Selasa, 9 Disember 2025

Kisah Taubat al-Fudhail bin ‘Iyadh

Terdapat dua versi tentang kisah taubat al-Fudhail bin ‘Iyadh:

Versi Pertama

Imam Ibnu Qudamah meriwayatkan dalam kitab al-Tawwabin daripada Ali bin Khasyram yang berkata:

“Telah mengkhabarkan kepadaku seorang lelaki dari kalangan jiran al-Fudhail bin 'Iyadh, dia berkata:

Dahulu al-Fudhail merompak di jalanan seorang diri.

Maka pada suatu malam, dia keluar untuk merompak, lalu tiba-tiba dia bertemu dengan sebuah kafilah yang telah sampai kepadanya pada waktu malam.

Lalu sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: Lencongkanlah kita ke kampung ini, kerana di hadapan kita ada seorang lelaki yang merompak di jalanan, yang dikenali sebagai: al-Fudhail.

Maka al-Fudhail mendengarnya, lalu dia gementar dan berkata: Wahai kaum! Akulah al-Fudhail, teruskanlah perjalanan. Demi Allah, sesungguhnya aku akan bersungguh-sungguh untuk tidak lagi menderhakai Allah selama-lamanya.

Lalu dia kembali (bertaubat) daripada apa yang dilakukannya sebelum ini.”

Diriwayatkan dari jalan (riwayat) yang lain bahawa beliau telah melayani mereka sebagai tetamu pada malam itu dan berkata: "Kamu semua selamat daripada al-Fudhail."

Beliau keluar mencari makanan ternakan untuk mereka, kemudian beliau kembali lalu mendengar seorang qari membaca:

 ﴿أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ﴾.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan Allah. (Surah al-Hadid, ayat 6)

Beliau berkata: "Bahkan, demi Allah, sesungguhnya masanya telah tiba."

Maka inilah permulaan taubatnya.

Versi Kedua

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan dalam Tahzib al-Tahzib satu sebab lain bagi taubatnya, lalu beliau berkata:

“Al-Fadl bin Musa berkata:

Dahulu al-Fudhail bin 'Iyadh adalah seorang perompak yang merompak di jalanan antara Abiward (Turkmenistan) dan Sarakhs (Iran).

Sebab taubatnya ialah beliau jatuh cinta dengan seorang gadis. Maka ketika beliau sedang memanjat dinding untuk menemuinya, tiba-tiba beliau mendengar seorang qari membaca:

﴿أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ﴾.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan Allah. (Surah al-Hadid, ayat 6)

Apabila beliau mendengarnya, beliau berkata: Bahkan, wahai Tuhanku, sesungguhnya masanya telah tiba.

Lalu beliau berpatah balik. Maka malam itu membawanya berlindung di sebuah runtuhan, dan ternyata di dalamnya terdapat sekumpulan musafir. Lalu sebahagian mereka berkata: Mari kita berangkat, dan sebahagian yang lain berkata: (Tunggu) sehingga pagi, kerana Fudhail ada di jalanan dan akan merompak kita.

Fudhail berkata: Maka aku berfikir, aku berkata (kepada diriku): Aku berusaha pada waktu malam dalam melakukan maksiat, dan sekumpulan orang Islam di sini pula takut kepadaku. Aku tidak melihat Allah membawaku kepada mereka melainkan supaya aku insaf. Ya Allah, sesungguhnya aku telah bertaubat kepada-Mu, dan aku menjadikan taubatku ini dengan menetap di Baitul Haram (Mekah)."

___________________

Beliau ialah al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas'ud bin Bisyr al-Tamimi al-Yarbu'i, seorang zahid yang masyhur. 

Beliau berasal dari Khurasan, dan menetap di Mekah. 

Beliau seorang yang thiqah (terpercaya), ahli ibadah, seorang imam, dari kalangan Tabi’ Tabi'in. 

Beliau berguru dengan beberapa orang ulama seperti Ja’far al-Sadiq, al-A’masy, Laith bin Sa’ad, Ibnu Abi Laila dan lain-lain.

Murid beliau seperti Imam al-Syafi’i, Abdullah bin al-Mubrak, Abdul Rahman bin Mahdi, Sufyan bin ‘Uyainah, al-Sari al-Saqti dan lain-lain.

Abdullah bin al-Mubarak pernah berkata: "Tidak ada lagi yang tinggal di muka bumi ini, pada pandanganku, orang yang lebih utama daripada al-Fudhail bin 'Iyadh."

Muhammad bin 'Abduwaih berkata tentangnya: "Kami, apabila keluar bersama al-Fudhail mengiringi jenazah, beliau tidak henti-henti memberi nasihat, mengingatkan dan menangis, seolah-olah ingin mengucapkan selamat tinggal kepada para sahabatnya dan akan berangkat ke akhirat, sehinggalah sampai ke perkuburan. 

Apabila tiba di sana, beliau akan duduk, maka seolah-olah beliau duduk di antara orang-orang yang telah mati kerana kesedihan dan tangisan, sehinggalah beliau bangun dan seolah-olah beliau telah kembali dari akhirat lalu menceritakan tentangnya."

Antara ucapan beliau yang masyhur ialah: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak, dan beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas ialah: Allah menyelamatkanmu daripada kedua-duanya."

Beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 187 Hijrah, dan dikatakan sebelum itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan