Tuesday, November 14, 2017

Ini pun engkau nak tulis?

- Al-Imam Ibnu Hibban (270H-354H) merupakan pengarang kitab al-Anwa' Wa al-Taqasim yang juga dikenali sebagai Sahih Ibnu Hibban. Beliau merupakan murid kanan kepada al-Imam Ibnu Khuzaimah (223H-311H) yang merupakan pengarang kitab Sahih Ibnu Khuzaimah.

- Ibnu Hibban sentiasa mendampingi gurunya itu sama ada ketika bermukim mahupun ketika bermusafir. Beliau akan bertanya dan mencatit apa sahaja yang diucapkan oleh Ibnu Khuzaimah. Sikap Ibnu Hibban ini kadangkala menyebabkan gurunya itu berasa rimas.

- Yaqut al-Hamawi dalam kitab Mu'jam al-Buldan meriwayatkan daripada Abi Hamid Ahmad bin Muhammad bin Sa'id al-Naisaburi, beliau berkata:

"Kami bersama-sama dengan Abi Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah ketika dalam perjalanan dari Naisabur (Iran). Bersama-sama kami juga ada Abu Hatim al-Busti (Ibnu Hibban). Beliau banyak bertanya kepada Ibnu Khuzaimah sehingga menyebabkan Ibnu Khuzaimah berasa rimas.

Lalu Ibnu Khuzaimah berkata kepadanya: "Wahai si dungu, pergi jauh daripadaku. Jangan menggangguku."

Lantas Ibnu Hibban menulis kata-kata Ibnu Khuzaimah tersebut.

Lalu ditanya kepada Ibnu Hibban: "Ini pun engkau nak tulis?"

Ibnu Hibban menjawab: "Ya. Aku tulis semua yang Ibnu Khuzaimah cakap."

Sunday, November 12, 2017

Kewarakan al-Imam al-Bukhari

- Salah satu tanda kewarakan al-Imam al-Bukhari (194H-256H) ialah beliau jarang-jarang untuk mensifatkan seseorang perawi itu sebagai pendusta atau pemalsu hadith. Bahkan beliau akan gunakan istilah yang lain seperti فيه النظر (padanya ada pertikaian), سكتوا عنه (ahli hadith mendiamkan diri daripadanya), منكر الحديث (mungkar hadithnya) yang lafaz-lafaz ini membawa maksud kritikan berat di sisi beliau.

- Al-Imam al-Bukhari pernah berkata: “Aku berharap aku bertemu dengan Allah dan tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun.”

- Kata al-Hafiz al-Zahabi: “Apa yang Al-Imam al-Bukhari kata itu benar. Sesiapa yang melihat kalam beliau berkenaan al-jarh wa al-ta’dil (kritikan dan pujian kepada perawi hadith) akan mengetahui kewarakan beliau ketika berbicara tentang manusia dan keserhanaan beliau pada perawi yang beliau daifkan. Beliau kerap kali gunakan istilah منكر الحديث, سكتوا عنه, فيه النظر dan yang seumpama dengannya. Jarang sekali beliau akan kata: Si fulan itu pendusta atau memalsukan hadith. Sehinggakan beliau berkata: Jika aku kata si fulan itu ada pertikaian pada haditnya, maka dia adalah perawi yang dituduh (berdusta/memalsukan hadith) dan sangat daif. Inilah maksud perkataan beliau ‘tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun’. Ini - demi Allah - adalah setinggi-tinggi sifat warak.”

- Sifat warak ini juga sebenarnya diwarisi daripada ayahnya. Ahmad bin Hafs berkata: “Aku bertemu dengan Abu al-Hasan, yakni Ismail (ayah al-Imam al-Bukhari) ketika beliau hampir wafat. Beliau berkata: Tidaklah aku tahu bahawa ada sedirham pun daripada hartaku bersumber daripada perkara haram dan sedirham pun daripada perkara syubhah.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ karangan al-Hafiz al-Zahabi.

Friday, November 10, 2017

Syeikh Badruddin al-Hasani


- Syeikh Badruddin al-Hasani al-Syafi'e (1850M-1935M) merupakan seorang Syeikh di Darul Hadith, Dimasyq, sebuah madrasah hadith yang al-Imam al-Nawawi dan beberapa ulama hadith yang lain pernah mengajar di situ.

- Sayyid Ahmad al-Siddiq al-Ghumari memuji guru ijazah beliau ini sebagai seorang syeikh dataran Syam, seorang yang alim, zuhud dan warak.

- Beliau akan keluar dari rumahnya sebelum subuh menuju ke Darul Hadith. Beliau akan bersolat subuh di situ. Setelah selesai solat subuh, beliau akan duduk di sebuah bilik lalu para pelajar akan datang belajar dengan beliau. Ketika sedang mengajar sesuatu subjek, akan ada pelajar lain yang menunggu di luar untuk belajar subjek lain dengan beliau. Beliau akan duduk di situ sepanjang siang untuk mengajar.

- Beliau berpuasa setiap hari sepanjang tahun sejak 50 tahun dulu. Hanya pada dua hari raya sahaja beliau tidak berpuasa.

- Beliau seorang yang warak dan zuhud. Mempunyai wajah dan uban yang bercahaya. Sangat banyak berzikir dan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Jika ada yang bertanyakan soalan, beliau akan menjawab sekadarnya sahaja kemudian kembali berzikir dan berselawat.

- Beliau tidak suka berfatwa. Jika ada yang meminta fatwa, beliau akan suruh minta kepada orang lain. Beliau juga tidak suka jadi imam solat kerana sikap tawaduknya dan tidak mengambil tahu tentang hal keduniaan. Keadaan beliau sama ada mengajar ataupun berzikir sahaja.

- Beliau tidak menulis kecuali hanya beberapa risalah kecil sahaja seperti syarah al-Baiquniyyah. Ketika ada orang meminta beliau untuk menulis, beliau jawab: “Apa yang ulama tulis sudah mencukupi.”

- Umur beliau panjang sehingga ulama-ulama Syam yang tua dan muda adalah murid beliau.

- Pernah sekali beliau keluar berziarah ke beberapa tempat. Apabila beliau kembali ke Dimasyq, orang ramai sanggup beratur sekitar dua jam di kiri dan kanan jalan untuk bertemu dengan beliau. Jumlah orang ketika itu lebih daripada 100 ribu orang.

- Beliau tidak menerima tetamu kecuali di Darul Hadith. Orang yang menziarahi beliau pun tidak duduk lama dengan beliau, sekadar menyampaikan salam kemudian duduk seketika. Kemudian khadam beliau akan akan beri isyarat supaya keluar. Kadang-kadang ada orang-orang kaya dan tokoh kehormat datang jumpa beliau, beliau tidak izinkan mereka duduk. Kemudian mereka akan berlalu pergi. Kalau ada orang yang boleh duduk lama dengan beliau sekitar 20 minit atau setengah jam dan boleh tanya banyak soalan dengannya, itu akan dianggap karamah orang tersebut.

Sumber:

- Kitab Bahr al-‘Amiq Fi Marwiyat Ibn al-Siddiq karangan Sayyid Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari.

Thursday, November 9, 2017

Hadis palsu: Berkerjalah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selamanya...

اعمل لدنياك كأنك تعيش أبداً واعمل لآخرتك كأنك تموت غداً

"Bekerjalah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selamanya.Beribadahlah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esoknya."

Lafaz seperti ini tidak diriwayatkan daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang ditegaskan oleh Sayyid Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam Subul al-Huda dan Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam ulasan beliau ke atas kitab al-Maqasid al-Hasanah. Sebaliknya ia diriwayatkan dengan sanad yang daif daripada kata-kata Abdullah bin 'Amru, itu pun lafaz yang berbeza.

Sayyid Ahmad al-Ghumari menulis dua buah risalah tentang kepalsuan hadis ini iaitu 'Iyyaka Min al-Ightirar Bi Hadith I'mal Li Dunyaka' dan ringkasannya yang berjudul 'Subul al-Huda Fi Ibthal Hadith I'mal Li Dunyaka Ka Annaka Ta'isyu Abada'.

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam az-Zuhd, Ibn Qutaibah dalam Uyun al-Akhbar dan al-Harith dalam Musnadnya dengan sanad terputus daripada Abdullah bin Amru, katanya:

"احرث لدنياك كأنك تعيش أبداً، واحرث لأخرتك كأنك تموت غداً".

"Bercucuk tanamlah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bercucuk tanamlah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari”.

Manakala lafaz yang mirip yang diriwayatkan daripada hadis Nabi sallahu 'alaihi wasallam tetapi dengan sanad daif adalah seperti di bawah:

"اعمَلْ عملَ امريءٍ يظنّ أن لن يموت أبداً، واحذّرْ حذرَ امريءٍ يخشى أن يموت غداً."

"Beramallah seperti amalan orang yang menyangka dia tidak akan mati selama-lamanya dan berwaspadalah seperti waspada orang yang takut dia akan mati esok hari”.

Lafaz ini tak ada disebut 'dunia' dan 'akhirat'. Secara zahir, kesemuanya berkait dengan amal akhirat sahaja. Ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Sunannya secara lafaz panjang dan ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus secara lafaz pendek drp Abdullah bin Amru. Al-Hafiz as-Suyuti mengisyaratkannya sebagai daif dan Syeikh al-Munawi mengulas: "Demikian kerana pada sanadnya terdapat perawi majhul dan ada kelemahan”.

P/S: Sebahagian tulisan ini saya ambil dari tulisan Ustaz Khafidz Soroni dan sebahagian lagi tulisan saya sendiri.

Wednesday, November 8, 2017

Kesedihan al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin tatkala terbakar maktabahnya

- Al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H) merupakan salah seorang guru al-Hafiz Ibnu Hajar.

- Beliau terkenal sebagai seorang yang mempunyai banyak penulisan. Kata al-Hafiz al-Sayuti dalam Tadrib al-Rawi: "Empat orang yang sezaman: Al-Siraj al-Bulqini, al-Siraj Ibnu al-Mulaqqin, al-Zain al-'Iraqi dan al-Nur al-Haithami. Yang paling alim di antara mereka dalam fiqh adalah al-Bulqini, yang paling alim dalam hadith dan matan-matanya adalah al-'Iraqi, yang paling banyak penulisannya adalah Ibnu al-Mulaqqin dan yang paling banyak menghafal matan hadith adalah al-Haithami."

- Beliau menghasilkan kitab takhrij hadith antara yang terbesar dalam sejarah Islam iaitu kitab al-Badr al-Munir yang mentakhrijkan hadith-hadith dalam kitab al-Syarh al-Kabir karangan al-Rafi'ie.

- Beliau gemar menhimpunkan kitab dan mempunyai sebuah maktabah yang besar yang menghimpunkan kitab-kitab yang langka. Dikatakan bahawa koleksi buku beliau lebih banyak daripada al-Hafiz al-'Iraqi. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: "Aku tidak pernah melihat sesiapa pun di Kaherah ini yang lebih banyak kitab daripadanya."

- Ketika penghujung usia beliau, maktabah beliau terbakar sehingga sebahagian besar penulisan beliau turut terbakar. Terbakarnya maktabah beliau ini menyebabkan beliau bersedih yang bersangatan sehingga menyebabkan akal fikiran beliau berubah. Anaknya mengambil keputusan mengurung beliau di dalam rumah dan menghalang orang ramai bertemu dengannya.

- Kata Syeikh Ahmad Ma'bad Abdul Karim: "Kita ini kalau semua terbakar tapi dapur selamat tak ada masalah lagi. Selama mana sandwic ada, yang lain naik pergi jahanam pun tak apa."




Sunday, October 29, 2017

Takhrij Hadith: Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya

 Soalan:

إن لقمان قال لابنه يا بني عليك بمجالسة العلماء واسمع كلام الحكماء فإن الله ليحيي القلب الميت بنور الحكمة كما يحيى الأرض الميتة بوابل المطر

*درجة الحديث: هو من طريق عبيد الله بن زحر عن علي بن يزيد عن القاسم

*الراوي: أبو أمامة الباهلي

* المحدث: المنذري في الترغيب والترهيب - 1/89

Ust, nok tanye... Darjat hadis... Kat situ ye kata drpd toriq ubaidillah... Maksud ye gane?... Soheh ke... Dhaif ke... Gane?

Jawapan:

إِنَّ لُقْمَانَ قَالَ لِابْنِهِ: يَا بُنَيَّ عَلَيْكَ بِمَجَالِسِ الْعُلَمَاءِ، وَاسْتَمِعْ كَلَامَ الْحُكَمَاءِ، فَإِنَّ اللهَ يُحْيِي الْقَلْبَ الْمَيِّتَ بِنُورِ الْحِكْمَةِ كَمَا يُحْيِي الْأَرْضَ الْمَيْتَةَ بِوَابِلِ الْمَطَرِ

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Luqman (al-Hakim) berkata kepada anaknya, Wahai anakku, hendaklah kamu berdamping dengan ulama dan mendengar kalam hukama. Sesungguhnya Allah akan menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah sebagaimana dihidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.”

Hadis ini daif.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Ramahurmuzi dalam Amthal al-Hadith daripada jalur perawi Abi al-Muhallab, Mutharrih bin Yazid daripada ‘Ubaidillah bin Zahr al-Dhamri daripada ‘Ali bin Yazid al-Alhani daripada al-Qasim bin Abdul Rahman al-Syami daripada Abi Umamah.

Abu al-Muhallab, ‘Ubaidillah bin Zahr dan Ali bin Yazid, ketiga-tiganya adalah daif.

Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Dalam sanadnya ada ‘Ubaidullah bin Zahr (yang meriwayatkan) daripada ‘Ali bin Yazid, kedua-dua mereka adalah daif yang tidak boleh dijadikan hujah dengannya.”

Al-Hafiz al-Sayuthi menilai sanadnya sebagai daif dalam al-Durr al-Manthur.

Takhrij Hadith: "Ketergesa-gesaan itu dari syaitan..."

Soalan:

Mohon pencerahan tentang hadis berikut :

“Dikatakan, “Ketergesa-gesaan itu dari syaitan, kecuali dalam lima perkara: menghidangkan makanan jika tetamu telah hadir, mengurusi jenazah jika telah meninggal dunia, menikahkan anak gadis jika telah baligh, menunaikan utang jika telah sampai tempoh, dan bertaubat dari dosa jika telah melakukan dosa”.

(HR. Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah (8/78))

Jawapan:

العجلة من الشَّيْطَان إِلَّا فِي خَمْسَة فَإِنَّهَا من سنة رَسُول الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم إطْعَام الطَّعَام وتجهيز الْمَيِّت وتزويج الْبكر وَقَضَاء الدَّين وَالتَّوْبَة من الذَّنب

Lafaz seperti ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya daripada kata-kata Hatim al-Ashom (w. 237H) tapi  kandungannya diambil daripada hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya hadis berikut:

الأَنَاةُ مِنَ اللَّهِ وَالعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

“Kehati-hatian itu daripada Allah dan ketergesa-gesaan itu daripada syaitan.”

Riwayat al-Termizi daripada Sahl bin Sa’ad. Kata al-Termizi (dalam sebahagian manuskrip Sunan al-Termizi): “Hadis hasan gharib.” Abu Ya’la meriwayatkan daripada Anas bin Malik dengan lafaz yang lebih kurang sama.

التؤدة في كل شيء خير إلا في عمل الآخرة

“Kehati-hatian/perlahan-lahan pada setiap perkara itu baik kecuali pada amalan akhirat (maka perlu disegerakan).”

Riwayat Abu Daud daripada Sa’ad bin Abi Waqqas dengan sanad yang daif.

ثَلَاثٌ يَا عَلِيُّ لَا تُؤَخِّرْهُنَّ: الصَّلَاةُ إِذَا آنَتْ، وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ، وَالْأَيِّمُ إِذَا وَجَدَتْ كُفْؤًا

“Tiga perkara wahai Ali, jangan dilambat-lambatkan: Solat apabila telah tiba (waktunya), (solat) jenazah apabila telah hadir (jenazahnya), wanita bujang apabila telah ada pasangan yang sekufu.”


Riwayat Ahmad, al-Termizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan lain-lain. Al-Hakim mensahihkannnya dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Takhrij hadith: "Jika Aku menguji hambaKu yang mukmin..."

Soalan:

Asalam ustaz,

Sabda Nabi S.A.W:

"Jika kamu di timpa sakit( musibah ), dan kamu di ziarahi, dan kamu tidak mengeluh, maka aku ( Allah azawajallah ), akan gantikan dengan darah dan daging yg baru."
Minta penjelasan hadith ini, atau jika ada hadith yang asal.

Jawapan:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِيَ الْمُؤْمِنَ، وَلَمْ يَشْكُنِي إِلَى عُوَّادِهِ أَطْلَقْتُهُ مِنْ أَسَارِي، ثُمَّ أَبْدَلْتُهُ لَحْمًا خَيْرًا مِنْ لَحْمِهِ، وَدَمًا خَيْرًا مِنْ دَمِهِ، ثُمَّ يُسْتَأْنَفُ الْعَمَلَ

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 “Allah Ta’ala berfirman, Jika Aku menguji hambaKu yang mukmin (beriman) dan dia tidak mengadukan (kesakitannya) kepada orang yang menziarahinya, Aku akan bebaskan dia daripada kesakitan tersebut. Kemudian Aku akan gantikan daging yang lebih baik daripada dagingnya (yang dahulu) dan gantikan darah yang lebih baik daripada darahnya (yang dahulu), kemudian akan dihapuskan dosa perbuatan buruknya.”

Hadis ini riwayat al-Hakim al-Naisaburi dalam al-Mustadrak dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra dan Syu’ab al-Iman daripada hadis Abu Hurairah.

Al-Hakim mensahihkannya dan dipersetujui oleh al-Hafiz al-Zahabi. Al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Hadis al-Ihya’ menilai sanadnya sebagai jayyid (baik).

Sunday, October 8, 2017

Hadis Tidur Selepas Asar

مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ

Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.

Hadis ini diriwayatkan daripada beberapa sahabat dan mursal tabiin antaranya riwayat Aisyah, Abdullah bin ‘Abbas, Anas bin Malik, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As, mursal al-Zuhri dan lain-lain. Sebahagian riwayat ini dikritik dengan keras manakala sebahagian yang lain menerima kritikan yang ringan sahaja.

Hadis ini sekadar daif sahaja, bukan sangat daif atau palsu. Hadis ini masih dapat digunakan untuk al-tarhib [ancaman daripada melakukan perbuatan yang buruk].

Riwayat yang paling ringan kedaifannya ialah hadis Anas bin Malik [diriwayatkan dalam Mu’jam al-Isma’ili dan Tarikh Jurjan], mursal Makhul [riwayat Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil] dan mursal al-Zuhri [riwayat al-Tahawi dalam Musykil al-Athar]. Semuanya diriwayatkan melalui perawi Abdullah bin Lahi'ah. Dia adalah perawi yang daif, tetapi tidak sampai ke tahap yang sangat daif.

Kata Syeikh Ahmad Ma'bid Abdul Karim dalam ta'liq kitab al-Nafh al-Syazi Fi Syarh Sunan al-Termizi:

"Dengan meneliti jalur-jalurnya secara umum, kami mendapati bahawa jalur yang paling kurang sekali kedaifannya adalah berdasarkan dua jalur Ibnu Lahi'ah, yang mursal dan yang mausul. Tindakah Ibnu Jauzi yang menyifatkan Ibnu Lahi'ah sebagai zahib al-hadis (sangat daif) adalah adalah satu bentuk tasyaddud yang bercanggah dengan pendapat jumhur yang mendaifkannya sahaja. Disebabkan itu, al-Sayuthi dan selepas beliau iaitu Ibnu 'Arraq menolak pendapat Ibnu Jauzi yang mengkategorikannya sebagai hadis palsu, dan mereka berdua sekadar mendaifkannya sahaja."

Sebahagian ulama mazhab Hanbali seperti Ibnu Muflih dalam Adab al-Syar'iyyah dan al-Buhuti dalam Kasyf al-Qina' berpendapat makruh tidur selepas Asar.

Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf meriwayatkan daripada seorang sahabat iaitu Khawwat bin Jubair, beliau berkata:

كَانَ نَوْمُ أَوَّلِ النَّهَارِ خُرْقٌ، وَأَوْسَطُهُ خُلُقٌ، وَآخِرُهُ حُمْقٌ

"Tidur pada awal siang itu satu kedungguan, tidur pada pertengahan siang adalah suatu yang beretika, dan tidur di akhir siang adalah satu kebodohan."

Al-Dinawari meriwayatkan dalam al-Mujalasah daripada Ibnu 'Abbas, beliau berkata kepada anaknya:

بُنَيَّ! نَوْمُ النَّهَارِ عَلَى ثَلَاثَةٍ؛ نَوْمُ حُمْقٍ؛ وَهِيَ نَوْمَةُ الضُّحَى، وَنَوْمَةُ الْخُلُقِ؛ وَهِيَ الَّتِي رُوِيَ: قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ، وَنَوْمَةُ الْخُرْقِ؛ وَهِيَ نَوْمَةٌ بَعْدَ الْعَصْرِ لَا يَنَامُهَا إِلَّا سَكْرَانُ أَوْ مَجْنُونٌ.

"Wahai anakku, tidur pada waktu siang itu ada tiga jenis. Tidur yang bodoh iaitu tidur pada waktu Dhuha. Tidur yang beretika iaitu sebagaimana yang diriwayatkan 'Berqailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berqailulah.' Tidur yang dunggu iaitu tidur selepas Asar. Tidak tidur padanya kecuali akan mabuk (pening) atau gila."

Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf meriwayatkan daripada seorang tabiin iaitu Makhul bahawa beliau tidak suka tidur selepas Asar kerana dibimbangi akan ditimpa penyakit waswas.

Ibnu Muflih dalam Adab al-Syar'iyyah menukilkan daripada al-Maruzi, beliau berkata: “Aku mendengar Aba Abdillah - Imam Ahmad bin Hanbal - membenci seseorang itu tidur selepas Asar, dibimbangi akan memberi kesan kepada akalnya."

Monday, October 2, 2017

Takhrij Hadis: Hati Sebagai Penasihat

Soalan:

Sabda Rasulullah saw:

*Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat dari hatinya sendiri.

"Barangsiapa yang hatinya menjadi penasihat baginya, maka Allah swt akan menjadi pelindung keatasnya".

Assalamu'alaikum, maaf saya nak tanya hadis di atas diriwayatkan dari siapa?

Jawapan:

Ia terdiri daripada dua bahagian hadis:

                                                                        Pertama:

إِذا أَرَادَ الله بِعَبْدِهِ خيرا جعل لَهُ واعظا من قلب

Jika Allah menghendaki kebaikan pada hambanya, Allah akan menjadikan hatinya sebagai penasihat (supaya melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan).”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada hadis Ummu Salamah. Menurut al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya’, sanadnya hasan.

Imam Ahmad dalam kitab al-Zuhd meriwayatkan juga daripada kata-kata seorang tabi’i iaitu Muhammad bin Sirin:

 إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَاعِظًا مِنْ قَلْبِهِ يَأْمُرُهُ وَيَنْهَاهُ

“Jika Allah menghendaki kebaikan pada hambanya, Allah akan menjadikan hatinya sebagai penasihat yang menyuruhnya (melakukan kebaikan) dan melarangnya (daripada melakukan kejahatan).”

                                                                        Kedua

من كَانَ لَهُ من قلبه واعظ كَانَ عَلَيْهِ من الله حَافظ

“Sesiapa yang hatinya menjadi penasihat baginya, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung baginya”

Ia sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Aisyah dengan sanad yang daif.

Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan dalam kitab al-‘Iyal daripada kata-kata al-Hasan al-Basri:

مَنْ كَانَ لَهُ وَاعِظٌ مِنْ نَفْسِهِ كَانَ لَهُ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ

“Sesiapa yang dirinya sendiri menjadi penasihat baginya, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung baginya.”

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab al-Zuhd daripada Abi al-Jald, beliau berkata:

قَرَأْتُ فِي الْحِكْمَةِ: مَنْ كَانَ لَهُ مِنْ نَفْسِهِ وَاعِظٌ، كَانَ لَهُ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ

“Aku pernah terbaca dalam satu kata-kata hikmah: “Sesiapa yang dirinya sendiri menjadi penasihat baginya, maka Allahlah yang akan menjadi pelindung baginya.”

Abu al-Jald ini atau nama sebenarnya Jilan bin Farwah@Abi Farwah ini seorang tabi’i yang thiqah yang banyak membaca kitab orang-orang terdahulu.

Monday, September 25, 2017

Prof Dr Jawiah Dakir: Hadis palsu dalam kitab Ihya'

1 - Baru-baru ini polemik hadis-hadis dalam kitab Ihya' karangan al-Imam al-Ghazali timbul kembali. Dan sekali lagi nama Prof Dr Jawiah Dakir (UKM) kembali disebut-sebut berikutan kajian beliau terhadap hadis-hadis dalam kitab Ihya'.

2 - Saya mengesyorkan bagi sesiapa yang ingin mengkritik Prof Dr Jawiah Dakir agar membaca sendiri buku beliau ‘Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu’ yang diterbitkan oleh Penerbit UKM setebal 96 halaman atau menonton video syarahan beliau di Youtube:

- Buku ‘Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu’:

http://ukmpress.ukm.my/index.php?route=product/product&path=66&product_id=234

- Syarahan Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu’:


3 - Kepentingan merujuk sumber asal adalah agar tidak wujud salah fakta atau salah faham. Contohnya dalam tulisan Ustaz Mursyidi yang mengatakan Prof Dr Jawiah Dakir menyebutkan bahawa terdapat 285 hadis palsu dalam kitab Ihya’ sedangkan apabila dirujuk buku asal beliau jumlah sebenar ialah 265 buah hadis. Jumlah 265 buah hadis ini bukan hadis maudhu’ sahaja, tetapi termasuk hadis-hadis yang dikritik (termasuk hadis yang dikatakan sebagai mungkar).  Istilah mungkar kadang-kadang digunakan sebagai maksud maudhu’ dan kadang kala digunakan bagi hadis yang tidak dianggap secara pasti sebagai maudhu’.

Jumlah 285 buah hadis tersebut sebenarnya merujuk kepada hadis yang tidak boleh dijadikan hujah sebagai hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang masyhur dalam masyarakat Melayu. Pendapat beliau ini masih terbuka untuk dikaji semula.

4 - Prof Dr Jawiah Dakir sebenarnya sekadar menghimpunkan statistik hadis-hadis yang dihukumkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi sebagai maudhu’, batil, mungkar, la asla lahu [tiada asal baginya], lam ajidhu [aku tidak temuinya] dan sebagainya, termasuk hukum palsu ahli hadis yang lain yang al-Hafiz al-Iraqi masukkan dalam kitab takhrij beliau.Prof Dr Jawiah Dakir sekadar bertaklid kepada al-Hafiz al-‘Iraqi, jadi tidaklah beliau perlu disalahkan kerana beliau sekadar bertaklid.
   
5 - Jika timbul persoalan, bolehkah hukum palsu terhadap hadis-hadis yang tidak ditemui atau tidak diketahui oleh seorang al-Hafiz? Saya katakan: Ya, boleh. Ini berdasarkan pendapat ahli hadis sendiri.

- Kata al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi: “Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ [yang luas telaahnya] al-Naqid [seorang pengkritik hadis] berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya [yakni dinafikan kewujudan hadis tersebut], sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam [al-Hafiz Ibnu Hajar].”

- Kata Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah“Jika berkata salah seorang daripada mereka [ahli hadis] pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ atau ‘tidak ada asal baginya’ -dan tidak dikritik oleh seorang pun daripada huffaz hadis selepasnya [tambahan daripada Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah]- memadailah untuk menghukum kepalsuan hadis tersebut.”

Jadi jika wujud hadis-hadis dalam kitab Ihya’ yang tidak diketahui atau tidak dijumpai oleh al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Hafiz Muhammad Murtadha al-Zabidi, maka boleh dihukum sebagai palsu. Jika tidak mahu menghukum sebagai palsu sekalipun, maka ia tidak boleh disebarkan sehingga dipastikan statusnya.

7 – Jika timbul lagi persoalan, benarkah ada hadis dalam kitab Ihya’ yang dihukum batil, palsu dan la asla lahu oleh al-Hafiz al-‘Iraqi? Saya katakan: Ya, ada dan saya akan berikan beberapa contohnya:

1 - حَدِيث «يَا أَبَا هُرَيْرَة أَتُرِيدُ أَن تكون رَحْمَة الله عَلَيْك حَيا وَمَيتًا ومقبورا قُم من اللَّيْل فصل وَأَنت تُرِيدُ رضَا رَبك، يَا أَبَا هُرَيْرَة صل فِي زَوَايَا بَيْتك يكن نور بَيْتك فِي السَّمَاء كنور الْكَوَاكِب والنجوم عِنْد أهل الدُّنْيَا»

قال العراقي: بَاطِل لَا أصل لَهُ.

2 - حَدِيث: كَانَ يطوف بِالْبَيْتِ فَإِذا رجل مُتَعَلق بِأَسْتَارِ الْكَعْبَة وَهُوَ يَقُول: بِحرْمَة هَذَا الْبَيْت إِلَّا غفرت لي ذَنبي! فَقَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم «وَمَا ذَنْبك صفه لي؟» فَقَالَ: هُوَ أعظم من أَن أصفه لَك. فَقَالَ «وَيحك ذَنْبك أعظم أم الأرضون؟» فَقَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الْجبَال؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الْبحار؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم السَّمَوَات؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الْعَرْش؟» قَالَ: بل ذَنبي أعظم يَا رَسُول الله. قَالَ «فذنبك أعظم أم الله؟» قَالَ: بل الله أعظم وَأَعْلَى. قَالَ «وَيحك فَصف لي ذَنْبك» . قَالَ: يَا رَسُول الله إِنِّي رجل ذُو ثروة من المَال وَإِن السَّائِل ليأتيني يسألني، فَكَأَنَّمَا يستقبلني بشعلة من نَار. فَقَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم "إِلَيْك عني لَا تحرقني بنارك! فوالذي بَعَثَنِي بالهداية والكرامة: لَو قُمْت بَين الرُّكْن وَالْمقَام ثمَّ صليت ألفي ألف عَام، ثمَّ بَكَيْت حَتَّى تجْرِي من دموعك الْأَنْهَار وتسقي بهَا الْأَشْجَار، ثمَّ مت وَأَنت لئيم، لأكَبّكَ الله فِي النَّار. وَيحك أما علمت أَن الْبُخْل كفر، وَأَن الْكفْر فِي النَّار؟ وَيحك أما علمت إِن الله تَعَالَى يَقُول {وَمن يبخل فَإِنَّمَا يبخل عَلَى نَفسه ... وَمن يُوقَ شح نَفسه فَأُولَئِك هم المفلحون} ؟ "

قال العراقي: بِطُولِهِ وَهُوَ بَاطِل لَا أصل لَهُ.

3 - حَدِيث "مَا من أحد يَصُوم أول خَمِيس من رَجَب ثمَّ يُصَلِّي فِيمَا بَين الْعشَاء وَالْعَتَمَة اثْنَتَيْ عشرَة رَكْعَة يفصل بَين كل رَكْعَتَيْنِ بِتَسْلِيمَة يقْرَأ فِي كل رَكْعَة بِفَاتِحَة الْكتاب مرّة وَإِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَة الْقدر ثَلَاث مَرَّات وَقل هُوَ الله أحد اثْنَتَيْ عشرَة مرّة، فَإِذا فرغ من صلَاته صَلَّى عَلّي سبعين مرّة يَقُول: اللَّهُمَّ صل عَلَى مُحَمَّد النَّبِي الْأُمِّي وَعَلَى آله ثمَّ يسْجد وَيَقُول فِي سُجُوده سبعين مرّة: سبوح قدوس رب الْمَلَائِكَة وَالروح، ثمَّ يرفع رَأسه وَيَقُول سبعين مرّة: رب اغْفِر وَارْحَمْ وَتجَاوز عَمَّا تعلم إِنَّك أَنْت الْأَعَز الأكرم، ثمَّ يسْجد سَجْدَة أُخْرَى وَيَقُول فِيهَا مثل مَا قَالَ فِي السَّجْدَة الأولَى ثمَّ يسْأَل حَاجته فِي سُجُوده فَإِنَّهَا تُقضى"

قال العراقي: فِي صَلَاة الرغائب أوردهُ رزين فِي كِتَابه وَهُوَ حَدِيث مَوْضُوع.

4 - حَدِيث "فضل: لقد صدق الله رَسُوله الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ 

قال العراقي: لم أجد فِيهِ حَدِيثا يَخُصهَا، لَكِن فِي فضل سُورَة الْفَتْح مَا رَوَاهُ أَبُو الشَّيْخ فِي كتاب من حَدِيث أبي ابْن كَعْب» من قَرَأَ سُورَة الْفَتْح فَكَأَنَّمَا شهد فتح مَكَّة مَعَ النَّبِي صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم" وَهُوَ حَدِيث مَوْضُوع.

8 – Kajian Prof Dr Jawiah Dakir tidak bermaksud untuk menghalang masyarakat daripada membaca kitab Ihya’ apalagi untuk merendah-rendahkan kedudukan al-Imam al-Ghazali. Saya petik kata-kata beliau sendiri daripada buku Keberadaan al-Mawdu’ dalam Masyarakat Melayu:

- “Kelahiran kitab ini [Ihya’ Ulum al-Din] merupakan satu sumbangan besar kepada pembangunan ilmu umat Islam. Khususnya kepada masyarakat Melayu, terjemahan ke dalam bahasa Melayu telah membantu mereka mengambil manfaat ilmu daripadanya.”

- “Bagaimanapun berdasarkan hasil kajian ini, saya berpandangan bahawa kitab ini masih relevan sebagai bahan rujukan, terutamanya dalam bidang pembangunan insan. Kitab ini penuh dengan panduan dan pedoman bagi seseorang yang ingin mendalami mengenai akhlak Islam khususnya bidang tasawuf. Sumbangan pengarang melalui kitab ini dalam masyarakat Melayu tidak dapat dipertikai. Di samping itu, para pembaca digalakan merujuk status hadis dalam kitab ini, yang telah dilakukan oleh al-Iraqi sebagai panduan, seterusnya mengelak diri daripada menggunakannya sebagai hadis Nabi SAW.”

9 – Kewujudan hadis-hadis palsu dalam sesuatu kitab bukanlah satu-satunya alasan untuk menolak sesebuah kitab dan merendah-rendahkan pengarangnya. Kewujudan hadis palsu boleh dikatakan ada dalam kitab semua aliran sama ada Ahli Sunnah Wal Jama’ah [al-Asya’irah & al-Maturidiyyah], Syi’ah [sudah tentu], Wahabi hatta dalam kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim sekalipun. Bagi orang yang mengkaji hadis, perkara ini tidak dianggap pelik. Saya sudah berkali-kali mengesyorkan agar dibaca tulisan Ustaz Khafidz Soroni berikut:

Tak Pelik Ulama ‘Terguna’ Hadis Palsu

http://sawanih.blogspot.my/2013/12/tak-pelik-ulama-terguna-hadis-palsu.html

10 - Wujud beberapa individu yang ingin memalukan ustaz-ustaz tertentu dengan alasan ustaz-ustaz berkenaan menyebutkan hadis-hadis palsu dalam ceramah-ceramah mereka. Ustaz-ustaz berkenaan atau mana-mana individu sekalipun tidak sewajarnya digelar sebagai pemalsu hadis atau penyebar hadis palsu hanya kerana tersalah sebut hadis yang mereka tidak tahu kepalsuannya. Adakah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim pun hendak dianggap penyebar hadis palsu?

Seorang Muslim yang baik dan faham tentang Islam sudah semestinya tidak akan menyebarkan hadis palsu dengan sengaja kerana masing-masing sudah makruf tentang amaran Nabi sallahu ‘alaihi wasallam terhadap orang yang berdusta ke atas baginda. Yang menjadi kesalahan adalah orang yang sengaja mencipta hadis palsu atau orang yang tahu kepalsuan sesuatu hadis tetapi masih tegar menyebarkannya. Orang-orang begini yang perlu benar-benar disalahkan.

Wallahu a’lam.

P.S: Saya mengalu-alukan sebarang teguran membina andai kata ada kesilapan dalam tulisan saya yang tidak seberapa ini. Terima kasih.

Friday, September 22, 2017

Hadis palsu: Kelebihan puasa akhir bulan Zulhijah dan awal bulan Muharam

Soalan:

Mohon jasa baik para asatizah memberikan pencerahan mengenai hadith ini:

Hadis Nabi saw: "Barang sesiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama bulan Muharam , maka sesungguhnya dia telah mengakhiri tahun yang lalu dengan berpuasa dan telah membuka ( memulakan ) tahun yang datang dengan berpuasa dan Allah Taala telah menjadikannya memberikan baginya tebusan dosa selama lima puluh tahun.”

Jawapan:

Hadis tersebut berikut teksnya dalam bahasa Arab:

مَنْ صَامَ آخِرَ يَوْمٍ مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَأَوَّلُ يَوْمٍ مِنَ الْمُحَرَّمِ فَقَدْ خَتَمَ السَّنَةَ الْمَاضِيَةِ وَافْتَتَحَ السَّنَةَ الْمُسْتَقْبَلَةَ بِصَوْمٍ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ كَفَّارَةَ خَمْسِينَ سَنَةً

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu'at daripada hadis Ibnu 'Abbas.
Al-Hafiz al-Zahabi dalam kitab Talkhis Kitab al-Maudhu'at menyebutkan dengan lafaz yang sedikit berbeza:

من صَامَ آخر سنة وَأول الْأُخْرَى؛ جعل الله لَهُ كَفَّارَة خمسين سنة 

"Sesiapa yang berpuasa pada akhir tahun dan awal tahun berikutnya, Allah akan mengurniakan kepadanya kafarah dosa selama 50 tahun."

Dalam sanadnya terdapat dua orang perawi yang terkenal sebagai pendusta dan pemalsu hadis iaitu Ahmad bin 'Abdullah al-Harawi al-Juwaibari dan Abu al-Bakhtari Wahb bin Wahb.

Oleh kerana itu hadis ini dihukum sebagai palsu oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at, al-Zahabi dalam Talkhis Kitab al-Maudhu'at, al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu'ah, Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah. Cumanya, al-Syaukani tersilap dengan menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah sedangkan ia tidak ada dalam Sunan Ibnu Majah.

Meskipun begitu, sunat hukumnya berpuasa pada bulan Zulhijjah dan bulan Muharam kerana termasuk dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang termaktub dalam kitab-kitab fiqh.

Wallahu a’lam.

Wednesday, September 20, 2017

Hadis Palsu dalam Kitab al-Syifa karangan al-Qadhi 'Iyadh?

- Berdasarkan penomboran hadis Syeikh Abduh Ali Kusyak [pentahqiq kitab al-Syifa], terdapat sekitar 1830 buah hadis dalam kitab ini, termasuk hadis-hadis yang berulang.

- Terdapat sebilangan kecil hadis yang tidak ditemui asalnya oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam kitab Manahil al-Sofa yang mentakhrijkan hadis-hadis kitab al-Syifa. Jika hadis-hadis yang tidak ditemui asalnya oleh al-Hafiz al-Sayuthi ini turut sama tidak ditemui sumbernya oleh ahli hadis yang lain, maka dapat dihukumkannya sebagai 'la asla lahu', seterusnya memberi gambaran wujudnya beberapa hadis-hadis 'la asla lahu' dalam kitab ini.

- Syeikh Abduh Ali Kusyak dalam kajiannya terhadap kitab al-Syifa berpendapat bahawa terdapat hadis-hadis daif dalam kitab ini yang masih boleh diamalkan dalam fadhail a'mal dan al-targhib wa al-tarhib dan ada sebilangan kecil hadis palsu.

- Syeikh Abdullah al-Talidi dalam kitab kitab Ithaf Ahl al-Wafa yang meringkaskan kitab al-Syifa berpendapat terdapat lebih 150 buah hadis-hadis palsu dan 'la asla lahu' dalam kitab ini. Pendapat beliau ini masih terbuka untuk dikaji semula dan hadis-hadis yang beliau hukum palsu pun mungkin masih ada khilaf padanya.

- Contohnya hadis berikut:

ما رأيتُ فَرْجَ رسولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم قطُّ.

Kata 'Aisyah: "Aku tidak pernah sekali pun melihat kemaluan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam." (Riwayat al-Termizi dalam al-Syamail dan Ibnu Majah)

- Hadis ini dihukumkan sebagai 'la asla lahu' (palsu) oleh Syeikh Abdullah al-Talidi. Istilah 'la asla lahu' kebiasaannya digunakan bagi hadis-hadis yang tidak wujud dalam kitab-kitab hadis primer. Jika istilah ini digunakan bagi hadis musnad, maka yang dimaksud dengan istilah ini ialah hadis tersebut palsu sebagaimana penerangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam mukadimah tahqiq kitab al-Masnu'. Meskipun begitu ahli hadis yang lain seperti al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Kafi al-Syaf dan al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah sekadar menghukumnya sebagai daif kerana terdapat perawi yang tidak dinamakan di dalam sanadnya. Saya sendiri kehairanan, atas dasar apa Syeikh al-Talidi menghukum palsu hadis ini kerana berdasarkan carian, saya tidak temui mana-mana ahli hadis yang menghukum palsu hadis ini. Wallahu a'lam.

- Jika wujud hadis palsu sekalipun, jumlahnya hanya sedikit jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan hadis-hadis dalam kitab al-Syifa dan sedikit pun tidak mengurangkan keagungan kitab tersebut.

Wallahu a'lam.

Monday, September 18, 2017

Tabaruk Ibnu Hibban dengan kubur Ali al-Ridha

Al-Imam Ibnu Hibban menceritakan dalam kitab al-Thiqat, berkenaan biodata ‘Ali bin Musa bin Ja’far bin Muhammad bin ‘Ali bin al-Hussein bin ‘Ali bin Abi Thalib, yang dikenali sebagai ‘Ali bin Musa al-Ridha:

“Kuburnya terletak di Sanabaz [Tus, Iran], luar kawasan al-Nuqan. Kuburnya dekat dengan kubur al-Rasyid, masyhur diziarahi. Aku menziarahi kuburnya banyak kali. Ketika aku ditimpa kesusahan sewaktu aku tinggal di Tus, aku menziarahi kubur ‘Ali bin Musa al-Ridha, semoga Allah limpahkan selawat ke atas datuknya dan ke atasnya. Aku berdoa kepada Allah supaya dihilangkan kesusahan tersebut. Lalu dihilangkan kesusahan yang menimpaku itu.

Ini sesuatu yang telah aku cuba berkali-kali dan aku mendapatinya mujarab. Semoga Allah mematikan kami dalam kecintaan terhadap al-Mustafa [Rasulullah] dan para ahli baitnya, semoga Allah limpahkan selawat ke atas baginda dan para ahli baitnya semuanya.”

Rujukan:

- Al-Thiqat, Ibnu Hibban, jil. 8, hlm. 457,  c. Dairah al-Ma'arif al-'Uthmaniyyah.