Khamis, 20 Februari 2025

Kelebihan Selawat Munjiyat

Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Telah dinukilkan dalam Syarah al-Dalail daripada Hassan bin Ali al-Aswani bahawa beliau berkata:

“Sesiapa yang membaca selawat ini 1000 kali ketika menghadapi setiap kesulitan dan musibah, maka Allah akan memberi jalan keluar kepadanya dan dia akan mencapai hajatnya.”

2 - Ibnu al-Fakihani meriwayatkan dari Sheikh Soleh Musa al-Darir yang berkata:

“Aku menaiki kapal di laut dan lalu bertiuplah angin kencang yang jarang-jarang orang terselamat daripadanya daripada tenggelam dan orang ramai pun kecoh. Aku tertidur dan bermimpi Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan baginda bersabda: Katakan kepada penumpang kapal supaya membaca seribu kali: "Allahumma salli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala ali sayyidina Muhammad salatan tunjina biha…sehingga akhir. Aku terjaga dan memberitahu penumpang tentang mimpi tersebut. Kami membacanya sekitar 300 kali dan Allah pun melepaskan (kesulitan) kami..

3 - Sayyid Muhammad Afandi Abidin menyebut dalam kitabnya bahawa Allamah Ahmad Al-Attar menambah pada akhir Selawat Munjiyat:

يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، يَا الله.

Beliau berkata: “Sebahagian ulama menyatakan: Sesiapa yang membacanya 1000 kali ketika menghadapi masalah, maka Allah akan memberi jalan keluar dan dia akan mencapai hajatnya.

Sesiapa yang memperbanyakkan bacaannya ketika wabak taun, maka dia akan terselamat daripadanya.

Sesiapa yang memperbanyakkan bacaannya ketika menaiki kapal, maka dia akan terselamat dari tenggelam.

Sesiapa yang membacanya 500 kali, maka dia akan memperoleh apa yang dia inginkan dalam menarik (rezeki) dan kekayaan, dengan izin Allah.

Ini adalah mujarab dan benar dalam semua itu, wallahu a'lam.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan