Memaparkan catatan dengan label Hadis Kelebihan Amalan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis Kelebihan Amalan. Papar semua catatan

Ahad, 15 Disember 2024

Hadis Kelebihan Solat Jenazah dan Mengiringinya

 


Hadis Pertama

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَالَ: حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ. قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ، وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

"Tanggungjawab seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam."

Baginda ditanya: "Apakah ia wahai Rasulullah?"

Baginda bersabda: "Apabila engkau bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam kepadanya. Apabila dia menjemputmu, maka penuhilah jemputannya. Apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka nasihatilah dia. Apabila dia bersin lalu memuji Allah, maka doakanlah dia. Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya."

Riwayat Muslim (hadis no. 2162).

Pengajaran Hadis:

1 - Perintah untuk menyebarkan dan memperbanyakkan salam kepada setiap Muslim, sebagaimana sabda baginda dalam hadis yang lain: "Dan ucapkanlah salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal."

Adapun menjawab salam adalah wajib berdasarkan ijmak (kesepakatan ulama). Jika salam itu ditujukan kepada seorang individu, maka menjawabnya adalah fardhu ain ke atasnya. Jika salam itu ditujukan kepada sekumpulan orang, maka menjawabnya adalah fardhu kifayah ke atas mereka, di mana apabila salah seorang daripada mereka menjawabnya, gugurlah kewajipan tersebut daripada yang lain.

2 - Perintah untuk menghadiri kenduri kahwin dan hukumnya fardhu ain ke atas setiap orang yang dijemput sekiranya kenduri itu memenuhi syarat-syaratnya, tetapi boleh gugur dengan wujud keuzuran seperti sakit atau ada kemaksiatan dalam majlis tersebut. Adapun untuk selain kenduri kahwin, maka hukumnya sunat muakkad untuk menghadirinya.

3 – Galakan untuk saling menasihati sesama Muslim. Nasihat bermaksud menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati, iaitu dengan mengharapkan kebaikan untuknya sama ada ketika dia hadir atau tidak hadir. Janganlah bermanis mulut (bermuka-muka) ketika dia hadir tetapi mengumpat dia ketika dia tiada, kerana ini adalah sifat orang-orang munafik.

4 - Perintah untuk mendoakan orang yang bersin dengan mengucapkan 'yarhamkallah’ (semoga Allah merahmati kamu). Imam al-Nawawi berkata: “Ia adalah sunat kifayah, di mana apabila sebahagian daripada orang yang ada telah melakukannya, gugurlah perintah tersebut daripada yang lain. Syaratnya ialah orang yang hendak mendoakan mesti mendengar orang yang bersin mengucapkan ‘alhamdulillah’.

5 - Perintah menziarahi orang sakit. Imam al-Nawawi berkata: “Adapun menziarahi orang sakit adalah sunat berdasarkan ijmak (kesepakatan ulama), sama ada orang yang dikenali atau tidak dikenali, saudara-mara atau orang luar. Para ulama berselisih pendapat tentang mana yang lebih utama dan lebih afdal antara kedua-duanya.”

6 – Arahan untuk mengiringi jenazah, iaitu mengikuti jenazah dari tempat kematian atau tempat solat jenazah ke tempat pengebumian. Imam al-Nawawi berkata: “Adapun mengiringi jenazah adalah sunat berdasarkan ijmak (kesepakatan ulama) juga, sama ada jenazah orang yang dikenali, saudara-mara, atau selain mereka.”

7 – Hadis ini menunjukkan keagungan Islam dalam memperkukuh ikatan persaudaraan dan kasih sayang antara umat Islam.

Hadis Kedua

عَن أبي سعيد، أَنه سمع رَسُول الله ﷺ يَقُول: خَمْسٌ مَنْ عَمِلَهُنَّ فِي يَوْمٍ كتَبَهُ اللهُ مِنْ أهْلِ الْجَنَّةِ: مَنْ عَادَ مَرِيضًا، وَشَهِدَ جَنَازَةً، وَصَامَ يَوْمًا، وَرَاحَ إلَى الْجُمُعَةِ، وَأعْتَقَ رَقَبَةً.

Daripada Abu Said, bahawa beliau mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Lima perkara yang sesiapa melakukannya dalam sehari, Allah akan mencatatkannya sebagai ahli syurga: sesiapa yang menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, berpuasa, pergi pada hari Jumaat (untuk solat Jumaat) dan membebaskan seorang hamba.”

Riwayat Ibnu Hibban dalam Sahihnya (hadis no. 2771).

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi lima amalan yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah, kerana sesiapa yang mampu melaksanakan kelima-lima perkara ini dalam sehari akan dicatat sebagai ahli syurga:

i) Menziarahi orang sakit – Menunjukkan kepedulian dan kasih sayang terhadap saudara Muslim.

ii) Mengiringi jenazah – Mengingatkan tentang kematian dan menjaga hubungan sesama Muslim.

iii) Berpuasa sehari – Meningkatkan ketakwaan dan mengawal nafsu.

iv) Pergi solat Jumaat – Memenuhi kewajiban agama dan menyatukan umat.

v) Membebaskan seorang hamba – Membantu membebaskan manusia dari penindasan dan sebagai simbol keadilan serta kasih sayang.

Hadis Ketiga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: مَنْ شَهِدَ الْجِنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ، قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Sesiapa yang mengunjungi jenazah sehingga disembahyangkan ke atasnya, maka baginya satu qirat dan sesiapa yang menghadirinya sehingga dikebumikan maka baginya dua qirat."

Sahabat bertanya: "Apakah dua qirat itu, wahai Rasulullah?"

Baginda menjawab: "Seperti dua gunung yang besar."

Riwayat al-Bukhari (hadis no. 1325) dan Muslim (hadis no. 945).

Dalam riwayat yang lain:

مَنِ اتَّبَعَ جِنَازَةَ مُسْلِمٍ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا وَيَفْرُغَ مِنْ دَفْنِهَا، فَإِنَّهُ يَرْجِعُ مِنَ الْأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ؛ كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ، وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ، فَإِنَّهُ يَرْجِعُ بِقِيرَاطٍ.

"Sesiapa yang mengiringi jenazah seorang Muslim dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dan dia bersama jenazah itu sehingga disembahyangkan dan selesai pengebumiannya, maka sesungguhnya dia akan pulang dengan membawa pahala dua qirat. Setiap qirat seperti (besarnya) Gunung Uhud. Sesiapa yang menyembahyangkan jenazah kemudian pulang sebelum pengebumian, maka sesungguhnya dia akan pulang dengan membawa satu qirat."

Riwayat al-Bukhari (hadis no. 47).

Kosa Kata Hadis:

1 - Qirat adalah setengah danaq, dan danaq adalah satu perenam dirham. Ini adalah unit timbangan dan mata wang yang digunakan pada zaman itu. 

Tujuan baginda menggunakan istilah tersebut untuk memudahkan pemahaman, kerana manusia pada masa itu mengenali qirat dan melakukan sesuatu pekerjaan berdasarkan ganjaran mengikut ukuran qirat tersebut. 

Ia disebut mengikut sesuatu yang mereka kenal, dan diberikan perumpamaan berdasarkan apa yang mereka fahami. Namun sebenarnya qirat itu seperti yang dijelaskan dalam hadis adalah sesuatu yang sangat besar.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan menghadiri pengurusan jenazah seorang Muslim.

2 - Galakan untuk menghadiri pengurusan jenazah, melaksanakan urusan berkaitan dengannya, dan mendorong untuk berkumpul bagi tujuan tersebut.

3 - Peringatan tentang besarnya kurniaan Allah Taala dan kemuliaan-Nya kepada seorang Muslim dengan memperbanyakkan pahala bagi sesiapa yang menguruskan urusannya setelah kematiannya.

4 - Penentuan amalan berdasarkan kadar timbangan, sama ada sebagai perumpamaan untuk memudahkan pemahaman, atau secara hakikatnya.

5 – Dorongan agar kita mengikuti jenazah dari saat ia keluar dari rumah hingga dikebumikan. Tindakan ini memberikan ganjaran yang lebih besar dan lebih menghiburkan hati keluarga si mati.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ. قَالَ: قال رسول الله ﷺ: مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ صَائِمًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ جَنَازَةً. قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ مِسْكِينًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ عَادَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ مَرِيضًا.قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ، إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Siapakah di antara kamu yang berpuasa hari ini?"

Abu Bakar menjawab: "Saya."

Baginda bertanya: "Siapakah di antara kamu yang mengiringi jenazah hari ini?"

Abu Bakar menjawab: "Saya."

Baginda bertanya: "Siapakah di antara kamu yang memberi makan orang miskin hari ini?"

 Abu Bakar menjawab: "Saya."

Baginda bertanya: "Siapakah di antara kamu yang menziarahi orang sakit hari ini?"

Abu Bakar menjawab: "Saya."

Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Tidaklah berkumpul amalan-amalan ini pada seseorang melainkan dia akan masuk syurga."

Riwayat Muslim (hadis no. 2162).

Pengajaran Hadis:

1 - Menjelaskan kelebihan bersegera dalam melakukan amalan-amalan kebaikan.

2 - Kelebihan Abu Bakar yang dianugerahkan Allah dengan taufik untuk melakukan amalan-amalan terpuji, lalu mendapat kelebihan syurga.

3 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa mengikuti dan bertanya kepada para sahabat tentang amalan kebaikan yang mereka lakukan, untuk menunjukkan kepada orang ramai siapa terkehadapan dalam melakukan amalan, agar mereka boleh mengikuti teladan mereka.

4 - Sesiapa yang banyak melakukan sesuatu amalan, maka dia akan dikenali dengannya.

5 - Amalan-amalan kebajikan jarang berkumpul semuanya pada satu orang pada tahap yang sama.

6 - Mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat adalah sesuatu yang dituntut.

7 - Menunjukkan kebesaran kurniaan Allah Ta'ala kepada hamba-hamba-Nya, di mana Dia memudahkan untuk sebahagian mereka pelbagai pintu kebaikan sehingga mereka mencapai darjat yang tinggi.

Selasa, 12 Mac 2024

11 Hadis Kelebihan Membaca al-Quran

 Hadis Pertama

Diriwayatkan daripada ‘Uthman bin ‘Affan, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ.

“Sebaik-baik orang di kalangan kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (no. 5027).

Pengajaran Hadis

1 - Dorongan untuk mempelajari al-Quran, mentadabur dan merenung isi kandungannya seperti hukum-hakam, akidah, pengajaran kisah umat terdahulu serta suruhan dan larangan Allah Ta’ala. Semua itu adalah sebab untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

2 - Seorang alim berkewajipan menyebarkan ilmunya setelah mempelajarinya. Setiap usaha belajar dan mengajar itu ada pahala khusus baginya. Sesempurna ganjaran itu adalah dengan mempelajari al-Quran lalu mengajarkannya.

3 - Kemuliaan dan tingginya darjat orang yang mempelajari al-Quran.

4 - Seorang pembaca al-Quran yang mempelajarinya tanpa guru tidak mampu untuk memperelokkan bacaannya. Oleh itu seorang pembaca al-Quran memerlukan guru yang berkeahlian untuk membimbingnya bagi membaca al-Quran dengan baik dan memahami kandungannya.

5 - Berusaha untuk mengajarkan al-Quran, sekurang-kurangnya kepada anak-anak. Mudah-mudahan apabila mereka membaca al-Quran kita akan turut sama mendapat saham pahala.

Hadis Kedua

Diriwayatkan daripada Abu Umamah, beliau berkata: Aku mendengar Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اقْرَؤُا القُرْآنَ فإِنَّهُ يَأْتي يَوْم القيامةِ شَفِيعاً لأصْحابِهِ.

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat untuk memberi pertolongan kepada pembacanya.”

Riwayat Muslim (no. 804).

Pengajaran Hadis

1 - Galakan untuk membaca al-Quran kerana pada hari kiamat al-Quran akan memohon keampunan bagi orang yang selalu membacanya dan mengikut petunjuknya.

2 - Sebahagian ulama berpendapat al-Quran akan dirupakan dengan bentuk yang dapat dilihat oleh manusia sebagaimana amalan manusia juga akan diberi bentuk dan berat untuk diletakkan di atas timbangan (mizan). Sebahagian ulama tidak mahu memperincikan bagaimana al-Quran akan memohon pertolongan bagi manusia dan menyerahkannya kepada Allah.

3 - Kelebihan ini adalah untuk orang yang beramal dengan al-Quran. Adapun orang yang tidak beramal dengan al-Quran maka al-Quran akan menjadi musuhnya pada hari kiamat.

Hadis Ketiga

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam’an, beliau berkata: Aku mendengar Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

يُؤْتى يوْمَ القِيامةِ بالْقُرْآنِ وَأَهْلِهِ الذِين كانُوا يعْمَلُونَ بِهِ في الدُّنيَا تَقدُمهُ سورَةُ البقَرَةِ وَآل عِمرَانَ، تحَاجَّانِ عَنْ صاحِبِهِمَا.

“Al-Quran akan didatangkan pada hari kiamat bersama ahli al-Quran yang mengamalkannya sewaktu di dunia. Surah al-Baqarah dan Ali Imran akan maju untuk mempertahankan pembaca kedua surah tersebut.”

Riwayat Muslim (no. 805).

Pengajaran Hadis

1 - Kelebihan orang yang sentiasa melazimi bacaan al-Quran. Al-Quran akan mempertahankan pembacanya dan orang yang beramal dengannya.

2 - Kelebihan surah al-Baqarah dan Ali Imran. Keduanya akan mendahului untuk mempertahankan pembacanya.

3 - Ahli al-Quran adalah orang yang mengamalkan al-Quran dan selalu membacanya sama ada melalui hafalan atau mushaf. Ahli al-Quran juga akan membenarkan segala pengkhabaran yang terkandung dalam al-Quran, melaksanakan arahan dan hukum hakamnya, menjauhi larangannya dan mengagungkan kedudukannya.

Hadis Keempat

Diriwayatkan daripada Aisyah, beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الَّذِي يَقرَأُ القُرْآنَ وَهُو ماهِرٌ بِهِ معَ السَّفَرةِ الكرَامِ البررَةِ، وَالَّذِي يقرَأُ القُرْآنَ ويتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُو عليهِ شَاقٌّ لَهُ أجْران.

“Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama dengan para malaikat utusan yang mulia lagi taat. Manakala orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap dan kepayahan akan mendapat dua pahala.”

Riwayat al-Bukhari (no. 4937) dan Muslim (no. 798).

Keterangan Hadis

1 - Orang yang mahir membaca al-Quran adalah orang yang elok bacaannya dan menetapi hukum hakam tajwid.

2 - Para malaikat utusan adalah malaikat yang diutuskan kepada para rasul untuk membawa wahyu dari Allah atau mereka adalah malaikat pencatat amalan manusia kerana mereka adalah utusan di antara Allah dengan makhlukNya.

3 - Malaikat disifatkan dengan sifat mulia lagi taat kerana mereka suci daripada dosa maksiat dan sentiasa mentaati perintah Allah.

Pengajaran Hadis

1 - Kelebihan orang yang gigih membaca dan mempelajari al-Quran sehingga dia mahir dan dapat memperelokkan bacaan al-Quran. Mereka akan berada di martabat para malaikat di akhirat kelak.

2 - Galakan bagi orang yang berasa payah membaca al-Quran untuk dia terus berusaha membaca al-Quran. Dia akan mendapat dua pahala, iaitu pahala membaca al-Quran dan pahala kesukaran yang dia hadapi ketika membaca al-Quran.

3 - Hadis ini tidaklah bermaksud orang yang sukar membaca al-Quran itu mendapat pahala lebih banyak daripada orang yang mahir membaca al-Quran.

Bahkan kedudukan orang yang mahir membaca al-Quran itu lebih tinggi dan lebih banyak pahalanya kerana dia akan bersama dengan para malaikat.

Orang yang mahir itu juga dahulunya sukar untuk membaca al-Quran namun dia tidak putus asa untuk berusaha sehinggalah dia mahir dan menguasai bacaan al-Quran lalu dia dapat menghafal dan membanyakkan bacaannya. Sudah tentu pahalanya lebih banyak dan lebih tinggi martabatnya. Begitulah yang dijelaskan para ulama seperti Imam al-Qurtubi dan al-Qadhi ‘Iyadh.

Hadis Kelima

Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab bahawasanya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ اللهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا، وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

“Sesungguhnya Allah memuliakan sekumpulan manusia dengan sebab kitab ini dan merendahkan sekumpulan yang lain dengan sebabnya juga.”

Riwayat Muslim (no. 817).

Pengajaran Hadis

1 - Orang yang beriman, membaca, beramal dan mengagungkan kedudukan al-Quran akan dikurniakan darjat dan kemuliaan yang tinggi oleh Allah di dunia dan di akhirat.

2 - Orang yang ingkar, berpaling dan mengabaikan suruhan dan larangan al-Quran akan dihinakan oleh Allah di dunia dan di akhirat.

3 - Ilmu itu akan meninggikan martabat pemiliknya di dunia mahupun di akhirat dan tidak ada suatu yang lain pun daripada harta, nasab keturunan dan pangkat yang dapat melakukan sedemikian.

4 - Kemulian umat Islam adalah dengan berpegang teguh dengan agamanya dan menunaikan perintah kitabnya. Jika umat Islam melaksanakan tugasnya itu nescaya mereka akan lebih mulia daripada umat-umat yang lain.

Hadis Keenam

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مثَلُ المؤمنِ الَّذِي يقْرَأُ القرآنَ مثلُ الأُتْرُجَّةِ: ريحهَا طَيِّبٌ وطَعمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ المؤمنِ الَّذي لاَ يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمثَلِ التَّمرةِ: لاَ رِيح لهَا وطعْمُهَا حلْوٌ، ومثَلُ المُنَافِق الَّذِي يَقْرَأُ القرْآنَ كَمثَلِ الرِّيحانَةِ: رِيحها طَيّبٌ وطَعْمُهَا مرُّ، ومَثَلُ المُنَافِقِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ القرآنَ كَمَثلِ الحَنْظَلَةِ: لَيْسَ لَها رِيحٌ وَطَعمُهَا مُرٌّ.

“Orang beriman yang selalu membaca al-Quran itu ibarat buah utrujjah (citron). Baunya wangi dan rasanya manis. Orang beriman yang jarang membaca al-Quran pula ibarat buah kurma. Tidak ada bau baginya dan rasanya manis. Orang munafik yang selalu membaca al-Quran pula seperti raihanah (basil). Baunya wangi namun rasanya pahit. Orang munafik yang jarang membaca al-Quran umpama buah hanzalah (colocynth). Tidak ada bau baginya dan rasanya pahit.”

Riwayat al-Bukhari (no. 5427) dan Muslim (no. 797).

Pengajaran Hadis

1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengumpamakan keimanan itu dengan rasa dan perbuatan membaca al-Quran itu dengan bau kerana iman itu boleh ada pada orang beriman tanpa membaca al-Quran sebagaimana rasa itu boleh ada pada suatu benda tanpa ada baunya. Kadang-kadang baunya itu hilang namun rasanya masih ada.

Iman itu ibarat rasa manis yang tersembunyi dan tidak dapat dicapai oleh semua orang melainkan orang yang merasanya. Al-Quran itu pula ibarat bau wangi yang zahir dan dapat memberi manfaat kepada setiap orang yang mendengarnya.

2 - Maksud membaca al-Quran dalam hadis ini bukanlah semata-mata perbuatan membaca al-Quran melainkan mesti disertakan dengan beramal dengannya.

3 - Hadis ini menunjukkan boleh membuat perumpamaan untuk memudahkan kefahaman.

4 - Orang munafik dan fasik itu sekiranya mereka membaca al-Quran mereka tidak akan mendapat manfaat daripadanya kerana tidak mahu beramal dengannya. Tujuan mereka membaca al-Quran itu bukan untuk mengambil manfaat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Hadis Ketujuh

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

لا حَسَدَ إلاُّ في اثنَتَيْن: رجُلٌ آتَاهُ اللَّه القُرآنَ، فهوَ يقومُ بِهِ آناءَ اللَّيلِ وآنَاءَ النَّهَارِ، وَرجُلٌ آتَاهُ اللَّه مَالاً، فهُو يُنْفِقهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النهارِ.

“Tidak boleh berhasad dengki melainkan dalam dua keadaan: Seseorang yang Allah telah berikan kepadanya al-Quran maka dia membacanya siang dan malam dan seseorang yang telah Allah berikan kepadanya harta lalu dia menginfakkannya siang dan malam.”

Riwayat al-Bukhari (no. 7529) dan Muslim (no. 815).

Keterangan Hadis

1 - Maksud hasad dengki dalam hadis ini ialah hasad dengki yang positif atau dipanggil al-ghibtoh (الغبطة) dalam bahasa Arab. Ia bermaksud keinginan untuk mendapatkan nikmat dan kelebihan yang sama seperti orang lain tanpa disertai rasa ingin melihat nikmat itu ditarik daripada orang tersebut.

2 - Maksud seseorang yang Allah telah berikan kepadanya al-Quran iaitu Allah telah berikan kepadanya kebolehan untuk membaca, menghafal dan memahami al-Quran.

Pengajaran Hadis:

1 - Hasad dengki adalah penyakit hati yang sangat berbahaya. Oleh itu perlu untuk menjauhinya dan mempelajari cara merawat hati daripadanya.

2 - Berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan adalah digalakan dalam Islam.

3 - Berusaha untuk mempelajari al-Quran agar dapat membacanya siang dan malam.

4 - Kelebihan orang kaya yang tidak kedekut untuk membelanjakan hartanya pada perkara kebaikan.

Hadis Kelapan

Diriwayatkan daripada al-Bara’, beliau berkata:

كَانَ رَجلٌ يَقْرَأُ سورةَ الكَهْفِ، وَعِنْدَه فَرسٌ مَربوطٌ بِشَطَنَيْنِ فَتَغَشَّته سَحَابَةٌ فَجَعَلَت تَدنو، وجعلَ فَرسُه ينْفِر مِنها. فَلَمَّا أَصبح أَتَى النَّبِيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم. فَذَكَرَ له ذلكَ فَقَالَ: "تِلكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلتْ للقُرآنِ.

“Seorang lelaki membaca surat al-Kahfi. Di sisinya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali.  Lalu datang awan/kabus yang menaunginya. Awan/kabus itu mendekat dan semakin mendekat sehingga membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, lelaki itu pun datang bertemu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kejadian itu. Maka Nabi SAW pun bersabda: "Itu adalah al-Sakinah yang turun kerana (bacaan) al-Qur'an"

Riwayat al-Bukhari (no. 5011) dan Muslim (no. 795)

Keterangan Hadis

1 – Maksud al-Sakinah dari segi terjemahan literalnya adalah ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Namun tafsiran al-Sakinah bagi hadis ini menjadi perbezaan ulama yang menafsirkannya dengan banyak tafsiran.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang terpilih bagi tafsiran al-Sakinah adalah ia merupakan sesuatu daripada makhluk Allah yang padanya ada ketenangan dan bersamanya juga ada para malaikat.

Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa al-Sakinah ini adalah nama bagi malaikat dan dinamakan sebagai sakinah kerana sifat mereka yang tenang dan tenteram kerana menghormati pembacaan al-Quran. Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi juga bersetuju bahawa al-Sakinah itu merujuk kepada malaikat.

Pengajaran Hadis

1 – Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca al-Quran. Malaikat akan turut hadir untuk mendengar bacaan al-Quran dan kehadiran mereka akan membuat hati merasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

2 – Galakan untuk mendengar bacaan al-Quran orang lain sebagimana yang dilakukan oleh para malaikat.

3 – Hadis ini juga membuktikan bahawa manusia selain nabi dan rasul juga mungkin dapat melihat malaikat. Begitu juga haiwan dapat melihat malaikat.

4 – Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab kelebihan surah al-Kahfi. Ini menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dihadiri oleh malaikat yang akan membuatkannya rasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

Namun menurut pendapat ulama lain, kelebihan tersebut tidaklah khusus kepada pembacaan surah al-Kahfi semata-mata bahkan pembacaan al-Quran secara umumnya. Oleh itu pembacaan mana-mana surah sekalipun akan mendapat kelebihan tersebut.

Hadis Kesembilan

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

منْ قرأَ حرْفاً مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فلَهُ حسنَةٌ، والحسنَةُ بِعشرِ أَمثَالِهَا لاَ أَقول: ألم حَرفٌ، وَلكِن: أَلِفٌ حرْفٌ، ولامٌ حرْفٌ، ومِيَمٌ حرْفٌ.

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu pahala dan pahala itu digandakan pula menjadi sepuluh pahala. Aku tidak katakan alif lam min itu satu huruf tapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 2910). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih gharib.” Al-Hafiz al-Suyuti mensahihkan hadis ini dalam kitab Mathla’ al-Badrain Fi Man Yu’ta Ajruhu Marratain (ms. 54). Syeikh Abdullah al-Talidi turut mensahihkan hadis ini dalam Ithaf al-Muslim Bi Zawaid al-Tirmizi ‘Ala al-Bukhari Wa Muslim (ms. 40).

Pengajaran Hadis

1 - Keluasan rahmat dan kemurahan Allah yang menggandakan pahala bagi amal ibadat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.

2 - Galakan untuk memperbanyakan amal kebajikan dan bacaan al-Quran.

3 - Rasulullah ingin menjelaskan makna huruf dan membezakan antara huruf dan kalimah.

4 - Pahala bacaan al-Quran itu diberi bedasarkan kiraan huruf.

Hadis Kesepuluh

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إنَّ الَّذي لَيس في جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرآنِ كالبيتِ الخَرِبِ.

“Sesuangguhnya orang yang tidak ada sedikit pun daripada al-Quran di dalam hatinya ibarat rumah yang kosong.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 2913). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengumpamakan hati orang yang langsung tidak menghafal al-Quran dengan rumah yang kosong daripada kebaikan, keindahan, penghuni dan perhiasan. Ini kerana al-Quran itulah yang menghidupkan dan menghiasi hati manusia.

2 - Hadis ini terdapat galakan untuk gigih menghafal al-Quran kerana hati penghafal al-Quran itu akan dipenuhi keimanan dan kebaikan.

Hadis Kesebelas

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As daripada Nabi sallahu ‘alihi wasallam, baginda bersabda:

يُقَالُ لِصاحبِ الْقُرَآنِ: اقْرأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَما كُنْتَ تُرَتِّلُ في الدُّنْيَا، فَإنَّ منْزِلَتَكَ عِنْد آخِرِ آيةٍ تَقْرَؤُهَا.

“Akan dikatakan kepada ahli al-Quran (sewaktu hendak masuk ke syurga): Bacalah dan naiklah (tangga syurga). Bacalah dengan tartil (perlahan-lahan) sebagaimana kamu membacanya dengan tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu  (di syurga) adalah berdasarkan ayat terakhir yang kamu baca.”

Riwayat Abu Daud (no. 1464) dan al-Tirmizi (no. 2914). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 - Ahli al-Quran adalah orang yang menghafal al-Quran, selalu membacanya dan mengamalkan ajarannya.

2 - Kedudukan ahli al-Quran di syurga adalah berdasarkan kadar al-Quran yang dia baca dan hafal.

3 - Galakan untuk membaca dan menghafal banyak ayat al-Quran agar mendapat kedudukan yang tinggi di syurga.

4 - Tujuan membaca al-Quran di syurga adalah untuk bersedap-sedap dan berseronok-seronok bukan kerana taklif (tanggung jawab melakukan ibadat) kerana sudah tidak perlu beramal di syurga.

Khamis, 27 Julai 2023

5 Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi

Galakan Membaca Surah al-Kahfi Pada Siang dan Malam Jumaat

1- Imam al-Syafi’e berkata dalam kitab al-Umm:

“Telah sampai kepada kami (hadis) bahawa sesiapa yang membaca surah al-Kahfi akan selamat daripada tipu daya Dajjal. Aku suka agar memperbanyakkan selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pada setiap masa dan pada hari Jumaat dan malamnya lebih lagi aku galakkan. Aku suka agar dibaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya kerana ada (hadis) tentangnya.”

 2 – Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar berkata:

“Digalakkan untuk memperbanyakkan pada siang (Jumaat) dan malamnya bacaan al-Quran, zikir, doa, selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan membaca surah al-Kahfi pada harinya.”

Hikmah Dibaca Surah al-Kahfi Pada Hari Jumaat

Imam Kamaluddin al-Damiri dalam kitab al-Najm al-Wahhaj Syarah al-Minhaj berkata:

“Hikmah pembacaannya pada hari Jumaat kerana Allah menyebutkan di dalamnya berkenaan hari kiamat. Hari Jumaat menyerupai hari kiamat kerana pada hari Jumaat manusia akan berhimpun dan bangun khatib (menyampaikan khutbah). Begitu juga kiamat akan berlaku pada hari Jumaat. Apabila dibaca surah al-Kahfi pada waktu siang akan mengingatkan kepada kiamat. Jika dibaca pada waktu malam akan mengingatkan bahawa tidak ada malam lagi setelahnya melainkan hari kiamat.”

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

Diriwayatkan daripada Abu Darda’, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (no. 809).

Dalam riwayat Muslim yang lain:

منْ حفِظَ عشْر آيَاتٍ مِنْ آخِرِ سُورةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada akhir surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Dalam riwayat al-Tirmizi (no. 2886):

مَنْ قَرَأَ ثَلَاثَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ الكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa yang membaca 3 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan diperlihara daripada tipu daya Dajjal.”

Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih.”

Keterangan Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 – Syeikh Abdullah al-Talidi dalam kitab Bidayah al-Sul berkata: “Hadis ini menunjukkan keutamaan surah al-Kahfi dan kelebihan menghafal dan membacanya iaitu terpelihara daripada Dajjal dan tipu dayanya, meskipun orang tersebut hanya menghafal 10 ayat daripada awalnya atau membaca 10 ayat terakhir daripadanya.”

2 - Maksud tipu daya Dajjal ialah perkara-perkara ajaib dan luar biasa yang dizahirkan oleh Dajjal  seperti menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuhan di bumi yang tandus yang membuatkan orang yang lemah imannya terpedaya dan tersesat sehingga mengikut Dajjal.

3 – Imam al-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim bahawa dikatakan hikmah surah ini dapat menjadi pelindung daripada tipu daya Dajjal adalah kerana 10 ayat awal surah ini menceritakan tentang perkara-perkara yang luar biasa dan ajaib. Oleh itu sesiapa yang benar-benar memahami dan menghayati ayat-ayat tersebut maka dia tidak akan tertipu dan terpesona lagi dengan keajaiban-keajaiban yang dizahirkan oleh Dajjal. Manakala 10 ayat yang terakhir pula mengandungi peringatan agar tidak mengambil selain Allah sebagai sembahan. Firman Allah Ta’ala (ayat ke 102 Surah al-Kahfi):

أَفَحَسِبَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَن يَتَّخِذُواْ عِبَادِى مِن دُونِىٓ أَوْلِيَآءَ ۚ إِنَّآ أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ نُزُلًا.

Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.”

4 – Hadis ini juga menunjukkan sifat belas kasihan Nabi sallahu ‘aihi wasallam terhadap umatnya. Baginda mengkhabarkan tentang ujian dan huru hara yang bakal menimpa umatnya serta mengajarkan cara-cara untuk selamat daripada kesusahan tersebut.

5 – Dalam riwayat al-Tirmizi dikatakan bahawa cukup hanya perlu membaca 3 ayat daripada surah al-Kahfi. Adakah riwayat ini bercanggah dengan riwayat Muslim yang menunjukkan bahawa perlu menghafal 10 ayat? Para ulama menyebutkan beberapa kemungkinan untuk mengharmonikan antara kedua-dua riwayat ini:

Pertama: Hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 10 ayat. Maka cukup untuk membaca 3 ayat sahaja dan tidak perlu lagi membaca 10 ayat.

Kedua: Hadis yang menyebutkan 10 ayat adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 3 ayat. Sesiapa yang membaca 10 ayat maka dia sudah membaca 3 ayat yang awal sekaligus.

Ketiga: Hadis yang menyebutkan 10 ayat adalah untuk hafalan manakala hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah untuk bacaan. Oleh itu sesiapa yang menghafal 10 ayat yang awal dan sentiasa membaca 3 ayat yang awal maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.

Menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al- Ityubi dalam kitab Al-Bahr al-Muhith al-Thajjaj  Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin al-Hajjaj, hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah hadis yang syaz (daif). Oleh itu tidak perlu bersusah payah berusaha untuk mengharmonikan kedua-dua riwayat tersebut sebaliknya dahulukan sahaja hadis yang menyebutkan 10 ayat.

6 – Dalam riwayat Muslim juga ada perbezaan antara 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir. Riwayat manakah yang lebih kuat? Menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi, riwayat 10 ayat awal lebih kuat kerana diriwayatkan oleh perawi yang lebih  ramai.

Imam al-Syaukani pula berpandangan bahawa lebih baik untuk beramal dengan kedua-dua riwayat tersebut. Dan yang lebih baik dan lebih sempurna lagi adalah dengan membaca keseluruhan surah al-Kahfi pada malam dan siang Jumaat.

Hadis Kedua

عَنِ الْبَرَاءِ، قَالَ:

كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الْكَهْفِ، وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو، وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالْقُرْآنِ.

Diriwayatkan daripada al-Bara’, beliau berkata:

“Seorang lelaki membaca surat al-Kahfi. Di sisinya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali.  Lalu datang awan/kabus yang menaunginya. Awan/kabus itu mendekat dan semakin mendekat sehingga membuatkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, lelaki itu pun datang bertemu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kejadian itu. Maka Nabi SAW pun bersabda: "Itu adalah al-Sakinah yang turun kerana (bacaan) al-Qur'an"

Riwayat al-Bukhari (no. 5011) dan Muslim (no. 795)

Keterangan Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 – Maksud al-Sakinah dari segi terjemahan literalnya adalah ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Namun tafsiran al-Sakinah bagi hadis ini menjadi perbezaan ulama yang menafsirkannya dengan banyak tafsiran.

Menurut Imam al-Nawawi, pendapat yang terpilih bagi tafsiran al-Sakinah adalah ia merupakan makhluk Allah yang padanya ada ketenangan dan bersamanya juga ada para malaikat.

Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa al-Sakinah ini adalah nama bagi malaikat dan dinamakan sebagai sakinah kerana sifat mereka yang tenang dan tenteram kerana menghormati pembacaan al-Quran. Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi juga bersetuju bahawa al-Sakinah itu merujuk kepada malaikat.

2 – Hadis ini menunjukkan kelebihan membaca al-Quran. Malaikat akan turut hadir untuk mendengar bacaan al-Quran dan kehadiran mereka akan membuat hati merasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

3 – Galakan untuk mendengar bacaan al-Quran orang lain sebagimana yang dilakukan oleh para malaikat.

4 – Hadis ini juga membuktikan bahawa manusia selain nabi dan rasul juga mungkin dapat melihat malaikat. Begitu juga haiwan dapat melihat malaikat.

5 – Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab kelebihan surah al-Kahfi. Ini menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dihadiri oleh malaikat yang akan membuatkannya rasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

Namun menurut pendapat ulama lain, kelebihan tersebut tidaklah khusus kepada pembacaan surah al-Kahfi semata-mata bahkan pembacaan al-Quran secara umumnya. Oleh itu pembacaan mana-mana surah sekalipun akan mendapat kelebihan tersebut.

Hadis Ketiga

 عَن النَّواس بنِ سَمْعانَ قالَ، قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم:

فمَن أَدْرَكَهُ مِنكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عليه فَوَاتِحَ سُورَةِ الكَهْفِ.

Diriwayatkan daripada al-Nawwas bin Sam’an, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa di kalangan kamu yang bertemu dengan Dajjal maka bacakan kepadanya pembukaan (bahagian awal) surah al-Kahfi.”

Riwayat Muslim (no. 2937).

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini sama seperti hadis pertama yang menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dilindungi daripada kejahatan Dajjal. Oleh itu sesiapa yang bertemu dengan Dajjal maka hendaklah dia membaca bahagian awal surah al-Kahfi.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَمَا أُنْزِلَتْ، ثُمَّ أَدْرَكَ الدَّجَّالَ لَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ، أَوْ لَمْ يَكُنْ لَهُ عَلَيْهِ سَبِيلٌ، وَمَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَانَ لَهُ نُورًا مِنْ حَيْثُ قَرَأَهَا مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ مَكَّةَ.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan, kemudian dia bertemu dengan Dajjal, maka Dajjal tidak mampu untuk menguasainya atau tidak ada jalan bagi Dajjal untuk menguasainya. Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi, maka baginya cahaya dari tempat dia membacanya sehingga Mekah.”

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10724).

Dalam riwayat al-Darimi (no. 3450) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq (Kaabah).

Dalam riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2220) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq (Kaabah).”

Dalam riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 6063) secara marfu’:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka diterangi baginya dengan cahaya antara dua Jumaatnya.”

Dan ada beberapa lafaz hadis yang berbeza-beza yang saya tidak sebutkan di sini.

Keterangan dan Pengajaran Hadis

1 – Telah berlaku khilaf besar pada periwayatan hadis ini sama ada dari sudut sanad mahupun matannya. Dari sudut sanad, hadis ini diriwayatkan secara marfu’ (ucapan Nabi) dan mauquf (ucapan sahabat).

Begitu juga berlaku khilaf pada matannya. Ada riwayat yang menyebutkan membaca al-Kahfi tanpa disebut Jumaat, ada yang menyebutkan malam Jumaat dan ada yang menyebutkan hari Jumaat.

Selain itu ada juga perbezaan pada hujung matannya iaitu ‘diterangi baginya dengan cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’ danditerangi baginya dengan cahaya antara dua Jumaatnya”.

Pendapat yang lebih sahih/tepat adalah hadis ini sebenarnya adalah ucapan Abu Sa’id al-Khurdi (mauquf). Inilah pendapat kebanyakan ulama seperti al-Nasa’ie, al-Daraqutni, al-Tabarani, al-Baihaqi, al-Zahabi dan Ibnu Hajar al-Asqalani. Meskipun begitu ucapan Abu Sa’id al-Khudri ini mempunyai hukum marfu’ (bersumber dari Nabi) kerana tidak mungkin beliau mengucapkan perkara seperti ini berdasarkan pandangan beliau sendiri.

Untuk matannya, yang lebih tepat adalah yang tidak menyebut Jumaat dan lafaz hadis dihujungnya menyebut ‘antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’. Lafaz hadis yang menyebut ‘antara dua Jumaat’ itu pula merupakan kesilapan salah seorang perawinya iaitu Nu’aim bin Hammad.

2 – Hadis yang menyebut membaca al-Kahfi pada hari dan malam Jumaat telah dijadikan dalil oleh para ulama yang menganjurkan pembacaan surah ini pada hari dan malam Jumaat.

Ini kerana kebanyakan ulama berpendapat tidak ada masalah untuk menggunakan hadis daif dalam bab fadhail a’mal (kelebihan amalan). Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam kitab al-Mughni menyebutkan: “Perkara-perkara sunat dan kelebihan-kelebihan (amalan) tidak disyaratkan kesahihan hadis padanya.”

3 – Para ulama juga khilaf pada menafsirkan bahagian hadis ‘diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’.

Menurut al-Jurdani dalam kitab Misbah al-Zalam, cahaya dalam hadis tersebut adalah kiasan kepada pengampunan dosa dan ganjaran pahala. Jikalau pengampunan dosa dan ganjaran pahala itu dijisimkan/dibentukkan maka saiznya adalah jarak antara tempatnya sehingga Kaabah. Ini mengambarkan betapa besar dan luasnnya pengampunan dosa dan ganjaran pahala yang diperoleh oleh pembaca surah al-Kahfi.

Al-San’ani dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir pula berpendapat cahaya yang diterangkan bagi pembaca surah al-Kahfi itu mungkin berlaku di dunia ini yang akan meliputinya dengan kadar keluasan cahaya itu adalah dari tempatnya sehingga ke Kaabah. Cahaya itu akan menjadi tanda bagi malaikat supaya menerima amalannya dan melindunginya daripada syaitan. Boleh jadi juga cahaya itu adalah pada basirahnya (pandangan mata hati) yang akan memandunya kepada kebenaran.  

Hadis Kelima

عَنْ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ:

مَنْ قَرَأَ أَوَّلَ سُورَةِ الْكَهْفِ وَآخِرَهَا، كَانَتْ لَهُ نُورًا مِنْ قَدَمِهِ إِلَى رَأْسِهِ، وَمَنْ قَرَأَهَا كُلَّهَا كَانَتْ لَهُ نُورًا مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ.

Diriwayatkan daripada Mu’az bin Anas, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Sesiapa yang membaca awal surah al-Kahfi dan juga akhirnya, baginya cahaya daripada kakinya sehingga kepalanya. Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi keseluruhannya, baginya cahaya antara langit sehingga ke bumi.”

Riwayat Ahmad (no. 15626) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Zabbad bin Faid, dia adalah daif.

Bangun Pada Waktu Yang Dikehendaki Dengan Membaca Akhir Surah al-Kahfi

Seorang Tabi'in Besar (kibar tabiin) yang sempat belajar dengan ramai sahabat bernama Zirr bin Hubaish berkata:

مَنْ قَرَأَ آخِرَ سُورَةِ الْكَهْفِ لِسَاعَةٍ يُرِيدُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ، قَامَهَا.

“Sesiapa yang membaca akhir surah al-Kahfi untuk dia bangun pada suatu masa pada malam tersebut maka dia akan bangun.”

Riwayat al-Darimi (no. 3449) dan Abu ‘Ubaid dalam Fadhail al-Quran (no. 465).

Murid Zirr bin Hubaish bernama ‘Abdah yang meriwayatkan ucapan beliau ini berkata:

“Aku mencubanya dan aku mendapati ianya benar.”

Begitu juga salah seorang perawi ucapan Zirr bin Hubaish ini yang bernama Muhammad bin Kathir al-Masisi berkata:

“Aku mencubanya juga beberapa kali sewaktu perang dan aku bangun pada waktu yang aku kehendaki.”

Menurut Muhammad bin Kathir ayat tersebut perlu dibaca bermula ayat yang ke-107 sehingga akhir surah al-Kahfi.

Syeikh Nabil al-Ghamri dalam kitab Fath al-Manan menceritakan bahawa guru beliau, Syeikh Hasan al-Masyat turut mencubanya dan mendapatinya mujarab. 

Baca juga: 

Sinopsis Surah al-Kahfi