Isnin, 31 Mac 2014

Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih

Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih (1926- kini)
Oleh: Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali


Mukadimah

Tidak ada hari yang mengembirakan saya kecuali berjumpa dengan para ulama. Sebelum berjumpa dengan Syeikh Muhamad Kurayyim di Masjid al-Falah USJ 9 pada 19 Januari 2011, saya mengenalinya apabila menulis buku biografi Syeikh Hassan Habannakah dan beliau merupakan anak murid Hassan Habannakah bersama Syeikh Husain Kattab. Di samping itu, mendengar dari rakan-rakan saya yang pernah belajar di Syria. Beliau juga adalah rakan seperguruan dengan Syeikh Sa’id Ramadan al-Buti dan Wahbah al-Zuhayli.Syeikh Muhamad Kurayyim adalah pentashih al-Quran yang dibaca oleh umat Islam sekarang. 

Dalam konteks zaman moden, dua negara yang terkenal dengan pengajian qiraat dan pengajian tafsir iaitu Mesir dan Syria. Di Mesir terdapatnya pengajian Qiraat di Shubra dan di Tanta manakala di Syria terdapatnya Shaykh al-Qurra’ yang menjadi pakar rujukan dalam bidang tersebut. Pertemuan tersebut mengingatkan saya dengan guru al-Quran yang saya mengambil sanad al-Quran daripadanya iaitu Syeikh Mustafa di Masjid Husain, Kaherah. Syeikh Mustafa seorang yang buta tetapi hatinya tidak buta dan mengajar setiap pagi selepas subuh sehingga Zuhur di Masjid Husain sehingga beliau meninggal dunia setelah mengajar di situ lebih dari 25 tahun.


Latar belakang kehidupan

Syeikh Muhamad Kurayyim bin Sa’id bin Kurayyim Rajih dilahirkan di al-Maydan, Damsyiq, Syria.pada 1344H/1926M. Bapanya seorang yang buta huruf sementara ibunya seorang hafizah (penghafal al-Quran). (www.alislamnoor.com) www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html). Beliau merupakan seorang ahli al-Quran yang mendapat sanad ilmu al-Quran dan ilmu qiraat dari ulama Syam dan perkara ini diakui oleh Syeikh Ahmad al-Halwani.

Mula mempelajari  dan menghafal al-Quran sejak kecil dari ibu yang seorang yang alimah dan kemudian berguru dengan Syeikh Yassin Zarzur. Seperti kanak-kanak lain, beliau belajar di Kuttab dengan guru-guru seperti Syeikh Yassin Zarzur, anaknya Muhamad Zarzur, Syeikh Adib Sabban dan Syeikh Abu Rasyad al-Lubni. Semasa tamat di kuttab, umurnya berusia lapan tahun dan memasuki sekolah yang didirikan oleh Syeikh Ali al-Duqr (m.1362H) yang dinamakan Sekolah Jam’iyyah al-Ghara’. Beliau hanya bersekolah di sini selama setahun dan meninggalkannya kerana guru-guru terlalu kasar dan memukul pelajar secara keterlaluan. (www.alislamnoor.com). 

Kemudian, beliau belajar dengan Syeikh Hassan Habannakah di Masjid Manjak, dan setelah mendapat sijil menengah, beliau menyambung pelajaran di Kuliah Syariah, Universiti Damsyiq dan diploma dalam bidang Pendidikan. Kemudian bertugas di Kementerian Wakaf sebagai guru. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html).


Hubungannya dengan Syeikh Husain Khattab.

Syeikh Kurayyim sejak kanak-kanak bekerja di kedai buku al-Hasyimiah yang dimiliki oleh Abu Akram al-Tarabishi dan kawan-kawan di situ sering mengajaknya bermain dan menonton wayang. Suatu hari apabila beliau pergi menonton wayang dan balik sehingga jam 12 tengah malam, maka ayahnya telah bertanya kepada beliau ke mana beliau pergi. Beliau menjawab,  beliau pergi menonton wayang. Bapanya menjawab alangkah lebih baik dari menonton wayang itu dengan belajar al-Quran dari Syeikh Husain Khattab dan pelajaran agama.

Pada hari berikut, beliau pergi ke Masjid al-Qal’ah dan belajar dengan Syeikh Husain Khattab dan menghafal al-Quran dalam satu tahun Www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html). Beliau juga menghafal Alfiah Ibn Malik dalam bidang tatabahasa dan Nihayah al-Tadrib iaitu matan kepada Ghayah al-Taqrib dalam fiqah al-Syafi’i karangan Imam Abi Sujak. Ketika itu, usianya antara 13 dan 14 tahun.

Syeikh Husain Khattab telah mengetahui kecerdikannya, lalu menyuruh Muhammad Kurayyim memasuki sekolah yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Habannakah yang dinamakan Sekolah al-Jam’iyyah al-Tawjiyyah al-Islamiah. Sejak tahun 1940, beliau belajar dengan Syeikh Hassan sehingga gurunya itu meninggal dunia. Muhammad Kurayyim merupakan rakan baik kepada Abdul Rahman Habannakah (anak kepada Syeikh Hassan) dan mereka menganggap sebagai dua beradik. .(www.alislamnoor.com)

Menurut Abdul Rahman, apabila kerajaan melarang Hassan Habannakah dari mengajar di sekolah dan masjid, beliau terus mengajar di rumah selepas subuh atau sebelum Zuhur dan selepas Asar. Beliau juga mengadakan halaqah dengan anak muridnya yang telah menjadi khatib dan ulama seminggu sekali. Majlis ini dihadiri oleh Syeikh Husain Khattab, Muhammad Kurayyim Rajih, Abdul Razaq al-Halabi dan Sadiq Habannakah. Majlis-majlis ini dihadiri oleh murid-muridnya sehingga Hassan meninggal dunia pada tahun 1978. (Abdul Rahman, 2002:107)



Belajar Qiraat

Beliau belajar qiraaat sepuluh kecil (al-Qira’at al-‘Ashr) dengan ulamak qiraat seperti Syeikh Sulaim al-Hilwani (m.1363H) yang merupakan Shaykh al-Qura’ pada ketika itu dan menghafal al-Syatibiah dalam waktu masa yang singkat. Beliau menghafal al-Syatibiah sepuluh  bait sehari dan menamatkan hafalan dalam masa beberapa bulan sahaja. Apabila Syeikh Sulaim meninggal beliau belajar dengan Syeikh Ahmad al-Hilwani (m. 1384H) yang menjadi Syeikh al-Qura’ bagi mengantikan ayahnya. Beliau tamat belajar qiraat sepuluh dengan Syeikh Ahmad Sulaim al-Hilwani dan mengulangi bacaan qiraat sepuluh dengan Syeikh Mahmud Faiz al-Dir’atani.(m.1384H). (www.alislamnoor.com). Beliau mendapat ijazah sanad dari mereka semua mengenai ilmu qira’at.


Guru-gurunya.

Pada mulanya, beliau belajar qiraat bersama Husain Khattab dengan Syeikh Salim al-Hilwani dan anaknya Syeikh Ahmad al-Hilwani melalui cara al-Syatibiah dan al-Durrah. Merasakan belum puas menuntut ilmu, beliau bersama guru Syeikh Husain Khattab  belajar qiraat dengan Syeikh Abdul Qadir Quwaidir yang dikenali sebagai syeikh al-Samadiyyah di perkampungan Arabin, Utara Damsyiq. Mereka berdua belajar qiraat sepuluh dengan kaedah Taibah al-Nashar. (www.alislamnoor.com). 

Qiraat tujuh (sab’ah) mahupun qiraat sepuluh (‘asyarah), ia adalah mutawatir daripada Rasulullah SAW. Ini bermakna, Rasulullah SAW membaca dengan kesemua qiraat ini. Qiraat tujuh dikupas dan dijelaskan oleh Imam al-Syatibi (538-590H) dalam bukunya Hirz al-Amani wa Wajhu al-Tahani dan Imam al-Jazari (751-833H) pula mengupas dan menyusunnya sehingga sepuluh qiraat. Tetapi, ini tidaklah bermakna Imam al-Jazari telah melakukan penambahan kepada ilmu ini sehingga menjadi sepuluh.

Perkara ini  berkemungkinan, Imam al-Syatibi pada zamannya hanya sempat mengumpul dan menyusunnya sehingga tujuh sahaja. Al-Jazari mengarang  ad-Durrah al-Mudhiah, kitab Qiraat tiga untuk menyempurnakan Qiraat tujuh oleh Imam as-Syatibi sehingga dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Sughra. Setelah itu, pengumpulan dan pengkajian diteruskan oleh Imam al-Jazari sehingga lengkap menjadi sepuluh qiraat. Kesemua sepuluh qiraat Imam al-Jazari dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Kubra. al-Jazari mengarang Tahbir al-Taisir, al-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr dan ringkasan  kitab al-Nasyr ke dalam bentuk matan dengan nama Tayyibah al-Nasyr Fi al-Qira’at al-`Asyr. (Nabil Muhammad Ibrahim, 2002;131,141-143 dan  254)

Muhamad Kurayyim mula mengajar qiraat dan memberi ijazah apabila usia 30 tahun setelah menghafal qiraat sepuluh sama ada kaedah al-Sughra (kecil) atau al-kubra(besar). Di samping itu sejak kecil menghafal al-Syatibiyyah, al-Durrah dan al-Taibah. Beliau juga pakar dalam ilmu tafsir, tatabahasa dan fiqah syafi’i. (www.alislamnoor.com). Di samping belajar dengan Syeikh Hassan, beliau juga belajar secara formal dan memasuki Fakulti Syariah, Universiti Damsyiq dan kemudian di Fakulti Pendidikan. (www.alislamnoor.com). 

Syeikh al-Qura’ al-Syam (Tokoh al-Qur’an Negeri Syria)

Gelaran ini diberi kepada seorang insan yang diiktiraf keilmuannya dari segi ilmu al-Qur’an oleh ulama-ulama Damsyiq.. Gelaran ini bukan pekerjaan rasmi dan mendapat gaji bulanan tetapi ia merupakan tempat rujukan jika terdapat perbezaan dan perselisihan dalam ilmu-ilmu al-Quran terutama ilmu qiraat.  Beliau dilantik menjadi syeikh Qura’ selepas kematian syeikh Husain Khattab pada tahun 1408H dan pengisytiharan dilakukan  oleh imam Masjid Syeikh Salih al-Alim di Masjid Umawi. Damsyiq. Kemudian diperakui oleh ulama seperti Abu Hassan al-Kurdi dan Syeikh Abdul Razzak al-Halabi dan keputusan tersebut dipersetujui oleh Kementerian Wakaf melalui menterinya ketika itu. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html.)

Beliau mula mengajar ketika berusia 18 tahun di Masjid dan kemudian menjadi guru di sekolah kerajaan seperti sekolah perempuan di al-Maydan, Damsyiq. Kemudian bertukar dan mengajar di sekolah agama di sana selama 40 tahun dan mengajar ilmu Quran, Tafsir, dan bahasa Arab. Sekarang beliau mengajar di Maahad al-Fatah, Damsiq dalam peringkat Takhassus. Beliau mengajar al-Bahr al-Muhid karangan Abi Hayyan, Fiqah perbandingan dan tajwid. Beliau juga mengajar di Majma’ al-Kaftoro (Universiti Abu Nur). Beliau juga menjadi ahli Fatwa di beberapa masjid di Damsyiq.(www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html/www.alislamnoor.com).

Beliau mengajar orang awam di Masjid Hassan setiap hari Selasa dan juga di Masjid Mansur setiap hari selepas solat Subuh dan tafsir setiap hari Khamis selepas Maghrib. Beliau juga seorang Khatib yang berkaliber dan bersemangat. Kini beliau merupakan Khatib di Masjid Hassan di al-Maydan. Antara buku-buku yang digunakan semasa mengajar ialah di Masjid Mansur ialah tafsir al-Qurtubi, al-Sharqawi syarah al-Tahrir karangan Syeikh Zakaria al-Ansari dalam fiqah al-Syafi’i, Syarah Muslim karangan Imam al-Nawawi, Tadrib al-Rawi karangan al-Sayuti, Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali, Subul al-Salam karangan San’ani dan Fiqh al-Manhaji. (www.alislamnoor.com). Beliau juga merupakan seorang yang berakhlak mulia dan  tegas dalam menyatakan kebenaran terutama dalam berkhutbah. Menurut Mohd Naim Mohd Nor, Exco Dakwah ABIM, Muhamad Kurayyim juga merupakan seorang yang suka berseloroh dan kelakar ketika mengajar.

Karangan:

i. Iktisar Tafsir Ibn Kathir- 2 jilid-Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1999

ii. Awda’ al-Bayan fi Syarah wa Tafsir al-Qur’an

iii. Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi-5 jilid. Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut,1987

iv. al-Maysir fi al-Qira’at al-Arba’ah ‘Ashar-Ibn Kathir – Damsyiq, 1995.

v. al-Qira’at al-‘Ashr al-Mutawatirah- Dar Muhajir, Madinah al-Munawwarah, 1994.

Bidang penulisan beliau adalah bidang qiraat dan tafsir. Beliau telah membuat ringkasan qiraat empat belas dan juga ringkasan tafsir Ibn Kathir dan al-Qurtubi. 

Beliau juga amat menyukai syair terutama Syair Ahmad Shauqi dan Mustafa Akramah. Beliau juga mengarang beberapa syair tetapi beliau tidak menjadikan syair sebagai tugas rasmi dan membaca dalam majlis-majlis tertentu terutama dalam memperingati guru-gurunya. (www. Islam-dz-.com/vb/t1761.html. (tarikh akses 21 Jan. 2010)

Beliau telah dikurniakan 9 orang anak, enam lelaki dan 3 orang perempuan. Sementara anak muridnya yang belajar dengannya di Masjid dan mendapat ijazah qiraat terlalu ramai dan salah seorang anak muridnya telah mengarang buku yang memuatkan nama-nama pelajar yang mendapat ijazah al-Quran dari beliau. Buku tersebut ditulis oleh Syeikh Abdullah Husain al-Somali yang berjudul al-Atar al-fa’ih fi Asanid wa talamidh al-Shaykh Kurayyim Rajih. (www.alislamnoor.com).

Syeikh Kurayyim juga menyusun al-Qira’at al-Ashr al-Mutawatirah bersama Alawi bin Muhammad al-Balfaqiyyah. Buku ini menghimpunkan secara ringkas qira’at sepuluh dari kaedah (Turuq) al-Syatibiiah dan al-Durrah bersama dengan mashaf al-Quran. Perkara ini memudahkan pembaca meneliti qiraat tanpa melihat kepada buku qiraat yang lain. Begitu juga setiap al-Quran yang dicetak di dunia Arab khususnya di Syria perlu pentahsihan dari lujnah ulama.

Syeikh Kurayyim merupakan salah seorang pentahsih al-Quran bersama al-Marhum al-Tayyib Abu al-Yusr, al-Marhum Abdul Aziz ‘Uyun, Ustaz Marwan Siwar dan Ustaz Aziz Abidin. (Muhammad Kurayyim Rajih,1994)  Beliau juga membuat perakuan kepada buku ‘ilm Qiraa’at karangan Nabil bin Muhamad Ibrahim Al Isma’il. Buku ini mengupas mengenai perkembangan ilmu qiraat, jalan dan kaedah pembacaan serta qiraat yang masyhur dan qiraat yang janggal. Buku ini juga membicarakan mengenai madrasah  dan aliran qiraat serta kesannya kepada ulum syariah.

Bacaan Qiraat ialah :
•    Qiraat Nafi’
•    Qiraat Ibn Kathir
•    Qiraat Abi Umru al-Basri
•    Qiraat Ibn Amir
•    Qiraat Asim
•    Qiraat Hamzah
•    Qiraat al-Kasa’i

Sebahagian ulama menambahkan tiga lagi qiraat menjadi ia sepuluh qiraat yang mutawatir iaitu Imam Abu Jaafar,  Imam Ya’aqub dan Imam Khalaf Al-Asyir.


Ahad, 30 Mac 2014

Syeikh Sa'id Hawwa

Said Hawwa (1935-1989M) : Tokoh Gerakan Islam Syria yang Gigih 

Oleh: Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali


Said Hawwa seorang yang banyak membaca sejak kecil dan mampu memahami pembacaan tersebut dengan baik. Beliau membaca kesemua ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam terutama ilmu akidah, fekah, Usul Fiqh , tafsir, sirah dan lain-lain. Seorang rakan memberitahu bahawa Said Hawwa dalam penjara apabila ia memegang buku setebal 500 muka surat, maka beliau tidak akan tidur sehingga selesai membacanya. Begitulah keadaan sehariannya. 

Nama sebenarnya ialah Said bin Muhammad bin Hawwa. Hawwa ialah nama keturunan yang diwarisi dari sebelah bapanya.Beliau dilahirkan pada 27 September 1935 di Hamah, Syria. Keturunannya bersambung dengan Rasulullah dan ia dinasabkan kepada kabilah al-Naim yang merupakan salah satu keturunan Rasulullah. Ketika berusia dua tahun, ibunya telah meninggal dunia. Ibunya bernama Arabiyyah al-Tais dan bapa Muhamad Dib Hawwa seorang aktivis politik yang menentang penjajah Perancis dan dipenjara pada tahun 1939 kerana tuduhan membunuh. 

Kehidupannya pada awal kanak-kanak amat susah dan miskin dan pernah diusir dari sekolah kerana tidak mampu membeli pakaian rasmi sekolah. Semasa ketiadaan bapanya kerana dipenjara, beliau dipelihara oleh bapa saudara dan datuknya. Said Hawwa memulakan pengajian ketika berusia tujuh tahun dan pada masa itu bapanya masih berada dalam penjara. Apabila bapanya dibebaskan, beliau berhenti sekolah kerana menolong bapa berniaga di pasar. Apabila pendapatan keluarga semakin bertambah bapanya telah menghantar Said Hawwa mengikuti kelas malam bagi memperolehi sijil rendah kebangsaan. Sementara pengajian al-Quran telah bermula sejak berusia lima tahun. ( Said Hawwa, 1987: 7-9) 

Pada tahun 1948, beliau memulakan pengajian di sekolah Menengah al-Rusyd. Pada peringkat ini, beliau berjumpa dengan guru Syeikh Muhamad Hamid, seorang tenaga pengajar di sekolah Menengah Ibn Rusyd yang membawa beliau belajar dengan di halaqah yang diajarnya di Masjid Sultan dan pengajian ini memberi kesan yang mendalam kepada Said Hawwa. (Said Hawwa, 1987: 24)

Pada tahun 1952 ketika berusia 17 tahun memasuki peringkat Thanawi dan juga memasuki dan terlibat aktif dengan Jemaah Ikhwan Muslimun Syria. Kemasukan dalam gerakan Ikhwan mempunyai kesan yang mendalam dalam merubah dirinya dalam mencapai keredahaan Allah dan bekerja untuk Islam. Bagi ahli baru Ikhwan akan mengikuti usrah dan beliau mengikuti usrah yang dipimpin oleh Ustaz Mustafa al-Sirafi, seorang tokoh Ikhwan di Hamad. Pada waktu itu, ada tiga tokoh Ikhwan yang menonjol iaitu Mustafa Sirafi, Abdul Karim Uthman dna Adnan Saaduddin. Pada masa ini juga, bakat pidato dan ceramah beliau diasuh dengan berceramah di pentas demontrasi atau berkhutbah di masjid. Pada tahun 1956 memasuki Universiti Damsyiq dalam Fakulti Syariah. Beliau menjadi pemimpin Ikhwan peringkat universiti dan juga menambah ilmu dengan pengajian-pengajian di Masjid. Pada peringkat ini juga beliau mula menjinakkan diri dengan tarikat sufi dan berguru dengan Syeikh Muhammad al-Hasyimi guru Tariqah al-Darqawiyyah di Damsyiq


Guru-gurunya

Antara guru-gurunya Syeikh Muhammad al-Hamid, Muhammad al-Hasyimi, Ustaz Maaruf al-Dawalibi, Umar Hakim, Syeikh Abdul Wahab Dabis, Syeikh Abdul Karim Rafa;I, Syeikh Ahmad Murad, Syeikh Muhamad Ali Murad. Syeikh Salih al-Asqar, Dr Mustafa al-Siba’iy, Mustafa al-Zarqa, Mustafa al-Khin, Dr Fauzi Faidullah dan Hassan Habannakah. Beliau telah tamat di universiti pada tahun 1961 dan memasuki latihan ketenteraan pada tahun 1963. Pada tahun 1964, beliau berkahwin dengan Ummu Muhammad dan dikurniakan empat orang anak Muhammad (1965), Ahmad (1966), Fatimah (1967) dan Muaz (1969.(www.Saedhawwa.com) 

Said Hawwa terlibat secara serius dengan tariqat sufi dengan gurunya Muhammad al-Hasyimi yang banyak mempengaruhi sikapnya. Beliau beriltizam dengan tarikat sufi dengan mengikuti majlis zikir, dan selawat yang dianjurkan oleh syeikh tarikat seperti Syeikh Burhani, Syeikh Abdul Qadir Isa, Syeikh Bashir al-Bahuni. Pengalaman Said Hawwa dalam tarikat sufi memberi kesan dalam penulisan buku-buku terutama mengenai pendidikan kerohanian seperti Tarbiyatuna al-Ruhiah (Pendidikan Kerohanian), Mustakhlis fi Tazkiyyah al-Anfus dan Muzakarat fi Manazil al-Siddiqin wa al-Rabbaniyyat. 

Beliau juga gigih belajar dengan ulama-ulama di masjid di sekitar Damsyiq semasa belajar di universiti untuk mendalami ilmu. Antara gurunya ialah Syeikh Abdullah al-Hariri, seorang guru bidang Hadis, Syeikh Abdul Wahab, guru dalam fikah Hanafi dan menghadiri majlis tarikat sufi oleh Syeikh Mala’ Ramadan al-Buti, bapa kepada Muhammad Said Ramadan al-Buti. 

Setelah tamat di Universiti Damsyiq, beliau bertugas di al-Hasakah, Utara Syria berdekatan dengan Turki kemudian ditukarkan ke Hamah kerana khubahnya yang menyentuh sensitivity agama Kristian dan Yahudi. Di Hamah beliau bertugas di sekolah al-Salmiyah. Pada tahun 1964, beliau menyertai Revolusi Hamah kerana menentang penguguran subjek agama dalam sistem pelajaran dan juga penyiaran penulisan mengenai kisah nabi Adam sebagai mitos yang menyebabkan kemarahan rakyat Hamah. Said Hawwa memberi khutbah yang membakar semangat penentangan tersebut dan akhirnya beliau disenarai hitam oleh polis. Untuk menenangkan keadaan, beliau telah diminta untuk keluar dari Syria dan pergi ke Iraq selama 40 hari dan kemudian ke Jordan. Semasa tinggal di Jordan, beliau mendapat pengkhabaran dari kerajaan Syria mengenai pengampunan golongan penentangan dan membenarkan pelarian pulang tanpa syarat. (Said Hawwa, 1987: 74) 

Pada tahun 1966, beliau telah berhijrah ke Arab Saudi untuk bertugas sebagai guru bahasa Arab . Perpindahan beliau ke Arab Saudi kerana tekanan yang kuat yang diterima di Hamah . Beliau disekat dari menyampaikan kuliah dan khutbah serta ditukar di kawasan pendalaman. Semasa di Arab Saudi, beliau diberi tugas oleh Ikhwan untuk menyiapkan manhaj perjuangan Ikhwan. Semasa di Arab Saudi, beliau mendapat pembelaan dari Syeikh Abdul Aziz Baz dalam meneruskan dakwah dan kuliah termasuk mengajar di Masjid Nabi. Said Hawwa tinggal di Arab Saudi selama lima tahun bermula tahun 1966 sehingga tahun 1971 dan menyiapkan buku Silsilat al-Usul al-Thalathah (Allah, al-Rasul dan al-Islam) dan buku Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan (Tentera Allah : Ilmu dan Akhlak) dan Jundullah Takhtitan wa tanziman ( Tentera Allah : Perancangan dan Organisasi). Di sini, beliau menyampaikan ceramah di beberapa buah universiti, kolej dan sekolah serta kelab terutama dua kelab yang terkenal di Madinah iaitu Kelab al-ansar dan Kelab Uhud.( www.ikhwan.online., Said Hawwa, 1987:79,Fisol Mat Isa:2001:27) 

Said Hawwa seorang yang banyak membaca sejak kecil dan mampu memahami pembacaan tersebut dengan baik. Beliau membaca kesemua ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam terutama ilmu akidah, fekah, Usul Fiqh , tafsir, sirah dan lain-lain. Seorang rakan memberitahu bahawa Said Hawwa dalam penjara apabila ia memegang buku setebal 500 muka surat, maka beliau tidak akan tidur sehingga selesai membacanya. Begitulah keadaan sehariannya. Antara faktor pembentukan keperibadian Said Hawwa ialah : 

i. Peranan bapanya yang merupakan seorang pendidik yang berjaya 

ii. Keadaan pekerjaan pertanian dan kehidupan kemiskinan. 

iii. Menyertai pembelajaran dengan Syeikh Hamid yang merupakan ulama Hamah 

iv. Menyertai ikhwan Muslimun di usia muda iaitu pada tahun 1952 

v. Banyak membaca dan mengkaji dalam pelbagai ilmu 

vi. Pertembungan parti dan pemikiran dalam tahun 1950an terutama pemikiran sekular dan komunisme nasionalisme Arab 

vii. Keadaan dunia Islam, kejatuhan khalifah, kehilangan negara Palestin dan sistem diktator dalam dunia Arab 

Perkara di atas merupakan faktor yang telah mempengaruhi pemikiran dan perjuangan dakwahnya. Begitu juga dalam penulisannya.(www.saedhawwa.com

Said Hawwa sangat menjaga dan melakukan bacaan al-Quran dan wirid-wirid harian selepas solat. Beliau akan membaca sebahagian juzuk dari al-quran, 100 kali istighfar, 100 tahlil dan 100 kali selawat.Beliau juga mengadakan kuliah ilmu secara berkala untuk keluarga selepas wirid solat subuh. Beliau pernah membeli tasbih yang cantik untuk anak-anaknya dengan syarat anaknya berwirid dan berselawat 100 kali satu hari. (www.saedhawwa.com.) 




Menyertai Ikhwan 

Ikhwan mula berkembang di Syria melalui pelajar-pelajar yang belajar di Kaherah seperti Mustafa al-Siba’iy dan Abdul Fatah Abu Ghudah. Mereka ini merupakan generasi awal yang membawa penyebaran pertubuhan tersebut ke Syria. Beliau menjadi Muraqib al-Am dari tahun 1979-1982 . Pada tahun 1982, beliau dilantik menjadi kepimpinan pusat (Maktab al-Irsyhad dan Majlis Syura) Ikhwan sehingga tahun 1984. Kemudian beliau kembali memimpin ikhwan Syria dari tahun 1985 sehingga tahun 1987. Oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, beliau berundur dari kepimpinan Ikhwan (www.ikhwan.online.com

Menurut anaknya, Muaz, Said Hawwa amat menghormati ahli ilmu sama ada orang itu mempunyai pandangan yang sama dengan atau berbeza seperti ziarah Syeikh Ahmad Qatis dan Syeikh Nasaruddin al-Albani semasa beliau jatuh sakit. (www.saedhawwa.com). Pernah ketika beliau baru dibebaskan dari penjara dan datang seorang syeikh yang berusia 80 tahun yang ingin menziarahi Said Hawwa dan rumah mereka terletak di tingkat dua. Said Hawwa terus turun dan berjumpa dengan syeikh tersebut dibawah. Beliau juga amat merujuk kepada ahli ilmu apabila ada sesuatu masalah hukum. Apabila ia jatuh sakit lumpuh sebelah kiri, beliau mempunyai masalah fikah yang perlu diselesaikan, maka beliau menelifon Syeikh Mustafa al-Zarqa untuk berjumpa dengannya. Lalu Syeikh al-Zarqa datang dan mereka berbincang mengenai masalah fikah tersebut. Said Hawwa juga seorang yang menjaga waktu dan waktu Subuh sehingga terbit mahathari merupakan waktu yang diperuntukkan untuk menulis. 



Fasa-Fasa Kehidupan Said Hawwa: 

Dalam bukunya Hadhi Tajribati Hadhi Syahadati beliau telah mencatatkan pengalaman hidup dalam beberapa fasa seperti berikut : 

i. Dari tahun pertama sehingga berusia 13 tahun ( 1935-1948). Period ini menceritakan kelahirannya di Kawasan Aliliyyat, di Hamah dan bapanya bernama Muhammad Dib Hawwa. Mengkisahkan pertempuran penduduk Jamah dengan penjajah Perancis yang berakhir dengan kemenangan penduduk Hamah. Beliau menceritakan peranan orang-orang Syria dalam mempertahankan Palestin. 

ii. Dari usia 13 tahun sehingga berusia 17 tahun. (1948-1952) Period ini merupakan masa memperkayakan ilmu dengan belajar dan membaca vuku-buku biografi tokoh-tokoh yang ditulis oleh Abdul Rahman Badwi dan Jurji Zaidan, Buku Ihya karangan Imam al-Ghazali. Period ini beliau belajar di sekolah Abu Fida dan juga sekolah menengah Ibn Rusydi. Beliau juga berdamping dengan Syeih Hamid di Masjid Sultan yang banyak mempengaruhi hidupnya. 

iii. Dari tahun 1952-1955. (Berusia 18-20 tahun) Period ini beliau berkecimpung dalam gerakan Ikhwan bermula dengan anggota usrah kemudian menjadi Naqaib dan kemudian menjadi ketua diperingkar pelajar di Hamah. Pada masa ini, beliau telah mengambil tarikat dari Syeikh Muhammad Hasyimi. Period ini juga menyaksikan kedatangan Hudaibi ke Syria dan diberi sambutan yang hangat dan juga diadakan Muktamar Islam di adakan di Syria dengan kehadiran tokoh-tokoh dakwah termasuk al-Maududi. Pada masa ini, beliau belajar dengan Abdul Karim al-Rifa’i, Said Abdullah dan dari kalangan sufi beliau belajar dengan Mala Ramadan al-Buti dan Muhammad Hasyimi dan berada dalam majlis-majlis mereka. 

iv. 1956-1961M (Berusia 21-26 tahun) Pada tahun 1956, beliau memasuki Universiti dalam Fakulti Syariah dan belajar dengan guru-guru seperti Abdul Wahab Dabis dan Fauzi Faidullah, Muhammad Mubarak, Maaruf Dawalibi dan Mustafa al-Siba’iy. Antara aktiviti universiti ialah menubuhkan Kelab al-Fikr al-Mutaharir ( Kelab Bebas Berfikir) yang menentang Kelab Komunis. Pada period ini juga beberapa parti diharamkan termasuk Ikhwan. 

v. 1961-1964M. (Berusia 26-29 tahun) Pada period ini beliau bertugas sebagai guru dan kemudian memasuki khidmat Tentera. Beliau juga menceritakan Revolusi Hamah yang berlaku pada tahun 1964.

vi. 1964-1966 (Usia 29-32) Kembali mengajar dan bekerja di Arab Saudi sebagai guru di Madinah al-Munawwarah. Pada period Ikhwan berbincang mengenai manhaj dan sistem dalaman ikhwan 

vii. 1966-1971M ( usia 32-37 tahun)- Tinggal di Arab Saudi selama lima tahun dan menyiapkan buku al-Usul Thalathah dan Jundullah Thaqafatan wa akhlaqan 

viii. 1972-1973M. (Usia 37-39 tahun) Kembali ke Syria dan berlaku demontarasi menentang perlembangaan sekular. Beliau ditangkap selama lima tahun dari 5 Mac 1973 sehingga Januari 1978.

ix. 1973-1978 (Usia 39-43 tahun) Berada dalam penjara dan merupakan peluang untuk mendalami ilmu dan menyiapkan al-Asas fi al-Tafsir 

x. 1978-1982 (Usia 43-47 tahun) datang Ustaz Adnan Saaduddin ketua baru Ikhwan yang meminta Said Hawwa keluar dari Syria dan tinggal di Amman. Pada masa ini, beliau menerbitkan buku Tarbiyatuna al-Ruhiah (Pendidikan kita mengenai Spritiual) dan Madkhal li Dakwah al-Ikhwan(Pengenalan Dakwah Ikhwan). Beliau pergi ke Amerika Syarikat atas undangan pelajar di sana dan menghadiri muktamar Islam di Eropah. 

xi. 1982-1984M (Usia 47-49 tahun) Beliau bergiat dalam penulisan setelah tidak memegang jawatan dalam kepimpinan Ikhwan. Kepimpinan dalam majlis kepimpinan pusat adalah sementara kerana ia dalam peralihan dan penstrukturan baru. 

xii. 1984-1985M. (Usia 49-50 tahun) Antara peristiwa penting dalam period ini dilantik menjadi keua lujnah penasihat di Hamah dan menghadiri Muktamar di Baghdad mengenai perang Iraq-Iran. 

xiii. 1985-1986M. Beliau melawat Pakistan dan berjumpa dengan kepimpinan Afghanistan dan kemudiannya ke Mesir. 

xiv. 1986-1987M. Beliau pergi berubat di Arab Saudi namun tidak berhasil dan jatuh sakit lumpuh pada 13 Mac 1987. Pada period , beliau hanya memberi nasihat kepada sesiapa yang datang menziarahinya dan meneruskan kegiatan menulis. (www.saidhawwa.com

Menurut anaknya, Muhammad Said Hawwa menceritakan kehidupan harian ayahnya dengan menyebutkan : 

i. waktu itu bukan miliknya. Kesemua waktu yang ada adalah untuk menuntut ilmu atau orang yang datang untuk berhajat sesuatu atau datang untuk menuntut ilmu atau berdialog siang dan malam. Beliau mudah untuk menerima dan membuka pintu rumahnya.Ada tokoh yang mempunyai jadual untuk menerima tetamu dan ini berbeza dengan Said Hawwa yang berpandangan bahawa orang yang menuntut ilmu dan orang yang berhajat mempunyai hak untuk ditunaikan. Beliau yakin apabila menunaikan hajat orang tersebut maka Allah akan memberkati waktu. Pernah semasa anak-anak menghadapi musim peperiksaan namun orang ramai sentiasa datang ke rumah dan beliau sentiasa menyebutkan kepada anak-anaknya bahawa Allah tidak akan mensia-siakan kegigihan kamu 

ii. Sepertimana waktu bukan miliknya begitu juga harta benda. Beliau hanya memiliki sekadar untuk memenuhi keperluan sahaja. Beliau hanya mempunyai rumah yang sederhana di Hamah dan ia merupakan warisan keluarga. Apabila ia tinggal di luar, beliau tinggal di rumah sewa dan mempunyai perabot keperluan asas sahaja. 

iii. Walaupun sibuk dengan kegiatan kemasyarakatan dan dakwah, beliau sentiasa menjaga perkara berikut : 

i. Menjaga solat Subuh pada waktunya dan waktu-waktu yang lain serta berjemaah kecuali keadaan kesihatan, keamanan dan politik yang tidak mengizinkan. 

ii. sentiasa membaca wirid selepas solat. Sekurang-kurang wirid yang dibaca ialah bacaan ayat al-Quran, 100 istigfar,100 tahlil dan 100 selawat. 

iii. Majlis ilmu bersama ahli keluarga selepas wirid solat subuh. Waktu ini adalah waktu beliau bersama keluarga kerana pada waktu yang lain sibuk dengan tetamu dan dakwah. 

iv. Masa untuk menulis iaitu setelah solat subuh (Shuruq ) sehingga waktu dhuha dan waktu malam hari jika tidak ada aktiviti dakwah beliau akan berjaga sampai pagi untuk membaca, berfikir dan menulis. 

v. Baki waktu yang lain dibahagikan untuk khidmat kemasyarakatan, ibadat, dan majlis ilmu. Semasa menjadi guru, beliau mengajar dari waktu pagi sehingga waktu zuhur dan setelah mengadakan halaqah ilmu sehingga tengah malam. Semasa di penjara, beliau mempunyai 14 pengajian sama ada kepada semua kawan dalam sel atau perseorangan. 

Walaupun sibuk dengan tugas, beliau memberi keutamaan dalam aspek berikut : 

i. Meneruskan menulis kerana situasi politik yang tidak membenarkan beliau berinteraksi dengan orang ramai dan penulisan merupakan medium untuk berhubung dengan mereka. Beliau juga berpandangan bahawa kuliah dan pengajian dengan tidak menafikan kepentingannya dalam memberi kesan secara langsung, penulisan juga memberi kesan yang berpanjangan dan tersebar luas.

ii. Sentiasa memberi nasihat dan pesanan kepada keluarga secara berterusan sama dalam majlis ilmu atau bukan majlis ilmu.(Muhamad Said Hawwa, www.saedhawwa.com

iii. Pengajian kepada pelajar-pelajar terutama belajar syarah al-Hikam. 

iv. Kegiatan politik, dakwah dan kemasyarakatan dalam kerangka gerakan Ikhwan 

v. Banyak melakukan ibadat, berzikir dan qiyamullail. (Muhamad Said Hawwa, www.saedhawwa.com)

Kematian

Sejak 14 Mac 1987, beliau telah lumpuh sebelah badan disamping penyakit-penyakit yang lain seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung dan rabun mata. Keadaan ini tidak mengizinkan untuk bergiat aktif dalam kegiatan dakwah dan kemasyarakatn. Beliau hanya menghabiskan waktu di Hospital dan rumah. Pada 14 Disember 1988, keadaannya menjadi kritikal dan akhirnya pada 9 Mac 1989 bersamaan 3 Syaaban 1409, Said Hawwa meninggal dunia di Hospital Islam Amman, Jordan. Jenazah disembahyang di Masjid al-Fita’ dan dikebumikan di tanah perkuburan Sahab di selatan Amman. Zuhair Sharwis menyebutkan mengenai Said Hawwa : “Said Hawwa merupakan seorang pendakwah yang berjaya dan ramai orang mengenalinya melalui dakwah atau buku-buku. Beliau dapat menyampaikan mesejnya kepada sebilangan besar orang. Beliau meninggal dunia ketika usia 53 tahun iaitu umur yang pendek namun meninggalkan khazanah dan tulisan yang banyak yang tidak mampu diikuti oleh kebanyakan orang pada masa kini.” 

Syeikh Muhammad Badaruddin al-Hasani

Muhammad Badaruddin al-Hasani (1850-1935M): Pembina Madrasah Hadith dan Penghulu Ulamak Zaman Moden

Oleh: Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali     

           

Muhammad Badaruddin hidup pada pertengahan kurun ke-19 dan pada permulaan kurun ke-20. Masa tersebut merupakan masa yang sukar bagi dunia Arab Islam secara keseluruhan dan negeri Syam khususnya dari sudut politik. Kerajaan Uthmaniah yang memerintah sejak kurun 15M dan menguasai banyak negara di Asia, Afrika dan Syam telah diperintah sejak tahun 1516M/922H mulai lemah  pada kurun ke 18. Pada akhir kurun ke 19, kebanyakkan negara yang dikuasainya telah jatuh ke tangan penjajah dan tidak tinggal kecuali beberapa buah negara di Asia Kecil dan Syam. Yahudi mula bergerak untuk menguasai Palestin untuk dijadikan negara mereka. Pada masa ini, negeri Syam diperintah oleh gabenor yang dilantik oleh kerajaan Uthmaniah dan pentadbiran mereka amatlah tidak memuaskan dan mereka mendapat jawatan tersebut dengan rasuah dan mengenakan cukai tinggi ke atas rakyat. Pada masa zaman Muhamad Badaruddin terlalu ramai gabenor yang dilantik dan bersilih ganti. Antanya Khursid Basha pada tahun 1859, Ahmad Basha pada tahun yang sama, Fuad Basha 1861M, Medhat Basha pada tahun 1880M.   (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 10).

Apabila tamat perang dunia pertama, tentera bersekutu telah mengalahkan kerajaan Uthmaniah dan Syam serta Lebnon telah dijajah oleh Perancis. Sementara British menjajah Palestin, Iraq dan Jordan. Pada masa penjajahan, berlaku pemberontakan kepada penjajah Perancis  seperti Revolusi Syria pada tahun 1925. Zaman Muhammad Badaruddin merupakan zaman yang penuh dengan kesukaran dan pergolakan dari segi politik dengan kelemahan kerajaan Uthmaniah, pemberontakan Arab ke atas Kerajaan Uthmaniah, perang Dunia Pertama, Penjajahan Perancis ke atas Syam dan perjuangan rakyat Syam menuntut pembebasan dari penjajahan. Dari segi kemasyarakan, unsur-unsur luar telah masuk ke negeri Syam seperi sekolah Katolik, mubaligh Kristian dan pelbagai aliran pemikiran yang melatari rakyatnya. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 14) Dari segi politik, keadaan dunia Islam seperti berikut :

i.    Akhir zaman pemerintahan Uthmaniah, penyelewengan pemerintahan dan pentadbiran yang lemah serta berlaku pemberontakan dalam negeri dibawah penguasaannya.

ii.    Timbul kesedaran di negeri Syam dan negeri-negeri yang lain untuk membebaskan dari penguasaan orang-orang Turki.

iii.    Kejatuhan khalifah dan kebangkitan revolusi Arab yang diketuai oleh Syarif Husain di Mekah

iv.    Penguasaan penjajah Bersekutu di Negara-negara Arab dan membahagikan negara-negara Arab dan Syam dijajah oleh Perancis.(Salih al-Farfur, 1986:12)

Menurut Salih Farfur, seorang anak muridnya dan juga pengasas Maahad Fatah al-Islami bahawa Syeikh Badaruddin merupakan mujadid kurun ke 14H selepas mujadid kurun ke 13H al-Alamah Sayyid Muhammad Amin Abidin pengarang Hasiyah Rad al-Mukhtar al-al-Dar.  (Salih Farfur, 1986: 14)

 Nama sebenarnya ialah Muhamad Badaruddin bin Yusuf bin Badaruddin al-Hasani al-Magribi al-Marakasyi al-Sabti. Keturunan sampai kepada Hasan bin Ali r.a. Dilahirkan di Damsyiq iaitu berdekatan dengan Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah pada tahun 1850M/1267H. Beliau dibesarkan dalam didikan agama yang kuat dan ketika berusia 13 tahun bapanya telah meninggal dunia  dan dipelihara oleh bapa saudaranya Syeikh Saleh al-Kaziri dan ibunya. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 23)

Bapanya syeikh Yusuf bin Badaruddin al-Hasani al-Magribi seorang yang berpegang kepada tariqah qadariah dan bermazhab Maliki. Menurut al-Zirkuli dalam al-‘Ilam, nama sebenarnya ialah Yusuf bin Abdul Rahman manakala Badaruddin itu merupakan gelarannya dan bukan nama bapanya. (Salih al-Farfur, 1986:17, Mahmud Biruni, 2009:72) Beliau seorang yang alim dan pensyair. Beliau mengembara ke Mesir untuk menuntut ilmu dari Syeikh al-Islam Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Amir al-Saghir, Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan al-Attar dan Syeikh Muhammad al-Husaini. Beliau juga mendapat sanad dari ulamak-ulama Mekkah dan Madinah dan kemudian di Syam.  Beliau telah berguru lebih 100 orang guru dan mengambil sanad dari mereka semasa beliau merantau menuntut ilmu di Hijaz. Mesir, Iraq dan Syam. Antara rakan seperguruannya seperti Syeikh al-Asmuni dan Syeikh al-Baijuri. Beliau telah mendirikan Dar al-Hadith dan mengajar di situ pada tahun 1853M. Dar al-Hadis al-Asrafiyyah merupakan tempat mengajar para ulama-ulama besar dalam bidang hadis seperti Ibn Salah, al-Nawawi, al-Subki dan al-al-Mazzi tetapi seorang nasrani membelinya dan menjadi gudang Khamar. Perkara ini menyebabkan Syeikh Yusuf bersama Amir Abdul Qadir al-Jaza’iri membelinya dan mewakaf untuk pengajian Dar al-Hadis. Selepas kematiannya, Dar al-Hadis pernah terbakar semasa kebakaran Pasar al-Hamidiah. Beliau meninggal dunia pada tahun 1862M  di Damsyiq dan dikebumikan di perkuburan Bab al-Saghir. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 25. Salih al-Farfur, 1986:19)

Ibunya bernama Aisyah bin Ibrahim al-Kaziri yang terkenal seorang yang solehah. Syeikh Badaruddin mempunyai adik yang bernama Syeikh Ahmad Bahauddin dan syeikh dalam Tariqat Nasyabandiyyah. Meninggal dunia pada tahun 1912M.

Syeikh Badaruddin telah berkahwin dengan Sayyidah Rukiah bin Syeikh Mahyuddin al-A’ani  pada tahun 1878 dan dikurniakan  lapan orang anak. Dua orang lelaki iaitu Ibrahim Isamuddin dan Tajuddin yang pernah menjadi Presiden Syria pada tahun 1928M dan enam orang perempuan. Ibrahim Isamuddin pernah menjadi guru di sekolah Sultaniah a;-Arabiyyah dan meninggal dunia semasa ayahnya masih hidup di zaman perang Dunia Pertama. Beliau mempunyai seorang anak lelaki Muhamad Fakharuddin yang pernah memegang jawatan Pengarah Fatwa di Damsyiq.  (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 27, Salih al-farfur, 1986: 30. Bayruni, 2009:79)

Akhlak

Syeikh Badaruddin seorang yang bertubuh besar dan tegap. Beliau mempunyai akhlak yang mulia, lidahnya sentiasa bercakap benar dan berani menyatakan kebenaran. Beliau bercakap sedikit dan banyak berdiam. Beliau tidak  bercakap kecuali memberi nasihat, mengajar dan berzikir. Beliau menjaga lidahnya dari menjatuhkan maruah orang lain dan tidak pernah mengumpat kepada orang lain sepanjang hidupnya. Beliau juga tidak menyaringkan suaranya kecuali ketika mengajar. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang warak dan tawaduk. Beliau jarang mengeluarkan  fatwa apabila ada sesuatu masalah dan persoalan, beliau hanya menjawab agar penanya tersebut merujuk kepada buku disebutnya atau disebutkan halaman buku tersebut untuk dirujuk.

Antara kerendahan dirinya ialah beliau suka menziarahi orang miskin, anak-anak Yatim  dan orang yang dipenjara. Antara kewarakannya ialah beliau tidak menjadi imam sedangkan beliau seorang yang alim dan hafiz serta menjaga solat berjamaah. Beliau juga hanya mengajar di madrasah Dar al-Hadis atau di biliknya dan tidak suka majlis besar-besaran. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 33)

Syeikh Badaruddin juga tidak  suka kepada penonjolan diri malah ketika anak muridnya bertanya mengenai diri dan keturunannya, beliau tidak menjawab. Malahan sejarah hidupnya tidak ditulis kecuali sepuluh tahun terakhir sebelum kematiannya. Oleh sebab itu, penulisan sejarah hidupnya terutama semasa muda tidak diketahui secara mendalam dan hanya ditulis oleh anak murid setelah kematiannya. Penulisan itu juga hanya berkisar kepada pengajian, buku-buku yang digunakan, tempat mengajar dan keperibadian seperti yang disebut dalam buku al-Rankusi dan Salih Farfur.

Syeikh Badaruddin tidak pernah pergi  menziarahi para pemerintah malah mereka yang berjumpa dengannya. Beliau tidak pernah memasuki  parlimen dan juga istana selama hayatnya. Beliau juga seorang yang amat memuliakan tetamu  dan akan memberi sesuatu kepada tetamu terutama mereka yang datang dari jauh. Beliau amat suka menziarahi orang-orang soleh dan juga menziarahi orang bukan Islam antaranya menziarahi perkampungan orang-orang Kristian di Damsyiq pada masa pemberontakan terhadap Perancis. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 39-40)

Beliau telah diberi Allah kelebihan dengan karamah-karamah dan karamahnya yang paling besar adalah istiqamahnya berpegang kepada syariat dan menjaga majlisnya dari perkara yang melalaikan.
Syeikh Badaruddin mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil dari segi keilmuan dan kerohanian. Perkara ini merupakan penyediaan untuk menjadi ulamak yang besar. Di samping itu, beliau berperanan mengajar ilmu dan dalam satu hari mengajar 12 subjek.



Penyediaan sebagai seorang ilmuan dan ulamak terkemuka

Bapanya Syeikh Yusuf al-Hasani telah memeliharanya dengan didikan agama sepertimana firasat Syeikh Muhamad Zabiyan al-Kilani semasa tahnik Syeikh Badaruddin dengan menyebutkan bayi ini akan menjadi seorang yang agung kelak. Syeikh Badaruddin telah tamat menghafal al-Quran ketika berusia  tujuh tahun. Apabila bapanya meninggal dunia, beliau dipelihara oleh bapa saudara Syeikh Salih al-Kaziri dan tinggal di biliknya ayahnya di Dar al-Hadis. Di bilik ini, beliau menelaah buku-buku yang ditinggalkan oleh ayahnya dan menghafaz matan-matan dalam pelbagai ilmu. Pada peringkat ini, beliau berguru dengan ulama-ulama terkemuka Syam terutama Syeikh Abi Khair di Madrasah al-Qalbaqjiah, di Suq al-Harir (Pasar Sutera). Menurut Salih al-Farfur, Syeikh Badaruddin belajar dengan Syeikh Abi Khair sehingga berusia 18 tahun. Pada peringkat ini beliau banyak menghafal hadis-hadis bersama dengan sanad-sanad sekali (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 52, salih al-farfur, 1986: 33)

Kemudian beliau meninggalkan pengajian umum dan mirip untuk beruzlah pada usia 13 tahun. Beliau menumpukan untuk menuntut ilmu dan beribadat di biliknya di dar al-Hadis. Beliau tidak keluar kecuali untuk bersolat Jumaat di Masjid al-Umawi. Beliau mengasingkan diri berkhalwat selama tujuh tahun dan menumpukan dengan belajar, mengarang dan beribadat. Ada sebahagian mengatakan khalwatnya hampir sepuluh tahun sehingga tahun 1873 ketika ia keluar untuk melawat Homs. Ketika ini, beliau telah menghafal sahih al-Bukhari dan sahih Muslim bersama dengan sanad-sanadnya. Malah ada sebahagian mengatakan  beliau telah menghafal kitab hadis yang enam (Kutub al-Sittah). Beliau juga menghafal matan-matan dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang hadis. Beliau telah menghafal 20 ribu bait yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Islam. Beliau telah membuat syarah terhadap bait tersebut dan meninggalkan 40-50 buah  buku dan risalah kecil. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 55)

Beliau telah pergi ke Mesir pada usia 25 tahun dan bertemu dengan Syeikh al-Asmuni yang merupakan seperguruan ayahnya dan juga belajar dengan Ibrahim al-Saqa dan mendapat sanad ilmu hadis daripadanya. Oleh itu, beliau berguru dengan Syeikh Abu Khair, Syeikh Ibrahim al-Saqa dan bapanya Syeikh Yusuf. Beliau tidak menyibukkan diri dengan berguru tetapi gigih dalam menghafal dan belajar sendiri. (Yusri Dirkazanli, 1977:56)

Sementara dari segi ibadat, beliau mempunyai jadual yang telah ditetapkan. Beliau hanya tidur sedikit dan bangun untuk bertahajud sehingga waktu subuh dan kemudian pergi ke Masjid al-Umawi untuk solat berjamaah dan berada di saf pertama. Setelah itu, melakukan wirid sehingga terbit matahari dan kemudian melakukan solat Dhuha. Beliau tidak meninggalkan rutin ini walaupun semasa menunaikan ibadat haji. Setelah itu, baru beliau memulakan pembelajaran sehingga hampir Zuhur. Apabila Azan Zuhur, beliau akan solat berjamaah dan kemudian berwirid.  Beliau sentiasa melakukan solat sunat-sunat yang lain seperti solat Tasbih dan melakukan wirid selepas solat waktu. Beliau juga seorang yang sentiasa berpuasa sunat dan beriktikaf dalam bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terutama sepuluh terakhir.Beliau pergi menunaikan haji dua kali iaitu pada tahun 1901M dan pada 1914M.  (Yusri dirkazanli, 1977:58)

Syeikh Badaruddin mula mengajar ketika berusia 15 tahun dibiliknya  di Dar al-Hadis. Walaupun beliau berkhalwat, namun beliau juga mengajar dan belajar. Menurut seorang anak muridnya, sebelum beliau mengasingkan diri dan berkhalwat, beliau telah mengajar di Masjid al-Umawi ketika berusia 13 tahun tafsir al-Baidawi berdasarkan kepada hafalan tanpa menggunakan kitab.  Kemasyhurannya menyebabkan pelajar-pelajar syeikh lain telah bertumpu kepada halaqahnya. Perkara ini menyebabkan beliau tidak menyenangi lalu meningalkan halaqah tersebut dan berkhalwat di biliknya. Oleh itu, beliau mula mengajar sejak umur masih muda dan mengajar sebilangan kecil pelajar-pelajar  di biliknya di dar al-Hadis (Yusri Dirzakanli, 1977:59)

Setelah selesai beliau berkhalwat dan pergi ke Homs pada tahun 1873M, beliau telah menerima sambutan dari penduduk di situ dan mengajar mereka di sana sebelum pulang ke Damsyiq untuk mengajar dengan mempunyai jadual yang tersusun dalam mengajar sehingga akhir hayatnya. Beliau mengajar secara serius pada umurnya mencecah 30 tahun. Pengajian beliau terbahagi kepada tiga kategori iaitu :

i.    Pengajian khusus yang diadakan dibilik yang khusus di Dar al-Hadis. Pengajian khusus ini membaca kitab –kitab yang tertentu  yang terdiri  pelajar dari pelbagai latar belakang dan juga ulamak-ulamak. Pengajian ini dihadiri dari seorang sehingga sepuluh orang sahaja. Apabila tamat satu kumpulan masuk satu kumpulan yang lain pula bermula terbit matahari sehingga waktu Asar. Subjek yang diajar dalam kelas ini adalah pelbagai seperti Tafsir, hadis, mustalah hadis, subjek bahasa Arab, balaghah, nahu, saraf, usul fiqh dan tauhid.(Yausri Dirzakanli, 1977: 62) Antara kitab yang digunakan seperi tafsir al-Naisaburi, Tafsir al-Baidawi, dan tafsir al-Kasyaf. Dalam tauhid seperti syarah al-sanusiah al-Kubra. Syarah al-Aqa’id al-Nasafiah, dalam hadis seperti Sahih Muslim dan dalam bidang akhlak dan tasauf seperti Ihya Ulumiddin, risalah al-Qusairiah, syarah Hikam Ibn Ata’ illah. Dalam fiqh seperti al-Hidayah dan Fath al-Qadir, dalam balaghah seperti al-Talkhis karangan al-Taftazani dan dalam nahu seperti syarah al-Kafiah karangan Ibn Hajib.

ii.    Pengajian umum yang diadakan di masjid. Pengajian ini pada mulanya di Masjid Sadat dengan membaca kitab sahih al-Bukhari. Apabila orang semakin ramai dan masjid semakin sesak, mereka telah berpindah ke Masjid Sanan Basha. Pengajian ini pada malam Isnin dan Jummat setiap minggu selepas solat maghrib. Kemudian pengajian ini diadakan di Masjid al-Umawi pada tahun 1880M pada zaman Madhat Basha dan dihadiri oleh para ulama dan pembesar negara. Pengajian ini diadakan selepas solat Jumaat sehingga waktu Asar dengan membaca kitab Sahih al-Bukhari. Pernah pihak kerajaan Uthmaniah untuk memberi gaji bulanan kepadanya sebagai ganjaran beliau mengajar, namun beliau enggan menerimanya.

iii.    Pengajian umum yang diadakan di Dar al-Hadis selepas solat Maghrib sehingga Isya’. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 60-71, Salih al-farfur, 1986: 38)

Syeikh Badaruddin telah mengarang 40 buah buku yang merupakan syarah kepada kitab-kitab klasik utama. Antaranya syarah tafsir al-Jalalain, syarah Syamail al-Muhamadiyyah, syarah Manzumah al-Baiquniah dalam Mustalah hadis, syarah Nazam al-Sanusiah, Syarah Qatr al-Nada dan lain-lain lagi. Namun, kebanyakan buku-buku tersebut telah terbakar semasa berlaku kebakaran di Dar al-Hadis dan tinggal sedikit sahaja yang masih disimpan oleh warisnya.

i.    Hasiyah Ala al-Jalalain- Buku ini merupakan syarah kepada tafsir al-Jalalain dengan membuat tambahan kepada pandangan-pandangan ulama seperti al-Zamakhsyari, al-Asyari dan al-Tabari. Buku ini dalam bentuk tulisan tangan yang ditulis oleh anak muridnya dan mempunyai dua jilid.

ii.    Al-Durur al-Bahiyyah fi syarah al-Mandumah al-Baiquniah. –Buku ini merupakan syarah kepada qasidah yang dinamakan al-Baiquniah dalam bidang mustalah Hadis. Buku ini mula ditulis oleh muridnya Syeikh Abdul Salam al-Syati bertarikh 1868M dan tamat pada 1871M.

iii.    Syarah al-Qasidah al-Gharamiah fi al-Mustalah al-Hadithah. Buku ini merupakan syarah kepada qasidah yang dinamakan Gharami Sahih dalam bidang mustalah hadis karangan Syihabuddin al-Lahmi al-Asbili al-Syafi’i. Buku risalah ini mempunyai 11 halaman  dan dicetak pada 1869M oleh percetakan Bulaq, Mesir.

iv.    Al-Budur al-Jaliah fi Syarah Nizam al-Sanusiyyah. Kitab ini meripakan syarah kepada qasidah yang dinamakan al-sanusiyyah dalam bidang akidah. Dalam perbahasan sifat Allah, beliau mendatangkan pandangan muztazilah dan membahaskannya. Buku ini ditulis oleh anak muridnya pada tahun 1863M yang mempunyai 58 halaman.

v.    Al-Fara’id al-Bahiyah ala al-Fawa’id al-Syansuriyyah. Buku ini syarah kepada al-Fawa’id  karangan al-Syansuriyyah (m. 1590) dalam ilmu faraid.

vi.    Faida al-Wahab fi Mawafaqat Saidina Umar bin al-Khatab.Buku ini merupakan syarah kepada bait-bait yang disusun oleh Jalaluddin al-Sayuti. Buku ini mengandungi 27 halaman dan ditulis pada tahun 1864M.

vii.    Ghayah al-Maram ala syarah al-Qadr al-Nada. Buku ini  merupakan syarah kepada syarah Qadr al-Nada dalam bidang nahu. Beliau menghuraikan buku ini dengan membawa pandangan-pandangan ulamak nahu seperi Khalil Ahmad al-Farahidi, Syibawaih, al-Kasa’i, al-Fara, ’Ibn Malik dan Ibn Asfur. Buku ini adalah tulisan tangan anak muridnya. Namun sebahagian  besar buku ini hilang dan tidak 37 halaman sahaja.

viii.    Raf’u al-Astar syarah al-Izhar. Buku ini merupakan syarah kepada al-Izhar dalam bidang nahu. Buku ini ditulis oleh anak muridnya pada tahun 1865 dan mempunyai 175 halaman.

Buku-buku tulisan Syeikh Badaruddin merupakan tulisan syarahan kepada matan, qasidah dan bait-bait. Kategori penulisan jenis ini adalah masyhur pada zaman tersebut. Namun, beliau tidak menumpukan sepenuhnya kepada penulisan kerana ia lebih kepada mengajar dan mendidik anak-nak muridnya.

Anak muridnya:

Antara anak muridnya seperti berikut:

i.    Syeikh Tahir al-Atasi-Mufti Homs

ii.    Syeikh Amin Suwaid

iii.    Syeikh Taufiq al-Ayyubi

iv.    Syeikh Abdul Muhsin-Kadi Syam

v.    Syeikh Abdul Qadir al-Magribi- Ketua Majmak al-Ilm, Damsyiq

vi.    Muhamad Mubarak

vii.    Jamaluddin al-Qasimi

viii.    Abdul Qadir Badran-Penulis ringkasan Tarikh Ibn Asakir

ix.    Syeikh Mustafa Naja-Mufti Beirut

x.    Syeikh Bahjat Baitar

xi.    Syeikh Ali al-Daqr

xii.    Syeikh Muhammad al-Kasti Ketua Qadi Beirut

xiii.    Syeikh Hassan Habannakah

xiv.    Syeikh Salih al-Farfur-Pengasas Maahad al-Fatah al-Islami

Anak murudnya merupakan pelanjut tradisi keilmuan Syria kerana sebahagian besar mereka telah menubuhkan sekolah-sekolah dan kolej agama untuk masyarakat Islam di Syria dan dunia Islam. Syeikh Salih Farfur telah menubuhkan Maahad Fatah al-Islami sebuah institusi agama yang terkenal dan pelajarnya terdiri dari pelbagai Negara termasuk pelajar-pelajar dari Malaysia. Syeikh Hassan Habannakah juga menubuhkan sekolah yang telah melahirkan ramai ulamak yang masyhur seperti Said Ramadan al-Buti, Dr Wahbah al-Zuhayli, Mustafa al-Khin dan lain-lain.

Beberapa pandangan Syeikh Badaruddin

Syeikh Badaruddin mempunyai beberapa pandangan mengenai umat Islam pada masa itu antaranya:

i. Muhammad al-Mubarak menyebutkan bahawa Syeikh Badaruddin sentiasa menyeru  agar umat Islam menuntut ilmu  walaupun ia adalah datang dari barat kerana pada masa itu ada yang berpandangan apa yang datang dari barat adalah kufur dan menyesatkan. Beliau pernah melawat sekolah rasmi kerajaan dan menghadiri pengajian ilmu-ilmu sains dan falsafah.Apabila ditanya mengenai ilmu-ilmu tersebut, beliau mengalakkan umat Islam mempelajarinya dan bermusafir untuk mencari ilmu tersebut di barat merupakan satu kewajipan. (Yusri, 1977:100)

ii. Dalam bidang akhlak, beliau berpendapat al-Gibah atau mengumpat merupakan perkara yang paling buruk dan membahayakan masyarakat. Dalam pengajiannya, terdapat perbahasan mengenai bahaya mengumpat dan menurutnya ia boleh merosakkan ibadat seseorang malah membatalkan wuduk dan perlu mengambil semula apabila ia mengumpat. Pernah orang menayakan mengenai mengumpat untuk tujuan peringatan, Beliau menjawab bahawa ia merupakan keperluan dalam keadaan darurat seperti memakan bangkai dalam keadaan darurat. Tidak harus kecuali dalam keadaan darurat. Orang itu harus bercakap dalam lingkungan mencukupi dan tidak boleh melebihi percakapan mengumpat seperti memakan perkara yang haram sekadar untuk menyelamatkan nyawa daripada mati. Sesiapa yang melebihinya adalah haram.(Yusri Durkazanli, 1977: 103)

iii. Syeikh Badaruddin adalah seorang ulamak yang gigih dalam berjihad menentang penjajahan sama ada melalui pandangan dan aktiviti perjuangan. Beliau sentiasa meniupkan semangat jihad melalui pengajian-pengajiannya mengenai kewajipan berjihad sama ada kepada wanita dan kanak-kanak. Beliau mengungkapkan : “Jihad adalah fardu ain kepada setiap orang yang mampu membawa senjata.”

iv. Dalam bidang mustalah hadis, beliau berpendapat bahawa kutub al-Sittah (kitab hadis yang enam) bukan menghimpunkan hadis-hadis yang sahih kesemuanya  kecuali al-Bukhari dan Muslim.Tidak harus mengatakan Sahih al-Turmizi dan sahih al-Nasa’i dan ini tidak bermakna ia tidak mengandungi hadis-hadis sahih. Perkara ini kerana kitab-kitab tersebut mengandungi hadis sahih, hassan dan juga terdapat hadis daif. Begitu juga pandangannya mengenai sanad hadis kepda Rasulullah SAW. Seseorang yang mengatakan ini hadis Rasulullah hendaklah ia mengetahui kesahihan sanad.

Sebelum beliau meninggal dunia dua hari, para ulama, rakan-rakannya dan ahli keluarga telah berhimpun. Syeikh Badaruddin telah memberi pesanan mengenai kewujudannya di atas dunia ini bersama umat Islam. Namun kurang memberi hak-hak mereka malah hak Pecipta. Saya berdoa semoga kita mendapat keredahaan dan menjauhkan dari kejahatan dan meneeguhkan dalam agama dan urusan dunia.

Muhamad Badaruddin meninggal dunia pada pagi Jumaat 27 Rabi akhir 1354 bersama 28 haziran 1935. Beliau meninggal jam 9 setelah selesai solat dhuha. Jenazahnya disembahynag di Masjid Umawi pada jam 4 petang dan dikebumikan jam 7 petang di Bab al-Saghir.Damsyiq. Pada tahun 1936, dibina masjid kecil berdekatan kuburnya kemudian diruntuh dan dibina Majma’ atas namanya yang merangkumi masjid dan institusi pendidikan dan kuburnya berdekatan dengan majma’ tersebut. (Bayruni, 2009:84, Salih al-Farfur, 1986: 44)  

Semasa hidup, beliau pernah diziarahi oleh Mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i semasa beliau melawat Syria. Syeikh al-Muti;i telah pergi ke Masjid al-Umawi pada hari Jumaat dan berada dalam majlis pengajian Syeikh Badaruddin sehingga waktu Asar. Selesai solat Asar, mereka berdua bertemu di luar masjid. (Ini kerana Syeikh Badaruddin Tidak bercakap mengenai urusan dunia di Masjid). Syeikh al-Mati;i mengakui keluasaan ilmu dan kealiman Syeikh Badaruddin. Begitu juga Muhammad Abduh dan Syeikh Abdul Juwad al-Qayati al-Misri.(Salih al-Farfur, 1986: 86) 

Syeikh Salim al-Attar seorang ulama sezaman dengannya mengakui kelebihan Syeikh Badaruddin dari segi ingatan sanad-sanad hadis dan pengajiannya mendapat sambutan luar biasa dan ini merupakan kurniaan Ilahi. Syeikh Muhammad Kamal al-Qasab, ketua Ulama-ulama Damsyiq menyatakan bahawa tidak terdapat di dunia Islam seperti Mesir, India, Yaman, Syria, Iraq dan lain-lain seperti pengajian Syeikh Badaruddin.  Syeikh Badaruddin juga menziarahi penghuni penjara pada Hari Raya aidil fitri dan hari raya aidil adha dan berdoa agar mereka bersabar dan kembali ke pangkal jalan. Syeikh juga dizairahi oleh pembesar-pembesar negara seperti Jamal Basha, Ketua Turki di Syria. Semasa lawatan pembesar-pembesar ngegara tersebut, Syeikh Badaruddin duduk di kerusi dan tidak bangun.                                                                                                                                           


Jumaat, 21 Mac 2014

Imam at-Termizi

Nama dan tahun kelahiran

Nama Imam at-Termizi ialah Muhammad bin 'Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dhahak as-Sulami at-Termizi. Dalam bidang hadith, beliau terkenal dengan nama Imam al-Hafiz Abu Isa Muhammad bin ‘Isa at-Termizi. Perkataan at-Termizi boleh dibaca dengan tiga cara iaitu at-Termizi, at-Tarmizi dan at-Turmuzi. Beliau merupakan salah seorang ahli hadith yang masyhur dengan karangan beliau iaitu Sunan at-Termizi dan Syamail al-Muhammadiyyah. Beliau lahir pada 209H di kota Tirmiz (sebuah kawasan di Uzbekistan).

Menuntut ilmu dan mengembara

Semenjak kecil, Imam at-Termizi sudah gemar mempelajari ilmu dan mengumpul hadith. Untuk keperluan inilah beliau mengembara ke berbagai negara seperti Hijaz, Iraq, Khurasan dan lain-lain. Dalam pengembaraannya itu, beliau banyak mengunjungi ulama-ulama besar dan guru-guru hadith untuk mendengar hadits.

Guru-gurunya

Imam at-Termizi belajar dan meriwayatkan hadith daripada ulama-ulama yang ternama. Di antaranya:

1. Imam al-Bukhari

2. Imam Muslim

3. Imam Abu Dawud

4. Qutaibah bin Sa’id

5. Ishaq bin Musa

6. Mahmud bin Gailan

7. Sa’id bin 'Abdur Rahman

8. Muhammad bin Basyyar

9. 'Ali bin Hajar

Murid-muridnya

Hadith-hadith dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh banyak ulama. Diantaranya ialah:

1. Makhul ibn al-Fadl

2. Muhammad bin Mahmud 'Anbar

3. Hammad bin Syakir

Kekuatan hafalannya

Imam at-Termizi diakui oleh para ulama keahliannya dalam bidang hadith, kesolehan dan ketakwaannya. Beliau terkenal pula sebagai seorang yang dapat dipercaya, amanah dan sangat teliti. Salah satu bukti kekuatan dan cepat hafalannya ialah kisah berikut yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Tahzib at-Tahzib, dari Ahmad bin 'Abdullah bin Abu Dawud, yang berkata:

"Saya mendengar Abu 'Isa at-Tirmizi berkata: Pada suatu waktu dalam perjalanan menuju Makkah, dan ketika itu saya telah menuslis dua jilid berisi hadith-hadith yang berasal dari seorang guru. Kemudian saya menemui guru tersebut. Saya mengira bahwa "dua jilid kitab" itu ada padaku. Ternyata yang kubawa bukanlah dua jilid tersebut, melainkan dua jilid lain yang mirip dengannya. Ketika saya telah bertemu dengan dia, saya memohon kepadanya untuk mendengar hadith, dan beliau mengabulkan permohonan itu. Kemudian beliau membacakan hadith yang dihafalnya. Di sela-sela pembacaan itu beliau mencuri pandang dan melihat bahawa kertas yang kupegang masih putih bersih tanpa ada tulisan sesuatu apa pun.

Melihat keadaan ini, beliau berkata: "Tidakkah engkau malu kepadaku?" Lalu aku bercerita dan menjelaskan kepadanya bahwa apa yang beliau bacakan itu telah kuhafal semuanya. 'Cuba bacakan!' suruhnya. Lalu aku pun membacakan seluruhnya secara berturutan. Beliau bertanya lagi: "Apakah telah engkau hafalkan sebelum datang kepadaku?'' "Tidak," jawabku. Kemudian saya meminta lagi agar beliau meriwayatkan hadith yang lain. Beliau pun kemudian membacakan empat puluh buah hadith yang tergolong hadits-hadits yang sukar atau garib, lalu berkata: 'Cuba ulangi apa yang kubacakan tadi,' Lalu aku membacakannya dari pertama sampai selesai dan beliau berkata: "Aku belum pernah melihat orang seperti engkau."

Pandangan pengkritik hadith kepada Imam at-Termizi

Para ulama besar telah memuji dan menyanjungnya dan mengakui akan kemuliaan dan keilmuannya. Al-Hafiz Abu Hatim Muhammad ibn Hibban menggolongkan Imam at-Termizi ke dalam kelompok "thiqat" atau orang-orang yang dapat dipercayai dan kukuh hafalannya dan beliau berkata: "at-Termizi adalah salah seorang ulama yang mengumpulkan hadith, menyusun kitab, menghafal hadith dan bermuzakarah (berdiskusi) dengan para ulama."

Abu Ya'la al-Khalili dalam kitabnya 'Ulum al-Hadith menerangkan: "Muhammad bin 'Isa at-Termizi adalah seorang penghafal dan ahli hadith yang baik yang telah diakui oleh para ulama. Beliau memiliki kitab as-Sunan dan kitab al-Jarh wa at-Ta'dil. Hadith-hadithnya diriwayatkan oleh Abu Mahbub dan ramai ulama yang lain. Beliau terkenal sebagai seorang yang dapat dipercaya, seorang ulama dan imam yang menjadi ikutan dan yang berilmu luas. Kitabnya, Jami' al-Kabir adalah bukti atas keagungan darjatnya, keluasan hafalannya, banyak pembacaannya dan pengetahuannya tentang hadith yang sangat mendalam.

Fiqh Imam at-Termizi dan ijtihadnya

Imam at-Termizi, di samping dikenal sebagai ahli dan penghafal hadith yang mengetahui darjat hadith dan perawi-perawinya, beliau juga dikenali sebagai ahli fiqh yang mewakili wawasan dan pandangan luas. Barang siapa mempelajari kitab Jami'nya akan mendapati ketinggian ilmu dan kedalaman penguasaannya terhadap berbagai mazhab fiqh. Kajian-kajiannya mengenai persoalan fiqh mencerminkan dirinya sebagai ulama yang sangat berpengalaman dan mengerti betul permasalahan fiqh.

Karya-karyanya

Imam Tirmizi banyak menulis kitab-kitab. Di antaranya:

1. Kitab al-Jami' al-Kabir, terkenal dengan sebutan Sunan at-Termizi.




2. Kitab al-'Ilal.




3. Kitab at-Tarikh.

4. Kitab Asy-Syamail al-Muhamdiyyah.




5. Kitab az-Zuhd.

6. Kitab al-Asma' wa al-Kuna.

Kematian

Setelah menjalani perjalanan panjang untuk belajar, mencatat, berdiskusi dan bertukar fikiran dengan para ulama serta mengarang, beliau pada akhir kehidupannya terkena penyakit buta, dan beberapa tahun lamanya beliau hidup dalam keadaan buta dan akhirnya dalam keadaan seperti inilah akhirnya Imam at-Termizi meninggal dunia. Beliau wafat di Tirmiz pada malam Isnin 13 Rajab tahun 279 H dalam usia 70 tahun.

Sekilas tentang al-Jami' al-Kabir

Kitab ini adalah salah satu kitab karya Imam at-Termizi yang terbesar dan paling banyak manfaatnya. Ia tergolong dalam salah satu "Kutubus Sittah" (enam kitab utama dalam Bidang Hadits) dan ensiklopedia hadith terkenal. Al-Jami' al-Kabir ini terkenal dengan nama Jami' at-Termizi, dinisbahkan kepada penulisnya, yang juga terkenal dengan nama Sunan at-Termizi. Namun nama pertamalah yang popular.

Sebagian ulama tidak berkeberatan menyandangkan gelar as-Sahih kepadanya, sehingga mereka menamakannya dengan Sahih Tirmizi. Sebenarnya pemberian nama ini kurang tepat kerana bukan semua hadith yang terdapat dalam Sunan at-Termizi sahih semuanya. Masih terdapat hadith-hadith daif dalam kitab ini.

Setelah selesai menyusun kitab ini, Imam at-Termizi memperlihatkan kitabnya kepada para ulama dan mereka senang dan menerimanya dengan baik. Beliau menerangkan: "Setelah selesai menyusun kitab ini, aku perlihatkan kitab tersebut kepada ulama-ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan, dan mereka semuanya meredhainya. Mereka berkata sesiapa yang memiliki kitab ini di rumahnya seolah-olah di rumah tersebut ada Nabi yang sedang berbicara."

Imam at-Termizi di dalam al-Jami' al-Kabir menerangkan bahawa beliau tidak hanya meriwayatkan hadith sahih semata-mata, tetapi beliau juga meriwayatkan hadith-hadith hasan, daif, garib dan mu'allal dengan menerangkan kelemahannya.

Dalam pada itu, beliau tidak meriwayatkan dalam kitabnya itu, kecuali hadith-hadith yang diamalkan atau dijadikan pegangan oleh ahli fiqh. Metode demikian ini merupakan cara atau syarat yang longgar. Oleh kerana itu, beliau meriwayatkan semua hadith yang memiliki nilai demikian, baik jalan periwayatannya itu sahih ataupun tidak sahih. Beliau juga selalu memberikan penjelasan yang sesuai dengan keadaan setiap hadith.

Diriwayatkan, bahawa beliau pernah berkata: "Semua hadits yang terdapat dalam kitab ini adalah dapat diamalkan." Oleh karena itu, sebagian besar ahli ilmu menggunakannya (sebagai pegangan), kecuali dua buah hadits, yaitu: Pertama, yang artinya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW menjamak shalat Zuhur dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya, tanpa adanya sebab "takut" dan "dalam perjalanan."

Hadith yang kedua ialah "Jika peminum arak minum lagi arak pada kali yang keempat, maka bunuhlah dia." Hadits ini telah dimansuhkan dan ijma ulama menunjukan demikian perkara tersebut. Sedangkan mengenai solat jamak dalam hadith di atas, para ulama berbeza pendapat, ada yang berpegang dengan hadith tersebut dan ada yang meninggalkannya. Sebagian besar ulama berpendapat boleh (jawaz) hukumnya melakukan salat jamak di rumah selama tidak dijadikan kebiasaan. Pendapat ini adalah pendapat Ibn Sirin, Ibn Munzir dan Asyab serta sebagian besar ahli fiqh dan ahli hadith. Manakala menurut pendapat Imam asy-Syafi'e tidak boleh melakukan solat jamak kecuali ketika musafir.

Hadith-hadith daif dan munkar yang terdapat dalam kitab ini, pada umumnya hanya berkaitan dengan fadail 'amal (anjuran melakukan perbuatan-perbuatan kebajikan). Syarat-syarat meriwayatkan dan mengamalkan hadith seperti ini lebih longgar dibandingkan dengan persyaratan bagi hadith-hadith tentang halal dan haram.