Jumaat, 7 Ogos 2026

Adakah Orang Mati Kenal Penziarahnya?


Soalan: 

Adakah orang yang telah meninggal dunia itu selepas kematiannya akan menyedari salam orang yang hidup kepadanya dan perkara selainnya, atau dia tidak menyedari perkara tersebut?

Jawapan Syeikh Dr Ali Juma’ah (Mantan Mufti Mesir): 

Sesungguhnya kematian itu bukanlah kemusnahan manusia secara total, dan ia juga bukanlah penghapusan kewujudannya yang telah diciptakan oleh Allah untuknya.

Sebaliknya, kematian merupakan satu keadaan daripada keadaan-keadaan paling sukar yang dilalui oleh manusia, di mana rohnya keluar pada waktu itu untuk hidup di alam yang lain. Maka, keluarnya roh dari jasad yang ia berada di dalamnya adalah sesuatu yang sukar.

Kematian adalah perpisahan roh dari jasad secara hakiki. Al-Ghazali berkata: “Makna perpisahan roh dari jasad ialah terputusnya pengurusan roh terhadap jasad dengan keluarnya jasad daripada ketaatan kepada roh.”

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ مَرَّ بِقَبْرِ أَخِيهِ الْمُؤْمِنِ كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا، فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا عَرَفَهُ وَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

"Tidak ada seorang pun yang lalu di kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenali di dunia, lalu dia memberi salam kepadanya, melainkan orang yang telah meninggal dunia itu mengenalinya dan menjawab salamnya." (Riwayat al-Khatib dalam Tarikh Baghdad)

Al-Munawi mengulasnya dengan katanya:

"Al-Hafiz al-Iraqi berkata: “Mengenali dan jawapan salam (daripada orang yang telah meninggal dunia) adalah cabang daripada kehidupan dan kembalinya roh. Tiada halangan daripada diciptakan kesedaran ini dengan mengembalikan roh pada sebahagian jasadnya, walaupun ia tidak berlaku pada keseluruhannya.” Sebahagian ulama besar berkata: “Hubungan roh dengan badan adalah hubungan yang menyerupai kerinduan yang amat sangat dan cinta yang berkekalan. Apabila roh berpisah dengan badan, maka kerinduan itu tidak akan hilang melainkan selepas beberapa ketika, lalu roh itu menjadi sangat cenderung kepada badan tersebut dan kerana itulah dilarang mematahkan tulangnya dan memijak kuburnya."

Sahih daripada Nabi SAW:

أَنَّهُ أَمَرَ بِقَتْلَى بَدْرٍ، فَأُلْقُوا فِي قَلِيبٍ، ثُمَّ جَاءَ حَتَّى وَقَفَ عَلَيْهِمْ وَنَادَاهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ: يَا فُلَانُ ابْنَ فُلَانٍ، وَيَا فُلَانُ ابْنَ فُلَانٍ، هَلْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَكُمْ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا تُخَاطِبُ مِنْ أَقْوَامٍ قَدْ جَيَّفُوا؟ فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ، مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ، وَلَكِنَّهُمْ لَا يَسْتَطِيعُونَ جَوَابًا

"Baginda mengarahkan agar mayat korban perang Badar (daripada kaum Musyrikin) dicampakkan ke dalam perigi buta. Kemudian baginda datang dan baginda berdiri di atas mereka dan memanggil mereka dengan nama-nama mereka: Wahai fulan bin fulan, dan wahai fulan bin fulan, adakah kamu telah mendapati apa yang dijanjikan oleh Tuhan kamu itu benar? Kerana sesungguhnya aku telah mendapati apa yang dijanjikan oleh Tuhanku kepadaku adalah benar.

Lalu Umar berkata kepadanya: Wahai Rasulullah, mengapakah engkau berbicara dengan kaum yang telah menjadi mayat yang reput?

Maka baginda bersabda: Demi Tuhan yang mengutusku dengan kebenaran, tidaklah kamu lebih mendengar terhadap apa yang aku katakan berbanding mereka, akan tetapi mereka tidak mampu untuk menjawab." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Orang yang telah meninggal dunia itu menyedari dan mengetahui - melalui sejenis kesedaran - akan orang yang datang menziarahinya dan dia berasa gembira dengannya.

Atas sebab inilah Nabi SAW memerintahkan agar memberi salam kepada orang yang telah mati, sepertimana yang diriwayatkan bahawa baginda SAW mengajarkan kepada para sahabatnya RA, apabila mereka menziarahi kubur, supaya mereka mengucapkan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ

“Kesejahteraan ke atas kamu wahai penghuni kediaman ini daripada kalangan mukminin dan muslimin. Semoga Allah merahmati orang-orang yang terdahulu daripada kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian. Sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusul kamu." (Riwayat Ahmad, Muslim, al-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Imam al-Nawawi berkata: "Disunatkan bagi penziarah untuk mendekati kubur orang yang diziarahi dengan kadar jarak seperti mana dia mendekati sahabatnya itu seandainya dia masih hidup dan penziarah itu datang menziarahinya."

Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah ditanya mengenai adakah mayat mendengar selepas kematiannya, lalu beliau menjawab:

"Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya, mayat mendengar secara umumnya."

Beliau menyebutkan banyak hadis, kemudian berkata selepas menyebut hadis mengenai salam ke atas ahli kubur:

"Maka ini adalah percakapan yang ditujukan kepada mereka, dan hanyasanya percakapan itu ditujukan kepada sesiapa yang mendengar."

Ibn Abd al-Barr meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ يَمُرُّ بِقَبْرِ رَجُلٍ كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا رَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ رُوحَهُ حَتَّى يَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

"Tidak ada seseorang pun yang lalu di kubur seseorang yang dia kenali di dunia, lalu dia memberi salam kepadanya, melainkan Allah akan mengembalikan rohnya kepadanya sehinggalah dia menjawab salam tersebut."

Di dalam kitab-kitab Sunan, daripada baginda bahawa baginda bersabda:

أَكْثِرُوا مِنَ الصَّلَاةِ عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

"Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat dan malam Jumaat, kerana sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku."

Lalu para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah selawat kami dibentangkan kepadamu sedangkan engkau telah reput? Lalu baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَنْ تَأْكُلَ لُحُومَ الْأَنْبِيَاءِ

"Sesungguhnya Allah Taala telah mengharamkan ke atas bumi daripada memakan jasad para nabi."

Di dalam kitab-kitab Sunan juga, bahawa baginda SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَكَّلَ بِقَبْرِي مَلَائِكَةً يُبَلِّغُونِي عَنْ أُمَّتِي السَّلَامَ

"Sesungguhnya Allah telah mewakilkan malaikat di kuburku yang akan menyampaikan kepadaku salam daripada umatku."

"Maka nukilan-nukilan ini dan seumpamanya menjelaskan bahawa mayat itu mendengar ucapan orang yang hidup itu secara umumnya. Pendengaran itu tidak semestinya berlaku secara berterusan baginya, bahkan kadangkala dia mendengar pada satu keadaan tetapi tidak pada keadaan yang lain. Hal ini sepertimana yang berlaku kepada orang yang hidup, kadangkala dia mendengar ucapan orang yang bercakap kepadanya, dan kadangkala dia tidak mendengar disebabkan ada suatu halangan yang menghalangnya. Pendengaran ini adalah pendengaran yang bersifat kesedaran (idrak), tidak ada sebarang balasan (pahala atau dosa) yang terhasil daripadanya."

Ibn al-Qayyim berkata: "Nabi SAW telah mensyariatkan untuk umatnya apabila mereka memberi salam kepada ahli kubur agar memberi salam kepada mereka sebagaimana salam seseorang kepada orang yang dia sedang ajak bicara, lalu dia mengucapkan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ

"Kesejahteraan ke atas kamu (penghuni) kediaman orang yang beriman."

Ini adalah percakapan yang ditujukan kepada sesiapa yang mendengar dan berakal. Kalaulah tidak kerana perkara tersebut, nescaya percakapan ini adalah menyamai percakapan yang ditujukan kepada sesuatu yang tiada dan benda mati. Golongan Salaf telah bersepakat mengenai perkara ini dan telah mutawatir athar-athar daripada mereka bahawa mayat mengetahui tentang ziarah orang hidup kepadanya dan berasa gembira dengannya."

Berdasarkan penjelasan tersebut, maka pendapat yang benar ialah mayat menyedari, berasa tenang dan gembira dengan sesiapa yang menziarahinya dan menjawab salamnya. Kematian bukanlah pelenyapan bagi kewujudan, sebaliknya mayat itu wujud dengan rohnya dan roh tersebut mempunyai satu bentuk keterikatan dengan jasad.

Kami memohon kepada Allah agar mengurniakan kepada kami kesempatan untuk berbuat baik kepada orang-orang yang mempunyai hak ke atas kami, dalam kalangan mereka yang telah mendahului kami ke negeri akhirat dengan menziarahi mereka dan memberi salam kepada mereka. Dan Allah Taala Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

Sumber:

Al-Bayan Li Ma Yashghilu al-Azhan oleh Syeikh Dr Ali Jum’ah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan