Rabu, 24 Julai 2019

Hadis Palsu: Bercakap Di Masjid Memakan Pahala


الحَدِيث فِي الْمَسْجِد يَأْكُل الْحَسَنَات كَمَا تَأْكُل الْبَهِيمَة الْحَشِيش

"Bercakap di dalam masjid akan memakan kebaikan (pahala) sebagaimana haiwan memakan rumput."

Dalam lafaz yang lain:

الكلام المباح في المسجد يأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب

"Bercakap perkara yang harus di dalam masjid memakan kebaikan (pahala) sebagaimana api memakan kayu bakar."

Hadis ini tidak ditemui asalnya oleh al-Hafiz al-'Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya'.  Menurut al-Fairuzzabadi juga, ia tidak ditemui asalnya. Hukum ini diikuti oleh para ulama selepasnya seperti Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Masnu' dan al-Asrar al-Marfu'ah, al-'Ajluni dalam Kasyf al-Khafa, al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu'at dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah.

Imam Ibnu 'Abidin al-Hanafi dalam Radd al-Muhtar  berpendapat bahawa harus untuk bercakap perkara yang mubah di dalam masjid berdasarkan perbuatan Ahli Suffah yang sentiasa melazimi masjid, tidur dan bercakap-cakap di dalamnya. Begitu juga Imam Ibnu Hazm dalam kitab al-Muhalla menghimpunkan dalil-dalil akan keharusan bercakap perkara yang tiada dosa padanya di dalam masjid.

Di dalam Sahih Muslim juga ada diriwayatkan bahawa para sahabat bersembang di dalam masjid selepas solat Subuh tentang kehidupan mereka sewaktu zaman jahiliyyah dan mereka saling ketawa.  Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam  pula tersenyum mendengar kisah mereka.

Manhaj Kitab Sahih Ibnu Hibban

Sahih Ibnu Hibban dalam versi asal

1 - Imam Ibnu Hibban (m. 354 H) menamakan kitab ini sebagai:

المسند الصحيح على التقاسيم والأنواع من غير وجود قطع في سندها ولا ثبوت جرح في ناقلها.

Tetapi seperti kebiasaan kitab hadis yang lain yang dinisbahkan kepada pengarangnya kitab ini terkenal sebagai Sahih Ibnu Hibban. 

2 - Di dalam kitab ini, beliau meletakkan 5 kategori besar (أقسام) iaitu:

Pertama: Perintah-perintah Rasulullah.

Kedua: Larangan-larangan Rasulullah.

Ketiga: Khabar (sirah) Rasulullah.

Keempat: Perkara-perkara yang diharuskan oleh Rasulullah. 

Kelima: Perbuatan Rasulullah yang khusus bagi baginda.

Di dalam kategori-kategori tersebut terkandung beberapa buah jenis (أنوع). 

Bagi setiap jenis tersebut dipecahkan kepada beberapa bab kecil yang yang dinamakan dengan (ذِكْر) lalu diletakkan beberapa buah hadis yang bersesuaian dengannya. 

Tujuan beliau adalah untuk memudahkan orang ramai menghafal hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam

Namun, penyusunan kitab ini dengan cara sedemikian sebenarnya lebih  menyukarkan orang awam untuk mengambil faedah daripada kitab ini kerana kesukaran mencari hadis yang diingini dalam kitab ini.

Oleh itu, sebahagian ulama mengambil inisiatif untuk menyusun semula kitab ini berdasarkan bab-bab fekah sebagaimana kitab al-Sunan, antaranya oleh al-Hafiz Mughlathai (m. 761 H), Ibnu Zuraiq (m. 803 H) dan Ibnu Balaban al-Farisi (m. 739 H) dengan kitab yang berjudul al-Ihsan Fi Taqrib Sahih Ibnu Hibban.

Kitab al-Ihsan yang menyusun semula hadis-hadis Sahih Ibnu Hibban

3 - Kitab ini mengandungi hadis sahih dan hasan kerana pengarangnya berpendapat bahawa tidak ada beza di antara hadis sahih dan hadis hasan. Hadis hasan di sisi beliau termasuk dalam kategori hadis sahih. Oleh itu, hadis-hadis dalam kitab ini sama ada ianya hadis sahih ataupun hadis hasan (menurut pandangan beliau) dan beliau tidak memasukkan hadis daif.

4 - Sebahagian ahli hadis menganggap beliau sebagai mutasahil oleh kerana beliau menamakan hadis hasan sebagai sahih. Demikian juga beliau dianggap mutasahil dalam menthiqahkan perawi hadis yang majhul walaupun beliau dianggap sebagai seorang mutasyaddid ketika mengkritik perawi hadis.

Rujukan:

1 - Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2 - Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Rabu, 17 Julai 2019

Manhaj Kitab Sunan al-Tirmizi


1 - Imam al-Tirmizi (m. 279 H) menamakan kitab ini sebagai ‘al-Jami’ al-Mukhtasar Min al-Sunan ‘An Rasulillah sallahu ‘alaihi wasallam Wa Ma’rifah al-Sahih Wa al-Ma’lul Wa Ma ‘Alaihi al-‘Amal’ tetapi ia lebih dikenali sebagai Sunan al-Tirmizi atau Jami’ al-Tirmizi, nisbah kepada pengarangnya.

2 - Kitab ini disusun berdasarkan bab-bab fiqh. Disebabkan itu ia juga dikenali sebagai al-Sunan. Selain itu beliau turut memuatkan hadis-hadis berkaitan manaqib, adab, tafsir dan lain-lain. Jumlah keseluruhan hadis-hadis hukum dalam kitab ini merangkumi separuh kitab ini.

3 - Beliau mengambil berat untuk mengulas tentang fiqh hadis (kefahaman dan hukum yang boleh diambil daripada hadis) dan mazhab-mazhab para ulama tentangnya serta ulasan kedudukan para perawi hadis.  

4 - Beliau tidak mengeluarkan hadis di dalam kitab ini melainkan hadis yang telah diamalkan oleh para fuqaha’ sebagaimana kata beliau: “Keseluruhan hadis yang terkandung dalam kitab ini ialah hadis yang telah diamalkan dan dengannya juga sebahagian ahli ilmu mengambil (hukum daripadanya) kecuali dua buah hadis....”

5 - Motivasi beliau untuk mengarang kitab ini adalah untuk mengumpulkan hadis-hadis dan athar-athar yang dijadikan dalil oleh fuqaha’, mengulas hadis-hadis tersebut, menyingkap ‘ilal (kecacatan) yang terkandung di dalamnya serta menjelaskan kesahihan dan kedaifan hadis tersebut.

6 - Beliau tidak melazimi untuk mengeluarkan kesemua hadis-hadis yang telah diamalkan kerana beliau mengarang kitab ini dalam bentuk ringkasan sebagaimana kata beliau di akhir kitab ini: “Dan telah aku susunkan kitab ini secara ringkas di mana aku berharap ada manfaat di dalamnya.”

7 - Beliau mengeluarkan sebahagian hadis yang ma’lul untuk menjelaskan ‘illahnya serta menyingkap sebab-sebab perlu ditolak hadis tersebut. Beliau juga mengeluarkan hadis-hadis yang sangat daif kerana ia membantu memahami hadis sahih atau hadis tersebut disokong oleh hadis sahih yang lain.

8 - Beliau tidak mengeluarkan di dalam kitab ini hadis-hadis perawi yang sangat daif kecuali beliau akan menjelaskan kedudukan hadis-hadis tersebut berdasarkan ijtihad beliau.

9 - Beliau melampirkan di akhir kitab ini sebuah kitab al-‘Ilal yang kemudiannya disyarahkan oleh Imam Ibnu Rajab al-Hanbali (m. 795 H) dengan sebuah syarahan yang lengkap. Kedua-dua kitab ini mengandungi faedah yang berharga yang diperlukan oleh para pengkaji hadis.

Rujukan:

- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Sabtu, 13 Julai 2019

Manhaj Kitab al-Mustadrak al-Hakim



- Dalam kitab ini Imam al-Hakim (m. 405 H) ingin mengikuti al-Syaikhain (Imam al-Bukhari dan Muslim) dengan mengeluarkan hadis-hadis yang menepati syarat kedua-dua mereka atau salah satu daripada mereka.

- Kitab ini dianggap sebagai kitab ‘al-Sahih’ kerana pengarangnya berusaha untuk mengumpulkan hadis-hadis sahih tambahan (zawaid) yang menepati syarat al-Syaikhain yang tidak dikeluarkan oleh kedua mereka dalam dua kitab Sahih mereka.

- Apabila Imam al-Hakim membawakan sesuatu hadis beliau akan mengulas: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat al-Syaikhain” atau “Sahih berdasarkan syarat al-Bukhari” atau “Sahih berdasarkan syarat Muslim”.

- Imam al-Hakim juga membawakan hadis-hadis yang lain yang menetapi syarat hadis sahih (walaupun tidak menurut syarat al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka).

- Dalam kitab ini juga Imam al-Hakim memuatkan hadis-hadis yang beliau sendiri berpandangan bahawa ia tidak sahih, tetapi beliau memuatkannya sebagai hadis sokongan (mutaba’at).

Jenis hadis dalam kitab al-Mustadrak

Dalam kitab ini, Imam al-Hakim menyebutkan tiga jenis hadis:

Jenis Pertama: Hadis sahih menurut syarat al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka dan mereka tidak mengeluarkannya dalam kitab Sahih mereka. Jumlah hadis jenis ini mencapai 2767 buah hadis.

Jenis Kedua: Hadis yang sahih di sisi beliau walaupun tidak menepati syarat al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka. Hadis ini kebiasaannya diulas oleh al-Hakim dengan katanya: “Sahih al-Isnad.” Jumlah hadis ini jenis ini mencapai 2735 buah hadis.

Jenis Ketiga: Hadis yang tidak sahih di sisi beliau dan beliau memperingatkan akan ketidaksahihan hadis tersebut.

- Imam al-Hakim masyhur sebagai seorang yang mutasahil (longgar) dalam menghukum kesahihan hadis. Disebabkan itu beliau dikritik oleh ramai ulama dan ahli hadis selepas beliau antaranya ialah al-Hafiz al-Zahabi dalam kitab beliau Talkhis al-Mustadrak. Terdapat banyak hadis yang disahihkan oleh al-Hakim tetapi menurut al-Hafiz al-Zahabi hadis tersebut adalah daif dan mungkar. Terdapat juga sekitar 100 buah hadis yang menurut al-Hafiz al-Zahabi merupakan hadis-hadis maudhu’.

Rujukan:

- Al-Wajiz Fi Ta’rif Kutub al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Manhaj Kitab Sunan al-Nasai’i


- Imam al-Nasa’ie (m. 303 H) menamakan kitab ini sebagai al-Mujtaba Min al-Sunan.

- Dikatakan bahawa kitab ini adalah ringkasan kepada kitab beliau al-Sunan al-Kubra. Tetapi yang tepatnya adalah kitab ini adalah kitab yang tersendiri yang tidak berkaitan dengan al-Sunan al-Kubra kerana penulisnya meletakkan riwayat-riwayat baru yang tidak terdapat dalam al-Sunan al-Kubra serta cara penyusunan dan tajuk-tajuk bab di dalamnya juga berbeza.

- Kitab ini dikenali sebagai al-Sunan al-Sughra untuk membezakannya dengan al-Sunan al-Kubra. Selain itu ia juga dikenali dengan nama Sunan al-Nasa’ie, nisbah kepada pengarangnya dan dengan nama inilah kitab ini lebih dikenali.

- Kitab ini mengandungi hadis-hadis sahih, hasan dan sedikit hadis daif. Di kalangan Sunan al-Arba’ah, kitab ini paling sedikit hadis daifnya dan paling sedikit para perawinya yang dikritik.

- Imam al-Nasa’ie tidak menjelaskan manhaj beliau dalam kitab ini tetapi berdasarkan penelitian, beliau ingin mengeluarkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah.

- Beliau sangat jarang mengeluarkan hadis perawi daif sebagai hadis utama. Beliau lebih mengutamakan mengeluarkan hadis dengan sanad yang kuat walaupun sanadnya lebih panjang meskipun beliau mempunyai hadis yang lain yang lebih pendek tetapi tidak kuat.

- Beliau tidak banyak menyebutkan hukum beliau terhadap hadis dalam kitab ini kecuali hanya beberapa tempat sahaja dalam kitab ini.

- Selain itu, beliau juga tidak banyak menyentuh tentang ‘illal yang mencacatkan kesahihan hadis. Meskipun begitu terdapat beberapa tempat yang beliau sebutkan tarjih beliau terhadap hadis yang berlaku khilaf antara riwayat marfu’ atau mauquf  dan mursal  atau mausul.

[Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri]

Isnin, 8 Julai 2019

Kenapa Sunan Ibnu Majah Termasuk Dalam Kutub al-Sittah?


- Sebagaimana yang diketahui umum, Sunan Ibnu Majah berada di tahap yang terbawah di kalangan Kutub al-Sittah.

- Ini kerana Imam Ibnu Majah (m. 273 H) banyak meriwayatkan hadis daripada perawi-perawi yang dituduh berdusta dan mencuri hadis seperti Habib bin Abi Habib, jurutulis Imam Malik (matruk, didustakan oleh Abu Daud dan sekumpulan ulama), al-‘Ala’ bin Zaidal (matruk, dituduh berdusta oleh Abu al-Walid), Daud bin al-Muhabbar (matruk, kebanyakan hadis dalam kitab al-‘Aql yang dia karang adalah palsu), Abdul Wahab bin al-Dhahhak (matruk, didustakan oleh Abu Hatim), Ismai’il bin Ziyad al-Sakuni (matruk, didustakan oleh ahli hadis), Abdul Salam bin Abi al-Janub (matruk) dan perawi-perawi yang lain.

- Kata al-Hafiz al-‘Alla’ie (m. 761 H): “Seharusnya kitab al-Darimi menjadi kitab yang keenam bagi lima kitab tersebut mengantikannya (Sunan Ibnu Majah). Ianya lebih sedikit perawi yang daif, sangat nadir hadisnya yang mungkar dan syaz. Walaupun di dalamnya ada hadis-hadis yang mursal dan mauquf, ia lebih aula daripada Sunan Ibnu Majah.”

- Sebahagian ulama pula seperti Razin al-Saraqusti (m. 525 H atau 535 H) dan Ibnu al-Athir (m. 606 H) dalam Jami’ al-Usul menjadikan al-Muwatta’ sebagai kitab yang keenam.

- Ulama pertama yang menjadikan Sunan Ibnu Majah sebagai kitab yang keenam ialah Ibnu Thahir al-Maqdisi (m. 507 H) dalam kitab al-Athraf dan Syurut al-Aimmah al-Sittah. Lalu diikuti oleh Abdul Ghani al-Maqdisi (m. 600 H) dalam kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal  yang kemudiannya diringkaskan oleh al-Mizzi (m. 742 H) dalam Tahzib al-Kamal.

- Mereka mendahulukan kitab Sunan Ibnu Majah berbanding al-Muwatta’ kerana hadis-hadis marfu’  tambahan (zawaid) yang terdapat dalam al-Muwatta’ adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan apa yang terdapat dalam Sunan Ibnu Majah. Mereka menggabungkan Sunan Ibnu Majah bersama Kutub al-Khamsah supaya lebih banyak hadis marfu’.

Rujukan:

- Al-Nukat ‘Ala Kitab Ibnu al-Solah, al-Hafiz Ibnu Hajar.

- Fath al-Mughith Syarah Bi Syarah Alfiyah al-Hadith, al-Hafiz al-Sakhawi.

Manhaj Kitab Musnad Ahmad


- Kitab ini dianggap dianggap kitab musnad yang paling besar dan paling sahih secara mutlak.

- Tidak ada kitab yang sebanding dengannya dari segi banyaknya riwayat dan baiknya susunannya.

- Tujuan Imam Ahmad menyusun kitab ini adalah untuk menghimpunkan hadis-hadis yang bersambung sanadnya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menjaga Sunnah seberapa yang boleh.

- Malangnya beliau meninggal dunia sebelum selesai meyunting kitab ini.

- Usaha beliau diteruskan oleh anaknya Abdullah (m. 290 H) yang memasukkan hadis-hadis yang beliau dengar daripada ayahnya yang tidak ada di dalam kitab Musnad yang asal. Begitu juga beliau menambah hadis-hadis yang beliau dengar daripada selain bapanya.

- Hadis-hadis tambahan ini dikenali sebagai Ziyadat Abdullah Fi al-Musnad. Anak beliau inilah punca terdapat banyak hadis-hadis daif dalam kitab ini.

- Sebahagian ulama berpendapat bahawa kitab ini mengandungi hadis-hadis sahih, hasan, daif dan sebilangan kecil hadis-hadis mungkar dan maudhu’.

- Kebanyakan hadis-hadis daif, mungkar dan maudhu’ adalah berpunca daripada penambahan anaknya, Abdullah dan Imam Ahmad juga menghimpunkan hadis-hadis yang masyhur yang beliau berhasrat untuk menyunting dan membuang sebahagiannya. Tetapi beliau meninggal dunia terlebih dahulu sebelum sempat menyempurnakan tugas ini.

- Meskipun begitu nisbah hadis-hadis daif dan mungkar dalam kitab ini sangatlah sedikit jika dibandingkan dengan hadis-hadis yang sahih dan hasan.

- Para pembaca kitab ini perlu ingat bahawa bukan semua riwayat Imam Ahmad semata-mata bahkan juga banyak penambahan anaknya serta sedikit penambahan oleh al-Hafiz Ahmad bin Ja’far al-Qathi’ie (m. 368 H) yang meriwayatkan kitab Musnad ini daripada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal.

- Jika sanad hadis dalam kitab ini menyebutkan: “Telah menceritakan kepada kami oleh Abdullah, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami oleh ayahku”...maka ini adalah hadis yang berada dalam kitab Musnad yang asal.

- Jika sanad hadis tersebut menyebutkan: “Telah menceritakan kepada kami oleh Abdullah, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami oleh Fulan” dan dinamakan fulan tersebut selain daripada nama ayahnya maka ini dianggap penambahan Abdullah bin Ahmad.

[Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri]

Manhaj Kitab Sunan Ibnu Majah


- Imam Ibnu Majah tidak menjelaskan syarat-syarat beliau ketika menyusun kitab ini tetapi berdasarkan gaya penyusunan kitab ini jelas kelihatan bahawa beliau berhasrat untuk mengumpulkan hadis-hadis hukum yang dijadikan hujah oleh fuqaha’ secara ringkas.

- Beliau tidak mensyaratkan hadis-hadis sahih sahaja, terutamanya apabila berkaitan dengan hadis-hadis fadhail.

- Beliau banyak meriwayatkan hadis daripada perawi-perawi matruk dan majhul.

- Disebabkan itu darjat kitab ini lebih rendah daripada baki Kutub al-Sittah yang lain.

- Disebabkan itu juga, sebahagian ulama mutaqaddimin tidak menganggap ia daripada kitab yang muktabar dalam hadis.

[Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri]

Baca juga:

Manhaj Kitab Sunan Abu Daud


- Imam Abu Daud mengeluarkan hadis-hadis hukum yang paling sahih yang beliau ketahui pada kebanyakan tempat dalam kitab ini. 

- Kadang kala beliau mengeluarkan hadis yang kurang sedikit kesahihannya dan beliau memasukkannya dalam sesuatu bab meskipun wujud hadis lain yang lebih sahih mungkin kerana kependekan sanad hadis tersebut.

- Beliau mengeluarkan hadis-hadis yang masyhur dan menjauhi hadis-hadis yang gharib.

- Beliau mengeluarkan hadis-hadis perawi yang daif selama mana perawi tersebut tidak disepakati ditinggalkan hadisnya (perawi matruk) oleh para imam hadis.

- Begitu juga beliau mengeluarkan hadis-hadis perawi daif dan majhul  sebagai hadis sokongan (mutaba’at dan syawahid).

- Beliau mengumpulkan hadis-hadis yang diamalkan oleh para fuqaha’ dan ahli fatwa dan hadis-hadis tersebut masyhur (dari segi bahasa) di kalangan mereka walaupun sebenarnya hadis tersebut adalah hadis ahad (dari segi istilah).

[Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri]

Para Ulama Bergolok Bergadai Untuk Ilmu

1 - Amir al-Mu'minin Fi al-Hadith Syu'bah bin al-Hajjaj berkata: 

"Aku menjual besen ibuku dengan harga tujuh dinar (untuk menampung belanja pengajianku)"

[Tazkirah al-Huffaz, al-Zahabi]

2 - Kata Abu Hatim al-Razi:

"Aku tinggal di Basrah selama lapan bulan iaitu ketika tahun 214 (Hijrah). Aku berhasrat untuk tinggal selama setahun (di situ). Wang belanjaku telah habis lalu aku menjual pakaian yang berada di badanku satu demi satu sehinggalah aku tidak mempunyai wang lagi (kerana habis pakaian yang telah dijual)."

3 - Abu Hatim al-Razi berkata lagi:

"Aku mengembara ke Mesir. Bilamana aku melihat banyaknya ilmu di situ aku berazam untuk tinggal di situ. Aku mengirim kepada seorang juru tulis di Mesir untuk menyalin bagiku kitab-kitab al-Syafi'e. Di Mesir aku telah beli dua helai pakaian yang aku ingin menjahit keduanya untuk diriku apabila aku sudah pulang ke negeriku kelak. Bilamana aku telah berazam untuk menyalin kitab-kitab al-Syafi'e, aku mendapati aku sudah tidak mempunyai wang lagi. Maka aku jual kedua-dua pakaian tersebut dengan harga 60 dirham dan aku beli kertas dengan harga 10 dirham. Aku berikan baki wang yang aku ada kepada juru tulis yang menyalin kitab-kitab al-Syafi'e untukku." 

[Al-Jarh Wa al-Ta'dil, Ibnu Abi Hatim]

4 - Syeikh Bakri al-Katib berkata ketika menceritakan biografi Syeikh Ahmad al-Hajjar:

"Beliau - semoga Allah merahmatinya - sangat suka memiliki kitab-kitab. Sehinggakan kami pernah mendengar (kisah) beliau terlihat sebuah kitab dijual dan tidak ada padanya wang. Beliau memakai beberapa helai pakaian ketika itu lalu beliau tanggalkan sebahagiannya dan beliau menjualnya. Beliau terus membeli kitab tersebut ketika itu juga."

[I'lam al-Nubala' Bi Tarikh Halab al-Syabha', Muhammad Raghib al-Tabbakh]

5 - Kata Abu Zaid al-Dabbagh ketika menceritakan biografi Abu Ja'far Ahmad al-Qusari (القصري):

"Beliau kadang-kadang menjual sebahagian pakaiannya dan membeli dengan wang tersebut kitab dan helaian kertas untuk menyalin kitab."

[Ma'alim al-Iman Fi Ma'rifah Ahl al-Qairawan, al-Dabbagh]

6 - Ali bin Harb berkata:

"Kami bertemu dengan Imam Zaid bin al-Hubbab al-Khurasani  (untuk menuntut ilmu). Beliau tidak mempunyai sebarang pakaian untuk bertemu dengan kami. Beliau menjadikan pintu sebagai penghadang antara kami dengannya. Beliau menyampaikan hadis kepada kami dari balik pintu tersebut."

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi]

 7 - 'Umar bin Hafs al-Asyqar berkata:

"Kami kehilangan Imam al-Bukhari ketika hari-hari kami mempelajari hadis di Basrah. Kami mencarinya dan kami mendapati beliau berada di dalam rumahnya dalam keadaan tidak berpakaian. Telah habis segala (hartanya) sehingga tidak tinggal apa pun. Kami lalu berkumpul dan menghimpunkan wang. Kemudian kami membelikan baginya pakaian dan memberikan kepadanya pakaian tersebut. Beliau lalu keluar untuk mengajarkan hadis kepada kami."

[Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi]

8 - Abu al-'Abbas al-Jurjani berkata: 

"Abu Ishaq al-Syirazi tidak memiliki sesuatu pun daripada perkara keduniaan. Kefakiran beliau sehingga ke tahap beliau tidak mempunyai makanan dan pakaian. Kami bertemu dengannya ketika beliau tinggal di al-Qathi'ah (sebuah tempat di Baghdad). Beliau bangun bertemu dengan kami dalam keadaan separuh berdiri. Beliau tidak berdiri betul kerana tidak berpakaian. Dibimbangi terlihat sesuatu (daripada auratnya)."

[Thabaqat al-Syafi'eyyah al-Kubra, al-Subki]