Ahad, 7 Disember 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (16) – Lafaz-lafaz Jarh dan Ta'dil dan Martabat-martabatnya

Para ulama yang pakar telah menetapkan lafaz-lafaz khusus dalam Jarh dan Ta'dil yang bersesuaian dengan keadaan perawi dari segi benar dan dustanya dan ini adalah kerana disebabkan kehalusan topik ini dan sukarnya untuk sampai kepada maksud yang dikehendaki.

Lafaz-lafaz Jarh dan Ta'dil adalah sangat banyak sehinggakan sukar untuk disenaraikan dan dihimpunkan. Ia juga mempunyai pelbagai martabat dan darjat. Sebagaimana ada antaranya yang difahami daripada bahasa, dan ada yang diketahui melalui penelitian dan kajian induktif, dan ada pula istilah-istilah khusus yang tidak dapat diketahui maknanya melainkan dengan nas (penyataan jelas) daripada pengucapnya sendiri atau daripada orang lain, dan lain-lain lagi.

Sesiapa yang meneliti kitab-kitab Jarh dan Ta'dil - khususnya yang berjilid-jilid tebal - akan melihat di dalamnya huraian bagi banyak ungkapan, atau penjelasan tentang martabat-martabatnya dari segi boleh diterima atau ditolak, atau disebut sebahagian daripada pembahagiannya. Ini sukar untuk diketahui oleh ramai orang. Oleh itu, timbullah keperluan yang mendesak untuk menetapkan kaedah-kaedah umum bagi martabat-martabat lafaz tersebut dan penjelasan hukum-hukumnya.

Maka datanglah imam bidang ini, Ibn Abi Hatim al-Razi (meninggal dunia pada tahun 327 H) dan beliau telah memperincikan tingkatan-tingkatan lafaz mereka dengan baik dan cemerlang.

Beliau diikuti oleh Imam Ibn al-Salah al-Syahrazuri (meninggal dunia pada tahun 643 H). Kemudian datanglah para imam selepas mereka seperti: Al-Hafiz al-Mu'arrikh (sejarawan) Syamsuddin al-Zahabi (meninggal dunia pada tahun 748 H), al-Hafiz Zainuddin al-'Iraqi (meninggal dunia pada tahun 806 H), al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (meninggal dunia pada tahun 852 H), dan al-Hafiz al-Mu'arrikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Sakhawi (meninggal dunia pada tahun 902 H), lalu mereka menambah atas apa yang telah disebutkan oleh Ibn Abi Hatim.

Cukup di sini hanya disebutkan pembahagian enam peringkat bagi lafaz-lafaz Jarh dan Ta'dil, serta martabat-martabatnya, menurut apa yang telah dipilih oleh al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullahu Ta'ala  yang telah menjadikan martabat-martabat Ta'dil sebanyak enam, dan martabat-martabat Jarh sebanyak enam. Pembahagian ini lebih mudah dalam menghukum sesuatu hadis.

Selepas ini akan disebutkan lafaz-lafaz bagi setiap martabat berserta hukumnya, bermula daripada martabat Ta'dil yang tertinggi.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan