Syeikh Ibnu Badran (meninggal dunia 1927M) dalam kitab al-Madkhal
Ila Mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal ada menyebutkan beberapa langkah yang tepat
dalam menuntut ilmu yang dapat diringkaskan seperti berikut
1. Prinsip Asas
dalam Menuntut Ilmu:
(i) Anggap ia peluang pertama dan terakhir:
Pelajar perlu mengkaji sesebuah kitab dengan tanggapan
bahawa dia tidak akan mengulanginya lagi. Ini bagi memaksanya berusaha keras
memahami keseluruhan isi kitab tersebut.
(ii) Kuasai asas sebelum beralih ke tahap tinggi:
Kitab tahap tinggi pada dasarnya adalah kitab asas yang
ditambah huraiannya. Menguasai asas memudahkan pelajar fokus kepada huraian
tambahan sahaja kelak.
(iii) Hafal konsep, bukan teks:
Pelajar perlu membayangkan permasalahan dalam minda dan
menghafal kefahaman konsep, bukannya menghafal struktur ayat atau susunan
perkataan pengarang.
2 - Kaedah Menelaah
Secara Peribadi:
Bagi memastikan ilmu benar-benar melekat di minda, Syeikh
Ibnu Badran menggariskan proses persediaan sebelum berjumpa guru:
(i) Baca Teks Asas (Matan):
Baca matan sekadar untuk satu sesi pembelajaran dan cuba
fahamkan sendiri tanpa melihat buku huraian (syarah).
(ii) Rujuk Huraian (Syarah):
Setelah cuba faham sendiri, barulah baca syarah untuk
menguji dan memperbetulkan kefahaman tadi.
(iii) Rujuk Hasyiah (Syarah kepada syarah):
Jika ada hasyiah, rujuk setelah memahami syarah, juga
untuk menguji pemikiran.
(iv) Ulang Kaji Mental:
Tutup kitab, bayangkan masalah/konsep di dalam fikiran, dan
cuba terangkan semula menggunakan ayat sendiri tanpa terikat dengan ayat
pengarang.
(v) Talaqqi dengan Guru:
Bawa kefahaman tersebut kepada guru. Di sinilah pelajar membetulkan baki kesilapan kefahamannya dan fokus mencatat ilmu tambahan yang guru sampaikan yang tiada di dalam buku.
3 - Pendekatan dan
Kaedah Mengajar bagi Guru:
(i) Ajar mengikut tahap (Bermula dengan Matan Asas):
Guru wajib memulakan pengajaran dengan matan ringkas. (Seperti
matan al-Ghayah wa al-Taqrib/Matan Abi Syuja’ untuk fiqh
mazhab al-Syafi’i).
(ii) Penerangan yang tepat dan terhad:
Pada peringkat awal, guru mesti mensyarahkan teks sekadar
pemahaman asas tanpa membuat sebarang penambahan atau pengurangan fakta bagi
mengelakkan kekeliruan pelajar.
(iii) Tangguh pembacaan Hasyiah :
Guru dilarang melangkau penerangan asas dengan membawa
perbahasan dari hasyiah selagi pelajar belum
benar-benar menguasai asas dan sebahagian ilmu.
(iv) Jauhi kitab yang terlalu padat/rumit untuk pemula:
Jangan mengajar kitab ringkasan yang menggunakan bahasa yang terlalu padat dan sukar difahami kepada pemula (seperti Mukhtasar Ibnu al-Hajib). Ia membuang masa, mengelirukan, dan menghalang pelajar daripada membentuk kemahiran berfikir yang matang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan