Thursday, June 30, 2016

Mendengar, melihat dan memeluk al-Quran

Soalan:

Saya ada soalan,mohon tuan berikan penerangan.betul kah kalau kita dengar ayat quran,melihat atau memeluk al-quran.akan dapat pahala?

Jawapan:


Berkenaan mendengar al-Quran, insya-Allah bagi pendengarnya pahala. Ini berdasarkan ayat al-Quran yang menyuruh kita mendengar al-Quran apabila dibacakan:

وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ 

“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf ayat 204)

Amalan mendengar bacaan al-Quran juga adalah Sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Telah sabit daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda meminta kepada Abdullah bin Mas’ud membacakan al-Quran supaya baginda mendengarnya sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Diriwayatkan juga baginda pernah berjalan pada suatu malam melintasi Abu Musa al-Asy’ari yang sedang membaca al-Quran, maka baginda berhenti untuk mendengar bacaannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Imam al-Nawawi berkata dalam Syarah Sahih Muslim: “Dalam hadis Ibnu Mas’ud ini ada beberapa faedah, antaranya disunatkan mendengar bacaan al-Quran dan menumpukan perhatian padannya, menangis ketika mentadabburnya, disunatkan meminta kepada orang lain membaca al-Quran untuk mendengar bacaannya, ianya lebih memberi kefahaman dan tadabbur daripada bacaannya sendiri.”

Berkenaan melihat al-Quran, jika melihatnya dengan tujuan tadabbur, mengulang hafalan al-Quran, mencari ayat berkenaan hukum syariah dan seumpamanya maka baginya pahala. Adapun sekadar melihat al-Quran tanpa sebarang tujuan, ianya tidak dikira sebagai ibadat.

Dibincangkan juga berkenaan membaca al-Quran dengan melihat mushaf atau secara hafalan, yang manakah lebih afdal?

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim: “Membaca al-Quran dengan melihat mushaf lebih afdal daripada bacaan daripada hafalan kerana ia menghimpunkan antara membaca dan melihat kepada mushaf, ia (melihat kepada al-Quran) adalah ibadat yang lain (selain membaca al-Quran). Beginilah yang dikatakan oleh Qadhi Hussein dan selainnya daripada ulama mazhab kami dan telah menaskan perkara tersebut adalah sekumpulan ulama daripada kalangan salaf dan aku tidak melihat adanya khilaf tentang perkara tersebut. Mungkin mereka yang menginginkan yang demikian (yakni membaca dengan melihat mushaf lebih afdal daripada membaca daripada hafalan) adalah bagi sesiapa yang sama tahap kekusyukkan dan hadirnya hati  dalam dua keadaan (membaca al-Quran dan melihat al-Quran dalam masa yang sama). Maka bagi sesiapa yang bertambah kekusyukkannya dan hadir hatinya serta tadabburnya dengan bacaan secara hafalan, maka ia lebih afdal baginya.”

Berkenaan memeluk al-Quran, saya tidak jumpa perbahasan ulama tentangnya. Yang saya jumpa adalah perbahasan tentang mencium al-Quran. Sebahagian ulama menganggap ianya adalah sunat, sebahagian menganggap ianya makruh dan ada yang menganggapnya bidaah.

Imam al-Zarkasyi menyebutkan dalam al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran: “Disunatkan mencium mushaf al-Quran kerana ‘Ikrimah bin Abu Jahal menciumnya dan dikiaskan dengan perbuatan mencium Hajarul Aswad dan kerana ianya adalah hadiah bagi hamba-hambaNya, maka disyariatkan menciumnya sebagaimana disunatkan mencium anak kecil.”  

Wallahu a’lam.

Sunday, June 26, 2016

Tabaruk Imam Ahmad dengan rambut Nabi

Al-Imam al-Zahabi menukilkan dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (11/212):

Abdullah bin Ahmad (anak Imam Ahmad bin Hanbal) berkata: “Aku melihat ayahku mengambil sehelai rambut daripada rambut Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kemudian beliau meletakkannya di mulutnya lalu menciumnya. Aku merasakan bahawa aku melihat beliau meletakkan rambut tersebut di matanya, mencelupnya dalam air, meminumnya dan berubat dengannya.

Dan aku melihat beliau mengambil mangkuk Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan mencelupnya dalam bekas air kemudian beliau meminum airnya. Aku melihat beliau minum air zamzam dan berubat dengannya dan beliau menyapu air zamzam tersebut pada tangannya dan wajahnya.”

Mengingkari tabaruk adalah daripada pemikiran golongan Khawarij

Aku (Imam al-Zahabi) berkata: “Dimanakah orang yang sangat keras mengingkari (perbuatan) Ahmad. Telah sabit bahawa Abdullah bertanya pada ayahnya tentang orang yang menyentuh mimbar nabi (untuk bertabaruk) dan menyentuh bilik nabi. Maka beliau (Imam Ahmad) menjawab: “Tidak aku melihat perkara tersebut salah.” Semoga Allah melindungi kami dan kamu daripada pemikiran golongan Khawarij dan daripada perbuatan bidaah.”

Saturday, June 25, 2016

Pahala membaca surah al-Zalzalah, surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَرَأَ إِذَا زُلْزِلَتْ عُدِلَتْ لَهُ بِنِصْفِ القُرْآنِ، وَمَنْ قَرَأَ قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ عُدِلَتْ لَهُ بِرُبُعِ القُرْآنِ، وَمَنْ قَرَأَ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ عُدِلَتْ لَهُ بِثُلُثِ القُرْآنِ.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Iza Zulzilat menyamai baginya (pahala membaca) separuh al-Quran, sesiapa yang membaca Qul Ya Ayyuhal Kafirun menyamai baginya (pahala membaca) seperempat al-Quran. Sesiapa yang membaca Qul Huwallahu Ahad menyamai baginya pahala serpertiga al-Quran.”

Riwayat al-Termizi (2893) dengan sanad yang daif.

Kata al-Termizi: “Hadis ini gharib. Kami tidak ketahui kecuali daripada hadis syeikh ini, al-Hasan bin Salm (الحَسَنِ بْنِ سَلْمٍ).

Kata al-Baihaqi (شعب الإيمان): “Al-‘Ijli (al-Hasan bin Salm bin Soleh al-‘Ijli) ini majhul.”

Dalam hadis yang lain:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا زُلْزِلَتْ تَعْدِلُ نِصْفَ القُرْآنِ، وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ، وَقُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ تَعْدِلُ رُبُعَ القُرْآنِ.

Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Iza Zulzilat menyamai (pahala membaca) separuh al-Quran. Qul Huwallahu Ahad menyamai (pahala membaca) sepertiga al-Quran. Qul Ya Ayyuhal Kafirun menyamai (pahala membaca) seperempat al-Quran.”

Riwayat al-Termizi (2894) dengan sanad yang daif.

Kata al-Termizi: “Hadis ini gharib. Kami tidak ketahui kecuali daripada hadis Yaman bin al-Mughirah (يَمَانِ بْنِ الْمُغِيرَةِ).”
Kata Ibnu Hajar  (فتح الباري): “Dalam sanadnya terdapat Yaman bin al-Mughirah dan dia daif disisi mereka (ahli hadis).”

Hadis sahih pahala surah al-Ikhlas menyamai sepertiga al-Quran:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَجُلًا سَمِعَ رَجُلًا يَقْرَأُ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ يُرَدِّدُهَا فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ.

Daripada Abi Said, seorang lelaki mendengar seorang lelaki yang lain membaca ‘Qul huwallahu ahad’ dan orang itu mengulang-ulanginya. Setelah pagi harinya, orang yang mendengar itu pergi bertemu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lalu menyebutkan pada baginda perkara tersebut, seolah-olah orang ini menganggapnya sebagai amalan yang kecil saja. Kemudian Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Demi  Tuhan yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya surat al-lkhlas itu menyamai - pahalanya dengan membaca - sepertiga al-Quran.

Hadis sahih riwayat al-Bukhari (6643)

Friday, June 24, 2016

Wanita paling sedikit dalam syurga?

إِنَّ أَقَلَّ سَاكِنِي الْجَنَّةِ النِّسَاءُ

Terjemahan

“Sesungguhnya penghuni syurga yang paling sedikit adalah wanita.”

Riwayat Muslim dalam Sahihnya (2738).

Imam al-Munawi  rahimahullah mensyarahkan hadis ini dalam Faidh al-Qadir bahawa jumlah wanita dalam syurga adalah sedikit pada permulaan sahaja iaitu sebelum wanita-wanita yang lain keluar daripada azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Imam al-Qurtubi rahimahullah dalam al-Tazkirah menjelaskan: “Kemungkinan ini adalah sewaktu wanita-wanita (yang lain) berada dalam neraka. Adapun selepas mereka keluar (dari neraka) dengan syafaat dan rahmat Allah sehingga tidak tinggal dalam neraka seorang pun yang mengucap La ilaha illallah, maka wanita dalam syurga adalah lebih banyak.”

Thursday, June 23, 2016

Hadis: Iktikaf pada bulan Ramadhan

عن ابن عمر رضي الله عنهما، قَالَ: كَانَ رسولُ اللهِ - صلى الله عليه وسلم - يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ.

Daripada Ibnu ‘Umar radiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam beriktikaf pada 10 hari terakhir daripada bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (2025) dan Muslim (1171).

وعن عائشة رَضِيَ اللهُ عنها: أنَّ النبيَّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ، حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ تَعَالَى، ثُمَّ اعْتَكَفَ أزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ.

Daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha, beliau berkata:

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda diwafatkan oleh Allah Ta’ala. Kemudian isteri-isterinya pula beriktikaf selepas kewafatan baginda.”

Riwayat al-Bukhari (2026) dan Muslim (1172).

وعن أَبي هريرة - رضي الله عنه - قَالَ: كَانَ النبيُّ - صلى الله عليه وسلم - يَعْتَكِفُ في كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أيَّامٍ، فَلَمَّا كَانَ العَامُ الَّذِي قُبِضَ فِيهِ اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا.

Daripada Abi Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam beriktikaf pada setiap bulan Ramadhan sebanyak 10 hari. Pada tahun baginda diwafatkan baginda beriktikaf selama 20 hari.”

Riwayat al-Bukhari (2044).

Saturday, June 18, 2016

Hadis: Laut ingin menenggelamkan manusia

Soalan:

Apa status hadis ini:



Jawapan:

مَا مِنْ يَوْمٍ إِلَّا وَالْبَحْرُ يَسْتَأْذِنُ رَبَّهُ أَنْ يُغْرِقَ ابْنَ آدَمَ، وَالْمَلَائِكَةُ تَسْتَأْذِنُهُ أَنْ تُعَاجِلَهُ وَتُهْلِكَهُ، وَالرَّبُّ تَعَالَى يَقُولُ: دَعُوا عَبْدِي، فَأَنَا أَعْلَمُ بِهِ، إِذْ أَنْشَأْتُهُ مِنَ الْأَرْضِ، إِنْ كَانَ عَبْدَكُمْ فَشَأْنُكُمْ بِهِ، وَإِنْ كَانَ عَبْدِي فَمِنِّي وَإِلَيَّ، عَبْدِي وَعِزَّتِي وَجَلَالِي إِنْ أَتَانِي لَيْلًا قَبِلْتُهُ، وَإِنْ أَتَانِي نَهَارًا قَبِلْتُهُ، وَإِنْ تَقَرَّبَ مِنِّي شِبْرًا تَقَرَّبْتُ مِنْهُ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ مِنِّي ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ مِنْهُ بَاعًا، وَإِنْ مَشَى إِلَيَّ هَرْوَلْتُ إِلَيْهِ، وَإِنِ اسْتَغْفَرَنِي غَفَرْتُ لَهُ، وَإِنِ اسْتَقَالَنِي أَقَلْتُهُ، وَإِنْ تَابَ إِلَيَّ تُبْتُ عَلَيْهِ، مَنْ أَعْظَمَ مِنِّي جُودًا وَكَرَمًا، وَأَنَا الْجَوَادُ الْكَرِيمُ؟ عَبِيدِي يَبِيتُونَ يُبَارِزُونَنِي بِالْعَظَائِمِ، وَأَنَا أَكْلَؤُهُمْ فِي مَضَاجِعِهِمْ، وَأَحْرُسُهُمْ عَلَى فُرُشِهِمْ، مَنْ أَقْبَلَ إِلَيَّ تَلَقَّيْتُهُ مِنْ بَعِيدٍ، وَمَنْ تَرَكَ لِأَجْلِي أَعْطَيْتُهُ فَوْقَ الْمَزِيدِ، وَمَنْ تَصَرَّفَ بِحَوْلِي وَقُوَّتِي أَلَنْتُ لَهُ الْحَدِيدَ، وَمَنْ أَرَادَ مُرَادِي أَرَدْتُ مَا يُرِيدُ، أَهْلُ ذِكْرِي أَهْلُ مُجَالَسَتِي، وَأَهْلُ شُكْرِي أَهْلُ زِيَادَتِي، وَأَهْلُ طَاعَتِي أَهْلُ كَرَامَتِي، وَأَهْلُ مَعْصِيَتِي لَا أُقْنِطُهُمْ مِنْ رَحْمَتِي، إِنْ تَابُوا إِلَيَّ فَأَنَا حَبِيبُهُمْ، وَإِنْ لَمْ يَتُوبُوا فَأَنَا طَبِيبُهُمْ، أَبْتَلِيهِمْ بِالْمَصَائِبِ، لِأُطَهِّرَهَمْ مِنَ الْمَعَايِبِ

Ia disebutkan oleh Ibnu Taimiyyah dalam Bayan Talbis al-Jahmiyyah
(4/24, cetakan al-Malik Fahd) dan muridnya, Ibnu Qayyim dalam Madarij al-Salikin  (1/430, cetakan Dar al-Kutub al-‘Arabi),  dan disandarkan kepada Imam Ahmad, sedangkan ia tiada dalam Musnad Ahmad dan mana-mana kitab hadis (sekadar carian saya). Wallahu a’lam.

Sedangkan riwayat y
ang ada dalam Musnad Ahmad (303) dengan sanad yang daif:

لَيْسَ مِنْ لَيْلَةٍ إِلَّا وَالْبَحْرُ يُشْرِفُ فِيهَا ثَلاثَ مَرَّاتٍ عَلَى الْأَرْضِ، يَسْتَأْذِنُ اللهَ فِي أَنْ يَنْفَضِخَ عَلَيْهِمْ، فَيَكُفُّهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ

Terjemahan

"Tiada suatu malam melainkan laut naik ke bumi sebanyak tiga kali, memohon kepada Allah untuk menenggelamkan manusia (disebabkan maksiat yang dilakukan oleh manusia), maka Allah menahannya.”

Bahagian hadis 'jika dia mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal' sehingga 'Aku berlari menuju kepadanya' diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (2675):

وإن تقرَّب منِّي شبرًا ، تقرَّبتُ إليه ذراعًا . وإن تقرَّب إليَّ ذراعًا ، تقرَّبتُ منه باعًا . وإن أتاني يمشي ، أتيتُه هَرْولةً .



Thursday, June 16, 2016

Hadis palsu: Sesiapa yang mempelajari satu masalah...

مَنْ تَعَلَّمَ مَسْئَلَةً وَاحِدَةً قَلَّدَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قِلادَةً مِنْ نُورٍ وَغَفَرَ لَهُ أَلْفَ ذَنْبٍ وَبَنَى لَهُ مَدِينَةً مِنْ ذَهَبٍ وَكَتَبَ لَهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ عَلَى جَسَدِهِ ثَوَابَ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ

Terjemahan

“Sesiapa yang mempelajari satu masalah, Allah akan mengalungkannya dengan kalungan daripada cahaya pada hari kiamat, mengampunkan baginya seribu dosa, membina untuknya kota daripada emas dan menuliskan baginya untuk setiap helai rambut yang ada pada jasadnya pahala haji dan umrah.”

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Najjar daripada ‘Auf bin Malik melalui jalan al-Juwaibari.

Al-Sayuthi (الزيادات على الموضوعات) menukilkan daripada Ibnu al-Najjar: “Al-Juwaibari seorang pemalsu hadis. Mungkin ‘hadis’ ini daripada perbuatan tangannya. Wallahu a’lam.”

Komen Ibnu ‘Arraq (تنزيه الشريعة المرفوعة): “Dan dia (al-Juwaibari) dituduh memalsukannya.”

Hadis: Keberkatan dalam sahur

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Terjemahan

“Sahur itu memakannya ada keberkatan maka jangan tinggalkannya walaupun seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas orang yang bersahur.”

Diriwayatkan oleh Ahmad (11086) dengan sanad yang daif daripada Abi Sa’id al-Khudri.

Kata al-Haithami (مجمع الزوائد): “Dalam sanadnya ada Abu Rifa’ah. Aku tidak temui sesiapa yang menthiqahkannya dan yang menjarhnya. Baki perawi-perawinya adalah perawi kitab al-Sahih.”

Maksud selawat daripada Allah yakni rahmat dan keredhaan. Selawat daripada malaikat yakni doa dan istighfar.
Menurut al-Busiri (إتحاف الخيرة المهرة) hadis ini ada penguat (شَاهِدٌ) daripada hadis Ibnu ‘Umar yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (6434) dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya (3467):

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتُهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Terjemahan

Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas orang yang bersahur.”

Dalam hadis yang lain:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Terjemahan

“Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan.”

Riwayat al-Bukhari (1923) dan Muslim (1095).


Saturday, June 11, 2016

Hadis: Balasan buka puasa tanpa uzur

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ، إِذْ أَتَانِي رَجُلَانِ، فَأَخَذَا بِضَبْعِي، فَأَتَيَا بِي جَبَلًا وَعْرًا، فَقَالَا لِي: اصْعَدْ. فَقُلْتُ: إِنِّي لَا أُطِيقُ. فَقَالَا: إِنَّا سَنُسَهِّلُهُ لَكَ، فَصَعِدْتُ حَتَّى كُنْتُ فِي سَوَاءِ الْجَبَلِ، إِذَا أَنَا بِأَصْوَاتٍ شَدِيدَةٍ، قُلْتُ: مَا هَذِهِ الْأَصْوَاتُ؟ قَالُوا: هَذَا هُوَ عُوَاءُ أَهْلِ النَّارِ، ثُمَّ انْطَلَقَ بِي، فَإِذَا بِقَوْمٍ مُعَلَّقِينَ بِعَرَاقِيبِهِمْ، مُشَقَّقَةً أَشْدَاقُهُمْ، تَسِيلُ أَشْدَاقُهُمْ دَمًا، فَقُلْتُ: مَا هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يُفْطِرُونَ قَبْلَ تَحِلَّةِ صَوْمِهِمْ

Terjemahan

"Ketika aku sedang  tidur, aku didatangi oleh dua orang lelaki lalu keduanya memegang lenganku dan membawaku ke gunung yang tidak rata.

Mereka berkata kepadaku: "Panjatlah". Lalu aku menjawab: "Sesungguhnya aku tidak mampu." Kemudian keduanya berkata,"Kami akan memudahkan bagimu". 

Maka aku pun memanjatnya sehingga aku sampai di puncak gunung, tiba-tiba aku terdengar suara yang sangat kuat. Lalu aku bertanya: "Suara apakah ini?" Mereka menjawab,"Itu adalah jeritan para penghuni neraka."

Kemudian aku bergerak lalu aku melihat sekumpulan orang yang digantung kaki mereka, mulut mereka robek dan darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya: "Siapakah mereka?" Dia menjawab : "Mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum selesai puasa mereka."

Diriwayatkan oleh al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (3273), Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya (1986), Ibnu Hibban dalam Sahihnya (7491), al-Hakim dalam al-Mustadrak
 (1568), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (8006) dan lain-lain daripada Abi Umamah al-Bahili.

Kata al-Hakim: “Sahih atas syarat Muslim” dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Friday, June 10, 2016

Kelebihan hari Jumaat

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Azkar:

“Disunatkan membanyakkan pada siang dan malamnya daripada membaca al-Quran, zikir, doa, selawat ke atas nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan membaca surah al-Kahfi pada siang harinya. Imam al-Syafi’e berkata dalam al-Umm: “Dan aku suka juga membacanya pada malam Jumaat.”

Dalam hadis menyebutkan amalan yang digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat:

1. Berdoa kerana ada waktu yang dimustajabkan doa pada hari Jumaat.

2. Mandi sunat sebelum solat Jumaat.

3. Bersegera ke masjid.

4. Berjalan kaki menuju masjid.

5. Membaca surah al-Kahfi pada malam dan siang hari Jumaat. Dalam hadis-hadis yang lain yang daif menyebutkan juga galakan membaca surah Ali Imran, surah Yasin dan surah al-Dhukhan.

6. Membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas sebanyak tujuh kali setelah selesai solat Jumaat.

Hadis-hadis tentang kelebihan hari Jumaat

Kelebihan hari Jumaat berbanding hari lain

خيرُ يومٍ طلعت عليه الشَّمسُ ، يومُ الجمعةِ . فيه خُلِق آدمُ . وفيه أُدخل الجنَّةَ . وفيه أُخرج منها . ولا تقومُ السَّاعةُ إلَّا في يومِ الجمعةِ

Terjemahan

“Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan Adam. Pada hari tersebut dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari tersebut juga dia dikeluarkan dari syurga. Tidak akan berlaku hari kiamat kecuali pada hari Jumaat.”

(Hadis sahih riwayat Muslim)

Dimustajabkan doa pada hari Jumaat

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا  إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Terjemahan

“Sesungguhnya pada hari Jumaat ada suatu waktu yang tidaklah seorang hamba Muslim itu berdoa meminta kebaikan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla pada waktu tersebut kecuali akan diberikan kepadanya, iaitu selepas Asar.”

(Hadis riwayat Ahmad, sahih berdasarkan sokongan daripada hadis-hadis yang lain)

Dalam hadis yang lain menyebutkan waktu dimustajabkan doa pada hari Jumaat itu pada:

1. Ketika mana imam duduk di atas mimbar sehingga waktu dilaksanakan solat.

2. Waktu dilaksanakan solat Jumaat sehinggalah selesai solat.

3. Selepas solat asar sehingga tenggelam matahari.

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Azkar menyebutkan bahawa kebanyakan para sahabat berpendapat waktu dimustajabkan doa pada hari Jumaat itu adalah selepas solat Asar.

Kelebihan mati pada hari atau malam Jumaat

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلَّا وَقَاهُ اللهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ

Terjemahan

“Tidaklah seorang Muslim itu mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali Allah akan memeliharanya daripada fitnah kubur.”

(Hadis riwayat al-Termizi dengan sanad yang daif)

Hari Jumaat adalah hari raya orang Islam

إِنَّ هَذَا يَوْمُ عِيدٍ، جَعَلَهُ اللَّهُ لِلْمُسْلِمِينَ، فَمَنْ جَاءَ إِلَى الْجُمُعَةِ فَلْيَغْتَسِلْ، وَإِنْ كَانَ طِيبٌ فَلْيَمَسَّ مِنْهُ، وَعَلَيْكُمْ بِالسِّوَاكِ

Terjemahan

“Sesungguhnya hari ini adalah hari raya yang dijadikannya oleh Allah bagi kaum Muslimin. Sesiapa yang ingin pergi solat Jumaat maka mandilah. Jika ada padanya wangian maka pakailah dan hendaklah kamu bersiwak.”

(Hadis hasan riwayat Ibnu Majah)

Kelebihan berjalan kaki menuju masjid pada hari Jumaat

مَنْ غَسَّلَ وَاغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، فَدَنَا مِنَ الْإِمَامِ وَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ، كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ أَجْرُ سَنَةٍ، صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا

Terjemahan

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dan bersegera (ke masjid), berjalan kaki dan tidak menunggang (kenderaan), duduk dekat dengan imam dan mendengar (khutbah) serta tidak lalai, baginya bagi setiap langkah (menuju ke masjid) pahala puasa dan solat  malam selama setahun.”

(Hadis sahih riwayat Ahmad)

Kelebihan baca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas selepas solat Jumaat

مَنْ قَرَأَ بَعْدَ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ سَبْعَ مَرَّاتٍ؛ أَجَارَهُ اللَّهُ بِهَا مِنَ السُّوءِ إِلَى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى.

Terjemahan

“Sesiapa yang membaca selepas solat Jumaat Qul Huwallahu Ahad, Qul A’uzu Bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu Bi Rabbin Nas sebanyak tujuh kali, Allah akan melindunginya daripada segala keburukan sehingga Jumaat yang seterusnya.”

(Hadis hasan riwayat Ibnu Sunni)

Berdasarkan hadis ini al-Imam al-Ghazali berpendapat sunat dibacakan surah-surah tersebut selepas solat Jumaat sebagaimana kata beliau dalam Bidayah al-Hidayah:

“Jika kamu telah selesai dan telah memberi salam (daripada solat Jumaat), maka bacalah surah al-Fatihah sebelum kamu bercakap-cakap (perkara yang lain) sebanyak tujuh kali, surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali dan al-Mu’awwizatain tujuh kali. Perkara tersebut akan menghapuskan dosa kamu daripada Jumaat itu sehingga Jumaat seterusnya dan akan menjadi pelindung bagi kamu daripada syaitan.”