Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menyebutkan dalam kitab al-‘Ulama
al-Uzzab (hlm. 9-10):
Sebelum saya mengemukakan khabar-khabar (kisah para ulama
yang membujang) tersebut, saya rasa elok untuk membahaskan tentang justifikasi
yang menjadi sebab para ulama besar ini memilih untuk membujang, sekalipun
mereka mengetahui hukum-hakam perkahwinan dan kelebihannya, serta bahaya-bahaya
dan kesukaran-kesukaran hidup membujang, lebih-lebih lagi tiada nas sahih
daripada Syarak yang menggalakkan hidup membujang.
Maka, apakah yang mendorong mereka untuk meninggalkan
perkahwinan? Sedangkan mereka tidak jahil tentang hukum-hakam nikah dan segala
galakan berkaitan dengannya, bahkan para ahli fekah di kalangan mereka telah menegaskannya
dalam kitab-kitab dan karya-karya mereka.
Jawapan bagi keadaan mereka ini – dan Allah lebih mengetahui
- ialah ia merupakan suatu jalan (cara hidup) peribadi yang bersifat individu,
yang mereka pilih untuk diri mereka sendiri. Mereka membuat pertimbangan tentang
perkara tersebut dengan pandangan mata hati mereka yang khusus, antara kebaikan
perkahwinan dan kebaikan ilmu yang mereka tekuni. Lalu di sisi mereka, kebaikan
ilmu lebih utama daripada kebaikan perkahwinan untuk mereka. Maka, mereka
mendahulukan satu tuntutan ke atas tuntutan yang lain.
Mereka tidak pernah menyeru seorang pun untuk mencontohi
mereka dalam jalan ini, tidak pula mereka berkata kepada orang ramai: “Menumpukan
diri untuk ilmu adalah lebih baik daripada perkahwinan”, dan tidak juga “apa
yang kami amalkan adalah lebih baik daripada apa yang kamu amalkan”.
Mereka tidaklah mengikuti jalan sebahagian ahli hikmah dan
ahli falsafah dalam meninggalkan perkahwinan, yang berpendapat bahawa
mendapatkan anak adalah satu jenayah ke atasnya!
Ibn Khallikan berkata dalam Wafayat al-A'yan, dalam
biografi Abu al-'Ala' al-Ma'arri (Ahmad bin Abdullah), seorang penyair, ahli
bahasa dan ahli falsafah yang masyhur:
“Dan telah sampai kepadaku bahawa beliau berwasiat agar
ditulis di atas kuburnya bait syair ini:
هَذَا جَنَاهُ أَبِي عَلَيَّ وَمَا جَنَيْتُ عَلَى
أَحَدٍ
Inilah jenayah ayahku ke atasku, dan aku tidak berbuat
jenayah ke atas sesiapapun.
Bait syair ini berkaitan dengan kepercayaan para ahli
hikmah, kerana mereka berkata: Mewujudkan anak dan mengeluarkannya ke dunia ini
adalah satu jenayah ke atasnya, kerana dia akan terdedah kepada musibah dan
malapetaka.”
Jauh sekali mereka (para ulama) daripada semua ini.
Sebaliknya, mereka memilih untuk meninggalkan perkahwinan untuk diri mereka
sendiri sebagai satu pilihan peribadi, dan telah jelas bagi mereka jalan
keselamatan daripada bencana-bencana dan keburukan-keburukan hidup membujang,
dengan pemeliharaan yang Allah Taala kurniakan kepada mereka berupa takwa, iman
dan ilmu.
Tiada apa yang menjauhkan mereka daripada perkahwinan yang tertanam
dalam fitrah (manusia), menuju kepada kehidupan membujang yang diketahui akan
kesukaran dan kepayahannya, melainkan kerinduan yang semakin meluap-luap
terhadap ilmu. Ilmu yang kerananya semangat mereka berkobar-kobar dengan rasa
terikat, cinta, dan usaha memperolehinya, serta menghimpun, menyebar dan
mencatatnya, sehinggalah ilmu bagi mereka menjadi seperti roh bagi jasad, air
bagi dahan yang menghijau, dan udara bagi kehidupan manusia. Mereka tidak
sanggup berpisah daripadanya, dan tidak tahan untuk melepaskan peluang
memperoleh walau sebahagian kecil daripadanya yang mampu mereka peroleh. Maka,
ilmu bagi mereka berada di kedudukan makanan dan ubat sekaligus.
Mereka melihat perkahwinan - sekalipun dengan segala
kebaikan dan kelebihannya - sebagai satu faktor penghalang yang besar daripada
mencapai matlamat yang mulia dan tinggi ini, dan sebagai satu belenggu yang
menghalang mereka daripada berinteraksi dan menumpukan sepenuh jiwa raga kepada
ilmu dan pencapaiannya yang amat dicintai dan berharga.
Maka, mereka mendahulukan kebaikan yang lebih umum ke atas
kepentingan peribadi mereka secara umumnya, sebagai ijtihad daripada mereka
bahawa yang demikian itu lebih menguntungkan bagi mereka dari segi pencapaian (ilmu),
dan merupakan jalan yang lebih utama untuk menambah keredaan Allah. (Tamat
nukilan)
Kesimpulan:
1 - Keputusan para ulama untuk tidak berkahwin adalah satu
ijtihad peribadi yang mereka pilih untuk diri sendiri, dan mereka tidak pernah
menyeru orang lain untuk mencontohi mereka.
2 - Mereka membuat satu penilaian antara dua perkara yang
baik: kebaikan perkahwinan (mengikut fitrah dan sunnah) dan kebaikan menuntut
serta menyebarkan ilmu.
3 - Dalam pertimbangan peribadi mereka, kebaikan dan manfaat
menumpukan seluruh hidup untuk ilmu dianggap lebih utama dan lebih
menguntungkan untuk jalan mereka mencari keredhaan Allah.
4 - Alasan mereka bukanlah kerana pesimisme terhadap
kehidupan atau menganggap melahirkan anak sebagai satu "jenayah",
seperti pandangan sebahagian ahli falsafah.
5 - Pendorong utama mereka adalah kerinduan dan cinta yang
meluap-luap kepada ilmu, yang mengatasi tarikan fitrah untuk berkahwin.
6 - Mereka mampu menanggung kesukaran hidup membujang kerana
mendapat pemeliharaan khas daripada Allah melalui perisai takwa, iman, dan
kesibukan mereka yang penuh dengan ilmu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan