Ahad, 5 Mac 2017

Status Hadis: Selawat al-Batra'

لا تصلوا عليّ الصلاة البتراء، قالوا: وما الصلاة البتراء يا رسول الله؟ قال: لا تقولوا: اللهمّ صل على محمد وتمسكوا، بل قولوا: اللهمّ صل على محمد وآل محمد.

“Jangan berselawat ke atasku (seperti) selawat al-batra’ (yang tidak sempurna). Para sahabat bertanya: Apakah selawat al-batra’ itu wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Jangan kamu katakan: اللهمّ صل على محمد  dan berpada dengannya. Bahkan katakanlah: اللهمّ صل على محمد وآل محمد  (dengan menyebut ahli keluarga Nabi).”

Hadis ini disebutkan oleh al-Kharkusyi (w. 407H) dalam Syaraf al-Mustafa (jilid 5, hlm. 107, terbitan: Dar al-Basa’ir al-Islamiyyah) tanpa sanad.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (hlm. 121, terbitan: Muassasah al-Rayyan), beliau tidak menemui sanad baginya. Begitu juga yang disebutkan oleh Syeikh Nabil al-Ghamri dalam tahqiq beliau ke atas kitab Syaraf al-Mustafa.

Apabila seorang ahli hadis bertaraf al-Hafiz berkata bahawa dia tidak menemui sanad bagi sesuatu hadis itu maka sudah memadai untuk dinafikan kewujudan hadis tersebut. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi

“Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ (yang luas telaahnya), al-Naqid (pakar hadis) berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya (yakni dinafikan kewujudan hadis tersebut), sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam (al-Hafiz Ibnu Hajar).”

Oleh itu tidak boleh dinisbahkan ucapan ini kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Walaupun hadis ini tiada asal baginya, tidaklah dinafikan kepentingan berselawat ke atas keluarga Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan sighah selawat Ibrahimiyyah yang diajarkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang turut menyebut selawat ke atas keluarga baginda.

Hadis palsu: Aku orang yang fasih menuturkan huruf dhad

أَنَا أَفْصَحُ مَنْ نَطَقَ بِالضَّادِ

“Aku orang yang paling fasih menuturkan huruf ‘dhad’.”

Ia adalah kata-kata yang popular dinisbahkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam wallaupun sepakat ahli hadis menyatakan bahawa tidak ada asal baginya [yakni tiada sanad]. Antara ulama yang menaskan sedemikian:

1. Al-Hafiz Ibnu Kathir dalam tafsirnya.

2. Murid kepada Ibnu Kathir iaitu al-Zarkasyi dalam al-Tazkirah Fi al-Ahadith al-Musytahirah memperakui penilaian gurunya, cuma beliau menambah bahawa maknanya sahih.

3. Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah.

4. Al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Durar al-Muntathirah.

5. Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa.

6. Al-Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah dan al-Masnu’.

7. Muhammad al-Amir al-Kabir dalam al-Nukhbah al-Bahiyyah.

8. Dr. Nuruddin ‘Itr dalam Manhaj al-Naqd. Beliau menyenaraikan ‘hadis’ ini dalam kategori hadis yang masyhur di sisi ulama Bahasa Arab. Menurut beliau maknanya sahih tetapi tiada sanad bagi lafaz ini yang menyambung kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Wallahu a’lam.