Wednesday, June 21, 2017

Hadis: "Banyakkanlah meminta doa daripada orang lain..."

اسْتَكْثِرْ مِنَ النَّاسِ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ لَكَ، فَإِنَّ الْعَبْدَ لَا يَدْرِي عَلَى لِسَانِ مَنْ يُسْتَجَابُ لَهُ أَوْ يُرْحَمُ، وَلِذَلِكَ جَعَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ الْمُسْلِمِينَ شُفَعَاءَ بَعْضِهِمْ لِبَعْضٍ

“Banyakkanlah meminta doa daripada orang lain untuk kebaikan dirimu. Sesungguhnya seorang hamba itu tidak mengetahui lisan siapakan di antara manusia itu yang dikasihi oleh Allah dan dikabulkan baginya (apabila dia berdoa). Disebabkan itu Allah menjadikan kaum Muslimin itu sebagai pemberi syafaat sesama mereka.”

Takhrij hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daraqutni (m. 385H) dalam Gharaib Malik, Tamam al-Razi (m. 414H) dalam Fawaid Tamam, dan al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H) dalam al-Ruwah ‘An Malik, kesemuannya meriwayatkan melalui jalur perawi Nusair bin Abi ‘Uqbah@’Utbah al-Balisi al-Daqqaq daripada ‘Ali bin ‘Isa al-Ghassani daripada Malik bin Anas daripada hadis Abu Hurairah.

Penilaian hadis

Hadis ini diisyaratkan sebagai daif oleh al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911H) dalam al-Jami’ al-Saghir.

Al-Munawi (m. 1031H) dalam al-Taisir Bi Syarh al-Jami’ al-Saghir mengatakan bahawa sanadnya daif.

Dalam Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir pula al-Munawi menyatakan bahawa penulis (al-Sayuthi) berdiam diri (daripada mengisyaratkan status hadis ini) dan sesiapa yang menyangka bahawa penulis mengisyaratkan kedaifan hadis ini maka dia telah terkeliru.

Dalam kitab al-Jami’ al-Saghir yang dicetak bersama kitab Faidh al-Qadir jelas menunjukkan bahawa al-Hafiz al-Sayuthi mengisyaratkan huruf dhad (ض) bagi hadis ini sebagai tanda kedaifannya. Barangkali naskhah al-Jami’ al-Saghir yang sampai kepada al-Munawi tidak terdapat tanda ini. Wallahu a’lam.

Muhammad bin Ismail al-San’ani (m. 1182H) dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir juga dilihat bersetuju dengan penilaian al-Hafiz al-Sayuthi.

Nusair bin Abi ‘Uqbah@’Utbah dan ‘Ali bin ‘Isa al-Ghassani dinilai sebagai majhul (tidak dikenali) oleh al-Daraqutni dan al-Khatib al-Baghdadi. Entah kerana apa, Al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal mengatakan bahawa Ali bin ‘Isa al-Ghassani ini meriwayatkan khabar palsu daripada Malik. Kemungkinan ia hanya daif sahaja dan tidak sampai ke tahap palsu. Wallahu a’lam.

Kritikan

Dalam buku Himpunan Hadis Masyhur (ms. 345) karangan Dr Budah@Udah Mohsin dan Dr Jawiah Dakir menyatakan bahawa menurut al-Sayuthi hadis ini diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi di dalam kitabnya al-Tarikh.

Ini adalah satu kesilapan kerana hadis ini tidak diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad sebaliknya kitab Ruwah Malik@al-Ruwah ‘An Malik. Penulis juga merujuk kepada al-Albani sedangkan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah Wa al-Maudhu’ah turut menyatakan bahawa ia diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Ruwah ‘An Malik.

Pengajaran hadis

Hadis ini mengandungi galakan memohon doa daripada orang-orang mukmin secara umumnya dan lebih-lebih lagi daripada orang-orang soleh, ahli ibadat dan orang yang zuhud kerana ada manusia di kalangan hamba-hamba Allah ini yang dikasihi olehNya dan apabila dia berdoa nescaya dimustajabkan doanya.

Wallahu a’lam.

Saturday, June 17, 2017

Isu hadis 'kepal tanah baca surah al-Qadr'

Saya melihat masih ada beberapa orang yang berkeras mempertahankan kewujudan hadis 'kepal tanah baca surah al-Qadr' dengan alasan ia wujud dalam beberapa buah kitab fiqh dan dengan alasan 'jika tidak jumpa dalam kitab hadis tidak semestinya ia tidak wujud'.
Saya katakan bahawa hadis mestilah dirujuk dalam kitab-kitab hadis, bukannya kitab fiqh. Saya pernah tulis sebelum ini teguran al-Imam Muhammad Abdul Hayy al-Laknawi terhadap orang-orang yang berpegang secara yakin terhadap hadis-hadis dalam kitab-kitab fiqh.
Menurut beliau, tidak hanya disebabkan hadis tersebut ada dalam kitab-kitab fiqh maka ia diyakini secara pasti bahawa ia warid daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Betapa banyak hadis-hadis yang disebutkan dalam kitab-kitab yang muktabar sedangkan ia adalah palsu.
Jika penulis kitab tersebut dikalangan ahli hadis, ya, mungkin dapat dipegang hadis-hadis yang disebut oleh penulis kitab atau jika penulis menyandarkan hadis-hadis tersebut kepada kitab-kitab hadis maka mungkin kita boleh menerimanya jika dia benar dalam menukilkannya.
Lihat teguran Al-Imam Mulla Ali al-Qari terhadap pengarang kitab al-Nihayah dan para pensyarah kitab al-Hidayah (fiqh mazhab Hanafi) yang memuatkan hadis palsu tentang mengqadha solat fardu pada Jumaat terakhir bulan Ramadhan dapat menampung solat yang telah luput selama 70 tahun. Kata Mulla 'Ali al-Qari: "Mereka bukan ahli hadis (walaupun mereka adalah ahli fiqh)." [Rujuk ta'liq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ke atas kitab al-Ajwibah al-Fadilah, ms. 30.]
Bagi yang kehairanan kenapa wujud hadis-hadis palsu dalam karya-karya ulama, dipersilakan baca penulis Ustaz Khafidz Soroni berkenaan isu ini yang bertajuk 'Tak Pelik Ulama Terguna Hadis Palsu' [1].
Jika sesebuah ucapan yang didakwa sebagai hadis tidak ditemui dalam kitab-kitab hadis yang bersanad -setelah dicari oleh mereka yang pakar - maka memadailah untuk dihukumi ia sebagai tidak wujud dan palsu. Inilah garis panduan yang digariskan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi dan Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah. Jika ingin mengambil sikap berhati-hati daripada menghukum ia sebagai palsu sekalipun, maka kita seharusnya mengambil sikap tawaqquf dengan tidak menyebarkannya sehinggalah dipastikan kewujudannya.
Ironinya, mereka yang mendakwa ia sebagai hadis pun tidak dapat buktikan ia wujud dalam kitab-kitab hadis muktabar. Lalu dituduh orang yang mengatakannya palsu sebagai pendusta atas nama Nabi. Siapa yang berdusta atas nama nabi sebenarnya ini? Kalau benar ia wujud sila buktikan kewujudannya.
Ustaz Khafidz sudah lama menjawab isu ini. Menurut beliau, ia bukan hadis nabi sallahu 'alaihi wasallam. Berdasarkan carian, kitab terawal yang menyebutkannya adalah kitab al-Nurain Fi Islah al-Darain oleh al-Hubasyi (w. 782H) dan beliau tidak menyebutkannya sebagai hadis. Barangkali ia hanya mujarabat daripada para solehin. Jika hendak beramal dengannya sekalipun, seharusnya tidak menyandarkan amalan tersebut kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam.

Wallahu a'lam.