Saturday, July 8, 2017

Kesilapan dalam kitab Taisir Mustholah al-Hadis


Kitab Taisir Mustholah al-Hadis karangan Dr Mahmud al-Thahhan[1] - pada pandangan saya - merupakan sebuah kitab ilmu Mustolah al-Hadith moden yang berkat. Bahasanya mudah, susunannya kemas berserta contoh-contoh yang diberi memudahkan kefahaman pembaca. Kitab ini tersebar luas dan dinasihatkan oleh para masyaikh agar dibaca oleh para pemula ilmu ini kerana kitab ini walaupun nipis tetapi perbincangannya meliputi hampir keseluruhan perbincangan cabang-cabang ilmu hadis. Kitab ini sudah dicetak sebanyak 11 kali – berdasarkan naskah yang ada pada saya – dan dijadikan teks rujukan di universiti di seluruh dunia. Saya juga pernah belajar sebahagian kecil daripada kitab ini ketika belajar di Darul Quran dahulu kerana kitab ini dijadikan muqarrar di sana.

Tatkala membaca perbincangan al-mursal al-khafi dalam kitab ini, saya terjumpa sebuah kesilapan contoh hadis yang diberikan oleh Dr Mahmud al-Thahhan. Sebelum membincangkan kesilapan contoh hadis yang diberikan oleh Dr Mahmud al-Thahhan, elok difahami maksud al-mursal al-khafi terlebih dahulu.

Hadis al-mursal al-khafi adalah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi daripada perawi lain yang sezaman dengannya sedangkan dia tidak pernah bertemu dan mendengar hadis daripada perawi tersebut.[2]

Dr Mahmud al-Thahhan memberikan sebuah contoh hadis al-mursal al-khafi iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada jalur ‘Umar bin Abdul ‘Aziz daripada ‘Uqbah bin ‘Amir secara marfu’:

رَحِمَ اللَّهُ حَارِسَ الْحَرَسِ

“Semoga Allah merahmati para tentera [yang menjaga kaum Muslimin].”

Kata Dr Mahmud al-Thahhan: “Sesungguhnya ‘Umar tidak bertemu dengan ‘Uqbah sebagaimana kata al-Mizzi dalam al-Athraf.”

Contoh yang diberikan oleh Dr Mahmud al-Thahhan ini tidak tepat kerana ‘Umar bin Abdul ‘Aziz tidak sezaman dengan ‘Uqbah bin ‘Amir.

‘Umar bin Abdul ‘Aziz dilahirkan pada tahun 61 hijrah dan ada yang mengatakan beliau dilahirkan pada tahun 63 Hijrah. Beliau meninggal dunia pada tahun 101 Hijrah.

‘Uqbah bin ‘Amir pula meninggal dunia pada tahun 58 Hijrah.

Ketika ‘Umar bin Abdul ‘Aziz dilahirkan, ‘Uqbah bin ‘Amir sudah 3 atau 5 tahun meninggal dunia. Jadi mereka berdua tidak sezaman dan ini bersalahan dengan takrif hadis al-mursal al-khafi yang mengsyaratkan bahawa kedua-dua perawi tersebut mesti sezaman. Seeloknya hadis ini disebutkan sebagai contoh hadis al-Munqathi’ [yang terputus sanad].

Ketika membelek-belek buku di Maktabah al-Lu’lu’ah - saya panggil maktabah ini maktabah Wahabi sebab banyak jual kitab-kitab Wahabi - di belakang Masjid al-Azhar, saya menemui sebuah kitab yang mengkritik kitab Taisir Mustholah al-Hadis yang dikarang oleh Syeikh Thariq ‘Iwadhullah (daripada aliran Salafi Wahabi) yang berjudul Islah al-Isthilah Naqd Kitab Taisir Mustholah al-Hadith. Dalam kitab ini, Syeikh Thariq ‘Iwadhullah turut mengkritik contoh hadis yang diberikan oleh Dr Mahmud al-Thahhan bahkan turut mengkritik takrif hadis al-mursal al-khafi yang diberikan oleh beliau. Contoh hadis ini disebutkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Syarah al-Tabsirah Wa al-Tazkirah dan al-Hafiz al-Sayuthi dalam kitab Tadrib al-Rawi. Mungkin Dr Mahmud al-Thahhan sekadar mengikut al-Hafiz al-'Iraqi dan al-Hafiz al-Sayuthi tanpa menelitinya semula. Wallahu a’lam.

Kitab Islah al-Isthilah yang setebal 368 halaman ini mengkritik beberapa kesilapan yang dilakukan oleh Dr Mahmud al-Thahhan dalam kitabnya ini. Pada bahagian mukadimah, penulis menyatakan bahawa kitab Taisir Mustholah al-Hadis adalah sebuah kitab yang bermanfaat yang mempunyai kesan yang jelas dalam memudahkan ilmu hadis. Penulis juga menyatakan bahawa kitab ini bukanlah berbentuk kritikan semata-mata terhadap kitab Taisir Mustholah al-Hadis, tetapi penulis turut memasukkan penjelasan dan penambahbaikan terhadap kitab asalnya.

Saya fikir elok bagi sesiapa yang membaca kitab Taisir Mustholah al-Hadis agar mengandingkannya dengan kitab Islah al-Isthilah di samping kitab-kitab Mustholah al-Hadis yang lain sama ada yang klasik mahupun yang moden.

Wallahu a’lam.

Video Dr Mahmud al-Thahhan di Youtube:



[1] Dr Mahmud al-Thahhan dilahirkan pada 1937 di Halab, Syiria. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Halab, Syiria lalu masuk ke Kuliah Syariah di Universiti Dimasq. Beliau mendapar PHD dalam bidang Hadis dan Ilmunya di Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar. Tajuk tesis beliau ialah ‘al-Khatib al-Baghdadi dan pengaruhnya dalam Ilmu Hadis’. Sebuah lagi kitab beliau yang bermanfaat ialah kitab Usul al-Takhrij al-Ahadith Wa Dirasah al-Asanid.

[2] Manhaj al-Naqd Fi ‘Ulum al-Hadith, Dr Nuruddin al-‘Itr, hlm. 386, c. Dar al-Fikr.

No comments:

Post a Comment