Selasa, 25 Februari 2014

Prof Dr Wahbah Mustafa az-Zuhaili



Prof Dr Wahbah Mustafa az-Zuhaili merupakan salah seorang ulama yang terkenal pada masa kini. Beliau merupakan ketua bahagian fiqh Islam dan mazhab-mazhab fiqh, Kuliah Syariah di Universiti Damsyik. Dari segi fiqh, beliau bermazhab asy-Syafie manakala dari segi aqidah beliau bermazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah (Asy’ari). Beliau dianugerahi tokoh Maal Hijrah pada tahun 2008 oleh kerajaan negara Malaysia.



Kelahiran dan pembesaran

Beliau dilahirkan di kampung Dir ‘Atiyyah, Damsyik pada 6 Mac 1932. Bapanya merupakan seorang hafiz al-Quran yang berkerja sebagai petani dan peniaga. Bapanya sentiasa memberi galakan kepada beliau dan adik-beradiknya yang lain untuk menuntut ilmu.



Pendidikan

Beliau mendapat didikan awal peringkat rendah dan kuttab (tadika) di desanya. Pada tahun 1946, beliau memasuki peringkat menengah di Kolej Syariah di Damsyiq selama enam tahun sehingga tahun 1952. Dr Wahbah al-Zuhayli telah berjaya mendapat pangkat cemerlang dalam peringkat menengah tersebut sebelum berhijrah ke bumi Mesir. Di Mesir, beliau belajar dengan memasuki beberapa kuliah dalam beberapa universiti di Kaherah dalam waktu yang sama iaitu kuliah Syariah dan kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar dan kuliah Undang-Undang di Universiti Ain Syam. Ketika itu, beliau memperolehi ijazah seperti berikut :

1. Ijazah B.A dalam Kuliah Syariah Universiti al-Azhar pada tahun 1956. Beliau mendapat tempat pertama dari kalangan keseluruhan pelajar.

2. Ijazah Takhasus Pendidikan dari Kuliah Bahasa Arab Universiti al-Azhar pada tahun 1957

3. Ijazah B.A dari Kuliah Undang-Undang dari Universiti Ain Syam pada tahun 1957.

Beliau seterusnya menyambung pengajian peringkat Master di Kuliah Undang-undang, Universiti Kaherah dan tamat pada tahun 1959. Beliau menyelesaikan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Kuliah Undang (Syariah Islamiyyah) di Universiti Kaherah pada tahun 1963. Tesis beliau yang bertajuk Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami-Dirasat Muqaranah Baina al-Mazahib al-Thamaniah Wa al-Qanun ad-Dauli al-‘Am (Kesan Peperangan dalam Fiqh Islam-Kajian Perbandingan Antara Lapan Mazhab dan Undang-undang Antarabangsa) berjaya mendapat keputusan Syaraf al-Ula (kepujian tertinggi).


Guru-guru

Dr Wahbah az-Zuhaili telah menuntut dengan ramai ulama sama ada di Syiria mahupun di Mesir. Antara guru beliau adalah:

a. Di Syiria

1. Muhammad Hashim al-Khatib al-Syafie

2. Abdul Razaq al-Hamasi

3. Mahmud Yassin

4. Judat al-Mardini 

5. Hassan al-Shati

6. Hassan Habnakah al-Midani

7. Muhammad Saleh Farfur

8. Muhammad Lutfi al-Fayumi 

9. Mahmud al-Rankusi 

b. Di Mesir

1. Muhammad Abu Zuhrah

2. Mahmud Shaltut 

3. Abdul Rahman Taj

4. Isa Manun

5. Ali Muhammad Khafif

6. Jad al-Rabb Ramadhan 

7. Abdul Ghani Abdul Khaliq

8. Muhammad Hafiz Ghanim

Murid-murid

Antara murid-murid beliau adalah:

1. Adik beliau, Muhammad az-Zuhaili

2. Muhammad Faruk Hamadah

3. Muhammad Naim Yassin

4. Abdul Sattar Abu Ghuddah

5. Abdul Latif Farfur

6. Muhammad Abu Lail

7. Abdul Salam al-‘Ibadi

8. Muhammad al-Syarbaji



Jawatan Akademik

1. Menjadi pensyarah di Universiti Damsyik pada tahun 1963, Professor Madya pada tahun 1969 dan menjadi Professor pada tahun 1975. Beliau mengajar fiqh, usul fiqh dan fiqh perbandingan di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Damsyik.

2. Menjadi pensyarah pelawat di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Muhammad bin Ali as-Sanusi di Bandar al-Baida’, Libya selama dua tahun.

3. Menjadi pensyarah pelawat di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti UAE selama lima tahun dari tahun 1984 sehingga 1989.

4. Menjadi Professor pelawat di Jabatan Syariah, Universiti Khartoum dan Universiti Omdurman.

5. Dipinjamkan ke Qatar dan Kuwait untuk memberi pengajian pada bulan ramadan pada tahun 1989 dan tahun 1990.

6. Dipinjamkan sebagai Professor pelawat di Markaz al-‘Arabi li Dirasat al-Amniyyah wa at-Tadrib selama dua minggu.

7. Mengajar kitab beliau, Fiqh al-Islam wa Adilatuh untuk para pelajar pengajian tinggi di beberapa universiti di Pakistan, Sudan dan lain-lain.

8. Mengajar kitab beliau Usul al-Fiqh al-Islami di Universiti Islam Madinah dan Jabatan Kehakiman di Riyadh.

9. Menyelia banyak tesis Master dan PhD di Universiti Damsyik dan Kolej Imam al-Auza’I di Lubnan serta menyelia lebih daripada 70 tesis kedoktoran di beberapa universiti di Damsyik, Beirut dan Khartoum.

10. Merancang sistem pengajian di Kolej Syariah di Damsyik pada akhir tahun 60-an, menyusun sistem pengajian di bahagian Syariah, Kuliah Syariah dan Undang-undang, Universiti UAE serta Ma’had Syariah di Syiria pada tahun 1999.

11. Memberi idea penerbitan majalah Syari’ah dan Pengajian Islam di Universiti Kuwait pada tahun 1988.

12. Memberi ceramah berkenaan tafsir al-Quran di radio Syiria dan program al-Quran dan kehidupan di televisyen Damsyik, Kuwait, UAE dan Arab Saudi.

13. Menulis di akhbar-akhbar di Syiria, Kuwait, UAE dan Arab Saudi.

14. Menubuhkan Jurnal Syariah dan Undang-undang di Universiti UAE.

15. Ketua Jawatankuasa Kebudayaan dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Manuskrip di Universiti UAE.

16. Pengerusi Lembaga Madrasah Pengajian Sheikh Abdul Qadir al- Kassab peringkat menengah di Dir ‘Attiyyah, Syiria.

17. Menjadi khatib di Masjid al-Uthman, Damsyik dan menjadi khatib pada musim panas di Masjid al-Iman di Dir ‘Atiyyah, Syiria.

18. Pengerusi Lembaga Penyeliaan Syariah di Bahrain dan kemudian menjadi ketua badan ini di Bank Islam Antarabangsa di Arab Banking Corporation di Bahrain dan London.



Keahlian 

1. Ahli Royal Society Penyelidikan Tamadun Islam di Jordan.

2. Pakar di Akademi Fiqh Islam di Jeddah dan Majlis Fiqh di Makkah serta Akademi Fiqh Islam di India, Amerika dan Sudan.

3. Ahli Jawatankuasa penerbitan Ensklopedia Besar Arab di Damsyik.

4. Pengerusi Lajnah Pengajian Syariah di Institusi Kewangan Islam.

5. Ahli Majlis Tertinggi Fatwa di Syria.

6. Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Hal Ehwal Islam dan lembaga editor Jurnal Kementerian Wakaf di Syria.

7. Ahli Jawatankuasa Ensiklopedia Fiqh di Kuwait, Ensiklopedia Besar Arab di Damsyik. Ensiklopedia Tamadun Islam di Jordan, Ensklopedia Fiqh Muamalat di Akademi Fiqh Islam di Jeddah dan lain-lain.

Penulisan

1. Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami-Dirasat Muqaranah Baina al-Mazahib al-Thamaniah Wa al-Qanun ad-Dauli al-‘Asr.



2. Suntingan ke atas kitab Tuhfah al-Fuqaha’ karya Samarqandi.

3. Suntingan dan ulasan ke atas kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam karya Ibnu Rejab al-Hanbali.

4. As-Silm wa al-Harb fi al-Islam, diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis.

5. Al-Fiqh al-Islam wa Adilatuh, diterjemahkan ke dalam bahasa Turki, Malaysia dan Parsi.



6. Al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami.



7. Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, diterjemahkan ke dalam bahasa Turki.



8. Usul al-Fiqh al-Islam, diterjemahkan ke dalam bahasa Turki.



9. Mausu’ah al-Fiqh al-Islami al-Mu’asirah, 8 jilid.

10. Mausu’ah al-Fiqh al-Islami wa al-Qadhaya al-Mu’asirah, 14 jilid.



11. Qadhaya al-Fiqh wa al-Fikr al-Mu’asir, 3 jilid.



12. Fiqh al-Islami fi Uslub al-Jadid.

13. Tajdid al-Fiqh al-Islami.



14. Kitab al-Fiqhi al-Jami’I - al-Waqi’ wa al-Thamuh.

15. Usul al-Fiqh al-Hanafi.

16. Al-Fiqh asy-Syafie al-Muyassar.



17. Al-Fiqh al-Hanafi al-Muyassar.



18. Al-Fiqh al-Hanbali al-Muyassar.

19. Al-Fiqh al-Maliki al-Muyassar.

20. al-Wasith fi Usul al-Fiqh al-Islami.

21. Nazriyyah ad-Darurah asy-Syar’iyyah - Dirasah al-Muqaranah.

22. Nazriyyah al-Dhaman Ahkam al-Musauwaliyyah al-Madaniyyah wa al-Janaiyyah fi al-Fiqh al-Islam - Dirasah Muqarannah an-Nusus al-Fiqhiyyah al-Mukhtarah.



23. Nizam al-Islam.

24. Al-Uqud al-Musammah fi Qanun al-Mu’amalat al-Madaniyyah al-Imarati wa al-Qanun al-Madani al-Urduni.



25. Al-Uqubat asy-Syar’iyyah wa Asbabuha.

26. Al-Usul al-‘Ammah li Wahdah ad-Din al-Haqq.

27. Juhud al-Taqyin al-Fiqh al-Islami.

28. Ubadah bin al-Samit.

29. Usamah bin Zaid.

30. Sa’id bin al-Musayyab.

31. Umar bin Abdul Aziz.

32. Ad-Dhawabith asy-Syar’iyyah li Akhaza bi Aisara al-Mazahib.

33. Ar-Rakhsu asy-Syari’yyah Ahkamiha wa Dhawabitiha.

34. Al-Islam Din al-Jihad La al-Udwan.

35. Al-Islam din al-Syura wa al-Damuqratiyyah.

36. al-Qisah al-Quraniyyah - Hidayah wa Bayan.

37. Al-Ahkam ad-Daruriyyah wa al-Qat’iyyah fi Al-Islam.

38. Al-Quran al-Karim Baniyyatahu al-Tasyri’iyyah wa Khasais al-Hadhariyyah.



39. Al-Mausu’ah al-Quraniyyah al-Muyassarah.



40. At-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 16 jilid, mendapat anugerah kitab terbaik dalam dunia Islam pada tahun 1995. Diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.



41. At-Tafsir al-Wajiz.



42. At-Tafsir al-Wasith, 3 jilid

43. Az-Zara’I’ fi al-Siyasah al-Syar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami, tesis Master beliau pada tahun 1959.

44. Qawa’id al-Fiqh al-Hanbali Min Kitab al-Mughni li Ibnu Qudamah.

45. Suntingan dan ringkasan ke atas kitab al-Anwar fi Syamail an-Nabi al-Mukhtar karya Imam al-Baghawi.

46. Suntingan ke atas kitab Thariq al-Hijratain wa Bab al-Sa’adatain karya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah.

47. Al-Istinsakh Jadl al-Ilm wa ad-Din wa al-Akhlaq.

48. Suntingan ke atas kitab Nail al-Authar karya asy-Syaukani.

49. Suntingan ke atas kitab Syarah Muslim karya an-Nawawi.

50. Al-‘Alaqat ad-Daulah fi al-Islam.

51. Huquq al-Insan fi al-Islam.

52. Al-Qanun ad-Dauli al-Insani wa Huqu al-Insan. Diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.



53. Al-‘Alim al-Islami fi Mawajihah at-Tahdiyyat al-Gharbiyyah. Diterjemahkan ke dalam bahasa Turki dan bahasa Malaysia.



54. Usul al-Iman wa al-Islam.



55. Al-Mujaddid Jamal ad-Din al-Afghani.

56. Al-Islam wa al-‘I’aqah.



57. Musykilat fi Thariq al-Nuhudh.

58. Al-‘Alaqat ad-Dauliyyah fi al-Islam Muqaranah bi al-Qanun ad-Dauli al-Hadith.

59. Haq al-Hurriyyah fi al-‘Alam.



60. Hiwar Haula Tajdid al-Fiqh al-Islami.

61. Al-Usrah al-Muslimah fi al-‘Alam al-Mu’asirah.

62. Al-Imam asy-Syafi’e.

63. Al-Mawazinah Baina al-Quran wa as-Sunnah fi al-Ahkam.

64. Al-Musharif al-Islamiyyah.



65. Al-Mu’amalat al-Maliyyah al-Mu’asirah.

66. Al-Iqtisad al-Islami. Diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

67. Akhlaq al-Muslim ‘Alaqatuhu bi al-Mujtama’.

68. Akhlaq al-Muslim ‘Alaqatuhu bi al-Khaliq.



69. Akhlaq al-Muslim bi an-Nafs wa al-Kaun.

70. Syamail al-Musthafa Sallahu ‘Alaihi wa Salam. Diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.



71. Fatawa al--‘Asr.

72. Fatawa Mu’asirah.



73. Qawa’id al-Akhlaq fi al-Quran al-Karim. 2 jilid.

74. Li ‘Asyrah al-Mubasyirun bi al-Jannah.

75. Al-Wudhu’ wa as-Solat ‘ala al-Mazhab al-Maliki.

76. Ahkam al-‘Ibadat an-Nasyiah.

77. Al-Ahkam an-Nubuwwah li an-Nasyiah.



Jumaat, 21 Februari 2014

Imam Ibnu as-Sunni

Nama Imam Ibnu al-Sunni mungkin jarang didengari oleh masyarakat Islam di Malaysia berbanding nama ulama-ulama hadith yang lain seperti Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain. Tetapi, dalam pengajian ilmu hadith beliau merupakan antara ulama hadith yang terkenal dengan karya beliau Amal al-Yaum wa al-Lailah dan beliau juga merupakan antara anak murid utama Imam an-Nasai’i.

Nama dan kelahiran

Nama sebenar Imam Ibnu al-Sunni ialah Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Ishak bin Ibrahim bin Asbath (أَسْبَاط) bin Abdullah bin Ibrahim bin Budaih (بُدَيْح) Maula Abdullah bin Ja’far bin Abi Thalib al-Hasyimi al-Ja’fari al-Dinawari, tetapi beliau lebih dikenali dengan nama Ibnu al-Sunni.

Al-Dinawari merupakan nisbah kepada Dinawar, nama sebuah tempat yang pada hari ini terletak di negara Iran.

Mengenai gelaran al-Sunni pula, kata al-Sam’ani dalam kitab al-Ansab: “Ini adalah nisbah kepada sunnah yang merupakan lawan kepada bidaah. Apabila telah ramai ahli bidaah maka sebahagian (ulama) mengkhususkan penisbahan ini (kepada orang yang mengikut sunnah).”

Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ beliau dilahirkan sekitar tahun 280 Hijrah.

Pengembaraan ilmu

Imam Ibnu al-Sunni merupakan antara ulama hadis yang banyak mengembara. Beliau  telah mengembara ke pelbagai negara Islam seperti Mesir, Iraq, Syam dan Hijaz dalam usaha beliau menuntut ilmu dan mengumpulkan hadis.

Guru-guru

Antara guru-guru yang beliau meriwayatkan hadis daripada mereka ialah:

1 - Imam al-Nasai’i, pengarang kitab al-Sunan al-Kubra dan al-Sunan al-Sughra yang juga dikenali sebagai al-Mujtaba. Meninggal dunia pada tahun 303 Hijrah.

2 - Imam Abu Ya’la al-Mausili, pengarang kitab Musnad Abu Ya’la. Meninggal dunia pada tahun 307 Hijrah.

3 - Imam Ibnu Jarir al-Tabari, pengarang Tafsir al-Tabari dan Tarikh al-Tabari. Meninggal dunia pada tahun 310 Hijrah.

4 - Imam Ibnu Qani’, pengarang kitab Mu’jam al-Sahabah. Meninggal dunia pada tahun 317 Hijrah.

5 - Imam Zakariyya bin Yahya al-Saji. Meninggal dunia pada tahun 307 Hijrah.

Terdapat ramai lagi guru beliau, tetapi saya sekadar menyebutkan beberapa orang yang terkenal sahaja.

Murid-Murid

Antara murid-murid yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah:

1 - Abu ‘Ali Ahmad bin Abdullah al-Asbahani

2 - Abu Hasan Muhammad bin ‘Ali al-‘Alawi

3 - ‘Ali bin Umar al-Asad Abadi

4 - Al-Qadhi Nasir al-Kassar

Murid-murid beliau boleh dikatakan agak kurang masyhur dan jarang didengari nama mereka.

Pekerjaan

Beliau pernah menjadi Qadhi di kawasan al-Ray, Iran. Namun setelah itu beliau meletak jawatan dan kembali ke Dinawar. Apabila beliau ditawarkan semula untuk menjadi Qadhi beliau menjadi sangat marah.

Puji-Pujian Ulama Terhadap Beliau

1 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar’ A’lam al-Nubala’ memuji beliau dengan berkata: “Seorang imam, al-hafiz, thiqah (dipercayai) dan banyak mengembara.”

2 - Imam Tajuddin al-Subki dalam Thabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra berkata: “Beliau seorang lelaki yang soleh, faqih dan bermazhab al-Syafi’i.”

Penulisan


1 - Amal al-Yaum wa al-Lailah. Kitab ini merupakan karya beliau yang paling masyhur. Dalam kitab ini beliau berhasrat mengumpulkan hadis-hadis berkenaan doa, zikir dan wirid yang diriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam agar setiap insan dapat mengamalkannya dalam kehidupan mereka pada waktu siang dan malam. Kitab ini banyak dirujuk oleh para ulama selepas beliau yang mengarang kitab berkenaan zikir dan doa seperti Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar dan Ibnu al-Jazari dalam al-Hisn al-Hasin. Kitab ini telah diterbitkan oleh Maktabah Dar al-Bayan dengan tahqiq Basyir Muhammad ‘Uyun, Dar Ibnu Hazm dengan tahqiq Abu Usamah Salim bin ‘Aid al-Hilali dan Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam dengan tahqiq Dr Abdul Rahman Kauthar bin Muhammad Asyik Ihahi al-Barni. Mengandungi sekitar 770 lebih buah hadis.

2 - Al-Qana’ah. Mengandungi 61 buah hadis berkenaan sifat qanaah (sikap berpada-pada dan berasa cukup dengan apa yang ada). Diterbitkan oleh Dar al-Khulafa’ dengan tahqiq Abu Abdul Rahman Abdullah bin Yusuf.


3 - Riyadhah al-Muta’allimin. Kitab ini menghimpunkan hadis dan athar berkenaan adab dan akhlak yang seharusnya dimiliki oleh penuntut ilmu. Kitab ini diterbitkan oleh Maktabah Nizam Ya’qubi dengan tahqiq Nizam Muhammad Salleh Ya’qubi.

4 - Fadhail al-‘Amal.

5 - Al-Tibb an-Nabawi.

6 - As-Sirat al-Mustaqim.

7 - Al-Ijaz Fi al-Hadith.

Kematian

Anak beliau yang bernama ‘Ali berkata: “Bapaku sedang menulis hadis, kemudian beliau meletakkan pena beliau pada botol dakwat lalu mengangkat tangannya berdoa kepada Allah dan beliau pun meninggal dunia.”

Anaknya ditanya tentang tarikh peristiwa kematian bapanya, maka beliau menjawab : “Pada akhir tahun 364H.”

Semoga Allah merahmati beliau. Amin.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 10/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Sabtu, 8 Februari 2014

Dr Abdul Karim Zaidan




Dr Abdul Karim Zaidan merupakan bekas Mursyidul Am Ikhwan al-Muslimin Iraq dan salah seorang ulama fiqh yang berasal dari Iraq. Beliau pernah menjadi Professor Fiqh di Iraq dan kemudiannya beliau berpindah ke Yaman dan menjadi pensyarah di beberapa universiti di sana.




Kelahiran dan pendidikan

Dr Abdul Karim Zaidan dilahirkan pada tahun 1917 di Iraq. Bapa beliau meninggal ketika beliau berusia 3 tahun. Beliau memulakan pendidikan awal dengan mempelajari al-Quran di khuttab (sekolah untuk kanak-kanak). Beliau meneruskan pendidikan secara fomal dan talaqqi dengan guru-guru yang terdapat di Iraq dan Mesir.

Beliau seterusnya meneruskan pelajaran di Dar al-Mua’limin al-Ibtidaiyyah. Setelah menyelesaikan pelajaran di Dar al-Mua’limin al-Ibtidai’yah, beliau menjadi guru di sekolah rendah. Beliau kemudiannya menyambung pengajian beliau dengan memasuki Kuliah Undang-undang di Baghdad. Setelah itu beliau menjadi pengetua di Sekolah Menengah Agama an-Najibiyyah.

Beliau menyambung pengajian beliau di peringkat Master di Ma’had as-Syari’ah al-Islamiyyah di Universiti Kaherah dan berjaya mendapat kuputusan Mumtaz (cemerlang). Beliau menyelesaikan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kaherah pada tahun 1962 dengan keputusan Syaraf al-U’la (kepujian tahap tertinggi).



Guru-guru

Antara guru-guru beliau adalah:

1. Syeikh Ahmad az-Zuhawi

2. Syeikh Abdul Qadir al-Khatib

3. Syeikh Najm ad-Din al-Wa’iz

4. Syeikh Muhammad Mahmud al-Sawaf

5. Syeikh Ali al-Khafif

6. Syeikh Muhammad Abu Zahrah

7. Syeikh Hasan Ma’mun

8. Syeikh Abdul Karim al-Sa’iqah





Jawatan-jawatan penting


1. Jawatan akademik

a. Professor Syariah Islamiyyah dan ketua Kuliah Undang-undang di Universiti Baghdad

b. Professor Syariah Islamiyyah dan ketua bahagian Agama di Kuliah Sastera, Universiti Baghdad

c. Professor Syariah Islamiyyah di Kuliah Pengajian Islam

d. Professor Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti al-Iman, Sana’a

e.  Professor Syariah Islamiyyah di bahagian Pengajian Islam dan pengajian peringkat Master dan Doktor Falsafah di Universiti Sana’a sehingga kematian beliau.


2. Majlis-majis akademik

a. Ahli Majlis Ulama Universiti Islam sejak tahun 70-an

b. Ahli Majlis Fiqh di Rabitah ‘Alam al-Islami sejak tahun 2000

c. Ahli Majlis Fiqh di Universiti al-Iman, Sana’a


Penulisan

a. Ahkam al-Zimmiyyin wa al-Musta’minin fi dar al-Islam

b. Al-Madhkal li Dirasah as-Syari’ah al-Islammiyyah

c. Al-Kifalah wa al-Hiwalah fi al-Fiqh al-Maqarin

d. Kitab al-Usul ad-Da’wah

e. Al-Fard wa ad-Dawlah fi as-Syari’ah

f. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah

g. Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh

h. Al-Wajiz fi Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah

i. Syarh al-‘Iraqi lil Usul al-‘Isyriyyin

j. Nazarah fi Syari’ah al-Islamiyyah

k. Al-Mustifat min Qasas al-Quran al-Karim lil Da’wah wa al-Da’ah

l. Al-Sunan al-Ilahiyyah fi al-Umam wa al-Ifrad wa al-Jama’at




Kematian

Dr Abdul Karim Zaidan meninggal dunia pada hari Isnin, 27 Januari 2014 di Sana’a, Yaman ketika umur beliau 97 tahun. Semoga Allah merahmati beliau.