Sabtu, 25 November 2017

Penting Tahu Sejarah Ulama

- Baru-baru ini saya dengar ceramah seorang ustaz dan beliau ditanya tentang Ibnu Taimiyyah. Ustaz tersebut dengan yakinnya menyatakan bahawa Imam Fakhruddin al-Razi menulis banyak kitab menolak Ibnu Taimiyyah. Menurut ustaz tersebut juga, murid-murid Ibnu Taimiyyah pernah berdebat dengan Imam al-Razi. Dan sekali lagi beliau dengan yakinnya menyatakan bahawa Imam Taqiyuddin al-Hisni - pengarang kitab Kifayah al-Akhyar – menyain surat penangkapan Ibnu Taimiyyah. Dan menurut ustaz tersebut lagi, ketika Ibnu Taimiyyah dihakimi, salah seorang ulama besar akidah iaitu Imam al-Isfarayini turut sama hadir.

- Imam Fakhruddin al-Razi lahir pada tahun 544H dan meninggal dunia pada 606H. Ibnu Taimiyyah lahir pada tahun 661H dan meninggal dunia pada tahun 728H. Bagaimana Imam al-Razi boleh tulis kitab untuk menolak Ibnu Taimiyyah yang baru lahir 55 tahun selepas kematian beliau? Yang betulnya Ibnu Taimiyyah menulis kitab Bayan Talbis al-Jahmiyyah untuk menolak kitab Ta'sis al-Taqdis karangan al-Imam al-Razi. 

- Imam Taqiyuddin al-Hisni lahir pada tahun 752H dan meninggal dunia pada 829H. Macam mana beliau nak sain surat penangkapan Ibnu Taimiyyah sedangkan Ibnu Taimiyyah dah lama meninggal sebelum beliau lahir? Yang betulnya beliau ada menulis kitab menolak Ibnu Taimiyyah yang bertajuk Daf'u Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad.

- Imam al-Isfarayini yang terkenal dalam bidang akidah ialah Imam Abu Ishaq al-Isfarayini. Beliau meninggal dunia pada tahun 418H. Jarak antara beliau dan Ibnu Taimiyyah beratus tahun lamanya.

- Oleh sebab itu, dalam ilmu hadith sangat ditekankan untuk mengetahui sejarah hidup (معرفة تواريخ الرواة) perawi hadith dan ulama sehingga diletakkan bab khusus tentang cabang ilmu ini (bab yang ke-60 dalam Muqaddimah Ibnu al-Solah). Sejarah hidup ini meliputi tarikh lahir, tarikh meninggal dunia dan peristiwa penting berkaitan perawi hadith dan ulama. Kalau tidak mampu ingat tahun lahir dan meninggal dunia secara terperinci, sekurang-kurangnya anda mampu membezakan yang mana ulama yang terdahulu dan yang mana yang terkemudian.

Rabu, 22 November 2017

Karamah terbesar al-Imam al-Nawawi (m. 676H)


Kata al-Imam Yusuf al-Nabhani (m. 1350H) dalam Jami' Karamat al-Auliya':
"Tulisan-tulisan beliau (al-Nawawi) dalam (fiqh) mazhab amatlah banyak. Tulisan-tulisan beliau adalah tonggak utama dalam mazhab al-Syafi'e. Beliau mempunyai penulisan yang lain yang merupakan penulisan yang paling bermanfaat yang pernah ditulis dalam Islam seperti Syarah Sahih Muslim, al-Azkar, Riyadh al-Salihin, Tahzib al-Asma' Wa al-Lughat dan lain-lain. Kitab-kitab ini merupakan sebesar-besar karamah beliau kerana beliau tidak hidup lama."
- Al-Imam al-Nawawi meninggal dunia ketika berusia 45 tahun dan beliau tidak pernah berkahwin.
رحمه الله تعالى

Selasa, 21 November 2017

Al-Hafiz Muhammad bin Yusuf al-Solihi : Pengarang Subul al-Huda Wa al-Rasyad


- Al-Hafiz Muhammad bin Yusuf al-Solihi al-Syami al-Syafi’e (w. 942H) merupakan pengarang kitab al-Sirah al-Syamiyyah yang terkenal dengan nama Subul al-Huda Wa al-Rasyad Fi Sirah Khair al-‘Ibad (12 jilid).

- Kitab ini beliau karang hasil saduran lebih 300 buah kitab rujukan sebagaimana yang beliau nyatakan dalam mukadimah kitab.

- Beliau merupakan murid al-Hafiz al-Sayuthi (w. 911H) dan Syihabuddin al-Qasthalani (w. 923H), pengarang kitab Irsyad al-Sari Li Syarah Sahih al-Bukhari (10 jilid).

*Al-Imam Abdul Wahab al-Sya’rani (w. 973H) bercerita tentang beliau dalam kitab al-Thabaqat al-Sughra:

- Beliau seorang yang alim, soleh dan menguasai pelbagai lapangan ilmu.

- Beliau mengarang kitab al-Sirah al-Nabawiyyah yang masyhur. Orang ramai datang untuk menyalin kitab ini daripada beliau.

- Beliau hidup membujang, langsung tidak pernah berkahwin.

- Jika ada tetamu yang berkunjung, beliau akan menyediakan periuk belanga lalu memasak untuk tetamu tersebut.

- Beliau seorang yang lemah lembut dan baik tutur katanya. Beliau sangat dihormati oleh masyarakat.

- Beliau sangat banyak berpuasa dan bangun malam. Aku pernah bermalam di rumah beliau dan aku tidak melihat beliau tidur pada malam hari kecuali hanya sedikit.

- Jika ada anak murid beliau yang meninggal dunia dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil, beliau akan mengambil alih tugas menjaga anak-anak tersebut.

- Beliau tidak menerima harta dan bantuan daripada penguasa. Beliau tidak makan sedikitpun makanan pemberian mereka.

- Akhlak beliau yang baik sangat banyak, masyhur di kalangan murid-muridnya dan sahabatnya.

رحمه الله تعالى

Nasihat Syeikh Mahmud Sa'id Mahmud kepada pengikut mazhab al-Syafi'e

Syeikh Mahmud Sa'id Mahmud cakap:
"Aku sebutkan kepada pengikut mazhab al-Syafie beberapa kali:
Madrasah al-Syafi'ieyyah adalah madrasah yang agung. Keluar daripada madrasah ini kebanyakan huffaz hadith dan muhaddithin. Kebanyakkan mereka adalah pengarang dalam ilmu hadith. Dimanakah kedudukan kalian sekarang (jika dibandingkan dengan ulama al-Syafi'eyyah terdahulu)?...
Kitab-kitab mazhab al-Syafie yang dikarang oleh ulamak mutakhirin dalam kurun-kurun terakhir ini perlu kepada perhatian dari segi hadith, perlu kepada takhrij hadithnya, perlu kepada penjelasan kesahihan hadith dan kedaifannya supaya penuntut ilmu dapat mengambil manfaat dan supaya orang lain tidak ketawakan (pandang rendah) kepada kita."


Rabu, 15 November 2017

Ini pun engkau nak tulis?

- Al-Imam Ibnu Hibban (270H-354H) merupakan pengarang kitab al-Anwa' Wa al-Taqasim yang juga dikenali sebagai Sahih Ibnu Hibban. Beliau merupakan murid kanan kepada al-Imam Ibnu Khuzaimah (223H-311H) yang merupakan pengarang kitab Sahih Ibnu Khuzaimah.

- Ibnu Hibban sentiasa mendampingi gurunya itu sama ada ketika bermukim mahupun ketika bermusafir. Beliau akan bertanya dan mencatit apa sahaja yang diucapkan oleh Ibnu Khuzaimah. Sikap Ibnu Hibban ini kadangkala menyebabkan gurunya itu berasa rimas.

- Yaqut al-Hamawi dalam kitab Mu'jam al-Buldan [(1/497), c: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah] meriwayatkan daripada Abi Hamid Ahmad bin Muhammad bin Sa'id al-Naisaburi, beliau berkata:

"Kami bersama-sama dengan Abi Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah ketika dalam perjalanan dari Naisabur (Iran). Bersama-sama kami juga ada Abu Hatim al-Busti (Ibnu Hibban). Beliau banyak bertanya kepada Ibnu Khuzaimah sehingga menyebabkan Ibnu Khuzaimah berasa rimas.

Lalu Ibnu Khuzaimah berkata kepadanya: "Wahai si dungu, pergi jauh daripadaku. Jangan menggangguku."

Lantas Ibnu Hibban menulis kata-kata Ibnu Khuzaimah tersebut.

Lalu ditanya kepada Ibnu Hibban: "Ini pun engkau nak tulis?"

Ibnu Hibban menjawab: "Ya. Aku tulis semua yang Ibnu Khuzaimah cakap."

Isnin, 13 November 2017

Kewarakan al-Imam al-Bukhari

- Salah satu tanda kewarakan al-Imam al-Bukhari (194H-256H) ialah beliau jarang-jarang untuk mensifatkan seseorang perawi itu sebagai pendusta atau pemalsu hadith. Bahkan beliau akan gunakan istilah yang lain seperti فيه النظر (padanya ada pertikaian), سكتوا عنه (ahli hadith mendiamkan diri daripadanya), منكر الحديث (mungkar hadithnya) yang lafaz-lafaz ini membawa maksud kritikan berat di sisi beliau.

- Al-Imam al-Bukhari pernah berkata: “Aku berharap aku bertemu dengan Allah dan tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun.”

- Kata al-Hafiz al-Zahabi: “Apa yang Al-Imam al-Bukhari kata itu benar. Sesiapa yang melihat kalam beliau berkenaan al-jarh wa al-ta’dil (kritikan dan pujian kepada perawi hadith) akan mengetahui kewarakan beliau ketika berbicara tentang manusia dan keserhanaan beliau pada perawi yang beliau daifkan. Beliau kerap kali gunakan istilah منكر الحديث, سكتوا عنه, فيه النظر dan yang seumpama dengannya. Jarang sekali beliau akan kata: Si fulan itu pendusta atau memalsukan hadith. Sehinggakan beliau berkata: Jika aku kata si fulan itu ada pertikaian pada hadithnya, maka dia adalah perawi yang dituduh (berdusta/memalsukan hadith) dan sangat daif. Inilah maksud perkataan beliau ‘tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun’. Ini - demi Allah - adalah setinggi-tinggi sifat warak.”

- Sifat warak ini juga sebenarnya diwarisi daripada ayahnya. Ahmad bin Hafs berkata: “Aku bertemu dengan Abu al-Hasan, yakni Ismail (ayah al-Imam al-Bukhari) ketika beliau hampir wafat. Beliau berkata: Tidaklah aku tahu bahawa ada sedirham pun daripada hartaku bersumber daripada perkara haram dan sedirham pun daripada perkara syubhah.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ karangan al-Hafiz al-Zahabi.

Sabtu, 11 November 2017

Syeikh Badruddin al-Hasani


- Syeikh Badruddin al-Hasani al-Syafi'e (1850M-1935M) merupakan seorang Syeikh di Darul Hadith, Dimasyq, sebuah madrasah hadith yang al-Imam al-Nawawi dan beberapa ulama hadith yang lain pernah mengajar di situ.

- Sayyid Ahmad al-Siddiq al-Ghumari memuji guru ijazah beliau ini sebagai seorang syeikh dataran Syam, seorang yang alim, zuhud dan warak.

- Beliau akan keluar dari rumahnya sebelum subuh menuju ke Darul Hadith. Beliau akan bersolat subuh di situ. Setelah selesai solat subuh, beliau akan duduk di sebuah bilik lalu para pelajar akan datang belajar dengan beliau. Ketika sedang mengajar sesuatu subjek, akan ada pelajar lain yang menunggu di luar untuk belajar subjek lain dengan beliau. Beliau akan duduk di situ sepanjang siang untuk mengajar.

- Beliau berpuasa setiap hari sepanjang tahun sejak 50 tahun dulu. Hanya pada dua hari raya sahaja beliau tidak berpuasa.

- Beliau seorang yang warak dan zuhud. Mempunyai wajah dan uban yang bercahaya. Sangat banyak berzikir dan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Jika ada yang bertanyakan soalan, beliau akan menjawab sekadarnya sahaja kemudian kembali berzikir dan berselawat.

- Beliau tidak suka berfatwa. Jika ada yang meminta fatwa, beliau akan suruh minta kepada orang lain. Beliau juga tidak suka jadi imam solat kerana sikap tawaduknya dan tidak mengambil tahu tentang hal keduniaan. Keadaan beliau sama ada mengajar ataupun berzikir sahaja.

- Beliau tidak menulis kecuali hanya beberapa risalah kecil sahaja seperti syarah al-Baiquniyyah. Ketika ada orang meminta beliau untuk menulis, beliau jawab: “Apa yang ulama tulis sudah mencukupi.”

- Umur beliau panjang sehingga ulama-ulama Syam yang tua dan muda adalah murid beliau.

- Pernah sekali beliau keluar berziarah ke beberapa tempat. Apabila beliau kembali ke Dimasyq, orang ramai sanggup beratur sekitar dua jam di kiri dan kanan jalan untuk bertemu dengan beliau. Jumlah orang ketika itu lebih daripada 100 ribu orang.

- Beliau tidak menerima tetamu kecuali di Darul Hadith. Orang yang menziarahi beliau pun tidak duduk lama dengan beliau, sekadar menyampaikan salam kemudian duduk seketika. Kemudian khadam beliau akan akan beri isyarat supaya keluar. Kadang-kadang ada orang-orang kaya dan tokoh kehormat datang jumpa beliau, beliau tidak izinkan mereka duduk. Kemudian mereka akan berlalu pergi. Kalau ada orang yang boleh duduk lama dengan beliau sekitar 20 minit atau setengah jam dan boleh tanya banyak soalan dengannya, itu akan dianggap satu kemuliaan bagi orang tersebut.

Sumber:

- Kitab Bahr al-‘Amiq Fi Marwiyat Ibn al-Siddiq karangan Sayyid Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari.

Jumaat, 10 November 2017

Hadis palsu: Berkerjalah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selamanya...

اعمل لدنياك كأنك تعيش أبداً واعمل لآخرتك كأنك تموت غداً

"Bekerjalah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selamanya.Beribadahlah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esoknya."

Lafaz seperti ini tidak diriwayatkan daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang ditegaskan oleh Sayyid Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam Subul al-Huda dan Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam ulasan beliau ke atas kitab al-Maqasid al-Hasanah. Sebaliknya ia diriwayatkan dengan sanad yang daif daripada kata-kata Abdullah bin 'Amru, itu pun lafaz yang berbeza.

Sayyid Ahmad al-Ghumari menulis dua buah risalah tentang kepalsuan hadis ini iaitu 'Iyyaka Min al-Ightirar Bi Hadith I'mal Li Dunyaka' dan ringkasannya yang berjudul 'Subul al-Huda Fi Ibthal Hadith I'mal Li Dunyaka Ka Annaka Ta'isyu Abada'.

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak dalam az-Zuhd, Ibn Qutaibah dalam Uyun al-Akhbar dan al-Harith dalam Musnadnya dengan sanad terputus daripada Abdullah bin Amru, katanya:

"احرث لدنياك كأنك تعيش أبداً، واحرث لأخرتك كأنك تموت غداً".

"Bercucuk tanamlah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bercucuk tanamlah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari”.

Manakala lafaz yang mirip yang diriwayatkan daripada hadis Nabi sallahu 'alaihi wasallam tetapi dengan sanad daif adalah seperti di bawah:

"اعمَلْ عملَ امريءٍ يظنّ أن لن يموت أبداً، واحذّرْ حذرَ امريءٍ يخشى أن يموت غداً."

"Beramallah seperti amalan orang yang menyangka dia tidak akan mati selama-lamanya dan berwaspadalah seperti waspada orang yang takut dia akan mati esok hari”.

Lafaz ini tak ada disebut 'dunia' dan 'akhirat'. Secara zahir, kesemuanya berkait dengan amal akhirat sahaja. Ia diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Sunannya secara lafaz panjang dan ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus secara lafaz pendek drp Abdullah bin Amru. Al-Hafiz as-Suyuti mengisyaratkannya sebagai daif dan Syeikh al-Munawi mengulas: "Demikian kerana pada sanadnya terdapat perawi majhul dan ada kelemahan”.

P/S: Sebahagian tulisan ini saya ambil dari tulisan Ustaz Khafidz Soroni dan sebahagian lagi tulisan saya sendiri.

Khamis, 9 November 2017

Kesedihan al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin tatkala terbakar maktabahnya

- Al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H) merupakan salah seorang guru al-Hafiz Ibnu Hajar.

- Beliau terkenal sebagai seorang yang mempunyai banyak penulisan. Kata al-Hafiz al-Sayuti dalam Tadrib al-Rawi: "Empat orang yang sezaman: Al-Siraj al-Bulqini, al-Siraj Ibnu al-Mulaqqin, al-Zain al-'Iraqi dan al-Nur al-Haithami. Yang paling alim di antara mereka dalam fiqh adalah al-Bulqini, yang paling alim dalam hadith dan matan-matanya adalah al-'Iraqi, yang paling banyak penulisannya adalah Ibnu al-Mulaqqin dan yang paling banyak menghafal matan hadith adalah al-Haithami."

- Beliau menghasilkan kitab takhrij hadith antara yang terbesar dalam sejarah Islam iaitu kitab al-Badr al-Munir yang mentakhrijkan hadith-hadith dalam kitab al-Syarh al-Kabir karangan al-Rafi'ie.

- Beliau gemar menhimpunkan kitab dan mempunyai sebuah maktabah yang besar yang menghimpunkan kitab-kitab yang langka. Dikatakan bahawa koleksi buku beliau lebih banyak daripada al-Hafiz al-'Iraqi. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: "Aku tidak pernah melihat sesiapa pun di Kaherah ini yang lebih banyak kitab daripadanya."

- Ketika penghujung usia beliau, maktabah beliau terbakar sehingga sebahagian besar penulisan beliau turut terbakar. Terbakarnya maktabah beliau ini menyebabkan beliau bersedih yang bersangatan sehingga menyebabkan akal fikiran beliau berubah. Anaknya mengambil keputusan mengurung beliau di dalam rumah dan menghalang orang ramai bertemu dengannya.

- Kata Syeikh Ahmad Ma'bad Abdul Karim: "Kita ini kalau semua terbakar tapi dapur selamat tak ada masalah lagi. Selama mana sandwic ada, yang lain naik pergi jahanam pun tak apa."