Khamis, 13 Ogos 2026

Mazhab Hanbali Dan Hadis Daif

Prinsip Asas Mazhab Hanbali Berkaitan Hadis Akidah 

Kaedah asas di sisi ulama Mazhab Hanbali adalah tidak harus berdalilkan dengan hadis-hadis yang lemah dan sangat lemah (wahiyah) dalam hal-hal akidah.

Al-Allamah Ibn Qudamah al-Hanbali berkata: "Sewajarnya diketahui bahawa hadis sahih yang dapat menetapkan sifat-sifat Allah SWT ialah hadis sahih lagi sabit melalui periwayatan perawi-perawi yang adil lagi dipercayai (thiqah), yang diterima oleh golongan Salaf, yang diriwayatkan oleh mereka, yang tidak diingkari oleh mereka, dan yang tidak dipertikaikan oleh mereka.

Adapun hadis-hadis palsu yang direka oleh golongan zindik untuk mengelirukan umat Islam, atau hadis-hadis yang lemah sama ada disebabkan kelemahan perawinya, atau ketidakjelasan status mereka (majhul), atau kerana terdapat kecacatan (illah) di dalamnya, maka tidak diharuskan untuk berpegang dengannya dan tidak boleh meyakini apa yang terkandung di dalamnya. Bahkan, kewujudannya adalah sama seperti ketiadaannya.

Apa sahaja yang direka oleh golongan zindiq itu, maka ia adalah sama seperti perkataan mereka sendiri yang mereka sandarkan kepada diri mereka sendiri. Maka, sesiapa yang termasuk dalam kalangan orang yang mempunyai pengetahuan tentang hal tersebut, wajib ke atasnya untuk mengikuti hadis yang sahih dan membuang hadis selainnya."

Imam Ahmad dan Hadis Daif Berkaitan Akidah

Imam Ahmad tidak pernah bersikap bermudah-mudah dengan hadis-hadis berkaitan akidah, berbeza dengan sebahagian Ahli Hadis yang datang selepas beliau. Beliau tidak akan menerima hadis melainkan jika ia didatangkan dengan sanad-sanad yang sahih. Antara contohnya ialah hadis tentang melihat Tuhan dalam rupa seorang pemuda yang tidak berjanggut (amrad), di mana Imam Ahmad telah mengingkarinya.

Muhanna berkata:

“Aku telah bertanya kepada Abu Abdullah (Imam Ahmad), mengenai hadis Ibn Wahb, daripada Amr bin al-Harith, daripada Said bin Abi Hilal, bahawa Marwan bin Uthman menceritakan kepadanya daripada Umarah, daripada Umm al-Tufayl, isteri Ubay bin Ka'ab:

أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ أَنَّهُ رَأَى رَبَّهُ فِي الْمَنَامِ صُورَةَ شَابٍّ مُوَفَّرٍ، رِجْلَاهُ فِي خَضِرٍ، عَلَيْهِ نَعْلَانِ مِنْ ذَهَبٍ، عَلَى وَجْهِهِ فِرَاشٌ مِنْ ذَهَبٍ

"Dia mendengar Rasulullah SAW menyebutkan bahawa baginda melihat Tuhannya dalam mimpi dalam rupa seorang pemuda yang berambut lebat, kedua kakinya berada di atas kawasan kehijauan, memakai sepasang selipar daripada emas, dan pada wajahnya terdapat hamparan daripada emas?"

Lalu Imam Ahmad memalingkan wajahnya daripadaku, dan berkata: "Ini adalah hadis yang munkar."

Hadis ini - dan juga hadis-hadis lain - telah masuk ke dalam kebanyakan kitab akidah karangan Ahli Hadis, dan ia diriwayatkan oleh Ahli Hadis tanpa menjelaskan status kepalsuan atau kelemahannya.

Al-Allamah Ibn al-Jawzi berkata: "Antara bentuk tipu daya Iblis ke atas ulama hadis ialah meriwayatkan hadis yang palsu tanpa mereka menjelaskan bahawa ia adalah palsu. Ini merupakan satu kesalahan besar daripada mereka terhadap syarak, dan matlamat mereka hanyalah untuk melariskan hadis-hadis mereka dan membanyakkan riwayat mereka. Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ رَوَى عَنِّي حَدِيثًا يُرَى أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِينَ

"Sesiapa yang meriwayatkan daripadaku suatu hadis yang dia meyakini bahawa ia adalah suatu pendustaan, maka dia adalah salah seorang daripada para pendusta."

Ibn Taimiyyah telah memberi amaran terhadap sebahagian kitab Ahli Hadis dalam bab akidah disebabkan terdapat di dalamnya hadis-hadis yang lemah dan palsu. Beliau berkata di dalam al-Majmu':

"Orang yang mencela sebahagian Ahli Hadis dan Ahli Jamaah dengan kata-kata yang melampau, hanyasanya dia mencela mereka kerana kurangnya pengetahuan atau kurangnya kefahaman. Adapun yang pertama (kurang pengetahuan), ia adalah kerana mereka berhujah menggunakan hadis-hadis yang lemah atau palsu. Manakala yang kedua (kurang kefahaman), ia adalah kerana mereka tidak memahami makna hadis-hadis yang sahih, bahkan kadangkala mereka mengeluarkan dua pendapat yang saling bercanggah. Tidak syak lagi bahawa perkara ini wujud pada sebahagian daripada mereka.

Kemudian, berdasarkan nukilan yang lemah serta pemikiran rasional yang dangkal ini, mereka kadangkala mengkafirkan, menyesatkan, membidaahkan, dan membodohkan beberapa kelompok daripada kalangan tokoh terkemuka umat ini. Pada sebahagian daripada mereka terdapat tindakah mengabaikan kebenaran dan melampau terhadap sesama makhluk, yang mana sebahagian daripadanya mungkin merupakan kesalahan yang boleh dimaafkan, dan kadangkala ia merupakan ucapan yang mungkar lagi dusta, dan kadangkala ia merupakan sebahagian daripada bidaah serta kesesatan yang mewajibkan hukuman yang berat. Maka perkara ini tidak diingkari melainkan oleh orang yang jahil atau zalim. Sesungguhnya aku telah melihat banyak perkara pelik daripada hal ini..." Tamat perkataan Ibn Taimiyyah.

Imam Ahmad dan Hadis Daif Dalam Bab Kelebihan Amalan

Imam Ahmad – merupakan orang yang paling alim dalam kalangan ahli hadis – menggunakan hadis yang lemah dalam bab kelebihan amalan (fada'il), galakan (targhib), dan ancaman (tarhib). Adapun dalam bab halal, haram, dan akidah, mestilah menggunakan hadis yang sahih.

Ibn Abi Ya'la telah meriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau berkata:

"Apabila kami meriwayatkan daripada Rasulullah SAW dalam bab halal dan haram, kami memperketatkan (penilaian) pada sanad-sanadnya. Namun, apabila kami meriwayatkan daripada Nabi SAW dalam bab kelebihan amalan (fada'il al-a'mal) serta perkara yang tidak menetapkan sesuatu hukum dan tidak membatalkannya, kami memberikan kelonggaran (bertolak ansur) pada sanad-sanadnya."

Ini adalah satu perincian yang teliti. Hadis-hadis yang meriwayatkan tentang halal dan haram, serta topik-topik yang lebih besar daripadanya seperti akidah, ia tidak boleh diberi kelonggaran padanya dan tidak diterima hadis yang lemah padanya.

Adapun hadis-hadis yang meriwayatkan tentang kelebihan amalan (fada'il), galakan (targhib), ancaman (tarhib), dan sejarah peperangan Nabi SAW (maghazi), maka diberikan kelonggaran padanya dan boleh berpegang dengan hadis yang lemah padanya, dengan syarat tidak terdapat perawi yang dituduh berdusta atau pendusta di dalam sanadnya.

Salafi Komtemporari dan Hadis Daif

Antara perkara yang pelik adalah sebahagian besar daripada golongan Salafi Kontemporari telah menterbalikkan kaedah Imam Ahmad dan majoriti ulama Mazhab Hanbali, di mana mereka menerima hadis yang lemah dalam bab akidah tetapi menolaknya dalam bab kelebihan amalan.

Sebahagian daripada mereka menyebarkan kitab-kitab akidah yang banyak mengandungi hadis-hadis yang sangat lemah (wahiyah) tanpa memberikan penjelasan mengenainya. Namun, jika mereka mendengar ada seseorang yang berdalilkan dengan hadis yang lemah dalam bab kelebihan amalan, mereka akan membuat kecoh dan mengarang pelbagai karya penulisan untuk menolaknya.

Mereka sesungguhnya telah memasukkan ke dalam bab akidah perkara-perkara yang janggal (syaz) lagi ditinggalkan (matruk) di sisi Ahli Sunnah. Oleh sebab itu, engkau melihat mereka mencetak kitab-kitab akidah - meskipun ia amat berbahaya - sedangkan di dalamnya terdapat hadis-hadis yang lemah (daif) dan sangat lemah (wahi) tanpa sebarang penjelasan terhadapnya, dan mereka berpandangan bahawa perkara ini adalah sebahagian daripada usaha membela akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sumber:

Al-Hanabilah Wa Ikhtilafuhum Ma'a al-Salafiyyah al-Mu'asirah oleh Mustafa Hamdu ‘Ilyan al-Hanbali. 

Jumaat, 7 Ogos 2026

Adakah Orang Mati Kenal Penziarahnya?


Soalan: 

Adakah orang yang telah meninggal dunia itu selepas kematiannya akan menyedari salam orang yang hidup kepadanya dan perkara selainnya, atau dia tidak menyedari perkara tersebut?

Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah (Mantan Mufti Mesir): 

Sesungguhnya kematian itu bukanlah kemusnahan manusia secara total, dan ia juga bukanlah penghapusan kewujudannya yang telah diciptakan oleh Allah untuknya.

Sebaliknya, kematian merupakan satu keadaan daripada keadaan-keadaan paling sukar yang dilalui oleh manusia, di mana rohnya keluar pada waktu itu untuk hidup di alam yang lain. Maka, keluarnya roh dari jasad yang ia berada di dalamnya adalah sesuatu yang sukar.

Kematian adalah perpisahan roh dari jasad secara hakiki. Al-Ghazali berkata: “Makna perpisahan roh dari jasad ialah terputusnya pengurusan roh terhadap jasad dengan keluarnya jasad daripada ketaatan kepada roh.”

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ مَرَّ بِقَبْرِ أَخِيهِ الْمُؤْمِنِ كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا، فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا عَرَفَهُ وَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

"Tidak ada seorang pun yang lalu di kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenali di dunia, lalu dia memberi salam kepadanya, melainkan orang yang telah meninggal dunia itu mengenalinya dan menjawab salamnya." (Riwayat al-Khatib dalam Tarikh Baghdad)

Al-Munawi mengulasnya dengan katanya:

"Al-Hafiz al-Iraqi berkata: “Mengenali dan jawapan salam (daripada orang yang telah meninggal dunia) adalah cabang daripada kehidupan dan kembalinya roh. Tiada halangan daripada diciptakan kesedaran ini dengan mengembalikan roh pada sebahagian jasadnya, walaupun ia tidak berlaku pada keseluruhannya.” Sebahagian ulama besar berkata: “Hubungan roh dengan badan adalah hubungan yang menyerupai kerinduan yang amat sangat dan cinta yang berkekalan. Apabila roh berpisah dengan badan, maka kerinduan itu tidak akan hilang melainkan selepas beberapa ketika, lalu roh itu menjadi sangat cenderung kepada badan tersebut dan kerana itulah dilarang mematahkan tulangnya dan memijak kuburnya."

Sahih daripada Nabi SAW:

أَنَّهُ أَمَرَ بِقَتْلَى بَدْرٍ، فَأُلْقُوا فِي قَلِيبٍ، ثُمَّ جَاءَ حَتَّى وَقَفَ عَلَيْهِمْ وَنَادَاهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ: يَا فُلَانُ ابْنَ فُلَانٍ، وَيَا فُلَانُ ابْنَ فُلَانٍ، هَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَكُمْ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا تُخَاطِبُ مِنْ أَقْوَامٍ قَدْ جَيَّفُوا؟ فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ، مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ، وَلَكِنَّهُمْ لَا يَسْتَطِيعُونَ جَوَابًا

"Baginda mengarahkan agar mayat korban perang Badar (daripada kaum Musyrikin) dicampakkan ke dalam perigi buta. Kemudian baginda datang dan baginda berdiri di atas mereka dan memanggil mereka dengan nama-nama mereka: Wahai fulan bin fulan, dan wahai fulan bin fulan, adakah kamu telah mendapati apa yang dijanjikan oleh Tuhan kamu itu benar? Kerana sesungguhnya aku telah mendapati apa yang dijanjikan oleh Tuhanku kepadaku adalah benar.

Lalu Umar berkata kepadanya: Wahai Rasulullah, mengapakah engkau berbicara dengan kaum yang telah menjadi mayat yang reput?

Maka baginda bersabda: Demi Tuhan yang mengutusku dengan kebenaran, tidaklah kamu lebih mendengar terhadap apa yang aku katakan berbanding mereka, akan tetapi mereka tidak mampu untuk menjawab." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Orang yang telah meninggal dunia itu menyedari dan mengetahui - melalui sejenis kesedaran - akan orang yang datang menziarahinya dan dia berasa gembira dengannya.

Atas sebab inilah Nabi SAW memerintahkan agar memberi salam kepada orang yang telah mati, sepertimana yang diriwayatkan bahawa baginda SAW mengajarkan kepada para sahabatnya RA, apabila mereka menziarahi kubur, supaya mereka mengucapkan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ

“Kesejahteraan ke atas kamu wahai penghuni kediaman ini daripada kalangan mukminin dan muslimin. Semoga Allah merahmati orang-orang yang terdahulu daripada kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian. Sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusul kamu." (Riwayat Ahmad, Muslim, al-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Imam al-Nawawi berkata: "Disunatkan bagi penziarah untuk mendekati kubur orang yang diziarahi dengan kadar jarak seperti mana dia mendekati sahabatnya itu seandainya dia masih hidup dan penziarah itu datang menziarahinya."

Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah ditanya mengenai adakah mayat mendengar selepas kematiannya, lalu beliau menjawab:

"Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya, mayat mendengar secara umumnya."

Beliau menyebutkan banyak hadis, kemudian berkata selepas menyebut hadis mengenai salam ke atas ahli kubur:

"Maka ini adalah percakapan yang ditujukan kepada mereka, dan hanyasanya percakapan itu ditujukan kepada sesiapa yang mendengar."

Ibn Abd al-Barr meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ يَمُرُّ بِقَبْرِ رَجُلٍ كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا رَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ رُوحَهُ حَتَّى يَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

"Tidak ada seseorang pun yang lalu di kubur seseorang yang dia kenali di dunia, lalu dia memberi salam kepadanya, melainkan Allah akan mengembalikan rohnya kepadanya sehinggalah dia menjawab salam tersebut."

Di dalam kitab-kitab Sunan, daripada baginda bahawa baginda bersabda:

أَكْثِرُوا مِنَ الصَّلَاةِ عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

"Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat dan malam Jumaat, kerana sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku."

Lalu para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah selawat kami dibentangkan kepadamu sedangkan engkau telah reput? Lalu baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَنْ تَأْكُلَ لُحُومَ الْأَنْبِيَاءِ

"Sesungguhnya Allah Taala telah mengharamkan ke atas bumi daripada memakan jasad para nabi."

Di dalam kitab-kitab Sunan juga, bahawa baginda SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَكَّلَ بِقَبْرِي مَلَائِكَةً يُبَلِّغُونِي عَنْ أُمَّتِي السَّلَامَ

"Sesungguhnya Allah telah mewakilkan malaikat di kuburku yang akan menyampaikan kepadaku salam daripada umatku."

"Maka nukilan-nukilan ini dan seumpamanya menjelaskan bahawa mayat itu mendengar ucapan orang yang hidup itu secara umumnya. Pendengaran itu tidak semestinya berlaku secara berterusan baginya, bahkan kadangkala dia mendengar pada satu keadaan tetapi tidak pada keadaan yang lain. Hal ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang hidup, kadangkala dia mendengar ucapan orang yang bercakap kepadanya, dan kadangkala dia tidak mendengar disebabkan ada suatu halangan yang menghalangnya. Pendengaran ini adalah pendengaran yang bersifat kesedaran (idrak), tidak ada sebarang balasan (pahala atau dosa) yang terhasil daripadanya."

Ibn al-Qayyim berkata: "Nabi SAW telah mensyariatkan untuk umatnya apabila mereka memberi salam kepada ahli kubur agar memberi salam kepada mereka sebagaimana salam seseorang kepada orang yang dia sedang ajak bicara, lalu dia mengucapkan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ

"Kesejahteraan ke atas kamu (penghuni) kediaman orang yang beriman."

Ini adalah percakapan yang ditujukan kepada sesiapa yang mendengar dan berakal. Kalaulah tidak kerana perkara tersebut, nescaya percakapan ini adalah menyamai percakapan yang ditujukan kepada sesuatu yang tiada dan benda mati. Golongan Salaf telah bersepakat mengenai perkara ini dan telah mutawatir athar-athar daripada mereka bahawa mayat mengetahui tentang ziarah orang hidup kepadanya dan berasa gembira dengannya."

Berdasarkan penjelasan tersebut, maka pendapat yang benar ialah mayat menyedari, berasa tenang dan gembira dengan sesiapa yang menziarahinya dan menjawab salamnya. Kematian bukanlah pelenyapan bagi kewujudan, sebaliknya mayat itu wujud dengan rohnya dan roh tersebut mempunyai satu bentuk keterikatan dengan jasad.

Kami memohon kepada Allah agar mengurniakan kepada kami kesempatan untuk berbuat baik kepada orang-orang yang mempunyai hak ke atas kami, dalam kalangan mereka yang telah mendahului kami ke negeri akhirat dengan menziarahi mereka dan memberi salam kepada mereka. Dan Allah Taala Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

Sumber:

Al-Bayan Li Ma Yasyghal al-Azhan oleh Syeikh Dr Ali Jum’ah.

Sabtu, 1 Ogos 2026

Bidaahkah Qunut Subuh?

Soalan: 

Adakah qunut dalam solat Subuh itu sunnah atau bidaah?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di (Mantan Mufti Iraq): 

Jika qunut itu dilakukan atas sebab musibah (nazilah) yang menimpa umat Islam atau orang yang bersolat itu sendiri, maka para fuqaha telah bersepakat akan pensyariatannya.

Namun, jika tidak berlaku musibah, maka telah berlaku perselisihan pendapat seperti yang berikut:

Pertama: Imam Malik, al-Syafi’i, Ibn Abi Laila, al-Hasan bin Soleh, Abu Ishaq al-Fazari, Abu Bakar bin Muhammad, al-Hakam bin Utaibah, Hammad, penduduk Hijaz, al-Awza'ie, dan kebanyakan penduduk Syam berpendapat  (al-Nawawi menyebutkannya di dalam kitab al-Majmu'):

“Ini ialah pendapat kebanyakan golongan Salaf dan golongan selepas mereka iaitu ia adalah sunnah di dalam solat Subuh pada setiap hari.”

Mereka berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas, beliau berkata:

مَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا

"Rasulullah SAW sentiasa membaca qunut pada solat Subuh sehinggalah baginda berpisah dengan dunia (wafat)."

Umar pernah membaca qunut pada solat Subuh dengan dihadiri oleh para Sahabat dan selain mereka.

Berkenaan hadis Anas tersebut, al-Haithami berkata mengenainya: “Perawi-perawinya adalah dipercayai (thiqah).”

Al-Nawawi berkata: “Ia diriwayatkan oleh sekumpulan pakar hadis (Huffaz) dan mereka mensahihkannya. Status sahihnya telah dinyatakan secara jelas oleh al-Hafiz al-Balkhi, al-Hakim, dan al-Baihaqi. Al-Daraqutni pula meriwayatkannya melalui pelbagai jalur dengan sanad-sanad yang sahih.”

Kedua: Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Mas'ud, Abu al-Darda', al-Thauri, Ibn al-Mubarak, Abu Ishaq dan pengikut-pengikutnya, Imam Ahmad, serta Abu Hanifah berpendapat:

“Ia tidak disyariatkan di dalamnya (solat Subuh) melainkan pada waktu berlakunya musibah (nazilah).”

Mereka berdalilkan atas pendapat tersebut:

1 - Dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ ثُمَّ تَرَكَهُ

"Nabi SAW membaca qunut selama sebulan mendoakan (keburukan) ke atas sebuah kabilah daripada kabilah-kabilah Arab, kemudian baginda meninggalkannya."

2 - Dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ إِلَّا إِذَا دَعَا لِقَوْمٍ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ

“Nabi SAW tidak membaca qunut di dalam solat Subuh melainkan jika baginda mendoakan (kebaikan) untuk sesuatu kaum atau mendoakan (keburukan) ke atas sesuatu kaum."

Memandangkan hadis Anas - yang dijadikan dalil oleh golongan yang mensyariatkan qunut Subuh - adalah hadis yang sahih, maka mereka telah mentakwilkannya dengan berkata:

“Maksud ‘qunut’ (dalam hadis itu) adalah berdiri yang lama kerana ia dahulunya dinamakan sebagai ‘qunut’.”

Aku berkata: Tiada keperluan untuk takwilan ini selagi mana makna sebenar bagi qunut - iaitu doa - tidak terlarang di sini. Ini kerana meletakkan sesuatu lafaz kepada makna hakikinya - jika tiada penghalang - adalah lebih utama daripada mentakwilkannya.

Begitu juga mereka turut mentakwilkan qunut Umar sebagai qunut disebabkan oleh musibah (nazilah).

Aku berkata: Kalaulah ia hanya untuk musibah semata-mata, nescaya beliau akan berqunut pada waktu-waktu solat yang lain juga dan tidak akan membataskannya pada solat Subuh sahaja, sepertimana yang disyariatkan di dalam qunut nazilah, atau nescaya beliau akan berqunut juga dalam solat Maghrib sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW disebabkan oleh musibah.

Meskipun begitu: Tidak dibenarkan melabelkan qunut Subuh secara mutlak sebagai bidaah, dan orang yang berqunut bukanlah pelaku bidaah. Sesiapa yang mahu, dia boleh berqunut, dan sesiapa yang mahu, dia boleh meninggalkannya.

Tambahan pula, zaman kita ini penuh dengan pelbagai malapetaka dan musibah yang menimpa umat Islam, maka atas alasan apakah wujudnya pengingkaran dan tuduhan sesat ini?!

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di