Ahad, 14 Disember 2025

Kisah Taubat Daud al-Ta'i

Terdapat dua versi tentang kisah taubat Daud al-Ta'i:

Versi Pertama

Imam Ibnu Qudamah meriwayatkan dalam kitab al-Tawwabin daripada al-Himmani yang berkata:

“Permulaan taubat Daud al-Ta'i adalah apabila beliau masuk ke tanah perkuburan, lalu beliau mendengar seorang wanita di sisi sebuah kubur berkata:

مُقِيمٌ إِلَىٰ أَنْ يَبْعَثَ اللَّهُ خَلْقَهُ 
لِقَاؤُكَ لَا يُرْجَىٰ وَأَنْتَ قَرِيبُ
تَزِيدُ بِلًى فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ 
وَتُنْسَىٰ كَمَا تَبْلَىٰ وَأَنْتَ حَبِيبُ

Engkau (ahli kubur) tetap di sini sehinggalah Allah membangkitkan makhluk-Nya.

Pertemuan denganmu tidak lagi diharapkan, sedangkan engkau begitu dekat.

Engkau semakin hancur (dimakan tanah) setiap hari dan malam.

Engkau dilupakan sepertimana engkau binasa, padahal engkau dahulu seorang kekasih.”

Versi Kedua

Imam Abu Nu'aim menyebutkan dalam Hilyah al-Auliya’ satu sebab lain bagi taubat Daud al-Ta’i:

“Sesungguhnya sebab (taubat) Daud al-Ta'i ialah, beliau biasa menghadiri majlis Abu Hanifah. Lalu Abu Hanifah berkata kepadanya: Wahai Abu Sulaiman, adapun peralatannya (ilmu), kita telah menguasainya.

Maka Daud berkata: Maka apa lagi yang tinggal?

Abu Hanifah berkata: Yang tinggal adalah beramal dengannya.

Daud al-Ta’i berkata: Maka jiwaku mula mendorongku ke arah beruzlah dan bersendirian. Lalu aku berkata kepada jiwaku: (Tidak akan aku benarkan engkau mengasingkan diri) sehinggalah engkau boleh duduk bersama mereka (ahli ilmu) tetapi tidak menjawab walau satu pun persoalan.

Maka Daud al-Ta’i duduk bersama mereka selama setahun sebelum mengasingkan diri.

Daud al-Ta’i berkata: Maka datanglah sesuatu persoalan, dan aku lebih berkeinginan untuk menjawabnya berbanding orang yang dahaga akan air, tetapi aku tidak menjawabnya.

Daud al-Ta’i berkata: Maka selepas itu, aku pun mengasingkan diri daripada mereka."

Daud al-Ta’i ingin melatih dirinya dengan ‘puasa’ yang paling sukar bagi seorang alim, iaitu ‘puasa’ daripada berbicara dan menonjolkan diri. Beliau tahu bahawa salah satu keseronokan terbesar seorang alim adalah menjawab soalan dan menunjukkan kepakarannya. Ini adalah pintu kepada riak, ujub (kagum pada diri sendiri), dan cinta kepada kemasyhuran.

_________________________________

Beliau ialah Daud bin Nusayr, Abu Sulaiman al-Ta'i al-Kufi.

Gelaran الطَّائِيِّ adalah nisbah kepada seorang tokoh bernama Tayy yang nama sebenarnya ialah Jalhamah bin Udad bin Zayd. Beliau adalah moyang kepada kabilah Tayy. Dinisbahkan kepadanya sekalian ramai manusia yang tidak terhitung banyaknya.

Daud al-Ta’i adalah antara orang yang melibatkan dirinya dengan ilmu, dan mempelajari Fiqh serta ilmu-ilmu lain. Beliau telah menuntut ilmu Fiqh daripada Abu Hanifah. Kemudian selepas itu, beliau memilih untuk beruzlah, dan lebih mengutamakan bersendirian dan bersunyi-sunyian, serta tekun beribadah dan bersungguh-sungguh padanya sehingga akhir hayatnya.

Imam Abu Nu'aim berkata: “Daud datang dari al-Sawad (kawasan luar bandar Iraq) dalam keadaan tidak mengerti (ilmu agama), maka beliau tidak henti-henti belajar dan beribadah sehinggalah beliau menjadi penghulu (ulama) di kalangan penduduk Kufah.”

Beliau datang ke Baghdad pada zaman khalifah al-Mahdi, kemudian kembali ke Kufah, dan di sanalah beliau meninggal dunia.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam kitab Taqrib al-Tahzib: "Daud bin Nusayr, Abu Sulaiman al-Ta'i, al-Kufi. Seorang yang thiqah (terpercaya), faqih (ahli fiqh), zahid (ahli zuhud). Dari tingkatan kelapan (iaitu: dari kalangan pengikut para Tabi'in). Meninggal dunia pada tahun 160 Hijrah, dan dikatakan: 165 Hijrah."

Antara kata-katanya: "Berpuasalah daripada dunia dan jadikanlah berbukamu padanya adalah kematian. Larilah daripada manusia sepertimana engkau lari daripada binatang buas. Bersahabatlah dengan orang-orang yang bertakwa jika engkau bersahabat, kerana sesungguhnya mereka adalah yang paling sedikit bebannya, dan paling baik pertolongannya. Janganlah engkau meninggalkan jemaah. Cukuplah ini bagimu jika engkau beramal dengannya."

Yusuf bin Asbath berkata: “Daud mewarisi dua puluh dinar, lalu beliau membelanjakannya dalam tempoh dua puluh tahun.”

Imam Abu Nu'aim berkata: “Daud biasa meminum al-fatit (roti yang dihancurkan dan dicampur air) dan tidak memakan roti (dalam bentuk kepingan). Beliau berkata: Antara mengunyah roti dan meminum bancuhan roti hancur, (ada masa untuk) membaca lima puluh ayat (al-Quran).

Pada suatu hari, seorang lelaki masuk menemuinya, lalu berkata: Sesungguhnya di bumbung rumahmu ada sebatang kayu rasuk yang telah patah.

Lalu Daud berkata: Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku telah berada di dalam rumah ini selama dua puluh tahun, aku tidak pernah memandang ke arah bumbung.

Mereka (para salaf) membenci pandangan yang sia-sia sepertimana mereka membenci percakapan yang sia-sia.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan