Sabtu, 21 Disember 2019

TAUBAT BISYR AL-HAFI


Dihikayatkan bahawa Bisyr al-Hafi (m. 277 H) ketika zaman lalainya beliau berada di rumahnya. Bersama beliau ada rakan-rakanya yang sedang minum-minum dan berhibur.

Tiba-tiba seorang lelaki soleh melintasi mereka dan mengetuk pintu. Seorang hamba perempuan keluar bertemu dengan lelaki soleh tersebut.

Lelaki tersebut berkata: "Pemilik rumah ini adakah dia seorang yang merdeka ataupun hamba?

Hamba perempuan tersebut menjawab: “Bahkan dia seorang yang merdeka.”

Lelaki tersebut kemudian berkata: “Kamu benar. Kalaulah dia seorang hamba nescaya dia akan beradab sebagaimana seorang hamba dan meninggalkan kelalaian dan hiburan.”

Bisyr mendengar perbualan antara hamba dan lelaki tersebut dan beliau segera ke pintu dalam keadaan tidak berkasut dan bersedih. Dia mendapati lelaki tersebut telah pergi.

Bisyr bertanya kepada hamba perempuan: “Siapa yang bercakap dengan kamu di pintu itu?”

Hamba tersebut menceritakan apa yang terjadi.

Bisyr bertanya lagi: “Arah manakah yang dilalui oleh lelaki tersebut?”

Hamba tersebut menjawab: “Sini.”

Bisyr berjalan melalui arah tersebut sehingga bertemu semula dengan lelaki tersebut.

Bisyr bertanya kepadanya: “Wahai tuanku, adakah engkau yang berdiri di pintu dan bercakap dengan hamba perempuan tersebut?”

Lelaki itu menjawab: “Ya.”

Bisy berkata: “Ulang semula ucapan kamu.”

 Lelaki tersebut mengulang semula apa yang dikatakannya. Mendengar ucapan lelaki tersebut menyebabkan Bisyr jatuh ke bumi dan berkata: “Bahkan aku hamba. Aku adalah hamba.”

Kemudian Bisyr berlalu pergi tanpa arah tuju dalam keadaan tidak berkasut dan berduka sehinggalah dia dikenali sebagai al-Hafi (tidak berkasut).

Beliau pernah ditanya: “Mengapa engkau tidak memakai kasut?”

Beliau menjawab: “Tuhanku tidak menjadikan aku baik melainkan ketika aku tidak berkasut. Aku mahu kekal dalam keadaan ini sehingga aku mati.”

[Al-Tawwabin, Ibnu Qudamah al-Maqdisi]

HAKIKAT PUJIAN DAN CELAAN MANUSIA


Malik bin Dinar berkata: "Semenjak aku mengenali manusia aku tidak pernah gembira dengan pujian mereka dan aku tidak pernah benci dengan celaan mereka."

Beliau ditanya: "Mengapa begitu?"

Beliau menjawab: "Kerana pujian dan celaan mereka itu sentiasalah berlebih-lebihan."

[Sifah al-Sofwah, Ibnu al-Jauzi]

________________

Malik bin Dinar antara tokoh tabi'in yang masyhur dengan kewarakan dan kezuhudan. Beliau belajar dengan Anas bin Malik, al-Hasan al-Basri, Muhammad bin Sirin dan lain-lain.

Beliau tidak makan kecuali dengan usaha tangannya sebagai penulis mushaf. Beliau pernah berkata: "Aku pernah membaca di dalam Taurat bahawa orang yang berkerja dengan tangannya sendiri akan berjaya dalam kehidupannya dan ketika matinya."

Beliau meninggal dunia pada tahun 131 Hijrah dan ada beberapa pendapat tentang tahun kewafatannya.

Jumaat, 13 Disember 2019

3 JENIS KITAB HADIS DAIF

Secara ringkasnya terdapat tiga jenis kitab yang menghimpunkan hadis-hadis daif.

1 – Kitab yang keseluruhan atau kebanyakan hadisnya adalah daif. Contohnya:

a. Nawadir al-Usul Fi Ahadith al-Usul karangan al-Hakim al-Termizi (m. 295 H). Menghimpunkan sekitar 1631 buah hadis.

b. Musnad al-Syihab Fi al-Mawa’iz Wa al-Adab karangan Syihabuddin Muhammad bin Salamah al-Qudha’ie (m. 454 H). Menghimpunkan 1499 buah hadis. Kitab ini telah ditakhrij hadis-hadisnya oleh Syeikh Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya yang berjudul Fath al-Wahhab Bi Takhrij Ahadtih al-Syihab.

c.  Musnad al-Firdaus karangan Abu Mansur Syahr bin Syirawaih al-Dailami (m. 558 H). Dalam kitab ini pengarang menghimpunkan sanad bagi hadis-hadis yang disebutkan oleh bapanya, Abu Syuja’ Syirawaih bin Syahradar (m. 509 H) dalam kitab Firdaus al-Akhbar Bi Ma’thur al-Khitab. Menghimpunkan sekitar 9 ribu buah hadis.

Al-Hafiz al-Sayuthi dalam mukadimah kitab al-Jami’ al-Kabir menyebutkan bahawa jika sesuatu hadis itu jika beliau sandarkan kepada salah satu daripada 3 buah kitab ini maka itu adalah isyarat akan kedaifannya.

2 – Kitab yang menghimpunkan salah satu daripada jenis hadis daif. Misalnya:

a. Al-Marasil karangan Abu Daud (m. 275 H).

b. Al-Marasil karangan Ibnu Abi Hatim (m. 327 H).

Kedua-dua kitab ini menghimpunkan hadis daif daripada jenis hadis mursal.

c. Al-‘Ilal karangan Ibnu Abi Hatim.

d. Al-‘Ilal al-Kubra karangan al-Daraqutni (m. 385 H).

Kedua-dua kitab ini menghimpunkan hadis-hadis yang mempunyai ‘illah.

3 – Kitab yang menghimpunkan biografi perawi-perawi daif dan disebutkan juga hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi tersebut. Contohnya:

a. Al-Dhu’afa’ al-Kabir karangan al-‘Uqaili (m. 322 H).

b. Al-Majruhin Min al-Muhaddithin karangan Ibnu Hibban (m. 354 H).

c. Al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal karangan Ibnu ‘Adi (m. 365 H).

d. Mizan al-I’tidal karangan al-Zahabi (m. 748 H).

e. Lisan al-Mizan karangan Ibnu Hajar al-Asqalani (m. 852 H).

Rabu, 27 November 2019

Sengatan Tebuan Tidak Memutuskan Solatnya


- Abu Sa’id Bakr bin Munir berkata:

“Muhammad bin Isma’il (al-Bukhari) sedang bersolat pada suatu hari. Lalu ada seekor tebuan yang menyegatnya sebanyak 17 kali. Apabila beliau selesai solat, beliau berkata: Tolong lihat apa yang menyakitiku ketika aku sedang solat. Orang yang ada bersama beliau lalu melihat dan mereka mendapati seekor tebuan telah menyebabkan (badan) beliau membengkak pada 17 tempat dan beliau tidak langsung memutuskan solatnya!”

- Muhammad bin Abu Hatim al-Warraq berkata:

“Muhammad bin Isma’il dijemput pergi ke sebuah taman milik sebahagian sahabatnya. Apabila masuk waktu zohor beliau lalu bersolat dengan sekumpulan orang. Kemudian beliau bangun untuk solat sunat dan beliau bersolat dengan sangat lama.

Apabila beliau selesai bersolat beliau mengangkat hujung lengan baju beliau dan berkata kepada sebahagian orang yang berada bersama beliau: Tolong lihat adalah kamu mendapati sesuatu berada di bahawa bajuku.

Didapati seekor tebuan telah menyengat beliau pada 16 atau 17 tempat sehingga menyebabkan badan beliau membengkak. Kesan gigitan tebuan tersebut sangat zahir pada badan beliau.

Sebahagian orang bertanya kepada beliau: Mengapa engkau tidak berhenti solat ketika ia mula-mula menyengat engkau?

Beliau menjawab: Aku sedang membaca suatu surah dan aku ingin menyempurnakannya.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi]

Khamis, 21 November 2019

Inilah Imam Abu Hanifah

Kata Mis’ar bin Kidam:

“Aku melihatnya (Imam Abu Hanifah) solat subuh kemudian beliau duduk untuk (mengajar) ilmu sehinggalah solat zohor. Kemudian beliau duduk lagi (untuk mengajar) sehingga solat asar. Kemudian sehingga hampir waktu maghrib. Kemudian sehingga waktu Isyak. 

Aku berkata dalam diriku: Bilakah beliau hendak beribadat? 

Aku perhatikan apabila orang ramai beransur pergi, beliau akan keluar ke masjid dalam keaadaan bersuci lalu beliau bersolat sehinggalah waktu subuh. Kemudian beliau masuk ke rumahnya untuk menukar pakaian. Beliau mempunyai pakaian khas yang dipakai semata-mata untuk qiyamullail. Rumah beliau hanyalah bersebelahan dengan masjid yang beliau menjadi imam di situ semata-mata kerana Allah. 

Setelah itu beliau keluar untuk solat subuh dan beliau lakukan sebagimana yang aku sebut tadi. Selama aku perhatikannya, aku tidak mendapati beliau berbuka puasa dan aku tidak dapati bahawa beliau tidur pada waktu malam. Beliau hanya tidur sebentar pada waktu sebelum zohor. 

Pada waktu malam beliau membaca al-Quran sehingga sampai kepada firman Allah: 

فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَانَا عَذَابَ السَّمُومِ 

"Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka." (Surah at-Tuur: Ayat 27)

Beliau terus mengulang-ulang ayat tersebut sehingga azan subuh. Beliau juga mengulang-ulang firman Allah:

بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَىٰ وَأَمَرُّ

“Bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.” (Surah al-Qamar: Ayat 46)

Beliau membacanya di dalam solat sepanjang waktu malam keseluruhannya. 

Kata isteri beliau: Beliau tidak pernah tidur di katil semenjak aku mengenalinya. Tidurnya hanyalah pada waktu di antara zohor dan asar pada musim panas dan pada awal malam di masjidnya pada musim sejuk.”

[Al-Khairat al-Hisan Fi Manaqib al-Imam al-A’zam Abi Hanifah al-Nu’man oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami]

Jangan Kata Apa Yang Aku Tidak Buat

- Al-Qadhi Abu Yusuf berkata:

“Ketika aku berjalan bersama Abu Hanifah, tiba-tiba aku terdengar seorang lelaki berkata kepada sahabatnya: Ini adalah Abu Hanifah. Dia tidak tidur malam (kerana beribadat).

Maka Abu Hanifah berkata: Demi Allah, jangan berkata sesuatu yang tidak aku lakukannya.

Sedangkan beliau memang seorang yang menghidupkan malamnya dengan solat, merendahkan dirinya (kepada Allah) dan berdoa.”

- Diriwayatkan daripada Abdul Hamid al-Himmani bahawa beliau berdamping bersama Abu Hanifah selama enam bulan. Beliau berkata: “Beliau solat Subuh dengan wuduk (solat) Isyak dan beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam pada waktu sahur.”

- Diriwayatkan daripada Asad bin ‘Amru bahawa Abu Hanifah rahimahullah solat Isyak dan Subuh dengan wuduk yang satu selama 40 tahun.

- Abu Yusuf berkata: “Abu Hanifah mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam dalam rakaat (solat).”

- Mis’ar bin Kidam berkata: “Aku melihat Abu Hanifah membaca (keseluruhan) al-Quran dalam satu rakaat.”

[Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi]

Selasa, 19 November 2019

Al-Hafiz al-Munziri : Seluruh Waktunya Untuk Ilmu


Al-Imam Dhiyauddin al-Muradi (guru Imam al-Nawawi) bercerita tentang guru beliau, al-Hafiz al-Munziri:

“Aku tidak pernah melihat dan aku tidak pernah mendengar tentang seseorang yang lebih besar kesungguhannya terhadap ilmu melebihi beliau. Beliau sentiasa sibuk dengan ilmu, siang mahupun malam. Aku tinggal berjiran bersamanya sewaktu berada di madrasah. Tidaklah aku bangun pada mana-mana malam pun dan pada bila-bila masa pun di waktu malam kecuali aku mendapati ada cahaya pelita di rumahnya dan beliau sedang sibuk dengan ilmu. Sehinggalah pada waktu makan pun ada kitab-kitab di sisinya yang beliau sibuk membacanya.”

[Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama’ oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah]

____________________________

Al-Hafiz al-Munziri atau nama sebenar beliau Abdul ‘Azhim bin Abdul Qawi bin Abdullah al-Munziri al-Misri. Beliau dilahirkan pada tahun 581 Hijrah di Fustat, Mesir. Beliau membesar sebagai seorang anak yatim kerana bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 11 tahun. Beliau pada asalnya bermazhab Hanbali kerana mengikut bapanya yang bermazhab Hanbali lalu beliau bertukar ke mazhab al-Syafi’e. Antara guru beliau yang terkenal ialah Imam Abdul Ghani al-Maqdisi (w. 600 H), Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali (w. 620 H) dan Imam Yaqut al-Hamawi (w. 626 H).  Antara murid beliau yang terkenal pula ialah Imam Ibnu Daqiq al-‘Eid (w. 702 H), Imam Ibnu Khalikan (w. 681 H) dan Imam al-Yunini (w. 701 H). Antara kitab karangan beliau ialah al-Targhib Wa al-Tarhib, Mukhtasar Sahih Muslim, Mukhtasar Sunan Abu Daud, al-Arba’un Fi al-Ahkam, Syarah al-Tanbih (11 Jilid) dan lain-lain. Menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah terdapat lebih 30 orang alim yang menggelarkan beliau sebagai al-Hafiz. Beliau meninggal dunia pada tahun 656 Hijrah di Kaherah, Mesir. Rahimahullah.

Ahad, 3 November 2019

Jawab Soalan Tentang Perawi Ketika Nazak


Disebutkan dalam kitab al-Jarh Wa al-Ta'dil  karangan Imam Ibnu Abi Hatim (m. 327 H), pada biografi seorang tabi'in bernama 'Uqbah bin Abdul Ghafir al-Basri:

"Kata Abu Muhammad (iaitu Imam Ibnu Abi Hatim): Aku bertanya kepada bapaku (Imam Abu Hatim al-Razi) ketika beliau sedang nazak tentang 'Uqbah bin Abdul Ghafir, adakah baginya persahabatan dengan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam? Beliau menjawab dengan ucapan yang lemah: Tidak."

Kata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah: "Lihat betapa bersungguhnya si anak untuk mengambil faedah (daripada bapanya) dan betapa bersungguhnya si ayah untuk memberi faedah (kepada anaknya)....Keadaan ayahnya yang nazak tidak menghalang si anak bertanya kepadanya, menggunakan waktu dan mengambil faedah daripadanya."

Sumber:

Qimah al-Zaman 'Inda al-'Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Sabtu, 2 November 2019

Makan Dan Minum Kerana Terpaksa Demi Menjaga Waktu


Imam al-Haramain atau nama sebenar beliau Abu al-Ma’ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini merupakan salah seorang imam yang tidak asing lagi. Beliau merupakan seorang faqih mazhab al-Syafi’e, usuli (ahli usul fiqh) dan mutakallim (ahli ilmu kalam). Beliau merupakan guru kepada Imam al-Ghazali. Beliau lahir pada tahun 419 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 478 Hijrah.

Kata Abdul Ghafir al-Farisi dalam kitab beliau, Siyaq Naisabur:

“Beliau ialah imam bagi dua tanah haram (Haramain), kebanggaan Islam, imam bagi sekelian imam secara mutlak, pendeta ilmu syari’at yang disepakati keimamannya di timur dan barat. Tidak dilihat oleh mata orang semisal beliau sebelum kelahiran beliau begitu juga setelah kematian beliau.

Aku pernah mendengar beliau berkata:

Aku tidak tidur dan makan sebagai suatu adat kebiasaan. Sebaliknya aku tidur apabila rasa mengantuk telah menguasaiku sama ada pada waktu siang ataupun malam. Begitu juga aku makan apabila aku sudah berkehendak sangat terhadap makanan tanpa mengira waktu.

Sesungguhnya kelazatan dan keseronokan beliau adalah pada berbincang tentang ilmu dan mengambil manfaat daripada apa jenis ilmu jua.”

Sumber:


Qimah al-Zaman 'Inda al-'Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Kurangkan Makan Untuk Menjaga Waktu


Al-Imam Syamsuddin Abi al-Thana' al-Asbahani merupakan seorang ulama usuli, faqih dan mufassir. Beliau dilahirkan di Asbahan pada tahun 674 Hijrah dan meninggal pada tahun 749 Hijrah di Kaherah.

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab al-Durar al-Kaminah dan al-Syaukani dalam al-Badr al-Thali' menyebutkan biografi beliau:

"Beliau menyibukkan diri (dengan menuntut ilmu) di negeri beliau sehingga beliau mahir dan unggul dalam beberapa bidang ilmu. Beliau datang ke Damsyik selepas menziarahi al-Quds pada bulan Safar tahun 725 Hijrah. Para penduduk Damsyik sangat kagum dengan kelebihan beliau. Al-Syeikh Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah antara yang mendengar ucapan beliau dan beliau amat mengagungkannya. Pernah sekali beliau berkata: Diamlah kamu semua sehingga kita semua dapat mendengar kalam orang yang hebat ini yang mana tidak pernah masuk ke negeri ini orang semisal beliau.

Sebahagian sahabat beliau pernah menghikayatkan sikap beliau yang loba terhadap ilmu dan keengganan beliau mensia-siakan waktu sehingga beliau sanggup menahan diri daripada banyak makan kerana banyak makan akan perlu kepada banyak minum dan seterusnya menyebabkan beliau perlu kerap ke tandas. Ini akan menyebabkan waktu beliau terbuang begitu sahaja."

Sumber:

Qimah al-Zaman 'Inda al-'Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.


Jumaat, 1 November 2019

Manhaj Kitab al-Mu’jam al-Kabir Karangan al-Imam al-Thabarani




Pengenalan Ringkas Imam al-Thabarani

- Nama beliau ialah Abu al-Qasim, Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub bin Muthair al-Lakhmi al-Syami al-Thabarani. Beliau di lahirkan di bandar ‘Akka, Palestin pada tahun 260 Hijrah dan meninggal dunia di Asbahan, Iran pada tahun 360 Hijrah. Beliau mula mengembara menuntut hadis ketika berusia 16 tahun. Guru-guru beliau lebih daripada 1000 orang. Antara guru beliau yang terkenal ialah Imam Abu Zur’ah al-Dimasyqi, Imam al-Nasa’ie dan Imam Abdullah bin Ahmad bin Hanbal. Manakala murid beliau yang terkenal ialah Imam Ibnu ‘Uqdah al-Kufi, Imam Ibnu Mandah al-Asbahani dan Imam Abu Nu’aim al-Asbahani.

Pengenalan Ringkas Kitab al-Mu’jam al-Kabir

1 - Kitab ini dianggap salah sebuah kitab hadis yang paling penting dan merupakan sebuah ensiklopedia hadis yang besar sehinggakan apabila ahli hadis menyebutkan kalimah ‘Mu’jam’ secara umum maka kitab inilah yang dimaksudkan.

2 - Kitab ini mengandungi sejumlah besar riwayat para sahabat. Di samping itu, kitab ini juga dianggap sebagai sebuah ensiklopedia sejarah yang mengandungi biografi para sahabat, kelebihan-kelebihan mereka, hal ehwal hidup mereka serta tarikh wafat mereka.

3 - Di dalam kitab ini, pengarang menghimpunkan riwayat hadis daripada sekitar 1600 orang sahabat.

4 - Kebanyakan riwayat dalam kitab ini ialah hadis marfu’ di samping terdapat juga riwayat-riwayat mauquf serta kata-kata tabi’in dan tabi’ tabi’in.

5 - Darjat hadis yang terkandung dalam kitab ini pelbagai antara sahih dan daif kerana pengarang tidak berhasrat mengumpulkan riwayat yang sahih semata-mata bahkan beliau kumpulkan sahaja kebanyakan riwayat yang sampai kepada beliau.

6 - Pengarang menyusun riwayat dalam kitab ini berdasarkan musnad sahabat daripada kalangan sahabat lelaki dan wanita. Bermula dengan menyebutkan kumpulan riwayat hadis yang diriwayatkan oleh Khulafa’ al-Rashidin yang disusun menurut tertib khilafah. Seterusnya beliau menyebutkan riwayat baki 10 sahabat yang dijamin syurga diikuti baki riwayat sahabat-sahabat yang lain yang disusun nama sahabat-sahabat tersebut berdasarkan huruf abjab.

7 - Pengarang menyediakan bahagian khas yang menghimpunkan riwayat-riwayat sahabat wanita. Bermula dengan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh anak dan cucu perempuan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam iaitu Fatimah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kulthum dan Umamah binti Abi al-‘As (cucu Rasulullah). Kemudian disebutkan riwayat isteri-isteri Rasulullah bermula dengan Khadijah, Aisyah dan baki isteri-isteri baginda. Lalu barulah disebutkan riwayat baki sahabat-sahabat wanita yang lain.

8 - Beliau tidak masukkan riwayat-riwayat Abu Hurairah di dalam Mu’jam ini kerana beliau mempunyai kitab Musnad yang khas yang menghimpunkan riwayat Abu Hurairah secara khusus disebabkan banyaknya riwayat beliau.

9 - Jumlah keseluruhan riwayat marfu’ dan mauquf yang terkandung dalam kitab ini ialah sebanyak 22021 buah hadis berdasarkan penomboran Syeikh Hamdi Abdul Majid al-Salafi.

Rujukan:

- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Khamis, 24 Oktober 2019

Dua Pengajaran Daripada Kisah Ringkas Ulama Hadis


Disebutkan dalam kitab Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah:

Yahya bin Ma’in pernah bertanya tentang suatu hadis kepada Muhammad bin al-Fadl. Lalu Muhammad bin al-Fadl sampaikan hadis tersebut. Kata beliau: “Telah menceritakan kepada kami Hammad bin Salamah...”

Belum sempat beliau sempurnakan hadis tersebut Yahya bin Ma’in tiba-tiba berkata: “Kalaulah boleh engkau sampaikan hadis tersebut melalui catatan daripada kitabmu (nescaya lebih baik).”
Muhammad bin al-Fadl lalu bangun untuk mendapatkan kitab beliau.

Tiba-tiba juga Yahya bin Ma’in memegang baju beliau seraya berkata: “Sampaikan terus kepada aku. Aku bimbang aku tidak akan jumpa kamu lagi.”

Muhammad bin al-Fadl lalu terus sampaikan hadis tersebut kemudian pergi mendapatkan kitab beliau dan menyampaikan hadis tersebut sekali lagi kepada Yahya bin Ma’in melalui catatan daripada kitab beliau.

Daripada kisah ringkas ini sekurang-kurangnya ada dua pengajaran yang kita boleh pelajari:

1 – Sikap hati-hati dan ketelitian para ulama hadis dalam mendapatkan dan menyampaikan ilmu. Mereka tidak ingin meriwayatkan hadis kecuali melalui catatan buku guru mereka. Guru-guru hadis juga mempunyai catatan hadis walaupun mereka telah menghafal hadis-hadis tersebut.

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dalam kitab al-Jami’ Li Akhlak al-Rawi daripada Ali bin al-Madini bahawa beliau berkata: “Tidak ada di kalangan sahabat kami orang yang lebih kuat hafalannya daripada Abi ‘Abdillah Ahmad bin Hanbal. Tetapi beliau tidak menyampaikan hadis kecuali melalui catatan kitab. Perkara tersebut menjadi contoh kepada kami.”

2 – Sikap Yahya bin Ma’in yang bimbang akan kehilangan ilmu daripada gurunya tersebut menunjukkan kepada kita bagaimana sikap para ulama yang loba dan tamak terhadap ilmu. Perpisahan sebentar antara beliau dan gurunya itu pun dibimbangi akan menjadi penghalang beliau mendapatkan ilmu.

Isnin, 23 September 2019

Menangislah


1 - Ja’far bin Sulaiman berkata: “Thabit Al-Bunani (m. 127 H) banyak menangis sehingga matanya hampir buta. Doktor mata melarangnya daripada menangis. Beliau lalu berkata: Tidak ada kebaikan pada kedua mata ini jika kedua-duanya tidak pernah menangis. Beliau enggan untuk terus berubat.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi. (5/224), c: Muassasah al-Risalah]

2 – Ibnu Hibban berkata: “Muhammad bin al-Munkadir (m. 130 H) adalah penghulu para qurra’. Beliau tidak mampu menahan tangisannya apabila membaca hadis Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi. (5/354)]

3 - Muhammad bin al-Munkadir apabila beliau menangis beliau akan manyapu wajahnya dan janggutnya dengan air matanya dan beliau berkata: “Telah sampai kepadaku (hadis) bahawa neraka tidak akan memakan tempat yang disentuh oleh air mata.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi. (5/358)]

4 – Syaz bin Fayyadh berkata: “Hisyam al-Dastuwa’ie (m. 154 H) banyak menangis sehingga rosak matanya. Matanya terbuka tetapi beliau tidak boleh melihat dengannya.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi. (7/152)]

5 – Yahya bin Abi Bukair berkata kepada al-Hasan bin Soleh bin Hayy (m. 169 H): “Ceritakanlah kepada kami cara memandikan mayat.” Beliau menangis sehingga tidak mampu menceritakannya.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi. (7/152)]

6 – Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair menceritakan bahawa bapa beliau membaca ayat:

فَكَيفَ إِذا جِئنا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهيدٍ

“Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka).” [Surah al-Nisa’: Ayat 4]

Ibnu ‘Umar (m. 73/74 H) lalu menanggis sehingga basah janggut dan bajunya dengan air tangisannya sehingga aku ingin berkata kepada bapaku: “Cukuplah, engkau telah memudaratkan syeikh (Ibnu ‘Umar).”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi. (3/214)]

7 – Al-Qasim al-A’raj berkata: “Sa’id bin Jubair (m. 95 H) sangat banyak menangis pada waktu malam sehingga kabur penglihatannya.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi. (4/333)]




Ahad, 15 September 2019

Syeikh Sa’ad Jawish


Pada hari ini (15/9/2019) kita semua mendapat berita sedih tentang kewafatan salah seorang ulama al-Azhar al-Syarif iaitu Syeikh Sa’ad Jawish. Di kesempatan ini saya ingin kongsikan sedikit biografi ringkas Syeikh Sa’ad Jawish yang saya petik daripada kitab Asanid al-Misriyyin karangan Syeikh Usamah al-Azhari.

Nama beliau ialah Sa’ad bin Sa’ad bin Rizq bin Abdul Rahman Jawish al-Kufrawi al-Azhari al-Husaini. Beliau dilahirkan pada bulan April 1941 Masihi bersamaan tahun 1360 Hijrah.

Bapa beliau merupakan seorang yang soleh dan seorang hafiz al-Quran. Kadang-kala apabila beliau membaca kisah orang-orang soleh beliau akan menangis dengan tangisan yang kuat. Di bawah didikan bapanya inilah Syeikh Sa’ad Jawish membesar dan seolah-olah beliau turut sama mewarisi sifat bapanya.

Beliau belajar di Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhari daripada beberapa orang ulama besar al-Azhar al-Syarif antaranya ialah:

1 – Syeikh Muhammad Ali Ahmadain.

2 – Syeikh Mustafa Amin al-Tazi.

3 – Syeikh Muhammad Muhammad al-Samahi.

4 – Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah.

5 – Syeikh Abdul Wahab Abdul Latif.

6 – Syeikh al-Azhar Abdul Halim Mahmud.

7 – Syeikh Abdul Wahab Ghazlan.

8 – Syeikh Ahmad al-Sayyid al-Kumi.

9 – Syeikh Muhammad al-Sayyid Nada.

10 – Syeikh Sulaiman Dunya.

11 – Syeikh Muhammad Fath Allah Badran.

Antara guru ijazah beliau ialah:

1 – Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.

2 – Syeikh Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari.

3 – Syeikh Muhammad Zakiyuddin Ibrahim.

4 – Syeikh Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki.

5 – Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith al-Kattani.

6 – Syeikh Muhammad Dhiya’uddin bin Muhammad Najmuddin al-Kurdi.

7 – Syeikh Najmuddin bin Muhammad Dhiya’uddin al-Kurdi. Beliau meriwayatkan daripada Syeikh Salamah al-‘Azhami.

8 – Syeikh Muhammad Abdul Hakim Syaraf al-Qadiri.

9 – Syeikh Ahmad Ma’bad Abdul Karim.

10 – Syeikh al-Sayyid ‘Abbas bin Muhammad al-Saqqaf al-Hadhrami.

Antara penulisan beliau ialah:

1 – رفع الحرج عن الأمة في ضوء الكتاب والسنة.

2 – السنن الزكية في الفضائل النبوية.

3 – التوجيهات النبوية لسلامة المعاملات الإسلامية.

4 – المأدبة النبوية في الهبة والهدية الوصية.

5 – السنن المشرفة وعلوم الحديث.

6 – موقف السنة من التبرج.

7 – السنة مسئولية الأمة شبهات وردود.

8 – المسحة المحمدية.

9 – آداب العلم.

10 – ألقاب أهل الله.

Syeikh Usamah al-Azhari memuji beliau sebagai seorang yang sangat alim, soleh dan bertakwa. Beliau juga pernah bermusafir bersama Syeikh Sa’ad Jawish selama beberapa hari dan beliau mendapati bahawa Syeikh Sa’ad Jawish merupakan seorang yang tawaduk dan mempunyai kehalusan budi.

Semoga Allah merahmati beliau.

*Alhamdulillah, saya sempat belajar sebahagian kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah dengan beliau di Masjid al-Azhar al-Syarif.


Ahad, 8 September 2019

Beza Antara Perawi Pendusta Dan Perawi Pemalsu Hadis


- Perawi pendusta tidak memalsukan sanad dan matan hadis tetapi dia mencuri hadis [1] yang sedia ada milik orang lain ataupun dia meriwayatkan hadis-hadis yang dipalsukan oleh orang lain untuknya.

- Perawi pemalsu hadis adalah lebih teruk keadaannya berbanding perawi pendusta. Begitu juga pemalsu matan hadis lebih teruk daripada pemalsu sanad hadis kerana dia mencipta ucapan yang tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam berbanding pemalsu sanad hadis yang sekadar mencipta jalan periwayatan hadis.

- Setiap pemalsu hadis adalah pendusta tetapi tidak lazim bahawa seorang pendusta itu adalah pemalsu hadis.

_________________

 [1] Misalannya seorang perawi diketahui bersendirian meriwayatkan hadis daripada seorang guru. Lalu datang pencuri hadis mendakwa dia turut sama mendengar hadis dari guru tersebut. Atau seorang pencuri hadis mendapati ada kitab hadis yang dijual di pasar. Lalu dia mendakwa dia mendengar sendiri hadis daripada penulis kitab itu dan dia meriwayatkan hadis melalui naskah kitab tersebut.

Hadis Palsu: Empat Golongan Yang Diberi Syafaat

Rasulullah صلى الله عليه و سلم  bersabda:

أَرْبَعَةٌ أَنَا لَهُمْ شَفِيعٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الْمُكْرِمُ لِذُرِّيَّتِي، وَالْقَاضِي لَهُمْ حَوَائِجَهُمْ، وَالسَّاعِي لَهُمْ فِي أُمُورِهِمْ، ما اضْطَرُّوا إِلَيْهِ، وَالْمُحِبُّ لَهُمْ بِقَلْبِهِ وَلِسَانِهِ.

"Aku akan memberikan Syafaat kepada empat golongan dari umat ku kelak dihari kiamat :

1. Yang menghormati keturunanku

2. Yang membantu menyampaikan hajat mereka

3. Yang menolong mereka disaat mereka kesulitan

4. Yang mencintai mereka dengan tulus hati dan dengan lisannya."

Ihyaul Mayyit fi Fadhli Ahlil Bait hal 52 Karya Imam Suyuthi رحمه الله.

ULASAN:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada jalur perawi:

ABU AL-QASIM ABDULLAH BIN AHMAD BIN 'AMIR AL-THA'IE daripada bapanya daripada Ali bin Musa al-Ridha daripada Musa bin Ja’far al-Sodiq daripada Muhammad al-Baqir daripada Ali Zainal Abidin daripada daripada Hussein daripada hadis Ali bin Abi Thalib.

Hadis ini palsu. Puncanya daripada Abu al-Qasim Abdullah bin Ahmad bin ‘Amir al-Tha’ie.

Kata al-Hussein bin Ali al-Zuhri:

“Dia seorang yang buta huruf. Dia tidak disukai (لم يكن بالمرضي)."

Kata al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal:

)Dia meriwayatkan( daripada bapanya daripada Ali al-Ridha daripada datuk moyangnya sebuah naskah hadis palsu lagi batil yang berterusan dipalsukan olehnya atau bapanya.”

Kata al-Zahabi dalam Diwan al-Dhu’afa’:

“Dia meriwayatkan daripada bapanya daripada Ahli Bait. Baginya sebuah naskhah hadis batil.”

Dia juga dituduh memalsukan hadis berkenaan kelebihan adas oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at. Kata Ibnu al-Jauzi:

“Yang dituduh memalsukannya ialah Abdullah bin Ahmad bin Amir dan bapanya kerana mereka berdua meriwayatkan daripada Ahli Bait sebuah naskhah hadis yang semuanya palsu.”

Kata Ibnu Hajar dalam al-Kafi al-Syaf:

“Dia meriwayatkan (hadis) daripada bapanya dan dia adalah pendusta.”

Hadis ini sendiri adalah palsu di sisi al-Hafiz al-Sayuthi walaupun beliau sebutkannya dalam kitab Ihya' al-Mayyit tanpa sebarang komentar. Beliau sebutkan hadis ini dalam kitab Zail al-Laali’ al-Masnu’ah (no. 702) yang menghimpunkan hadis-hadis palsu menurut pandangan beliau. Boleh lihat hadis-hadis lain hasil pemalsuan Abdullah bin Ahmad bin Amir dalam kitab tersebut, bemula hadis bernombor 696 sehingga 709.

Ulama lain yang mengatakan ia adalah palsu ialah al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah (no. 135).

Sabtu, 7 September 2019

Manhaj Kitab al-Kasyf al-Hathith ‘Amman Rumiya Bi Wadha’ al-Hadith (الكشف الحثيث عمن رمي بوضع الحديث) Karangan Sibth Ibn al-‘Ajami



Pengenalan Ringkas Pengarang

Nama beliau ialah Ibrahim bin Muhammad bin Khalil tetapi lebih dikenali sebagai Sibth Ibn al-‘Ajami dan Burhanuddin al-Halabi. Beliau bermazhab al-Syafi’e. Beliau dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 753 Hijrah. Antara guru beliau yang terkenal ialah Sirajuddin al-Bulqini, Ibnu al-Mulaqqin, Zainuddin al-‘Iraqi, al-Fairuzzabadi dan lain-lain. Beliau mahir dalam hadis dan ilmu-ilmunya serta mengajar dan mengarang beberapa buah kitab yang bermanfaat. Antara kitab beliau ialah:

1 - التبيين لأسماء المدلسين. Berkenaan perawi-perawi mudallis.

2 - تذكرة الطالب المعلم بمن يقال إنه مخضرم. Berkenaan perawi-perawi mukhadram.

3 - الاغتباط بمن رمي بالاختلاط. Berkenaan perawi-perawi mukhtalith.

4 -  نشر الهميان في معيار الميزان. Ringkasan kitab Mizan al-I’tidal karangan al-Hafiz al-Zahabi.

5 - نهاية السول في رواة الستة الأصول. Berkenaan perawi-perawi Kutub al-Sittah serta beberapa penambahan perawi yang disebutkan oleh al-Bukhari pada hadis mu’allaq dalam Sahihnya, perawi yang disebutkan oleh Muslim dalam mukadimah kitab Sahihnya juga perawi yang disebutkan oleh al-Nasa’ie dalam kitab ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah.

Beliau meninggal dunia pada tahun 841 Hijrah di Halab, Syria.

Pengenalan Kitab

- Pengarang menjelaskan di mukadimah kitab ini bahawa beliau ingin memuatkan senarai perawi-perawi yang memalsukan hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan beliau tidak memuatkan perawi-perawi yang sekadar dituduh berdusta.

- Pengarang telah memberikan sepenuh usaha untuk mengumpul dan memilih perawi-perawi tersebut daripada kitab Mizan al-I’tidal karangan al-Zahabi,  kitab al-Maudhu’at karangan Ibnu al-Jauzi, kitab al-Majruhin karangan Ibnu Hibban, Talkhis al-Mustadrak karangan al-Zahabi dan lain-lain.
- Nama perawi dalam kitab ini disusun berdasarkan huruf-huruf abjad.

- Beliau akan meletakkan simbol bagi perawi-perawi yang terdapat riwayatnya dalam Kutub al-Sittah, iaitu:

1 - خ bagi perawi yang dikeluarkan riwayatnya oleh al-Bukhari.

2 - م bagi Muslim.

3 - د bagi Abu Daud.

4 - ت bagi al-Termizi.

5 - س bagi al-Nasa’ie.

6 - ق bagi Ibnu Majah.

- Pengarang memulakan kitab ini dengan sebuah mukadimah yang berharga tentang dosa orang yang berdusta atas nama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, kumpulan-kumpulan pemalsu hadis, sebab-sebab pemalsuan hadis serta cara mengenali hadis-hadis palsu.

- Keistimewaan kitab ini ialah ia secara khusus memuatkan perawi-perawi yang memalsukan hadis serta yang dituduh memalsukan hadis berdasarkan penilaian  ahli hadis mutaqaddimin berserta bukti-bukti yang menyebabkan  perawi tersebut dituduh memalsukan hadis.

- Kitab ini telah dicetak oleh ‘Alam al-Kutub dan Maktabah al-Nahdhah al-‘Arabiyyah pada tahun 1987 yang telah ditahqiq oleh Syeikh Subhi al-Samarra’ie.

- Kitab ini boleh dimuat turun pada pautan berikut:


Rujukan:

- Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Mukadimah tahqiq al-Kasyf al-Hathith oleh Syeikh Subhi al-Samarra’ie