Khamis, 27 Jun 2019

Belajarlah Setiap Hari

- Ahmad bin al-Furat[1] tidak meninggalkan sehari pun melainkan beliau akan menghafal sesuatu (daripada ilmu) meskipun sedikit.

- Kata sebahagian ulama: "Aku menghadiri majlis seorang syeikh pada pagi hari Jumaat walaupun tidak ada pengajian (pada hari tersebut) supaya tidak hilang daripadaku kebiasaan menghadiri (majlis ilmu)."

[Al-Hath 'Ala Thalab al-'Ilm, Abu Hilal al-'Askari]
_________

(1) Ahmad bin al-Furat atau dikenali juga sebagai Abu Mas'ud al-Razi merupakan seorang muhaddith di Asbahan. Beliau dilahirkan selepas tahun 180 Hijrah. Beliau menuntut ilmu sejak dari kecil. Beliau dianggap sebagai hafiz hadis ketika masih muda belia. Beliau mengembara menuntut ilmu ke beberapa tempat seperti Iraq, Syam, Hijaz dan Yaman. Antara guru beliau yang terkenal ialah Abu Daud al-Thayalisi dan Abdul Razak al-San'ani manakala murid beliau yang terkenal ialah Abu Daud al-Sijistani. Diceritakan bahawa ketika beliau tiba di Asbahan tidak ada kitab catatan hadis bersamanya. Beliau lalu mengimlak 1000 buah hadis daripada hafalannya. Setelah itu barulah kitab beliau tiba. Lalu dibuat perbandingan hadis-hadis yang beliau sampaikan melalui ingatan dan hadis-hadis yang dicatat di dalam kitabnya. Didapati tidak ada yang berbeza kecuali hanya sedikit. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Tidak ada di bawah naungan langit ini orang yang lebih hafal tentang hadis-hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam lebih daripada Abu Mas'ud al-Razi."  Beliau meninggal dunia pada tahun 258 Hijrah.

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 12, hlm. 480, c: Muassasah al-Risalah]

Istilah Ilmu Hadis 42: Hasan Li zatihi (حَسَنُ لِذَاتِهِ)

Hadis yang bersambung sanadnya, dinukilkan oleh perawi yang ’adil, namun kurang (sedikit daripada perawi yang sempurna hafalannya) dari sudut hafalannya, tidak syaz (ganjil, bertentangan) dan tiada ‘illah (kerosakan yang mencacatkan).

Beza antara sahih dan hasan

Apabila dibandingkan antara pengertian hasan dan pengertian sahih, kita dapati antaranya adalah persamaan yang besar. Di mana kedua-duanya adalah bersepakat dan sama pada keseluruhan pengertian kecuali pada syarat yang berkaitan dengan hafalan. Perawi bagi sahih adalah memiliki kekuatan hafalan yang sempurna, daripada kalangan ahli hifz dan penuh penelitian, manakala perawi hasan pula sudut hafalannya rendah sedikit daripada perawi sahih.

Contoh hadis hasan

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dengan katanya: Telah menceritakan kepada kami Qutaybah, telah menceritakan kepada kami Ja’far bin Sulaymanal-Ruba’i, daripada Abi ‘Imran al-Jawni, daripada Abu Bakr bin Abu Musa al-Asy’ari, berkata: Saya mendengar bapa saya berkata ketika sedang menghadapi musuh: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga di bawah bayangan pedang-pedang."

Hadis ini disebutkan oleh al-Imam al-Tirmizi: "Hadis hasan gharib."

Kesemua empat perawi hadis ini adalah thiqah kecuali Ja’far bin Sulayman al-Ruba’i, dia ialah seorang yang baik hadisnya (gambaran yang rendah sedikit berbanding sifat thiqah), dengan sebab itu hadis ini telah turun darjatnya kepada martabat hadis hasan.

Hukum Hadis Hasan

Hadis hasan adalah مَقْبُولُ (diterima) oleh ulama fiqah keseluruhannya untuk dijadikan sebagi hujah dan beramal dengannya. Begitu juga pandangan kebanyakan muhaddithin. Ini ialah kerana kebenaran perawi itu telah diketahui dan penukilannya selamat dengan menggunakan sanad. Sifat kekurangan pada sudut hafalan (jika dibandingkan dengan perawi hadis sahih) tidaklah mengeluarkannya daripada memiliki kelayakan untuk menyampaikan apa yang didengarinya. Maksud hasan ini hanya menyatakan bahawa darjatnya rendah daripada hadis sahih tanpa menidakkan sudut hafalannya.

Sumber-sumber Hadis Hasan

Tiada ulama terdahulu yang mengkhususkan sebuah karya hanya untuk mengumpulkan hadis-hadis hasan, bahkan mereka mengumpulkan sekali bersamanya hadis-hadis sahih dan juga yang lebih rendah iaitu daif.

Antara sumber-sumber hadis hasan yang utama ialah: 

1 – Jami’ al-Tirmizi : Oleh al-Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi (w. 279 H).

2 – Al-Sunan atau lebih dikenali dengan Sunan Abu Daud : Oleh al-Imam Abu Daud Sulayman bin Asy’ath al-Sijistani (w. 273 H).

3 – Al-Mujtaba atau lebih dikenali dengan Sunan al-Nasa’i : Oleh al-Imam Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’i (w. 303 H).

4 – Sunan al-Mustafa atau lebih dikenali dengan Sunan Ibnu Majah : Oleh al-Imam Ibnu Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwini (w. 273 H).

5 – Al-Musnad  : Oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (w. 241 H).

6 – Al-Musnad  : Oleh al-Imam Abu Ya’la al-Mausili, Ahmad bin ‘Ali bin al-Muthanna (w. 307 H). 

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 216, terbitan: Darul Syakir]

Rabu, 19 Jun 2019

Kedukaan Bila Terbakarnya Kitab

Abu 'Ali al-Farisi (seorang imam dalam ilmu bahasa Arab, meninggal dunia tahun 366 H) berkata:

"Berlaku kebakaran di Baghdad dan ia memakan seluruh kitab-kitabku. Aku telah menulis kitab-kitabku itu dengan tulisan tanganku sendiri. Selama dua bulan aku tidak bercakap dengan seorang pun kerana bersangatannya kesedihan dan kedukaanku. Selama beberapa ketika aku dalam keadaan kebingungan dan ketidakkeruanan."

[Mu'jam al-Udaba', Yaqut al-Hamawi]


Selasa, 18 Jun 2019

Mencontohi Tabiat Gagak, Khinzir Dan Keldai, Ketika Menuntut Ilmu

Ditanya kepada Bozorgmehr بزرجمهر (bangsawan dari Parsi, meninggal kurun ke-6 Masihi):

"Dengan apakah kamu menghimpunkan ilmu yang banyak ini?"

Beliau menjawab:

"Dengan bersegera (menuntut ilmu) sebagaimana bersegeranya gagak (keluar mencari makanan), loba (terhadap ilmu) sebagaimana lobanya khinzir (terhadap makanan) dan sabar (menuntut ilmu) sebagaimana sabarnya keldai (melakukan kerja yang disuruh tuannya)." 

[Al-Hath 'Ala Thalab al-'Ilm, Abu Hilal al-'Askari]

Isnin, 17 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadis 41: Syaz (الشَاذٌ)

Sesuatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang thiqah atau maqbul, dan ia bertentangan dengan periwayatan perawi yang lebih utama daripadanya dari sudut hafalan, ketekunan atau banyaknya riwayat.

Dengan pengertian ini, maka sesuatu hadis yang syaz disyaratkan dengan syarat-syarat berikut:

1 – Mestilah perawinya thiqah, atau perawi maqbul yang bersendirian membawa riwayat tersebut.

2 – Mestilah bercanggah/bertentangan dalam periwayatannya dengan perawi yang lebih utama daripadanya, dari sudut penerimaan hadis. Maksud bertentangan ialah: Tidak dapat digabungkan antara riwayatnya dan riwayat selain daripadanya.

Pembahagian Syaz

Syaz berdasarkan kedudukannya dalam hadis dibahagikan kepada dua bahagian; Syaz pada sanad dan syaz dalam matan. Berikut ialah pengertian bagi setiap bahagian itu.

Bahagian Pertama: Syaz pada sanad:

Iaitu bertentangan/bercanggah seorang perawi thiqah dalam mengisnadkan sesuatu hadis dengan apa yang masyhur di sisi perawi-perawi thiqah yang lain.

Contohnya:

Dikeluarkan oleh al-Tirmizi melalui sanad: Sufyan bin ‘Uyainah daripada ‘Amr bin Dinar, daripada ‘Awsajah daripada Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma

“Seorang lelaki meninggal dunia pada zaman Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Beliau tidak meninggalkan seorang pun pewaris kecuali seorang hamba yang telah dimerdekakan. Maka Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menyerahkan harta pusaka peninggalannya kepadanya.”

Hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Nasa’i melalui sanad Ibnu Juraij daripada ‘Amr bin Dinar daripada ‘Awsajah daripada Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma : “Sesungguhnya seorang lelaki...”

Maka Sufyan bin ‘Uyainah dan Ibnu Juraij meriwayatkan hadis ini secara bersambung dan marfu’ (disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam), yang disandarkan kepada baginda oleh Abdullah bin ‘Abbas radiallahu ‘anhuma.

Tetapi Hammad bin Zayd – seorang perawi yang thiqah – meriwayatkan secara mursal (digugurkan nama Ibnu ‘Abbas) di mana beliau berkata dalam riwayatnya: 

Daripada ‘Amr bin Dinar daripada ‘Awsajah: “Sesungguhnya seorang lelaki...” (Diriwayatkan oleh al-Nasa’i)

Maka dengan ini jelas bahawa riwayat Hammad bin Zayd dihukumkan sebagai syaz, manakala riwayat ‘Abd al-Malik bin Juraij dan Sufyan bin ‘Uyainah dihukumkan sebagai terpelihara (mahfuz).

Bahagian Kedua: Syaz pada matan

Iaitu seorang perawi thiqah yang bertentangan dalam meriwayatkan lafaz-lafaz sesuatu hadis dengan seorang perawi yang lebih thiqah atau lebih utama daripadanya.

Contohnya:

Hadis al-Mughirah bin Syu’bah daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya baginda berwuduk dan menyapu di atas kedua khufnya.”

Riwayat ini dikeluarkan oleh sebilangan besar daripada perawi hadis, mereka ialah: ‘Urawah, Hamzah yang kedua-duanya ialah anak al-Mughirah, Masruq bin al-Ajda’, al-Zuhri, al-Aswad bin Hilal, Rawwad katib (penulis) al-Mughirah dan selain mereka, semuanya daripada al-Mughirah bin Syu’bah. (Hadis ini dikeluarkan oleh penyusun-penyusun Kutub Sittah kecuali al-Nasa’i).

Huzail bin Syurahbil meriwayatkan dengan cara yang bertentangan dengan kesemua perawi yang ada. Beliau meriwayatkan daripada al-Mughirah dengan lafaz: "Sesungguhnya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menyapu di atas dua stoking baginda dan dua seliparnya.” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud).

Penambahan ini dianggap sebagai penambahan yang syaz dalam matan, maka dihukumkan riwayat Huzail sebagai syaz.

Hukum Syaz:

Hadis syaz adalah daif dan ditolak. Hal ini disebabkan perawinya walaupun seorang yang thiqah, tetapi kerana dia membawa sesuatu yang bertentangan dengan perawi yang lebih utama daripadanya, menunjukkan bahawa perawi tersebut tidak menghafal riwayat yang bertentangan tersebut. Oleh kerana itu, kita hanya menerima periwayatan seorang yang lebih hafal dan menolak riwayat yang bertentangan dengannya.

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 291]

Ahad, 16 Jun 2019

Istilah ilmu hadis 40: al-‘Illah (kecacatan, sakit) (العِلَّةُ)

Suatu istilah menggambarkan tentang suatu sebab yang tersembunyi yang mencacatkan kesahihan sesuatu hadis sedangkan keadaan zahirnya menampakkan hadis tersebut adalah selamat dari segala kecacatan.

Illah dapat dikenalpasti melalui penelitian terhadap perawi seorang demi seorang, atau pencanggahan perawi dengan perawi yang lain, berserta dengan bukti-bukti yang menyebabkan seorang yang arif dalam bidang ini menyedari bahawa terdapat keraguan dalam sesuatu sanad seperti berlakunya irsal dalam hadis yang mausul, atau berlakunya waqf (mawquf) dalam hadis yang marfu’, atau pertindihan hadis dalam hadis yang lain dan sebagainya.

Semua perkara seperti di atas akan menyebabkan seseorang ahli hadis yang arif akan mengeluarkan hukum bahawa hadis tersebut adalah tidak sahih, atau beliau teragak-agak dan tidak mampu mengeluarkan hukum langsung ke atas hadis tersebut.

Kesukaran mencari ’illah sesuatu hadis boleh berlaku sehingga menyebabkan seorang ahli hadis tidak mampu mengeluarkan bukti terhadap hukumannya terhadap sesuatu hadis, seperti seorang pengurup wang yang dapat membezakan wang dinar dan dirham.

Namun terdapat kaedah untuk mengesani ’illah ini iaitu dengan mengumpulkan seluruh jalan sanad sesuatu hadis itu dan meneliti setiap perbezaan pada para perawi, serta ketepatan riwayat mereka.

Antara kitab-kitab terkenal yang dikarang dalam ilmu ’ilal al-hadith:

1 - Al-Tarikh wa al-‘Ilal : Karangan al-Imam Yahya bin Ma’in (w. 233 H).

2 – Al-‘Ilal : Karangan al-Imam ‘Ali bin ‘Abd Allah al-Madini (w. 234 H).

3 – Al-‘Ilal al-Kabir : Karangan al-Imam al-Tirmizi (w. 279 H).

4 - Al-‘Ilal : Karangan al-Imam Ibnu Abi Hatim (w. 327 H).

5 - Al-‘Ilal al-Waridah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah : Karangan al-Imam al-Daraqutni (w. 385 H).

6 - Al-‘Ilal al-Mutanahiah fi al-Ahadis al-Wahiah : Karangan al-Hafiz Ibnu al-Jauzi (w. 597 H).

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 360]

Istilah Ilmu Hadis 39: Thiqah (الثِّقَةٌ)

Seorang perawi yang terkumpul pada dirinya sifat ke’adilan, hafalah yang sempurna, ketekunan serta dipegang padanya dalam pengriwayatan hadis.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 182]

Jumaat, 14 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadith 38: Penjagaan, Pemeliharaan (الضَّبْطُ)

Seorang perawi mendengar akan hadis-hadis daripada syeikhnya dengan penuh kesedaran dan tidak lalai, di mana beliau dapat menghafalnya jika ia menyampaikannya semula melalui hafalannya dan dapat menghadirkannya pada bila-bila masa, dan bersifat teliti jika beliau menyampaikannya melalui kitabnya, di samping berpengetahuan dengan maknanya, jika beliau hendak meriwayatkan hadis tanpa lafaznya yang sebenar (yakni melalui makna sahaja).

Jenis-jenis al-Dabt:

Pertama: Penjagaan Hafalan (ضَبْطُ الصَّدْرِ):

Iaitu hafalan seorang perawi yang mampu memastikan apa-apa yang didengarinya daripada syeikh, mengingatinya dan menyampaikannya ketika diperlukan. 

Dengan kata lain: Seorang perawi yang hatinya dalam keadaan penuh kepastian, akalnya hadir, cerdas serta tidak lalai, tidak seumpama orang yang tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kesalahan, seperti orang yang tidur atau tidak bersungguh-sungguh.

Kedua: Penjagaan Kitab (ضَبْطُ الكِتَابُ):

Iaitu seorang perawi yang menjaga dan memelihara kitabnya daripada sebarang perubahan atau penyelewengan, dan mempertahan kitab tersebut sejak dari beliau mendengarnya serta membetulkan kesalahan yang ada sehinggalah beliau menyampaikan hadis daripada kitabnya itu.

Dengan kata lain: Seorang perawi yang memelihara kitabnya yang ditulis dengan riwayat-riwayat hadis dan dijaga daripada sebarang bentuk kesalahan sejak dari beliau mendengarnya (daripada syeikh) dan menulisnya sehinggalah beliau menyampaikannya semula. 

Beliau turut menghalang daripada segala bentuk perubahan isi kandungannya, terutama jika beliau hanya bergantung kepadanya ketika menyampaikan hadis, sama ada dari segi penambahan, pengurangan atau penukaran. 

Di samping merujuk semula pada perkara yang boleh jadi ia menyalahinya pada matan hadis atau pada sanadnya dari segi lafaz atau nama. Dan beliau juga tidak terus menerima sebarang bentuk talqin (periwayatan asing). 

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 325]

Istilah Ilmu Hadis 37: Sifat ‘adil (العَدَلَةُ)

Suatu kekuatan (penguasaan diri) yang membawa seseorang itu kepada sentiasa bersifat taqwa, menjauhi diri dari perkara-perkara keji seperti perbuatan dosa mensyirikkan Allah, atau fasiq ataupun bid’ah atau segala apa perbuatan tidak baik yang mencalarkan maruah seseorang.

Syarat-syarat ‘adil adalah seperti berikut:

1 - Islam: Maka tidak diterima riwayat orang yang kafir menurut ijma’.

2 – Baligh: Kerana balighnya seseorang itu adalah kayu ukur kepada kemampuannya memikul beban tanggungawab dengan melakukan perkara yang diwajibkan serta meninggalkan perkara yang dilarang. Dengan itu, riwayat kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak diterima menurut pandangan yang paling sahih di sisi jumhur ulama. Adapun sekiranya dia mengambil hadis itu sebelum baligh dan meriwayatkannya sesudah baligh, maka riwayatnya boleh diterima.

3 – Berakal: Kerana dengan akal, seseorang dapat dipastikan kebenaran kata-katanya serta kekuatan ingatannya. Dengan itu, menurut ijma’ riwayat orang gila tidak boleh diterima.

4 – Taqwa: Iaitu menjauhi dosa besar serta tidak berterusan dalam melakukan dosa kecil. Mereka yang melakukan dosa besar dianggap fasiq secara pasti, begitu juga mereka yang berterusan melakukan dosa kecil kerana dosa kecil yang dilakukan secara berterusan menjadikan dosa tersebut seperti dosa besar. Umpama kata-kata ulama: “Tidak dinamakan dosa kecil sekiranya dilakukan berterusan.”

5 – Menjaga muru’ah (maruah): Dengan meninggalkan segala perlakuan yang dapat mencemarkannya, iaitu semua perkara yang dapat merendahkan kedudukan seseorang berdasarkan tatasusila kehidupan yang betul. Contohnya seperti kencing di jalanan, dan banyak mempersenda serta memperlekehkan orang lain. Mereka yang melakukan perlakuan ini ialah golongan yang rendah moralnya, dan menjadikannya tidak boleh dipercayai dalam menyampaikan sesuatu yang diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Kesemua sifat ini sekiranya ada pada seorang perawi maka ia digelar sebagai seorang yang ’adil  bahkan seorang yang benar. Kerana sekiranya seluruh sifat ini terkandung dalam dirinya, maka ia akan mem bawanya kepada bersifat benar dan menjauhkannya daripada bersifat penipu.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 353]

Khamis, 13 Jun 2019

Kisah Palsu: Usman Terlupa Membayar Zakat Fitrah

Teks Kisah:

Pada zaman Rasulullah SAW, pernah seorang sahabat baginda, Usman R.A terlupa membayar zakat fitrah hingga selesai solat Aidilfitri.

Apabila teringat, beliau segera pulang dan mengambil seekor unta yang paling bagus miliknya lalu dijualnya, kemudian wang hasil penjualan unta tersebut beliau guna untuk memerdekakan seorang budak.

 Setelah itu, beliau menghadap Rasulullah SAW dan berkata:

“Ya, Rasulullah, bahwasannya saya telah lupa membayar zakat fitrah, namun saya telah menjual seekor unta yang paling bagus dan saya gunakan untuk memerdekakan seorang budak. Apakah itu setara nilainya dengan zakat fitrah yang saya terlupa membayar itu?”

 Di hadapan para sahabat, Rasulullah SAW kemudian menjawab:

“Sangat merugikan bagi sesiapa pun yang tidak membayar zakat fitrah, kerana pahala zakat fitrah itu sangatlah tidak terhingga.

Jangankan memerdekakan seorang budak, memerdekakan 100 orang budak pun tak akan dapat menyamai pahala zakat fitrah.”


 Ulasan:

Kisah ini disebutkan oleh al-Khubawi dalam kitab Durrah al-Nasihin (hlm. 278, c: Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyah). 

Kata Dr Ahmad Lutfi Fadlullah dalam kitab Nilai Hadis Dalam Durrah al-Nasihin (hlm. 219):

"Hadis ini belum dapat dikesan perawinya. Al-Khubawi menukilkannya daripada kitab Zubdah al-Wa'izin...Hadis ini dihukumkan palsu sebab, selain ia belum dikesan dalam kitab yang muktabar, ia dinukilkan daripada kitab yang tidak muktabar iaitu Zubdah al-Wa'izin."


Istilah Ilmu Hadis 36: Al-Sahih (الصَحِيحُ)

Hadis yang bersambung sanadnya dengan dinukilkan oleh perawi yang adil lagi dabit (sempurna hafalan/jagaannya) daripada perawi yang ‘adil lagi dabit juga sehingga ke akhir sanadnya, serta ia tidak syaz dan tidak mempunyai ‘illah (kecacatan).

Jelas daripada pengertian ini, syarat-syarat hadis sahih yang wajib ada bagi menjadikan sesuatu hadis itu sahih ada lima, iaitu:

1. Sanad yang bersambung.

2. Para perawi yang ‘adil.

3. Para perawi yang dabit (sempurna hafalan/jagaannya).

4. Tidak mempunyai ‘illah (kecacatan).

5. Tidak ada syaz.

Jika salah satu daripada syarat yang lima ini tidak ada, maka hadis tersebut tidak dinamakan hadis sahih.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami ‘Abd Allah bin Yusuf, beliau berkata: Telah memberitahu kepada kami Malik daripada Ibnu Syihab daripada Muhammad bin Jubair bin Mut’im daripada bapanya, beliau berkata:

“Saya mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membaca pada waktu Maghrib surah al-Tur.”

Hadis ini sahih berdasarkan kepada perkara berikut:

1. Sanadnya bersambung: Setiap perawi daripada semua perawinya mendengar daripada syeikh masing-masing. Manakala penggunaan ‘an (iaitu ‘daripada’ dalam sanad hadis) yang digunakan oleh Malik, Ibnu Syihab dan Ibnu Jubair, dihukumkan sebagai bersambung disebabkan perawi-perawi tersebut bukanlah bersifat mudallis (menyembunyikan keburukan sanad).

2. Kesemua perawinya memiliki sifat ‘adil dan hafiz. Berikut adalah sifat-sifat mereka di sisi ulama al-jarh wa al-ta’dil:

- ‘Abd Allah bin Yusuf: Thiqah. Mutqin.

- Malik bin Anas: Imam, Hafiz.

- Ibnu Syihab al-Zuhri: Faqih, Hafiz, disepakati kehebatan dan ketelitiannya.

- Muhammad bin Jubair: Thiqah.

- Jubair bin Mut’im: Seorang sahabat.

3. Tiada dalam sanad atau matan hadis sebarang ‘illah sama ada yang zahir atau tersembunyi.

Hukumnya:

Wajib beramal dengan hadis yang sahih berdasarkan ijmak ulama. Ia adalah hujah atau dalil daripada hujah-hujah syarak, tidak seharusnya bagi seorang muslim meninggalkannya.

Sumber-sumber hadis sahih:

Sumber-sumber hadis sahih cukup banyak, dan memadai di bawah ini disebutkan sumber-sumber yang hanya memuatkan hadis sahih semata-mata, iaitu:

1. Sahih al-Bukhari oleh al-Imam Muhammad bin Isma’il al-Bukhari (w. 256H).

2. Sahih Muslim oleh al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (w. 261H).

Kedua-dua kitab ini merupakan kitab yang paling utama bagi hadis sahih. Di samping itu terdapat sumber-sumber lain yang dalamnya terdapat banyak hadis sahih, di samping jenis-jenis hadis yang lain, contohnya:

1. Al-Muwatta’ oleh al-Imam Malik bin Anas (w. 179H).

2. Al-Musnad oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H).

3. Sunan Abu Daud oleh al-Imam Abu Daud Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani (w. 275H).

4. Sunan Ibnu Majah oleh al-Imam Muhammad bin Yazid bin Majah al-Qazwini (w. 273H atau 274H).

5. Sunan al-Termizi oleh al-Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Termizi (w. 279H).

6. Sunan al-Nasa’ie oleh al-Imam Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’ie (w. 303H).

7. Sahih Ibnu Khuzaimah oleh al-Imam Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (w. 311H).

8. Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih Muslim oleh al-Imam Abu ‘Awanah (w. 316H).

9. Sahih Ibnu Hibban oleh al-Imam Abu Hatim Muhammad bin Hibban al-Busti (w. 354H).

10. Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih al-Bukhari oleh al-Imam Abu Bakr al-Isma’ili (w. 371H).

11. Al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain oleh al-Imam Abu ‘Abdillah al-Hakim al-Naisaburi (w. 405H).

12. Al-Mustakhraj ‘Ala al-Sahihain oleh al-Imam Abu Nu’aim al-Asbahani (w. 430H).

Kebanyakan hadis-hadis dalam kitab-kitab ini adalah sahih, malah kebanyakannya tiada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, atau salah satu daripadanya.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 312]

Jumaat, 7 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadis 35: Gharib Nisbi atau Fard Nisbi (الغَرِيبُ النِسْبِيُّ أَوْ الفَرْدُ النِسْبِيُّ)

Hadis yang terdapat dalamnya sifat kebersendirian (tafarrud) dengan dinisbahkan kepada sudut tertentu, dan tidak kira apa jua sudut berkenaan.

Hadis ini juga dinamakan sebagai al-Gharib yang kebanyakan ulama lebih gemar menggunakan istilah ini.

Ibnu Hajar telah membahagikan al-Fard ini kepada empat bahagian dan perinciannya adalah seperti berikut:

Pertama: Tafarrud (bersendirian) daripada seorang kepada seorang.

Sebagai contoh:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, beliau berkata:

Telah menceritakan kepada kami Khallad bin Yahya, telah menceritakan kepada kami Abdul Wahin bin Aiman, daripada ayahnya, dia (ayahnya) berkata: Saya telah mendatangi Jabir, dan Jabir berkata:   

“Ketika berlakunya perang Khandak, sedang kami mengali parit, kami telah dibantutkan oleh sebiji batu yang besar dan keras. Para sahabat pergi berjumpa dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuk mengadu mengenai perkara tersebut. Mereka berkata: Inilah batu yang menghalang kami dalam parit. Lalu baginda bersabda: Saya akan turut (untuk memecahkan batu itu.”

Dalam hadis ini, hanya Abdul Wahid sahaja yang meriwayatkannya daripada ayahnya daripada hadis Jabir bin Abdillah. Sedangkan terdapat juga riwayat lain yang diriwayatkan daripada selain hadis Jabir.

Kedua: Tafarrud (bersendirian) ahli sesebuah negeri seorang perawi.

Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd Allah bin Buraidah daripada ayahnya, Buraidah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Kadi itu ada tiga. Dua orang pasti masuk neraka. Hanya seorang yang akan ke syurga. Adapun kadi yang berada di syurga itu adalah kerana dia telah melaksanakan hhukum yang benar dan dia masuk ke syurga.” 

[Hadis riwayat al-Bukhari]

Dalam sanad hadis ini kesemua perawinya adalah dari Khurasan. Al-Hakim berkata: “Perawi-perawinya semua adalah Marawizah (yakni orang-orang Marw di Khurasan).”

Ketiga: Tafarrud (bersendirian) seorang perawi daripada ahli sesebuah negeri.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:

“Jenis ini adalah bertentangan dengan jenis yang sebelumnya iaitu jenis kedua. Hadis jenis ini sangat sedikit. Gambarannya ialah seorang perawi bersendirian mengambil suatu hadis dari sekumpulan perawi sesebuah negeri yang hanya meriwayatkan hadis tersebut.”

Keempat: Tafarrud (bersendirian) ahli sesebuah negeri mengambil riwayat dari ahli sesebuah negeri yang lain.

Sebagai contoh:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim daripada hadis al-Husain bin Dawud al-Balkhi, beliau berkata:

Telah menceritakan kepada kami al-Fudhail bin ‘Iyadh, telah menceritakan kepada kami Mansur, daripada Ibrahim, daripada ‘Abd Allah bin Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Allah pernah berfirman kepada dunia: Wahai dunia, perhambakan dirimu kepada mereka yang menghambakan dirinya padaKu, dan jadikanlah mereka penat dan lelah sekiranya mereka menghamakan diri padamu.”

Al-Hakim berkata:

Hadis ini diriwayatkan oleh perawi-perawi Khurasan daripada perawi-perawi Mekah. Sesungguhnya al-Husain bin Dawud al-Balkhi dan al-Fudhail bin ‘Iyadh adalah perawi-perawi Mekah.”

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 390]