Sabtu, 29 September 2018

Hadis Kelebihan Solat Dengan Berserban


Hadis Pertama

رَكْعَتَانِ بِعِمامَةٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً بِلا عِمامَة

“Dua rakaat dengan berserban lebih baik daripada 70 rakaat tanpa berserban.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Siwak dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Jabir.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, hadis ini tidak sabit (palsu).

Hadis Kedua

الصلاة في العمامة تعدل عشرة آلاف حسنة

“Solat dengan berserban menyamai 10 ribu kebaikan.”

Lafaz yang lain:

الصلاة في العمامة بعشرة آلاف حسنة

Lafaz yang lain:

الصلاة في العمامة بعشر آلاف حسنة

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus daripada jalur perawi Aban bin Abi ‘Ayyash daripada Anas bin Malik secara marfu’.

Kata al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at:

“Aban dituduh (berdusta dan memalsukan hadis).”

Hadis ini juga dinilai sebagai palsu oleh al-Hafiz Ibnu Hajar sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah.

Hadis Ketiga

إنّ صلاةً بعمامة تعدل خمسًا وعشرين صلاة بغير عمامة، وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بغير عمامة. إنّ الملائكة ليشهدون الجمعة معتَمّين، ولا يزالون يصلّون على أصحاب العمائم حتى تغرب الشمس

“Sesungguhnya solat dengan berserban menyamai 25 solat tanpa berserban. Solat Jumaat dengan berserban menyamai 70 solat Jumaat tanpa berserban. Sesungguhnya para malaikat menyaksikan solat Jumaat orang-orang yang berserban dan terus menerus mendoakan rahmat keatas orang yang berserban sehingga tenggelam matahari.”

Lafaz yang lain:

صلاة تطوع أو فريضة بعمامة تعدل خمسًا وعشرين صلاة بلا عمامة، وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بلا عمامة. أي بني اعتمَّ فإنّ الملائكة يشهدون يوم الجمعة معتَمّين فيسلِّمون على أهل العمائم حتى تغيب الشمس

“Solat sunat atau fardhu dengan berserban menyamai 25 solat tanpa berserban. Solat Jumaat dengan berserban menyamai 70 solat Jumaat tanpa berserban. Wahai anakku, berserbanlah kerana sesungguhnya para malaikat menyaksikan hari Jumaat orang yang berserban dan mengucapkan salam ke atas orang yang berserban sehingga terbenam matahari.”

Riwayat Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Ibnu al-Najjar dan al-Dailami daripada hadis Abdullah bin ‘Umar.

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan:

“Hadis ini mungkar, bahkan maudhu’....aku tidak ketahui siapakah pemalsunya.”

Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah turut mengatakan bahawa ia tidak sabit.

Hadis Keempat

جُمُعَة بعمامة أفضل من سبعين جُمُعَة بِلَا عِمَامَة

“Solat Jumaat dengan berserban lebih baik daripada 70 solat Jumaat tanpa berserban.”

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Ibnu ‘Umar.

Saya tidak temui sanadnya.

Al-Hafiz al-Sakhawi menyebutkannya dalam al-Maqasid al-Hasanah dalam kumpulan beberapa buah hadis tentang serban. Menurut beliau hadis-hadis dalam kumpulan tersebut sebahagiannya lebih lemah daripada sebahagian yang lain.

Hadis Kelima

إِنَّ لِلَّهِ تَعَالَى مَلائِكَة موكلين بِأَبْوَاب الْجَوَامِع يَوْم الْجُمُعَةِ يَسْتَغْفِرُونَ لأَصْحَابِ الْعَمَائِمِ الْبِيضِ

“Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai malaikat yang diwakilkan di pintu-pintu masjid pada hari Jumaat yang memohon keampunan bagi orang yang memakai serban putih.”

Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad daripada jalur perawi Yahya bin Syaib al-Yamani daripada Humaid al-Thawil daripada hadis Anas bin Malik.

Yahya bin Syaib al-Yamani ini dituduh oleh al-Khatib al-Baghdadi, al-Hakim, Abu Nu’aim dan Abu Sa’id al-Naqqasy meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada Sufyan al-Thauri dan orang lainnya.

Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal, hadis ini merupakan hasil pemalsuan Yahya bin Syaib al-Yamani.
Hadis Keenam

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى أَصْحَابِ الْعَمَائِمِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas orang yang berserban pada hari Jumaat.”

Maksud Allah berselawat adalah Allah menurunkan rahmat. Maksud malaikat berselawat adalah malaikat mendoakan rahmat.

Riwayat al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir, al-Thabarani dalam Musnad al-Syamain, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dan al-Rafi’e dalam Akhbar Qazwin daripada perawi Ayyub bin Mudrik daripada Makhul daripada hadis Abu al-Darda’.

Ayyub bin Mudrik didaifkan para nuqqad hadis. Kata Yahya bin Ma’in: “Pendusta.” Pada kesempatan yang lain, kata beliau: “Tiada nilai (ليس بشئ).” Kata Abu Hatim: “Daif hadisnya, matruk.” Kata Abu Zur’ah al-Razi: “Daif hadisnya.” Kata al-Nasa’ie: “Ditinggalkan hadisnya.” Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin: “Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar daripada perawi-perawi masyhur. Dia mendakwa belajar daripada beberapa orang syeikh sedangkan dia tidak pernah melihat mereka dan dia mendakwa mendengar hadis daripada mereka.  Dia meriwayatkan daripada Makhul naskhah hadis palsu dan dia tidak pernah melihat Makhul.” Kata al-Daraqutni: “Matruk.”

Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil berkenaan hadis ini:

“Hadis ini mungkar.”

Kata Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at:

“Hadis ini tidak ada asal baginya. Yang bertanggungjawab memalsukannya ialah Ayyub. Kata Abu al-Fath al-Azdi: Ini adalah daripada pemalsuan Ayyub. Kata al-‘Uqaili: Tidak ada sokongan bagi hadis ini. Kata Yahya bin Ma’in: Dia adalah pendusta. Kata Abu Hatim dan al-Daraqutni: Dia matruk.”

Kata Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi:

“Ia adalah maudhu’ dan batil sebagaimana kata Ibnu al-Jauzi dan al-Azdi. Yang dituduh memalsukannya ialah Ayyub kerana dia adalah pendusta...”

Saya tidak tahu mengapa al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Talkhis al-Habir sekadar mengatakan sanadnya daif.

Hadis Palsu: Bercelak Pada Hari Asyura

Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman  dan Fadhail al-Awqat meriwayatkan daripada perawi Juwaibir daripada al-Dhahhak daripada hadis Ibnu 'Abbas:

مَنِ اكْتَحَلَ بالْإِثْمَدِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ يَرْمَدْ أَبَدًا

"Sesiapa yang bercelak dengan ithmid (sejenis bahan yang dijadikan celak mata) pada hari Asyura, matanya tidak akan sakit selamanya."

Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Tarikh Naisabur (sebagaimana dalam al-Jami’ al-Kabir karangan al-Sayuthi) dan al-Dailami dalam al-Firdaus.

Juwaibir ada perawi matruk (ditinggalkan hadisnya) dan al-Dhahhak tidak bertemu dengan Ibnu 'Abbas.

Menurut al-Hakim, hadis ini mungkar dan tidak ada athar yang warid daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang bercelak pada hari Asyura serta ia bid’ah yang dimulakan oleh pembunuh Saidina Hussein radiallahu ‘anhu. Ibnu Hajar dalam kitab al-Dirayah menilai sanadnya sangat daif. Sebahagian ahli hadis seperti Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at dan al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah menilai ia sebagai palsu.

Menurut al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitab Lathaif al-Ma'arif, semua hadis yang diriwayatkan tentang bercelak, mewarnakan rambut dengan inai dan mandi pada hari Asyura adalah palsu dan tidak sahih.

Sabtu, 22 September 2018

Soalan: Hadis Palsu Panjang Berkenaan Kelebihan Puasa ‘Asyura


Soalan:

Assalamualaikum. Adakah ini hadis dan apa tahap hadis ini?

“Barang siapa berpuasa pada hari asyura diberikan pahala sepuluh ribu haji dan umrah dan pahala seribu syahid.”

Jawapan:

Waalaikumsalam.

Ada sebuah hadis panjang yang menyebutkan tentang kelebihan puasa Asyura, antaranya diberikan pahala ibadah puasa dan solat malam selama 60 tahun, pahala 10 ribu malaikat, pahala seribu haji dan umrah, pahala 10 ribu orang syahid dan lain-lain yang sangat panjang untuk diterjemahkan. 

Matannya:

مَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ عِبَادَةَ سِتِّينَ سَنَةً بِصِيَامِهَا وَقِيَامِهَا وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ أُعْطِيَ ثَوَابَ عَشَرَةِ آلافِ مَلكٍ وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ أُعْطِيَ ثَوَابَ أَلْفِ حَاجٍّ وَمُعْتَمِرٍ وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ أُعْطِيَ ثَوَابَ عَشَرَةِ آلافِ شَهِيدٍ وَمَنْ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ سَبْعَ سَمَوَاتٍ وَمَنْ أَفْطَرَ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا أَفْطَرَ عِنْدَهُ جَمِيعُ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ وَمَنْ أَشْبَعَ جَائِعًا فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ فَكَأَنَّمَا أَطْعَمَ جَمِيعَ فُقَرَاءِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ وَأَشْبَعَ بُطُونَهُمْ وَمَنْ مَسَحَ عَلَى رَأْسِ يَتِيمٍ رُفِعَتْ لَهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ عَلَى رَأْسِهِ دَرَجَةً فِي الْجَنَّةِ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَالأَرْضَ كَمِثْلِهِ وَخَلَقَ الْقَلْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ واللَّوْحَ كَمِثْلِهِ وَخَلَقَ جِبْرِيلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَمَلائِكَتَهُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَخَلَقَ آدَمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَوُلِدَ إِبْرَاهِيمُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَنَجَّاهُ اللَّهُ مِنَ النَّارِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَفَدَى إِسْمَاعِيلَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَغَرِقَ فِرْعَوْنُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَرُفِعَ إِدْرِيسُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَتَابَ اللَّهُ عَلَى آدَمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَغُفِرَ ذَنْبُ دَاوُدَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأُعْطِيَ الْمُلْكَ سُلَيْمَانُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَوُلِدَ النَّبِيُّ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَاسْتَوَى الرَّبُّ عَلَى الْعَرْشِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَيَوْمُ الْقِيَامَةِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu'at daripada hadis 'Ibnu 'Abbas.

Dalam sanadnya ada perawi Habib bin Abi Habib al-Kharthathi (الخَرْطَطِي) yang merupakan seorang pemalsu hadis.

Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin berkenaan hadis ini: "Batil. Tidak ada asal baginya." Kata Ibnu al-Jauzi: "Palsu tanpa syak lagi."

Soalan: Hadis Palsu Kelebihan Memberi Makan Dan Minum


Soalan:

Assalamualaikum.

Mohon penjelasan Status Hadis kelebihan memberi minum kepada orang lain.

Daripada Abdullah bin Amar bin Ash berkata: Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa memberi makan saudaranya sehingga kenyang, memberinya air sehingga hilang dahaganya, niscaya Allah menjauhkannya daripada api neraka tujuh parit, yang mana jarak antara dua parit adalah 500 tahun.”

Jawapan:

Waalaikumsalam.

مَنْ أَطْعَمَ أَخَاهُ حَتَّى يُشْبِعَهُ، وَسَقَاهُ مِنَ المَاءِ حَتَّى يُرْوِيَهُ؛ بَاعَدَهُ اللهُ مِنَ النَّارِ سَبْعَ خَنَادِقَ، مَا بَيْنَ كُلِّ خَنْدَقٍ مَسِيرَةُ خَمْسِ مِئَةِ عَامٍ

Riwayat al-Daulabi dalam al-Kuna Wa al-Asma', al-Thabarani dalam Mu'jam al-Kabir, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman dan lain-lain daripada perawi Raja' bin Abi Atha' daripada Wahib bin Abdullah al-Ma'afiri daripada hadis Abdullah bin 'Amru al-'As.

Raja' bin Abi Atha' ini kata Ibnu Hibban dalam kitab al-Majruhin:

"Seorang syeikh yang meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada orang-orang Mesir. Tidak halal dijadikan hujah dengannya dalam hal apa pun."

Kata al-Hakim:

"Pemilik hadis-hadis palsu."

Kata Ibnu Hibban berkenaan hadis ini:

وَهَذَا شَيْء لَيْسَ مِنْ حَدِيث رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلم

"Ini bukanlah daripada hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."


Rabu, 12 September 2018

Status Hadis: Rezeki Terputus Kerana Tidak Berdoa Untuk Ibu Bapa

إذا ترك العبدُ الدعاءَ للوالدين فإنه ينقطعُ عنه الرزقُ

 “Jika seseorang itu meninggalkan berdoa untuk kedua ibu bapanya, ia menyebabkan rezekinya terputus.”

Riwayat al-Hakim al-Naisaburi dalam Tarikh Naisabur (sebagaimana dalam kitab Kanz al-‘Ummal), al-Dailami dalam al-Firdaus dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada jalur perawi:

Ahmad bin Khalid al-Syaibani daripada al-Hasan bin Muhammad al-Burri daripada Yazid bin ‘Utbah bin al-Mughirah al-Naufali daripada al-Hasan al-Basri daripada Anas bin Malik.

Ahmad bin Khalid al-Syaibani ini ialah Ahmad bin Abdullah bin Khalid al-Juwaibari, salah seorang pemalsu hadis yang terkenal.

Kata Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at:

“Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Perawi yang dituduh (memalsukannya) ialah al-Juwaibari. Dia adalah Ahmad bin Khalid. Dia dinisbahkan kepada datuknya kerana (namanya) ialah Ahmad bin Abdullah bin Khalid. Dia dinisbahkan kepada datuknya kerana untuk mentadliskannya (menyembunyikan identiti sebenarnya). Ia adalah perbuatan yang dilarang.”

Hadis ini juga dihukum sebagai palsu oleh al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah, Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah.

Namun begitu tidak dinafikan kepentingan berdoa untuk ibu bapa sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah Ta’ala:

وَاخفِض لَهُما جَناحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحمَةِ وَقُل رَبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّياني صَغيرًا

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya (ibu bapa) kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Setelah beberapa lama saya temui sebuah hadis yang menunjukkan bahawa berbuat baik kepada ibu dan bapa menjadi sebab untuk ditambahkan rezekinya:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُمَدَّ لَهُ فِي عُمْرِهِ، وَأَنْ يُزَادَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، فَلْيَبَرَّ وَالِدَيْهِ، وَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang ingin untuk dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya maka berbuat baiklah terhadap ibu bapa dan sambunglah silaturrahim.”

Riwayat Ahmad (no. 13401) daripada hadis Anas bin Malik. Sanadnya sahih menurut al-Hafiz al-Busiri dalam kitab Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.

Jadi bolehlah menggunakan hadis ini menggantikan hadis yang pertama tadi.

Wallahu a’lam.

 


Jumaat, 7 September 2018

Hadis: Kalau khusyuk Hatinya Nescaya Khuyuk Anggota Badannya


عَن أبي هُرَيْرَة عَن النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ أَنه رَأَى رجلا يعبث بلحيته فِي الصَّلَاة فَقَالَ عَلَيْهِ السَّلَام لَو خشع قلب هَذَا خَشَعت جوارحه

Daripada Abu Hurairah, (diriwayatkan) daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, bahawa baginda melihat seorang lelaki bermain-main dengan janggutnya ketika dalam solat. Lalu baginda bersabda:

“Kalau khusyuk hati lelaki ini necaya akan khusyuk anggota badannya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi (m. 320 H) dalam Nawadir al-Usul daripada jalur perawi Sulaiman bin ‘Amru daripada Muhammad bin ‘Ajlan daripada Sa’id al-Maqburi daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu.

1 – Kata al-Hafiz al-Zaila’ie (m. 762 H) dalam Takhrij Ahadith al-Kasyyaf:

“Sulaiman bin ‘Amru bin seakan-akan dia adalah Abu Daud al-Nakha’ie kerana saya tidak temui dalam tabaqah ini selain daripadanya. Telah sepakat (ahli hadis) akan kedaifannya. Kata Ibnu ‘Adi: Telah sepakat ahli hadis bahawa dia memalsukan hadis.”

2 – Kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali (m. 795 H) dalam al-Zull Wa al-Inkisar (الذل والانكسار):

“Diriwayatkan ucapan tersebut daripada Huzaifah radiallahu ‘anhu dan Sa’id bin al-Musayyib. Diriwayatkan juga secara marfu’ tetapi dengan sanad yang tidak sahih.”

3 – Kata al-Hafiz al-‘Iraqi (m. 806 H) dalam al-Mughni:

“Diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi dalam al-Nawadir daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif dan yang ma’rufnya (yang sebetulnya) ia adalah ucapan Sa’id bin al-Musayyib yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan dalam sanadnya ada perawi yang tidak dinamakan.”

Kata beliau lagi dalam Tharh al-Tathrib (طرح التثريب):

“Ucapan ini ma’ruf daripada Ibnu al-Musayyib dan dalam sanadnya ada perawi yang tidak dinamakan. Diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi dalam Nawadir al-Usul secara marfu’ daripada Abu Hurairah dan dalam sanadnya ada Sulaiman bin ‘Amru yang telah disepakati akan kedaifannya.”

4 – Kata al-Hafiz Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1380 H) dalam al-Mughir:

“Ia adalah daripada riwayat Abu Daud Sulaiman bin ‘Amru al-Nakha’ie dan dia adalah pendusta. Sebetulnya ia adalah ucapan Sa’id bin al-Musayyib.”

Hadis Mauquf Huzaifah

Hadis mauquf Huzaifah diriwayatkan oleh al-Maruzi (m. 294 H) dalam Ta’zim Qadr al-Solah daripada Ishaq daripada al-Walid bin Muslim daripada Thaur bin Yazid, beliau berkata:

رَأَى حُذَيْفَةُ بْنُ الْيَمَانِ رَجُلًا يُصَلِّي يَعْبَثُ بِلِحْيَتِهِ فَقَالَ: لَوْ خَشَعَ قَلْبُ هَذَا سَكَنَتْ جَوَارِحُهُ

“Huzaifah bin al-Yaman melihat seorang lelaki yang sedang bersolat bermain-main dengan janggutnya. Lalu beliau berkata: Kalau khusyuk hati lelaki ini nercaya akan tenang anggota badannya.”

Sanad hadis ini daif disebabkan ‘an’an al-Walid bin Muslim yang merupakan seorang mudallis dan Thaur bin Yazid tidak mendengar secara langsung daripada Huzaifah.

Hadis Maqthu’ Sa’id bin al-Musayyib

Hadis maqthu’ Sa’id bin al-Musayyib diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Mubarak (m. 181 H) dalam al-Zuhd, Ibnu Abi Syaibah (m. 265 H) dalam al-Musannaf dan al-Maruzi dalam Ta’zim Qadr al-Solah daripada Ma’mar daripada seorang lelaki daripada Sa’id bin al-Musayyib.

Perawi mubham tersebut dijelaskan sebagaimana dalam riwayat Abdul Razzaq (m. 211 H) dalam al-Musannaf.

Abdul Razzaq meriwayatkan daripada Ma’mar daripada Aban daripada Sa’id bin al-Musayyib.

Aban di sini adalah Aban bin Abi ‘Ayash, seorang perawi matruk (ditinggalkan hadisnya).

Abdul Razzaq dalam al-Musannaf  juga meriwayatkan daripada Sufyan al-Thauri daripada seorang lelaki daripada Sa’id bin al-Musayyib.

Berkemungkinan Sufyan al-Thauri juga meriwayatkan daripada Aban bi Abi ‘Ayash dan beliau mensamarkan namanya kerana Sufyan al-Thauri kadang-kala melakukan tadlis apabila meriwayatkan daripada perawi-perawi daif.

Hadis ini juga mempunyai jalur yang lain.

Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan (sebagaimana dalam Masail al-Imam Ahmad bin Hanbal melalui riwayat anak beliau Soleh) daripada Sa’id bin Khuthaim al-Hilali daripada Muhammad bin Khalid al-Dhabi daripada Sa’id bin Jubair:

نظر سعيد إِلَى رجل وَهُوَ قَائِم فِي الصَّلَاة قَالَ وَهُوَ يعبث بلحيته فَقَالَ سعيد لَو خشع قلب هَذَا لخشعت جوارحه

“Sa’id melihat kepada seorang lelaki yang sedang berdiri menunaikan solat. Dia sedang bermain-main dengan janggutnya. Lalu Sa’id berkata:

“Kalau khusyuk hati lelaki ini nercaya akan tenang anggota badannya.”

Sanadnya hasan, insya-Allah.

Kesimpulan

Hadis ini diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tetapi melalui perawi pendusta, jadi ia tidak benar dinisbahkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Ia diriwayatkan juga daripada ucapan Sa’id bin al-Musayyib melalui dua sanad, salah satunya hasan dan satu lagi sangat daif.  Hadis mauquf  Huzaifah bin al-Yaman juga daif sanadnya.

Khamis, 6 September 2018

Hadis: Melihat Wajah Orang Alim Adalah Ibadah


Hadis Pertama

النّظر إِلَى وَجه الْعَالم عبَادَة وَالْجُلُوس مَعَه عبَادَة وَالْكَلَام مَعَه عبَادَة

“Melihat wajah orang alim adalah ibadah. Duduk bersama dengannya adalah ibadah. Bercakap dengannya adalah ibadah.”

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi (m. 902 H) dalam al-Maqasid al-Hasanah, hadis ini dibawakan oleh al-Dailami (m. 509 H) tanpa sanad daripada hadis Anas bin Malik dan ia tidak sahih (palsu).

Hadis Kedua

نَظْرَةٌ فِي وَجْهِ الْعَالِمِ أَحَبُّ إِلَى اللَّه مِنْ عِبَادَةِ سِتِّينَ سَنَةً صِيَامًا وَقِيَامًا

“Melihat wajah orang alim lebih disukai oleh Allah daripada ibadah puasa dan solat malam selama 60 tahun.”

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi, hadis ini disebutkan dalam naskhah hadis Sam’an bin Mahdi daripada hadis Anas bin Malik. Menurut al-Hafiz al-Zahabi (m. 748 H) dalam Mizan al-I’tidal, Sam’an bin Mahdi ini tidak dikenali dan dia dikaitkan dengan sebuah nakhah hadis palsu. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar (m.  852 H) dalam Lisan al-Mizan, naskhah tersebut mengandungi lebih daripada 300 buah hadis dan kebanyakan matan-matannya adalah palsu.

Hadis Ketiga

Ibnu al-Jauzi (m. 597 H) meriwayatkan dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah daripada jalur perawi Sulaiman bin al-Rabi’ al-Nahdi daripada Hammam bin Muslim daripada Ibnu Juraij daripada ‘Atha daripada Abu Hurairah  bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

خَمْسٌ مِنَ الْعِبَادَةِ قِلَّةُ الطَّعَامِ عِبَادَةٌ وَالْقُعُودُ فِي الْمَسَاجِدِ عِبَادَةٌ وَالنَّظَرُ إِلَى الْكَعْبَةِ عِبَادَةٌ وَالنَّظَرُ في المصحف من غير أن يَقْرَأَ عِبَادَةٌ وَالنَّظَرُ فِي وَجْهِ الْعَالِمِ عِبَادَةٌ

“Lima perkara adalah ibadah; Sedikit makan adalah ibadah. Duduk di dalam masjid adalah ibadah. Melihat kaabah adalah ibadah. Melihat mushaf tanpa membacanya adalah ibadah. Melihat wajah orang alim adalah ibadah.”

Kata Ibnu al-Jauzi: “Hammam bersendirian meriwayatkan hadis ini daripada Ibnu Juraij. Dan tidak ada yang meriwayatkan daripadanya (Hammam) selain daripada Sulaiman bin al-Rabi’.”

Kata Ibnu Hibban (m. 354 H) dalam al-Majruhin: “Hammam ini mencuri hadis. Dia meriwayatkan daripada perawi-perawi thiqah hadis yang bukan milik mereka (pada hakikatnya). Maka terbatalkan kebolehan berhujah dengannya.” Menurut al-Daraqutni (m. 385 H) dalam al-‘Ilal, Hammam ini matruk (ditinggalkan hadisnya).

Sulaiman bin al-Rabi’ juga adalah perawi matruk menurut al-Daraqutni.

Hadis Keempat

Al-Dailami dalam al-Firdaus menyebutkan daripada hadis Usamah bin Zaid:

الْجُلُوس فِي الْمَسْجِد لانتظار الصَّلَاة بعد الصَّلَاة عبَادَة وَالنَّظَر فِي وَجه الْعَالم عبَادَة ونوم الصَّائِم عبَادَة وَنَفسه تَسْبِيح

“Duduk di dalam masjid untuk menunggu solat (yang akan datang) selepas selesai melakukan solat adalah ibadah. Melihat wajah orang alim adalah ibadah. Tidur orang yang berpuasa adalah ibadah dan nafasnya adalah tasbih.”

Saya tidak temui sanad hadis Usamah bin Zaid ini.

Al-Munawi (m. 1031 H) dalam al-Taisir menyatakan bahawa sanadnya daif. Dalam Faidh al-Qadir, al-Munawi menyebutkan bahawa dalam sanadnya ada perawi Ahmad bin ‘Isa al-Misri yang disebutkan oleh al-Zahabi dalam kitab al-Dhu’afa’ dan beliau berkata: “Ibnu Ma’in mendustakannya dan dia (Ahmad bin ‘Isa al-Misri) adalah thiqah.”

Ahmad bin ‘Isa al-Misri adalah perawi Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Menurut al-Khatib al-Baghdadi (m. 463 H) dalam Tarikh Baghdad, beliau tidak melihat orang yang mempertikaikan Ahmad bin ‘Isa al-Misri ini mempunyai hujah sehingga perlu meninggalkan berhujah dengan hadisnya. Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Kasyif, Ahmad bin ‘Isa al-Misri ini dipertikaikan tanpa hujah.

Agak menghairankan. Sekiranya Ahmad bin ‘Isa al-Misri bukan perawi daif mengapa al-Munawi dalam al-Taisir mengatakan bahawa sanadnya daif?

Oleh sebab saya tidak temui sanad hadis Usamah bin Zaid ini jadi saya bertawaquf daripada menetapkan sebarang hukum kepadanya walaupun pada kebiasaanya hadis yang hanya diriwayatkan oleh al-Dailami adalah hadis yang bermasalah, sama ada daif ataupun palsu. 

Wallahu a’lam.