnya 120 orang pelajar dari Madrasah Shaulatiyyah ke Madrasah DarulUlum yang baru didirikan. Hal ini hampir tidak pernah dialami oleh madrasah-madrasah yang baru dibuka mendapat murid yang begitu banyak sebagaimana Madrasah Darul-Ulũm.

Pada tahun 1934 berlakunya satu konflik yang melibatkan orang Indonesia di Madrasah Shaulatiyah, maka guru dan murid Melayu telah keluar dari Madrasah Shaulatiyah dan mendirikan Madrasah Darul Ulum di Makkah.

Syeikh Yasin bersama dengan Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari(kiri)
Peribadi beliau

Mengenai aktiviti harian beliau, daripada cerita Ustaz Sukarnawadi H. Husnuddu’at, beliau berkata: “Syekh Yasin orangnya santai, sederhana, orangnya tawaduk, sering memakai pakaian biasa dan kain sarung. Beliau sering menghisap rokok Syisya(rokok arab) dan tidak ada seorang pun yang berani mencela beliau kerena kekayaan ilmu yang beliau milik. Orang yang mencela beliau hanyalah orang-orang yang lebih mengutamakan zahir daripada yang batin.



Pujian Para Ulama kepada Syeikh Yasin

1.      Sahabat karib Syeikh Yasin dan merupakan pengasas Nahdlatul Wathan iaitu Syeikh M. Zainuddin pernah berkata: “Sewaktu saya mengajar Qawa’idul Fiqhiyyah di Madrasah Shaulatiyyah, seringkali saya mendapat kesulitan yang memaksa saya membolak balik kitab-kitab yang besar untuk memecahkan kesulitan tersebut. Namun, setelah terbitnya kitab Al-Fawa’idul-Janiah karangan Syekh Yasin, maka semua itu menjadi mudah dan ringanlah beban dalam mengajar.

2.     Seorang ahli hadith bernama Sayyid Abdul Aziz al-Ghumari pernah memuji dan menjuluki beliau sebagai  Ulama Haramain dan sebagai Muhaddith.

3.     Dr Abdul Wahhab bin Abu Sulaiman (Pensyarah Dirasatul ‘Ulya Universiti Ummul Qura) di dalam kitab: الجواهر الثمينة في بيان أدلة عالم المدينة berkata: “Syeikh Yasin adalah Muhaddith, Faqih, Mudir Madrasah Darul-Ulum, pengarang banyak kitab dan salah satu Ulama Masjidil Haram.

3.     Syekh Umar Abdul Jabbar berkata di dalam surat khabar al-Bilad(Jumaat 24 Zulkaedah 1379H/ 1960M): “ Sumbangan terbesar daripada Syeikh Yasin adalah membuka madrasah Muslimat pada tahun 1362H. Di dalam perjuangannya selalu ada rintangan, namun beliau dapat mengatasinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

4.     Sayyid Abdurrahman bin Muhammad bin Abdurrahman al-Ahdal, Mufti negeri Murawah,Yaman pada waktu itu, mengarang sebuah syair yang panjang khusus untuk memuji Syeikh Yasin Al-Fadani. Berikut adalah satu bait syair tersebut iaitu: “Engkau tiada taranya dalam ilmu dan hakekat, Di antara orang – orang yang berjaya, engkaulah satu-satunya yang paling berjaya.”

5.     Dr Yusuf Abdur Razak sebagai pensyarah kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar, Kaherah juga memuji beliau dengan perkataan dan syair yang panjang, berikut adalah antara syairnya:“Engkau di tengah kami orang terpilih daripada orang yang terhormat, tidak pernah mata melihat manusia seumpama mereka.”

6.     Ustaz Fadhal bin M. bin Iwadh at-tarimi berkata: “Wahai pencari ilmu, sambutlah panggilan Yasin, bergembiralah dengan sajian yang ia sajikan.”

7.     Dr Ali Jum’ah yang menjawat jawatan sebagai Mufti Mesir dalam kitab Hasyiah al-Imam al-Baijuri ‘ala Jauharatuttauhid yang ditahqiqnya, pada halaman 8 mengaku pernah menerima Ijazah Sanad Hadits Hasyiah tersebut dari Syekh Yasin yang digelarinya sebaga Musnid ad-Dunya.

8.     al-Habib Sayyid Segaf bin Muhammad as-Sagaf, seorang tokoh pendidik di Hadramaut (meninggal pada tahun 1373H) menceritakan kekaguman beliau terhadap Syekh Yasin, dan menjulukinya sabagai "Sayuthiyyu Zamanihi". Beliau juga mengarang sebuah syair untuk memuji beliau, berikut adalah syairnya: “Bagus perbuatanmu hai Yasin. Engkau seorang tokoh dari Ummul Qura. Engkau Qadi dan Muftinya.”

9.     Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki, guru Madrasah Al-Falah dan Masjid al-Haram, Syeikh M. Mamduh al-Mishri dan Al-Habib Ali bin Syeikh Balfaqih Siun  dan ulama-ulama lain, pernah memuji karangan-karangan beliau.

10.     Dr Yahya al-Gautsani bercerita bahawa beliau pernah menghadiri majlis Syeikh Yasin untuk mengkhatam Sunan Abu Daud. Ketika itu hadir pula Muhaddith al-Magrib Syekh Sayyid Abdullah bin Siddiq al-Ghumari dan Syeikh Abdus Subhan al-Barmawi dan Syekh Abdul-Fattah Rawah.

11.     H.M Abrar Dahlan berkata: “ Beliau terlepas dari publikasi kerena beliau menjadi lambang Ulama Saudi yang “bukan Wahabi” yang ada di Makkah. Walaupun begitu, beliau diakui juga oleh ulama Wahabi sebagai Ulama yang bersih dan tidak pernah menyerang kaum Wahabi.

Karya beliau

Jumlah karya beliau mencapai 97 kitab, di antaranya 9 kitab tentang ilmu Hadith, 25 kitab tentang ilmu fiqh dan usul fiqh, 36 buku tentang ilmu falak, dan bakinya tentang ilmu-ilmu yang lain. Di antara karangan beliau adalah:

1.      al-Arba'un al-Buldaniyyah

2.     al-Arba'un Haditsan Min Arba'ina Kitaban An Arba'ina Syaikhan,

3.     Bulug al-Amani

4.     Arraudh al-Fatih dan lain-lain



Murid–murid beliau

Di antara murid-murid yang pernah berguru dan mengambil ijazah sanad-sanad hadith dari beliau adalah:

1.      al-Habib Umar bin Muhammad (Yaman)

2.     Syekh M. Ali Asshabuni (Syam),

3.     Dr M. Hasan ad-Dimasyqi

4.     Syekh Ismail Zain al-Yamani,

5.     Dr Ali Jum’ah (Mesir)

6.     Syeikh Hasan Qathirji

7.     Tuan Guru H. M. Zaini Abdul Ghani(Kalimantan)

Dan di antara murid-murid beliau yang di samping mengambil sanad hadith, mendapatkan Ijazah ‘Ammah dan Khasshah dan juga diberi izin untuk mengajar di Madrasah Darul Ulum adalah:

1.      H. Sayyid Hamid al-Kaff

2.     Dr. Muslim Nasution

3.     H.Ahmad Damanhuri

4.     H.M. Yusuf Hasyim

5.     H.M. Abrar Dahlan

6.     Dr. Sayyid Aqil Husain al Munawwar

7.     Ustaz Sukarnawadi KH. Husnuddu’at dan lain-lain



Karamah Beliau

1.      Seorang lelaki yang bernama Zakariyya Thalib yang berasal dari Syiria pernah mendatangi rumah Syekh Yasin pada hari Jumaat. Ketika azan Jumaat dikumandangkan, Syekh Yasin masih berada di rumahnya. Akhirnya Zakariyya keluar dan solat di masjid terdekat. Seusai solat Jumaat, beliau menemui seorang kawan maka Zakariyya pun bercerita pada temannya bahawa Syekh Yasin  tidak solat Jumaat, namun dibantah oleh temannya kerena kata temannya, “kami bersama-sama Syeikh Yasin solat di Nuzhah, yaitu di Masjid Syeikh Hasan Massyat yang jaraknya jauh sekali dari rumah beliau.”

2.     H.M.Abrar Dahlan bercerita, “suatu hari Syeikh Yasin menyuruh saya menyediakan Syai (teh) dan Syesya (yang biasanya diisap dengan tembakau dari buah-buahan/rokok bangsa arab). Setelah saya menyediakannya dan syeikh mula meminum teh, saya keluar menuju ke Masjidil Haram. Ketika kembali, saya melihat Syeikh Yasin baru pulang mengajar dari Masjid al-Haram dengan membawa beberapa buah kitab. Saya menjadi hairan, anehnya tadi di rumah beliau menyuruh saya menyediakan teh, tetapi sekarang beliau baru pulang dari masjid.

3.     Dikisahkan ketika K.H.Abdul Hamid di Jakarta sedang mengajar dalam ilmu fiqh “bab diyat”, beliau menemukan kesulitan dalam suatu hal sehingga pengajian beliau terhenti kerenanya. Pada malam hari itu juga, beliau menerima sepucuk surat dari Syeikh Yasin, ternyata isi surat itu adalah jawaban bagi kesulitan yang dihadapinya. Beliau pun merasa hairan, dari mana Syekh Yasin tahu? Sedangkan K.H.Abdul Hamid sendiri tidak pernah menanyakan masalah tersebut kepada siapapun tentang kesulitan ini.

3.     Ketika Ustaz Sukarnawadi KH. Husnuddu’at tamat belajar di Darul Ulum, beliau dilarang oleh Syekh Yasin untuk melanjutkan pembelajarannya di Universiti manapun. Beliau diperintahkan untuk mengabdi dirinya di Darul Ulum. Sedangkan mata pelajaran yang pernah diajar oleh beliau sejak tahun 1978 hingga 1990 adalah hadith, fiqh, tauhid, sejarah dan geografi. Di samping itu, Syeikh Yasin pernah berdoa untuk beliau agar beliau menjadi seorang penulis. Keberkatan doa Syeikh Yasin dapat dirasakan sendiri oleh beliau. Walaupun sibuk dengan pekerjaannya sebagai guru dan pegawai di pejabat, namun beliau dapat menyempatkan diri untuk menulis. Dan kini tulisan beliau sudah mencapai 24 judul. Yang sudah dicetak pada waktu ini baru 12 judul sahaja. Beliau berkata : “ini adalah berkat doaa restu Syeikh Yasin dan Syeikh Zainuddin.” Oleh karena itu beliau berpesan agar para pelajar mencari seorang guru yang benar-benar pewaris Nabi, agar mendapatkan barakah doa restu serta barakah ilmunya.

4.     H.Mukhtaruddin yang berasal dari Palembang menceritakan bahawa pernah suatu ketika pak Soeharto sakit mata, beliau mengirim sebuah kapal terbang khusus untuk menjemput Syeikh Yasin. Ahirnya pak Soeharto pun sembuh berkat doa Syeikh Yasin.