Jumaat, 29 April 2016

Hadis Larangan Makan Makanan Haram

Hadis Pertama

Nabi SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

“Tidak masuk ke syurga daging yang tumbuh daripada sumber yang haram. Neraka lebih layak baginya.”

Sumber dan Status Hadis:

Hadis ini sahih dan diiwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad (no. 14441).

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Zahabi dalam al-Kabair. Al-Haithami menyatakan perawinya adalah perawi kitab al-Sahih (Sahih Muslim).

Huraian dan Pengajaran Hadis

1 - Maksud ‘tidak masuk syurga’ ini difahami dengan beberapa tafsiran:

(i) Dia tidak akan masuk ke dalam Syurga secara segera bersama orang-orang yang diselamatkan pada hari akhirat kelak, bahkan dia hanya masuk syurga selepas dia diseksa mengikut kadar dia memakan makanan yang haram. Ini sekirangya dia dia tidak diampunkan oleh Allah.

(ii) Dia tidak akan masuk ke Syurga yang tinggi.

(iii) Dia tidak akan memasuki syurga selama-lamanya sekiranya dia menganggap yang haram itu sebagai halal, sedangkan perkara yang haram itu merupakan perkara yang sudah diketahui secara asasi dalam agama.

(iv) Maksudnya ialah sebagai amaran, ancaman, dan ugutan yang keras, bukanlah dia tidak akan masuk syurga selamanya.

2 - Perbuatan tidak masuk syurga itu disandarkan kepada daging dan bukan kepada pemiliknya adalah untuk menunjukkan sebab kenapa dia tidak dimasukkan ke dalam syurga iaitu kerana dagingnya tumbuh daripada sumber yang haram.  

Ia juga untuk menunjukkan bahawa daging itu adalah sesuatu yang keji dan tidak layak untuk masuk ke tempat yang baik iaitu syurga. Ini kerana sesuatu yang keji adalah untuk yang keji juga.

3 – Sekiranya pemakan sumber yang haram itu bertaubat, atau dia diampunkan oleh Allah dan dia telah menyelesaikan urusannya dengan pihak yang dia dizalimi, atau dia mendapat syafaat daripada Nabi SAW, maka dia terkecuali daripada amaran ini.

Hadis Kedua

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ: أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Nabi SAW menyebutkan tentang kisah seorang lelaki yang panjang pemusafirannya, kusut masai rambutnya dan berdebu wajahnya, mengangkat tangan ke langit lalu menyeru: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.”

Namun makanannya daripada sumber yang haram, minumannya daripada sumber yang haram, pakaiannya daripada sumber yang haram, diberi makan daripada yang haram. Maka bagaimanakah hendak dimakbulkan doa lelaki tersebut?”

Sumber dan Status Hadis

Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh Muslim (no. 1015).

Huraian dan Pengajaran Hadis

1 – Lelaki yang diceritakan oleh Nabi SAW tersebut dalam pemusafiran yang panjang untuk tujuan ibadah seperti haji, jihad, menuntut ilmu, menyambung silaturrahim dan lain-lain.

2 – Lelaki tersebut mengangkat tangan ke langit untuk berdoa kerana langit adalah kiblat bagi doa.

3 – Galakan untuk berdoa dengan menyebutkan:

يَا رَبِّ يَا رَبِّ

“Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.”

4 – Lelaki tersebut bukan sahaja makan, minum dan pakaiannya bersumber daripada yang haram, malah dia juga dibesarkan dari kecil sehingga besar dengan sumber yang haram.

5 – Galakan untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal dan menjauhi yang haram.

6 – Salah satu punca doa tidak dimustajabkan kerana makan dan minum daripada sumber yang haram. Oleh itu hendaklah berusaha mencari rezeki yang halal agar doa dimustajabkan.

7 – Pemusafiran adalah salah satu sebab doa dimakbulkan. Dalam hadis riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah, Nabi SAW menyebutkan tiga golongan yang dimustajabkan doanya tanpa syak lagi: Orang yang dizalimi, orang yang bermusafir dan doa ibu bapa untuk anaknya.

Hadis Ketiga

وَالَّذِي نَفسِي بِيَدِهِ لِأَن يَأْخُذ أحدكُم حبله فَيذْهب بِهِ إِلَى الْجَبَل فيحتطب ثمَّ يَأْتِي بِهِ فيحمله على ظَهره فيأكل خير لَهُ من أَن يسْأَل النَّاس. وَلِأَن يَأْخُذ تُرَابا فَيَجْعَلهُ فِي فِيهِ خير لَهُ من أَن يَجْعَل فِي فِيهِ مَا حرم الله عَلَيْهِ

“Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, jika salah seorang daripada kamu mengambil talinya lalu dia pergi ke gunung untuk mengumpul kayu api, kemudian dia datang membawanya di atas belakangnya lalu dia makan (daripada hasilnya), adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada orang ramai.

Jika dia mengambil tanah lalu memasukkannya ke dalam mulutnya adalah lebih baik baginya daripada dia memasukkan ke dalam mulutnya apa yang telah diharamkan oleh Allah ke atasnya.

Sumber dan Status Hadis

Hadis ini sahih dan diiwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad (no. 7490).

Al-Munziri dalam kitab al-Targhib Wa al-Tarhib mengatakan sanadnya elok (jayyid). Al-Busiri dalam kitab Ithaf al-Khiyarah al-Maharah menilai sanadnya sebagai sahih.

Huraian dan Pengajaran Hadis

1 - Galakkan untuk bekerja keras mencari rezeki. Melakukan pekerjaan yang dianggap 'rendah' atau susah (seperti mengumpul kayu api) adalah jauh lebih mulia di sisi Allah berbanding meminta-minta.

2 - Meminta-minta atau mengemis boleh menjatuhkan maruah dan kehormatan diri seseorang. Islam mengajar umatnya untuk berdikari dan menjaga harga diri dengan tidak bergantung pada belas kasihan orang lain.

3 – Rasulullah SAW menggunakan perumpamaan yang sangat kuat untuk mengambarkan bahaya memakan harta yang haram. Lebih baik seseorang itu 'memakan tanah' (sesuatu yang kotor dan tidak berfaedah) daripada memasukkan ke dalam mulutnya makanan atau rezeki yang datang dari sumber yang haram. Ini menunjukkan betapa besarnya dosa dan bahaya memakan harta haram.

Selasa, 26 April 2016

9 Hadis Kelebihan Ayat Kursi

Hadis Pertama

عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ مَعَكَ أَعْظَمُ؟ قَالَ: قُلْتُ: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللهِ مَعَكَ أَعْظَمُ؟ قَالَ: قُلْتُ: {اللهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ}. قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي، وَقَالَ: وَاللهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ.

Daripada Ubai bin Ka’ab, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepadanya:

“Wahai Abu al-Munzir (gelaran Ubai bin Ka’ab), adakah kamu tahu ayat al-Quran apakah yang paling agung?”

Aku menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”

Baginda bertanya lagi: ““Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu ayat al-Quran apakah yang bersama kamu itu yang paling agung?”

Aku menjawab: الله لَا إِلَه إِلَّا هُوَ الْحَيّ القيوم (Ayat Kursi).”

Baginda menepuk-nepuk dadaku lalu bersabda: “Demi Allah, kamu akan dipermudahkan untuk mendapat ilmu wahai Abu al-Munzir.”

Riwayat Muslim (no. 810) dan Abu Daud (no. 1460).

Huraian:

1 - Maksud ‘ayat al-Quran apakah yang paling agung’ yakni ayat al-Quran yang paling besar pahala dan ganjaranya.

2 - Maksud ‘ayat al-Quran apakah yang bersama kamu’ merujuk kepada ayat al-Quran yang dihafal oleh Ubai bin Ka’ab.

3 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam gemar menyoal para sahabat sama ada untuk tujuan menarik perhatian mereka supaya mendengar apa yang baginda ingin sampaikan atau untuk menguji tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

3 - Pada mulanya Ubai bin Ka’ab menjawab ‘Allah dan RasulNya lebih mengetahui’ kerana ingin beradab dengan baginda. Namun setelah itu beliau menjawab setelah disoal sekali lagi kerana beliau tahu bahawa baginda ingin menguji tahap keilmuan beliau.

4 - Baginda menepuk-nepuk dada Ubai sebagai isyarat bahawa dada Ubai penuh dengan ilmu dan kebijaksanaan.

4 - Ayat Kursi merupakan ayat al-Quran yang paling agung kerana ia mengandungi penjelasan yang paling utama berkenaan ketuhanan iaitu bahawasanya Allah itu Maha Esa, Maha Hidup, kekal selamanya, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, suci daripada kekurangan, Maha Tinggi darjat kemuliaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.

Hadis Kedua

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ:

"وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ، وَقُلْتُ: وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنِّي مُحْتَاجٌ، وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ، قَالَ: فَخَلَّيْتُ عَنْهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ، قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ، فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ، لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهُ سَيَعُودُ، فَرَصَدْتُهُ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ، لاَ أَعُودُ، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ، فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَهَذَا آخِرُ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ، أَنَّكَ تَزْعُمُ لاَ تَعُودُ، ثُمَّ تَعُودُ قَالَ: دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا، قُلْتُ: مَا هُوَ؟ قَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ، فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ، فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: مَا هِيَ، قُلْتُ: قَالَ لِي: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، وَقَالَ لِي: لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ - وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الخَيْرِ - فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ: لاَ، قَالَ: ذَاكَ شَيْطَانٌ."

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata:

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menugaskan aku untuk menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang kepadaku lalu dia mencuri makanan (zakat fitrah) tersebut dan orang itu dapat aku tangkap. Lalu aku berkata kepadanya: Aku akan laporkan engkau kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam."

Dia berkata: "Saya perlu kepadanya kerana saya mempunyai keluarga dan saya sangat-sangat berkehendak terhadapnya."

Abu Hurairah berkata: “Lalu aku lepaskan sahaja orang itu."

Esok pagi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Wahai Abu Hurairah, apa yang engkau lakukan terhadap tawanan engkau malam tadi?"

Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia mengatakan sangat perlu kepadanya kerana dia mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan lalu saya lepaskan sahaja dia."

Baginda bersabda: "Sebenarnya dia berdusta kepada engkau dan dia akan kembali."

Abu Hurairah berkata:  “Saya yakin bahawa dia akan kembali kerana telah diberitahu oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Lalu saya intip dan memang orang itu datang lagi  untuk mencuri makanan tersebut.”

Aku berkata kepadanya: “Aku akan laporkan engkau kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam."

Dia menjawab: "Lepaskan saya kerana saya sangat perlu kepadanya dan mempunyai keluarga. Saya tidak akan ulangi lagi selepas ini.”

Abu Hurairah berkata: “Aku pun merasa kasihan kepadanya lalu aku lepaskan sahaja orang itu."  

Esok pagi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Wahai Abu Hurairah, apa yang engkau lakukan terhadap tawanan engkau malam tadi?"

Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia mengatakan sangat perlu kepadanya kerana dia mempunyai keluarga. Maka saya merasa kasihan lalu saya lepaskan sahaja dia."

Baginda bersabda: "Sebenarnya dia berdusta kepada engkau dan dia akan kembali."

Abu Hurairah berkata: “Lalu saya intip dia untuk kali ketiga dan memang orang itu datang lagi  untuk mencuri makanan tersebut. Aku tangkap dia lalu aku berkata: Aku akan laporkan engkau kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Ini adalah kali ketiga dan yang terakhir. Engkau mengatakan tidak akan kembali, tetapi ternyata engkau kembali juga."

Dia berkata: "Lepaskanlah aku. Aku akan ajarkan kepada engkau beberapa kalimah yang Allah akan beri manfaat kepada engkau dengan sebabnya."

Aku berkata: "Apakah kalimah itu?"

Dia menjawab: "Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi. Maka engkau sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan syaitan tidak akan menghampiri engkau sampai pagi."

Abu Hurairah berkata: “Lalu aku lepaskan orang itu."  

Esok paginya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bertanya: "Wahai Abu Hurairah, apa yang engkau lakukan terhadap tawanan engkau malam tadi?"

Aku menjawab: "Wahai Rasulullah, dia ajarkan kepada aku kalimah-kalimah yang Allah akan beri manfaat kepadaku dengan sebabnya. Lalu aku lepaskan dia."

Baginda bertanya: "Apakah kalimah itu?"

Aku menjawab: "Dia mengatakan kepadaku: Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi dari awal sampai akhir. Dia berkata lagi kepadaku: Engkau akan sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan syaitan tidak akan mendekati engkau sampai pagi."

Baginda bersabda: "Memang benar apa yang dia katakan kepada engkau walaupun dia itu sebenarnya pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?"

 Aku menjawab: "Tidak!"

Sabda baginda: "Itulah syaitan!"

Riwayat al-Bukhari (no. 2311, 3275 & 5010).

Faedah Hadis:

1 - Sunat membaca Ayat Kursi sebelum tidur supaya mendapat perlindungan daripada Allah dan dijauhkan daripada syaitan.

2 - Harus memaafkan pencuri sebelum membawa kesnya kepada pemerintah.

3 - Hukum hudud ke atas pencuri tidak dilaksanakan dengan sebab wujud syubhah (keraguan) seperti keadaan pencuri yang lapar ketika mencuri.

4 - Syaitan boleh menyerupai dengan rupa manusia.

5 - Kaki menipu juga kadang-kadang bercakap benar.

6 - Ucapan yang benar itu diterima sama ada orang yang mengucapkannya itu baik ataupun jahat kerana yang diambil kira itu ialah ucapannya bukan pengucapnya.

7 - Harus mengambil ilmu daripada orang yang tidak beramal dengan ilmunya sendiri.

Hadis Ketiga

عَن الْحسن بن عَليّ قَالَ: قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم:

"من قَرَأَ آيَة الْكُرْسِيّ فِي دبر الصَّلَاة الْمَكْتُوبَة كَانَ فِي ذمَّة الله إِلَى الصَّلَاة الْأُخْرَى."

Daripada al-Hasan bin Ali, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi setelah solat fardu, maka dia dalam pelindungan Allah sehinggalah solat seterusnya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 2733) dan al-Du’a (no. 674)

Hadis ini dihasankan oleh al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib, al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid dan al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur.

Faedah Hadis: 

1 - Amalan membaca Ayat Kursi setelah selesai solat fardu menjadi salah satu sebab untuk mendapat perlindungan Allah daripada sebarang keburukan, malapetaka dan gangguan syaitan.

Hadis Keempat

عَن أبي أُمَامَة قَالَ: قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم:

 "من قَرَأَ آيَة الْكُرْسِيّ دبر كل صَلَاة مَكْتُوبَة لم يمنعهُ من دُخُول الْجنَّة إِلَّا أَن يَمُوت."

“Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas solat lima waktu tidak ada yang menghalangnya daripada masuk ke syurga kecuali kematian.”

Riwayat al-Nasai’e dalam Sunan al-Kubra  (no. 9848) dan ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 100) daripada hadis Abi Umamah al-Bahili.

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Abdil Hadi, Ibnu Hajar dan al-Suyuti. Al-Haithami menilai salah satu sanadnya sebagai baik (jayyid). Ibnu al-Jauzi menilainya sebagai palsu tetapi dibantah oleh Ibnu Abdil Hadi dan Ibnu Hajar.

Huraian:

1 - Maksud ‘tidak ada yang menghalangnya daripada masuk ke syurga kecuali kematian’ yakni tidak ada yang menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan dia belum mati. Setelah dia mati maka dia akan masuk ke syurga.

2 - Disunatkan untu membaca Ayat Kursi setelah solat dan ia merupakan salah satu amalan untuk masuk ke syurga.

Hadis Kelima

عَن أبي قَتَادَة، أَن النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم قَالَ:

"من قَرَأَ آيَة الْكُرْسِيّ وخواتيم سُورَة الْبَقَرَة عِنْد الكرب أغاثه الله."

Daripada Abu Qatadah, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi dan penutup surah al-Baqarah ketika dalam kesusahan, maka dia akan dibantu oleh Allah.”

Riwayat Ibnu al-Sunni dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 344) dengan sanad yang daif.

Huraian:

1 - Penutup surah al-Baqarah ialah daripada ayat 285 sehingga 286 dan menurut sebahagian ulama yang lain berpendapat ia adalah ayat 284 sehingga 286.

Hadis Keenam

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

"مَنْ قَرَأَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ آيَةَ الْكُرْسِيِّ حُفِظَ إِلَى الصَّلَاةِ الْأُخْرَى، وَلَا يُحَافِظُ عَلَيْهَا إِلَّا نَبِيٌّ، أَوْ صِدِّيقٌ، أَوْ شَهِيدٌ."

Daripada Anas, beliau berkata Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi selepas solat fardu, maka dia akan dilindungi sehingga solat seterusnya. Tidak ada yang mampu untuk istiqamah melaksanakannya melainkan para nabi atau siddiq (orang yang bersifat benar) atau syahid.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2175). Kata al-Baihaqi: “Sanadnya daif.” 

Faedah Hadis: 

1 - Besarnya ganjaran bagi orang yang mampu istiqamah membaca Ayat Kursi setelah solat fardu. Dia akan mendapat perlindungan Allah sehingga solat yang seterusnya. Jarang-jarang ada orang yang mampu melaksanakannya secara berterusan melainkan golongan nabi, orang yang berada di kedudukan siddiqin dan orang yang berjuang di jalan Allah sehingga mati syahid.

Hadis Kelapan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

"مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ كَانَ بِمَنْزِلَةِ مَنْ قَاتَلَ عَنْ أَنْبِيَاءِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ حَتَّى يُسْتَشْهَدَ."

Daripada Abu Umamah al-Bahili radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi selepas solat fardu, maka kedudukannya seperti orang yang berjuang untuk para nabi Allah sehinggalah dia syahid.”

Riwayat Ibnu al-Sunni dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 123) dengan sanad yang daif.

Faedah Hadis: 

1 - Walaupun amalan membaca Ayat Kursi dilihat mudah untuk dilakukan, namun sukar untuk kekal istiqamah melaksanakannya setiap kali solat. Sesiapa yang berjaya istiqamah membacanya selepas solat seolah-olah kedudukannya seperti yang yang berjuang bersama para nabi Allah sehinggalah dia terkorban sebagai seorang syahid.

Hadis Kesembilan

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

"مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ عِنْدَ الْحِجَامَةِ كَانَتْ لَهُ مَنْفَعَةُ حِجَامَتِهِ."

Daripada Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Ayat Kursi ketika berbekam maka dia akan mendapat manfaat daripada bekamnya itu.”

Riwayat Ibnu al-Sunni dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 167) dengan sanad yang daif.

Faedah Hadis: 

1 - Disunatkan bagi orang yang berbekam untuk membaca Ayat Kursi agar dia mendapat manfaat daripada bekamnya dengan berkat pembacaan Ayat Kursinya itu. 

Baca juga: 

Hadis Kelebihan Bersedekah 

Hadis Kelebihan Zikir

Hadis Kelebihan Puasa Hari Isnin Dan Khamis

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ؟ قَالَ: ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ.

Daripada Abi Qatadah, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab: 

“Pada hari tersebut aku dilahirkan dan hari aku diutuskan sebagai Rasul atau diturunkan kepadaku al-Quran.”

Riwayat Muslim (no. 1162).

Huraian Hadis

1 - Sahabat yang bertanya kepada baginda tentang puasa hari Isnin tersebut ialah Umar bin al-Khattab sebagaimana yang disebutkan namanya secara jelas oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra.

2 - Soalan Umar bin al-Khattab tersebut ialah soalan berkenaan kelebihan dan hikmah berpuasa pada hari Isnin.

3 - Perkataan 'atau' pada bahagian hadis 'hari aku diutuskan sebagai Rasul atau diturunkan kepadaku al-Quran' ialah syak daripada perawi hadis yang tidak pasti sama ada baginda berkata: 'hari aku diutuskan sebagai Rasul' atau baginda berkata: 'diturunkan kepadaku al-Quran'. Kedua-duanya membawa maksud yang sama sahaja walaupun berbeza lafaznya.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan berpuasa pada hari Isnin pada setiap minggu kerana ia adalah hari yang agung kerana Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam dilahirkan pada hari tersebut dan pada hari ini jugalah baginda diutuskan sebagai Rasul dan diwahyukan al-Quran kepada baginda. Ini adalah satu kenikmatan yang besar yang Allah khususkan pada hari ini yang seharusnya disyukuri dengan melakukan ketaatan kepada Allah melalui berpuasa pada hari tersebut.

2 - Imam Ibnu Ruslan menyebutkan dalam Syarah Sunan Abu Daud: 

"Kata ulama: Berkumpulnya pada hari Isnin itu tujuh perkara: Pada hari ini baginda dilahirkan, diutuskan (sebagai rasul), diturunkan wahyu, baginda diwafatkan, baginda diisrakkan mengikut pendapat sebahagian ulama, baginda masuk ke Madinah dan amalan dipersembahkan (kepada Allah)...Ini menunjukkan kelebihan hari ini." 

Hadis Kedua

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

"Ditunjukkan amalan-amalan itu (oleh para malaikat kepada Allah Ta'ala) pada hari Isnin dan Khamis, maka saya suka jika amalanku itu ditunjukkan dalam keadaan aku berpuasa."

Riwayat al-Termizi (no. 747) dan beliau berkata: “Hadis hasan gharib.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan hikmah dianjurkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis kerana kerana amalan manusia dipersembahkan  kepada Allah pada dua hari tersebut, disamping kerana hari Isnin merupakan hari baginda dilahirkan dan diutuskan menjadi Rasul.

2 - Baginda suka agar amalan baginda dipersembahkan dalam keadaan berpuasa agar amalan tersebut dapat menjadi sebab diangkat darjat baginda di sisi Allah.

Hadis Ketiga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تَصُومُ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ؟ فَقَالَ: إِنَّ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسَ يَغْفِرُ اللَّهُ فِيهِمَا لِكُلِّ مُسْلِمٍ، إِلَّا مُتَهَاجِرَيْنِ، يَقُولُ: دَعْهُمَا حَتَّى يَصْطَلِحَا.

Daripada Abu Hurairah, (beliau meriwayatkan) bahawa sesungguhnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berpuasa ada hari Isnin dan Khamis.

Sahabat bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, (mengapa) engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis?”

Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah akan mengampunkan setiap Muslim pada  hari Isnin dan Khamis melainkan dua orang yang saling memutuskan hubungan. Allah berfirman (kepada malaikat): Kecualikan kedua mereka (daripada mendapat pengampunan dosa) melainkan setelah mereka berdua saling berdamai.”

Riwayat Ibnu Majah (no. 1740). Al-Hafiz al-Busiri mensahihkan hadis ini dalam kitab Misbah al-Zujajah.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan hari Isnin dan Khamis yang merupakan hari pengampunan dosa bagi setiap Muslim melainkan orang yang memutuskan hubungan kerana permusuhan.

2 - Bermusuhan dan memutuskan hubungan merupakan dosa besar yang tidak diampunkan dosanya oleh Allah melainkan setelah mereka berdamai.

3 - Imam al-Sindi menyebutkan: “Ada hadis yang menunjukkan bahawa dipersembahkan amalan (kepada Allah pada hari Isnin dan Khamis. Seolah-olah Allah mengampunkan Muslim itu ketika dipersembahkan amalan mereka kepadaNya.”

Hadis Keempat

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ.

Daripada Aisyah, beliau berkata: 

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam berusaha keras untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”

Riwayat al-Tirmizi dalam al-Jami’ (no. 745) dan al-Syamail (304), al-Nasa’ie (no. 2187) dan Ibnu Majah (no. 1739). Al-Tirmizi berkata: “Hadis hasan gharib.”

Pengajaran Hadis:

1 - Penekanan untuk melaksanakan puasa hari Isnin dan Khamis kerana Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam begitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan puasa pada dua hari tersebut kerana keistimewaan dua hari tersebut sebagaimana yang terkandung dalam tiga hadis sebelum ini.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 3/9/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat. 

Baca juga: 

Hadis Kelebihan Solat Lima Waktu

Isnin, 25 April 2016

Hadis Kepala Ditusuk Besi Lebih Baik Dari Menyentuh Wanita Ajnabi

لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لاَ تَحِلُّ لَهُ

"Ditusuk pada kepala salah seorang daripada kamu daripada jarum besi lebih baik baginya daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya."

Sumber dan Status Hadis

Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir, al-Ruyani dalam Musnadnya dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman daripada hadis Ma’qil bin Yasar.

Hadis ini adalah sahih.

Dhiya’ al-Maqdisi dalam kitab Ittiba’ al-Sunan mengatakan hadis ini mengikut syarat Sahih Muslim.

Al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib berkata: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan al-Baihaqi. Perawi-perawi al-Thabarani thiqah, perawi kitab al-Sahih.”

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan perawi-perawinya adalah perawi kitab al-Sahih.”

Hadis ini turut disahihkan oleh Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir, al-Munawi dalam al-Taisir dan Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Istiqsa’ Li Adillah Tahrim al-Istimna’.

Pengajaran Hadis

1 - Menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Hadis ini menunjukkan betapa beratnya larangan menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram). Islam sangat menekankan penjagaan maruah dan kehormatan.

2 - Sentuhan fizikal antara bukan mahram adalah haram.

Walaupun hanya menyentuh tanpa syahwat, ia tetap dilarang kerana boleh membawa kepada fitnah dan maksiat yang lebih besar.

3 - Islam mendidik umatnya agar menjauhkan diri daripada perkara yang mendekatkan kepada zina.

Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 32:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Rabu, 20 April 2016

Hadis Palsu: Roh Berputar Mengelilingi Rumah Selama Sebulan

اذا مات المؤمن دارت روحه حول داره شهرا فتنظر الى ما خلفه من ماله كيف يقسم أو كيف تؤدى ديونه فإذا تم له شهر ردت الى حفرته فتدور بعد ذلك حتى يتم عليه حول فينظر من يدعوله ومن يحزن عليه فاذا تم الحول رفع روحه الى حيث يجتمع الارواح الى يوم القيامة.

“Ketika seorang mukmin meninggal dunia, rohnya berputar mengelilingi rumahnya selama 1 bulan, dia melihat harta yang ditinggalkannya, bagaimana pembahagiannnya dan pembayaran hutang-hutangnya.

Setelah genap 1 bulan dia kembali pada kuburnya dan berputar-putar selama 1 tahun, maka dilihatnya orang-orang yang mendoakannya dan orang-orang yang bersedih atas kematiannya.

Setelah genap satu tahun rohnya diangkat dan dikumpulkan dengan roh-roh yang lain sampai hari kiamat.”

Ulasan:

Hadis ini saya temui disebutkan tanpa sanad dalam kitab Daqaiq al-Akhbar Fi Zikr al-Jannah Wa al-Nar yang dinisbahkan kepada Abdul Rahim bin Ahmad al-Qadhi (m. 427H).

Dalam kitab Durrah al-Nasihin karya al-Khubawi juga disebutkan hadis ini dengan sedikit berbeza lafaznya:

إذا مات المؤمن حام روحه حول داره شهرا، فینظر إلی من خلف من عياله كيف قسم ماله وكيف يؤدي ديونه، وإذا أتم شهرا رد إلى حفرته، فيحوم حول قبره سنة وينظر من يأتيه وبدعو له ومن يحزن عليه، فإذا أتم سنة رفع روحه إلى حيث يجتمع فيه الأرواح إلى يوم ينفخ في الصور.

“Apabila seorang mukmin meninggal dunia maka ruhnya berputar-putar di sekeliling rumahnya selama satu bulan, kemudian dia melihat kepada keluarganya yang ditinggalkan, bagaimana mereka membahagi hartanya dan bagaimana mereka membayar hutang-hutangnya.

Dan apabila satu bulan telah selesai maka dia kembali ke kuburannya dan berkeliling di sekitarnya selama setahun dan melihat kepada orang yang mengunjunginya, berdoa untuknya dan orang yang bersedih ke atasnya.

Apabila setahun sudah selesai maka ruhnya diangkat ke tempat berkumpulnya ruh-ruh sehingga hari ditiupnya sangkakala (hari Kiamat).”

Menurut Dr Ahmad Luthfi Fadhlullah dalam Nilai Hadis Dalam Durrat al-Nasihin (ms. 73), hadis ini dinukil oleh al-Khūbawī daripada kitab Bahjat al-Anwar.

Beliau mengesan ianya disebutkan juga dalam kitab Daqa'iq al-Akhbar dan al-Durr al-Fakhirah riwayat daripada Abū Hurayrah secara mauquf sebagai perkataan beliau tanpa menyebutkan sanad ataupun perawinya.

Secara zahirnya hadis ini adalah mauquf, tetapi ianya mempunyai dua kemungkinan, sama ada ianya mempunyai hukum marfu’ (berasal dari Rasulullah) atau ianya adalah israiliyyat. Menurut penulis hadis ini lebih mirip kepada isra'īliyyat.

Oleh itu tidak boleh disebarkan riwayat ini melainkan untuk dinyatakan kepalsuannya.

Setelah 8 tahun saya temui hadis yang hampir sama disebutkan oleh al-Dailami dalam al-Firdaus daripada hadis Abu al-Darda’:

الْمَيِّت إِذا مَاتَ دير بِهِ حول دَاره شهرا، وحول قَبره سنة، ثمَّ يرفع إِلَى السَّبَب الَّذِي تلتقي فِيهِ أَرْوَاح الْأَحْيَاء والأموات

"Apabila seseorang itu mati, rohnya akan berlegar-legar di sekitar rumahnya selama sebulan, dan di sekitar kuburnya selama setahun. Kemudian, roh itu akan diangkat ke suatu tempat di mana roh orang yang hidup dan yang mati akan bertemu."

Namun begitu, menurut al-Hafiz al-Suyuti dalam Syarah al-Sudur dan Busyra al-Ka’ib, hadis ini tidak disebutkan sanadnya oleh anak pengarang al-Firdaus dalam Musnad al-Firdaus. Oleh itu hadis ini kekal sebagai hadis yang tidak ditemui asal usulnya (la asla lahu).

Ahad, 17 April 2016

Status Hadis: Mengingati Mati Sebanyak 20 kali Setiap Hari

هَلْ يَكُونُ مَعَ الشُّهَدَاءِ غَيْرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ: مَنْ ذَكَرَ الْمَوْتَ كُلَّ يَوْمٍ عِشْرِينَ مَرَّةً.

 “Adakah akan bersama para syuhada’ golongan lain selain mereka pada hari kiamat? Maka nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, sesiapa yang mengingati mati setiap hari sebanyak 20 kali.”

Hadis ini disebutkan oleh al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din.

Menurut al-‘Iraqi dalam Takhrij Ahadith Ihya’, al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at (ms. 213) dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah (no. 175), tidak ditemui baginya sanad yang bersambung sehingga nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Oleh itu hadis ini dianggap sebagai hadis yang tidak ada sumber asal baginya (la asla lahu).

Imam Muhamamd Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin menyebutkan hadis berikut sebagai ganti hadis di atas:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَيْسَ الشَّهِيدُ إِلَّا مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَقَالَ: يَا عَائِشَةُ، إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ، مَنْ قَالَ فِي يَوْمٍ خَمْسَةً وَعِشْرِينَ مَرَّةً: اللَّهُمَّ بَارِكْ فِي الْمَوْتِ، وَفِيمَا بَعْدَ الْمَوْتِ، ثُمَّ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ، أَعْطَاهُ اللَّهُ أَجْرَ شَهِيدٍ.

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, bukanlah seorang itu dikira sebagai syahid kecuali sesiapa yang terbunuh di jalan Allah.”

Rasululullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai, sesungguhnya syuhada’ umatku jika demikian sangat sedikit. Sesiapa yang mengucapkan setiap hari sebanyak 25 kali:

 اللَّهُمَّ بَارِكْ فِي الْمَوْتِ، وَفِيمَا بَعْدَ الْمَوْتِ

 “Ya Allah, berkatilah ketika kematianku dan selepas kematianku.”

Kemudian dia mati di atas katilnya, Allah akan memberikannya pahala syahid.”

Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (no. 7676).

Namun begitu hadis ini juga sama ada sangat daif ataupun palsu. Dalam sanadnya ada perawi bernama Muhammad bin Musa al-Istakhri (محمد بن موسى الإصطخري). Menurut Ibnu Hajar dalam kitab Lisan al-Mizan (7/541), dia seorang perawi yang tidak dikenali (majhul) dan meriwayatkan hadis yang palsu. Begitu juga yang disebutkan oleh Ibnu ‘Arraq dalam kitab Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (1/115). Dalam sanadnya juga terdapat perawi-perawi lain yang tidak dikenali sebagaimana kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (5/390).

Cukuplah hadis ini sebagai ganti kepada dua hadis di atas:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَادمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ.

“Banyakkanlah mengingati penghancur segala kenikmatan, iaitu kematian.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 2307) dan kata beliau: “Hadis ini hasan gharib.”

 Wallahu a’lam.

Jumaat, 15 April 2016

Status Hadis: Talak Menggegarkan Arasy

تَزَوَّجُوا وَلَا تُطَلِّقُوا فإِنَّ الطَّلاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

“Berkahwinlah dan jangan kamu bercerai. Sesungguhnya penceraian itu menggoncangkan arasy.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkanlah oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, Abu Nu’aim dalam Tarikh Asbahan dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus melalui sanad:

‘Amru bin Jumai’ daripada Juwaibir daripada al-Dahhak daripada al-Nazzal bin Sabrah daripada ‘Ali bin Abi Thalib daripada Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Penilaian Hadis

Dalam sanadnya ada dua perawi yang sangat bermasalah:

Pertama, ‘Amru bin Juma’i yang dinilai oleh Yahya bin Ma’in sebagai pendusta. Al-Daraqutni menilainya sebagai matruk (ditinggalkan hadisnya). Al-Bukhari menilainya mungkar al-hadis (perawi yang tidak halal diriwayatkan hadis daripadanya). Ibnu ‘Adi mengatakan bahawa dia dituduh memalsukan hadis.

Kedua, gurunya, Juwaibir juga matruk.

Ia dinilai palsu oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at dan diterima tanpa bantahan oleh al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Ulama lain yang menghukumkannya sebagai palsu ialah al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah, Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir, Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Tahani, Dr Khaldun al-Ahdab dalam Zawaid Tarikh Baghdad dan lain-lain.

Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berhujah kepalsuan hadis ini dengan alasan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah menceraikan isterinya dan begitu juga dengan para sahabat.

Cuma agak menghairankan, al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa cuma sekadar menilainya sebagai daif. Mungkin daif yang mereka maksudnya adalah sangat daif dan mereka berdua tidak mahu secara pasti menganggapnya sebagai palsu.

Walau bagaimanapun lebih baik untuk dielakkan penggunaan hadis sebegini kerana kebanyakan ahli hadis menghukumnya sebagai palsu dan ahli hadis juga telah meletakkan syarat-syarat beramal dengan hadis daif yang mana salah satunya mestilah hadis tersebut tidak terlalu daif.

Wallahu a’lam.

Maksud Arasy Bergoncang

Maksud Arasy bergoncang itu tidaklah difahami secara literal sebaliknya bermaksud secara kiasan. Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir Syarah al-Jami’ al-Saghir menjelaskan maksudnya:

“Maksudnya para malaikat di sekelilingnya menjadi resah gelisah kerana marah disebabkan perbuatan itu amat mereka benci, sebagaimana ia juga dibenci oleh Allah, kerana ia mengandungi pemutusan ikatan dan perpecahan kesatuan (keluarga).”

Imam al-San’ani menyebutkan dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir:

“Iaitu para malaikat di sekelilingnya menjadi resah gelisah kerana marah terhadapnya disebabkan ia amat mereka benci, kerana ia mengandungi pemutusan ikatan dan perpecahan kesatuan (keluarga).

‘Goncangan 'Arasy’ itu kadang-kadang berlaku kerana keagungan perkara yang berlaku, sama ada ia disukai atau dibenci. Maka daripada (kategori) yang pertama ialah goncangannya kerana kematian Sa'ad (bin Mu’az), dan daripada yang kedua ialah apa yang telah disebutkan (talak).”

Ahad, 10 April 2016

Imam al-Thabarani 2

Nama beliau Abu al-Qasim Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub al-Thabarani. Dilahirkan di ‘Akka (Acre, sekarang merupakan wilayah Israel) pada bulan Safar tahun 260 Hijrah. Sebahagian ulama berpendapat beliau dilahirkan di Thabariyyah (Tiberias, juga merupakan wilayah Israel sekarang).

Mula belajar hadis ketika berusia 13 tahun dan mengembara bersama bapanya untuk mengumpulkan hadis. Pernah mengembara ke Baitul Maqdis, Homs, Yaman, Hijaz, Mesir, Iraq, Asbahan dan lain-lain.

Dalam kitab Irsyad al-Qasi al-Dani Ila Tarajim Shuyukh al-Thabarani dikumpulkan nama-nama guru beliau dan mencapai sebanyak 1168 orang, termasuk 4 orang guru beliau daripada kalangan wanita. 

Menghasilkan banyak kitab, antara yang terkenal:

1. al-Mu’jam al-Saghir. Dihimpunkan hadis-hadis yang diriwayatkan daripada seribu orang guru. Daripada setiap gurunya itu diriwayatkan satu atau dua hadis. Himpunan hadis dalam kitab ini mencapai 1200 buah hadis. Dicetak dalam 2 jilid.



2. al-Mu’jam al-Ausath. Disusun berdasarkan nama guru-guru beliau. Menghimpunkan 9489 buah hadis. Dicetak dalam 10 jilid. Imam al-Thabarani pernah berkata, kitab ini adalah rohku, kerana beliau bersusah payah menghimpunkan kitab ini.



3. al-Mu’jam al-Kabir. Disusun berdasarkan nama sahabat. Menghimpunkan sekitar 25 ribu buah hadis. Dicetak dalam 25 buah jilid. Jilid 13, 14, 15, 16, dan 21 tidak dicetak kerana manuskripnya tidak ditemui.



Kisah kehebatan Imam al-Thabarani

Ibnu al-‘Amid berkata: “Aku tidak menyangka bahawa ada sesuatu yang lebih lazat daripada kenikmatan memegang kepimpinan yang aku memegangnya sehinggalah aku melihat muzakarah antara Abu al-Qasim al-Thabarani dan Abu Bakar al-Ji’abi. Al-Thabarani mengalahkan Abu Bakar dari segi luasnya hafalan hadis beliau. Abu Bakar mengalahkan al-Thabarani dari segi kepintaran dan kecerdikannya sehinggalah mereka berdua saling meninggikan suara (berdebat).

Al-Ji’jabi berkata: “Aku mempunyai satu hadis yang hanya aku sahaja yang mempunyainya di dunia ini.”

Al-Thabarani berkata: “Bacakan hadis tersebut.”

Al-Ji’abi berkata: “Telah menceritakan kepadaku Abu Khalifah al-Jumahi, beliau (al-Jumahi) berkata, telah menceritakan kepadaku Sulaiman bin Ayyub…kemudian beliau (al-Ji’abi) membacakan hadisnya.”

Kemudian al-Thabarani berkata: “Telah menceritakan kepadaku Sulaiman bin Ayyub (nama Imam al-Thabarani sendiri), daripada akulah Abu Khalifah mendengar hadis tersebut. Dengarkan hadis tersebut daripada aku supaya pendek sanad kamu.”

Kemudian al-Ji’abi merasa sangat malu.

Ibnu al-‘Amid berkata: “Aku berharap agar aku tidak memegang kepimpinan. Aku berharap aku menjadi al-Thabarani dan aku gembira sebagaimana beliau gembira (kerana dapat mengalahkan al-Ji’abi).”

Dikatakan bahawa di akhir-akhir usia beliau, penglihatan beliau hilang. Al-Thabarani berkata: “Orang-orang zindiq (orang yang pura-pura masuk Islam) telah menyihirku.”

Al-Thabarani meninggal pada 2 malam terakhir daripada bulan Zulkaedah ketika berusia 100 tahun. Rahimahullah.


Rujukan: Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi.