Tuesday, January 3, 2017

Hadis: Lima kelebihan menjaga solat

من حافظ على الصلوات المكتوبة أكرمه الله تعالى بخمس كراماتيرفع عنه ضيق العيش ، ويرفع عنه عذاب القبر ، ويعطيه كتابه بيمينه ، ويمر على الصراط كالبرق الخاطف ، ويدخل الجنة بغير حساب .

“Sesiapa yang menjaga solat-solat fardu, Allah akan memuliakannya dengan lima kemuliaan:

1. Diangkat daripadanya kesempitan hidup.

2. Diangkat daripadanya azab kubur.

3. Diberikan kepadanya kitab [cacatan amalannya] dari sebelah kanan.

4. Dia akan melalui sirat sepantas kilat.

5. Dia akan masuk syurga tanpa hisab.”

Ia sebahagian daripada ‘hadis’ panjang yang dimuatkan oleh Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dalam Fadhilat ‘Amal. Kata beliau:

“Sesungguhnya aku tidak menemui hadis ini dalam keseluruhan kitab-kitab hadis. Tetapi apa yang disebutkan di dalamnya berkenaan pahala, ganjaran, seksaan dan ancaman terkandung dalam riwayat-riwayat lain yang sabit...” 

Sunday, January 1, 2017

Perseteruan antara ulama

1. Antara al-Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari [194H-256H] dan al-Imam Muhammad bin Yahya al-Zuhli [172H-258H].

Perseteruan yang berlaku diantara guru dan murid yang mana asalnya al-Zuhli adalah guru kepada al-Bukhari. Sebagaimana yang tercatat dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’, ketika mana al-Bukhari datang ke Naisabur [Iran], al-Zuhli antara yang menggalakkan orang ramai mendengar hadis daripadanya. Sehinggalah semakin berkurangan orang yang hadir dalam majlis al-Zuhli, maka timbullah hasad di hati al-Zuhli lalu beliau mula mempertikaikan al-Bukhari. Ditimbulkan permasalah berkenaan lafaz al-Quran, sama ada makhluk atau tidak dan diuji al-Bukhari tentang permasalahan tersebut sehinggalah al-Bukhari mengambil tindakan keluar dari Nisabur.

Masa berlalu dan pada hari ini nama al-Bukharilah yang disebut-sebut dan kitabnya diajarkan di seluruh pelosok dunia. Kitabnya diiktiraf sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran. Manakala al-Zuhli pula, namanya hanya tercatat dalam kitab-kitab sejarah dan tarajim, bahkan ramai yang tidak mengenalinya pun!

2. Antara al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani [773H-852H] dan al-Hafiz Badruddin al-‘Aini [762H-855H].

Kedua-duanya adalah pensyarah kepada Sahih al-Bukhari dan kedua-duanya ada perseteruan sehingga saling kritik-mengkritik dalam penulisan mereka. Sehingga Syeikh Abdul Rahman al-Busiri [w. 1935M], seorang ilmuan dari Libya menulis kitab Mubtakirat al-Laali’ Wa al-Durar Fi Muhakamah Baina al-‘Aini Wa Ibn al-Hajar yang menghakimi antara dua ulama ini.

Al-Hafiz Ibnu Hajar terkenal dengan kitab Fath al-Barinya manakala al-Hafiz Badruddin al-‘Aini dengan ‘Umdah al-Qarinya. Takdir Allah, al-Hafiz Ibnu Hajar lebih menonjol sehingga diangkat sebagai Amir al-Mukminin fi al-Hadis dan apabila disebut syarah Sahih al-Bukhari pasti kitab Fath al-Bari yang pertama terlintas di fikiran.

3. Antara al-Hafiz Sakhawi [831H-902H] dan al-Hafiz al-Sayuthi [849H-911H]

Begitu halnya yang terjadi antara murid kanan al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu al-Sakhawi dengan al-Sayuthi. Dikatakan punca pertelingkahan antara keduanya adalah kerana al-Sayuthi mendakwa dirinya mencapai tahap ijtihad mutlak manakala al-Sakhawi pula berpandangan bahawa ijtihad sudah terputus. Boleh dilihat kritikan-kritikan al-Sakhawi terhadap al-Sayuthi di dalam kitab al-Dhau’ al-Lami’ dan dibalas dengan tajam oleh al-Sayuthi dalam beberapa kitabnya antaranya kitab Nazm al-‘Iqyan. Kedua-duanya pernah menulis syarah kepada kitab al-Taqrib wa al-Taisir karya al-Nawawi, tetapi syarah al-Sayuthi yang bertajuk Tadrib al-Rawi lebih terkenal, manakala al-Sakhawi terkenal dengan kitabnya Fath al-Mughith yang mensyarahkan Alfiyah al-Hafiz al-‘Iraqi.

Semoga Allah merahmati mereka semua.