Ahad, 12 Mei 2019

Hadis Palsu: Selawat 200 Kali Pada Hari Jumaat Diampunkan Dosa 200 Tahun


مَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ مائَتَى صَلاةٍ غُفِرَ لَهُ ذَنْبُ مائَتَى عَامٍ

“Sesiapa yang berselawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 200 kali diampunkan dosanya selama 200 tahun.”

Hadis ini menurut al-Hafiz al-Sakhawi (m. 902H) dalam al-Qaul al-Badi’ (ms. 378, tahqiq: Syeikh Muhammad ‘Awwamah) diriwayatkan oleh al-Dailami daripada hadis Abu Zarr. 

Begitu juga yang dinyatakan oleh al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911H) dalam al-Jami’ al-Kabir [(9/477), c: Dar al-Sa’adah]. Meskipun begitu saya tidak temui dalam kitab al-Firdaus Bi Ma’thur al-Khitab karangan al-Dailami yang telah dicetak pada hari ini. Begitu juga saya tidak temui hadis ini dalam mana-mana kitab hadis bersanad yang lain.

Hadis ini menurut al-Hafiz al-Sakhawi adalah hadis yang tidak sahih (لا يصح). Sesiapa yang meneliti hadis-hadis yang dihukum oleh al-Hafiz al-Sakhawi sebagai tidak sahih sama dalam al-Qaul al-Badi’ mahupun al-Maqasid al-Hasanah akan mengetahui bahawa maksud beliau ialah hadis tersebut palsu.

Wallahu a’lam.


Khamis, 9 Mei 2019

Status Hadis: Selawat 80 Kali Pada Hari Jumaat Diampunkan Dosa 80 Tahun


Hadis ini diriwayatkan daripada hadis Anas bin Malik dan Abu Hurairah.

1 - Hadis Anas diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan Ibnu al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah daripada jalur perawi:

Wahab bin Daud bin Sulaiman daripada Isma’il bin Ibrahim daripada Abdul ‘Aziz bin Suhaib daripada Anas bin Malik, beliau berkata:

كُنْتُ وَاقِفًا بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَ ثَمَانِينَ عَامًا، فَقِيلَ لَهُ: كَيْفَ الصَّلاةُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: تَقُولُ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ، وَتَعْقِدُ وَاحِدَةً.

“Aku berdiri di hadapan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda bersabda:

Sesiapa yang berselawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali Allah akan mengampunkan dosanya selama 80 tahun.

Seseorang bertanya kepada baginda: Bagaimanakan selawat ke atasmu wahai Rasulullah?

Baginda bersabda: Kamu katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ

Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Muhammad, hambaMu, NabiMu, RasulMu, seorang Nabi yang ummi.

Dan kamu anggap bacaan tersebut sebagai sekali (bacaan selawat).”

Dalam kitab al-‘Ilal al-Mutanahiyyah yang telah dicetak, disebutkan bahawa selawat tersebut dibaca sebanyak 200 kali.

Perawinya iaitu Wahb bin Daud bin Sulaiman al-Mukharrimi ini kata al-Khatib al-Baghdadi: “Tidak thiqah.”  Menurut Ibnu al-Jauzi hadis ini tidak sahih.  Al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Mughni Fi al-Dhu’afa’ menganggap hadis ini hasil pemalsuan Wahb bin Daud.

2 - Hadis Abu Hurairah pula diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Targhib, Ibnu Basykuwal dalam al-Qurbah, al-Dailami dalam al-Firdaus dan Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar daripada jalur perawi:

‘Aun bin ‘Umarah daripada Sakan al-Burjumi daripada Hajjaj bin Sinan daripada ‘Ali bin Zaid bin Jud’an daripada Sa’id bin al-Musayyib daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الصَّلَاةُ عَلَيَّ نُورٌ عَلَى الصِّرَاطِ فَمَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُ ثَمَانِينَ عَامًا

“Selawat ke atasku adalah cahaya ketika berada di Sirat. Sesiapa yang berselawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali diampunkan baginya akan dosa-dosanya selama 80 tahun.”

Al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ menyatakan bahawa hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Afrad, Abu al-Syeikh, al-Dhiya’, Abu al-Yumn Ibnu ‘Asakir, al-Daraqutni dalam al-Afrad dan al-Azdi.

Kata Ibnu Hajar: “Keempat-empat perawi tersebut (‘Aun, Sakan, Hajjaj dan ‘Ali bin Zaid) adalah daif.”

Perawinya Hajjaj bin Sinan tidak dithiqahkan oleh mana-mana ahli hadis pun. Kata al-Azdi: “Dia matruk (ditinggalkan hadisnya).” Al-Azdi meskipun terkenal sebagai seorang yang mutasyaddid (keras) dalam menghukum perawi, namun penilaian beliau terhadap Hajjaj bin Sinan dapat diterima kerana tidak ada ulama yang menthiqahkan Hajjaj bin Sinan. Al-Hafiz al-Zahabi dan al-Hafiz Ibnu Hajar masih mengambil kira penilaian al-Azdi jika seorang perawi itu tidak ada penilaian ulama lain terhadapnya.

Al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya’ menukilkan daripada Ibnu al-Nu’man bahawa beliau menghasankan hadis ini. Tetapi pandangan Ibnu al-Nu’man ini menurut al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah masih perlu kepada penelitian (يحتاج الى نظر). Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam tahqiq kitab Bisyarah al-Mahbub Bi Takfir al-Zunub (hlm. 21, c: Maktabah al-Kaherah) juga menganggap penilaian hasan Ibnu al-Nu'man tersebut sebagai tidak tepat. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan (pada biografi Hajjaj bin Sinan) menganggap hadis ini sebagai mungkar.

Kesimpulan

Hadis ini sangat daif kalau ia tidak sampai ke tahap palsu sekalipun. Kedua-dua riwayat tersebut juga tidak saling menguatkan menjadikannya sebagai hasan kerana setiap satunya adalah sangat daif. 

Baca juga:


Jumaat, 3 Mei 2019

Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi'ie Melawak


Ketika sedang mengajar, seorang pelajar kata dekat Syeikh: "Syeikh tolong angkat sikit suara kamu, kami tak dengar."

Lalu Syeikh kata dengan suara yang rendah: "Penipu."

Pelajar itu pun kata lagi: "Tak, demi Allah. Aku tak dengar suara kamu."

Syeikh kata balik: "Hairan. Aku kata penipu dekat kamu dengan suara yang rendah kamu dengar pula. Bila aku mengajar kamu tak dengar."

Sayyid Ahmad al-Ghumari kata dalam Bahr al-'Amiq, Syeikh al-Muthi'ie ini seorang yang tawadhuk dengan para pelajar dan suka bergurau ketika mengajar.
___________________

Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi'ie al-Hanafi (1854M-1935M) merupakan bekas mufti Mesir. Sayyid Ahmad al-Ghumari memuji guru beliau ini sebagai seorang faqih, ahli tafsir, seorang yang menguasai ilmu akal, ahli ilmu usul, ahli ilmu kalam, ahli mantiq, ahli falsafah, orang alim dataran Mesir yang tidak disangkal lagi dan lain-lain pujian.