Memaparkan catatan dengan label Tasawuf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tasawuf. Papar semua catatan

Khamis, 27 November 2025

Kefahaman Sahih Tentang Tasawuf

Definisi Tasawuf Menurut Ahli Sunnah

Ilmu Tasawuf di sisi Ahli Sunnah ialah: 

1 - Ilmu yang dengannya diketahui akan keelokan hati dan seluruh pancaindera.

2 - Mengkhususkan hati untuk Allah Taala dan berpaling daripada apa yang selain-Nya.

3 - Mengosongkan diri daripada akhlak yang tercela dan menghiasi diri dengan akhlak yang terpuji.

Takrif-takrif ini serta yang lainnya, kesemuanya berkisar pada satu makna.

Maksudnya adalah menyelidiki tentang apa yang Allah bukakan ke atas hati berupa pengetahuan-pengetahuan (makrifat) dan keadaan-keadaan (ahwal) yang menjadikan iman lebih kukuh dan keyakinan lebih teguh, sehinggalah seorang mukmin itu menyembah Tuhannya seolah-olah dia melihat-Nya, atau sekurang-kurangnya dia merasakan pemerhatian Allah terhadapnya dan pengetahuan-Nya atas segala keadaannya.

Tasawuf Tidak Keluar Daripada Ajaran al-Quran dan Sunnah

Takrif ini, sebagaimana yang boleh dilihat, tidak keluar daripada lingkungan al-Quran dan Sunnah, bahkan ia adalah sebahagian daripada apa yang terkandung di dalam kedua-duanya.

Firman Allah Taala:

 يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah.”

Iaitu: cahaya di dalam hati yang dengannya dapat dibezakan antara yang hak dan yang batil. (lihat Tafsir Ibn Juzayy).

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ذَاقَ طَعْمَ الْإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا

“Telah merasai kelazatan iman, sesiapa yang reda Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Rasul.”

Diriwayatkan oleh Muslim (34) dan selainnya.

Penyelewengan Dinisbahkan kepada Tasawuf

Adapun apa yang menyalahi al-Quran dan Sunnah, maka ia ditolak walau siapa pun yang mengatakannya. Sesungguhnya sebahagian manusia telah membuat-buat dusta ke atas kaum Sufi, dan sebahagian orang-orang jahil telah menisbahkan diri mereka kepada mereka. Sesiapa yang mencari kebenaran, dia akan menemuinya, insya-Allah.

Pandangan Ulama yang Benar: Tasawuf Mengikuti Manhaj Salaf

Adapun orang-orang yang benar lagi ahli ilmu, maka mereka memandang Tasawuf sebagai mengikuti manhaj Salaf dan berakhlak dengan akhlak mereka. Antara akhlak mereka ialah:

1 - Mencontohi Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam dan para Sahabatnya yang mulia kerana sesungguhnya akhlak baginda sallahu ‘alaihi wasallam adalah sebaik-baik dan seafdal-afdal akhlak.

Firman Allah Taala:

 وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

“Bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Para Sahabat yang mulia adalah murid-muridnya, mereka dididik di bawah didikan baginda. Tidak tersembunyi kelebihan mereka bagi orang yang insaf. Sesungguhnya Allah Taala telah berfirman tentang mereka:

أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلْكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْۖ تَرَىٰهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنًاۖ سِيمَاهُمْ فِى وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ ٱلسُّجُودِۚ

“Mereka bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya. Tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.”

Telah dipelihara sirah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan sirah para sahabatnya untuk menjadi contoh bagi akhlak yang mulia dan perjalanan hidup yang terpuji.

2 - Al-Hilm: iaitu sabar dan menanggung kesukaran dalam mentaati Allah Taala dan beribadah kepada-Nya, merangkumi (menuntut) ilmu, beramal, berjihad, dan menentang hawa nafsu dan syaitan, berserta memiliki kewibawaan dan tidak bertindak melulu atas sebarang sebab.

3 - Berpegang teguh pada kebenaran: Kebenaran itu adalah apa yang ditunjukkan oleh Kitab Allah atau Sunnah Nabi-Nya sallahu ‘alaihi wasallam.

Firman Allah Taala:

وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْۖ

“Dan katakanlah: Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu.”

Dan firman Allah Taala:

ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْمُمْتَرِينَ

“Kebeneran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.”

Dan firman Allah Taala:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُواْۚ

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarangnya kamu maka jauhilah ia.”

Maka apa yang diperoleh oleh kaum Salaf berupa kebaikan di dunia dan akhirat adalah disebabkan oleh pegangan mereka kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Apa yang menimpa kaum Khalaf (generasi terkemudian) berupa keburukan-keburukan, maka puncanya adalah bidaah-bidaah yang muncul dan diikuti.

Firman Allah Taala:

وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًا

“Dan janganlah engkau menurut orang yang Kami telah lalaikan hatinya daripada mengingati Kami, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui batas.”

Maka sesiapa yang menghendaki kebaikan, hendaklah dia berpegang dengan manhaj Salafus Soleh dalam ikutan mereka akan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Sumber:

Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid – Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.



Sabtu, 22 November 2025

Imam al-Syafi’i Mencela Ahli Sufi dan Tasawuf?

Telah diriwayatkan daripada Imam al-Syafi'i kata-kata yang zahirnya mencela tasawuf.

Al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitabnya Manaqib al-Syafi'i, dengan sanadnya daripada Imam al-Syafi'i, beliau berkata:

"Sekiranya seorang lelaki itu bertasawuf pada permulaan siang, tidak akan datang kepadanya waktu Zohor melainkan engkau akan mendapatinya seorang yang bodoh."

Al-Baihaqi juga meriwayatkan dengan sanadnya kepada Imam al-Syafi'i, beliau berkata:

"Aku tidak pernah melihat seorang sufi yang berakal sama sekali melainkan Muslim al-Khawwas."

Al-Baihaqi Menjelaskan Maksud Sebenar Imam al-Syafi’i

Al-Baihaqi berkata selepas meriwayatkannya: "Sesungguhnya beliau (al-Syafi'i) bermaksud orang yang masuk ke dalam golongan sufi dan berpada dengan nama tanpa makna, dan dengan rupa bentuk tanpa hakikat, dan duduk daripada bekerja (tidak berusaha mencari rezeki), dan meletakkan beban tanggungannya ke atas kaum Muslimin, dan tidak mempedulikan mereka, dan tidak menjaga hak-hak mereka, dan tidak menyibukkan diri dengan ilmu mahupun ibadat sebagaimana yang disifatkannya di tempat yang lain.”

Imam al-Syafi'i berkata: Seorang sufi tidak menjadi sufi sehinggalah ada padanya empat sifat: pemalas, kuat makan, kuat tidur, dan banyak menyibuk (fudul)."

Imam al-Baihaqi berkata: "Sesungguhnya beliau bermaksud dengan (kata-kata) itu adalah celaan terhadap mereka yang bersifat dengan sifat ini, [bukan mereka yang] suci (jiwanya) dalam (jalan) tasawuf dengan benar-benar bertawakal kepada Allah 'Azza wa Jalla, dan mengamalkan adab-adab syariah dalam muamalahnya dengan Allah 'Azza wa Jalla dalam ibadat, dan muamalahnya dengan manusia dalam pergaulan. Sesungguhnya telah diriwayatkan daripadanya bahawa beliau bergaul dengan mereka dan mengambil ilmu daripada mereka... Dan beliau berkata: Aku bersahabat dengan golongan sufi selama sepuluh tahun..."

Al-Baihaqi berkata: "Telah sampai kepadaku (khabar) bahawa beliau melihat daripada sebahagian mereka yang menamakan diri dengan nama sufi perkara yang dibencinya, maka keluarlah kata-katanya itu dalam mencela orang-orang yang seumpamanya."

Imam al-Syafi’i Memuji Ahli Sufi

Ibn al-Qayyim dalam Madarij al-Salikin menyebutkan:

“Al-Syafi'i radhiyallahu 'anhu berkata: Aku bersahabat dengan golongan sufi, maka aku tidak mendapat manfaat daripada mereka melainkan dengan dua kalimah, aku mendengar mereka berkata: ‘Masa adalah pedang, jika engkau tidak memotongnya, nescaya ia akan memotongmu’, dan 'Nafsu, jika engkau tidak menyibukkannya dengan kebenaran, nescaya ia akan menyibukkanmu dengan kebatilan'."

Ibn al-Qayyim berkata: "Alangkah hebatnya dua kalimah itu, betapa besar manfaatnya dan betapa padat maknanya, serta betapa ia menunjukkan kepada tingginya cita-cita pengucapnya dan kewaspadaannya. Memadailah dalam hal ini pujian al-Syafi'i ke atas satu golongan yang mana inilah kadar (nilai) kata-kata mereka."

Al-Suyuti berkata dalam Ta'yid al-Haqiqah al-'Aliyyah:

“Imam al-Syafi'i rahimahullah Taala berkata: "Aku bersahabat dengan golongan sufi, maka aku tidak mendapat faedah daripada mereka kecuali dua huruf, dan dalam satu riwayat, kecuali tiga kalimah: Kata-kata mereka: 'Masa adalah pedang, jika engkau tidak memotongnya, nescaya ia akan memotongmu', dan kata-kata mereka: 'Nafsu kamu, jika engkau tidak menyibukkannya dengan kebenaran, nescaya ia akan menyibukkanmu dengan kebatilan', dan kata-kata mereka: 'Ketiadaan (harta/dunia) adalah pelindung (daripada maksiat/kelalaian)'."

Dalam Kasyf al-Khafa' wa Muzil al-Ilbas oleh al-'Ajluni: “Al-Syafi'i berkata: Dijadikan aku mencintai tiga perkara daripada dunia kamu: Meninggalkan takalluf (memberat-beratkan diri), bergaul dengan makhluk dengan lemah lembut, dan menuruti jalan ahli tasawuf."

Sumber:

Masail Fi al-Tasawwuf - Abdul Fatah bin Soleh al-Yafi'i.

Jumaat, 7 November 2025

Cara Mengenal Dosa Besar

 Dosa besar adalah apa yang terdapat padanya salah satu daripada sifat-sifat berikut:

1 - Apa yang datang nas (dalil) yang menyatakan ia adalah dosa besar, seperti menderhakai kedua-dua ibu bapa.

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Dosa-dosa besar ialah: Menyekutukan Allah, menderhakai kedua-dua ibu bapa, membunuh jiwa, dan sumpah yang dusta.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6298)

Terdapat hadis-hadis lain yang menyebutkan dosa-dosa selain ini dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada dosa-dosa besar.

2 - Apa yang Allah tetapkan ke atasnya hukuman had (hudud), seperti mencuri.

Allah Taala berfirman: Dan orang lelaki yang mencuri serta orang perempuan yang mencuri, maka potonglah tangan mereka berdua. [Al-Ma'idah: 38]

3 - Apa yang Allah Taala ancam ke atasnya dengan azab di akhirat, seperti memakan harta anak yatim tanpa hak.

Allah Taala berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala. [An-Nisa': 10]

4 - Apa yang pelakunya dilaknat, seperti riba.

Daripada Jabir radhiyallahu 'anhu, beliau berkata: ((Rasulullah telah melaknat pemakan riba, pemberi makan riba, penulisnya, dan kedua-dua saksinya, dan baginda bersabda: Mereka semua adalah sama.” (Riwayat Muslim, no. 1598)

5 - Apa yang Allah ancam pelakunya dengan kemurkaan, seperti lari dari medan pertempuran di mana orang Islam memerangi orang kafir.

Allah Taala berfirman: Dan sesiapa yang pada ketika itu membelakangi mereka (melarikan diri), kecuali kerana muslihat peperangan, atau kerana hendak bergabung dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya ia telah kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam dan amatlah buruknya tempat kembali itu.” [Al-Anfal: 16]

6 - Apa yang pelakunya disifatkan sebagai fasik secara nas, iaitu dalam al-Quran atau Sunnah, seperti menuduh perempuan yang terpelihara kehormatannya (dengan tuduhan berzina), dan berhukum dengan selain apa yang Allah turunkan.

Allah Taala berfirman: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka itulah orang-orang yang fasik.” [An-Nur: 4],

Allah Taala berfirman: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [Al-Ma'idah: 47]

Sumber:

Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Syarh Jauharah Al-Tauhid – Syeikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudhah.

Sabtu, 23 Ogos 2025

Makna Istighfar dan Gambaran Istighfar Salafus Soleh

1 - Zunnun al-Misri berkata:

“Istighfar itu menghimpunkan beberapa makna:

i) Penyesalan atas dosa yang telah lalu.

ii) Keazaman untuk berhenti (daripada dosa).

iii) Menunaikan kewajipan Allah yang telah engkau sia-siakan.

iv) Memulangkan hak-hak yang dizalimi pada harta dan maruah dan berdamai (memohon kemaafan) mengenainya.

v) Meluluhkan setiap daging dan darah yang tumbuh daripada sumber yang haram.

vi) Merasakan peritnya ketaatan sebagaimana engkau pernah merasai kemanisan maksiat."

2 - Al-Ahnaf bin Qais berkata: "Ya Allah, jika Engkau mengampuniku, maka Engkaulah yang selayaknya berbuat demikian dan jika Engkau mengazabku, maka akulah yang selayaknya (menerima azab) itu."

3 - Riyah al-Qaisi berkata: "Aku mempunyai empat puluh lebih dosa dan aku telah memohon ampun bagi setiap dosa itu sebanyak seratus ribu kali."

4 - Rabi'ah al-Syamiyyah berkata: "Aku memohon ampun kepada Allah atas kurangnya kejujuranku pada ucapanku: Aku memohon ampun kepada Allah.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Ahad, 17 Ogos 2025

Sembunyikan Amalanmu

1 - Abu Hazim berkata: "Sembunyikanlah kebaikan-kebaikanmu sebagaimana engkau menyembunyikan kejahatan-kejahatanmu."

2 - Bishr bin al-Harith al-Hafi berkata: "Janganlah engkau beramal untuk dikenali, sembunyikanlah kebaikan sebagaimana engkau menyembunyikan kejahatan."

3 - Mughirah berkata: “Syuraih al-Qadi mempunyai sebuah bilik di mana beliau akan menyendiri di dalamnya pada hari Jumaat dan orang ramai tidak tahu apa yang dilakukannya di situ.”

3 – Sallam berkata: “Ayyub as-Sakhtiyani biasa bangun beribadah sepanjang malam dan beliau menyembunyikan perkara itu. Apabila menjelang waktu Subuh, beliau akan meninggikan suaranya seolah-olah beliau baru sahaja bangun pada ketika itu.

Ayyub juga merupakan seorang yang menyembunyikan kezuhudannya. Kami pernah menziarahinya dan mendapati beliau berada di atas sebuah tilam merah yang tebal. Lalu aku mengangkatnya atau salah seorang sahabat kami mengangkatnya dan ternyata ia hanyalah sehelai tikar kasar yang diisi dengan sabut.”

4 - Ibnu Abi 'Adi berkata: “Daud bin Abi Hind berpuasa selama empat puluh tahun tanpa diketahui oleh ahli keluarganya. Beliau seorang penjual sutera. Beliau membawa bekalan makan tengah harinya bersamanya lalu menyedekahkannya di jalanan.”

5 - Abdurrahman bin Mahdi berkata: “Aku bertanya kepada Ibnul Mubarak: Ibrahim bin Adham mendengar (hadis) daripada siapa?

Beliau menjawab: "Beliau telah mendengar daripada orang ramai dan beliau mempunyai keutamaan pada dirinya. Seorang yang mempunyai amalan-amalan rahsia. Aku tidak pernah melihatnya menzahirkan bacaan tasbih atau apa-apa kebaikan pun.”

6 - Ibnul Mubarak berkata: "Aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang diangkat darjatnya seperti Malik, sedangkan beliau tidak banyak solat mahupun puasa, melainkan (pasti) beliau mempunyai suatu amalan rahsia."

7 - Al-Khuraibi berkata: "Mereka (para salaf) menyukai agar seseorang itu mempunyai amalan soleh yang tersembunyi, yang tidak diketahui oleh isterinya mahupun orang lain."

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Rabu, 9 Julai 2025

Lebih Baik Tak Terkenal

1 - Sufyan al-Thauri berkata: “Keselamatan itu terletak pada tidak sukanya engkau untuk dikenali.”

2 – Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Sufyan berkata kepadaku: Jauhilah kemasyhuran, aku tidak mendatangi seorang pun melainkan dia menasihatkan supaya menjauhi kemasyhuran.”

 - Asim al-Ahwal berkata: “Abu al-'Aliyah, apabila lebih daripada empat orang duduk bersamanya, beliau akan bangun lalu meninggalkan mereka.”

4 -  Al-Fudail bin Iyadh berkata: “Siapa yang suka disebut-sebut, dia tidak akan disebut dan siapa yang benci disebut-sebut, dia akan disebut.”

5 - Al-Hakim berkata: “Abu Ahmad al-Farra' biasa memberi fatwa dalam bidang Fiqh, Hadis dan Bahasa Arab dan beliau menjadi rujukan dalam bidang-bidang tersebut. Apabila disebut tentang para sultan, Abu Ahmad berkata: Ya Allah, lupakanlah mereka daripada mengingati aku. Sesiapa yang mahu menyebut namaku di hadapan mereka, maka keraskanlah hatinya agar dia tidak mengingati aku.’’

6 - Ibrahim bin Adham berkata: “Tidaklah benar-benar tulus kepada Allah, seorang hamba yang menyukai kemasyhuran.”

7 - Al-Marruzi berkata: Ahmad (bin Hanbal) berkata kepadaku: “Sampaikanlah kepada Abdul al-Wahhab (al-Warraq): Jadikanlah namamu tidak masyhur kerana sesungguhnya aku telah diuji dengan kemasyhuran.”

8 - Daripada 'Ubaid al-Qari, beliau berkata: “Bapa saudara Ahmad (bin Hanbal) telah masuk menemuinya, lalu bertanya: Wahai anak saudaraku, apakah kerisauan dan kesedihan ini? Lalu beliau (Ahmad) mengangkat kepalanya dan berkata: Wahai bapa saudaraku, berbahagialah orang yang Allah jadikan namanya tidak masyhur.”

9 - Muhammad bin al-Hasan bin Harun berkata: “Aku melihat Abu Abdullah (Ahmad bin Hanbal), apabila beliau berjalan di jalanan, beliau tidak suka diikuti oleh sesiapa pun.”

10 - Bisyir al-Hafi berkata: “Aku tidak mengetahui seorang  pun yang suka untuk dikenali, melainkan akan rosak agamanya dan akan terdedah aibnya.”

Beliau berkata lagi: “Seorang yang suka dikenali oleh orang ramai tidak akan merasai kemanisan akhirat.”

11 – Imam al-Syafi'i berkata: “Aku berharap agar setiap ilmu yang aku ketahui, diketahui oleh orang ramai. Aku mendapat pahala disebabkannya dan mereka tidak memujiku.”

Sumber:

- Hilyah al-Auliya’ oleh Imam Abu Nu’aim al-Asbahani.

- Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Jumaat, 16 Mei 2025

Perlukah Mengikuti Tarekat?

Soalan Pertama:

Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti ditanya tentang tarekat sufi secara umum dan tarekat Naqsyabandiah secara khusus. Adakah disyorkan untuk mengikuti salah satu daripada tarekat ini?

Jawapan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti:

Pada zaman ini di mana ramai penipu dan dan mereka yang menjadikan bimbingan (irsyad) sebagai profesion semata-mata kerana tamakkan habuan duniawi, saya tidak menasihati anda untuk terlibat dengan tarekat-tarekat sufi, yang pada asalnya adalah kaedah pendidikan agama yang bermanfaat.

Sudah memadai bagimu sebagai ganti kepada penglibatan dengan tarekat, anda boleh memiliki kitab al-Azkar oleh Imam al-Nawawi dan lihat di dalamnya zikir-zikir yang Rasulullah selalu amalkan pada waktu pagi dan petang serta selepas solat lima waktu. Amalkanlah apa yang anda mampu daripadanya, sambil memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah.

Jika anda melakukan ini, Rasulullah akan menjadi pembimbing anda. Ini adalah cara terbaik yang akan menghubungkan anda kepada Allah.

Soalan Kedua:

Apakah hukum syarak terhadap tarekat-tarekat yang diikuti oleh ramai orang seperti tarekat Syaziliyah dan Qadiriyah dan adakah wajib bagi seorang Muslim untuk mempunyai pembimbing (mursyid) dan tarekat?

Jawapan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti:

Mengenai pertanyaan anda sama ada wajib bagi seorang Muslim untuk mempunyai pembimbing dan tarekat yang perlu diikuti, jawapannya ialah kita tidak mengetahui bahawa syariat Islam mewajibkan seorang Muslim dengan sesuatu seperti ini.

Apa yang saya yakin adalah bahawa ini adalah propaganda yang disebarkan hari ini oleh mereka yang mengaku sebagai syeikh yang menjadikan "pembimbing dan penunjuk jalan" sebagai profesion untuk mencari keuntungan dan jawatan. Pembimbing yang sebenar mestilah seorang yang berilmu dan orang yang berilmu tidak akan mereka-reka perkara seperti ini atas nama syariat.

Mengenai soalan anda tentang tarekat-tarekat sufi seperti Syaziliyah dan Qadiriyah dan sebagainya, masalahnya bukan berkaitan dengan asal-usul tarekat ini tetapi berkaitan dengan syeikh-syeikh mereka atau kebanyakan syeikh mereka pada hari ini.

Jika syeikh yang memimpin salah satu daripada tarekat ini adalah seorang yang berilmu tentang hukum-hukum syariat Islam, teguh dalam melaksanakan perintah Allah, dan tidak terpengaruh dengan godaan duniawi, maka tidak mengapa untuk mengambil tarekat di bawah bimbingannya. Diharapkan bahawa pengikut tarekat akan bertambah dalam bertaubat, beristiqamah, berilmu tentang perintah Allah dan menjauhi bidaah dan perkara-perkara yang diharamkan.

Tetapi jika syeikh itu sebaliknya, maka jauhilah dia. Sebagai ganti kepada tarekat dalam keadaan ini, carilah saudara-saudara yang soleh yang membantu anda untuk beristiqamah dan mematuhi perintah Allah. Tetapkan untuk diri anda wirid membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah, kerana itu adalah jalan yang terbaik.

Sumber:

Ma’a al-Nas oleh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti.

Zikir Sambil Menari: Pandangan Syeikh al-Buti

Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti menyebutkan dalam kitab Ma’a al-Nas (jilid 1, ms. 224):

“Di sini aku ingin menegaskan apa yang telah aku katakan berulang kali dan telah aku tuliskan dalam kitabku Fiqh al-Sirah, bahawa zikir kepada Allah Taala dapat dilakukan dalam keadaan duduk, berdiri, bahkan dalam keadaan berbaring juga, tetapi wajib dalam semua keadaan agar ia disertai dengan adab dan tidak syak lagi bahawa melompat-lompat dan meliuk-liuk badan (yang diungkapkan oleh para fuqaha sebagai menari) bertentangan dengan adab yang dituntut.

Begitu juga, antara tuntutan adab yang paling asas adalah agar kalimah Allah dilafazkan daripada makhraj Arabnya yang betul, supaya ia tidak berubah di dalam mulut atau kerongkong menjadi sejenis bunyi seperti rengekan atau gumaman yang tidak mempunyai makna.”

Hukum Beruzlah

 

Soalan:

Apakah hukum mengasingkan diri (beruzlah)?

Jawapan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti:

Tasawuf yang terikat dengan hukum Al-Quran dan Sunnah adalah intipati dan teras Islam. Tujuan tasawuf adalah untuk menyucikan jiwa daripada kotoran syahwat dan hawa nafsu serta menuntunnya ke jalan yang membawa kepada cinta Allah dan Rasul-Nya.

Namun, keadaan orang yang anda gambarkan - jika benar apa yang anda katakan - tidak selaras dengan hukum Al-Quran dan Sunnah Nabi yang suci.

Pengasingan diri yang menghalang seseorang daripada menghadiri solat berjemaah adalah tidak dibenarkan, malah bertentangan dengan petunjuk Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Ungkapan "Pelajari ilmu kemudian asingkan diri" adalah kata-kata para penipu dan sesiapa yang menyandarkannya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, dia telah berdusta terhadap baginda dan akan menempati tempatnya di neraka.

Sumber:

Ma’a al-Nas oleh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti.

Jumaat, 25 April 2025

Kegilaan Ulama Membaca al-Quran

 

1 - Daripada Ibrahim, beliau berkata: “Al-Aswad bin Yazid mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadan setiap dua malam. Beliau tidur antara Maghrib dan Isyak. Beliau mengkhatamkan al-Quran di luar bulan Ramadan setiap enam malam.”

2 - Daripada Ibnu Syawzab, beliau berkata: “Urwah (bin al-Zubair bin al-‘Awwam) membaca seperempat al-Quran setiap hari dengan melihat mushaf. Beliau melakukan qiyamullail dengan membacanya dan beliau tidak pernah meninggalkannya kecuali pada malam kakinya dipotong. Kakinya telah ditimpa penyakit yang mereputkan anggota badannya lalu ia dipotong. Apabila tiba musim buah-buahan masak, beliau membuka pagar kebunnya, kemudian membenarkan orang ramai memasukinya untuk makan dan membawa pulang buah-buahan.”

3 - Salam bin Abi Muti' berkata: “Qatadah mengkhatamkan al-Quran dalam tujuh hari dan apabila tiba Ramadan, beliau mengkhatamkannya setiap tiga hari. Apabila tiba sepuluh hari terakhir, beliau mengkhatamkannya setiap malam.”

4 - Ibnu al-Madini berkata: “Bisyr bin Mansur menggali kuburnya sendiri dan mengkhatamkan al-Quran di dalamnya. Wiridnya adalah sepertiga al-Quran.”

5 - Abu Bakr bin Ayyash hidup selama kira-kira 40 tahun dengan mengkhatamkan al-Quran sekali setiap sehari semalam.

Yahya al-Hamman beliau berkata: “Ketika Abu Bakr (bin Ayyash) hampir meninggal dunia, saudara perempuannya menangis. Lalu beliau berkata kepadanya: "Apa yang membuatmu menangis? Lihatlah ke sudut itu, saudaramu telah mengkhatamkan al-Quran di situ sebanyak 18 ribu kali."

6 - Daripada Husain al-Anqazi, beliau berkata: “Ketika Ibnu Idris (Abdullah bin Idris al-Audi) hampir meninggal dunia, anak perempuannya menangis. Lalu beliau berkata: Jangan menangis, wahai anakku, sesungguhnya aku telah mengkhatamkan al-Quran di rumah ini sebanyak 4000 kali."

7 - Khalifah al-Ma'mun telah membaca al-Quran sebanyak 33 kali khatam pada bulan Ramadan.

8 - Muhammad bin Zuhair bin Muhammad bin Qumair berkata: “Bapa saya mengumpulkan kami (anak-anaknya) pada waktu beliau mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan sebanyak tiga kali setiap sehari semalam. Beliau mengkhatamkan 90 kali dalam Ramadan.”

10 - Musabbih bin Said berkata: “Muhammad bin Isma'il (al-Bukhari) mengkhatamkan pada bulan Ramadan pada waktu siang setiap hari satu kali khatam. Beliau melakukan qiyam (solat malam) selepas Tarawih setiap tiga malam dengan satu khatam.”

11 - Abu al-Abbas bin Ata' al-Baghdadi mengkhatamkan al-Quran setiap hari sekali dan pada bulan Ramadan 90 kali. Beliau pernah kekal dengan satu khatam selama lebih dari sepuluh tahun demi untuk memahami dan merenungkannya.

12 – Dikatakan Abu Bakar Muhammad bin Ali al-Kattani telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 12 ribu kali semasa tawaf dan beliau adalah salah seorang wali yang meninggal dunia pada tahun 322 Hijrah.

13 - Abu Bakr bin al-Haddad berkata: “Aku telah memaksa diriku (untuk mengikuti) apa yang diriwayatkan oleh al-Rabi' daripada al-Syafi'i, bahawa beliau mengkhatamkan sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan, selain daripada apa yang beliau baca dalam solat. Maka yang paling banyak yang aku mampu adalah 59 kali khatam dan pada bulan selain Ramadan aku mampu mencapai 30 kali khatam.”

14 - Abdul Muhsin al-Shihi berkata: “Aku adalah teman perjalanan Abu Bakr al-Khatib (al-Baghdadi) dari Damsyik ke Baghdad. Beliau mengkhatamkan al-Quran sekali dalam setiap sehari semalam.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Rabu, 23 April 2025

Gambaran Puasa Salafus Soleh

1 - Daripada Hisham bin Urwah bin al-Zubair, bahawa bapanya meninggal dunia ketika dia berpuasa dan orang ramai berkata kepadanya: "Berbukalah," tetapi dia tetap tidak berbuka.

Daripada Hisham bin Urwah bin Al-Zubair juga, bahawa bapanya berpuasa sepanjang tahun kecuali pada hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dan dia meninggal dunia dalam keadaan berpuasa.

2 - Syu'aib bin al-Habhab berkata: “Hunaidah, isteri Ibrahim al-Nakha'i, telah memberitahu saya bahawa Ibrahim berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

3 - Daripada Ayyub, dia berkata: “Muhammad bin Sirin berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

4 - Sufyan bin 'Uyainah berkata: “Mansur bin Al-Mu'tamir berpuasa selama enam puluh tahun. Dia bangun pada malamnya dan berpuasa pada siangnya. Semoga Allah merahmatinya.”

5 - Muhammad bin Abdul A'la berkata: Mu'tamir bin Sulaiman Al-Taimi berkata kepada saya: "Kalau bukan kerana kamu daripada keluarga saya, saya tidak akan memberitahu kamu tentang bapa saya ini. Bapa saya telah berpuasa selama 40 tahun, sehari berpuasa dan sehari berbuka dan dia solat Subuh dengan wuduk Isyak."

6 - Abu 'Asim Al-Nabil berkata: “Ibnu Juraij adalah seorang ahli ibadah yang berpuasa sepanjang tahun kecuali tiga hari dalam (setiap) bulan.”

7 - Bakkar bin Muhammad berkata: “Ibnu 'Aun berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

Abdurrahman bin Mahdi berkata: “Tidak ada di Iraq orang yang lebih mengetahui tentang sunnah daripada Ibnu 'Aun.”

8 - Ibnu Abi 'Adi berkata: “Daud bin Abi Hind berpuasa selama 40 tahun tanpa diketahui oleh keluarganya. Dia adalah seorang penjual kain yang membawa makanan tengah harinya lalu menyedekahkannya di jalanan.”

9 - Saudara Muhammad bin Abi Dhi'b berkata: “Saudaraku berpuasa sehari dan berbuka sehari, kemudian beliau berpuasa secara berterusan. Dia hidup dalam keadaan susah, makan malam dengan roti dan minyak zaitun. Dia mempunyai sehelai baju dan selendang yang dipakainya pada musim sejuk dan panas. Dia adalah termasuk orang yang tegas dan berani menyatakan kebenaran. Dia menghafal hadisnya dan tidak mempunyai kitab (catatan). Dia pergi awal ke solat Jumaat, lalu solat sehingga imam keluar (berkhutbah).”

10 - Yahya bin Ma'in berkata: “Pada suatu hari, Ghundar mengeluarkan kepada kami sebuah karung yang berisi kitab-kitab, lalu berkata: "Berusahalah untuk mencari kesalahan di dalamnya."

Yahya bin Ma’in berkata: "Kami tidak menemui apa-apa kesalahan di dalamnya. Dia telah berpuasa sehari dan berbuka sehari selama 50 tahun."

11 - 'Ubaid bin Muhammad Al-Warraq berkata: “Ma'ruf Al-Karkhi, ketika sedang berpuasa, melintasi di hadapan seorang pemberi air yang berkata: Semoga Allah merahmati orang yang minum. Lalu Ma'ruf Al-Karkhi minum kerana mengharapkan rahmat Allah.”

12 - Abu 'Ubaidah menyebutkan, katanya: “Baqi bin Makhlad mengkhatamkan al-Quran setiap malam dalam 13 rakaat dan dia solat pada siang hari 100 rakaat. Dia berpuasa sepanjang tahun dan dia banyak berjihad dan seorang yang mulia. Disebutkan bahawa dia telah menyertai 72 peperangan.”

13 - Sekumpulan ulama dari Qazwin berkata: “Abu al-Hasan al-Qattan, semoga Allah merahmatinya, tidak pernah melihat orang seperti dirinya dari segi kehebatan dan kezuhudan. Dia berpuasa secara berterusan selama 30 tahun dan beliau biasa berbuka dengan roti dan garam. Kelebihan-kelebihannya terlalu banyak untuk dihitung.”

14 - Al-Hafiz al-Zahabi berkata: “Imam al-Suri dilahirkan pada tahun 376 atau 377. Beliau, semoga Allah merahmatinya, biasa berpuasa secara berterusan kecuali pada hari-hari raya.”

Sumber:

Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

Selasa, 30 Januari 2024

Sediakan Jawapan Di Hadapan Allah Sebelum Bercakap

Sa’dun al-Razi berkata:

“Aku berada bersama Hatim al-Khurasani dan ketika itu beliau sedang berucap. Namun sangat sedikit ucapannya.

Lalu ditanya kepada beliau mengapa hanya sedikit ucapannya sedangkan ucapannya itu sangat memberi manfaat kepada orang ramai.

Beliau menjawab: Aku tidak suka untuk bercakap suatu perkataan melainkan setelah aku sediakan jawapan untuknya di hadapan Allah. Jika Allah bertanya kepadaku: Mengapa engkau berkata begitu? Aku mampu untuk menjawab: Wahai Tuhanku, aku berkata begitu kerana alasan begini dan begitu.”

[Tarikh Baghdad karangan al-Khatib al-Baghdadi]

___________________

Hatim al-Khurasani atau lebih dikenali sebagai Hatim al-Ashom (الأَصَمّ). Beliau sangat masyhur sebagai seorang yang zuhud dan warak. Beliau juga sangat bijak dalam memberi nasihat dan melontarkan kata-kata hikmah tentang kezuhudan sehingga digelar Luqman umat ini (umat nabi Muhammad).

Gurunya yang terkenal ialah Syaqiq al-Balkhi.

Menurut al-Hafiz al-Zahabi, beliau tidak ada meriwayatkan hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Beliau berasal dari Balkh, Afghanistan dan pernah menziarahi Baghdad untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal.

Dikatakan sebab beliau digelar al-Ashom (si pekak) kerana pernah seorang wanita terkentut di hadapan beliau ketika ingin bertanyakan soalan. Demi menjaga air muka wanita tersebut beliau pura-pura tidak dengar dan meminta wanita itu menguatkan suaranya.

Beliau meninggal dunia pada tahun 237 Hijriah.

 

Khamis, 15 Disember 2022

Sahabat Iblis Dalam Persembunyian

Wuhaib bin al-Ward berkata:

"Jaga-jagalah kamu daripada mencerca Iblis ketika terang-terangan sedangkan kamu adalah sahabatnya ketika dalam persembunyian."

 (Sumber: Sifah al-Sofwah karangan Ibnu al-Jauzi)

______________________

Wuhaib bin al-Ward merupakan seorang abid (ahli ibadah) yang hidup di zaman tabi'in. Beliau merupakan guru kepada beberapa ulama yang terkenal seperti Abdullah bin al-Mubarak dan Abdul Razzaq al-San'ani. Ibnu Hibban berkata: "Beliau adalah di kalangan abid yang benar-benar meninggalkan dunia dan berlumba-lumba mengejar akhirat." Idris bin Muhammaz al-Ruzi berkata: "Aku tidak pernah melihat orang yang lebih banyak beribadat berbandingnya." Beliau meninggal dunia pada tahun 153 Hijrah.

Sabtu, 10 Disember 2022

Status Hadis: Sebahagian Ilmu Itu Tersembunyi Melainkan Bagi Orang Yang Mengenali Allah

 إِن من الْعلم كَهَيئَةِ الْمكنون لَا يُعلمهُ إِلَّا أهل الْمعرفَة بِاللَّه تَعَالَى، فَإِذا نطقوا بِهِ لم يجهله إِلَّا أهل الاغترار بِاللَّه تَعَالَى.

"Sesungguhnya ada sebahagian daripada ilmu itu yang keadaannya seakan-akan tersembunyi. Tidak ada yang mengetahuinya melainkan orang yang mengenali Allah Ta'ala. Apabila mereka mengucapkannya, maka tidak ada yang tak mengetahuinya melainkan orang-orang yang lalai daripada (mengenali) Allah Ta'ala."

Takhrij:

1 - Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Abdul Rahman al-Sulami dalam al-Arba’in al-Sufiyyah (hadis ke-32) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (lihat: al-Gharaib al-Multaqathah, hadis no. 883) melalui sanad:

Abdul Salam bin Soleh daripada Sufyan bin ‘Uyainah daripada Ibnu Juraij daripada ‘Atha’ daripada Abu Hurairah.

2 - Abdul Salam bin Soleh tersebut ialah Abu al-Salt al-Harawi. Dia dithiqahkan oleh Yahya bin Ma’in namun jumhur ahli hadis mendaifkannya.

3 - Ahmad bin Hanbal berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar.”

Ibnu Abi Hatim berkata: “Aku bertanya kepada bapaku tentangnya. Beliau berkata: Dia bukan seorang yang jujur (soduq). Dia adalah daif. Bapaku tidak meriwayatkan hadis yang beliau riwayatkan daripadanya kepadaku. Abu Zur’ah membuang hadisnya dan berkata: Aku tidak akan meriwayatkan hadis daripadanya dan aku tidak menyukainya.”

Al-Nasa’ie berkata: “Dia tidak thiqah.”

Ibnu ‘Adi berkata: “Dia mempunyai hadis-hadis yang mungkar tentang kelebihan Ahli Bait dan dia dituduh memalsukannya.”

Al-‘Uqaili berkata: “Pendusta.”

Muhammad bin Tahir al-Maqdisi berkata: “Dia adalah pendusta.”

Al-Hakim, al-Naqqasy dan Abu Nu’aim berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar.”

Ibnu Hibban berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu tentang kelebihan Ali dan Ahli Bait. Tidak boleh berhujah dengannya apabila dia bersendirian (meriwayatkan sesuatu hadis).”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Sangat daif.” (Lihat: Takhrij Ahadith Ihya’ Ulum al-Din, hadis no. 83)

Al-Hafiz al-Sakhawi berkata: “Abu al-Salt adalah seorang Syi’ah dan dia didaifkan juga oleh sekumpulan ahli hadis. Bahkan sebahagian mereka menuduhnya memalsukan hadis.” (lihat: Takhrij al-Arba’in al-Sulamiyyah, hlm. 54).

4 - Al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib menyebutkan hadis ini dengan sighah al-tamrid (رُوِيَ), isyarat kepada kedaifannya. Al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Hafiz al-Sakhawi turut mendaifkan sanadnya.

5 - Kesimpulannya sanad hadis ini adalah sangat daif disebabkan status Abu al-Salt al-Harawi Abdul Salam bin Soleh yang sangat daif dan dituduh memalsukan hadis.

Selasa, 4 Mei 2021

Salah Faham Maksud Zuhud

Imam Abdul Rauf al-Munawi (m. 1031 H) dalam kitab Fath al-Qadir Syarah Jami' al-Saghir berkata:

"Bukanlah zuhud itu engkau menjauhi harta secara keseluruhannya, sebaliknya engkau menganggap sama sahaja  wujudnya harta tersebut mahupun tiadanya serta hatimu tidak terikat dengan harta tersebut.

Sesungguhnya Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam itu merupakan contoh ikutan bagi golongan zahid. Baginda juga memakan daging, manisan dan madu. Baginda juga mencintai wanita, wangian dan pakaian yang cantik-cantik. Maka gunakanlah setiap perkara-perkara yang baik tanpa berlebih-lebihan dan tanpa berbangga-bangga dan waspadalah kamu daripada kezuhudan para rahib."

 Sebahagian arifin berkata:

"Bukanlah zuhud itu engkau tinggalkan dunia dari tanganmu sedangkan ia berada di hatimu. Sesungguhnya zuhud itu engkau tinggalkan dunia dari hatimu sedang ia berada di tanganmu."

Khamis, 17 September 2020

Kebaikan Banyak Mengingati Mati

Abu al-Darda’ radhiallahu ‘anhu berkata:

“Sesiapa yang banyak mengingati mati nescaya kuranglah rasa seronoknya (dengan dunia) dan sedikitlah rasa dengkinya (dengan orang lain).”

[Sumber: Siyar A'lam al-Nubala' oleh al-Zahabi]

_______________

Abu al-Darda’ atau nama sebenarnya ‘Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari (ada khilaf panjang tentang nama beliau dan bapanya) merupakan sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Beliau merupakan seorang peniaga di Madinah sejak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam belum menjadi Rasul lagi. Dalam sebuah hadis mursal riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Orang yang bijak di kalangan umatku ialah ‘Uwaimir”. Mu’awiyah melantiknya menjadi Qadhi di Damsyik dengan arahan daripada ‘Umar bin al-Khattab. Meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah ketika zaman khilafah ‘Uthman bin ‘Affan. Menurut pendapat yang lain tahun 31 Hijrah. Kubur beliau terletak di Bab al-Saghir, Damsyik.

Ahad, 13 September 2020

Pakaian Indah Tidak Mengurangkan Kezuhudan

Al-Mawardi berkata:

"Aku bersolat di belakang Abu al-Hasan al-Qazwini. Aku melihat beliau memakai pakaian yang bersih dan indah. Terdetik di dalam hatiku: Adakah berpakaian indah ini dianggap zuhud? Apabila selesai memberi salam beliau berkata: Subahanallah, berpakaian indah tidak mengurangkan kezuhudan."

[Sumber: Siyar A'lam al-Nubala' oleh al-Zahabi]

__________________

Imam Abu al-Hasan Ali bin Umar bin Muhammad al-Qazwini ialah seorang ulama mazhab al-Syafi'e di Baghdad. Beliau dilahirkan pada tahun 360 Hijrah. Salah seorang murid beliau ialah al-Khatib al-Baghdadi. Al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Kami menulis hadis daripadanya. Beliau merupakan seorang yang zuhud dan hamba Allah yang soleh. Dipelajari daripadanya al-Quran dan diriwayatkan daripadanya hadis. Beliau tidak keluar dari rumahnya melainkan untuk solat." Al-Subki dalam Thabaqat al-Syafi'eyyah al-Kubra berkata: "Beliau salah seorang wali Allah yang dibukakan kepadanya lintasan hati orang yang berbicara." Al-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' membawakan sebuah kisah daripada Ahmad bin Thalhah bin al-Munaqqi bahawa Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam berpesan kepadanya di dalam mimpi supaya menyampaikan salam kepada Abu al-Hasan al-Qazwini. Beliau meninggal dunia pada tahun 442 Hijrah. Pada hari kematiannya seluruh Baghdad ditutup dan orang ramai berkumpul untuk mengunjungi jenazahnya. Menurut al-Khatib al-Baghdadi, beliau tidak pernah melihat kumpulan orang yang mengunjungi jenazah yang lebih ramai daripada itu.

Sabtu, 12 September 2020

Zahid Yang Sebenar

Abu Sulaiman al-Darani berkata:

"Seorang zahid yang sebenar tidak mencela dunia dan tidak juga memujinya. Dia tidak melihat kepada dunia, tidak gembira apabila dunia datang kepadanya dan tidak bersedih apabila dunia pergi daripadanya."

[Sumber: Hilyah al-Auliya' oleh Abu Nu'aim al-Asbahani]

________________

Imam Abu Sulaiman al-Darani merupakan seorang ulama yang masyhur dengan kezuhudan. Beliau lahir sekitar tahun 140 Hijrah. Salah seorang  guru beliau ialah Sufyan al-Thauri. Al-Khatib al-Baghdadi memuji beliau sebagai salah seorang hamba Allah yang soleh dan daripada kalangan zahid yang banyak beribadat. Meninggal dunia pada tahun 215 Hijrah.


Khamis, 3 Januari 2019

Sembunyikan Amalan Hatta Dari Isteri Sendiri!



Muhammad bin Wasi’ bin Jabir al-Azdi berkata:

“Ada seorang lelaki yang menangis selama 20 tahun sedangkan isterinya yang ada bersama dengannya tidak mengetahuinya.”

Mungkin beliau sebenarnya sedang bercakap tentang dirinya sendiri.

Sumber:

Sifah al-Sofwah oleh Ibnu al-Jauzi

__________

Muhammad bin Wasi’ merupakan seorang faqih, warak dan zuhud daripada ahli Basrah.

Beliau merupakan murid kepada Hasan al-Basri, Salim bin Abdullah bin Umar, Sa’id bin Jubair, Tawus bin Kaisan, Atha’ bin Abi Rabah dan lain-lain.

Antara ulama yang pernah belajar dengan beliau ialah Sufyan al-Thauri, Hammad bin Salamah dan lain-lain.

Al-'Ijli berkata: “Beliau seorang ahli ibadah, thiqah (dipercayai), dan seorang yang soleh.”

Ibn Shawzab berkata: “Muhammad bin Wasi' tidak mempunyai ibadah yang zahir (yang dipamerkan), dan orang ramai lebih cenderung meminta fatwa kepada orang selainnya. Namun apabila dikatakan: Siapakah yang paling afdal daripada penduduk Basrah? Dikatakan: Muhammad bin Wasi'.”

Ja'far bin Sulaiman berkata: “Apabila aku mendapati hatiku keras, pagi-pagi lagi aku pergi untuk melihat kepada wajah Muhammad bin Wasi', keadaannya seakan-akan seorang ibu yang kehilangan anaknya (yakni sentiasa bersedih dan khusyuk).”

Di antara tanda tawaduk beliau ialah beliau pernah berkata: “Kalaulah dosa itu ada bau nescaya tidak ada orang yang mahu duduk denganku (disebabkan banyak dosaku).”

Beliau meninggal dunia pada tahun 123 Hijrah.