Tuesday, December 29, 2015

Hadis: Aku tidak pernah melihat kebaikan daripada kamu



Hadis pertama

إِذا قاَلَتِ المَرْأةُ لِزَوْجِها مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْراً قَطُّ فقد حَبِطَ عَمَلُها

“Jika seorang wanita itu berkata kepada suaminya: Aku tidak pernah melihat kebaikan daripada kamu, maka telah sia-sia amalannya.”

Riwayat Ibnu Abi al-Dunya daripada al-Hasan al-Basri secara mursal, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil dan Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq melalui jalur perawi Yusuf bin Ibrahim al-Tamimi daripada A’isyah.

 Yusuf bin Ibrahim al-Tamimi dinilai oleh ulama, antaranya sebagaimana berikut:

1. Abu Hatim: ضعيف الحديث، منكر الحديث، عنده عجائب

2. Al-Bukhari: صاحب عجائب

3. Ibnu Hibban: لا تحل الرواية عنه

Walau bagaimanapun, Yusuf bin Ibrahim al-Tamimi hanya dinilai sebagai da’if oleh Ibnu Hajar (تقريب التهذيب) dan al-Zahabi (الكاشف).

Al-Sayuthi dalam al-Jami al-Saghir mengisyaratkan hadis ini sebagai daif.

Al-Munawi dalam al-Taisir juga menilainya sebagai daif.

Wallahu’alam. 

Sunday, December 20, 2015

Kitab hadis palsu: Nuskhah Nubaith bin Syarith al-Asyja’ie Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah

Beliau adalah seorang sahabat nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Antara yang meriwayatkan hadis daripada beliau: anaknya, Salmah, Nu’aim bin Abi Hind, Abu Malik al-Asyja’ie,. Beliau hidup selama beberapa zaman setelah kewafatan nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Kitab ini terdiri daripada naskhah yang diriwayatkan secara bersendirian oleh Ahmad bin Ishak bin Ibrahim bin Nubaith bin Syarith, beliau adalah seorang pendusta yang masyhur.

Naskhah ini mengandungi bilangan hadis yang mencapai 66 buah hadis. Di dalam naskhah ini terdapat matan-matan hadis yang sahih di sisi al-Bukhari dan Muslim atau Ashab al-Sunan (al-Termizi, Abu Daud, al-Nasa’ie dan Ibnu Majah), tetapi dihukumkan ke atas naskhah ini dengan pendustaan disebabkan sanadnya.

Dicetak berdasarkan kajian dan suntingan al-Ustaz Majdi Fathi al-Sayid di Dar al-Sahabah Lit Turath di Tanta, Mesir pada tahun 1410H/1989M dalam 66 halaman.



Tuesday, December 8, 2015

Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China


Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah berkata: 

(Hadith ini) dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm (7/1), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4/290), al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ (2/ 230), Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil (4/1438), mereka semua (meriwayatkan) daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu. Dalam sanadnya terdapat Abu ‘Atikah al-Basri, dia adalah sangat daif. Lihat biodatanya dalam al-Mizan (2/335) dan (4/335).

Dan diriwayatkan di sisi Ibnu ‘Abdil Barr dengan sanad yang lain yang terdapat di dalamnya Ya’qub bin Ishaq al-al-‘Asqalani dan telah berkata al-Zahabi tentangnya dalam al-Mizan (4/449) : Pendusta (kazab).

Dan disebutkan oleh al-Sayuthi dalam al-Lali al-Masnu’ah (1/193) bagi hadis ini jalan yang lain yang terdapat dalam sanadnya Ahmad bin Abdullah al-Juwaibari, seorang pereka hadis yang terkenal.

Dan hadis (ini) daif berdasarkan keseluruhan jalan-jalannya bahkan telah berkata Ibnu Hibban: Ia batil, tidak ada asal padanya dan disebutkan oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at sebagaimana yang dinukilkan daripada mereka berdua oleh al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah (hlm 63). Dan bagi al-Muhaddith Murtadha al-Zabidi dalam al-‘Aqd al-Thamin Fi Hadis Uthlubu al-‘Ilm Walau Bi al-Sin: Aku tidak menemuinya.

Tamat nukilan daripada komentar al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ke atas kitab Ma La Yasa’a al-Muhaddith Jahluhu, hlm. 245-246.

Hadis ini masih diperselisihkan statusnya. Ada yang menyatakan ianya palsu, antaranya Imam Ahmad bin Hanbal, al-Bazzar, Ibnu Jauzi, Ibnu Hibban dan al-‘Uqaili. Dan antara ulama yang berpendapat hadis ini hanyalah daif adalah al-Baihaqi, al-Iraqi dan al-Sayuthi.

Bacaan lanjut:

Sunday, December 6, 2015

Kitab Ma La Yasa’a al-Muhaddith Jahluhu oleh al-Yamanishi


Kitab ini pada hakikatnya terdiri daripada kira-kira tujuh muka surat. Di dalamnya terdapat ringkasan berkenaan hadis sahih, hasan dan beberapa jenis hadis. Tetapi isinya dipenuhi dengan sesuatu yang tidak berfaedah tentang apa yang sewajarnya ditinggalkan oleh seorang ahli hadis. Terdapat di dalamnya banyak kesalahan ilmiyah dan jelas secara nyata kelemahan penulis dalam ilmu ini. Beliau telah memulakan kitab ini dengan mukadimah yang panjangnya mencapai 42 baris dan ia lebih panjang daripada satu per empat kitab ini. Ianya mengandungi sedikit faedah (bahkan) kosong faedah (di dalamnya), dipenuhi dengan hadis-hadis daif dan palsu – tanpa diberi peringatan akan kelemahannya dan beliau sendiri tidak mengetahuinya -, kemudian beliau membincangkan secara tidak teratur pada kebanyakan perbahasannya. Sangat sedikit (pembaca) dapat melihat di dalamnya perbahasan yang ditulis dengan utuh  dan penuh bijaksana, bersama lemahnya penyusunan bab-babnya dan buruknya aturan (isinya). Dan jika tidak disebutnya oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam mukadimah Syarah al-Nukhbah ketika pengenalan beliau tentang beberapa kitab-kitab penting dalam ilmu hadis nescaya tidaklah nama kitab ini diingati. Adalah al-Hafiz (Ibnu Hajar) – rahimahullahu ta’ala – merasakan ia adalah kitab yang agung disebabkan tajuk kitab ini dan menanggap ianya hebat maka beliau menyebutkannya dalam Syarah al-Nukhbah tanpa melihatnya (terlebih dahulu).

Kitab ini dicetak berdasarkan suntingan oleh al-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam himpunan “Khams Rasail Fi ‘Ulum al-Hadis” di Maktab al-Mathbu’at al-Islamiyyah di Halab.

-Nukilan daripada kitab Masadir al-Hadis Wa Maraji’uhu oleh Sayid Abdul Majid al-Ghauri