Pengenalan dan
Penamaan Surah
Surah al-Baqarah keseluruhannya ialah surah Madaniyyah (diturunkan
selepas Hijrah), tanpa ada sebarang perbezaan pendapat ulama dan ia merupakan
antara surah yang terawal yang diturunkan.
Surah ini dinamakan "Surah al-Baqarah" kerana ia
mengandungi kisah lembu betina. Allah telah memerintahkan Bani Israel
supaya menyembelih lembu betina tersebut bagi membongkar identiti pembunuh seorang manusia, iaitu dengan cara memukul mayat tersebut menggunakan sebahagian
daripada anggota badan lembu berkenaan, lalu mayat itu hidup kembali dengan
izin Allah, seterusnya memberitahu mereka tentang pembunuhnya.
Kedudukan dan
Fokus Utama Surah
Surah al-Baqarah merupakan surah yang paling panjang dalam al-Quran. Ia merupakan antara surah Madaniyyah yang menitikberatkan aspek
perundangan (tasyri') - sama seperti surah-surah Madaniyyah yang lain -
yang membincangkan tentang sistem dan undang-undang yang diperlukan oleh umat
Islam dalam kehidupan mereka.
Surah yang mulia ini merangkumi sebahagian besar hukum-hakam
perundangan merangkumi aspek:
1 – Akidah.
2 – Ibadat.
3 - Muamalat.
4 – Akhlak.
5 - Urusan perkahwinan, perceraian, idah, dan pelbagai hukum
syarak yang lain.
Perbandingan Tiga
Golongan Manusia
Pada permulaannya, ayat-ayat dalam surah ini membicarakan
tentang sifat-sifat orang mukmin, orang kafir, dan orang munafik. Ia
menjelaskan hakikat keimanan, serta hakikat kekufuran dan kenifakan, sebagai satu
perbandingan antara golongan yang bahagia (orang mukmin) dengan golongan yang
celaka (orang kafir dan munafik).
Kisah Penciptaan
Bapa Manusia (Nabi Adam AS)
Kemudian, surah ini membicarakan tentang permulaan penciptaan makhluk lalu menyebutkan kisah bapa kepada manusia iaitu Nabi Adam AS, serta peristiwa-peristiwa ajaib yang berlaku semasa penciptaannya, yang membuktikan kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat manusia.
Juga
disebutkan tentang perintah Allah SWT kepada malaikat supaya sujud kepada Nabi
Adam AS, serta ketentuan Allah SWT melalui peristiwa yang
berlaku kepada Baginda dan isterinya di syurga, sehinggalah mereka diturunkan
ke bumi.
Pendedahan Sejarah
dan Kejahatan Bani Israel
Seterusnya, surah ini membicarakan secara terperinci tentang
Ahli Kitab, khususnya Bani Israel (kaum Yahudi) kerana mereka hidup berjiran
dengan umat Islam di Madinah al-Munawwarah.
Perbincangan mengenai mereka telah mengambil ruang lebih
daripada satu pertiga surah ini. Surah ini memberi peringatan kepada orang-orang
mukmin tentang kejahatan dan tipu daya Bani Israel, serta kebejatan yang tersembunyi
di dalam jiwa mereka seperti sifat keji, khianat, belot, dan memungkiri janji
serta perjanjian. Begitu juga termasuklah pelbagai kenistaan dan jenayah lain yang
dilakukan oleh golongan perosak ini, yang menjelaskan betapa besarnya ancaman
dan kemudaratan mereka.
Mereka telah kufur terhadap nikmat Allah, tidak mensyukuri terselamatnya mereka daripada Firaun, lalu mereka mula menyembah anak lembu, dan mengemukakan
pelbagai tuntutan kepada Nabi Musa AS kerana sikap degil dan sombong mereka, serta
ingin mencabar Baginda. Walaupun tuntutan material mereka telah dipenuhi,
mereka tetap kufur terhadap ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi tanpa sebab
munasabah. Maka mereka layak ditimpa laknat dan kemurkaan Allah ke atas mereka,
lalu Allah menjadikan mereka bangsa yang hina, tersisih, dan terusir daripada
rahmat-Nya.
Perincian
Undang-Undang dan Sistem Sosial Islam
Baki surah ini pula membicarakan tentang aspek perundangan kerana umat Islam pada ketika itu berada pada fasa awal pembentukan
"Negara Islam". Mereka amat memerlukan sistem Ilahi serta
perundangan samawi untuk dijadikan panduan dalam kehidupan mereka, sama ada
dalam hal ibadat mahupun muamalat. Oleh yang demikian, sebahagian besar surah
ini merangkumi aspek perundangan yang secara ringkasnya adalah seperti
berikut:
1 - Hukum-hakam puasa yang dihuraikan dengan agak terperinci.
2 - Hukum-hakam haji dan umrah.
3 - Hukum-hakam jihad pada jalan Allah.
4 - Urusan kekeluargaan dan hal-hal yang berkaitan dengannya
seperti perkahwinan, perceraian, susuan, idah, ila' (sumpah tidak menggauli
isteri), pengharaman mengahwini wanita musyrik, amaran agar tidak menggauli
isteri ketika haid dan pada selain tempat bercucuk tanam dan melahirkan zuriat,
iaitu pada dubur, serta pelbagai hukum lain yang berkaitan dengan kekeluargaan kerana keluarga merupakan asas utama bagi pembentukan masyarakat yang lebih
besar.
Hukum hakam lain yang juga turut disebutkan adalah tentang penggunaan
bulan-bulan qamari (bulan hijrah) untuk penentuan waktu keagamaan, keperluan berinfak pada jalan Allah kerana ia merupakan cara untuk memelihara diri daripada
kebinasaan, wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat, penjelasan tentang golongan
yang berhak menerima nafkah, tatacara bermuamalat dan bergaul dengan anak-anak
yatim dalam kehidupan, ketiadaan hukuman atas sumpah yang tidak disengajakan,
pengharaman sihir, pengharaman pembunuhan tanpa sebab munasabah dan kewajipan
qisas ke atas pembunuhan, pengharaman memakan harta manusia dengan cara yang
batil, pengharaman arak, judi dan riba.
Pengharaman Riba
dan Pengurusan Hutang
Kemudian, surah ini membicarakan tentang "jenayah
riba" yang mengancam struktur masyarakat serta meruntuhkan asasnya.
Terdapat kecaman keras lagi tegas ke atas golongan ceti, melalui pengisytiharan
peperangan secara terang-terangan daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sesiapa
sahaja yang berurusan melalui sistem riba.
Selain itu, surah ini mengandungi ayat yang paling panjang
di dalam al-Quran iaitu Ayat al-Dayn (ayat hutang) yang menjelaskan
hukum-hakam berkaitan hutang-piutang dari sudut penulisan hutang, penyaksian, syarat
persaksian, syarat bagi saksi wanita dan lelaki, urusan gadaian, kewajipan
menunaikan amanah, serta pengharaman menyembunyikan persaksian.
Peringatan Hari
Kiamat dan Wahyu Terakhir
Ayat-ayat berkaitan riba dan hutang ini disusuli pula dengan amaran tentang hari yang dahsyat kelak, iaitu hari manusia akan diberi
balasan bagi amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah balasannya, dan
jika buruk malannya, maka buruklah balasannya:
وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ
إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا
يُظْلَمُونَ
"Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari
(Kiamat), yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan
disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya,
sedang mereka tidak dizalimi atau dikurangkan balasannya sedikitpun." (Surah al-Baqarah: ayat 281)
Ayat ini merupakan ayat al-Quran yang terakhir diturunkan, dan
wahyu terakhir yang turun dari langit ke bumi. Dengan turunnya ayat ini
terputuslah wahyu, dan Rasulullah SAW kembali bertemu dengan Tuhannya selepas
menunaikan risalah dan menyampaikan segala amanah.
Penutup Surah:
Tuntutan Bertaubat dan Doa Orang Beriman
Surah ini diakhiri dengan peringatan untuk bertaubat dan kembali merendah diri kepada Allah, serta disebutkan sebuah doa agung yang merangkumi permohonan kemudahan dan kelapangan serta diangkat segala kesempitan, bebanan dan belenggu, di samping permohonan pertolongan untuk mencapai kemenangan ke atas orang-orang kafir.







