Isnin, 12 September 2016

Takhrij hadis: Allah suka mendengar suara hambanya

1 - إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ لِلْمَلَائِكَةِ: انْطَلِقُوا إِلَى عَبْدِي، فَصُبُّوا عَلَيْهِ الْبَلَاءَ صَبًّا، فَيَأْتُونَهُ فَيَصُبُّونَ عَلَيْهِ الْبَلَاءَ، فَيَحْمَدُ اللهَ، فَيَرْجِعُونَ فَيَقُولُونَ: يَا رَبَّنَا صَبَبْنَا عَلَيْهِ الْبَلَاءَ صَبًّا كَمَا أَمَرْتَنَا، فَيَقُولُ: ارْجِعُوا فَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَ صَوْتَهُ

“Allah berfirman kepada malaikat: “Pergilah kepada hambaku. Timpakanlah ke atasnya ujian.” Maka malaikat pun menimpakan ke atasnya ujian lalu hamba tersebut memuji Allah. Malaikat kembali lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah timpakan ke atasnya ujian sebagaimana yang telah kamu perintahkan.” Allah berfirman: “Kembalilah [kepada hamba tersebut], sesungguhnya Aku suka untuk mendengar suaranya [memujiKu].”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8/195, hadis no. 7697), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (1425) dan lain-lain daripada Abu Umamah.

Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Kabir. Dalam sanadnya ada Ghufair bin Ma’dan dan dia adalah daif.”

Sanadnya turut didaifkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’ dan al-Hafiz al-Munziri mengisyaratkan ia daif dalam al-Targhib Wa al-Tarhib.

2 - إن العبد المؤمن ليدعوا الله تعالى، فيقول الله لجبريل، لا تجبه فإني أحب أن أسمع صوته، وإذا دعاه الفاجر قال يا جبريل: اقض حاجته، فإني لا أحب أن أسمع صوته

“Seorang hamba yang beriman berdoa kepada Allah. Maka Allah berfirman kepada Jibril: “Jangan makbulkan [doanya lagi]. Sesungguhnya aku suka untuk mendengar suaranya [merayu kepadaKu].” Apabila hamba yang jahat berdoa, Allah berfirman: “Wahai Jibril, tunaikanlah hajatnya. Sesungguhnya aku tidak suka mendengar suaranya.”

Riwayat al-Qawam al-Sunnah dalam al-Targhib Wa al-Tarhib (561) Ibnu Najjar dalam Tarikhnya, Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (8/244) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (745) daripada Anas bin Malik.

Dalam sanadnya ada Ishak bin Abdillah bin Abi Farwah, matruk [sangat daif].

3 - إِنَّ الْعَبْدَ لِيَدْعُوَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ يُحِبُّهُ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: يَا جِبْرِيلُ اقْضِ لِعَبْدِي هَذَا حَاجَتَهُ وَأَخِّرْهَا؛ فَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ لَا أَزَالَ أَسْمَعُ صَوْتَهُ، قَالَ: وَإِنَّ الْعَبْدَ لِيَدْعُو اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ يُبْغِضُهُ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: يَا جِبْرِيلُ اقْضِ لِعَبْدِي هَذَا حَاجَتَهُ وَعَجِّلْهَا؛ فَإِنِّي أَكْرَهُ أَنِ أَسْمَعَ صَوْتَهُ

Seorang hamba berdoa kepada Allah dan Allah mencintai hamba tersebut. Maka Allah berfirman: “Wahai Jibril, tunaikanlah untuk hambaku ini hajatnya dan lambatkanlah [pengabulan hajatnya]. Sesungguhnya aku suka untuk terus menerus mendengar suaranya. Apabila seorang hamba berdoa kepada Allah dan Allah murka kepadanya, maka Allah berfirman: “Wahai Jibril, tunaikan bagi hambaKu ini hajatnya dan percepatkanlah [pengabulan hajatnya]. Sesungghnya aku bence untuk mendengar suaranya.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (8442) dan al-Du’a (87), Abdul Ghani al-Maqdisi dalam al-Targhib Fi al-Du’a (52) dan Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq (8/244) daripada Jabir bin ‘Abdillah.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath. Dalam sanadnya ada Ishak bin Abdillah bin Abi Farwah, matruk [sangat daif].”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan