Khamis, 20 Disember 2018

Husnul Khatimah Imam Abu Zur’ah al-Razi (w. 264 H)


Abu Ja’far al-Tustari berkata:

Kami menziarahi Abu Zur’ah yang sedang tenat. Di sisi beliau ada Abu Hatim, Muhammad bin Muslim, al-Munzir bin Syazan dan sekumpulan ulama. Mereka berbincang tentang hadis talqin dan sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: “Talqinkanlah orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan la ilaha illa Allah.”

Mereka segan dengan Abu Zur’ah dan takut untuk mentalqinkannya. Lalu mereka berkata: “Mari kita berbincang tentang hadis.”

Muhammad bin Muslim lalu berkata: “Telah menceritakan kepada kami al-Dhahhak bin Makhlad daripada Abdul Hamid bin Ja’far daripada Soleh....” Beliau (pura-pura) tidak mampu meneruskannya dan orang lain juga senyap.

Lalu Abu Zur’ah yang sedang nazak berkata:

“Telah menceritakan kepada kami Bundar, dia berkata: Telah menceritakan kepada kami Abu ‘Asim, dia berkata: Telah menceritakan kepada kami Abdul Hamid bin Ja’far daripada Soleh bin Abu ‘Arib daripada Kathir bin Murrah al-Hadhrami daripada Mu’az bin Jabal, beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang akhir kalamnya La illaha illa Allah dia akan masuk ke syurga.”

Lalu beliau meninggal dunia.

Rujukan:

Al-Thabat ‘Inda al-Mamamat karangan Ibnu al-Jauzi.

Banyaknya Tulisan al-Hafiz al-Sayuthi



- Al-Sayuthi (m. 911 H) mempunyai sebuah kitab indeks khas yang menyenaraikan tajuk-tajuk kitab yang beliau tulis. Dalam kitab ini beliau menyebutkan tidak lebih daripada 460 tajuk kitab karangan beliau. Jelas bahawa al-Sayuthi tidak menyebutkan semua tajuk kitab karangan beliau kerana ada beberapa buah kitab lain yang beliau tulis tetapi tidak dimasukkan dalam kitab indeks tersebut.

- Kata al-Ghazzi dalam al-Kawakib al-Sairah: “Beliau menulis karya yang sangat banyak...bilangannya lebih daripada 500 buah karya.”

- Al-Ustaz Thahir Sulaiman Hamudah membuat senarai 600 buah tajuk kitab-kitab al-Sayuthi yang beliau dapati telah dicetak, yang disebutkan oleh al-Sayuthi sendiri dalam Husn al-Muhadarah, dan apa yang beliau temui dalam kitab Kasyf al-Zunun dan Hadiyyah al-‘Arifin.

- Dalam kitab Maktabah al-Jalal al-Sayuthi yang ditulis oleh al-Ustaz Ahmad al-Syarqawi Iqbal, beliau menyenaraikan 725 buah penulisan al-Sayuthi.

- Dua orang pengkaji yang lain dalam kitab Dalil Makhthutat al-Sayuthi menambah bilangannya sehingga mencapai 981 buah tajuk meliputi karya yang telah dicetak, yang masih dalam bentuk manuskrip dan karya yang tidak ketahui halnya.

- Al-Miknasi mengatakan: “Beliau mempunyai penulisan yang tidak terbilang banyaknya, menjangkaui 1000 buah.”

- Pentahqiq kitab Diwan al-Islam menyebutkan 1057 buah karangan beliau.

- Kata al-Ustaz Iyad Khalid al-Thabba’ dalam kitab yang beliau tulis berkenaan al-Sayuthi: “Telah jelas kepadaku selepas aku cuba menghitung bahawa bagi al-Sayuthi 1194 buah tajuk penulisan. Yang telah dicetak daripadanya ialah sebanyak 331 buah tajuk dan sebanyak 431 buah tajuk masih dalam bentuk manuskrip. Bakinya yang berjumlah 432 buah tajuk sama ada telah hilang atau tidak diketahui tempat letaknya.”

- Untuk makluman, al-Sayuthi meninggal dunia ketika usia beliau hanyalah 62 tahun.

Rujukan:

Al-Mukatthirun Min al-Tasnif karangan Muhammad Khair Ramadhan Yusuf.

Khamis, 22 November 2018

Syeikh Isma’il al-Hamidi: Pengarang Hashiyyah al-Hamidi

- Nama beliau adalah Isma’il bin Musa bin ‘Uthman bin Muhammad Judah al-Hamidi al-Maliki.

- Nasab beliau bersambung sehingga ‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

- Beliau dilahirkan di al-Hamidiyyah yang terletak di wilayah Qena, Mesir.

- Berlaku perbezaan pendapat tentang tahun kelahiran beliau. Menurut anak beliau, beliau dilahirkan pada tahun 1245 Hijrah. Menurut al-Zirkili dan Umar Ridha Kahalan beliau dilahirkan pada tahun 1226 Hijrah. Dalam Al-Mausu’ah al-Muyassarah dinyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1266 Hijrah. Mungkin apa yang anak beliau nyatakan lebih tepat kerana kebiasaannya seorang anak lebih mengenali bapanya daripada orang lain.

- Beliau mula belajar di al-Azhar pada tahun 1255 Hijrah.

- Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Muhammad al-Isma’ili, Syeikh Muhammad ‘Ulaish al-Maliki, Syeikh Ibrahim al-Saqa, Syeikh Ibrahim al-Bajuri dan lain-lain.

- Antara murid-murid beliau ialah Syeikh Muhammad ‘Abduh, Syeikh Muhammad Sabi’ al-Zahabi (syeikh mazhab Hanbali di al-Azhar), Syeikh Muhammad Ibrahim al-Samaluti dan lain-lain.

- Anak beliau menyebutkan beberapa buah kitab karangan beliau, antaranya:

* Syarah ‘Aqidah al-Dardir. Diselesaikan pada tahun 1267 Hijrah. Ini merupakan penulisan beliau yang pertama.

* Hashiyyah ‘Ala Syarah al-Kufrawi ‘Ala al-Ajurumiyyah. Diselesaikan pada tahun 1272 Hijrah.


* Taqrir ‘Ala Hashiyyah al-Sabban ‘Ala Syarah al-Asymuni ‘Ala Alfiyah Ibnu Malik. Diselesaikan pada tahun 1280 Hijrah.

Al-Rihlah al-Hamidiyyah Ila al-Aqthar al-Hijaziyyah. Travelog perjalanan haji beliau. Diselesaikan pada tahun 1297 Hijrah, tahun beliau menunaikan haji.

* Hashiyyah ‘Ala Syarah al-Sanusi ‘Ala ‘Aqidah al-Kubra. Diselesaikan pada tahun 1304 Hijrah.


* Hashiyyah ‘Ala Syarah al-Qutb ‘Ala al-Syamsiyyah. Diselesaikan pada tahun 1311 Hijrah.

* Taqrirat ‘Ala Hashiyyah al-Bannani ‘Ala Syarah Jam’i al-Jawami’.

* Ta’liqat ‘Ala Hashiyyah al-Jamal ‘Ala al-Jalalain.

* Taqyidat ‘Ala Syarah al-Zurqani ‘Ala al-Baiquniyyah.

* Beliau juga ada menulis ulasan ringkas ke atas kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah, Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah, al-Syamail al-Muhammadiyyah, Muwatta’ Imam Malik, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Termizi dan lain-lain.

 - Beliau meninggal dunia pada waktu subuh 20 Rejab tahun 1316 Hijrah/1898 Masihi.

Rujukan:

- Al-A’lam Qamus al-Tarajim (1/328) oleh al-Zirikli.

- Mu’jam al-Muallifin (1/382) oleh Umar Ridha Kahalah.

- Al-Mausu’ah al-Muyassarah Fi Tarajim Aimmah al-Tafsir Wa al-Iqra’ Wa al-Nahwi Wa Wa al-Lughah (1/529).

- Biografi beliau yang ditulis oleh anaknya, Abdul ‘Aziz al-Hamidi di mukadimah Hashiyyah al-Hamidi ‘Ala Syarah al-Kubra Lis Sanusi.

Rabu, 21 November 2018

Syeikh Sulaiman al-Bujairimi: Pengarang Hashiyyah al-Bujairimi

- Nama beliau ialah Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi. Beliau dilahirkan di Bujairim pada tahun 1131 Hijrah/1719 Masihi.

- Bujairim merupakan sebuah perkampungan yang terletak di wilayah al-Gharbiyyah, Mesir.

- Nasab beliau bersambung dengan Syeikh Jum’ah al-Zaidi yang bersambung nasabnya sehingga Muhammad bin al-Hanafiyyah, anak Saidina ‘Ali.

- Beliau datang ke Kaherah ketika beliau masih kecil, sebelum mencapai usia baligh lagi.

- Beliau dijaga oleh salah seorang saudaranya yang bernama Syeikh Musa al-Bujairimi.

- Beliau menghafal al-Quran di bawah bimbingan Syeikh Musa tersebut sehinggalah beliau mencapai usia yang layak untuk menuntut ilmu.

- Beliau lalu belajar dengan Syeikh al-‘Asymawi kitab-kitab seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Termizi, Sunan Abu Daud, al-Syifa karangan al-Qadhi ‘Iyadh, al-Mawahib al-Laduniyyah karangan al-Qasthalani, Syarah Manhaj al-Thullab karangan Zakariyyah al-Ansari, Syarah Minhaj al-Thalibin karangan al-Ramli dan Ibnu Hajar al-Haitami.

- Antara guru-guru beliau yang lain ialah Syeikh al-Hifni, Syeikh al-Dairabi, Syeikh Ali al-Sa’idi, al-Sayyid al-Bulaidi, Syeikh ‘Athiyyah al-Ajhuri dan lain-lain.

- Antara ulama yang mengijazahkannya ialah Syeikh al-Malawi, Syeikh al-Jauhari dan Syeikh al-Madabighi.

- Syeikh Abdul Razak al-Baithar memuji beliau sebagai seorang alim, faqih, muhaddith, penutup ulama muhaqqiqin, baki ulama salaf, kaabah para ulama, rujukan para fuqaha dan lain-lain pujian.

- Antara karangannya ialah Hashiyyah al-Bujairmi ‘Ala Syarah al-Khatib iaitu hashiyyah ke atas kitab al-Iqna’ karangan al-Khatib al-Syarbini yang mensyarahkan kitab matan Abi Syuja’. Kitabnya yang lain ialah Hashiyyah al-Bujairmi ‘Ala Syarah Manhaj al-Thullab karangan Zakariyya al-Ansari, empat jilid. Kitab beliau boleh dimuat turun di pautan berikut:

Hashiyyah al-Bujairmi ‘Ala Syarah al-Khatib:



Hashiyyah al-Bujairmi ‘Ala Syarah Manhaj al-Thullab:


- Beliau menjadi buta ketika akhir usia beliau.

- Sebelum kewafatan beliau, beliau berpindah ke perkampungan Misthiyyah, sebuah perkampungan yang hampir dengan kawasan Bujairim.

- Beliau meninggal dunia pada hari Isnin ketika waktu sahur pada 13 Ramadhan tahun 1221 Hijrah/1806 Masihi.

Rujukan:

- Al-A’lam Qamus al-Tarajim oleh al-Zirkili.

- Mu’jam al-Muallifin oleh Umar Ridha Kahalah.

- Hadiyyah al-‘Arifin oleh Ismail Basha al-Baghdadi.

- Hilyah al-Basyar Fi Tarikh al-Qarn al-Thalith ‘Asyar oleh Abdul Razak al-Baithar.

Selasa, 20 November 2018

Sahabat Nabi: Dihyah al-Kalbi


- Beliau memeluk Islam sebelum perang Badar tetapi tidak menyertainya. Perang pertama yang disertainya ialah perang Khandaq dan menurut pendapat yang lain perang Uhud.

- Beliau dijadikan perbandingan dari segi tampannya rupa paras.

- Jibril kerap kali bertemu dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dengan rupa beliau. Al-Nasa’ie meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ibnu ‘Umar: “Jibril bertemu dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam rupa Dihyah al-Kalbi.”

- ‘Awanah bin al-Hakam berkata: “Setampan-tampan manusia ialah orang yang Jibril turun dengan rupanya.”

- Kata Ibnu Qutaibah dalam Gharib al-Hadith : “Dihyah al-Kalbi apabila melalui Madinah maka anak dara akan keluar untuk melihatnya.”

- Beliau merupakan utusan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam untuk bertemu dengan Kaisar Rom. Beliau bertemu dengan Kaisar di Homs pada pada awal tahun 7 Hijrah atau akhir tahun 6 Hijrah.

- Ada sebuah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq bahawa beliau masuk Islam ketika pemerintahan Abu Bakar, tetapi Ibnu ‘Asakir sendiri menolak riwayat ini. Menurut al-Zahabi dan Ibnu Hajar, riwayat ini mungkar.

- Menurut Ibnu al-Barqi ada dua hadis yang beliau riwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, tetapi Ibnu Hajar berjaya temui sehingga enam buah hadis.

- Al-Termizi meriwayatkan bahawa beliau menghadiahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sepasang khuf lalu baginda memakainya.

- Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan beberapa helai pakaian Qubthiyyah (sejenis pakaian dari Mesir) lalu baginda menghadiahkan sehelai pakaian tersebut kepada Dihyah.

- Beliau juga menyertai perang Yarmouk.

- Beliau tinggal di Mezzeh, Damsyik dan hidup sehingga pemerintahan Mu’awiyyah.

Rujukan:

- Siyar A’lam al-Nubala oleh al-Hafiz al-Zahabi.

- Al-Isobah Fi Tamyiz al-Sahabah oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.

Ahad, 4 November 2018

Hadis Palsu: Orang Bernama Ahmad Dan Muhammad Tidak Masuk Neraka


يُوقَفُ عَبْدَانِ بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ تَعَالَى فَيَأْمُرُ بِهِمَا إِلَى الْجَنَّةِ فَيَقُولانِ رَبَّنَا بِمَ نَسْتَأْهِلُ الْجَنَّةَ وَلَمْ نَعْمَلْ عَمَلا تُجَازِينَا بِهِ، فَيَقُولُ لَهُمَا عَبْدَيَّ ادْخُلا الْجَنَّةَ فَإِنِّي آلَيْتُ عَلَى نَفْسِي أَنْ لَا يَدْخُلَ النَّارَ مَنِ اسْمُهُ مُحَمَّدٌ وَلا أَحْمَدُ

Dua orang hamba berdiri di hadapan Allah Ta’ala. Lalu Allah menyuruh mereka berdua agar masuk ke dalam syurga. 

Lantas mereka berdua berkata: Wahai Tuhan kami, mengapa kami layak untuk masuk ke dalam syurga sedangkan kami tidak beramal dengan amalan yang melayakkan kami masuk ke dalam syurga? 

Lalu Allah berfirman kepada mereka berdua: Masuklah ke dalam syurga. Sesungguhnya Aku bersumpah ke atas diriKu bahawa Aku tidak akan masukkan ke dalam neraka orang yang bernama Muhammad dan Ahmad.”

Sumber Hadis

Riwayat Ibnu Bukair dalam Fadhail al-Tasmiyyah Bi Ahmad Wa Muhammad, Qadhi al-Maristan dalam Ahadith al-Shuyukh al-Thiqat dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada jalur perawi:

Ahmad bin Nasr bin Abdullah bin al-Fath daripada Sadaqah bin Musa al-Ghanawi daripada bapanya daripada Humaid al-Thawil daripada hadis Anas bin Malik.

Penilaian Hadis

Hadis ini palsu. Pemalsunya ialah Ahmad bin Nasr bin Abdullah bin al-Fath al-Zira’.

Ahmad bin Nasr al-Zira’ ini kata al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad:

“Pada hadisnya ada nakarah (kecacatan) yang menunjukkan bahawa dia tidak thiqah.”

Kata al-Daraqutni:

“Dia dajjal (penipu besar).”

Kata Ibnu al-Jauzi:

“Hadis ini tidak ada asal baginya. Kata Ibnu Hibban: Sadaqah bin Musa tidak boleh berhujah dengannya. Hadis bukanlah bidangnya. Apabila meriwayatkan hadis dia akan tertukar (قَلَبَ الأَخْبَارَ).”

Ibnu al-Jauzi menyangka Sadaqah bin Musa ini ialah Abu al-Mughirah Sadaqah bin Musa al-Daqiqi al-Sulami yang disebutkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab al-Majruhin sedangkan Sadaqah di sini ialah Abu al-‘Abbas Sadaqah bin Musa bin Tamim. Lebih aula bagi Ibnu al-Jauzi untuk menyalahkan Ahmad bin Nasr al-Zira’ yang lebih teruk kedudukannya daripada Sadaqah bin Musa.

Sadaqah bin Musa bin Tamim ini kata al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad:

“Syeikh ini majhul. Telah meriwayatkan hadis-hadis mungkar daripadanya oleh al-Zira’. Yang bertanggungjawab melakukannya pada pendapatku ialah al-Zira’.”  

Al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus juga meriwayatkan hadis ini daripada jalur perawi Ahmad bin Abdullah al-Nahrawani daripada Sadaqah bin Musa daripada bapanya daripada Abdul Aziz daripada hadis Anas bin Malik.  

Ahmad bin Abdullah al-Nahrawani di sini ialah Ahmad bin Nasr bin Abdullah al-Zira’ di atas sebagaimana kata al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad.

Kata Ibnu Qayyim dalam al-Manar al-Munif:

“Hadis ini bertentangan dengan apa yang dimaklumi daripada agama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bahawa neraka tidak terselamat daripadanya dengan nama dan gelaran. Sesungguhnya terselamat daripada neraka adalah dengan iman dan amalan.”

*Saya juga temui hadis ini dalam kitab Wasail al-Wusul karangan Syeikh Yusuf al-Nabhani, di akhir bab pertama berkenaan nasab dan nama-nama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Hadis Palsu: Kelebihan Hidangan Yang Dihadiri Orang Bernama Ahmad Atau Muhammad

مَا مِنْ مَائِدَةٍ وُضِعَتْ فَحَضَرَ عَلَيْهَا مَنِ اسْمُهُ مُحَمَّدٌ أَوْ أَحْمَدُ إِلَّا قُدِّسَ ذَلِكَ الْمَنْزِلُ فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ

“Tidaklah diletakkan suatu hidangan itu lalu hadir seseorang yang bernama Muhammad atau Ahmad untuk menjamahnya kecuali rumah (yang menghidangkan hidangan tersebut) akan dimuliakan pada setiap hari sebanyak dua kali.”

Riwayat Ibnu Bukair dalam Fadhail al-Tasmiyyah Bi Ahmad Wa Muhammad dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada jalur perawi Abu al-Qasim Abdullah bin Ahmad bin ‘Amir al-Tha’ie daripada bapanya daripada Ali bin Musa al-Ridha daripada Musa bin Ja’far al-Sodiq daripada Muhammad al-Baqir daripada Ali Zainal Abidin daripada daripada Hussein daripada hadis Ali bin Abi Thalib.

Hadis ini palsu. Puncanya daripada Abu al-Qasim Abdullah bin Ahmad bin ‘Amir al-Tha’ie.

Kata al-Hussein bin Ali al-Zuhri:

“Dia seorang yang buta huruf. Dia tidak disukai (لم يكن بالمرضي).”

Kata al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal:

“Dia meriwayatkan daripada bapanya daripada Ali al-Ridha daripada datuk moyangnya sebuah naskah hadis palsu lagi batil yang dipalsukan olehnya atau bapanya.”

Kata al-Zahabi dalam Diwan al-Dhu’afa’:

“Dia meriwayatkan daripada bapanya daripada Ahli Bait. Baginya sebuah naskhah hadis batil.”

Dia juga dituduh memalsukan hadis berkenaan kelebihan adas oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at. Kata Ibnu al-Jauzi:

“Yang dituduh memalsukannya ialah Abdullah bin Ahmad bin Amir dan bapanya kerana mereka berdua meriwayatkan daripada Ahli Bait sebuah naskhah hadis yang semuanya palsu.”

Kata Ibnu Hajar dalam al-Kafi al-Syaf:

“Dia meriwayatkan daripada bapanya dan dia adalah pendusta.”

Al-Hafiz al-Sayuthi sebutkan hadis ini dalam kitab Zail al-Laali’ al-Masnu’ah (no. 701). Boleh lihat hadis-hadis lain hasil pemalsuan Abdullah bin Ahmad bin Amir dalam kitab tersebut, bemula hadis bernombor 696 sehingga 709.

*Saya temui hadis ini dalam kitab Wasail al-Wusul karangan Syeikh Yusuf al-Nabhani, di akhir bab pertama berkenaan nasab dan nama-nama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.


*Tambahan

Saya temui hadis yang lain dalam bab ini.

Hadis Pertama

أَنْ مِنْ بَرَكَةِ الطَّعَامِ أَنْ يَكُونَ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْمُهُ اسْمُ نَبِيٍّ

“Sesungguhnya di antara keberkatan makanan adalah orang yang bernama dengan nama Nabi yang menjamahnya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada Ruh bin Abdul Mujib daripada Muhammad bin Yahya bin Razin daripada Ismail bin Yahya bin ‘Ubaidillah daripada Zakariyya bin Hakim daripada al-Sya’bi daripada hadis Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar.

Kata Ibnu ‘Adi:

“Hadis ini batil dengan sanad ini.”

Dalam sanadnya ada tiga perawi bermasalah:

1 - Muhammad bin Yahya bin Razin.

Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin:

“Dajjal. Dia memalsukan hadis.”

Kata Abu Nu’aim al-Asbahani:

“Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu.”

2 - Ismail bin Yahya bin ‘Ubaidillah

Dia dituduh berdusta dan memalsukan hadis oleh Soleh Jazarah, al-Azdi, Abu ‘Ali al-Naisaburi, al-Daraqutni dan al-Hakim.

Kata Ibnu ‘Adi:

“Dia meriwayatkan hadis-hadis batil daripada perawi-perawi thiqah. Umumnya hadis yang diriwayatkannya daripada perawi thiqah dan daif adalah hadis palsu.”

3 - Zakariyya bin Hakim

Kata Ali bin al-Madini: “Binasa (هالك).”

Kata Ibnu Ma’in: “Tiada nilai (ليس بشيء).”

Kata Ahmad bin Hanbal: “Tiada nilai. Manusia (ahli hadis) meninggalkan hadisnya.”

Kata al-Nasa’ie: “Tidak thiqah.”

Hadis Kedua

مَا أطْعم طَعَام على مائدة وَلَا جلس عَلَيْهَا وفيهَا اسْمِي إِلَّا قدسوا كل يَوْم مرَّتَيْنِ

“Tidaklah dihidangkan makanan di atas meja dan tidaklah duduk untuk menjamahnya dan padanya (meja tersebut) ada namaku melainkan mereka akan disucikan (dosanya) pada setiap hari sebanyak dua kali.”

Riwayat Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Maudhih Li Auham al-Jam' Wa al-Tafriq dan Ibnu al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah daripada jalur perawi Yahya bin Abdul Rahman bin Najiyyah al-Harrani daripada Ahmad bin Abdul Rahman bin Mufaddhal daripada ‘Uthman al-Tharaifi daripada Ahmad al-Syami daripada Muhammad bin al-Munkadir daripada hadis Jabir.

Kata Ibnu ‘Adi:

“Hadis ini tidak terpelihara (mungkar). Ahmad al-Syami ini pada pendapatku dia ialah Ibnu Kinanah.”

Kata Ibnu ‘Adi berkenaan Ahmad bin Kinanah ini:

“Mungkar al-Hadith dan dia tidak dikenali.”

Kata al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal:

“Hadis ini dusta.”

Al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah membawakan riwayat lain tanpa melalui ‘Uthman al-Tharaifi dan Ahmad al-Syami.

Abu Sa’id Muhammad Muhammad bin ‘Ali bin ‘Amru al-Naqqasy al-Asfahani meriwayatkan dalam Mu’jam Shuyukh daripada Abu Bakar Muhammad bin Abdul Khaliq al-Bandaniji daripada Abu Soleh Syu’aib bin al-Khasib al-Nasri daripada al-‘Abbas bin Yazid al-Bahrani daripada Sufyan bin ‘Uyainah daripada Muhammad bin al-Munkadir daripada hadis Jabir bin ‘Abdillah.

Menurut al-Hafiz al-Sayuthi para perawinya thiqah tetapi dua perawinya iaitu Muhammad bin Abdul Khaliq al-Bandaniji dan Syu’aib bin al-Khasib al-Nasri saya tidak temui sebarang maklumat tentang mereka. Wallahu a’lam.