Ahad, 26 Ogos 2018

Kisah Ulama Membaca Kitab Berulang Kali




Membaca Kitab al-Risalah Selama 50 Tahun

1-  Kata al-Muzani (w. 264 H) (anak murid al-Imam al-Syafi’e):

“Aku telah melihat kitab al-Risalah sejak 50 tahun dulu. Tidaklah aku melihatnya melainkan aku mendapat faedah yang tidak aku ketahui sebelumnya.”

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 700 Kali

2 - Ghalib bin Abdul Rahman bin Ghalib bin Tamam bin ‘Athiyyah al-Muharibi (m. 518 H) berkata:

“Aku membaca tulisan sebahagian sahabat kami bahawa dia mendengar Abu Bakar bin ‘Athiyyah menyebutkan bahawa dia mengulang-ulang Sahih al-Bukhari sebanyak 700 kali.”

Membaca Sahih al-Bukhari 150 Kali

3 - Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam Inba’ al-Ghumar, pada biodata Sulaiman bin Ibrahim bin ‘Umar al-‘Alawi (m. 825 H):

“Beliau menyebutkan kepadaku bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari sebanyak 150 kali, sama ada secara bacaan (qiraah), memperdengarkan hadis (isma’), mendengar bacaan hadis orang lain (sama’) dan membandingkan kitab hadis dengan orang lain (muqabalah).”

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 40 Kali

4 - Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam al-Mu’jam al-Muassis, pada biodata Ahmad bin ‘Uthman bin Muhammad al-Kulutati (m. 835 H):

“Kemudian diberikan kepadanya kecintaan untuk belajar hadis. Beliau mula belajar pada tahun 779 H  dan tahun-tahun berikutnya, tanpa lelah dan lesu. Mungkin beliau telah membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada 40 kali.”

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 100 Kali

5 – Dalam biografi Abu Bakar bin Muhammad bin Abdullah bin Muqbil al-Qahiri al-Hanafi (m. 805 H) yang dikenali sebagai al-Tajir daripada kitab al-Dhau’ al-Lami’:

“Al-Burhan al-Halabi (murid al-Tajir) berkata: Beliau mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau telah membaca Sahih al-Bukhari sehingga tahun 780 H (iaitu selama tujuh tahun) sebanyak 95 dan beliau membaca Sahih al-Bukhari selepas tahun itu dalam bilangan yang banyak.”

Membaca Sahih al-Bukhari Kepada Lebih 30 Syeikh

6 – Dalam Durrah al-Hijal karangan Ibnu al-Qadhi al-Maknasi, pada biodata ‘Uthman bin Muhammad bin ‘Uthman al-Tauzari (m. 713 H) , bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari kepada lebih daripada 30 orang daripada murid-murid al-Busiri.

Membaca Sahih al-Bukhari Kepada Seorang Syeikh lebih 20 Kali

7 – Dalam Inba’ al-Ghumar, pada biodata As’ad bin Muhammad bin Mahmud al-Syirazi (m. 803 H), bahawa beliau membaca Sahih al-Bukhari kepada Syamsuddin al-Karmani lebih daripada 20 kali.

Membaca Sahih al-Bukhari lebih 60 Kali dan Sahih Muslim lebih 20 Kali

8 – Dalam biodata al-Burhan al-Halabi (m. 840 H) daripada kitab al-Dhau’ al-Lami’:
“Beliau membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada 60 kali dan Sahih Muslim lebih kurang 20 kali, sama ada bacaan ketika beliau masih belajar atau orang lain membacakan kedua-duanya kepada beliau.”

Membaca Sahih al-Bukhari Lebih 50 Kali

9 – Kata al-Kattani dalam Fihris al-Faharis:

“Aku dapati dalam Thabat al-Syihab Ahmad bin Qasim al-Buni: Aku melihat tulisan al-Fairuzzabadi pada akhir juzuk daripada Sahih al-Imam al-Bukhari menyebutkan bahawa beliau (al-Fairuzzabadi) telah membaca Sahih al-Bukhari lebih daripada 50 kali.”

Membaca Kitab al-Muhazzab Lebih 40 Kali

10 – ‘Umar bin Samurah al-Ju’di menyebutkan dalam Thabaqat Fuqaha’ al-Yaman, pada biodata al-Imam al-Faqih Yahya bin Abi al-Khair al-‘Imrani (m. 558 H) bahawa beliau berkata tentang dirinya:

“Beliau tidak akan menulis komentar al-Zawaid ‘ala al-Muhazzab kecuali selepas menghafalnya (kitab al-Muhazzab) kepada al-Imam Abdullah bin Ahmad al-Hamdani. Kemudian beliau akan mengulangnya di Uhazah (nama sebuah kampung di Yaman). Kemudian beliau akan menelaah keseluruhan kitab al-Muhazzab sebanyak 40 kali atau lebih sebelum memulakan penulisan (al-Zawaid ‘ala al-Muhazzab).”

Membaca Kitab Mu’jam al-Adibba’ Sebanyak Lapan Kali

11 – Syeikh Abdul ‘Aziz al-Maimani al-Rajkuti (m. 1398 H) berkata tentang dirinya:

“Aku telah membaca Mu’jam al-Adibba’ karangan Yaqut al-Hamawi sekurang-kurangnya sebanyak 7 atau 8 kali dan aku mengutamakannya daripada kitab Wafayat al-A’yan.”

Membaca kitab al-Taudhih Sebanyak 70 Kali Dan Syarah Ibnu al-Musonnif Lebih Daripada 30 kali

12 - Dalam kitab al-Dhau’ al-Lami’, pada biodata Ibrahim bin Hajjaj bin Mihraz bin Malik, Abu Ishaq al-Abnasi (m. 836 H), kata al-Sakhawi:

“Dihikayatkan bahawa beliau membaca kitab al-Taudhih lebih daripada 70 kali dan (syarah) Ibnu al-Musonnif lebih daripada 30 kali.”

Kitab al-Taudhih ialah kitab Audhah al-Masalik Ila Alfiyah Ibnu Malik karangan Ibnu Hisyam al-Ansari yang mensyarahkan kitab Alfiyah Ibnu Malik.

Syarah Ibnu al-Musonnif ialah syarahan anak kepada Ibnu Malik kepada Alfiyah karangan bapanya.

Membaca Kitab al-Mudawwanah 1000 Kali

13 - Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan dalam Tartib al-Madarik pada biodata al-Imam al-Faqih Abi Muhammad Abdullah bin Ishaq yang dikenali sebagai Ibnu al-Tabban (m. 371 H):
“Beliau sangat banyak belajar. Disebutkan bahawa beliau belajar kitab (al-Mudawwanah) sebanyak 1000 kali.”

Mempelajari Kitab Sebanyak 1000 Kali

14 - Abu al-‘Arab al-Tamimi menyebutkan dalam kitab Thabaqat ‘Ulama Ifriqiyyah Wa Tunis, pada biodata ‘Abbas bin al-Walid al-Farisi (m. 218 H) bahawa beliau mendapati pada akhir sebahagian kitab-kitab al-Farisi: “Aku telah mempelajarinya sebanyak 1000 kali.”

Membaca Beberapa Buah Kitab Sebanyak Beberapa Kali

15 - Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan dalam Tartib al-Madarik, pada biodata al-Imam Abi Bakar al-Abhari  (m. 375 H), bahawa beliau berkata tentang dirinya:

“Aku telah membaca Mukhtasar Ibnu ‘Abd al-Hakam sebanyak 500 kali, kitab al-Asdiyyah sebanyak 75 kali, al-Muwatta’ sebanyak 45 kali, Mukhtasar al-Barqi sebanyak 70 kali dan al-Mabsuth sebanyak 30 kali.”

Hampir Menghafal Kitab Kerana Banyaknya Mengulang Bacaan

16 – Abdullah bin Muhammad bin Farhun al-Ya’mari (m. 769 H) menyebutkan tentang dirinya:

“Aku melazimi Tafsir Ibnu ‘Athiyyah sehingga hampir-hampir aku menghafalnya.”

17 – Abu al-Qasim bin ‘Ali bin Mas’ud al-Syathibi hampir-hampir menghafal Sahih al-Bukhari disebabkan banyaknya mengulang Sahih al-Bukhari pada setiap bulan Ramadhan.

18 -  Al-Sakhawi menyebutkan dalam al-Dhau’ al-Lami’, pada biodata ‘Uthman bin Abdullah , Abi ‘Amr al-Maqsi (m. 788 H) bahawa beliau sangat melazimi membaca empat buah kitab: Al-Tanbih, al-Minhaj, al-Bahjah dan asalnya (asal kitab al-Bahjah iaitu al-Hawi al-Saghir), secara bacaan sendiri dan membacakan kepada orang lain sehingga beliau mendapat kemahiran yang kuat (dalam ilmu fiqh).

19 – Ahmad bin ‘Umar al-Nasyiri al-Yamani terkenal dengan pengetahuan beliau tentang kitab al-Wasith karangan al-Imam al-Ghazali sehingga mengetahui di mana tempat sesuatu masalah itu berada dalam kitab al-Wasith dan pada muka surat berapakah ia, setelah mana beliau ditimpa kebutaan.

Rujukan:

Al-Musyawwiq Ila al-Qiraah Wa Thalab al-‘Ilm karangan Ali bin Muhammad al-‘Imrani, terbitan Dar ‘Alim al-Fawaid.

Isnin, 20 Ogos 2018

Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak meliputi semua hadis sahih yang ada


- Kata al-Imam al-Bukhari (m. 256 H):

"Aku tidak masukkan dalam kitab al-Jami' (Sahih al-Bukhari) kecuali yang sahih dan aku tinggalkan hadis-hadis sahih (yang lain) kerana bimbang akan memanjangkan kitab." [Tarikh Baghdad]

- Kata al-Imam Muslim (m. 261 H):

"Tidaklah semua hadis sahih yang ada padaku aku letakkan di sini (Sahih Muslim). Sesungguhnya apa yang aku letakkan (di dalam Sahih Muslim) adalah hadis yang disepakati atasnya (akan kesahihannya)." [Sahih Muslim]


Tidak ada perawi wanita yang dituduh berdusta dan memalsukan hadis


Kata al-Hafiz al-Zahabi (m. 748 H) dalam Mizan al-I'tidal:

"Aku tidak ketahui ada di kalangan perawi wanita yang dituduh (berdusta atau memalsukan hadis) dan tidak ada perawi wanita yang ditinggalkan (hadisnya)."

Tambah al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911 H) dalam Tadrib al-Rawi:

"Kesemua yang didaifkan daripada kalangan perawi wanita adalah disebabkan jahalah (tidak diketahui hal keadaannya)."


Kalam al-Hafiz al-Zahabi (m. 748 H) tentang kitab al-Kamil Fi Dhu'afa' al-Rijal karangan al-Imam al-Hafiz Ibnu 'Adi (m. 365 H)

"Bagi Abu Ahmad bin 'Adi kitab al-Kamil. Ia adalah kitab yang paling sempurna dan paling hebat berkenaan perkara tersebut (berkenaan perawi daif)." [Mizan al-I'tidal]

"Disebutkan dalam kitab al-Kamil setiap perawi yang dipertikaikan padanya walaupun disebabkan sekecil-kecil sebab dan walaupun daripada kalangan perawi al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim) sekalipun, tetapi beliau akan mempertahankan perawi tersebut sekiranya boleh. Beliau meriwayatkan pada biodata perawi tersebut satu hadis atau beberapa buah hadis yang dipertikaikan bagi perawi tersebut. Beliau seorang yang adil dalam (mengkritik) perawi berdasarkan ijtihad beliau." [Siyar A'lam al-Nubala']

"Antara kekurangan kitab al-Kamil Ibnu 'Adi, beliau membawakan bagi biodata perawi khabar yang batil tetapi bukanlah perawi tersebut yang menyampaikannya. Sebaliknya perawi lain selepas perawi tersebut yang memalsukannya." [Mizan al-I'tidal]

Kitab al-Kamil ada beberapa cetakan. Cetakan yang menjadi pilihan saya ialah cetakan Maktabah al-Rusyd yang ditahqiq oleh Dr Mazin al-Sarsawi.

Muat turun: