Rabu, 15 Mei 2013

Keluarga al-Ghumari




*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.

Ketokohan Ulama Keluarga al-Siddiqiyah al-Ghumariyah

Pengenalan

Keluarga al-Ghumari sememangnya dikenali di dunia Islam sebagai keturunan ulama Islam yang masyhur dan memberi sumbangan besar dalam pemikiran dan keilmuan Islam. Cahaya keilmuan daripada para ulama keluarga al-Ghumari ini menyinari dari Maghribi (Morocco) merentasi seluruh negara dan benua termasuk, Mesir, Jordan, Malaysia, dan Indonesia.

Para syeikh keluarga al-Ghumari telah memberikan sumbangan besar dalam penyebaran ilmu kepada umat Islam khususnya dalam bidang Hadith. Boleh dikatakan hampir kesemua ulama khususnya dalam bidang hadith dalam zaman ini sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia mempelajari hadith dan mengambil ijazah dan sanad daripada mereka. Antaranya termasuklah ‘Alim al-Haramain al-Marhum al-Syeikh al-Sayyid Dr. Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani, bekas penasihat kerajaan Arab Saudi dan ulama Mekkah yang terkenal dan juga al-Syeikh al-Muhaddith al-Musnid Mahmud Sa’id Mamduh, ulama Mesir terkenal yang kini bertugas sebagai penyelidik di Pusat Penyelidikan Pengajian Islam Dubai.

Tulisan ini cuba mengenengahkan keluarga al-Ghumariyah khususnya Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dan anak-anaknya sebagai tokoh ilmuan Islam zaman ini yang memberi sumbangan besar dalam penyebaran pelbagai disiplin ilmu Islam.

Latar Belakang Keluarga al-Siddiqiyah al-Ghumariyah

Keluarga al-Siddiqiyah al-Ghumariyah berasal dari Tangiers atau Tanjah. Ghumari merupakan antara etnik Barbar yang utama di Maghribi dan dinisbahkan kepada Ghumarah, sebuah wilayah di di Maghribi.

Nasab keturunan keluarga Muhhamad bin al-Siddiq yang makruf di kalangan ahli keluarga al-Ghumariyah ialah Muhammad bin al-Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Mu’min al-Ghumari al-Tanji bin Muhammad bin ‘Abd al-Mu’min bin ‘Ali bin al-Hasan bin Muhammad bin ‘Abd Allah bin Ahmad bin ‘Abd Allah bin ‘Isa bin Sa’id bin Mas’ud bin al-Fudayl bin ‘Ali bin ‘Umar bin al-’Arabi bin ‘Ilal bin Musa bin Ahmad bin Dawud bin Idris bin Idris bin ‘Abd Allah al-Kamil bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sibt bin Ali bin Abi Talib wa Fatimah binti Sayyiduna Rasulullah (s.a.w.).

Keluarga ini melalui Sayyid Muhammad bin al-Siddiq bersusur galur dari keturunan Rasulullah (s.a.w) melalui Sayyiduna Hasan bin ‘Ali. Malah isteri beliau yang pertama dan ibu kepada anak-anaknya juga merupakan anak ulama yang terkenal iaitu al-‘Arif billah Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani, yang juga dari keturunan Sayyiduna Hasan bin ‘Ali dan terkenal sebagai pensyarah kitab Hikam melalui karangannya, Iqaz al-humam fi sharh al-hikam dan pengarang dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Hampir kesemua lapisan keturunan al-Ghumariyah ini merupakan ulama Islam yang tersohor pada zaman mereka.

Para ‘alim keluraga ini merupakan muhaddith dan pakar dalam pelbagai ilmu Islam termasuk aqidah, tasawwuf, fiqh, usul fiqh, bahasa Arab, tafsir, dan hadith. Mereka digelar sebagai Bukhariyun di Maghribi kerana kepakaran mereka dalam bidang hadith di samping banyak menjawat jawatan penting dalam bidang agama di negara tersebut.

Antara dari keluarga ini yang terkenal ialah Syeikh Sayyid Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dan tujuh orang anak-anaknya iaitu Ahmad, ‘Abdullah, Muhammad al-Zamzami, ‘Abd al-Hayy, ‘Abd al-‘Aziz, Hasan, Ibrahim,  dan ramai lagi dari kalangan saudara mara mereka. Mereka memang tersohor di kalangan ulama pada zaman ini dalam memperjuangkan kebenaran di bawah panji Ahli Sunnah wa al-Jama’ah.

Al-Sayyid Muhammad bin al-Siddiq




Al-Sayyid Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dilahirkan pada malam Jumaat hari Khamis bulan Rejab 1295H di Tajikan dari keluarga Bani Mansur al-Ghumariyah. Beliau telah menghafaz al-Quran ketika masih kecil dengan riwayat Warash, dan kemudian menghafaznya dengan tujuh riwayat serta mengkhatamkan al-Quran dengan riwayat al-Makki dengan saudaranya al-Sayyid Ahmad.

Setekah menghafaz al-Quran, beliau menuntut ilmu dengan abangnya iaitu al-‘Allamah al-Bari’ Sayyidi Muhammad al-Qadi dan juga dengan sepupunya, al-‘Allamah al-Muhaqqiq Zayn al-‘Abidin bin Muhammad al-Mu’azzin.

Beliau bersama bapanya, al-Siddiq kemudiannya berhijrah ke Fas (Fes) pada tahun 1312H. Di sana beliau belajar di Madrasah al-Sharatin. Pada ketika itu, beliau masih belum dibenarkan bapanya untuk bersama dengannya dan ahli-ahli zawiyah bapanya yang lain agar beliau menumpukan kepada peelajaran.

Pada suatu hari, ketika Muhammad berada di rumahnya di madrasah tempat beliau belajar, maka datang al-Shaykh al-Imam al-Qutb al-Rabbani Sayyidi Muhammad bin Ibrahim (r.a.) dan berkata kepadanya: “Aku berada di Fas sedangkan kamu seorang diri di madrasah ini. Ini tidak boleh. Bangunlah ikut bersamaku”. Maka beliau dibawa oleh Sayyid Muhammad Ibrahim ke zawiyah dan mengajarnya. Al-Sayyid Muhammad Ibrahim menulis beberapa matan di papan hitam dan berkata: “Jika kamu menghafaz matan-matan ini, aku akan memberikanmu ¼ riyal”. Bilamana beliau dapat menghafaz segala yang ditulis oleh al-Sayyid Muhammad Ibrahim, maka gurunya itu akan memberinya upah tersebut agar menggalakkannya menghafaz matan-matan tersebut.

Di samping menuntut ilmu, Sayyid Muhammad Ibrahim juga turut mendidik beliau dengan adab-adab tasawwuf dengan mengajarkannya kitab al-Hikam dan al-Tanwir fi isqat al-tadbir karya Ahmad ibn ‘Ata Allah, al-‘Uhud al-Muhammadiyyah dan al-Minan al-kubra karya ‘Abd al-Wahab al-Sha’rani, dan risalah datuknya, Sayyidi al-Haj Ahmad bin ‘Abd al-Mu’min.

Bahkan gurunya juga turut mengarahkannya supaya menghadiri majlis-majlis ilmu para ulama di Qurawiyin. Oleh kerana Qurawiyin terletak jauh dari zawiyahnya itu, maka beliau berpuasa setiap kali pergi menuntut ilmu di sana supaya tidak perlu kembali ke zawiyahnya di Fas untuk makan tengah hari.

Pada bulan Rabi’ al-Akhir pada tahun 1315, beliau telah pulang ke Tanja dan kemudian kembali semula ke Fas untuk bersama shaykhnya di zawiyah sehingga tahun 1318.

Antara karamah beliau adalah paras rupanya yang sempurna dari segi jasmani dan akhlaknya. Beliau berjalan dengan pantas sehingga jika ada seseorang yang berjalan bersamanya pasti akan merasa letih. Cahaya kehebatan terpancar dari wajahnya sehingga menimbulkan kegerunan kepada orang yang melihatnya sehinga apabila berjumpa dengannya, mereka terus mencium tangannya bagi memuliakan kealiman dan kewarakannya.

Bahkan juga ketikamana beliau di Kaherah dan Iskandariyah, orang ramai terpegun dengan personaliti beliau yang mengkagumkan yang sentiasa mengikut sunnah Rasulullah (s.a.w.). Beliau tidak pernah merasa takut melainkan kepada Allah Taala, sentiasa menjaga diri dari melakukan dosa-dosa sama ada besar atau kecil serta sentiasa mentaati Allah.


Sayyid Muhammad al-Siddiq kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 6 Syawal 1354 akibat menderita sakit jantung. Sebelum kematiannya, beliau sempat memberi pesanan kepada ahli keluarganya supaya sentiasa bertaqwa dan berpegang dengan agama. Jenazah beliau disembahyangkan oleh para muridnya dan umat Islam dari seluruh pelusuk kota Tanjah.



Al-Sayyid Al-Hafiz Ahmad bin Muhammad al-Siddiq

Sayyid Abu al-Fayd Ahmad bin Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dilahirkan di perkampungan Bani Sa’id, berhampiran dengan perkampungan Ghumarah di Utara Maghribi pada hari Juma’at 17 Ramadan 1320H. Setelah dua bulan kelahirannya, beliau dan bapanya kembali ke kampung mereka di Tanjah).

Beliau banyak menulis buku-buku biografi mengenai keluarganya sehingga beliau digelar sebagai Sahib al-tarjamah. Antara karya biografinya ialah al-Tasawwur wa al-tasdiq bi akhbar al-Shaykh Sayyidi Muhammad bin al-Siddiq, Bahr al-‘amiq fi marwiyat ibn al-Siddiq, al-Mu’zin bin akhbar Sayyidi Ahmad bin ‘Abd al-Mu’min, dan Sabhat al-‘aqiq.



Bilamana beliau mencecah umur lima tahun, bapanya telah memasukkannya ke sekolah untuk mengahafaz al-Quran dengan murid bapanya iaitu al-‘Arabi bin Ahmad Bu Durrah di samping menghafaz matan Ajrumiyyah dan matan-matan asas yang lain. Setelah tamat mengahafaz al-Quran, beliau seterusnya menuntut daripada gurunya itu pelbagai ilmu termasuk nahwu, sarf, fiqh Maliki, tawhid selain menghadiri pengajian bapanya di Masjid Besar Tanjah dalam bidang nahw, fiqh, dan hadith.

Bapa beliau amat mengambil berat mengenai pelajaran Sayyid Ahmad dan sentiasa menasihati dan menggalakkannya supaya gigih menuntut ilmu dan mencontohi para ulama. Sayyid Ahmad juga berguru dengan Shaykh Ahmad bin ‘Abd al-Salam al-‘Ibadi.



Pada tahun 1339H, beliau telah berangkat ke Kaherah untuk belajar di al-Azhar atas nasihat bapanya. Di sana beliau berguru dengan ramai ulama Mesir dan mendalami fiqh al-Maliki dan al-Shafi-i. Antara mereka ialah Shaykh Muhammad Imam bin Ibrahim al-Saqa al-Shafi’i yang mengajarnya ilmu nahw (al-Ajrumiyyah dan sharhnya oleh al-Kufrawi, sharh Ibn ‘Aqil, sharh al-Ashmuni, aqidah (al-Silm dan sharhnya oleh al-Bajuri serta Jawharat al-tawhid), fiqh (sharh al-tahrir), hadith (musnad al-Shafi’i, al-Bukhari, musalsal ‘Ashura dan musalsal awwaliyah), dan sebagainya.

Malah, gurunya itu begitu takjub dengan kehebatan dan kebijaksanaan Sayyid Ahmad dan berkata: “Mesti bapa kamu merupakan seorang yang amat soleh dan ini adalah kerana keberkatannya. Sesungguhnya para pelajar tidak dapat memahami sharh al-Ashmuni melainkan telah mempelajari ilmu nahw dan membaca al-Ajrumiyyah, Qatr al-nada, dan kitab-kitab lain selama enam tahun. Sedangkan kamu dapat menguasainya hanya dalam tempoh tiga bulan”).



Gurunya yang lain adalah Mufti al-Diyar al-Misriyyah al-Shaykh Muhammad Bakhit al-Muti’i dalam bidang fiqh Hanafi (sharh al-hidayah), usul fiqh (sharh al-Isnawi ‘ala al-Minhaj), hadith (Sahih al-Bukhari), dan tafsir. Beliau juga turut berguru dengan al-Musnid al-Muhaddith ‘Umar Hamdan al-Tunisi al-Madani. Riwayat guru-gurunya ini dan lainnya ada disebutkan dalam bukunya iaitu Bahr al-‘amiq fi marwiyat ibn al-Siddiq.

Sekembali ke kampungnya, beliau duduk di rumahnya selama dua tahun untuk mentelaah hadith, menghafaz, dan mentakhrij serta tidak keluar rumah melainkan untuk bersembahyang di masjid. Kitab bidang hadith pertama yang ditulisnya adalah takhrij kepada Musnad Shihab al-Din dalam dua jilid yang diberi judul Fath al-wahhab bi takhrij ahadith musnad al-Shihab.



Pada tahun 1344, beliau dan bapanya pergi menghadiri muktamar al-Khilafah di Dimashq. Ketika di sana mereka bertemu dengan Sayyidi Muhammad bin Ja’far al-Kittani. Sayyid Ahmad seterusnya mengambil masa empat tahun mempelajari, meghafaz, dan mentelaah Hadith serta mempelajari Nil al-awtar oleh al-Shawkani dan al-Shama’il al-Muhammadiyyah oleh al-Tirmizi).

Pada masa yang sama, beliau telah menulis sebuah kitab syarah yang besar ke atas Risalah Ibn Abi Zayd al-Qayrawani dengan menyebutkan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah bagi setiap masalah dan diberi judul Takhrij al-dala’il lima fi risalat al-Qayrwani fi al-furu’ wa al-masa’il. Beliau kemudiannya menulis kitab ringkasan (mukhtasar) daripada kitab tersebut yang diberi nama Masalik al-dilalah ‘ala matan al-risalah.



Pada tahun 1349, beliau kembali ke Kaherah dan bersama dengan saudaranya, ‘Abd Allah, dan Muhammad al-Zamzami untuk belajar di sana. Ketika di Mesir, beliau telah menulis banyak kitab di samping menuntut ilmu dengan ulama al-Azhar serta mempelajari Fath al-Bari, Muqaddimah Ibn Salah, dan belajar di Masjid al-Imam Husayn dan Masjid Kakhya.

Pada tahun 1354, beliau kembali semula ke Maghribi kerana kematian bapanya. Beliau kemudiannya menggantikan bapanya memimpin zawiyah dan mengajar kitab-kitab hadith dan mustalahat al-hadith serta kitab-kitab ilmu hadith yang lain. Beliau kemudiannya telah menulis satu kitab berjudul al-Istinfar li ghazw al-tashabbuh bi al-kufar yang menghimpunkan hadith-hadith melarang umat Islam menyamai orang kafir.



Sayyid Ahmad bukan sahaja menumpukan hidupnya dalam bidang keilmuan, bahkan juga turut serta berjihad memerangi penjajah sehingga beliau pernah dipenjarakan beberapa tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada hari Ahad bulan Jamadil Akhir 1380H setelah menderita sakit. Beliau dikebumikan di Kaherah.

Beliau mempunyai banyak tulisan dan karya dalam pelbagai bidang seperti aqidah, tafsir, hadith, fiqh, tasawwuf, sejarah, biografi yang sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Antara keistimewaan tulisan-tulisan beliau yang diperakui oleh para ulama sezamannya ialah bahawa beliau mempersembahkan pendekatan dan gaya tulisan yang baru yang tidak pernah dihasilkan sebelum ini. Penulisan beliau mencakupi aspek takhrij, istikhraj, musnad, musalsalat, amali, mashikhat, serta isi kandungan yang disusun mengikut abjad.



Sayyid Ahmad bukan sahaja berkecimpung dalam penulisan biografi sahaja, beliau juga turut mendalami fiqh Maliki dan Shafi’i. Beliau juga belajar ilmu tafsir dan sharh al-Hidayah dalam fiqh Hanafi dengan ulama Mesir yang terkenal iaitu al-Shaykh Muhammad Bakhit al-Muti’i. Beliau menyeru para ulama yang berkelayakan agar berijtihad dan tidak hanya bertaqlid. Ini merupakan antara sebab beliau banyak menulis dalam bidang fiqh.

Sayyid Ahmad mempunyai lebih dari 20 buah buku dalam bidang fiqh. Ia dapat dibahagikan kepada dua jenis penulisan. Pertamanya ialah penulisan yang merangkumi keseluruhan aspek permasalahan fiqh seperti Sharh al-sunan al-kubra li al-Bayhaqi yang di dalamnya disebutkan hadith-hadith dalam mengikut bab dan disusun deng tertib, juga tentang khilaf dan tarjih, serta dalil-dalil tanpa menentang pendapat yang khilaf.



Jenis yang kedua ialah mengkhususkan kepada permasalahan tertentu seperti Bayan al-hukm al-mashru’ dan juga ringkasannya nafth al-ru’ bi bayan anna al-rak’ah la tudrak bi al-ruku’,Tawjih al-anzar li tawhid al-muslimin fi al-sawm wa al-iftar, dan Tahqiq al-amali fi ikhraj zakat al-fitr wa al-mal dan banyak lagi. Beliau lebih terkenal dalam bidang fiqh dengan penulisan bentuk kedua ini.

Dalam penulisan kedua ini, beliau banyak mengemukan penghujahan, perbincangan tentang perselisihan pendapat dengan bermula dengan perbincangan pandangan dari imam-imam mazhab satu demi satu, dan kemudiannya membincangkan dan mengemukakan dalil-dalil serta mentarjih. Teknik penulisan sebegini dapat dikesan dalam kebanyakan tulisan beliau.



Pada zaman beliau, ulama-ulama di Maghribi pada masa itu hanya mendalami ilmu fiqh Maliki tanpa menyentuh pandangan mazhab lain kecuali sedikit sahaja. Oleh kerana itu, usaha Sayyid Ahmad ini dianggap sebagai satu pembaharuan yang memecah tradisi keilmuan di Maghribi yang memang dikenali dalam sejarah sebagai pengikut fanatik mazhab Maliki. Usaha beliau ini mendapat pujian oleh para ulama pada zamannya.

Al-Muhaddith al-Sayyid ‘Abd al-‘Aziz bin al-Siddiq dalam kata-kata aluannya dalam karya Sayyid Ahmad, al-Ifdal wa al-minah fi ru’yat al-nisa li Allah ta’ala fi al-jannah menjelaskan tentang keistimewaan tulisan-tulisan guru dan saudaranya itu: “Karya-karya beliau ini meliputi dalil-dalil dan hujah, kadang-kdang berhujah ke atas pandangan yang bertentangan bagi menetapkan masalah dengan nas-nas yang jelas, dan kadang-kadang dengan zahir nas dan kadang-kadang dengan kaedah ilzam. Akan tetapi, penulis dengan kekuatan dan ketajaman fikiran, hafazan, dan kefahaman yang mencapai taraf imam mujtahid dalam kesemua perbincangannya tidak menulis masalah yang kecil atau yang besar dalam bidang hadith atau fiqh atau usul melainkan apa yang menimbulkan ketakjuban kepada akal para pembacanya”.



Al-Faqih al-‘Allamah Mustafa al-Zarqa di dalam kitabnya, al’Aql wa al-fiqh fi fahm al-haith al-nabawi juga turut memuji karya Sayyid Ahmad, Tahqiq al-amal fi ikhraj zakat al-fitr bi al-mal sebagai karya yang membincangkan setiap tajuk secara menyeluruh dalam semua aspek dan dikutakan dengan dalil-dalil dan nas.

Ahmad ibn Muhammad ibn al-Siddiq (1320-1380H) telah menulis lebih dari seratus buah karya. Antaranya ialah:

1. Riyad al-tanzih fi fadl al-Quran wa hamilih.
2. Al-Burhan al-jali fi tahqiq intisab al-sufiyyah ila ‘Ali.
3. Al-Mudawi li ‘ilal al-Jami’ al-Saghir wa sharhay al-Munawi. 6 jilid.
4. Al-Mughni ‘ala al-Hadith al-Mawdu’ah fi al-Jami’ al-Saghir.
5. Al-Minah al-matlubah fi istihab raf’u al-yadayn bi al-du’a ba’d al-salawat al
  maktubah.
6. Birr al-walidayn.
7. Mutabaqat al-ikhtira’at al-‘asriyyah lima akhbara bihi Sayyid al-Bariyyah salla Allah
  ‘alayh wa sallam.



Al-Sayyid ‘Abd Allah bin Muhammad al-Siddiq

Al-Sayyid Abu al-Fadl ‘Abd Allah Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani dilahirkan pada akhir bulan Rejab 1328H bersamaan 1910M di Tanja, Maghribi. Sejak kecil beliau mendapat pendidikan daripada bapanya. Semasa di bawah pendidikan bapanya beliau telah menghafal al-Quran dengan riwayat Warash, dan setelah khatam beliau menghafaz pula dengan riwayat Hafs.

Setelah itu beliau menghafal sesetengah matan ilmu agama seperti Nazam al-Kharraz yang berjudul Maurid al-Zam'an serta Matan Alfiyyah Ibn Malik, Matan Arba'in an-Nawawi, Ajrumiyyah, Bulugh al-Maram, al-Jawhar al-maknun dan Mukhtasar al-Syeikh al-Khalil. Beliau kemudiannya mempelajari kitab Syarh al-Azhari `Ala al-Ajrumiyyah daripada saudaranya Abu al-Fayd selain belajar dengan sepupu sebelah bapanya, Sayyid Muhammad bin ‘Abd al-Samad .



Setelah itu dengan perintah bapanya beliau telah merantau ke Fes untuk menuntut ilmu di Universiti al-Qurawiyyin. Di situ beliau belajar Syarh al-Alfiyyah karangan al-Makudi daripada al-Syeikh al-Syarif al-Habib al-Muhaji. Beliau juga mempelajari kitab tersebut beserta hasyiahnya (nota tepi) daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj bin al-Mahsyi. Beliau mempelajari Syarh Ibn `Aqil dan Hasyiah al-Sija'i daripada al-Syeikh Muhammad al-Hajj. Beliau mempelajari bahagian awal Syarh al-Kharsyi `Ala Mukhtasar Khalil daripada al-Syeikh al-Habib al-Muhaji dan kitab al-Jinayat dalam Syarh al-Kharsyi daripada al-Syeikh Ahmad al-Qadiri. Bab al-Buyu' dipelajari daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj. Beliau mempelajari Syarh al-Bukhari oleh Imam al-Qastalani daripada al-Syeikh Muhammad bin al-Hajj di Masjid Maulaya Idris.

Antara guru beliau berkaitan kitab terbabit ialah al-Syeikh al-Husain al-`Iraqi, al-Allamah Abdul Hayy al-Kittani. Beliau mempelajari kitab Jam' al-jawami' Syarh al-Muhalla daripada beberapa orang guru seperti al-Syeikh Ali Husain al-`Iraqi, al-Allamah Abdullah al-Fudayli dan al-Syeikh al-‘Abbas Bannani.



Beliau kemudiannya kenbali ke kampung halamannya untuk mengajar di Madrasah bapanya di samping menyambung pengajian di bawah didikan bapanya. Ketika inilah beliau mula menjinakkan diri dalam arena penulisan. Kitab pertamanya adalah kitab yang mensyarahkan Matn Ajrumiyyah. Kitab tersebut diberi nama oleh sepupunya, Abu al-Fayd dengan judul Tashyid al-mabani li tawdih ma hawathu al-muqaddimah al-Ajrumiyah min al-haqa’iq wa al-ma’ani.

Pada penghujung bulan Sya'aban 1349H/1930M, beliau merantau ke Mesir dan menyambung pelajaran di Universiti al-Azhar. Di situ beliau mempelajari berbagai ilmu daripada ramai guru seperti al-Syeikh Abdul Qadir al-Zantani al-Tarabulsi, al-Allamah Muhammad Hasanain Makhluf al-Adawi al-Maliki, al-Syeikh Hamid Jad, al-Syeikh Mahmud Imam Abdul Rahman al-Mansuri al-Hanafi.



Beliau telah mengabdikan hidupnya dalam lapangan ilmu dengan mengajar kitab Jam' al-Jawami' Bisyarh al-Muhalla, Syarh al-Malawi `Ala al-Silm, Sullamu al-Wusul Ila `Ilm al-Usul, al-Jauhar al-Maknun fi al-Balaghah, Syarh al-Makudi, Tafsir al-Nasafi, al-Ahkam lil Amidi, dan Tafsir al-Baidawi.



Antara guru-guru beliau ialah:

1. Morocco: bapanya, Sayyid Muhammad al-Siddiq al-Ghumari dan bangnya, Sayyid Ahmad, Sayyid Ahmad ibn al-Tayyib al-Qadiri, al-‘Allamah al-Muhaddith ‘Abd al-Hayy al-Kittani, dan al-‘Allamah al-Qadi al-Husin al-‘Iraqi.

2. Tunisia: Shaykh Jami’ Zaytun Tahir ibn Asyur al-Tunisi al-Maliki.

3. Mesir: Shaykh Muhammad Bakhit al-Muti’I al-Hanafi, Musnid al-‘Asri Shyakh Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Abd al-‘Aziz ibn Rafi’ al-Husayni al-Tahtawi, Shaykh Muhammad Imam ibn Burhan al-Din Ibrahim al-Saqqa al-Shafi’i, Shaykh Muhammad ibn Ibrahim al-Samaluti, dan Shaykh Muhammad Zahid ibn Hasan al-Kawthari.

4. Hijaz: al-Muhaddith ‘Umar Hamdan al-Mahrisi, al-Muhaddith ‘Abd al-Qadir ibn Tawfiq al-Shalabi, dan Shaykh al-Mu’ammar Muhammad al-Marzuki ibn ‘Abd al-Rahman al-Makki al-Hanafi.

5. Sham: al-‘Allamah Badr al-Din ibn Yusuf al-Hasani, Shaykh Yusuf ibn Isma’il al-Nabhani, Shaykh Muhammad Gharib ibn Mahmud al-Tabbakh al-Halabi, al-Hanafi, dan Umm al-Banin Aminah binti ‘Abd al-Jalil ibn Salim al-Dimashqiyyah.



Sayyid ‘Abd Allah al-Ghumari meninggal dunia di Tangiers, Maghribi pada hari Khamis 19 Sya'aban 1413H bersamaan 11 Febuari 1993M dan dikebumikan bersebelahan kubur bapanya.



Kitab karangan ‘Abd Allah ibn Muhammad ibn al-Siddiq terdapat lebih daripada 70 buah kitab dalam pelbagai bidang termasuk aqidah, tafsir, hadith, tasawwuf, usul fiqh, matiq, nahwu, balaghah, dan sebagainya. Antara karya tersebut ialah:

1. Al-Irgham al-mubtadi’ al-ghabi bi jawaz al-tawassul bi al-Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam.
2. Dilalat al-Quran al-Mubin ‘ala anna al-Nabi salla Allah ‘alayh wa sallam afdal al’alamin.
3. Aqidah ahl al-Islam fi nuzul ‘Isa alayh al-salam.
4. Ihya al-maqbur fi jawaz bina al-qibab wa al-masajid ‘ala al-qubur.
5. Itqan al-sun’ah fi tahqiq ma’na al-bid’ah.
6. Husn al-tafahhum wa al-dark li mas’alat al-tark.
7. Husn al-talattuf fi bayan wujub suluk al-tasawwuf.
8. Al-I’lam bi anna al-tasawwuf min shari’at al-Islam.
9. Sharh al-irshad fi fiqh al-Malikiyyah.
10. Al-Qawl al-muqni’ fi radd ‘ala Albani al-mubtadi’.

Al-Sayyid Muhammad al-Zamzami bin Muhammad al-Siddiq




Al-Sayyid Muhammad al-Zamzami bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dilahirkan pada malam Khamis 13 Jamad al-Awwal 1330H di Bur Sa’id, Mesir ketikamana ibu bapanya sedang dalam perjalanan menuju ke Mekkah untuk menunaikan haji.

Ketika kecil, beliau sebagaimana adik-beradiknya dididik oleh bapanya sendiri. Beliau mula menghafaz al-Quran sejak berumur lima tahun sebagaimana kebiasaan penduduk Maghribi yang lain dan beliau mengkhatamkan al-Quran dengan al-Shaykh al-Faqih Muhammad al-Andalusi al-Musawwari. Beliau sering menghabiskan masa lapangnya dengan membaca buku-buku di perpustakaan bapanya di samping belajar dengan abangnya, Sayyid Ahmad.

Pada tahun 1349H, beliau berangkat ke al-Azhar al-Sharif di Kaherah. Sepanjang perjalanannya, beliau sempat belajar dengan abangnya, Sayyid ‘Abd Allah beberapa buah kitab seperti Alfiyah Ibn Malik, Matn al-ajrumiyah, Waraqat al-haramayn, dan Jam’ al-jawami’. Ketika di Mesir, beliau berguru dengan para ulama besar al-Azhar. Antara guru-guru beliau ialah:

1. Abangnya, al-Sayyid Ahmad.
2. Abangnya, al-Sayyid ‘Abd Allah.
3. Al-Shaykh Bakhit al-Muti’i.
4. Al’Allamah ‘Abd al-Salam Ghanim al-Dimyati.
5. Mufti Mesir, al-Shaykh Muhammad Hasanayn Makhluf al-‘Adawi.
6. Al-Shayk Abu Talib Hasanayn.
7. Al-Shaykh Mahmud Imam ‘Abd al-Rahman al-Mansuri.
8. Al-Shaykh Mustafa al-Safwah.
9. Al-Shaykh ‘Abd al-Majid al-Sharqawi.

Ketikamana bapanya meninggal dunia pada tahun 1354H, beliau telah kembali ke Tanjah dan mula mengajar di zawiyah Siddiqiyah dan seterusnya mengajar pula di Masjid Hady al-Rasul yang dibina kemudiannya sehinggalah ke akhir hayatnya. Kehidupannya sentiasa dipenuhi dengan cahaya ilmu, penulisan, dan dakwah sehingga beliau kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 28 Zu al-Hijjah 1408H di Tanjah. Jenazah beliau disembahyangkan pada hari Sabtu berikutnya di Masjid Besar Tanjah dan dimakamkan di masjidnya, Hady al-Rasul selepas waktu Zohor.



Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari

Beliau ialah al ‘Allamah al Muhaddith al Sufi al Muhaqqiq al Mudaqqiq al Imam Maulana Sayyid Abdul Aziz bin Muhammad bin Siddiqal-Ghumari



Kelahiran

Dilahirkan pada bulan Jamadil Awal 1338 (1920) di Tonjah (Tangiers), Morocco.



Latar belakang pendidikan

Beliau memulakan pendidikan seawal usia lima tahun dengan menghafal al Quran melalui bimbingan Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya. Setelah itu, beliau mula menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu-ilmu yang lain melalui pembelajaran, pembacaan dan kajian. Ayahandanya memberi sepenuh perhatian kepada beliau sepanjang tempoh pendidikan dengan nasihat-nasihat yang berguna dan petunjuk-petunjuk yang berfaedah. Ini disebabkan ayahandanya dapat mengesan bakat-bakat terpendam yang ada pada diri beliau. Pada tahun 1355 (1937) ketika berusia 17 tahun, beliau merantau ke Mesir bersama-sama abangnya Sayyid Abdul Hayy al Ghumari untuk melanjutkan pelajaran di al Azhar al Syarif. Di al Azhar, beliau menuntut ilmu daripada para ulama’ yang berwibawa dalam pelbagai lapangan ilmu. Dalam tempoh ini juga, beliau mula berjinak-jinak dengan ilmu Hadith di samping melakukan latihan-latihan dan kajian-kajian sekitar ilmu ini.



Bergelumang dengan ilmu Hadith

Mengenai permulaan beliau bergelumang ilmu Hadith, Sayyid Abdul Aziz menceritakan pengalamannya bahawa beliau mula terlibat secara serius dalam ilmu Hadith setelah menamatkan pengajian dalam bidang Mustolah Hadith. Untuk merealisasikan apa yang telah beliau pelajari, beliau mula menumpukan kajian terhadap kitab al Laali’ al Masnu’ah karangan al Hafiz Jalaluddin al Suyuti. Melalui kajian beliau terhadap kitab ini, Sayyid Abdul Aziz berjaya menghasilkan karya yang berjudul al Jawahir al Ghawali. Beliau turut menyebut bahawa melalui kajiannya terhadap kitab ini, beliau mempelajari methodologi kritikan terhadap para perawi hadith, rantaian sanad dan kaedah membezakan hadith yang sohih dengan yang dho’if. 

Setelah itu, beliau menumpukan kajiannya terhadap kitab-kitab hadith yang pula yang mana beliau membaca dan mengkaji hasil kajian hadith yang dihasilkan oleh abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari. Apabila selesai mengkaji karya-karya abangnya, beliau meneruskan usaha dengan mengkaji kitab-kitab hadith lain yang dikarang oleh al Huffaz yang berkaliber dalam bidang ini seperti al Hafiz al ‘Iraqi, al Hafiz al Zailai’e, al Hafiz Ibnu Hajar al ‘Asqolani, al Hafiz al Suyuti dan lain-lain lagi. 

Sepanjang kajian beliau terhadap ilmu Hadith, beliau seringkali berhubung dengan abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari untuk meminta nasihat dan petunjuk. Kemuncaknya beliau menyebut bahawa setelah beliau merasa telah mahir dalam bidang ini dan mampu menguasainya dengan baik, maka beliau mula mengarang sebuah kitab yang berjudul Bulugh al Amani min Maudhu’at al Sun’ani. Setelah selesai mengarang karya ini, beliau membentangkannya kepada abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari, lalu abangnya memberi komentar: Sepatutnya karya ini diberi judul Hazij al Aghani kerana ianya mengandungi faedah yang boleh membuatkan pembacanya menari-nari kerana riang dan kagum!



Kepulangan ke Tonjah

Setelah 12 tahun menetap di Mesir, akhirnya pada bulan Rabiul Awwal 1366 (1949) beliau pulang ke Tonjah untuk menyebarkan ilmu buat anak bangsanya. Di Tonjah, beliau aktif mengajar di Madrasah Siddiqiyyah di samping menulis dan mengadakan majlis zikir. Beliau juga turut dilantik menjadi khatib di madrasah tersebut.



Guru-guru

Antaranya:

1. Ayahandanya Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari.
2. Abang-abangnya al Hafiz Sayyid Ahmad al Ghumari dan al Hafiz Sayyid Abdullah al Ghumari.
3. Al ‘Allamah Syeikh Muhammad Bu Durrah, murid ayahandanya.
4. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Mu’ti al Syarsyimi.
5. Al ‘Allamah Syeikh Mahmud Imam.
6. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Salam Ghanim al Dimyati al Syafie.
7. Al ‘Allamah Syeikh Muhammad ‘Izzat dan lain-lain lagi.



Karya-karya beliau

Semuanya berjumlah 73 buah. Kebanyakannya dalam bidang hadith. Antaranya:

1. Tashil al Mudarraj ila al Mudarraj.
2. Al Ta’nis bi Syarh Manzumah al Zahabi fi Ahli al Tadlis.
3. Al Bughyah fi Tartib Ahadith al Hilyah.
4. Ithaf Zawi al Himam al ‘Aaliyah bi Syarh al ‘Asymawiyyah.
5. Al Qaul al Ma’thur bi Jawaz Imamah al Mar’ah bi Rubat al Khudur.
6. Mafatih al Dahyan li Tartib Tarikh Asbahan.
7. Al Tahzir Mimma Zakarahu al Nablusi fi al Ta’bir.
8. Al Tuhfah al ‘Aziziyyah fi al Hadith al Musalsal bi al Awwaliyyah dan lain-lain lagi.



Kewafatan

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1418 (1998) dan disemadikan di Madrasah Siddiqiyyah berhampiran pusara keluarganya. Semoga Allah merahmati beliau dan membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.



Sayyid Abdul Hayy Siddiq al-Ghumari


Beliau ialah al ‘Allamah al Faqih al Usuli al Muhaddith al Muhaqqiq al Mudaqqiq al Imam Maulana Sayyid Abdul Hayy bin Muhammad bin Siddiq al-Ghumari

Kelahiran

Beliau dilahirkan di Tonjah (Tangiers), Morocco. Latar belakang keluarga. Sayyid Abdul Hayy al Ghumari dilahirkan di kalangan keluarga al Ghumariyyah yang terkenal dengan keilmuan, ketaqwaan, kesolehan, kemuliaan dan kesucian keturunan. Ayahanda beliau Sayyid Muhammad Siddiq al Ghumari merupakan seorang ulama’ rabbani yang memainkan peranan penting dalam mentarbiah beliau sebagaimana adik beradik beliau yang lain. 

Datuk beliau sebelah ibu, Sayyid Ibnu ‘Ajibah al Hasani adalah seorang ulama’ yang tidak asing lagi di dunia Islam melalui karya-karya beliau yang masih wujud hingga ke hari ini. Abang sulung beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari merupakan tokoh hadith yang tiada tandingannya sehingga mencapai martabat al Hafiz. Abang kedua beliau, Sayyid Abdullah al Ghumari ialah seorang pakar rujuk dalam pelbagai lapangan ilmu. Adik beradik beliau, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid al Hasan, Sayyid Ibrahim dan Sayyid Muhammad Zamzami adalah tokoh-tokoh muhaddithin dan muhaqqiqin.

Latar belakang pendidikan

Sebagaimana adik beradik beliau yang lain, Sayyid Abdul Hayy al Ghumari memulakan pendidikan seawal usia lima dengan menghafal al Quran dan sebahagian besar matan-matan ilmu yang lain. Pada tahun 1355 Hijrah (1937), beliau bersama adiknya Sayyid Abdul Aziz al Ghumari merantau ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di sana. Beliau menetap di Mesir selama 11 tahun. Dalam tempoh ini, beliau berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah mencari ilmu pengetahuan sehingga akhirnya beliau menjadi seorang tokoh ilmuwan sebagaimana adik beradiknya yang lain. 

Sayyid Abdul Hayy al Ghumari merupakan seorang pakar ilmu Usul Fiqh. Ini boleh dilihat melalui karya-karya dan kajian-kajian ilmiah yang beliau hasilkan dalam bidang ini. Beliau juga merupakan seorang muhaddith sepertimana adik beradik beliau yang lain di samping sebagai seorang yang mahir dalam perdebatan. Melalui perdebatan, beliau berusaha membetulkan fahaman-fahaman salah lagi melampau yang timbul daripada sikap taasub sebahagian pengikut mazhab-mazhab tertentu.

Kerjaya

Selesai menamatkan pengajian, beliau pulang ke Morocco. Di sana, beliau menjadi tenaga pengajar di dalam bidang Usul Fiqh di sebuah institut pengajian Islam yang terletak di Tonjah. Setelah itu, beliau dilantik menjadi pengetua institut tersebut. Apabila sistem pendidikan institut-institut pengajian di Morocco mengalami perubahan disebabkan kemasukan unsur-unsur tertentu, beliau meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan terhadap perubahan yang berlaku. Kemudiannya, beliau mengadakan majlis pengajian khusus di rumahnya yang mana beliau mengajar ilmu Usul Fiqh, Fiqh, Nahu dan Balaghah. Selain itu, beliau juga sering ke udara melalui ruangan radio Morocco di mana beliau menjawab segala pertanyaan yang timbul dari seluruh pelusuk Morocco.

Guru-guru

Antaranya:

1. Ayahanda beliau, Sayyid Muhammad bin Siddiq al Ghumari al Idrisi al Hasani.
2. Abang-abang beliau, Sayyid Ahmad al Ghumari dan Sayyid Abdullah al Ghumari.
3. Syeikh Abdul Rahman Qoro’ah, mufti Kerajaan Mesir.
4. Al Muhaddith al ‘Allamah Sayyid Badruddin al Hasani al Dimasyqi.
5. Al ‘Allamah Syeikh Roghib al Tobbakh al Halabi.
6. Al ‘Allamah Syeikh Khalil bin Badr al Maqdisi.
7. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Mu’ti al Syarsini al Misri.
8. Al ‘Allamah Syeikh Abdul Wahhab bin al Sayyid bin Salim al Misri.
9. Al ‘Allamah Syeikh Muhsin Nasr al Yamani dan lain-lain lagi.

Karya-karya beliau

Sepanjang usia beliau, Sayyid Abdul Hayy telah menghasilkan sebanyak 23 buah karya yang merangkumi pelbagai bidang ilmu khususnya Usul Fiqh, Fiqh dan Hadith. Antaranya:

1. Tabyin al Madarik li Rujhan Sunniyyah Tahiyyatul Masjid Waqta Khutbah al Jumu’ah fi Mazhab Malik.
2. Thubut al Ajr bi Bayan Hukm Solatil Witr ba’ada Solatil Fajr.
3. Al Iqna’ Bi’tibar Khilaf Daud fil Ijma’.
4. Rukhos al Toharah was Solah wa Tasydidat al Fuqaha’.
5. Hukmut Tayammum fil Kitab was Sunnah.
6. Hukmul Lahm al Mustaurid min Urubba.
7. Hukmud Dukhan wa Tobah was Solah Khalfa Muta’atihima.
8. Al Ihlal bi Jawabis Sual ‘an Hukmi Aghlal.
9. Iqomatul Hujjah ‘ala Annal Aimmah al Arba’ah lam Yuhitu Bis Sunnah dan lain-lain lagi.

Pesanan beliau

Sayyid Abdul Hayy al Ghumari seringkali berpesan kepada para penuntutnya agar selalu berpegang dengan Sunnah Nabawiyyah dan tidak berpaling daripadanya walau apapun yang berlaku serta mendahulukannya daripada segala pendapat di samping berusaha menyebarkannya. Beliau berkata di dalam ijazahnya yang dianugerahkan buat para pelajarnya: Saya juga berpesan kepada beliau agar berusaha bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dakwah supaya kembali beramal dengan al Quran dan Sunnah Nabawiyyah kerana beramal dengan keduanya (al Quran dan Sunnah) dan berusaha melaksanakan perintah dan larangan keduanya merupakan jalan kearah bantuan Allah Taala buat umat ini sebagaimana yang ditegaskan oleh-Nya menerusi Kitab-Nya…

Kewafatan

Setelah memerah usia dalam perjuangan mempertahankan al Quran dan Sunnah Nabawiyyah, akhirnya pada bulan Sya’aban tahun 1415 Hijrah (1995) Sayyid Abdul Hayy al Ghumari menyahut panggilan Ilahi. Jenazah beliau disemadikan bersebelahan pusara ayahanda dan bondanya di Madrasah Siddiqiyyah. Semoga Allah Taala merahmati beliau dan membalas jasa-jasa beliau dalam mempertahankan Sunnah Nabawiyyah dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.



Syiekh Hasan al-Ghumari

Kelahiran Syeikh Hasan al-Ghumari

Syeikh al-Hasan bin Muhammad Siddiq dilahirkan di kota Tonja Maroko pada tahun 1345 Hijriyah bertepatan tahun 1926 Masihi. Beliau dibesarkan oleh orang tuanya di Zawiyah al-Shiddiqiyah. Beliau belajar agama dan menghafal al-Quran sejak dari kecil, sebagaimana anak-anak Syeikh Muhammad Shiddiq al-Ghumari yang lain. Syeikh Muhammad sangat mementingkan pendidikan anak-anak beliau, sehingga semua anak-anaknya menjadi ulama besar. Tidak ada di dunia sekarang ini keluarga yang begitu berkat seperti keluarga al-Ghumari.

Ayahnya adalah sumber dan pencetak para ulama besar di dunia ini, abang beliau al-Hafiz Ahmad adalah seorang ulama besar yang sangat disegani. Beliau seorang sahaja yang digelar al-Hafiz pada abad ke empat belas hijryah. Sementara abang beliau Abdullah, seorang Muhaddith yang sampai ke tahap al-Mufid, seorang ahli pengkeritik ilmu hadith dan sanad, saudaranya Abdul Hayy, seorang yang alim dalam ilmu fiqh dan usulnya, sementara saudaranya Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad Siddiq Ghumari seorang ulama hadith yang sungguh masyhur dari barat sampai ke timur, saudaranya Syeikh Muhammad Zamzami juga seorang ulama yang ternama serta memiliki banyak karangan, saudaranya Syeikh Ibrahim juga seorang ulama besar yang terkenal.

Menuntut ilmu

Dimasa kecilnya beliau memasuki sekolah agama islam di Tonja, banyak matan-matan kitab yang beliau hafal, disamping itu beliau turut belajar dari abang beliau al-Hafiz Ahmad Shiddiq al-Ghumari, al-Muhaddith Abdullah Shiddiq al-Ghumari dan Syeikh Muhammad Zamzami Shiddiq al-Ghumari.
 
Hasil Karangan beliau :

1 - at-Tibyan li hujjati Amali al-Ikhwan Fi Tahuhid Saumi Ramadhan.
2 - Silsilah Durus wa al-Muhadharat.
3 - at-Tasauf wa Atsaru fi Natsri Ilmu Wal Makrifah.
4 - Takrimul Islam Lil Mar`ah.
5 - Fadhlu Lailatu al-Qadar.
6 - Syafa`atul Kubra.
7 - Daiwan Khutabul Jum`ah.
8 - Dan lain-lain.

Pekerjaan

Beliau pernah menjadi penasihat bahagian pendidikan di Moroko, dan menjadi guru tetap di Zawiyah ayahnya, Syeikh Muhammad Shiddiq al-Ghumari. Sepanjang hidupnya, beliau terus berdakwa ke jalan Allah meneruskan perjuangan ayahanda dan saudara-saudaranya. Beliau turut menjadi Mursyid agung Tariqah Syadzuliyyah ash-Shiddiqiyyah dan menjalankan program Zawiyah Shiddiqiyyah di kota Tonjah sehingga wafatnya. 

Kematian

Syeikh al-Hasan bin Muhammad Siddiq al-Ghumari telah menghembuskan nafas terakhirnya menuju Allah dan meninggalkan dunia yang fana ini pada tarikh 22 Jamadil akhir 1431 Hijriyah bertepatan dengan 7 Jun 2010 Masihi. Ribuan pelawat hadir untuk mensolati jenazah beliau.



Sheikh Dr. Ibrahim bin Siddiq al-Ghumari

Beliau ialah Ibrahim bin Siddiq al-Ghumari al-Tanji, adik bongsu kepada ulama hadis Maghribi yang terkenal, Sheikh Ahmed bin Siddiq. Dilahirkan di Tanger, Utara Maghribi pada 17 Rejab 1305 (1935M).

Beliau dibesarkan oleh abang sulungnya, Sheikh Ahmad, lantaran kematian bapanya semasa beliau berusia dua bulan. Sheikh Ahmed telah memulakan pengajian  awal adiknya ini ketika usia enam tahun di kuttab. Di sana, beliau telah mula belajar membaca, menulis dan menghafaz al-Quran atas didikan Said al-Hauzi dan al-‘Ilmi Shabu al-Qasimi.

Suasana ilmu yang subur dalam kalangan ahli keluarganya, tambahan pula persekitaran yang ada, turut membantu beliau mengecapi nikmat berilmu dari sumbernya yang sebenar. Demi kecintaan yang tinggi kepada ilmu pengetahuan telah membuka laluan untuk beliau bergerak dari kampung halaman ke masjid Qurawiyyin di Fes. Di sana, beliau berguru dengan Sheikh Abdullah al-Saqalli, Sheikh Abdul Hadi al-Yaaqubi, Sheikh al-Abid al-Kharsyafi, Sheikh al-Fatimi dan ramai lagi dari kalangan ulama tersohor ketika itu.

Dengan semangat dan azam yang tinggi, beliau melangkah lebih jauh menuju ke bumi anbiya’, Mesir pada tahun 1957. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar dengar mengutip permata berharga dari sheikh-sheikh universiti tersebut. Pada masa yang sama, beliau juga menadah kitab hadis di hadapan abang sulungnya, Sheikh Ahmed sehinggalah abangnya meninggal dunia pada tahun 1960.

Pada tahun 1961, beliau bergerak pula ke Iraq untuk melanjutkan pengajian dalam bidang syariah selama setahun. Selepas itu, beliau kembali ke bumi tanah tumpah darahnya, Maghribi. Beliau meneruskan pengajian syariahnya di Fakulti Syariah, Fes sehinggalah memperolehi ijazah pada tahun 1965. Kemudian beliau melanjutkan lagi pengajian di Darul Hadis, Rabat pada tahun 1966 sehingga berjaya memperolehi ijazah sarjana  dalam bidang hadis pada tahun 1975Seterusnya, beliau melangkah lagi pengajian hadisnya untuk memperolehi ijazah kedoktoran pada tahun 1985 dengan tajuk :
Sheikh Ibrahim memulakan khidmat jasa kebaktiannya di Fakulti Usul al-Din di Tetuan sebelum bertugas di Darul Hadis untuk beberapa tempoh tertentu. Beliau juga dilantik sebagai Presiden Majlis Ilmu di Tanger semenjak tahun 1996 sehinggalah beliau meninggal dunia.

Pada hari Khamis, tanggal 6 Safar 1424 yang bersamaan dengan 10 April 2003, di Hospital Besar Rabat, selepas diserang penyakit kancer paru-paru beberapa tahun, maka telah dijemput Sheikh Ibrahim menghadap Ilahi. Disemadikan di Tanger bersebelahan dengan bapanya juga abang-abangnya, Sheikh Abdullah, Sheikh Abdul Aziz dan Sheikh Abdul Hayy.