Khamis, 3 Januari 2019

Sembunyikan Amalan Hatta Dari Isteri Sendiri!



Muhammad bin Wasi’ bin Jabir al-Azdi berkata: “Ada seorang lelaki yang menangis selama 20 tahun sedangkan isterinya yang ada bersama dengannya tidak mengetahuinya.” [Sifah al-Sofwah oleh Ibnu al-Jauzi]

Mungkin beliau sebenarnya sedang bercakap tentang dirinya sendiri.

__________

Muhammad bin Wasi’ merupakan seorang faqih, warak dan zuhud daripada ahli Basrah. Beliau merupakan murid kepada Hasan al-Basri, Salim bin Abdullah bin Umar, Sa’id bin Jubair, Tawus bin Kaisan, Atha’ bin Abi Rabah dan lain-lain. Antara ulama yang pernah belajar dengan beliau ialah Sufyan al-Thauri, Hammad bin Salamah dan lain-lain. Di antara tanda tawaduk beliau ialah beliau pernah berkata: “Kalaulah dosa itu ada bau nescaya tidak ada orang yang mahu duduk denganku (disebabkan banyak dosaku).” Beliau meninggal dunia pada tahun 123 Hijrah.

Takhrij Hadis: Ahli Neraka Tidur Dalam Api Dunia


Soalan:

Assalamualaikum ya ustaz, ada ke hadith yang bunyinya macam ini:

“Jika ahli neraka diletakkan ke dalam api bumi,mereka akan tidur kerana kesejukkan.”

Jawapan:

Waalaikumsalam.

Setakat yang saya jumpa ada ucapan tabi'in yang hampir sama maksudnya. Imam Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan dalam kitab Sifah al-Nar daripada Abdul Malik bin 'Umair:

لَوْ أَنَّ أَهْلَ النَّارِ كَانُوا فِي نَارِ الدُّنْيَا لَقَالُوا فِيهَا

"Jikalau ahli neraka berada dalam api dunia nescaya mereka akan tidur dalamnya."

Takhrij Hadis: Makan Makanan Halal Tubuh Badan Ajak Buat Taat


Soalan:

Assalamualaikum.

Mohon penjelasannya status hadis dibawah ini, siapakah yg meriwayatkan?

وقد رُوِيَ مرفوعاً إلى رسول الله - صلى الله عليه وسلم -: من أكل الحلال أطاعت جوارحه شاء أم أبى، ومن أكل الحرام عصت جوارحه شاء أم أبى

Diriwayatkan secara marfu  kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

"Barangsiapa memakan makanan halal, mau tidak mau seluruh anggota tubuhnya akan mengajak berbuat taat, dan barangsiapa memakan makanan haram, mau tidak mau seluruh anggota tubuhnya akan mengajak berbuat maksiat.

Jawapan:

Waalaikumsalam.

Ini adalah ucapan Sahl bin Abdullah al-Tustari (m. 283 H) sebagaimana al-Imam al-Ghazali (m. 505 H) sebutkan dalam kitab Ihya' 'Ulum al-Din.

Cuma Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad (m. 1132 H) dalam Risalah al-Mu'awanah yang menjadikannya daripada ucapan Nabi sallahu 'alaihi wasallam.

Wallahu a'lam.

Takhrij Hadis: Solat Tiang Agama


Soalan:

ASSALAMUALAIKUM USTAZ. Saya nak tanya tentang penjelasan status hadis ini:

Nabi saw sabda: "Solat itu tiang agama."

Jawapan:

الصَّلَاة عماد الدَّين

Hadis ini hadis hasan li ghairih. Hadis ini diriwayatkan daripada hadis 'Umar yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman, hadis 'Ali bin Abi Thalib yang diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Targib Fi Fadhail al-A'mal dan al-Asbahani dalam al-Targhib Wa al-Tarhib dengan lafaz: الصَّلَاةُ عِمَادُ الْإِسْلَامِ [Solat adalah tiang Islam] dan hadis mursal Yahya bin Bilal yang diriwayatkan oleh Abu Nu'aim Fadl bin Dukain yang kitab al-Solah dengan lafaz: الصَّلَاةُ عَمُودُ الدِّينِ.

Imam Ahmad, al-Termizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada hadis Mu'az bin Jabal yang menguatkan makna hadis ini:

أَلَا أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ؟ فَقُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: «رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ

Nabi sallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu perkara utama bagi segala perkara, tiangnya dan puncaknya?

Aku (Mu'az bin Jabal) menjawab: "Ya, wahai Rasulullah.

Baginda bersabda: Perkara utama bagi setiap perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncaknya adalah jihad."

Hadis Mu'az bin Jabal ini hadis yang ke-29 daripada hadis 40 Imam al-Nawawi.

Rabu, 2 Januari 2019

Membaca Kitab Sehingga Dilanggar Kuda!


Abu al-‘Abbas Ahmad bin Yahya al-Syaibani (200H-291H) atau lebih dikenali dengan nama Tha’lab merupakan seorang imam dalam bidang nahu dan bahasa Arab di Kufah. 

Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad memuji beliau sebagai seorang yang thiqah, hujjah, beragama, soleh, masyhur dengan kekuatan hafalan, mempunyai lahjah percakapan yang benar dan lain-lain pujian.

Abu Hilal al-‘Askari dalam al-Hath ‘Ala Thalab al-‘Ilm mencatatkan bahawa beliau tidak pernah berenggang dengan aktiviti menelaah kitab. Jika ada seseorang yang menjemput beliau untuk sesuatu jemputan, beliau mensyaratkan bahawa diluaskan bagi beliau satu tempat khas untuk beliau letakkan kitab-kitabnya dan untuk beliau membaca di situ.

Ibnu Khalikhan dalam Wafayat al-A’yan menghikayatkan sebab kematian beliau:

“Pada suatu hari di hari Jumaat, beliau keluar daripada masjid selepas waktu Asar. Ketika itu beliau sudah pekak, tidak mampu mendengar kecuali selepas bersusah payah cuba mendengar. Di tangan beliau ketika itu ada sebuah buku yang beliau baca ketika dalam perjalanan. Tiba-tiba beliau dirempuh oleh seekor kuda sehingga terpelanting ke dalam sebuah lubang. Beliau dikeluarkan dari lubang tersebut dalam keadaan separuh sedar. Beliau lalu dibawa ke rumahnya dalam keadaan beliau mengerang kesakitan. Beliau meninggal dunia pada hari kedua.”