Khamis, 29 Mac 2018

Hadis: Membaca Bismillah Dengan Jahar


Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Boleh ana tahu asal kepada hadis ni?

حديث نعيم بن عبد الله المجمر قال : صليت وراء أبي هريرة رضي الله عنه فقرأ بسم الله الرحمن الرحيم ثم قرأ بأم الكتاب حتى إذا بلغ ولا الضالين قال : آمين وقال الناس : آمين ويقول كلما سجد : الله أكبر وإذا قام من الجلوس من الاثنين قال : الله أكبر ثم يقول إذا سلم . والذي نفسي بيده إني لأشبهكم صلاة برسول الله صلى الله تعالى عليه وسلم

Jawapan:

Hadis Nu'aim bin Abdullah al-Mujmir, beliau berkata:

"Aku bersolat di belakang Abu Hurairah radiallahu 'anhu. Beliau membaca 'بسم الله الرحمن الرحيم'. Kemudian beliau membaca Ummul Kitab (Surah al-Fatihah) sehingga sampai 'ولا الضالين', beliau berkata: Amin. Lalu berkata orang ramai (yang bersolat di belakang beliau): Amin. Beliau berkata apabila hendak sujud: Allahu Akbar. Apabila beliau bangun daripada duduk pada (rakaat) kedua, beliau berkata: Allahu akbar. Kemudian apabila selesai memberi salam, beliau berkata: Demi (Allah) yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, aku adalah yang paling menyerupai solatnya dengan solat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam di antara kamu semua."

Hadis ini riwayat al-Bazzar, al-Nasa'ie, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Daraqutni, al-Hakim, al-Baihaqi dan lain-lain.

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Daraqutni, al-Hakim, al-Baihaqi, al-Khatib al-Baghdadi dalam Zikr al-Jahr Bil Basmalah , Ibnu Hajar dalam Taghliq al-Ta'liq dan lain-lain.

Kata Ibnu Khuzaimah dalam penulisan beliau berkenaan Basmalah (sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam):

"Telah sahih (hadis) membaca Basmalah dengan nyaring daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam dengan sanad yang sabit lagi bersambung. Tidak ada keraguan akan kesahihannya di sisi ahli ilmu."

Hadis: Balasan Tidak Adil Di Antara Isteri-Isteri


Soalan:

Assalamualaikum. Saya ingin tanya tentang status hadis di bawah.

"Sesiapa memiliki dua orang isteri dan dia lebih cenderung kepada salah seorang isterinya (berat sebelah), dia pasti akan datang pada hari  kiamat dalam keadaan  sebelah badannya senget."

 (HR.  Abu Daud)

Terima Kasih

Jawapan:

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

Hadis ini riwayat Abu Daud, al-Termizi, Ibnu Majah dan lain-lain daripada hadis Abu Hurairah.

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim dan Ibnu al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir.

Ibnu Kathir dalam Irsyad al-Faqih dan Ibnu Hajar dalam Bulugh al-Maram menilai sanadnya sebagai sahih.

Hadis: Jangan Mengumpat


Soalan:

Boleh berikan pencerahan tentang status hadith ni dan betulkah makna hadith dlm BM ni berdasarkan matannya dlm bahasa Arab?

Peringatan Rasulullah SAW kepada Orang Beriman

Sabda Rasulullah: “Wahai org beriman dgn lidahnya, tetapi belum beriman dgn hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yg mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan Dia akan mendedahknnya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jawapan:

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ، وَلَمْ يَدْخُلِ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ، لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنِ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

"Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk iman ke dalam hatinya, janganlah kamu semua mengumpat kaum Muslimin dan jangan kamu mengintip keaiban mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mengintip keaiban mereka, Allah akan mendedahkan keaibannya. Sesiapa yang Allah mendedahkan keaibannya nescaya akan tersingkap keaibannya walaupun dia berada di dalam rumahnya."

Hadis ini sahih.

Hadis ini riwayat Ahmad, Abu Daud, Abu Ya'la dan lain-lain daripada hadis Abi Barzah al-Aslami.

Hadis ini ada syawahid (hadis sokongan) daripada hadis Ibnu 'Umar yang diriwayatkan oleh al-Termizi, hadis Thauban yang diriwayatkan oleh Ahmad, hadis al-Bara' bin 'Azib yang diriwayatkan oleh Abu Ya'la, hadis Ibnu 'Abbas yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath dan al-Kabir, hadis Buraidah yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath dan al-Kabir dan hadis mursal Jubair bin Nufair yang diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi dalam Nawadir al-Usul.

Hadis: Kaum Yang Mencakar Muka Dan Dada Mereka


Soalan:

Apakah status hadis ini dan betulkah terjemahan tersebut daripada matan bahasa arabnya? Syukran ustaz.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Anas, Rasulullah SAW bersabda:

 “Pada malam aku diIsra’kan aku telah melalui suatu kaum yg mencakar-cakar muka mereka dgn kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: “Hai Jibril siapa mereka ini? jawab Jibril: Mereka ini adalah org2 yg suka mengumpat dan mereka juga suka menjaga tepi kain org”.

(Abu Daud dari Anas)

Jawapan:

لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ، فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ، قَالَ هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ، وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

"Pada malam aku dimi'rajkan (diangkat ke langit pada malam Israk dan Mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: Siapa mereka ini, wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka."

Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain daripada hadis Anas bin Malik dengan sanad yang sahih.

Hadis ini mengandungi ancaman yang keras terhadap orang yang suka mengumpat dan menjatuhkan maruah orang lain. Perilaku mengumpat diumpamakan seperti perbuatan memakan daging manusia.

Wallahu a'lam.

Hadis: Belajar Tentang Iman Sebelum Al-Quran

Soalan:

Ada tak hadis yang mengatakan kami belajar iman dulu sebelum Quran?

Jawapan:

عَنْ جُنْدُبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ فِتْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ، فَتَعَلَّمْنَا الْإِيمَانَ قَبْلَ أَنْ نَتَعَلَّمَ الْقُرْآنَ، ثُمَّ تَعَلَّمْنَا الْقُرْآنَ فَازْدَدْنَا بِهِ إِيمَانًا.

Daripada Jundub bin Abdullah, beliau berkata:

"Kami bersama dengan Nabi sallahu 'alaihi wasallam dan kami masih muda belia dan kuat. Kami mempelajari tentang iman sebelum mempelajari al-Quran. Kemudian barulah kami mempelajari al-Quran, maka bertambah-tambah iman kami dengan sebab al-Quran tersebut."

Riwayat Ibnu Majah (no. 61).

Kata al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah:

هَذَا إِسْنَاد صَحِيح رِجَاله ثِقَات

"Sanad (hadis) ini sahih dan perawinya thiqah."

Sanadnya juga dinilai sahih oleh al-Hafiz al-'Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya'.

Pengajaran Hadis

1 – Imam boleh bertambah dan berkurang.

2 – Utamakan menuntut ilmu akidah sebelum mempelajari al-Quran dan ilmu fiqh.

3 – Mendalami al-Quran menjadi sebab pertambahan iman, menerangi hati dan melapangkan dada dari kekusutan.

Hadis: Sebaik-Baik Ibadah Adalah Yang Paling Berat


Soalan:

Apakah maksudnya hadis ini?

Nabi saw bersabda: "Amal yg paling disukai oleh Allah adalah yg paling berat dirasakan."

Jawapan:

أَفْضَلُ الْعِبَادَاتِ أَحْمَزُهَا

"Sebaik-baik ibadat adalah yang paling berat (untuk dilakukan)."

Menurut al-Hafiz al-Mizzi (sebagaimana dalam al-Tazkirah oleh al-Zarkasyi), ia adalah daripada hadis-hadis gharib yang tidak diriwayatkan sedikitpun di dalam Kutubus Sittah. Menurut al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Durar al-Muntathirah, ianya tidak diketahui (asalnya). Ibnu al-Qayyim dalam Madarij al-Salikin menghukumkannya sebagai tidak ada asal (لا أصل له).

Disebutkan di dalam kitab al-Nihayah oleh Ibnu al-Athir (m. 606H) secara tanpa sanad daripada hadis Ibnu 'Abbas bahawa Rasulullah sallahu 'alaihii wasallam ditanya tentang sebaik-baik amalan. Baginda menjawab: "Yang paling berat (أحمزها)."

Menurut al-Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu'ah, maknanya sahih kerana telah diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, Nabi sallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada 'Aisyah:

وَلَكِنَّهَا عَلَى قَدْرِ نَصَبِكِ

"Akan tetapi, pahala umrah kamu berdasarkan tahap kepenatan kamu."

Wallahu a'lam.

Hadis: Setubuh Isteri Ketika Haid Anak Jadi Pondan

Soalan:

Ada dalam hadis atau suatu perkataan sahaja. Bunyinya macam ini:

"Suami yg mewati istri ketika haid, jika berlaku persenyawan, anak itu akan jadi pondan" sebab kifarah bagi ibu bapa.

Ada hadis ke? Ke kata-kata dari orang tua?

Jawapan:

عنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيه وسَلَّم قَال: الْمُؤْنِثُونَ أَوْلادُ الْجِنِّ قِيلَ لابْنِ عَبَّاسٍ يَا أَبَا الْفَضْلِ كَيْفَ ذَلِكَ قَالَ نَهَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَنْ يَأْتِيَ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَإِذَا أَتَاهَا سَبَقَهُ الشَّيْطَانُ إليها فحملت منه فأنث المؤنث.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Golongan pondan adalah anak-anak jin.”

Ditanya kepada Ibnu ‘Abbas:

“Wahai Abu al-Fadl (gelaran Ibnu ‘Abbas), bagaimana boleh jadi begitu?”

Ibnu ‘Abbas menjawab:

“Allah dan Rasul-Nya melarang seorang lelaki mendatangi isterinya yang sedang haid. Apabila dia mendatangi isterinya yang sedang haid, syaitan akan mendahuluinya. Apabila isterinya hamil hasil persetubuhan tersebut, anaknya menjadi pondan.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam kitab al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal pada biografi perawi Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi.

Hadis ini didaifkan oleh Imam Ibnu ‘Adi yang mengatakan bahawa hadis ini telah diriwayatkan secara silap (غير محفوظdan Imam Ibnu al-Qatthan al-Fasi dalam Ihkam al-Nazar yang mengatakan bahawa ia adalah hadis mungkar.

Hukum Hadis

Kesimpulannya, hadis ini hukumnya sangat daif. Oleh itu tidak boleh menggunakannya walaupun dalam bab tarhib (amaran/peringatan daripada melakukan perbuatan dosa/maksiat). Apatah lagi menuduh bapa kepada seorang pondan bahawa dia menyetubuhi isterinya ketika haid.

Hukum Setubuh Isteri Ketika Haid

Adapun hukum menyetubuhi isteri ketika haid, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu' menyebutkan bahawa sepakat (ijma') kaum Muslimin akan keharaman bersetubuh dengan isteri yang haid berdasarkan ayat al-Quran dan hadis yang sahih.

Firman Allah Ta'ala:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ.

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu...." (Surah al-Baqarah: ayat 222)

Sabda Nabi sallahu 'alaihi wasallam:

اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إلَّا النِّكَاحَ.

"Buatlah apa pun (dengan isteri yang haid) kecuali jimak."

Hadis sahih riwayat Muslim.

Selasa, 27 Mac 2018

Al-Khatib al-Baghdadi: Khatam al-Quran Dalam Permusafiran

- Pada tahun 445 Hijrah, al-Khatib al-Baghdadi (392H-463H) memulakan permusafiran beliau menuju ke Mekah untuk menunaikan haji. Sepanjang perjalanan, beliau tidak membiarkan waktu berlalu pergi melainkan dipenuhi dengan aktiviti bacaan al-Quran dan periwayatan hadis.

Kata Abu al-Farj al-Isfarayini:

“Al-Khatib (al-Baghdadi) bersama dengan kami dalam perjalanan menunaikan haji. Beliau mengkhatamkan (al-Quran) setiap hari sebanyak satu khataman dengan bacaan tartil. Kemudian orang ramai berkumpul dekat dengan beliau dalam keadaan beliau sedang menunggang (tunggangan). Mereka berkata: Sampaikan hadis kepada kami. Kemudian beliau menyampaikan hadis kepada mereka.”

- Begitu juga halnya ketika beliau dalam perjalanan dari Damsyik menuju ke Baghdad pada tahun 462 Hijrah.

Kata murid beliau yang bernama Abdul Muhsin al-Syihi:

“Aku menunggang bersama-sama dengan Abi Bakr al-Khatib dari Damsyik menuju ke Baghdad. Beliau pada setiap sehari semalaman akan mengkhatamkan (al-Quran) sekali khataman.”

[Siyar A’lam al-Nubala, jil. 18, hlm. 279, c: Muassasah al-Risalah]

Ahad, 25 Mac 2018

Pujian Ulama Terhadap Sunan al-Termizi


1 - Kata Abu Sulaiman al-Khattabi (m. 388H) dalam Ma’alim al-Sunan:

“Kitab Abu Isa juga adalah kitab yang baik.”

2 – Kata Abu Isma’il ‘Abdullah bin Muhammad al-Ansari (m. 481H):

“Kitabnya (al-Termizi) di sisiku lebih bermanfaat daripada kitab al-Bukhari dan Muslim kerana kitab al-Bukhari dan Muslim tidak akan ditemui faedah daripada keduanya kecuali orang yang mahir lagi alim. Kitab Abu Isa (al-Termizi) sampai faedahnya kepada setiap orang.”

[Syurut al-Aimmah al-Sittah oleh Muhammad bin Thahir al-Maqdisi]

3 -  Kata Abu al-Sa’adat al-Mubarak Ibnu al-‘Athir (m. 606H) dalam Jami’ al-Usul:

“Ianya adalah sebaik-baik kitab, paling banyak faedah, paling baik susunannya dan paling sedikit hadisnya yang berulang. Di dalamnya terdapat sesuatu yang tidak disebutkan dalam kitab lainnya iaitu tentang mazhab-mazhab dan bentuk-bentuk pendalilan, penjelasan jenis-jenis hadis iaitu sahih, hasan dan gharib. Di dalamnya ada jarh wa ta’dil dan di akhir kitabnya ada kitab al-‘Ilal yang menghimpunkan di dalamnya  faedah-faedah yang bagus yang tidak tersembunyi lagi kehebatannya bagi sesiapa yang mengkajinya.”

4 -  Kata ‘Izzudin ‘Ali bin al-Athir (m. 630H) dalam al-Kamil Fi al-Tarikh:

“Ia adalah sebaik-baik kitab.”

5 – Kata Ibnu Kathir (m. 774H) dalam al-Bidayah Wa al-Nihayah:

“Ia adalah salah satu daripada kutub al-sittah yang  dirujuk oleh para ulama di seluruh ufuk (bumi).”

6 – Kata al-Hafiz al-Zahabi (m. 748H) dalam Tarikh Islam:

“Kitab beliau, al-Jami’ menunjukkan kepakaran beliau dalam ilmu ini (ilmu hadis), ilmu fiqh dan khilaf ulama.”

Kata beliau lagi dalam Siyar A’lam al-Nubala’:

“Dalam al-Jami’ (al-Termizi) ilmu yang bermanfaat, faedah yang banyak dan permasalah-permasalahan yang utama. Ia adalah salah satu usul Islam.”

7 – Kata Ibrahim al-Bajuri (m. 1277H) dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah:

“Baginya (al-Termizi) penulisan yang banyak lagi sangat bagus, apatah lagi kitab Jami’-nya yang menghimpunkan faedah-faedah hadis dan fiqh, mazhab-mazhab ulama salaf dan khalaf. Ianya mencukupi bagi para mujtahid dan para muqallid.”

Sabtu, 24 Mac 2018

Fawaid kitab al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil 1


- Ilmu al-Jarh Wa al-Ta'dil adalah di antara ilmu-ilmu yang hanya ada secara khusus bagi umat Islam yang membezakan umat Islam di antara umat-umat lainnya.

- Ahli hadis memberikan perhatian yang khusus terhadap ilmu ini. Mereka meletakkan bagi ilmu ini asas yang kukuh, kaedah-kaedah yang sabit dan mengelokkan binaan ilmu ini sehingga menjadi bentuk yang sempurna dan kukuh.

- Ilmu ini menjadi tonggak utama bagi Sunnah kerana dengan ilmu inilah dapat dibezakan antara hadis yang sahih dengan yang daif serta dapat menyingkap hal ehwal perawi yang daif dan pendusta di kalangan perawi hadis.

- Ahli hadis telah memberikan perhatian terhadap ilmu ini sejak dari awal Islam lagi. Mereka menghafalnya di dalam dada-dada mereka dan saling berdiskusi sesama mereka.

- Kemudian barulah mereka mula menulis kitab tentang ilmu ini. Maka berbilang-bilanglah jumlah kitab yang ditulis berkaitan ilmu ini.

- Ada di kalangan penulis yang secara khusus menulis tentang perawi yang daif sahaja, ada yang menulis tentang perawi yang thiqah sahaja dan ada yang menggabungkan kedua-duanya dalam satu kitab.

- Tetapi tidak ada penulis yang secara khusus menulis tentang ilmu ini dari segi qawa'idnya, syarat-syaratnya, thabaqat perawi, lafaz-lafaz jarh wa ta'dil dan tingkatan-tingkatan jarh wa ta'dil kecuali pada waktu mutakhir ini.

- Imam Abu Muhammad Abdul Rahman bin Abi Hatim al-Razi (meninggal dunia tahun 327 Hijrah) telah menulis satu mukadimah bagi kitabnya yang berjudul 'al-Jarh Wa al-Ta'dil' yang menjelaskan di dalamnya kepentingan sunnah, cara membezakan antara hadis sahih dengan hadis daif, mengetahui sifat adil para perawi, mengetahui para perawi yang dijarhthabaqat para perawi, kedudukan para perawi dari segi kemantapan (hafalan hadis) dan kejujuran. Kemudian beliau menulis secara panjang lebar berkenaan biografi para nuqqad yang dapat dipegang kata-kata mereka berkenaan jarh wa ta'dil. Beliau membahagikan thabaqat  para nuqqad sehingga zaman beliau kepada empat thabaqat. Biografi para nuqqad ini mempunyai manfaat yang besar kerana para nuqqad ini adalah sumber utama pengambilan hukum jarh wa ta'dil.

- Kemudian ulama hadis memberikan perhatian untuk menyebutkan sebahagian qawaid jarh wa ta'dil dalam kitab-kitab mereka pada perbahasan 'sifat perawi yang diterima periwayatannya dan yang ditolak'. Antaranya, al-Imam Ibnu al-Solah al-Syahrazuri (meninggal dunia tahun 634 Hijrah) dalam kitab Muqaddimahnya yang masyhur, al-Hafiz Abdul Rahman al-Sakhawi (meninggal dunia tahun 902 Hijrah) dalam syarahannya ke atas Alfiyah al-'Iraqi dan al-Hafiz al-Sayuthi (meninggal dunia tahun 911 Hijrah) dalam syarahannya ke atas Taqrib al-Nawawi.

- Meskipun begitu, terdapat keperluan mendesak supaya ilmu ini dibukukan dalam kitab yang khusus dan tidak ada kitab yang ditulis berkenaan ilmu ini secara khusus selama berkurun lamanya.

- Sehinggalah pada kurun ke 13 Hijrah, munculnya ulama yang menjadi kebanggaan India, al-Imam Abi al-Hasanat Muhammad Abdul Hayy al-Laknawi  (meninggal dunia tahun 1304 Hijrah) yang menulis kitabnya yang berharga yang berjudul 'al-Raf'u Wa al-Takmil Fi al-Jarh Wa al-Ta'dil'.

- Beliau (al-Laknawi) menyebutkan di dalam kitab ini syarat-syarat dan sifat ulama yang menjarh dan menta'dilkan perawi, sifat-sifat perawi yang dijarh, istilah-istilah yang berkaitan dengan jarh wa ta'dil, kitab-kitab jarh wa ta'dil, sifat-sifat penulis kitab jarh wa ta'dil dari segi tasahul (bermudah-mudah), tasyaddud (bersikap keras), i'tidal (bersikap adil) dan taasub. 

- Kitab ini (al-Raf'u Wa al-Takmil) menjadi satu ensiklopedia bagi ilmu ini dan menjadi rujukan penting bagi sesiapa yang menulis tentang ilmu ini selepas beliau (al-Laknawi).

- Pengarang (Sayyid Abdul Majid al-Ghauri) diberikan peluang untuk mengajar ilmu ini dan ilmu-ilmu lainnya berkaitan hadis dan beliau mendapati para pelajar menghadapi kesukaran memahami ilmu ini terutamanya pada sebahagian perbahasannnya yang rumit.

- Terlintas di hati pengarang untuk menulis kitab dalam uslub yang mudah supaya para pelajar dapat mengetahui perbahasan yang penting yang perlu diketahui dalam ilmu ini.

- Kitab ini (al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil) adalah saduran daripada kitab pengarang yang berjudul 'al-Madkhal Ila Dirasah 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil'.


Isnin, 19 Mac 2018

Jangan Sangka Buruk


Makhul al-Syami berkata:

"Aku pernah melihat seorang lelaki sedang bersolat. Setiap kali dia rukuk atau sujud dia akan menangis. Aku menganggap seolah-olah dia menunjuk-nunjuk dengan tangisannya itu. Maka diharamkan ke atasku menangis selama setahun."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani, jil 5, hlm. 184, c: Maktabah al-Khanji & Dar al-Fikr]
________

Makhul al-Syami digelar sebagai faqih dan imam ahli Syam. Beliau belajar dengan Anas bin Malik, Abu Umamah al-Bahili, Sa'id bin al-Musayyib, Thawus dan lain-lain.

Murid beliau iaitu al-Zuhri pernah berkata: "Ulama itu ada empat orang: Sa'id bin al-Musayyib di Madinah, al-Sya'bi di Kufah, al-Hasan di Basrah dan Makhul di Syam."

Kata Abu Hatim: "Tidak ada di Syam orang yang lebih faqih daripada Makhul."

Beliau meninggal dunia sekitar tahun 112H-118H.

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 5, hlm. 155, c: Muassasah al-Risalah]


Jumaat, 16 Mac 2018

Duduklah Bersama Dengan Orang Yang Bertaubat

'Aun bin Abdullah bin 'Utbah berkata:

"Duduklah bersama dengan orang yang banyak bertaubat. Sesungguhnya mereka adalah orang yang paling lembut hatinya."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani, jil 4, hlm. 249, c: Maktabah al-Khanji & Dar al-Fikr]
_______________

'Aun bin Abdullah bin 'Utbah al-Huzali merupakan murid kepada Ibnu 'Abbas, Abdullah bin 'Amru bin al-'As, Sa'id bin al-Musayyib. 

Beliau juga meriwatkan hadith daripada Abu Hurairah dan 'Aisyah tetapi dikatakan bahawa riwayat beliau daripada dua sahabat tersebut mursal (terputus).

Beliau merupakan salah seorang guru Imam Abu Hanifah.

Kata al-Ashma'ie: "Beliau adalah sasterawan ahli Madinah dan daripada kalangan fuqaha' mereka. Beliau pernah berfahaman Murji'ah kemudian beliau meninggalkannya."

Beliau meninggal dunia sekitar tahun 110 Hijrah. 

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 5, hlm. 103, c: Muassasah al-Risalah]

Dimanakah Tempat Tinggal Malik Bin Dinar?

Ja'far bin Sulaiman berkata:

"Malik bin Dinar apabila beliau berada di biliknya beliau berkata:

Wahai Tuhan, aku telah tahu tentang (ciri-ciri) penduduk syurga dan penduduk neraka. Maka yang mana satukan antara dua tempat ini untuk Malik? Kemudian beliau menangis."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani, jil 2, hlm. 383, c: Maktabah al-Khanji & Dar al-Fikr]
__________________

Malik bin Dinar antara tokoh tabi'in yang masyhur dengan kewarakan dan kezuhudan. Beliau belajar dengan Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin dan lain-lain. 

Beliau tidak makan kecuali dengan usaha tangannya sebagai penulis mushaf. Beliau pernah berkata: "Aku pernah membaca di dalam Taurat bahawa orang yang berkerja dengan tangannya sendiri akan berjaya dalam kehidupannya dan ketika matinya."

Beliau meninggal dunia pada tahun 131 Hijrah dan ada beberapa pendapat tentang tahun kewafatannya.

Rujukan:

- Wafayat al-A'yan, Ibnu Khalikan, jil 4, hlm. 139, c: Dar Sodir.

- Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 5, hlm. 362, c: Muassasah al-Risalah.

Perawi Yang Diterima Hadithnya

Al-Imam Ibnu al-Solah (m. 643H) berkata:

"Telah ijmak jumhur para imam hadith dan fiqh bahawa disyaratkan pada (perawi) yang boleh dijadikan hujah akan periwayatannya adalah bahawa perawi tersebut mestilah adil dan dhabit (teliti) terhadap apa yang diriwayatkannya.

Perinciannya adalah: Perawi tersebut mestilah muslim yang baligh, berakal, selamat daripada sebab-sebab (yang menyebabkan) kefasikan dan  perkara-perkara yang menjatuhkan maruah, seorang yang sedar dan tidak lalai (ketika meriwayatkan dan menyampaikan hadith), seorang yang hafiz (yang menghafal hadithnya) jika dia menyampaikan hadith daripada hafalannya dan yang menjaga kitabnya jika dia menyampaikan hadith daripada kitabnya. Jika dia meriwayatkan hadith secara makna, disyaratkan bahawa dia mesti alim terhadap apa yang boleh menyebabkan perubahan makna (hadith)." 

[Ma'rifah Anwa' 'Ilm al-Hadith, Ibnu al-Solah, hlm. 104, c: Dar al-Fikr, tahqiq: Nuruddin 'Itr]

Rabu, 7 Mac 2018

Tinggalkan Pengkebumian Anak Bimbang Terlepas Kelas Pengajian


Al-Imam al-Qadhi Abu Yusuf sangat kuat berdamping dengan guru beliau, al-Imam Abu Hanifah. Beliau sentiasa melazimi majlis al-Imam Abu Hanifah selama 17 tahun atau 29 tahun.

Beliau tidak pernah tertinggal bersolat Subuh bersama al-Imam Abu Hanifah dan tidak pernah berpisah dengan al-Imam Abu Hanifah sama ada sewaktu hari raya Aidul Fitri atau hari raya Aidul Adha kecuali jika sakit.

Al-Imam Abu Yusuf pernah berkata:

“Anakku meninggal dunia dan aku tidak menghadiri pengurusan jenazahnya dan pengebumiannya. Aku tinggalkan urusan tersebut kepada jiranku dan kaum kerabatku kerana bimbang terlepas sesuatu (ilmu) daripada Abu Hanifah yang akan menyebabkan tidak hilang penyesalan daripadaku (selepas itu kerana terlepas pengajian bersama Abu Hanifah).”

 [Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama’, Abdul Fattah Abu Ghuddah, hlm. 30, c: Maktabah al-Mathbu’at al-Islamiyyah]


Kesabaran Al-Imam al-Syafi'e Dalam Mengajar


Kata al-Qaffal (m. 507H) dalam Fatawanya:

"Al-Rabi' seorang yang lambat faham. Al-Syafi'e mengulang-ulang satu permasalahan sebanyak 40 kali kepada beliau tetapi beliau masih belum faham. Beliau lalu bangun dari majlis kerana malu. Al-Syafi'e memanggil beliau ke tempat yang tersembunyi dan mengulang-ulang lagi pelajaran sehingga beliau faham."

 [Thabaqat al-Syafi’eyyah al-Kubra, Tajuddin al-Subki, jil. 2, hlm. 134, c: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah]
______________________

Al-Rabi' bin Sulaiman al-Muradi merupakan murid al-Imam al-Syafi'e. Beliau dilahirkan pada 174 Hijrah.

Antara ulama yang pernah  belajar daripada beliau ialah Abu Daud, Ibnu Majah, al-Nasa'ie, Abu Zur'ah, Abu Hatim, Ibnu Abi Hatim, Abu Ja'far al-Tahawi dan lain-lain.

Al-Imam al-Syafi'e sangat mencintai beliau. Imam al-Syafi'e pernah berkata: "Tidak ada seorang pun yang pernah berkhidmat kepadaku sebagaimana al-Rabi' bin Sulaiman berkhidmat kepadaku."
Kata al-Imam al-Syafi'e lagi kepada al-Rabi': "Engkau adalah periwayat kitab-kitabku."

Beliau juga merupakan muazzin di sebuah masjid di Fustat, Mesir yang dikenali sebagai Jami' 'Amru bin al-'As.

Beliau meninggal dunia pada tahun 270 Hijrah.

Sumber:

Thabaqat al-Syafi’eyyah al-Kubra, Tajuddin al-Subki, jil. 2, hlm. 132, c: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah

Ahad, 4 Mac 2018

Istilah Ilmu Hadith 2: Sanadnya Kelam (إِسْنَادُهُ مُظْلِمٌ)


Istilah ini digunakan oleh sesetengah imam hadith seperti Yahya bin Ma’in, Ibnu ‘Adi, al-Hafiz al-Zahabi dan selain mereka. Maksud istilah ini adalah dalam sanadnya ada perawi-perawi majhul yang tidak diketahui (hal ehwalnya).

[Mu'jam al-Mustholahat al-Hadithiyyah, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 118, c: Dar Ibnu Kathir]

Contoh:

1 - التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ...

“Orang yang bertaubat daripada dosa seumpama orang yang tiada dosa padanya...”

Riwayat Ibnu Abi al-Dunya (m. 281H) dalam al-Taubah [Mausu’ah Ibnu Abi al-Dunya, (2/181), no. 83] dan al-Baihaqi (m. 458H) dalam Syu’ab al-Iman [(9/362), no. 6780] daripada hadith Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Tanqih al-Tahqiq(2/259):

إِسْنَاده مظلم.

“Sanadnya kelam.”

Kata al-Hafiz al-Sakhawi (m. 902H) dalam al-Maqasid al-Hasanah (1/249):

وسنده ضعيف، فيه من لا يعرف

“Sanadnya daif. Dalam sanadnya ada perawi yang tidak dikenali.”


2 - مَنْ حَفِظَ عَلَى أُمَّتِي حَدِيثًا وَاحِدًا كَانَ لَهُ أَجْرُ أَحَدٍ وَسَبْعِينَ نَبِيًّا صِدِّيقًا

“Sesiapa yang menyampaikan kepada umatku satu hadis, baginya pahala 71 orang nabi yang benar.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam Tazkirah al-Huffaz (4/1239) melalui jalur perawi Muhammad bin Rizam daripada hadis Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Kata al-Hafiz al-Zahabi (m. 748H) selepas meriwayatkannya:

هذا مما تحرم روايته إلا مقرونًا بأنه مكذوب من غير تردد وقبح الله من وضعه وإسناده مظلم وفيهم بن رزام كذاب لعله آفته.

“Ini sesuatu yang diharamkan meriwayatkannya kecuali disertai [penjelasan] bahawa ia adalah palsu tanpa ragu-ragu lagi. Semoga Allah menghinakan pemalsunya. Sanadnya ‘kelam’ dan di antara mereka (perawinya) ada Ibnu Rizam, seorang pendusta. Mungkin dialah pemalsunya.”

Kata al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804H) dalam al-Badr al-Munir (7/279):

مَوْضُوع، وَإِسْنَاده مظلم، وَالظَّاهِر أَن آفته من ابْن رزام الْكذَّاب.

“Palsu dan sanadnya ‘kelam’. Zahirnya, penyakitnya (pemalsunya) adalah Ibnu Rizam, seorang pendusta.”

Rujukan:

- Al-Badr al-Munir Fi Takhrij al-Ahadith Wa al-Athar al-Waqi’ah Fi al-Syarh al-Kabir, Ibnu al-Mulaqqin, c: Dar al-Hijrah.

-Al-Maqasid al-Hasanah, al-Sakhawi, c: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

- Mausu’ah Ibu Abi al-Dunya, Ibnu Abi al-Dunya, c: Dar Athlas al-Khadra’.

- Tanqih al-Tahqiq Fi Ahadith al-Ta’liq, al-Zahabi, c: Dar al-Wathan.

- Tazkirah al-Huffaz, al-Zahabi, c: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

- Syu’ab al-Iman, al-Baihaqi, c: Maktabah al-Rusyd.

Sabtu, 3 Mac 2018

Kisah Kewafatan al-Imam al-Ghazali (m. 505H)



Kata saudara beliau yang bernama Ahmad:

“Pada hari Isnin ketika waktu Subuh, saudaraku Abu Hamid (al-Ghazali) berwuduk lalu menunaikan solat.

Beliau kemudian berkata: Berikan kepadaku kain kapan.

(Dibawakan kain kapan lalu) beliau mengambil kain kapan tersebut dan menciumnya lalu diletakkan di antara dua matanya.

Beliau berkata: Kami dengar dan patuh untuk bertemu dengan malaikat.

Beliau menjulurkan kedua kakinya dan menghadap ke arah kiblat. Beliau meninggal dunia sebelum matahari terbit.”

Rujukan:

- Al-Thabat ‘Inda al-Mamat, Ibnu al-Jauzi, hlm. 178, c: Dar al-Andalus.