Memaparkan catatan dengan label Selawat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Selawat. Papar semua catatan

Jumaat, 21 Februari 2025

Selawat Ketika Kesusahan (2)

Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Suatu ketika salah seorang menteri di Damsyik hendak menyakiti Mufti Damsyik, al-Allamah Hamid Afandi al-Imadi. Beliau tidur pada malam tersebut dalam keadaan sangat sedih. Kemudian dia melihat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dalam mimpinya, lalu Baginda menenangkannya dan mengajarkannya satu selawat dan bahawa jika dia membacanya, Allah akan melapangkan kesedihannya. Maka dia pun terjaga dan membacanya, lalu Allah melapangkan kesedihannya dengan berkat Baginda sallahu ‘alaihi wasallam, iaitu: Selawat itu ialah: "Allahumma salli wa sallim 'ala sayyidina Muhammad..." hingga akhir selawat yang disebutkan sebelum ini.

Beliau berkata: "Guruku memberitahu bahawa beliau pernah mengalami kesusahan, lalu beliau mengulangi selawat ini sambil berjalan, dan tidak sampai seratus langkah, kesusahannya dilepaskan. Begitu juga beliau membacanya kali kedua dalam satu kejadian lain, dan tidak lama kemudian kesusahannya dilepaskan."

2 - Ibnu Abidin berkata: “Saya juga telah membaca selawat ini ketika berlaku fitnah yang besar di Damsyik. Tidak sampai saya mengulanginya sebanyak 200 kali, seorang lelaki datang memberitahu saya bahawa fitnah tersebut telah berakhir. Dan Allah menjadi saksi atas apa yang saya katakan.”

3 - Syeikh Yusuf al-Nabhani berkata: “Saya menemui selawat ini dalam kitab Thabat Sheikh Abdul Karim bin Sheikh Ahmad al-Syarabati al-Halabi, tetapi ia diikat dengan bilangan tertentu dan terdapat sedikit perubahan.

Beliau menyebut dalam kitabnya ketika menceritakan tentang gurunya, al-Arif Sheikh Abdul Qadir al-Baghdadi al-Siddiqi: Antara apa yang telah dimuliakan kepada saya ialah ijazah selawat yang mulia, dibaca ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sebanyak 300 kali sehari semalam dan 1000 kali ketika kesusahan, kerana ia adalah penawar yang mujarab, iaitu:

الصَّلَاَةُ وَالسَّلَامُ عَلَیْكَ یَا سَيِّدِي يَا رَسُولَ اللهَ، قَلَّتْ حِيلَتِي أَدْرِكْنِي

"Rahmat dan kesejahteraan ke atasmu junjunganku wahai Rasulullah, sesungguhnya aku dalam kesempitan, tolonglah aku.”

Khamis, 20 Februari 2025

Selawat Ketika Kesusahan (1)

Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

“Aku bertemu beberapa kali di Baitulmaqdis pada tahun 1296 Hijrah dengan seorang yang diyakini sebagai wali, Sayyidi Syeikh Hasan Abu Halawah al-Ghazzi, semoga Allah merahmatinya. Beliau mendoakanku dan mengijazahkanku tarekat Qadiriyah dan lafaz selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuk melepaskan kesusahan. Jika dibaca dengan banyak oleh orang yang ditimpa kesusahan, nescaya Allah akan melepaskannya, iaitu:

اللَهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، اَلْحَبِيبِ الْمَحْبُوبِ، شَافِي الْعِلَلِ وَمُفَرِّجِ الْكُرُوبِ، وَعَلَی آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.

"Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Muhammad, kekasih yang dikasihi, penyembuh penyakit dan pelepas kesusahan, dan ke atas keluarga dan para sahabatnya." 

Menurut Syeikh Yusuf al-Nabhani, Syeikh Hasan Abu Halawah ini merupakan salah seorang daripada wali-wali di Baitulmaqdis yang telah disepakati kewaliannya dan banyak karamahnya.

Biliknya tidak pernah sunyi daripada pengunjung, dan setiap seorang mengadu kepadanya tentang hajatnya, dan bertanyakan kepadanya tentang urusan dunia dan akhiratnya. Lalu beliau menjawabnya dengan sesuatu yang kemudiannya terbukti manfaat dan kebenarannya, seperti kesembuhan orang sakit, kepulangan orang yang musafir, tertunainya hajat yang sukar bagi pemiliknya, dan sebagainya.

Syeikh Hasan Abu Halawah meninggal dunia di Baitulmaqdis beberapa tahun selepas Syeikh Yusuf al-Nabhani keluar daripadanya, iaitu sebelum tahun 1310H. 

Baca juga: 

Selawat Ketika Kesusahan (2)

Kelebihan Selawat Munjiyat

Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Telah dinukilkan dalam Syarah al-Dalail daripada Hassan bin Ali al-Aswani bahawa beliau berkata:

“Sesiapa yang membaca selawat ini 1000 kali ketika menghadapi setiap kesulitan dan musibah, maka Allah akan memberi jalan keluar kepadanya dan dia akan mencapai hajatnya.”

2 - Ibnu al-Fakihani meriwayatkan dari Sheikh Soleh Musa al-Darir yang berkata:

“Aku menaiki kapal di laut dan lalu bertiuplah angin kencang yang jarang-jarang orang terselamat daripadanya daripada tenggelam dan orang ramai pun kecoh. Aku tertidur dan bermimpi Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan baginda bersabda: Katakan kepada penumpang kapal supaya membaca seribu kali: "Allahumma salli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala ali sayyidina Muhammad salatan tunjina biha…sehingga akhir. Aku terjaga dan memberitahu penumpang tentang mimpi tersebut. Kami membacanya sekitar 300 kali dan Allah pun melepaskan (kesulitan) kami..

3 - Sayyid Muhammad Afandi Abidin menyebut dalam kitabnya bahawa Allamah Ahmad Al-Attar menambah pada akhir Selawat Munjiyat:

يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، يَا الله.

Beliau berkata: “Sebahagian ulama menyatakan: Sesiapa yang membacanya 1000 kali ketika menghadapi masalah, maka Allah akan memberi jalan keluar dan dia akan mencapai hajatnya.

Sesiapa yang memperbanyakkan bacaannya ketika wabak taun, maka dia akan terselamat daripadanya.

Sesiapa yang memperbanyakkan bacaannya ketika menaiki kapal, maka dia akan terselamat dari tenggelam.

Sesiapa yang membacanya 500 kali, maka dia akan memperoleh apa yang dia inginkan dalam menarik (rezeki) dan kekayaan, dengan izin Allah.

Ini adalah mujarab dan benar dalam semua itu, wallahu a'lam.”

Isnin, 5 Oktober 2015

Kelebihan Selawat Tafrijiah

Sheikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Selawat Tafrijiah ini disebutkan oleh Sheikh al-Arif Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli dalam Khazinatul Asrar. Beliau memetik dari Imam al-Qurtubi bahawa sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 141 kali atau lebih, Allah akan:

- Melepaskan kesedihan dan kesusahannya.

- Menghilangkan kesulitan dan kemudaratannya.

- Memudahkan urusannya.

- Menerangi hatinya.

- Meninggikan darjatnya.

- Memperbaiki keadaannya.

- Meluaskan rezekinya.

- Membuka pintu-pintu kebaikan dan kebajikan dengan bertambah-tambah.

- Kata-katanya akan diterima jika dia seorang pemimpin.

- Melindunginya dari zaman musibah dan kejahatan kelaparan dan kemiskinan.

- Mencampakkan kecintaan kepadanya dalam hati-hati manusia.

Apa sahaja yang diminta dari Allah Ta'ala akan dikurniakan, tetapi faedah-faedah ini hanya akan tercapai dengan syarat mengamalkannya secara berterusan. Selawat ini adalah satu perbendaharaan dari perbendaharaan Allah dan mengamalkannya adalah kunci kepada khazanah Allah. Allah akan membuka (khazanah itu) kepada sesiapa yang mengamalkannya di kalangan hamba-hamba-Nya dan menyampaikannya kepada apa yang dikehendaki-Nya.

2 - Sheikh al-Arif Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli berkata di tempat lain dalam kitabnya yang disebutkan itu: Antara selawat yang telah terbukti mujarab ialah Selawat Tafrijiah al-Qurtubiyyah, yang dikenali di kalangan orang Maghribi sebagai Selawat Nariyyah, kerana apabila mereka ingin mencapai sesuatu hajat atau menolak sesuatu yang ditakuti, mereka berkumpul dalam satu majlis dan membacanya sebanyak 4,444 kali, lalu mereka akan mencapai hajat mereka dengan cepat.

3 - Di kalangan Ahl al-Asrar (orang yang mengetahui rahsia-rahsia Ilahi), ia dikenali sebagai 'Kunci Perbendaharaan Yang Meliputi Untuk Mencapai Hajat Para Hamba'.

4 – Sheikh Muhammad al-Sanusi  berkata: “Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 11 kali, seolah-olah rezeki turun dari langit dan tumbuh dari bumi.”

5 - Imam al-Dinawari berkata: “Sesiapa yang membaca selawat ini selepas setiap solat sebanyak 11 kali dan menjadikannya sebagai wirid, rezekinya tidak akan terputus dan akan mencapai pangkat yang tinggi dan kekayaan yang banyak.

Sesiapa yang mengamalkannya selepas solat Subuh setiap hari sebanyak 41 kali juga akan mencapai hajatnya.

Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 100 kali akan memperolehi apa yang dihajati dan mencapai tujuannya melebihi apa yang diinginkan.

Sesiapa yang mengamalkan bacaannya setiap hari sebanyak bilangan para rasul iaitu 313 kali, untuk penyingkapan rahsia, maka dia akan melihat setiap apa yang diinginkannya.

Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 1,000 kali, dia akan memperolehi sesuatu yang tidak dapat disifatkan oleh para penyifat, yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.

6 - Imam al-Qurtubi berkata: “Sesiapa yang ingin mencapai sesuatu perkara yang penting dan besar atau menolak bala yang sedang menimpa, maka hendaklah dia membaca Selawat Tafrijiah ini dan bertawassul melaluinya kepada Nabi yang memiliki akhlak yang agung sebanyak 4,444 kali, maka sesungguhnya Allah Ta'ala akan memudahkan apa yang dihajati dan dimaksudkannya selaras dengan niatnya.

Begitu juga Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan keistimewaan bilangan ini, kerana ia adalah umpama eliksir dari segi keberkesanannya.