Selasa, 13 Ogos 2013

Dr Nuruddin ‘Itr

Kelahiran

Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 28 April 1937 dalam keluarga yang kuat berpegang dengan agama. Bapanya selalu membawa beliau menghadiri pengajian para ulama.

Pengajian

Beliau menyelesaikan pengajian peringkat menegah di Halab pada tahun 1954M, kemudian beliau menyambung pengajian di Universiti al-Azhar. Beliau kemudiannya menjadi guru Pendidikan Islam di Halab pada tahun 1958M. Seterusnya, beliau menyambung pengajian di peringkat kedoktoran (PhD) di Kuliah Usuluddin, pengkhususan dalam bidang tafsir dan hadith di Universiti al-Azhar pada tahun 1964M.

Guru-Guru

Antara guru-guru beliau ialah Syeikh Muhammad Raghib al-Thabbakh, Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin, Syeikh Abdullah Sirajuddin, Syeikh Abdul Wahab Abdul Lathif, Syeikh Muhammad Muhammad al-Samahi, Syeikh Muhammad Abu Syahbah dan Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid. Manakala guru ijazah beliau pula ialah Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki, Syeikh Habiburrahman al-A’zhami, Syeikh Muhammad al-Makki al-Kattani dan lain-lain.

Pekerjaan

Beliau pernah bertugas sebagai ketua bahagian Ulum al-Quran dan as-Sunnah di Kuliah Syariah di Universiti Damsyik dan Professor  bidang Hadith dan Ulum Hadith di beberapa buah universiti yang lain.

Hasil Karya

Beliau juga telah menulis lebih daripada 50 buah buku dan banyak buku beliau dijadikan sebagai silibus pengajian di beberapa buah universiti, antaranya:

1 - Manhaj Al-Naqd Fi 'Ulum Al-Hadith.

2 - I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam.

3 - Lamahat Mujazah Fi Usul 'Ilal al-Hadith.

4 - Usul al-Jarh Wa al-Ta'dil Wa 'Ilm al-Rijal.

5 - Manahij al-Muhaddithin al-'Ammah Fi al-Riwayah Wa al-Tasnif.

6 - Al-Imam al-Termizi Wa al-Muwazanah Baina Jami'ihi Wa Baina al-Sahihain (Tesis PhD beliau).

7 - Dirasat Tathbiqiyyah Fi al-Hadith al-Nabawi.

8 - Al-Hajj Wa al-Umrah Fi al-Fiqh al-Islami.

9 - Muhadharat Fi Tafsir al-Quran al-Karim.

10 - Ulum al-Quran al-Karim.

11 - Al-Quran al-Karim Wa al-Dirasat al-Adabiyyah.

12 - Al-Mu'amalat al-Masrafiyyah wa al-Ribawiyyah wa 'Ilajuha fi al-Islam.

13 - Abghd al-Halal.

14 - Hadyu al-Nabi Muhammad fi al-Solawat al-Khassah.

15 - Maza 'an al-Mar'ah.

16 - Fikr al-Muslim Wa Tahdiyat al-Alf al-Thalithah.

Hasil Tahqiq

Beliau juga ada menyemak dan menyunting beberapa buah kitab, antaranya:

1 – Muqaddimah Ibnu al-Solah.

2 – Nuzhah Al-Nazar Fi Taudih Nukhbah Al-Fikar karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani.

2 – Al-Rihlah Fi Thalab al-Hadith karangan al-Khatib al-Baghdadi.

3 – Syarah 'Ilal Al-Termizi karangan Ibnu Rejab al-Hanbali.

4 –  Al-Mughni Fi al-Dhu’afa’ karangan al-Hafiz al-Zahabi.

5 – Irsyad Thulab al-Haqaiq Fi Ma'rifah Sunan Khair al-Khalaiq karangan Imam al-Nawawi.

Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada 23 September 2020 ketika berusia 83 tahun. Semoga Allah merahmati beliau atas jasa beliau terhadap ilmu, khususnya ilmu hadis. Amin.

Ilmu Mustholah Hadith siri 2

Ringkasan Sejarah Munculnya Ilmu Mustholah Hadith dan Perkembangannya

Sesiapa yang melakukan kajian secara mendalam akan mendapati bahawa dasar-dasar dan asas-asas penting bagi ilmu riwayat dan penyampaian berita dijumpai dalam al-Quran dan as-Sunnah. Dalam al-Quran dijumpai firman Allah S.W.T :

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik yang membawa berita, maka periksalah dengan teliti.” (Surah al-Hujarat ayat 6)

Sedangkan dalam as-Sunnah, Rasulullah S.A.W bersabda :
“Semoga Allah mencerahkan wajah seseorang yang mendengar dari kami suatu berita, lalu ia sampaikan berita itu sebagaimana yang ia telah dengar. Dan mungkin orang yang menerima berita itu lebih faham daripada orang yang mendengarnya.” (Hadith riwayat at-Termizi)

Dalam riwayat yang lain dikatakan :

“Dan mungkin orang yang membawa berita itu lebih faham daripada orang yang menerima berita itu. Dan mungkin pula orang yang membawa berita itu kurang memahami sebagaimana orang yang menerima berita itu.” (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Termizi dan Ibnu Majah)

Pada ayat al-Quran dan hadith tersebut terdapat prinsip yang tegas dalam mengambil suatu berita dan cara penerimaannya iaitu dengan cara menyelidiki, mencermatinya dan mendalaminya sebelum menyampaikan kepada orang lain.

Dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W tersebut, para sahabat telah menetapkan ketetapan-ketetapan tertentu dalam menyampaikan  dan menerima berita, terutamanya jika mereka meragukan kejujuran pembawa berita tersebut. Berdasarkan hal tersebut, nampaklah kepentingan isnad dalam menerima atau menolak sesuatu berita. Di dalam pendahuuluan kita Sahih Muslim, dipetik kata-kata Ibnu Sirin :

“Pada awalnya mereka(para sahabat) tidak pernah menanyakan tentang isnad, namun setelah terjadinya peristiwa fitnah, maka mereka berkata : “Sebutkan kepada kami orang-orang yang meriwayatkan hadith kepadamu.” Apabila orang-orang yang meriwayatkan hadith tersebut merupakan ahli sunnah, maka mereka akan mengambil hadithnya. Jika orang-orang yang meriwayatkan hadith tersebut merupakan ahli bidaah, makan mereka tidak akan mengambil hadithnya.”

Berdasarkan hal ini, maka sesuatu berita tidak boleh diterima kecuali setelah diketahui sanadnya. Oleh sebab itu, muncullah ilmu jarh wa ta’dil(ilmu menilai perawi hadith) ilmu mengenai ucapan perawi hadith, ilmu mengenai cara mengetahui bersambung(muttasil) atau terputusnya(munqati’) sanad dan ilmu mengenai kecacatan yang tersembunyi dalam hadith(illal).

Kemudian para ulama dalam bidang itu semakin banyak, sehinggah muncul pelbagai perbahasan di dalam cabang ilmu yang berkaitan dengan hadith, baik dari segi kedhabitannya, cara menerima dan menyampaikan hadith, ilmu tentang hadith nasakh dan mansukh, ilmu tentang hadith gharib dan lain-lain. Semua itu masih disampaikan oleh ulama secara lisan.

Lalu, masalah itu semakin berkembang dan lama kelamaan ilmu hadith ini mula ditulis dan dibukukan, akan tetapi masih berselerak di berbagai tempat di dalam buku-buku lain yang bercampur dengan ilmu-ilmu yang lain seperti usul fiqh, fiqh dan ilmu hadith. Contohnya kitab ar-Risalah dan al-Umm karya Imam asy-Syafi’e.

Akhirnya, ilmu ini semakin matang, mencapai puncaknya dan memiliki istilah yang tersendiri yang terpisah dari ilmu-ilmu yang lain. Ini terjadi pada abad ke-empat hijrah. Para ulama menyusun ilmu mustholah hadith dalam kitab yang tersendiri. Orang yang pertama yang menyusun kitab dalam bidang ini adalah Qadhi abu Muhammad Hasan bin Abdul Rahman bin Khalad ar-Ramahurmuzi(wafat 360H), iaitu kitab al-Muhadith al-Fashil baina ar-Rawi wa al-Wa’i.

Rujukan 

Taisir Mustholah al-Hadith karya Dr Mahmud Thohan