Selasa, 9 September 2014

Syeikh Mu’awwad ‘Awad Ibrahim


Syeikh al-Mu’ammar Mu’awad Ibrahim al-Azhari al-Hanafi dilahirkan di Dakahlia, Mesir pada 20 Ogos 1912M. Beliau digelar al-Mu’ammar kerana umurnya yang panjang.

Syeikh Mu’awwad mula menuntut di al-Azhar pada tahun 1926 setelah menyelesaikan hafazan al-Qurannya.

Beliau menyelesaikan pengajian peringkat rendah pada tahun 1930 dan peringkat menengah di Ma’had Tanta pada tahun 1935.

Beliau kemudiannya memasuki Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar dan tamat pengajian pada tahun 1939. Kemudian beliau menyambung pengajian tinggi dalam bidang dakwah dan tamat pada tahun 1941.


Beliau dihantar oleh al-Azhar untuk menjadi khatib dan tenaga pengajar di Beirut, Lubnan di antara tahun 1956 sehingga 1962. Beliau menziarahi Yaman dan tinggal di sana selama beberapa tahun dan kemudian kembali ke Mesir dan mengasaskan Ma’had pengajian Islam di Port Sa’id, Mesir pada tahun 1964.

Beliau juga pernah ditugaskan untuk menjadi khatib dan tenaga pengajar di Aqaba, Jordan pada tahun 1965 sehingga 1969. Beliau pernah menjadi pensyarah pengajian tinggi pengajian hadis di Kuliah Usuluddin sehingga tahun 1973, menjadi tenaga pengajar di Kuliah Syari’ah di Riyadh dan tenaga pengajar di Kuliah Usuluddin dan Hadis di Universiti Islam Madinah dari tahun 1979 sehingga tahun 1987.


Selain itu beliau juga pernah menjadi ketua di bahagian dakwah di Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam di Kuwait. Beliau juga pernah melawat beberapa kolej pengajian Islam di beberapa tempat seperti di Karachi, Peshawar dan Islamabad di Pakistan.

Beliau pernah menulis di beberapa majalah seperti Minbar Islam, Majalah Islam, Majalah Liwa’ al-Islam dan menghasilkan beberapa karya seperti Min Adab an-Nubuwah, as-Saum min Dau’ al-Quran al-Karim, Min Rahiq al-Iman dan lain-lain.

Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Muhammad Abu Zahrah yang menganggap beliau sebagai anaknya, Syeikh Muhammad Abdul Azim al-Zarqani pengarang kitab Manahil al-‘Irfan Fi 'Ulum al-Quran, Syeikh Muhammad Salamah, Syeikh Ali al-Zankaluni, Syeikh Muhammad Yusuf Musa dan lain-lain.

Beliau meninggal dunia pada 20 Jun 2018 ketika berusia 106 tahun. Semoga Allah merahmati beliau.

Video para ulama al-Azhar menyantuni Syeikh Mu'awwad Ibrahim






Rabu, 3 September 2014

Imam Ibnu Hajar al-Haitami

Dalam dunia Islam terdapat dua orang Ibnu Hajar yang terkenal iaitu Ibnu Hajar al-Asqalani (m. 852H) dan Ibnu Hajar al-Haitami (m. 973H). Imam Ibnu Hajar al-Asqalani lebih terkenal dalam bidang hadis dengan karyanya yang agung iaitu Fath al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari. Manakala Imam Ibnu Hajar al-Haitami pula terkenal dalam bidang fiqh mazhab asy-Syafi’e dengan karyanya Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj yang merupakan kitab fiqh yang mu’tamad dalam mazhab asy-Syafi’e.

Mungkin ada di antara kita yang terkeliru antara gelaran al-Haitami (الهيتمي) dengan al-Haithami (الهيثمي), yang manakah gelaran yang betul bagi Imam Ibnu Hajar? Yang betulnya ialah al-Haitami (الهيتمي). Gelaran al-Haithami (الهيثمي) adalah gelaran untuk Imam Ali bin Abi Bakar bin Sulaiman al-Haithami al-Misri (m. 807H), pengarang kitab Majma’ al-Zawaid Wa Manba’ al-Fawaid.

Kitab Majma' al-Zawaid

Biografi Ibnu Hajar al-Haitami

Nama dan Nasab

Nama beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Salmunti al-al-Haitami al-Azhari al-Wa’ili al-Sa’di al-Makki al-Ansari al-Syafi’e.

Beliau dinamakan sebagai Ibnu Hajar kerana datuk beliau sentiasa berdiam diri dan tidak bercakap melainkan kerana sesuatu keperluan yang penting sahaja. Beliau lebih suka menumpukan perhatian terhadap dirinya sahaja dan tidak sibuk dengan urusan orang lain. Disebabkan itu orang ramai menyamakan beliau dengan batu (hajar).

Al-Salmunti merupakan nisbah kepada Salmunt, nama sebuah tempat di al-Syarqiyyah, Mesir. Keluarga Ibnu Hajar pernah tinggal di sana sebelum berpindah ke Mahallah Abu al-Haitam.

Al-Haitami pula merupakan nisbah kepada Mahallah Abu al-Haitam, sebuah kampung yang terletak di al-Gharbiyyah, Mesir.

Gelaran (laqab) beliau ialah Syihabuddin dan kunyah beliau ialah Abu al-‘Abbas.

Kelahiran dan Pembesaran

Beliau dilahirkan di Mahallah Abu al-Haitam pada penghujung bulan Rajab tahun 909 Hijrah. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Lalu beliau dijaga oleh datuk sebelah bapanya yang ketika itu berusia lebih 120 tahun. Ibnu Hajar menyaksikan sendiri datuknya yang berusia lanjut ini masih boleh berfikir dengan baik dan tidak nyanyuk. Ini adalah berkat ibadat luar biasa yang dilakukan oleh datuknya meskipun sudah lanjut usia. Di bawah bimbingan datuknya, beliau mula menghafal al-Quran dan kitab Minhaj al-Talibin karya Imam al-Nawawi.

Selepas itu datuknya pula meninggal dunia lalu beliau dijaga oleh dua orang guru kepada ayahnya iaitu Imam al-Syams al-Syinnawi dan Imam al-Syams Muhammad al-Sarawi ibnu Abi al-Hama’il. Setelah beberapa ketika Imam al-Syams al-Syinnawi pula mengambil tanggungjawab menjaga beliau dan membawa beliau ke Masjid Ahmad al-Badawi di Tanta. Di sana beliau mula mempelajari ilmu dan meneruskan hafalan al-Quran.

Masjid Ahmad al-Badawi

Menuntut Ilmu

Pada tahun 924 Hijrah, Imam al-Syams al-Syinnawi membawa beliau ke al-Jami’ al-Azhar untuk mempelajari ilmu hadis, nahu, ma’ani, bayan, usul fiqh, usuluddin, mantik, faraid, matematik dan perubatan.

Ibnu Hajar bersungguh-sungguh mempelajari keseluruhan ilmu tersebut sehinggalah beliau diberikan keizinan oleh guru-gurunya untuk mengajar, menulis dan mengeluarkan fatwa dalam mazhab al-Syafi’e  ketika usia beliau belum mencapai 20 tahun sebagaimana yang diceritakan sendiri oleh beliau dalam kitab Thabatnya.

Thabat Ibnu Hajar al-Haitami

Guru-Guru

Ibnu Hajar menuntut ilmu dengan ramai ulama-ulama besar di zamanya. Dalam sebahagian rujukan menyebutkan bahawa guru-guru beliau mencapai 40 orang guru. Beliau juga sempat bertemu dengan ramai ulama yang berusia panjang. Beliau mengarang sebuah kitab Thabat untuk menyenaraikan senarai panjang guru-guru beliau berserta biografi mereka. Di dalamnya juga beliau menyebutkan sanad-sanad milik beliau yang bersambung ke kitab-kitab ilmu yang utama. Disebutkan di sini senarai guru-guru beliau yang masyhur yang disusun berdasarkan tarikh wafat mereka:

1 – Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari (826H-926H).

Ibnu Hajar mengambil daripada beliau hadis musalsal awaliah. Ibnu Hajar sangat banyak memuji dan memuliakan beliau. Ibnu Hajar menceritakan bahawa setiap kali bertemu dengan beliau pasti beliau akan mendoakan Ibnu Hajar diberikan kefahaman dalam ilmu agama.

2 – Imam Zainuddin Abdul Haqq bin Muhammad al-Sunbati (842H-931H).

Ibnu Hajar sempat belajar sebahagian besar Kutub al-Sittah dengan beliau dan bakinya beliau ijazahkan.

3 – Al-Syams ibnu Abi al-Hama’il (m. 932H).

4 – Al-Syihab al-Sa’igh, Ahmad bin al-Sa’igh al-Hanafi (m. 934H).

Ibnu Hajar belajar dengan beliau ilmu perubatan.

5 – Al-Syams al-Dalji, Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Dalji al-‘Uthmani al-Syafi’e (860H-947H).

Ibnu Hajar belajar ilmu ma’ani dan bayan serta ilmu usul fiqh, usuluddin dan mantik dengan beliau.

6 – Al-Syams al-Dhairuti, Muhammad bin Sya’ban bin Abu Bakar bin Khalaf al-Dimyati, terkenal dengan nama Ibnu al-‘Arus al-Misri (870H-949H).

Beliau mengajar di makam Imam al-Syafi’e dan beliau juga ada mengarang syarah ke atas kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam al-Nawawi.

Ibnu Hajar belajar ilmu nahu dengan beliau.

7 – Ahmad bin Abdul Haqq al-Sinbati al-Syafi’e al-Misri (m. 950H).

Ibnu Hajar belajar ilmu usul fiqh dan usuluddin dengan beliau.

8 – Abu al-Hasan al-Bakri, Muhammad bin Muhammad bin Abdul Rahman al-Bakri al-Siddiqi al-Syafi’e (m. 952H).

Ibnu Hajar belajar dengannya beberapa buah ilmu. Beliau bersama Ibnu Hajar pernah bersama-sama membaca Sahih Muslim kepada Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari. Mereka berdua juga pernah melakukan haji bersama-sama dan tinggal di Mekah pada tahun 934H. Beliau mempunyai syarah ke atas Minhaj al-Talibin dan kitab al-‘Ubab.

9 – Al-Syams al-Hattabi, Muhammad bin Muhammad bin Abdul Rahman al-Hattab al-Ru’aini al-Andalusi (m. 954H).

Ibnu Hajar belajar ilmu nahu dan saraf dengan beliau.

10 – Al-Syihab al-Ramli, Ahmad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Misri al-Syafi’e (m. 957H)

Beliau telah mengizinkan Ibnu Hajar untuk mengajar dan mengeluarkan fatwa ketika Ibnu Hajar belum sampai usia 20 tahun.

11 – Al-Nasir al-Laqqani, Muhammad bin al-Hasan al-Laqqani al-Maliki (m. 958H).

Ibnu Hajar belajar dengannya beberapa buah ilmu seperti mantik, usul fiqh, usuluddin, ma’ani dan bayan.

Berhijrah Ke Mekah

Ibnu Hajar kerap kaji berulang-alik ke Mekah untuk menunaikan haji dan umrah dan beliau juga pernah tinggal di sana selama beberapa tahun.

Ziarah beliau yang pertama ialah pada tahun 934 Hijrah bersama gurunya, al-Bakri. Kali kedua pada tahun 938 Hijrah.

Kemudian pada tahun 940 Hijrah beliau ke Mekah untuk kali ketiga dan membuat keputusan untuk menetap di sana. Beliau tinggal di sana selama 34 tahun sehinggalah beliau meninggal dunia di sana.

Disebutkan dalam sebahagian biografi beliau bahawa sebab perpindahan beliau ke Mekah disebabkan kewujudan beberapa orang di Kaherah yang berhasad dengki dengan beliau. Ketika berada di Kaherah, beliau sibuk meringkaskan dan mensyarahkan kitab Raudh al-Talib karangan Ibnu al-Muqri’. Sebahagian ulama meminta untuk meminjam kitab tersebut bagi menyalinnya. Orang yang dengki dengan beliau mengambil kesempatan untuk memusnahkan kitab tersebut. Perkara tersebut menyebabkan beliau merasa sangat sedih sehingga jatuh sakit untuk beberapa ketika. Perkara tersebut juga membuatkan beliau membulatkan tekad untuk meninggalkan Kaherah dan menetap di Mekah.

Selama menetap di Mekah juga beliau kerap kali berziarah ke Madinah al-Munawwarah. Dalam salah satu ziarah beliau ke sana beliau menulis kitab al-Jauhar al-Munazzam Fi Ziyarah al-Qabr al-Mukarram.

Dalam biografi beliau juga tidak dicatatkan bahawa beliau ada melakukan pengembaraan selain ke Mekah dan Madinah.

Rakan-Rakan

Ibnu Hajar mempunyai ramai rakan, antaranya:

1 – Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (919H-1004H). Beliau bersama-sama Ibnu Hajar pernah belajar dengan bapanya, al-Syihab al-Ramli. Mereka berdua juga pernah bersama-sama belajar Sahih al-Bukhari dengan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari.

2 – Badruddin al-Ghazi al-Syafi’e (m. 984 H). Ibnu Hajar bertemu dengannya di Mesir. Mereka berdua juga pernah bersama-sama belajar Sahih al-Bukhari dengan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari. Kemudian mereka bertemu semula di Mekah pada tahun 952 Hijra.

3 – Abdul Aziz bin Ali al-Zamzami al-Syafi’e al-Makki (m. 976 H). Beliau merupakan rakan Ibnu Hajar setelah Ibnu Hajar berpindah ke Mekah. Mereka pernah berjalan bersama untuk bertemu dengan para ulama.

Murid-Murid

Selepas Ibnu Hajar menetap di Mekah, tersebarlah berita kemasyhuran beliau sehingga menarik minta murid-murid untuk belajar dengan beliau. Ramai ulama besar kurun ke-10 Hijrah yang belajar dengan beliau, antaranya:

1 – Abdul Rahman bin Umar bin Ahmad al-‘Amudi (m. 967 H). Berasal dari Qaidun, Hadramaut.

2 – Abdul Qadir bin Ahmad bin Ali al-Fakihi al-Makki al-Syafi’e (920H-982H). Beliau mempunyai menulisan yang banyak. Beliau melazimi Ibnu Hajar dalam masa yang lama dan menulis risalah bertajuk Fadhail Ibnu Hajar al-Haitami.

3 – Abdul Rauf bin Yahya bin Abdul Rauf al-Zamzami al-Wa’iz (930H-984H). Antara murid senior Ibnu Hajar. Beliaulah yang menghimpunkan fatwa guru beliau dan mensyarahkan kitab Mukhtasar al-Idhah karangan gurunya.

4 – Muhammad Tahir al-Fattani al-Hindi al-Hanafi (913H-986H).

5 – Syeikh bin Abdullah bin Syeikh al-‘Aidrus, pengarang kitab al-‘Aqd al-Nabawi (919H-990H). Beliau belajar dengan bapanya dan ulama Tarim. Beliau tinggal di Mekah selama tiga tahun (941H-944H).

6 – Syihabuddin Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi al-Misri al-Syafi’e (m. 994H). Beliau mempunyai hawasyi atas kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibnu Hajar.

7 – Abdul Rahman bin Syihabuddin al-Akbar al-‘Alawi al-Husaini al-Tarimi (945H-1014H). Beliau tinggal di Mekah selama beberapa ketika dan belajar dengan Ibnu Hajar.

Karya Penulisan

Ibnu Hajar termasuk di kalangan ulama yang banyak menulis sehingga ada sebahagian pengkaji yang cuba menghimpunkan senarai judul karya penulisan Ibnu Hajar al-Haitami dan berjaya menghimpunkan sebanyak 117 buah judul kitab dalam pelbagai lapangan ilmu seperti fiqh, hadis, sirah, biografi, nahu, sastera, akhlak, akidah dan lain-lain. Berikut adalah senarai sebahagian hasil karya beliau:

1 - Syarah Alfiyyah Ibnu Malik

Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan tentangnya dalam kitab al-Fath al-Mubin Bi Syarah al-Arba’in. Beliau menyelesaikan penulisan syarah ini pada tahun 930 Hijrah ketika berusia 21 tahun.

2 - Al-Fath al-Mubin Bi Syarah al-Arba’in

Merupakan syarah kepada al-Arba’in al-Nawawiyyah. Kitab ini sudah diterbitkan.

3 - Al-Fatawa al-Hadithiyyah

Kitab ini sudah diterbitkan beberapa kali. Kitab ini mengandungi banyak faedah dan tidak khusus berkaitan ilmu hadis sahaja bahkan berkaitan dengan ilmu-ilmu yang lain juga.

4 - Fath al-Ilah Bi Syarah al-Misykah

Beliau menulisnya pada tahun 954 Hijrah selepas mendapat pemintaan daripada ulama India. Merupakan syarah kepada Misykat al-Masabih karya al-Tibrizi. Kitab ini sudah diterbitkan.

5 - Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra

Dikumpulkan oleh murid senior beliau, Abdul Rauf al-Wa’iz al-Zamzami. Diterbitkan di Mesir dalam 4 jilid bersama Fatwa al-Syihab al-Ramli.

6 - Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarah al-Minhaj

Merupakan syarah kepada Minhaj al-Talibin karya Imam al-Nawawi. Ibnu Hajar al-Haitami mengarangnya dalam masa enam bulan sahaja. Kitab ini merupakan sebuah kitab yang sangat penting dalam fiqh mazhab al-Syafi’i dan menjadi pegangan utama untuk berfatwa khususnya di Hadramaut dan beberapa buah negara yang lain. Kitab ini telah diberi khidmat oleh ulama sama ada meletakkan hashiyyah baginya atau meringkaskannya.

7 - Al-Manhaj al-Qawim Bi Syarah Masail al-Ta’lim

Syarah kepada al-Muqaddimah al-Hadramiyyah. Ibnu Hajar al-Haitami mengarangnya pada tahun 944 Hijrah selepas mendapat pemintaan daripada Abdul Rahman al-‘Amudi. Kitab ini telah dimanfaatkan oleh ramai penuntut ilmu sehinggakan ada sebahagian murid Ibnu Hajar yang mengatakan: “Sangat sedikitlah kamu dapat lihat pelajar yang tidak mempunyai naskah kitab ini.”

8 - Al-Minah al-Makkiyyah Fi Syarah al-Hamziyyah.

Syarah kepada al-Hamziyyah karya al-Imam al-Busiri.

9 - Al-Durr al-Mandud Fi al-Solah Wa al-Salam ‘Ala Sahih al-Maqam al-Mahmud

Menghimpunkan hukum hakam berkaitan selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

10 - Al-I’ab Syarah al-‘Ubab

Kitab ini di antara kitab beliau yang paling besar. Kitab ini mensyarahkan kitab al-‘Ubab karya Imam al-Muzajjad al-Yamani. Ibnu Hajar tidak sempat menyelesaikan kitab ini dan beliau hanya sempat menulis sehingga bab al-Iqrar sahaja.

11 - Al-Imdad Bi Syarah al-Irsyad

Merupakan syarah besar kepada kitab al-Irsyad karangan Ibnu al-Muqri’.

12 - Fath al-Jawad Syarah al-Irsyad

Merupakan syarah kecil kepada kitab al-Irsyad karangan Ibnu al-Muqri’. Ringkasan kepada kitab al-Imdad.

13 - Ithaf Ahl al-Islam Bi Khususiyat al-Siyam

Kitab ini menghimpunkan hadis dan athar yang berkaitan dengan puasa berserta penjelasan hukum hakam yang disepakati dan diperselisihkan berkaitan puasa.

14 - Asyraf al-Wasail Ila Fahm al-Syamail

Syarah kepada al-Syamail karangan al-Tirmizi.

15 - Al-I’lam Bi Qawati’ al-Islam

Ibu Hajar menyebutkan dalam kitab ini beberapa lafaz yang boleh menyebabkan penuturnya menjadi kufur. Beliau menukilkan pendapat beberapa ulama mazhab fiqh tentang lafaz tersebut, bermula dengan lafaz yang dianggap kufur oleh ulama mazhab al-Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

16 - Tathir al-Jinan Wa al-Lisan ‘An al-Tafawwuh Bi Thalb Mu’awiyah bin Abi Sufyan

Menerusi kitab ini, Ibnu Hajar menjelaskan berkenaan kelebihan Mu’awiyah dan kritikan terhadap golongan Rafidhah yang mencela beliau selain menetapkan kebenaran berada pada pihak Ali bin Abi Talib.

17 - Al-Jauhar al-Munazzam Fi Ziyarah al-Qabr al-Syarif al-Nabawi al-Mukarram

Ibnu Hajar menjelaskan berkenaan pensyariatan menziarahi kubur Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, galakan untuk melakukan perjalanan bagi menziarahinya berserta adab-adabnya.


18 - Al-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair

Ibnu Hajar menyebutkan dalam kitab ini tentang takrif dosa besar, jenis-jenisnya dan hukum-hukumnya. Kemudian beliau menyenaraikan sekumpulan dosa-dosa besar dan menyebutkan dalil pengharamannya bagi setiap dosa tersebut dan pendapat ulama tentangnya. Terdapat 467 jenis dosa besar dalam kitab ini.

19 - Al-Sawa’iq al-Muhraqah Fi al-Radd ‘Ala Ahl al-Bida’ Wa al-Zandaqah

Ibnu Hajar membincangkan berkenaan kepimpinan (imamah) dan sahabat, perkara yang berkaitan dengan Khulafa’ al-Rasyidin, Ahli Bait dan penolakan terhadap pandangan-pandangan menyimpang tentang perkara-perkara tersebut.

20 - Al-Khairat al-Hisan Fi Manaqib al-Imam al-A’zam Abi Hanifah al-Nu’man

Kitab berkenaan biografi Imam Abu Hanifah dan pembelaan terhadap beliau daripada perkara-perkara yang tidak benar dinisbahkan kepada beliau.

21 - Itmam al-Ni’mah al-Kubra ‘Ala al-‘Alam Bi Maulid Sayyid Walad Adam

Dalam kitab ini Ibnu Hajar menyebutkan tentang asal usul sambutan Maulid Nabi, hukumnya, pengingkaran terhadap perbuatan salah sesetengah orang dalam sambutan Maulid Nabi dan ringkasan sirah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

22 - Tuhfah al-Zuwwar Illa Qabr al-Nabi al-Mukhtar

Ibnu Hajar menyebutkan di dalamnya tentang pensyariatan menziarahi kubur Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, galakan untuk melakukan perjalanan bagi menziarahinya, tawassul penziarah dan meminta syafaat daripada baginda, adab-adab tinggal di Madinah dan masjid-masjid dan kesan-kesan peninggalan baginda yang seharusnya diziarahi.

23 - Al-Qaul al-Mukhtasar Fi ‘Alamat al-Mahdi al-Muntazar

Kitab ini membincangkan tentang Imam Mahdi dan merupakan ringkasan kepada dua buah kitab; al-‘Arf al-Wardi Fi Akhbar al-Mahdi karangan al-Suyuti dan al-Qana’ah Fi Fa Yuhsin al-Ihatah Bihi Min Asyrat al-Sa’ah karangan al-Sakhawi.

Kematian

Setelah beliau berusia lanjut, beliau mula ditimpa sakit yang menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan pengajaran ilmu selama lebih 20 hari. Pada 21 Rajab tahun 974 Hijrah beliau mula menulis wasiat terakhir beliau dan pada waktu Duha hari Isnin 23 Rajab tahun yang sama beliau pulang ke rahmatullah.

Jenazah beliau disolatkan di bawah pintu Kaabah dan disemadikan di perkuburan al-Ma’lah, di kawasan yang dikenali sebagai perkuburan al-Tabariyyin dan tidak jauh dari kawasan sahabat mulia, Abdullah bin al-Zubair disalib.

Semoga Allah mengampuni dan merahmati beliau atas jasa dan khidmat beliau kepada Islam.

Perkuburan al-Ma'lah

*Tulisan ini saya telah kemaskini semula pada 10/3/2023 dengan beberapa penambahan maklumat. Semoga bermanfaat.