Rabu, 22 Julai 2026

Sinopsis Surah al-Dhuha

Surah al-Dhuha ialah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah).

Ia membicarakan tentang keperibadian Nabi SAW yang indah, serta kelebihan dan kenikmatan di dunia dan di akhirat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Baginda, supaya Baginda bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang besar tersebut.

Surah yang mulia ini bermula dengan sumpah tentang keagungan kedudukan Rasulullah SAW dan bahawasanya Allah SWT tidak meninggalkan Baginda dan tidak membenci Baginda seperti yang didakwa oleh golongan Musyrikin, bahkan Baginda di sisi Allah SWT memiliki kedudukan yang tinggi, serta darjat dan martabat yang mulia.

Kemudian, surah ini memberikan khabar gembira kepada Baginda dengan kurniaan yang melimpah ruah di akhirat, serta pelbagai bentuk kemuliaan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk Rasul-Nya, antaranya ialah syafaat yang agung (Syafaat Kubra).

Seterusnya, surah ini mengingatkan Baginda tentang keadaan Baginda semasa kecil, iaitu keadaan yatim, fakir miskin, dan tercari-cari arah, lalu Allah SWT memberikan perlindungan kepadanya, menjadikannya kaya, serta memeliharanya dengan penjagaan dan pemerhatian-Nya.

Surah ini diakhiri dengan pesanan kepada Baginda SAW melalui tiga wasiat - sebagai balasan kepada tiga nikmat yang disebutkan sebelum ini – iaitu hendaklah Baginda berlemah lembut kepada anak yatim, membantu orang yang memerlukan, dan mensyukuri nikmat-nikmat-Nya iaitu nikmat kenabian serta nikmat-nikmat lain yang disebutkan sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan