Isnin, 8 Disember 2025

Kenapa Ada Ulama Membujang?

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menyebutkan dalam kitab al-‘Ulama al-Uzzab (hlm. 9-10):

Sebelum saya mengemukakan khabar-khabar (kisah para ulama yang membujang) tersebut, saya rasa elok untuk membahaskan tentang justifikasi yang menjadi sebab para ulama besar ini memilih untuk membujang, sekalipun mereka mengetahui hukum-hakam perkahwinan dan kelebihannya, serta bahaya-bahaya dan kesukaran-kesukaran hidup membujang, lebih-lebih lagi tiada nas sahih daripada Syarak yang menggalakkan hidup membujang.

Maka, apakah yang mendorong mereka untuk meninggalkan perkahwinan? Sedangkan mereka tidak jahil tentang hukum-hakam nikah dan segala galakan berkaitan dengannya, bahkan para ahli fekah di kalangan mereka telah menegaskannya dalam kitab-kitab dan karya-karya mereka.

Jawapan bagi keadaan mereka ini – dan Allah lebih mengetahui - ialah ia merupakan suatu jalan (cara hidup) peribadi yang bersifat individu, yang mereka pilih untuk diri mereka sendiri. Mereka membuat pertimbangan tentang perkara tersebut dengan pandangan mata hati mereka yang khusus, antara kebaikan perkahwinan dan kebaikan ilmu yang mereka tekuni. Lalu di sisi mereka, kebaikan ilmu lebih utama daripada kebaikan perkahwinan untuk mereka. Maka, mereka mendahulukan satu tuntutan ke atas tuntutan yang lain.

Mereka tidak pernah menyeru seorang pun untuk mencontohi mereka dalam jalan ini, tidak pula mereka berkata kepada orang ramai: “Menumpukan diri untuk ilmu adalah lebih baik daripada perkahwinan”, dan tidak juga “apa yang kami amalkan adalah lebih baik daripada apa yang kamu amalkan”.

Mereka tidaklah mengikuti jalan sebahagian ahli hikmah dan ahli falsafah dalam meninggalkan perkahwinan, yang berpendapat bahawa mendapatkan anak adalah satu jenayah ke atasnya!

Ibn Khallikan berkata dalam Wafayat al-A'yan, dalam biografi Abu al-'Ala' al-Ma'arri (Ahmad bin Abdullah), seorang penyair, ahli bahasa dan ahli falsafah yang masyhur:

“Dan telah sampai kepadaku bahawa beliau berwasiat agar ditulis di atas kuburnya bait syair ini:

هَذَا جَنَاهُ أَبِي عَلَيَّ وَمَا جَنَيْتُ عَلَى أَحَدٍ

Inilah jenayah ayahku ke atasku, dan aku tidak berbuat jenayah ke atas sesiapapun.

Bait syair ini berkaitan dengan kepercayaan para ahli hikmah, kerana mereka berkata: Mewujudkan anak dan mengeluarkannya ke dunia ini adalah satu jenayah ke atasnya, kerana dia akan terdedah kepada musibah dan malapetaka.”

Jauh sekali mereka (para ulama) daripada semua ini. Sebaliknya, mereka memilih untuk meninggalkan perkahwinan untuk diri mereka sendiri sebagai satu pilihan peribadi, dan telah jelas bagi mereka jalan keselamatan daripada bencana-bencana dan keburukan-keburukan hidup membujang, dengan pemeliharaan yang Allah Taala kurniakan kepada mereka berupa takwa, iman dan ilmu.

Tiada apa yang menjauhkan mereka daripada perkahwinan yang tertanam dalam fitrah (manusia), menuju kepada kehidupan membujang yang diketahui akan kesukaran dan kepayahannya, melainkan kerinduan yang semakin meluap-luap terhadap ilmu. Ilmu yang kerananya semangat mereka berkobar-kobar dengan rasa terikat, cinta, dan usaha memperolehinya, serta menghimpun, menyebar dan mencatatnya, sehinggalah ilmu bagi mereka menjadi seperti roh bagi jasad, air bagi dahan yang menghijau, dan udara bagi kehidupan manusia. Mereka tidak sanggup berpisah daripadanya, dan tidak tahan untuk melepaskan peluang memperoleh walau sebahagian kecil daripadanya yang mampu mereka peroleh. Maka, ilmu bagi mereka berada di kedudukan makanan dan ubat sekaligus.

Mereka melihat perkahwinan - sekalipun dengan segala kebaikan dan kelebihannya - sebagai satu faktor penghalang yang besar daripada mencapai matlamat yang mulia dan tinggi ini, dan sebagai satu belenggu yang menghalang mereka daripada berinteraksi dan menumpukan sepenuh jiwa raga kepada ilmu dan pencapaiannya yang amat dicintai dan berharga.

Maka, mereka mendahulukan kebaikan yang lebih umum ke atas kepentingan peribadi mereka secara umumnya, sebagai ijtihad daripada mereka bahawa yang demikian itu lebih menguntungkan bagi mereka dari segi pencapaian (ilmu), dan merupakan jalan yang lebih utama untuk menambah keredaan Allah. (Tamat nukilan)

Kesimpulan:

1 - Keputusan para ulama untuk tidak berkahwin adalah satu ijtihad peribadi yang mereka pilih untuk diri sendiri, dan mereka tidak pernah menyeru orang lain untuk mencontohi mereka.

2 - Mereka membuat satu penilaian antara dua perkara yang baik: kebaikan perkahwinan (mengikut fitrah dan sunnah) dan kebaikan menuntut serta menyebarkan ilmu.

3 - Dalam pertimbangan peribadi mereka, kebaikan dan manfaat menumpukan seluruh hidup untuk ilmu dianggap lebih utama dan lebih menguntungkan untuk jalan mereka mencari keredhaan Allah.

4 - Alasan mereka bukanlah kerana pesimisme terhadap kehidupan atau menganggap melahirkan anak sebagai satu "jenayah", seperti pandangan sebahagian ahli falsafah.

5 - Pendorong utama mereka adalah kerinduan dan cinta yang meluap-luap kepada ilmu, yang mengatasi tarikan fitrah untuk berkahwin.

6 - Mereka mampu menanggung kesukaran hidup membujang kerana mendapat pemeliharaan khas daripada Allah melalui perisai takwa, iman, dan kesibukan mereka yang penuh dengan ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan