Soalan:
Adakah doa selepas solat itu disyariatkan atau satu bidaah? Adakah
salah seorang jemaah yang bersolat patut menguatkan suaranya supaya orang yang
mendengar dapat mengaminkan doanya?
Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:
Sesungguhnya doa selepas solat adalah disyariatkan dan
bukannya bidaah berdasarkan dalil-dalil berikut:
1 - Al-Bukhari meriwayatkan daripada Sa'd bin Abi Waqqas RA bahawa
beliau pernah mengajarkan kalimah-kalimah ini kepada anak-anaknya sepertimana
seorang guru mengajarkan kanak-kanak menulis. Beliau berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah memohon perlindungan
dengannya pada akhir solat:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan-Mu daripada sifat bakhil, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada sifat penakut, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada dikembalikan kepada umur yang paling hina (nyanyuk), dan aku memohon perlindungan-Mu daripada fitnah dunia, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada azab kubur."
2 - Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah – dan beliau
berkata perawi-perawinya adalah dipercayai (thiqah) – daripada Ummu
Salamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda apabila selesai solat Subuh ketika memberi
salam:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا
نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang
bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima."
3 – Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan beliau menghasankannya,
daripada Abu Umamah, beliau berkata:
“Ditanya: Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari
(mustajab)?
Baginda menjawab:
جَوْفَ اللَّيْلِ
الآخِرِ، وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ المَكْتُوبَاتِ
"(Doa pada) sepertiga malam yang terakhir, dan selepas
solat-solat fardu."
4- Abu Dawud, al-Nasa'i, dan Ahmad meriwayatkan daripada
hadis Zaid bin Arqam, beliau berkata:
“Rasulullah SAW pernah membaca pada akhir setiap solat:
اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ أَنَا شَهِيدٌ أَنَّكَ أَنْتَ الرَّبُّ وَحْدَكَ لَا شَرِيكَ لَكَ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ أَنَا شَهِيدٌ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ أَنَا شَهِيدٌ أَنَّ العِبَادَ كُلَّهُمْ إِخْوَةٌ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ اجْعَلْنِي مُخْلِصًا لَكَ وَأَهْلِي فِي كُلِّ سَاعَةٍ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، يَا ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ، اسْمَعْ وَاسْتَجِبْ، اللَّهُ الأَكْبَرُ الأَكْبَرُ، اللَّهُمَّ نُورَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ، اللَّهُ الأَكْبَرُ الأَكْبَرُ، حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الوَكِيلُ، اللَّهُ الأَكْبَرُ اللَّهُ الأَكْبَرُ
"Ya Allah, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, aku bersaksi bahawa Engkaulah Tuhan Yang Esa tiada sekutu bagi-Mu.
Ya Allah, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, aku bersaksi
bahawa Muhammad itu hamba-Mu dan utusan-Mu.
Ya Allah, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, aku bersaksi
bahawa hamba-hamba semuanya bersaudara.
Ya Allah, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, jadikanlah
aku dan keluargaku ikhlas kepada-Mu dan keluargaku pada setiap saat di dunia
dan di akhirat.
Wahai Tuhan Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, dengarlah
dan perkenankanlah.
Allah Maha Besar, Maha Besar. Ya Allah, Cahaya langit dan
bumi, Allah Maha Besar, Maha Besar. Cukuplah Allah bagiku dan Dialah
sebaik-baik Pelindung, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.”
Walaupun sanadnya daif, namun matannya adalah hasan
disebabkan wujudnya riwayat sokongan (syawahid) lain yang menguatkannya.
5 - Diriwayatkan oleh Abu Dawud, dan al-Tirmizi - dan beliau
berkata: “Hadis sahih” - daripada 'Ali RA, beliau berkata:
“Rasulullah SAW apabila selesai memberi salam daripada solat, baginda membaca:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ المُقَدِّمُ وَأَنْتَ المُؤَخِّرُ
"Ya Allah, ampunilah bagiku apa yang telah aku dahulukan dan apa yang akan aku lakukan, apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku nyatakan, apa yang aku berlebih-lebihan, dan apa yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengakhirkan."
6 - Muslim meriwayatkan daripada al-Bara' RA bahawa baginda
SAW pernah membaca selepas solat:
رَبِّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ
عِبَادَكَ
"Wahai Tuhanku, peliharalah aku daripada azab-Mu pada
hari Engkau membangkitkan hamba-hamba-Mu."
7 - Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah membaca
selepas solat lima waktu:
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي،
وَوَسِّعْ لِي فِي دَارِي، وَبَارِكْ لِي فِي رِزْقِي
"Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku, dan lapangkanlah
bagiku rumahku, dan berkatilah bagiku pada rezekiku."
Hadis-hadis dan athar-athar dalam bab ini sangatlah banyak. Ibn
al-Qayyim telah menyebutkan sebahagian daripadanya di dalam kitab Zad
al-Ma'ad.
Doa Beramai-ramai
(Secara Jemaah):
Adapun doa oleh salah seorang jemaah yang bersolat berserta
ucapan amin oleh orang-orang yang mendengarnya, ia juga bukanlah satu bidaah.
Ini kerana telah sabit bahawa Habib bin Maslamah al-Fihri - beliau adalah
seorang yang mustajab doanya - telah dilantik menjadi ketua pasukan tentera,
lalu beliau mengatur strategi pergerakan pasukan tentera. Apabila beliau
bertembung dengan musuh, beliau berkata kepada orang ramai: Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَجْتَمِعُ مَلَأٌ فَيَدْعُو
بَعْضُهُمْ وَيُؤَمِّنُ سَائِرُهُمْ إِلَّا أَجَابَهُمُ اللَّهُ
"Tidak berhimpun sekumpulan manusia lalu sebahagian mereka berdoa dan sebahagian yang lain mengaminkannya, melainkan Allah akan memperkenankan doa mereka."
Kemudian beliau memuji Allah dan menyanjung-Nya lalu
berkata:
اللَّهُمَّ احْقِنْ دِمَاءَنَا وَاجْعَلْ
أُجُورَنَا أُجُورَ الشُّهَدَاءِ
"Ya Allah, peliharalah darah kami (daripada tertumpah)
dan jadikanlah ganjaran pahala kami seperti pahala para syuhada."
Sedang mereka dalam keadaan sedemikian, tiba-tiba al-Hinbat
- panglima musuh - turun lalu masuk menemui Habib di dalam khemahnya.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tabarani.
Al-Hinbat dalam bahasa Rom bermaksud: Panglima tentera.
Al-Hafiz al-Haithami berkata di dalam Majma' al-Zawa'id:
“Perawi-perawinya adalah perawi-perawi (kitab) al-Sahih melainkan Ibn
Lahi'ah, dan beliau adalah (seorang yang) hasan hadisnya.”
Andaikata diandaikan bahawa sanadnya daif sekalipun, ia
tetap boleh diamalkan kerana ia termasuk dalam bab fada'il al-a'mal
(kelebihan-kelebihan amalan). Tidak dibenarkan menyifatkan sesiapa yang
melakukannya sebagai melakukan bidaah atau pelakunya dilabel sebagai ahli
bidaah.
Sumber:
Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di

