Jumaat, 30 September 2016

Hadis tentang lalat

1 - إِذا وَقَعَ الذُّبابُ فِي شَرابِ أحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزَعْهُ فإنَّ فِي أَحَدِ جَناحَيْهِ دَاء وَفِي الآخَرِ شِفاءً

“Jika lalat terjatuh dalam minuman kamu maka celuplah ia ke dalam air kemudian buanglah ia. Sesungguhnya pada salah satu sayapnya ada penyakit dan pada sayap yang lain ada penawar.”

Riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah.

2 - الذبابُ كُلُّهُ فِي النَّارِ إِلا النَّحْلَ

“Lalat semuanya di dalam neraka kecuali lebah.”

Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dalam Musnad daripada Ibnu ‘Umar, Al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir daripada Abdullah bin Mas’ud, Al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir daripada Ibnu ‘Abbas dan Abu Ya’la dalam Musnad daripada Anas bin Malik.

Hadis ini hasan atau sahih berdasarkan keseluruhan jalurnya sebagaimana menurut Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Wujudnya lalat di dalam neraka bukan kerana ia diazab tetapi ia yang akan mengazab ahli neraka. Manakala pada lebah adanya penawar [madu] maka tidak sesuai baginya untuk mengazab ahli neraka.

3 - فِي إِحْدَى جَنَاحَي الذُّبَابِ سُمٌّ والآخَرِ شِفَاءٌ فَإِذَا وَقَعَ فِي الطَّعَامِ فَامْقُلُوهُ فِيهِ فَإِنَّهُ يُقَدِّمُ السُّمَّ وَيُؤخِّرُ الشِّفَاءَ

“Pada salah satu sayap lalat ada racun dan pada sayap yang lain ada penawar. Jika ia terjatuh dalam makanan [yang berbentuk cecair], maka celuplah ia kedalamnya. Sesungguhnya lalat tersebut akan mendahulukan sayap yang mengandungi racun [yakni lalat tersebut akan memasukkan ke dalam makanan sayapnya yang mengandungi racun terlebih dahulu] dan mengakhiri [sayap yang mengandungi] penawar.”

Riwayat Ibnu Majah daripada Abu Sa’id al-Khudri.

Kata al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah: “Sanadnya hasan dan baginya syahid [riwayat sokongan].”

4 - مَا مِنْ عَبْدٍ مُؤْمِنٍ يَخْرُجُ مِنْ عَيْنَيْهِ دُمُوعٌ، وَإِنْ كَانَ مِثْلَ رَأْسِ الذُّبَابِ، مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ، ثُمَّ تُصِيبُ شَيْئًا مِنْ حُرِّ وَجْهِهِ، إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

“Tidaklah keluar air mata daripada mata seorang hamba yang beriman walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah dan air mata tersebut mengalir di wajahnya, kecuali Allah akan mengharamkan [jasadnya] daripada api neraka.”

Riwayat Ibnu Majah daripada Abdullah bin Mas’ud.

Kata al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah dan al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’: “Sanadnya daif.”

5 - عَنْ رَدِيفِ رَسُولِ اللَّهِ، صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ عَثَرَتْ بِهِ دَابَّتُهُ، فَقَالَ: تَعِسَ الشَّيْطَانُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَا تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِنْ قُلْتَ: تَعِسَ الشَّيْطَانُ تَعَاظَمَ وَقَالَ: بِقُوَّتِي صَرَعْتُهُ، وَإِذَا قِيلَ: بِسْمِ اللَّهِ خَنَسَ حَتَّى يَصِيرَ مِثْلَ الذُّبَابِ

Seorang lelaki lelaki daripada sahabat Rasulullah berkata: "Ketika aku dibonceng Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba haiwan tunggangan baginda tergelincir. Serta-merta aku katakan: "Celakalah syaitan." Lalu baginda bersabda: "Jangan kamu katakan 'celakalah syaitan', kerana jika kamu katakan seperti itu maka syaitan akan membesar sebesar rumah [yakni syaitan berbangga apabila disandarkan sesuatu kepadanya] dan dia akan berkata 'demi kekuatanku' [yakni syaitan menyangka haiwan tersebut tergelincir disebabkan kekuatannya]. Akan tetapi ucapkanlah "Bismillah," sebab jika kamu ucapkan lafaz tersebut, syaitan akan mengecil hingga sekecil lalat."

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak.

Al-Hakim mensahihkannya dan dipersetujui oleh al-Zahabi. 

Khamis, 29 September 2016

Syeikh 'Abduh ‘Ali Kusyak


Biodata ringkas

Nama beliau ialah ‘Abduh bin ‘Ali bin Kusyak al-Darani. Beliau dilahirkan di Daraya, Damsyik, Syiria pada 11 Januari 1954. Beliau menamatkan pelajaran di kuliah Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Damsyik pada tahun 1981.

Beliau belajar ilmu syariah di Masjid Zaid bin Thabit, Damsyik antara tahun 1972 sehingga tahun 1980. Beliau juga belajar fiqh al-Syafi’e, usul fiqh, tafsir dan ulum al-Quran di Jami al-Minbar. Beliau belajar ilmu hadis dan ilmu mentahqiq kitab daripada bapa saudaranya yang juga bapa mertua beliau iaitu Syeikh Hussein Salim Asad. Beliau juga turut terkesan dan banyak mengambil manfaat daripada Syeikh Abdul Qadir al-Arnauth.

Beliau bersama dengan Syeikh Hussein Salim Asad

Guru-guru beliau

1. Syeikh Abdul Karim al-Rifa’ie.

2. Syeikh Syaukat al-Jibali.

3. Syeikh Abdul Fattah al-Sayyid.

4. Syeikh Jamaluddin al-Sairawan.

5. Syeikh Usamah Abdul Karim al-Rifa’ie.

6. Syeikh Muhammad Sa’id Kuki.

7. Syeikh Abdul Qadir al-Arnauth.

8. Syeikh Hussein Salim Asad.

9. Syeikh Muhammad Muhammad Hasan Syurrab.

Tulisan tangan beliau
Medan dakwah dan islah

Beliau menyampaikan khutbah di Jami al-Mustafa sejak ia mula diasaskan sejak 20 tahun yang lalu. Beliau juga menjadi mudir di Maahad Tahfiz al-Quran dan di bawah hasil didikan beliau lahir beberapa generasi penghafal al-Quran.

Beliau juga banyak memberi sumbangan membina beberapa buah masjid seperti Jami’ Nuruddin al-Syahid, Jami al-Taubah, Jami Huzaifah bin al-Yaman, Jami al-Samh bin Malik al-Khaulani dan Jami al-Hasan wa al-Hussein. Selain itu beliau turut membantu mengasaskan badan kebajikan Jam’iyah al-Syifa’ al-Khairiah, membina rumah anak yatim dan mengasaskan perpustakaan terbesar di Daraya.

Sifat peribadi

Beliau dikenali sejak zaman mudanya sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dan berdikari. Beliau mengambil alih tugas menjaga saudara kandungnya setelah kematian bapanya.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang sangat menjaga masanya dan sangat asyik dengan kitab sehingga beliau menghabiskan masa tidak kurang 17 jam sehari bersama kitab, sama ada membaca, mengkaji atau mentahqiq.

Karya penulisan

a. Tahqiq

1. Al-Syamail al-Muhammadiyah karya al-Imam al-Termizi.



2. Thabaqat al-Asma’ al-Mufradah Min al-Sahabah Wa al-Tabi’in Wa Ashab al-Hadith karya Abu Bakar al-Bardiji.

3. Juz al-Hafiz Muhammad bin Basyar.

4. Al-Syifa Bi Ta’rif Huquq al-Mustafa karya Qadhi ‘Iyadh.



5. Tahzib al-Asma’ Wa al-Lughat karya al-Imam al-Nawawi, 4 jilid.

6. Raudhah al-Thalibin Wa Umdah al-Muftin karya al-Imam al-Nawawi, 8 jilid.

7. Al-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Quran karya al-Imam al-Nawawi.

8. Riyadh al-Salihin karya al-Imam al-Nawawi.



9. Al-Kabair Wa Tabyin al-Maharim karya al-Hafiz al-Zahabi.

10. Al-Azkar karya al-Imam al-Nawawi.

11. Tuhfah al-Maudud Bi Ahkam al-Maulud karya Ibnu Qayyim al-Jauziyyah.

12. Bulugh al-Maram Min Adillah al-Ahkam karya al-Hafiz al-Zahabi.



13. Al-Raudhah al-Rayya Fi Man Dufina Bi Daraya karya Abdul Rahman al-‘Imadi.

14. Nur al-Yaqin Fi Sirah Sayyid al-Mursalin karya Muhammad al-Khudari.

15. Muhadharat Fi Tarikh Umam al-Islamiyyah al-Daulah al-Umawiyyah karya Muhammad al-Khudari.

16. Muhadharat Fi Tarikh Umam al-Islamiyyah al-Daulah al-‘Abasiyyah karya Muhammad al-Khudari.



17. Itmam al-Wafa’ Fi Sirah al-Khulafa’ karya Muhammad al-Khudari.

18. Jami’ ‘Ulum Wa al-Hikam karya al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali, karya terakhir yang beliau tahqiq.



b. Kitab yang beliau tahqiq bersama bapa saudara beliau, Syeikh Hussein Salim Asad.

1. Mawarid al-Zaman Ila Zawaid Ibnu Hibban, karya al-Hafiz al-Haithami. 9 jilid.

2. Mu’jam Shuyukh Abi Ya’la al-Mausili.

c. Karya penulisan beliau sendiri

1. Al-Maqsad al-A’la Fi Taqrib Ahadith al-Hafiz Abi Ya’la. Beliau menyusun kembali hadith-hadith Musnad Abu Ya’la berdasarkan bab-bab fekah. 3 jilid.

2. Raudh al-Khamail ‘Ala al-Syamail.

3. Dunya al-Nisa’ al-Salihat – kalimat wa al-mawaqif-.

4. Anis al-Akhyar Fi al-Mawa’iz wa al-Akhbar.

5. Safahat Masyriqah Min Tarikh I’lam al-Ummah.

6. Jaulah Ma’a Syakhsiyat Shamiyyah Daraniyyah, kitab terakhir yang beliau tulis.

Wasiat beliau

Disebabkan kecintaan beliau yang teramat sangat terhadap kitab al-Syifa Bi Ta’rif Huquq al-Mustafa dan sentiasa berdamping dengannya, beliau mewasiatkan agar diletakkan sebuah naskah tahqiq beliau bersamanya di dalam kubur agar dapat menjadi temanya ketika hidup dan mati. Maka dilaksanakan wasiat tersebut. Diletakan kitab tersebut berdekatan dengan kepala beliau.

Kematian

Beliau meninggal dunia pada malam Khamis 12 Rejab 1436 Hijrah bersamaan 30 April 2015 dan dikebumikan pada keesokkan harinya di Masjid al-‘Atiq, Burj al-‘Arab, Iskandariah, Mesir. 

Rabu, 28 September 2016

Hadis palsu: Khatam al-Quran 60 ribu malaikat mohon keampunan

إِذَا خَتَمَ الْعَبْدُ الْقُرْآنَ صَلَّى عَلَيْهِ عِنْدَ خَتْمِهِ سِتُّونَ أَلْفَ مَلَكٍ

“Apabila seorang hamba mengkhatamkan al-Quran, 60 ribu malaikat akan memohon keampunan baginda di waktu khatamnya.”

Diriwayatkan oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada Abdullah bin ‘Amru.

Kata Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah: “Dalam sanadnya ada perawi al-Hasan bin ‘Ali Abu Sa’id al-‘Adawi dan Abdullah bin Sam’an.”

Kata al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Ziyadat ‘ala al-Maudhu’at“Ibnu Sam’an seorang pendusta dan al-Hasan bin ‘Ali Abu Sa’id al-‘Adawi seorang yang masyhur sebagai pemalsu hadis.”

Khamis, 15 September 2016

Hadis Palsu: Umur Dunia 7000 tahun

1 - عُمَرُ الدُّنْيَا سَبْعَةُ أَيَّامٍ مِنْ أَيَّامِ الآخِرَةِ

“Umur dunia adalah tujuh hari daripada hari akhirat [satu hari akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia].”

Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at: “Hadis ini palsu. Yang dituduh memalsukannya adalah al-‘Ala’ bin Zaidal.

2 - الدُّنيا سبعةُ آلافِ سنةٍ بُعِثتُ في آخرِها

“Umur dunia dalah 7000 tahun. Aku diutuskan pada akhirnya [yakni pada 7000 tahun yang terakhir]

Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi: “Hadis batil dan palsu. Begitu juga setiap hadis yang menyebutkan hadis yang menyebutkan ‘umur dunia adalah 7000 tahun’. Sesungguhnya ia diambil daripada Israiliyat dan daripada ahli kitab. Perawi al-dhu’afa’ [perawi daif, pendusta dan pemalsu hadis] mereka-reka sanadnya lalu disandarkan kepada nabi.”

Ibnu Qayyim dalam al-Manar al-Munif: “Ini pendustaan yang nyata. Kalau ianya benar sudah tentu setiap daripada kita tahu berapa lagi waktu yang tinggal sebelum kiamat [sedangkan hanya Allah yang mengetahui bilanya kiamat].”

Rabu, 14 September 2016

Himpunan kertas kerja dan artikel Ustaz Khafidz Soroni

1. Persoalan Tentang Khatamun Nubuwah, Nur Muhammad dan Ayat Ruqyah


2. Formulasi Imam Laknawi Terhadap Hadis Yag DIperselisihkan Statusnya


3. Ataqah Kubra


4. Kedudukan & Peranan Hadis Daif di sisi Ulama Islam


5. Sahih al-Bukhari Kitab Paling Sahih Selepas al-Quran


6. Perspektif Ulama Tentang Hadis Sangat Daif Dalam Fadail Amal


7. Sahih al-Bukhari Versi al-Yunini Sejarah, Kepentingan dan Keunikannya


8. Pemikiran dan Kritikan Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam beberapa isu 'Ulum Hadis


9. Ketokohan Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani

http://tinyurl.com/hnnwgk8

10. Wacana Hadis Dalam Tradisi Keilmuan Zaydiyyah

Boleh download dan sebarkan.

Haiwan korban akan jadi tunggangan di atas Sirat

اسْتَفْرِهُوا ضَحاياكُمْ فإنَّها مَطاياكُمْ على الصِّراطِ

“Pilihlah yang terbaik daripada haiwan korban kamu. Sesungguhnya ia adalah tunggangan kamu di atas Sirat.”

Riwayat al-Dailami dalam dalam Musnad al-Firdaus melalui jalur perawi Yahya bin ‘Ubaidillah daripada riwayat Abu Hurairah.

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Talkhis al-Habir dan al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah: “Yahya sangat daif.”

Menurut al-Hafiz Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi, sanad dan matannya adalah batil.

Bahkan menurut beliau dalam al-Mughir, ia adalah rekaan puak al-Zanadiqah yang ingin memasukkan perkara khurafat dalam Islam.

Dan ada beberapa lafaz yang lain:

a - عظِّموا ضحاياكم ، فإنها على الصراطِ مطاياكم
b - عظموا ضحايكم فإنها على الطريق مطاياكم
 - cاسْتَفْرِهُوا ضحاياكُمْ فإنها مطَاياكُم على الصراطِ المستقيمِ
 - dعظِّموا أُضحياكُم فإنَّها على الصِّراطِ مَطاياكُم
e - استفرهوا أضحيتكم فإنكم يوم القيامة لا تركبون شيئًا من الدواب إلا البدن والأضحية


Rapatkan dua tumit ketika sujud?


Imam al-Nawawi menukilkan dalam al-Majmu’:

قال الشافعي والاصحاب يستحب للساجدان يُفَرِّجَ بَيْنَ رُكْبَتَيْهِ وَبَيْنَ قَدَمَيْهِ قَالَ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ فِي تَعْلِيقِهِ قَالَ أَصْحَابُنَا يَكُونُ بَيْنَ قَدَمَيْهِ قَدْرُ شِبْرٍ

“Berkata al-Syafi’e dan pengikutnya: Disunatkan bagi orang yang bersujud untuk menjarakkan antara dua lututnya dan antara dua kakinya. Berkata al-Qadhi Abu al-Tayyib dalam ulasannya: Berkata ulama kami: Hendaklah [jarak] antara dua kaki tersebut sekadar sejengkal.”

Ini berdasarkan hadis:

وَإِذَا سَجَدَ فَرَّجَ بَيْنَ فَخِذَيْهِ

“Apabila baginda sujud, baginda akan menjarakkan antara dua pahanya.”

Riwayat Abu Daud (735).

Kata al-Syaukani dalam Nail al-Author: “[Termasuklah] menjarakkan antara dua lutut dan dua kakinya.”

Kata al-Syaukani lagi: “Hadis ini menunjukkan disyariatkan menjarakkan antara dua paha ketika sujud...dan tiada khilaf tentang perkara tersebut.”

Adapun hadis tentang merapatkan dua tumit:
راصّاً عقبيه

“Baginda merapatkan kedua tumitnya [ketika sujud]”

Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya, Ibnu Hibban dalam Sahihnya, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra dan lain-lain.

Al-Hakim mensahihkannya atas syarat al-Bukhari dan Muslim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Ibnu al-Mulaqqin turut mensahihkan sanadnya dalam al-Badr al-Munir. Ibnu Abdil Barr dalam al-Tamhid mengatakan ia sahih dan sabit.

Saya tidak pasti kenapa ulama tidak mengambil hukum daripada hadis ini. Cuma ulama aliran Salafi Wahabi seperti Ibnu ‘Uthaimin dan al-Albani yang berpegang dengan hadis ini.

Selasa, 13 September 2016

Takhrij hadis: Niat lebih baik daripada amalan

1 - نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ، وَعَمَلُ الْمُنَافِقِ خَيْرٌ مِنْ نِيَّتِهِ، وَكُلٌّ يَعْمَلُ عَلَى نِيَّتِهِ، فَإِذَا عَمِلَ الْمُؤْمِنُ عَمَلًا نَارَ فِي قَلْبِهِ نُورٌ

“Niat orang mukmin lebih baik daripada amalannya. Amalan orang munafik lebih baik daripada niatnya. Setiap amalan adalah berdasarkan niat. Apabila seorang mukmin beramal dengan suatu amalan, menyala dalam hatinya cahaya.”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (6/185, no. 5942), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (3/255), al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (7/288) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (6842) daripada Sahl bin Sa’d secara marfu’.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani. Dalam sanadnya ada Hatim bin ‘Abbad bin Dinar, aku tidak mengenalinya. Baki perawinya adalah thiqah.”

Al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadis al-Ihya’ turut mendaifkannya.

Dalam sanad riwayat al-Khatib al-Baghdadi ada Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha’ie, seorang pendusta dan dituduh memalsukan hadis.

2  - نية المؤمن خير من علمه , و نية الفاجر شر من عمله

“Niat orang mukmin lebih baik daripada amalannya. Niat orang yang jahat lebih teruk daripada amalannya.”

Riwayat al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab (148) dan al-‘Askari dalam al-Amthal daripada al-Nawas bin Sam’an secara marfu’.

Dalam sanadnya ada ‘Uthman bin Abdullah al-Syami, dituduh memalsukan hadis dan Baqiyyah bin al-Walid, seorang mudallis dan dia melakukan ‘an’an.

3 - نِيَّةُ المُؤمِنِ أبلَغُ من عَمَلِهِ

“Niat orang mukmin lebih diterima daripada amalannya.”

Riwayat Abu al-Syeikh dalam al-Amthal (52) daripada Thabit al-Bunani secara mursal, al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab (147), Abu Thahir al-Silafi dalam al-Thuyuriyat (665) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6445) daripada Anas bin Malik secara marfu’.

Dalam sanadnya ada Yusuf bin ‘Athiyyah al-Basri, matruk [sangat lemah].

4 - نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ ، إن اللَّه عز وجل ليعطي العبد على نيته ما لا يعطيه على عمله

Niat orang mukmin lebih baik daripada amalannya. Sesungguhnya Allah akan memberi [pahala] kepada hambaNya berdasarkan niatnya dan tidak memberi [pahala] berdasarkan amalannya.”

Riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (6843) daripada Abu Musa al-Asy’ari secara marfu'.

Menurut Muhammad Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, sanadnya daif manakala menurut Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Dhaifah ianya palsu.

Kesimpulan

Menurut al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan Ahmad al-Ghumari dalam Fath al-Wahab, jalur-jalur periwayatannya saling menguatkan.

Jika tidak saling menguatkan sekalipun, hadis ‘niat orang mukmin lebih baik daripada amalannya’ adalah daif ringan sahaja berdasarkan sanad hadis pertama dan hadis keempat (bagi sesiapa yang menerima penilaian al-Hafiz al-Zabidi).

Bahkan menurut Ahmad al-Ghumari di dalam al-Mudawi, hadis ini sahih dan sabit daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kerana kemasyhurannya di kalangan ulama salaf. Jika hadis ini direka-reka selepas zaman salaf nescaya hadis ini tidak masyhur di zaman mereka.

Al-Hakim al-Termizi meriwayatkan dalam Nawadir al-Usul daripada ‘Amr bin ‘Amr al-Ruba’ie, beliau berkata: “Aku bertanya kepada ‘Atha, adakah amalan orang mukmin itu lebih baik daripada amalannya?” Beliau menjawab: “Niat tidak akan berlaku padanya riak yang akan mensia-siakannya.”

Diriwayatkan daripada Malik bin Dinar, beliau berkata: “Aku melihat seorang lelaki di Mekah sedang berdoa berdoa: Ya Allah, sebagaimana engkau telah menerima empat kali hajiku, terimalah hajiku ini. Aku berasa hairan dengannya. Lalu aku bertanya kepadanya: Bagaimana engkau mengetahui bahawa Allah telah menerima haji engkau? Dia menjawab: Selama empat tahun aku berniat untuk menunaikan haji pada setiap tahun dan Allah mengetahui bahawa benarnya niatku. Aku dapat menunaikan haji pada tahun ini dan aku takut Allah tidak akan menerimannya daripadaku. Malik berkata: “Sejak dari hari itu aku mengetahui bahawa niat lebih baik daripada amalan.”

Huraian hadis

Niat orang mukmin lebih baik daripada amalannya kerana niat tempatnya di hati yang tidak terdedah kepada riak. Manakala amalannya adalah perbuatan anggota zahir yang mungkin terdedah kepada riak.

Ditafsirkan juga bahawa niat tanpa beramal dikira sebagai satu bentuk ketaatan dan beramal tanpa niat tidak dikira sebagai ketaatan. 

Ada yang menafsirkan: Niat itu lebih baik daripada amalan jika niatnya ikhlas berbanding beramal dengan perasaan riak dan ujub.

Amalan orang munafik lebih baik daripada niatnya kerana amalan zahirnya adalah baik walaupun mungkin niatnya yang tersembunyi adalah jahat.