Selasa, 24 Ogos 2021

Hadis Kelebihan Surah al-Sajdah

 

Hadis Pertama

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةُ وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ.

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membaca pada solat subuh hari Jumaat Alif Lam Mim Surah al-Sajdah dan Hal Ata ‘Ala al-Insan (Surah al-Insan).”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Bukhari (no. 891) dan Muslim (no. 880) daripada hadis Abu Hurairah.

Pengajaran Hadis:

1 - Sunat membaca surah al-Sajdah dan surah al-Insan pada solat Subuh hari Jumaat. Imam al-Nawawi dalam Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim al-Hajjaj menyebutkan:

“Dalam hadis ini terdapat dalil bagi mazhab kami (mazhab al-Syafi’i) dan mazhab yang bersetuju dengan mazhab kami pada galakan membaca surah al-Sajdah dan surah al-Insan pada solat Subuh hari Jumaat.

2 - Hikmah digalakan membaca dua surah tersebut pada solat Subuh hari Jumaat adalah kerana  kedua-dua surah tersebut menceritakan berkenaan penciptaan nabi Adam dan peristiwa hari kiamat yang kedua-duanya berlaku pada hari Jumaat. Pembacaan dua surah berkenaan dapat mengingatkan manusia tentang peristiwa penciptaan Nabi Adam yang telah berlaku dan tentang peristiwa yang akan berlaku iaitu hari kiamat lalu bersedia untuk menghadapinya. 

Hadis Kedua

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَتَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ.

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak tidur sehinggalah setelah baginda membaca Alif Lam Mim Tanzil (Surah al-Sajadah) dan Tabarakallazi bi yadihi al-Mulk (Surah al-Mulk).”

Takhrij Hadis:

Riwayat Ahmad (no. 14659), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no. 1207), al-Tirmizi (no. 2892 & 3404), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10474 & 10475) dan Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 706, 707 dan 708) daripada hadis Jabir. 

Hadis ini diperselisihkan sama ada ia sahih atau daif.

Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan ia mursal atau mu'dhal tetapi dalam Fath al-Bari beliau menyenaraikannya sebagai antara hadis yang sahih berkenaan bacaan sebelum tidur. Al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah mengatakan ianya mursal

Hadis ini disahihkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, Syeikh Syu’aib al-Arnauth dalam tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Ithaf al-Muslim dan Syeikh Muhammad 'Awwamah dalam tahqiq Musannaf Ibnu Abi Syaibah.

Jika ia daif sekalipun, ia tetap boleh diamalkan dalam fadhail al-a’mal (kelebihan amalan).

Pengajaran Hadis:

Antara adat kebiasaan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam ialah baginda tidak tidur melainkan setelah membaca surah al-Sajdah dan al-Mulk. Oleh itu digalakkan supaya membaca surah al-Sajdah dan al-Mulk sebelum tidur supaya dapat mencontohi perbuatan baginda

Dalam riwayat-riwayat yang lain ada juga diriwayatkan bahawa baginda membaca surah-surah yang lain atau baginda mengajar sahabat membaca surah tertentu sebelum tidur seperti:

i - Surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas berdasarkan riwayat al-Bukhari dan Muslim.

ii - Surah al-Kafirun. Baginda mengajar Abu Hurairah membaca surah ini sebelum tidur supaya terhindar dari kesyirikan. Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi.

iii - Surah al-Isra’ dan surah al-Zumar berdasarkan riwayat Ahmad dan al-Tirmizi.

iv - Surah-surah yang dimulakan dengan tasbih seperti surah al-Isra’, al-Hadid, al-Hasyr, al-Saf, al-Jum’ah, al-Taghabun dan surah al-A’la berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi.

v - Ayat Kursi, berdasarkan riwayat al-Bukhari yang menceritakan bahawa syaitan mengajar Abu Hurairah membaca ayat kursi sebelum tidur supaya mendapat pelindungan daripada Allah dan tidak dihampiri oleh syaitan. Apabila Abu Hurairah menceritakannya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membenarkannya. 

 Hadis Ketiga

تَجِيءُ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَهَا جَنَاحَانِ تُظِلُّ صَاحِبَهَا، تَقُولُ: لَا سَبِيلَ عَلَيْكَ، لَا سَبِيلَ عَلَيْكَ.

“Alif Lam Mim Tanzil (surah al-Sajdah) akan datang pada hari kiamat. Dia mempunyai dua sayap yang akan menaungi pembacanya. Dia berkata (kepada pembacanya): Tidak ada yang akan menyusahkanmu, tidak ada yang akan menyusahkanmu.”

Takhrij Hadis:

Riwayat Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam dalam Fadhail al-Quran (no. 482) dan Ibnu al-Dhurais dalam Fadhail al-Quran (no. 215) daripada al-Musayyab bin Rafi’ daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Hadis ini mursal kerana al-Musayyab adalah seorang tabi’in yang tidak sempat bertemu dengan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Pengajaran Hadis:

1 - Keutamaan Membaca Surah Al-Sajdah: Hadis ini menekankan keutamaan membaca surah Al-Sajdah. Surah ini akan memberikan perlindungan dan syafaat bagi pembacanya pada hari kiamat.

2 - Perlindungan di Hari Kiamat: Pada hari kiamat, surah Al-Sajdah akan datang dengan dua sayap yang menaungi pembacanya. Ini menggambarkan bahwa surah ini akan memberikan perlindungan dari kesulitan dan kesusahan yang terjadi pada hari kiamat.

3 - Syafaat dari al-Quran: Hadis ini menunjukkan bahwa bacaan al-Quran, termasuk surah Al-Sajdah, memiliki kekuatan untuk memberikan syafaat. Syafaat ini adalah bentuk pertolongan dari Allah yang diberikan melalui Al-Quran kepada mereka yang membacanya dengan ikhlas dan mengamalkan ajarannya.

4 - Ketenangan Hati: Pesan yang disampaikan oleh surah al-Sajdah kepada pembacanya, "Tidak ada yang akan menyusahkanmu," mengandung makna bahwa bacaan Al-Quran membawa ketenangan dan perlindungan. Ini mendorong umat Islam untuk meraih ketenangan hati melalui bacaan dan pengamalan Al-Quran.

5 - Motivasi untuk Mengamalkan Al-Quran: Hadis ini mendorong umat Islam untuk tidak hanya membaca tetapi juga mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung dalam Al-Quran. Perlindungan dan syafaat yang dijanjikan adalah bentuk ganjaran bagi mereka yang setia dan berkomitmen pada Al-Quran.

Baca juga: 

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi 

Hadis Kelebihan Surah al-Ikhlas 

Hadis Kelebihan Solat Sunat Rawatib


2 ulasan: