Friday, December 23, 2016

Takhrij hadis: Cinta dunia dan benci kepada mati

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا»، فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: «بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ»، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: «حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

“Hampir dekat sahaja para umat [yang kafir dan sesat] akan mengerumuni kamu semua sebagaimana mereka berkumpul menghadap makanan dalam mangkuk

Seseorang bertanya: Adakah kami pada saat itu sedikit?

Rasulullah berkata: Bahkan kamu semua pada saat itu ramai. Akan tetapi kamu bagai buih yang dibawa arus. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kamu dan akan menimpakan dalam hati kamu al-wahn.

Seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, apakah itu al-wahn?

Rasulullah menjawab: Cinta dunia dan benci kepada mati.”

Diriwayatkan oleh dua orang sahabat:

1. Riwayat Abu Hurairah

Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad. Dalam sanadnya ada Abdul Samad bin Habib al-Azdi. Dia didaifkan oleh Ahmad, Abu Zur’ah, al-‘Uqaili, al-Bukhari dan Abu Hatim. Ayahnya, Habib bin Abdullah majhul [tidak dikenali].

2. Riwayat Thauban

Diriwayatkan Ahmad dan lain-lain. Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Sanad Ahmad baik [jayyid].”

Hadis ini dinilai sebagai hasan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnauth dalam tahqiq Sunan Abu Daud dan Musnad Ahmad.

Wallahu a’lam.

Takhrij hadis:Bilakah berlakunya kiamat?

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ، وَلَكِنْ لَهَا أَشْرَاطٌ تُقَارِبُ الْأَسْوَاقَ يَعْنِي كَسَادَهَا وَمَطَرٌ وَلَا نَبَاتَ وَتَفْشُو الْعِينَةُ يَعْنِي أَكْلَ الرِّبَا، وَتَظْهَرُ أَوْلَادُ الْبَغِيَّةِ يَعْنِي أَوْلَادَ الزِّنَا وَيُعَظَّمُ رَبُّ الْمَالِ، وَتَعْلُو أَصْوَاتُ الْفَسَقَةِ فِي الْمَسَاجِدِ، وَيَظْهَرُ أَهْلُ الْمُنْكَرِ عَلَى أَهْلِ الْحَقِّ. قَالَ: وَكَيْفَ تَأْمُرُنِي يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فِرَّ بِدِينِكَ، كُنْ حِلْسًا مِنْ أَحْلَاسِ بَيْتِكَ

“Datang seorang lelaki kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu bertanya:

Wahai Rasulullah, bilakah berlakunya kiamat?

Rasulullah menjawab:

Tidaklah orang yang ditanya lebih tahu daripada orang yang bertanya. Tetapi baginya tanda-tanda: Pasar-pasar menjadi dekat, hujan tidak menumbuhkan [pokok], berleluasanya riba, munculnya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang fasik meninggikan suara di dalam masjid, orang-orang jahat menguasai orang-orang yang baik.

Lelaki tersebut bertanya lagi:

Apa yang kamu perintahkan untuk aku lakukan [ketika itu] wahai Rasulullah?

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

Selamatkanlah agamamu, tetaplah di rumahmu [untuk menjauhi fitnah].”

Riwayat Ibnu Abi al-Dunya dalam al-‘Uzlah Wa al-Infirad daripada Makhul secara mursal dan diriwayatkan juga oleh Abu al-Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin daripada Makhul daripada Huzaifah bin al-Yaman dengan sanad yang terputus kerana Makhul tidak pernah bertemu dengan Huzaifah. Matannya disokong oleh hadis-hadis yang lain yang menyebutkan tanda-tanda kiamat. 

Wallahu a’lam.

Sunday, December 18, 2016

Hadis kelebihan Sayyidah Fatimah

Al-Imam al-Hakim al-Naisaburi رحمه الله ada tulis sebuah kitab yang menghimpunkan hadis-hadis berkenaan kelebihan Sayyidah Fatimah al-Zahra’ رضي الله عنها وعليها السلام. Al-Sayyid Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari رحمه الله juga ada tulis sebuah risalah kecil berkenaan kelebihan Sayyidah Fatimah رضي الله عنها وعليها السلام ke atas wanita keseluruhannya. Saya petik beberapa buah hadis daripada dua kitab tersebut:

1. إِنَّمَا فَاطِمَةُ بَضْعَةٌ مِنِّي يُؤْذِينِي مَا آذَاهَا

“Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Sesiapa menyakitinya maka dia menyakitiku.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada al-Miswar bin al-Makhramah. Lafaz hadis daripada riwayat Muslim.

2. يَا فَاطِمَةُ أَمَا تَرْضِيْنَ أَنْ تَكُونِي سَيِّدَةَ نِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ، أَوْ سَيِّدَةَ نِسَاءِ هَذِهِ الْأُمَّةِ

“Wahai Fatimah, tidakkah kamu reda menjadi penghulu wanita beriman atau [syak perawi hadis] penghulu wanita bagi umat ini.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah.

3. عن عَائِشَةَ قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا فَاطِمَةَ ابْنَتَهُ فَسَارَّهَا فَبَكَتْ، ثُمَّ سَارَّهَا فَضَحِكَتْ فَقَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ لِفَاطِمَةَ: مَا هَذَا الَّذِي سَارَّكِ بِهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَكَيْتِ، ثُمَّ سَارَّكِ فَضَحِكْتِ؟ قَالَتْ: سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي بِمَوْتِهِ، فَبَكَيْتُ، ثُمَّ سَارَّنِي، فَأَخْبَرَنِي أَنِّي أَوَّلُ مَنْ يَتْبَعُهُ مِنْ أَهْلِهِ فَضَحِكْتُ

Daripada ‘Aisyah, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam memanggil anaknya, Fatimah. Baginda berbisik kepadanya lalu Fatimah menangis. Kemudian baginda berbisik sekali lagi lalu Fatimah gembira. Aku bertanya kepada Fatimah: Apa yang Rasulullah bisikan kepada kamu lalu kamu menangis, kemudian baginda berbisik sekali lagi lalu kamu gembira? Fatimah menjawab: Baginda berbisik kepadaku tentang kematiannya, maka aku menangis. Kemudian baginda berbisik sekali lagi bahawa aku adalah orang yang terawal mengikutinya daripada kalangan ahli keluarganya, maka aku gembira.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sayyidah Fatimah meninggal dunia sekitar 6 bulan selepas kematian Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam ketika berusia 29 tahun.

4. أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ : خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ ، وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ ، وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ

“Sebaik-baik wanita ahli syurga ialah Khadijah binti Khuwailid, Fathimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim -isteri firaun- dan Maryam binti Imran.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak daripada Ibnu ‘Abbas. Al-Hakim mensahihkannya dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Disahihkan juga oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.


Saturday, November 26, 2016

Hadis: Sesiapa yang meninggalkan solat...

مَنْ تَرَكَ صَلاَةً لَقِيَ الله وهُوَ عَلَيهِ غَضْبَان

“Sesiapa yang meninggalkan solat maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan Allah murka padanya.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir (11/294, no. 11782), al-Bazzar [Kasyf al-Astar no. 343], al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah (12/86 no. 100) daripada jalur perawi Muhammad bin Abdullah al-Makharrimi daripada Sahl bin Mahmud daripada Soleh bin ‘Umar daripada Hatim bin Abi Saghirah daripada Simak bin Harb daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Al-Bazzar berkata: “Tidak diketahui bahawa hadis ini diriwayatkan secara marfu’ (bersambung sehingga Nabi sallahu ‘alaihi wasallam) kecuali dengan sanad ini. Sebahagian riwayat yang lain mauquf (terhenti setakat sahabat).”

Al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Saghir mengisyaratkannya sebagai daif.

Al-Haithami menyatakan dalam Majma’ al-Zawaid“Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Thabarani dalam al-Kabir. Dalam sanadnya terdapat Sahl bin Mahmud. Disebutkan oleh Ibnu Abi Hatim (dalam kitab beliau) dan beliau berkata: “Diriwayatkan daripadanya (Sahl bin Mahmud) oleh Ahmad bin Ibrahim al-Dauraqi dan Sa’dan bin Yazid.” Saya (al-Haithami) berkata: “Dan turut diriwayatkan daripadanya oleh Muhammad bin Abdullah al-Mukharrimi dan tidak dibincangkan statusnya oleh seorang pun. Baki perawi-perawinya adalah perawi kitab al-Sahih.”

Sahl bin Mahmud, Abu al-Sari dithiqahkan oleh al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad. Dipuji oleh al-Daraqutni sebagai orang yang mempunyai kelebihan [فاضل].

Muhammad bin ‘Abdullah al-Mukharrimi adalah thiqah sebagaimana dalam Taqrib al-Tahzib dan merupakan perawi al-Nasa’ie sahaja.

Sanad ini mempunyai kedaifan berpunca daripada Simak bin Harb. Dia adalah seorang yang benar [صدوق] tetapi riwayatnya secara khusus daripada ‘Ikrimah mempunyai kecelaruan [اضطراب] sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzib. Al-‘Ijli berkata dalam al-Thiqat: “Dalam hadis ‘Ikrimah, kadang-kadang dia menyandarkan kepada Ibnu ‘Abbas dan kadang-kadang dia berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda. Sedangkan ‘Ikrimah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas.” Mungkin daripada dialah punca hadis ini kadang kala diriwayatkan secara marfu’ dan kadang kala diriwayatkan secara mauquf.

Ibnu al-Ja’d dalam al-Musnad dan al-Lalakaie dalam Syarah Usul al-I’tiqad meriwayatkan dengan sanad yang sama daripada Ibnu ‘Abbas secara mauquf dengan lafaz:

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ وَهُوَ يَقْدِرُ لَقِيَ اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ

“Sesiapa yang meninggalkan solat sedangkan dia mampu melakukannya maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan Allah murka padanya.”

Al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib, al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah dan Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir pula menyatakan bahawa sanadnya hasan.

Mungkin pandangan al-Hafiz al-Sayuthi yang mendaifkan hadis ini lebih tepat. Wallaupun daif ia masih dapat diamalkan. Wallahu a’lam.



Friday, November 25, 2016

Hadis palsu: Pahala bagi isteri yang memelihara anak


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، عَنْ سَلَامَةَ حَاضِنَةِ إِبْرَاهِيمَ ابْنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّكَ تُبَشِّرُ الرِّجَالَ بِكُلِّ خَيْرٍ، وَلَا تُبَشِّرُ النِّسَاءَ، قَالَ: «أَصُوَيْحِبَاتُكِ دَسَسْنَكِ لِهَذَا؟» قَالَتْ: أَجَلْ، هُنَّ أَمَرْنَنِي، قَالَ: «أَمَا تَرْضَى إِحْدَاكُنَّ أَنَّهَا إِذَا كَانَتْ حَامِلًا مِنْ زَوْجِهَا وَهُوَ عَنْهَا رَاضٍ أَنَّ لَهَا مِثْلَ أَجْرِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ فِي سَبِيلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِذَا أَصَابَهَا الطَّلْقُ لَمْ يَعْلَمْ أَهْلُ السَّمَاءِ وَأَهْلُ الْأَرْضِ وَمَا أُخْفِيَ لَهَا مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ، فَإِذَا وَضَعَتْ لَمْ يَخْرُجْ مِنْ لَبَنِهَا جَرْعَةٌ وَلَمْ يُمَصَّ مِنْ ثَدْيِهَا مَصَّةٌ إِلَّا كَانَ لَهَا بِكُلِّ جَرْعَةٍ، وَبِكُلِّ مَصَّةٍ حَسَنَةٌ، فَإِذَا أَسْهَرَهَا لَيْلَةً، كَانَ لَهَا مِثْلُ أَجْرِ سَبْعِينَ رَقَبَةً يُعْتِقُهُمْ فِي سَبِيلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ سَلَامَةُ، تَدْرِينَ مَنْ أَعْنِي بِهَذَا؟ هَذَا لِلْمُتَمَنِّعَاتِ، الصَّالِحَاتِ، الْمُطِيعَاتِ لِأَزْوَاجِهِنَّ، اللَّوَاتِي لَا يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ

Daripada Anas bin Malik, [beliau berkata]:

Sesungguhnya Salamah - penjaga kepada Ibrahim, anak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam - berkata:

Wahai Rasulullah, kamu memberi berita gembira untuk orang lelaki atas setiap kebaikan [yang dilakukan] dan kamu tidak memberi berita gembira untuk orang perempuan?
Nabi bertanya:

Adakah sahabat kamu menyembunyikan perkara ini [berita gembira untuk orang perempuan]?

Salamah menjawab:

Sudah tentu! Mereka menyuruh aku [untuk bertanya kepada kamu].

Nabi menjawab:

Apabila salah seorang daripada kamu reda apabila dia hamil daripada [hasil hubungan dengan] suaminya dan dia reda untuk taat kepadanya, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa [di siang hari], sembahyang [di malam hari] dan [berjihad] di jalan Allah. Apabila dia berasa sakit [untuk bersalin], para penghuni langit dan bumi tidak mengetahui pahala yang disediakan baginya [di sisi Allah]. Apabila dia melahirkan anak, tidak keluar seteguk [susu] dan tidak diisap daripada payu daranya isapan [susu] kecuali baginya untuk setiap kali tegukan dan isapan tersebut pahala. Apabila [anak tersebut] mengejutkannya pada waktu malam, maka baginya pahala membebaskan 70 orang hamba di jalan Allah. [Wahai] Salamah, adakah kamu tahu untuk siapakah [ganjaran ini]? [Ganjaran] ini bagi wanita yang menahan diri [daripada perkara yang Allah haramkan], wanita yang solehah, wanita yang taat kepada suaminya yang tidak mengkufuri [kebaikan] suaminya.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (6733) dan Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (43/348) dan Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah daripada jalur perawi Hisham bin ‘Ammar daripada daripada ‘Ammar bin Nusair daripada ‘Amr bin Sa’id al-Khaulani daripada Anas bin Malik.

Hadis ini dimuatkan oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at, al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Iraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Ibnu Hibban berkata dalam al-Majruhin: “Amr bin Sa’id al-Khaulani meriwayatkan daripada Anas bin Malik hadis palsu yang dapat dilihat kepalsuannya oleh orang yang teliti dalam ilmu hadis.”

Al-Hafiz al-Zahabi menyatakan dalam Mizan al-I’tidal: “Amr bin Sa’id al-Khaulani [meriwayatkan] daripada Anas bin Malik hadis palsu.”

Al-Hafiz Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berkata dalam al-Mudawi: “Hadis ini batil palsu sebagaimana kata Ibnu al-Jauzi dan kepalsuannya jelas. Agak menghairankan apabila pengarang [al-Sayuthi] memasukkannya dalam kitab ini [al-Jami’ al-Saghir].”

Beliau berkata lagi dalam al-Mughir: “Sesiapa yang menyangka bahawa [perkataan] seperti ini sabit daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam maka dia tidak ‘mencium bauan’ hadis dan ilmunya.

Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawaid: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath. Dalam sanadnya ada ‘Ammar bin Nusair. Dia dithiqahkan oleh Ibnu Hibban dan Soleh Jazarah. Dia didaifkan oleh Ibnu Ma’in dan selainnya. Baki perawinya adalah thiqah.”

Hisham bin ‘Ammar seorang yang benar [صدوق] tetapi berubah ingatannya ketika tua. Ayahnya, ‘Ammar bin Nusair, disebutkan oleh Ibnu Hibban dalam al-Thiqat dan didaifkan [لين] oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq.

Wallahu a’lam.

Thursday, November 10, 2016

Hadis larangan berdiri untuk menghormati

1 - مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَتَمَثَّلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesiapa yang suka orang lain berdiri untuknya maka siaplah tempatnya di neraka.”

Riwayat Abu Daud (5229) dan al-Termizi (2755) daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan.”

Ancaman ini adalah bagi orang yang menyuruh orang lain berdiri untuknya yang disertai perasaan sombong dan angkuh. [مرقاة المفاتيح]

2 - مَا كَانَ شَخْصٌ أَحَبَّ إلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم، وَكَانُوا إذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا؛ لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ

“Tidak ada orang yang lebih dicintai oleh para sahabat selain daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Jika mereka melihat baginda mereka tidak bangun kerana mereka tahu bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.”

Riwayat al-Termizi (2754) daripada Anas bin Malik. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan sahih gharib.”

Kata Imam al-Tahawi dalam Syarah Musykil al-Athar: “Dalam hadis ini menunjukkan bahawa sahabat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan perbuatan berdiri untuk baginda kerana mereka mengetahui bahawa baginda membenci perbuatan tersebut. Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa jika baginda tidak membenci perbuatan tersebut nescaya mereka akan berdiri untuk baginda. Baginda membenci perbuatan tersebut disebabkan sifat tawaduk baginda dan bukanlah kerana perbuatan tersebut haram bagi mereka. Bagaimana boleh disangka bahawa perbuatan tersebut haram bagi mereka? Baginda telah menyuruh mereka berdiri untuk Sa’d bin Mu’az dan berdirinya Talhah bin ‘Ubadillah - ketika kehadiran baginda - untuk Ka’ab bin Malik untuk mengucapkan tahniah kepadannya ketika turunnya [wahyu penerimaan] taubat Ka’ab bin Malik dan baginda tidak melarang Talhah bin ‘Ubaidillah.”

Imam al-Nawawi menyatatakan dalam al-Azkar:

“Adapun berdiri untuk menghormati orang yang masuk [ke dalam majlis], pendapat yang kami pilih adalah bahawa perbuatan tersebut digalakkan bagi orang yang mempunyai kelebihan dari segi zahir seperti keilmuan, kesolehan, kemuliaan, atau kekuasaan dan sebagainnya. Dan hendaklah perbuatan berdiri ini untuk tujuan kebaikan, memuliakan dan penghormatan dan bukan untuk tujuan riyak dan mengagung-agungkan.”

Saturday, October 29, 2016

Hadis solat dan membaca al-Quran dalam kubur

Hadis Nabi Musa solat di dalam kubur

مَرَرْتُ عَلَى مُوسَى وَهُوَ يُصَلِّي فِي قَبْرِهِ

“Aku melalui [kubur] Nabi Musa [pada malam Israk] dan baginda sedang bersolat di dalam kuburnya.”

Hadis sahih riwayat Muslim (2375) daripada Anas bin Malik.

Hadis para nabi hidup dan solat di dalam kubur

الأَنْبِيَاءُ أَحْيَاءٌ فِي قُبُورِهِمْ يُصَلُّونَ

“Para nabi hidup dan bersolat dalam kubur-kubur mereka.”

Riwayat Abu Ya’la dalam Musnad (3425) daripada Anas.

Dinilai sahih oleh al-Baihaqi [حَيَاةِ الْأَنْبِيَاءِ], al-Munawi [فيض القدير] dan al-Zurqani [شرح الزرقاني على موطأ]. Al-Haithami [مجمع الزوائد] menilai perawi sebagai thiqah.

Hadis membaca surah al-Mulk dalam kubur

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: “Sebahagian sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam membuat khemah di atas kubur dan dia tidak menyedari bahawa di situ adalah kubur. Tiba-tiba terdengar seseorang membaca surah al-Mulk sehinggalah tamat. Lalu sahabat tersebut datang bertemu dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku membuat khemah di atas kubur dan aku tidak menyedari bahawa ia adalah kubur. Tiba-tiba terdengar orang di dalamnya membaca surah al-Mulk sehingga tamat. Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ia [surah al-Mulk] adalah penghalang. Ia adalah penyelamat yang akan menyelamatkan daripada azab kubur.”

Riwayat al-Termizi (2890) daripada Ibnu ‘Abbas.

Kata al-Baihaqi [إثبات عذاب القبر]: “Yahya bin ‘Amru bin Malik bersendirian meriwayatkannya dan dia adalah daif.”

Kata Ahmad al-Ghumari [المداوي]: “Kata al-Termizi: Hadis ini gharib, yakni daif.”

Al-Sayuthi menukilkan dalam Syarh al-Sudur bi Syarh Hal al-Mauta Wa al-Qubur bahawa al-Imam Kamal al-Din bin al-Zamalkani berkata dalam kitab al-‘Amal al-Maqbul Fi Ziyarah al-Rasul:

“Hadis ini jelas sebagai dalil bahawa mayat membaca dalam kuburnya surah al-Mulk. Dan telah berlaku pada umat ini peristiwa Allah memuliakan sebahagian wali-walinya dengan perkara tersebut [membaca al-Quran di dalam kubur] dan memuliakan sebahagian mereka dengan solat [di dalam kubur]. Mereka ketika hidup berdoa kepada Allah untuk mendapatkan perkara tersebut. Antara karamah yang Allah berikan kepada wali-waliNya adalah mungkin bagi mereka untuk melalukan ketaatan dan ibadat di dalam kubur.”

Peristiwa solat di dalam kubur dicatatkan berlaku kepada seorang tabi’in bernama Thabit al-Bunani. Ketika hidupnya beliau pernah berdoa:

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ أَعْطَيْتَ أَحَدًا أَنْ يُصَلِّي فِي قَبْرِهِ فَأَعْطِنِي الصَّلاةَ فِي قَبْرِي.

“Ya Allah, jika Engkau memberi kepada seseorang [kemulian] untuk bersolat di dalam kuburnya maka berikanlah kepadaku [kemulian] untuk bersolat di dalam kuburku.”

Apabila dimasukkan ke dalam liang lahad, dilihat dia mengerjakan solat. [جامع كرمات الأولياء]

Friday, October 21, 2016

Hadis: Syafaat penghafal al-Quran

Hadis ‘penghafal al-Quran akan memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya’ diriwayatkan oleh 3 orang sahabat:

1. Jabir

لِحَامِلُ الْقُرْآنِ إِذَا أَحِلَ حَلَالَهُ، وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَنْ يَشْفَعَ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتَهُ، كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

“Untuk penghafal al-Quran, jika dia menghalalkan apa yang dihalalkan oleh al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan olehnya, maka dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang mana [sebelum itu] telah wajib bagi mereka neraka.”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dengan sanad yang daif.

Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Dalam sanadnya ada Ja’far bin al-Harith dan dia adalah daif.”

2. Ali bin Abi Thalib

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَاسْتَظْهَرَهُ، شُفِّعَ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ قَدْ وَجَبَتْ لَهُمِ النَّارُ

“Sesiapa yang membaca al-Quran dan menghafalnya, dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang mana mereka itu telah wajib bagi mereka neraka.”

Riwayat al-Termizi, Ahmad dalam Musnad, Ibnu Majah dan lain-lain melalui jalur perawi Hafs bin Sulaiman daripada hadis ‘Ali bin Abi Thalib.

Kata al-Termizi: “Tidak ada baginya sanad yang sahih. Hafs bin Sulaiman, Abu ‘Umar Bazzar Kufi didaifkan dalam hadis.”

Hafs bin Sulaiman dijarh dengan berat oleh para ulama hadis:

a. Al-Bukhari: “Ahli hadis meninggalkan hadisnya [تركوه].”

b. Ibnu Ma’in: “Tidak thiqah [ليس بثقة].”

c. Abu Hatim: “Matruk dan bukan seorang yang benar [متروك لا يصدق].”

d. Ibnu Hajar: “Matruk al-Hadis walaupun diakui keilmuannya dalam qiraat [متروك الحديث مع إمامته فى القراءة].”

Maka sanad ini sangat daif.

3. Aisyah

مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَحَفِظَهُ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ، وَشَفَّعَهُ فِي عَشَرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلٌّ قَدْ أُوجِبَ النَّارَ

“Sesiapa yang mempelajari al-Quran dan menghafalnya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan dia dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya yang mana mereka itu telah wajib bagi mereka neraka.”

Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad melalui jalur perawi Ahmad bin Muhammad bin al-Hussein al-Saqathi daripada hadis ‘Aisyah.

Kata al-Khatib al-Baghdadi: “Isnadnya semua [perawinya] adalah thiqah kecuali al-Saqathi dan hadis [ini] tidak sabit [palsu].”

Penilaian al-Khatib al-Baghdadi diakui oleh Ibnu Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah dan al-Sayuthi dalam al-Ziyadat ‘ala al-Maudhu’at.”

Kesimpulannya, hadis tersebut hanya daif sahaja berdasarkan riwayat Jabir.

Wednesday, October 19, 2016

Hadis yang dinilai palsu oleh al-Hafiz Ahmad al-Ghumari siri 3


آفَةُ الظَّرْفِ الصَّلَفُ وآفَةُ الشَّجَاعَةِ البَغْيُ وآفَةُ السَّمَاحَةِ المَنُّ وآفَةُ الجَمَالِ الخُيلاءُ وآفَةُ العبَادَةِ الفَتْرَةُ وآفَةُ الحَدِيثِ الكَذِبُ وآفَةُ العِلْمِ النِّسْيَانُ وآفَةُ الحِلْمِ السَّفَهُ وآفَةُ الحَسَبِ الفَخْرُ وآفَةُ الجُودِ السَّرَفُ

Terjemahan

“Penyakit kebijaksanaan ialah bercakap tentang perkara yg membuatkan sahabatnya membencinya dan mengharapkan pujian terhadap kelebihan yang tidak ada padanya, dan penyakit keberanian ialah melampaui batasan, dan penyakit kemuliaan/kemurahan ialah mengungkit pemberian, dan penyakit kecantikan ialah berlagak sombong dan penyakit ibadah ialah lemah semangat atau letih, dan penyakit hadis ialah berdusta,dan penyakit ilmu ialah lupa,dan penyakit kelembutan/kesopanan ialah lemah akalnya/bodoh, dan penyakit kemuliaan nasab ialah bermegah-megah, dan penyakit kedermawanan ialah membazir.”

Sumber hadis

1. Al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab.

2. Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman.

3. Al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus.

4. Ibnu Babawaih al-Qummi dalam Kitab al-Tauhid.

5. Al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir.

Komentar al-Haifz Ahmad al-Ghumari

Beliau berkata dalam al-Mughir: “Penulis (al-Sayuthi) banyak berpegang kepada pendapat al-Baihaqi bahawa beliau tidak akan mengeluarkan dalam kitabnya satu hadis pun yang diketahui sebagai palsu dan sebenarnya tidak begitu. Bahkan beliau banyak mengeluarkan hadis-hadis palsu.

Dan telah mengeluarkannya juga al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab, al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dan Ibnu Babawaih al-Qummi dalam Kitab al-Tauhid.

Asalnya ia adalah kalam ‘Ali ‘alaihi al-salam, jika benar daripada beliau. Sebahagian perawi yang lemah menyandarkannya kepada Nabi.

Sebahagian kandungannya berasal daripada hadis lain yang marfu’.”

Penilaian al-Hafiz al-Haithami

Beliau menyatakan dalam Majma’ al-Zawaid: “Dalam sanadnya ada Abu al-Raja’ al-Hinthi dan namanya Muhammad bin ‘Abdullah. Dia adalah pendusta.”