Tuesday, December 29, 2015

Hadis: Aku tidak pernah melihat kebaikan daripada kamu



Hadis pertama

إِذا قاَلَتِ المَرْأةُ لِزَوْجِها مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْراً قَطُّ فقد حَبِطَ عَمَلُها

“Jika seorang wanita itu berkata kepada suaminya: Aku tidak pernah melihat kebaikan daripada kamu, maka telah sia-sia amalannya.”

Riwayat Ibnu Abi al-Dunya daripada al-Hasan al-Basri secara mursal, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil dan Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq melalui jalur perawi Yusuf bin Ibrahim al-Tamimi daripada A’isyah.

 Yusuf bin Ibrahim al-Tamimi dinilai oleh ulama, antaranya sebagaimana berikut:

1. Abu Hatim: ضعيف الحديث، منكر الحديث، عنده عجائب

2. Al-Bukhari: صاحب عجائب

3. Ibnu Hibban: لا تحل الرواية عنه

Walau bagaimanapun, Yusuf bin Ibrahim al-Tamimi hanya dinilai sebagai da’if oleh Ibnu Hajar (تقريب التهذيب) dan al-Zahabi (الكاشف).

Al-Sayuthi dalam al-Jami al-Saghir mengisyaratkan hadis ini sebagai daif.

Al-Munawi dalam al-Taisir juga menilainya sebagai daif.

Wallahu’alam. 

Hadis selawat pada hari Jumaat 2


Al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi' menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Basykuwal dan beliau tidak memberikan sebarang ulasan tentang statusnya.
Ada sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Ibnu Basykuwal dengan sighah tamridh (menunjukkan tidak diriwayatkan secara pasti) dalam al-Qurbah dengan lafaz:
من قال في يوم الجمعة بعد العصر: اللهم؛ صلّ على محمد النبي الأمي، وعلى آله وسلّم ثمانين مرة.. غفرت له ذنوب ثمانين عاما
Sesiapa yang membaca selepas Asar pada hari Jumaat: Allahumma Salli 'Ala Muhammad al-Nabi al-Ummi, Wa 'Ala Alihi Wasallam sebanyak 80 kali diampunkan dosanya selama 80 tahun.
Saya tawaqquf daripada memberikan sebarang status kepada hadis ini. Seeloknya gunakan hadis yang lebih pasti statusnya. Wallahu'alam.


Hadis selawat pada hari Jumaat 1



مَنْ صَلَّى عَليّ يَوْم الْجُمُعَة ثَمَانِينَ مرّة غفر الله لَهُ ذنُوب ثَمَانِينَ سنة قيل يَا رَسُول الله كَيفَ الصَّلَاة عَلَيْك قَالَ تَقول اللَّهُمَّ صل على مُحَمَّد عَبدك وَنَبِيك وَرَسُولك النَّبِي الْأُمِّي وتعقد وَاحِدَة

Hadis riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan Ibnu Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah daripada Anas bin Malik, melalui sanad yang bersambung dengan Wahb bin Daud bin Sulaiman al-Mukharimi.

Terdapat dua pendapat ulama tentang hadis ini:

1. Ulama yang mengatakannya palsu:

a. Ibnu Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah. Kata beliau: “Hadis ini tidak sahih. Telah berkata Abu Bakar al-Khatib: “Wahb bin Daud tidak thiqah.”

b. Al-Zahabi dalam al-Mughni Fi al-Dhu’afa’. Kata beliau: “Kemudian disebutkan (oleh al-Khatib al-Baghdadi) bagi Wahb bin Daud al-Mukharimi satu hadis daripada rekaannya.”


2. Ulama yang mengatakannya tidak palsu:

a. al-‘Iraqi dalam Takhrij Ihya’ Ulum al-Din. Kata beliau: “(Hadis ini) dikeluarkannya oleh al-Daraqutni daripada riwayat Ibnu al-Musayyab, beliau berkata, aku berasa ianya daripada Abu Hurairah, dan beliau (Ibnu al-Musayyab) berkata : Hadis gharib. Dan berkata Ibnu al-Qattan: Hadis hasan.

b. Muhammad Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. Beliau membawakan beberapa hadis yang lain yang menyatakan kelebihan berselawat pada hari Jumaat, antaranya:

الصلاة عليَّ نور في الصراط فمن صلّى عليّ يوم الجمعة ثمانين مرة غفرت له ذنوب ثمانين عاماً

“Selawat keatasku adalah cahaya ketika di Sirat. Sesiapa yang berselawat keatasku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali, diampunkan baginya dosa selama 80 tahun.”

(Riwayat al-Azdi dalam al-Dhu’afa’ dan al-Daraqutni dalam al-Afrad daripada Abu Hurairah)

من صلى على يوم الجمعة مائتي صلاة غفر له ذنب مائتي عام

“Sesiapa yang berselawat keatasku pada hari Jumaat sebanyak 200 kali selawat, diampunkan baginya dosa selama 200 tahun.”

(Riwayat al-Dailami daripada Abu Zar)

من صلّى عليّ يوم الجمعة كانت شفاعة له عندي يوم القيامة

“Sesiapa yang berselawat keatasku pada hari Jumaat baginya syafaat daripadaku pada hari kiamat.”

(Riwayat al-Dailami daripada A’isyah)

من صلّى علي يوم الجمعة مائة مرة جاء يوم القيامة ومعه نور لو قسم ذلك النور بين الخلق كلهم لوسعهم

Sesiapa yang berselawat keatasku pada hari Jumaat  sebanyak 100 kali, dia akan datang pada hari kiamat dan bersamanya cahaya yang jika dibahagikan cahaya tersebut antara seluruh makhluk akan mencukupi bagi mereka.”

(Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Hilyah daripada Ali).

Ulama yang menilainya palsu disebabkan kedudukan Wahb bin Daud bin Sulaiman al-Mukharimi yang meriwayatkan hadis tersebut yang dinilai sebagai tidak thiqah.

Manakala ulama yang menilainya tidak palsu mungkin disebabkan terdapat hadis-hadis yang lain berkenaan kelebihan berselawat pada hari Jumaat yang dapat menyokong hadis tersebut.

Jika dikatakan tidak palsu, hadis di atas hanya melibatkan targhib (galakan) sahaja dan tidak digunakan sebagai hujah.

Wallahu’alam.



Sunday, December 20, 2015

Kitab hadis palsu: Nuskhah Nubaith bin Syarith al-Asyja’ie Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah

Beliau adalah seorang sahabat nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Antara yang meriwayatkan hadis daripada beliau: anaknya, Salmah, Nu’aim bin Abi Hind, Abu Malik al-Asyja’ie,. Beliau hidup selama beberapa zaman setelah kewafatan nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Kitab ini terdiri daripada naskhah yang diriwayatkan secara bersendirian oleh Ahmad bin Ishak bin Ibrahim bin Nubaith bin Syarith, beliau adalah seorang pendusta yang masyhur.

Naskhah ini mengandungi bilangan hadis yang mencapai 66 buah hadis. Di dalam naskhah ini terdapat matan-matan hadis yang sahih di sisi al-Bukhari dan Muslim atau Ashab al-Sunan (al-Termizi, Abu Daud, al-Nasa’ie dan Ibnu Majah), tetapi dihukumkan ke atas naskhah ini dengan pendustaan disebabkan sanadnya.

Dicetak berdasarkan kajian dan suntingan al-Ustaz Majdi Fathi al-Sayid di Dar al-Sahabah Lit Turath di Tanta, Mesir pada tahun 1410H/1989M dalam 66 halaman.



Tuesday, December 8, 2015

Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China


Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah berkata: 

(Hadith ini) dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm (7/1), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4/290), al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ (2/ 230), Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil (4/1438), mereka semua (meriwayatkan) daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu. Dalam sanadnya terdapat Abu ‘Atikah al-Basri, dia adalah sangat daif. Lihat biodatanya dalam al-Mizan (2/335) dan (4/335).

Dan diriwayatkan di sisi Ibnu ‘Abdil Barr dengan sanad yang lain yang terdapat di dalamnya Ya’qub bin Ishaq al-al-‘Asqalani dan telah berkata al-Zahabi tentangnya dalam al-Mizan (4/449) : Pendusta (kazab).

Dan disebutkan oleh al-Sayuthi dalam al-Lali al-Masnu’ah (1/193) bagi hadis ini jalan yang lain yang terdapat dalam sanadnya Ahmad bin Abdullah al-Juwaibari, seorang pereka hadis yang terkenal.

Dan hadis (ini) daif berdasarkan keseluruhan jalan-jalannya bahkan telah berkata Ibnu Hibban: Ia batil, tidak ada asal padanya dan disebutkan oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at sebagaimana yang dinukilkan daripada mereka berdua oleh al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah (hlm 63). Dan bagi al-Muhaddith Murtadha al-Zabidi dalam al-‘Aqd al-Thamin Fi Hadis Uthlubu al-‘Ilm Walau Bi al-Sin: Aku tidak menemuinya.

Tamat nukilan daripada komentar al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ke atas kitab Ma La Yasa’a al-Muhaddith Jahluhu, hlm. 245-246.

Hadis ini masih diperselisihkan statusnya. Ada yang menyatakan ianya palsu, antaranya Imam Ahmad bin Hanbal, al-Bazzar, Ibnu Jauzi, Ibnu Hibban dan al-‘Uqaili. Dan antara ulama yang berpendapat hadis ini hanyalah daif adalah al-Baihaqi, al-Iraqi dan al-Sayuthi.

Bacaan lanjut:

Sunday, December 6, 2015

Kitab Ma La Yasa’a al-Muhaddith Jahluhu oleh al-Yamanishi


Kitab ini pada hakikatnya terdiri daripada kira-kira tujuh muka surat. Di dalamnya terdapat ringkasan berkenaan hadis sahih, hasan dan beberapa jenis hadis. Tetapi isinya dipenuhi dengan sesuatu yang tidak berfaedah tentang apa yang sewajarnya ditinggalkan oleh seorang ahli hadis. Terdapat di dalamnya banyak kesalahan ilmiyah dan jelas secara nyata kelemahan penulis dalam ilmu ini. Beliau telah memulakan kitab ini dengan mukadimah yang panjangnya mencapai 42 baris dan ia lebih panjang daripada satu per empat kitab ini. Ianya mengandungi sedikit faedah (bahkan) kosong faedah (di dalamnya), dipenuhi dengan hadis-hadis daif dan palsu – tanpa diberi peringatan akan kelemahannya dan beliau sendiri tidak mengetahuinya -, kemudian beliau membincangkan secara tidak teratur pada kebanyakan perbahasannya. Sangat sedikit (pembaca) dapat melihat di dalamnya perbahasan yang ditulis dengan utuh  dan penuh bijaksana, bersama lemahnya penyusunan bab-babnya dan buruknya aturan (isinya). Dan jika tidak disebutnya oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam mukadimah Syarah al-Nukhbah ketika pengenalan beliau tentang beberapa kitab-kitab penting dalam ilmu hadis nescaya tidaklah nama kitab ini diingati. Adalah al-Hafiz (Ibnu Hajar) – rahimahullahu ta’ala – merasakan ia adalah kitab yang agung disebabkan tajuk kitab ini dan menanggap ianya hebat maka beliau menyebutkannya dalam Syarah al-Nukhbah tanpa melihatnya (terlebih dahulu).

Kitab ini dicetak berdasarkan suntingan oleh al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam himpunan “Khams Rasail Fi ‘Ulum al-Hadis” di Maktab al-Mathbu’at al-Islamiyyah di Halab.

-Nukilan daripada kitab Masadir al-Hadis Wa Maraji’uhu oleh Sayid Abdul Majid al-Ghauri

Sunday, November 29, 2015

Hadis solat orang yang berkahwin lebih baik daripada solat orang bujang


رَكْعَتَانِ مِنَ الْمُتَزَوِّجِ أَفْضَلُ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنَ الأَعْزَبِ

Terjemahan:

Dua rakaat (solat) daripada orang yang telah berkahwin lebih baik daripada 70 rakaat daripada orang bujang.

Sumber hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir[1] daripada Anas bin Malik.

Para ulama yang menyebutkan hadis ini sebagai mungkar atau palsu

1. Muhammad Tahir bin ‘Ali al-Hindi al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at[2]. Kata beliau:

“Dalam sanadnya ada Mujasyi’, mungkar hadis.”

2. Al-Zahabi dalam Tartib al-Maudhu’at[3]. Kata beliau:

“Dalam sanadnya ada Mujasyi’ bin ‘Amru, telah mendustakannya Ibnu Ma’in.”

3. Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah[4].

4. Al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[5]. Kata beliau:

“Diriwayatkan oleh al-‘Uqaili daripada Anas secara marfu’ dan beliau berkata, Mujasyi’ hadisnya mungkar tidak terpelihara.”

5. Al-Sayuthi dalam al-Lali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[6].

6. Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Tarabulusi al-Sandarusi dalam al-Kasyf al-Ilahi ‘An Syadid al-Dha’f Wa al-Maudhu’ Wa al-Wahi[7]. Kata beliau:

“Khabar palsu.”

7. Muhammad bin Khalil al-Qawuqji al-Tarabulusi dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’ Fi Ma La Asla Lahu Au Bi Aslihi Maudhu’[8]. Kata beliau:

“Palsu.”

8. Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir ‘Ala al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir[9]. Kata beliau:

“Dan berkata al-‘Uqaili tentangnya, ianya mungkar, dikehendaki (maknanya) ianya adalah palsu.”

9. Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at[10]. Kata beliau:

“Kata al-‘Uqaili, Mujasyi’ hadisnya mungkar tidak terpelihara. Berkata Yahya bin Ma’in, aku melihatnya salah seorang daripada penipu. Berkata Ibnu Hibban, dia mereka-reka hadis ke atas perawi yang thiqah, tidak halal menyebutkannya kecuali dengan celaan.”

Terdapat hadis lain yang mempunyai makna yang hampir sama tetapi lafaz yang berbeza, iaitu:

ركعتان من المتأهل خير من اثنتين وثمانين ركعة من العزب
Terjemahan:

Dua rakaat daripada orang yang telah berkeluarga lebih bair daripada 82 rakaat orang bujang.

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Tammam al-Razi dalam al-Fawaid[11], Dhiya’ al-Din al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah[12] daripada Anas bin Malik dan Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal[13] daripada Abu Hurairah.

Para ulama yang menyebutkan hadis ini sebagai mungkar atau palsu

1. Muhammad Tahir bin ‘Ali al-Hindi al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at[14]. Kata beliau:

“Kata Ibnu Hajar, hadis ini mungkar.”

2. Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah[15]. Kata beliau:

“Dikeluarkannya oleh Tammam dalam Fawaidnya dan daripada jalan al-Dhiya’ dalam al-Mukhtarah, tetapi Ibnu Hajar mengkritiknya dalam Atraf beliau lalu beliau berkata, hadis ini mungkar, tiada makna untuk takhrijkan hadith tersebut (sebab ianya terlalu rapuh statusnya).”

3. Al-Sayuthi dalam al-Lali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[16].

4. Al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah[17]. Kata beliau:

“Dalam sanadnya Mas’ud bin ‘Amru. Berkata al-Zahabi dalam al-Mizan[18]: Aku tidak mengenalinya dan khabarnya batil. Dan diriwayatkan daripada hadis Abu Hurairah dengan makna lafaz yang pertama. Berkata Ibnu ‘Adi: Maudhu’. Penyakitnya (punca hadis tersebut maudhu’) adalah Yusuf bin al-Safar.”

5. Muhammad bin Muhammad al-Husaini al-Tarabulusi al-Sandarusi dalam al-Kasyf al-Ilahi ‘An Syadid al-Dha’f Wa al-Maudhu’ Wa al-Wahi[19]. Kata beliau:

“Berkata (al-Zahabi) dalam al-Mizan: Batil.”

6. Muhammad bin Khalil al-Qawuqji al-Tarabulusi dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’ Fi Ma La Asla Lahu Au Bi Aslihi Maudhu’[20]. Kata beliau:

“Mungkar, sebagaimana kata Ibnu Hajar, dan berkata selainnya: batil. Dan sebagaimana yang diketahui hadis yang batil tidak menguatkan hadis batil yang lain.”

7. Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir ‘Ala al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir[21].

8. Berkata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ al-Rijal[22]:

“Hadis-hadis ini daripada Yahya daripada Abi Salamah bersama selainnya dengan sanad ini meriwayatkannya keseluruhannya oleh Yusuf bin al-Safar dan ianya adalah palsu keseluruhannya.”




[1] Jilid 4, ms. 264, biografi Mujasyi’ bin ‘Amru, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[2] Ms. 125, cetakan Idarah al-Thaba’ah al-Munirah.
[3] Ms. 200, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[4] Jilid 2, ms. 205, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[5] Ms. 120, kitab al-Nikah, hadis no. 4.
[6] Jilid 2, ms. 160, cetakan Dar al-Ma’rifah.
[7] Ms. 264, cetakan Dar al-Salam.
[8] Ms. 89, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah.
[9] Ms. 70, cetakan Dar al-Ra’id al-‘Arabi.
[10] Jilid 2, ms. 257, cetakan al-Maktabah al-Salafiyyah.
[11] Al-Raudh al-Bassam Bi Tartib wa al-Takhrij Fawaid Tammam, jilid 2, ms. 365, hadis no. 2101, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah.
[12] Jilid 6, ms. 110, hadis no. 2101, cetakan Dar Khidr.
[13] Jilid 8, ms. 498, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[14] Ms. 125, cetakan Idarah al-Thaba’ah al-Munirah.
[15] Jilid 2, ms. 205, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[16] Jilid 2, ms. 160, cetakan Dar al-Ma’rifah.
[17] Ms. 120, kitab al-Nikah, hadis no. 4.
[18] Jilid 6, ms. 410, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
[19] Ms. 264, cetakan Dar al-Salam.
[20] Ms. 90, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah.
[21] Ms. 70, cetakan Dar al-Ra’id al-‘Arabi.
[22] Jilid 8, ms. 498.

Tuesday, November 10, 2015

Hadis sesiapa yang mempelajari dua hadis

مَنْ تَعَلَّمَ حَدِيثَيْنِ اثْنَيْنِ يَنْفَعُ بِهِمَا نَفْسَهُ، أَوْ يُعَلِّمُهُمَا غَيْرَهُ فَيَنْتَفِعُ بِهِمَا، كَانَ خَيْرًا مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ عَامًا

Terjemahan:

“Sesiapa yang mempelajari dua hadis yang memberi manfaat dua hadis tersebut kepada dirinya, atau mengajarkan dua hadis tersebut kepada orang lain dan memberi manfaat dua hadis tersebut kepada orang lain adalah lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun.”

Sumber hadis

1. Syaraf Ashab al-Hadis[1] oleh Khatib al-Baghdadi.

2. Zikr Akhbar Asbahan[2] oleh Abu Nu’aim al-Asbahani dengan lafaz:

مَنْ تَعَلَّمَ حَدِيثَيْنِ اثْنَيْنِ يَنْفَعُ بِهِمَا نَفْسَهُ، أَوْ يُعَلِّمُهُمَا غَيْرَهُ، كَانَا خَيْرًا لَهُ مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ عَامًا

Terjemahan:

“Sesiapa yang mempelajari dua hadis yang memberi manfaat dua hadis tersebut kepada dirinya atau mengajarkan dua hadis tersebut kepada orang lain, adalah lebih baik bagi dirinya daripada beribadat selama 60 tahun.”

3. Al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Kabir[3] menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami daripada al-Barra’, tetapi saya tidak menemukannya dalam Musnad al-Firdaus.

Ulasan

Hadis ini sangat daif kerana kedua-dua sanad riwayat al-Khatib al-Baghdadi dan Abu Nu’aim tersebut bersambung dengan seorang perawi yang matruk iaitu Nufai’ bin al-Haris (نُفَيْعِ بْنِ الْحَارِثِ), Abu Daud al-A’ma.

Kata Ibnu Hajar[4]: Matruk. Telah mendustakannya Ibnu Ma’in.




[1] Syaraf Ashab al-Hadis, ms. 80, tahqiq: Dr Muhammad Sa’id Khatib.
[2] Zikr Akhbar Asbahan, jilid 2, ms. 126, cetakan Dar al-Kitab al-Islami.
[3] Al-Jami’ al-Kabir, jilid 8, ms. 822, cetakan al-Azhar al-Syarif.
[4] Taqrib al-Tahzib, ms. 632, cetakan Bait al-Afkar al-Dauliyyah.