Hadis
Pertama
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَالَ:
حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ. قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟
قَالَ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا
اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ،
وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ، وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ.
Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Tanggungjawab
seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam."
Baginda ditanya: "Apakah
ia wahai Rasulullah?"
Baginda bersabda:
"Apabila engkau bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam kepadanya.
Apabila dia menjemputmu, maka penuhilah jemputannya. Apabila dia meminta
nasihat kepadamu, maka nasihatilah dia. Apabila dia bersin lalu memuji Allah,
maka doakanlah dia. Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia
meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya."
Riwayat Muslim (hadis no. 2162).
Pengajaran
Hadis:
1 - Perintah
untuk menyebarkan dan memperbanyakkan salam kepada setiap Muslim, sebagaimana
sabda baginda dalam hadis yang lain: "Dan ucapkanlah salam kepada orang
yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal."
Adapun menjawab
salam adalah wajib berdasarkan ijmak (kesepakatan ulama). Jika salam itu
ditujukan kepada seorang individu, maka menjawabnya adalah fardhu ain ke
atasnya. Jika salam itu ditujukan kepada sekumpulan orang, maka menjawabnya
adalah fardhu kifayah ke atas mereka, di mana apabila salah seorang daripada
mereka menjawabnya, gugurlah kewajipan tersebut daripada yang lain.
2 - Perintah
untuk menghadiri kenduri kahwin dan hukumnya fardhu ain ke atas setiap orang
yang dijemput sekiranya kenduri itu memenuhi syarat-syaratnya, tetapi boleh
gugur dengan wujud keuzuran seperti sakit atau ada kemaksiatan dalam majlis
tersebut. Adapun untuk selain kenduri kahwin, maka hukumnya sunat muakkad untuk
menghadirinya.
3 – Galakan untuk
saling menasihati sesama Muslim. Nasihat bermaksud menginginkan kebaikan untuk
orang yang dinasihati, iaitu dengan mengharapkan kebaikan untuknya sama ada
ketika dia hadir atau tidak hadir. Janganlah bermanis mulut (bermuka-muka)
ketika dia hadir tetapi mengumpat dia ketika dia tiada, kerana ini adalah sifat
orang-orang munafik.
4 - Perintah
untuk mendoakan orang yang bersin dengan mengucapkan 'yarhamkallah’ (semoga
Allah merahmati kamu). Imam al-Nawawi berkata: “Ia adalah sunat kifayah, di
mana apabila sebahagian daripada orang yang ada telah melakukannya, gugurlah
perintah tersebut daripada yang lain. Syaratnya ialah orang yang hendak
mendoakan mesti mendengar orang yang bersin mengucapkan ‘alhamdulillah’.
5 - Perintah
menziarahi orang sakit. Imam al-Nawawi berkata: “Adapun menziarahi orang
sakit adalah sunat berdasarkan ijmak (kesepakatan ulama), sama ada orang yang
dikenali atau tidak dikenali, saudara-mara atau orang luar. Para ulama
berselisih pendapat tentang mana yang lebih utama dan lebih afdal antara
kedua-duanya.”
6 – Arahan untuk
mengiringi jenazah, iaitu mengikuti jenazah dari tempat kematian atau tempat
solat jenazah ke tempat pengebumian. Imam al-Nawawi berkata: “Adapun
mengiringi jenazah adalah sunat berdasarkan ijmak (kesepakatan ulama) juga,
sama ada jenazah orang yang dikenali, saudara-mara, atau selain mereka.”
7 – Hadis ini
menunjukkan keagungan Islam dalam memperkukuh ikatan persaudaraan dan kasih
sayang antara umat Islam.
Hadis Kedua
عَن أبي سعيد، أَنه سمع رَسُول الله ﷺ يَقُول:
خَمْسٌ مَنْ عَمِلَهُنَّ فِي يَوْمٍ كتَبَهُ اللهُ
مِنْ أهْلِ الْجَنَّةِ: مَنْ عَادَ مَرِيضًا، وَشَهِدَ جَنَازَةً، وَصَامَ
يَوْمًا، وَرَاحَ إلَى الْجُمُعَةِ، وَأعْتَقَ رَقَبَةً.
Daripada Abu
Said, bahawa beliau mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Lima perkara
yang sesiapa melakukannya dalam sehari, Allah akan mencatatkannya sebagai ahli
syurga: sesiapa yang menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, berpuasa,
pergi pada hari Jumaat (untuk solat Jumaat) dan membebaskan seorang hamba.”
Riwayat Ibnu
Hibban dalam Sahihnya (hadis no. 2771).
Pengajaran
Hadis:
1 - Hadis ini
mengandungi lima amalan yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah, kerana
sesiapa yang mampu melaksanakan kelima-lima perkara ini dalam sehari akan
dicatat sebagai ahli syurga:
i) Menziarahi
orang sakit – Menunjukkan kepedulian dan kasih sayang terhadap saudara Muslim.
ii) Mengiringi
jenazah – Mengingatkan tentang kematian dan menjaga hubungan sesama Muslim.
iii) Berpuasa
sehari – Meningkatkan ketakwaan dan mengawal nafsu.
iv) Pergi solat
Jumaat – Memenuhi kewajiban agama dan menyatukan umat.
v) Membebaskan
seorang hamba – Membantu membebaskan manusia dari penindasan dan sebagai simbol
keadilan serta kasih sayang.
Hadis Kedua
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ:
مَنْ شَهِدَ الْجِنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ
شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ، قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ يَا
رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ.
Daripada Abu
Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Sesiapa
yang mengunjungi jenazah sehingga disembahyangkan ke atasnya, maka baginya satu
qirat dan sesiapa yang menghadirinya sehingga dikebumikan maka baginya dua
qirat."
Sahabat bertanya:
"Apakah dua qirat itu, wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab:
"Seperti dua gunung yang besar."
Riwayat al-Bukhari
(hadis no. 1325) dan Muslim (hadis no. 945).
Dalam riwayat
yang lain:
مَنِ اتَّبَعَ جِنَازَةَ مُسْلِمٍ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا، وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا وَيَفْرُغَ مِنْ
دَفْنِهَا، فَإِنَّهُ يَرْجِعُ مِنَ الْأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ؛ كُلُّ قِيرَاطٍ
مِثْلُ أُحُدٍ، وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ،
فَإِنَّهُ يَرْجِعُ بِقِيرَاطٍ.
"Sesiapa
yang mengiringi jenazah seorang Muslim dengan penuh keimanan dan mengharapkan
pahala dan dia bersama jenazah itu sehingga disembahyangkan dan selesai
pengebumiannya, maka sesungguhnya dia akan pulang dengan membawa pahala dua
qirat. Setiap qirat seperti (besarnya) Gunung Uhud. Sesiapa yang
menyembahyangkan jenazah kemudian pulang sebelum pengebumian, maka sesungguhnya
dia akan pulang dengan membawa satu qirat."
Riwayat al-Bukhari
(hadis no. 47).
Kosa Kata
Hadis:
1 - Qirat
adalah setengah danaq, dan danaq adalah satu perenam dirham.
Ini adalah unit timbangan dan mata
wang yang digunakan pada zaman itu. Tujuan baginda menggunakan istilah tersebut
untuk memudahkan pemahaman, kerana manusia pada masa itu mengenali qirat dan
melakukan sesuatu pekerjaan berdasarkan ganjarannya. Ia disebut mengikut
sesuatu yang mereka kenal, dan diberikan perumpamaan berdasarkan apa yang
mereka fahami. Namun sebenarnya, qirat itu, seperti yang dijelaskan
dalam hadis, adalah sesuatu yang sangat besar.
1 - Kelebihan
menghadiri pengurusan jenazah seorang Muslim.
2 - Galakan untuk
menghadiri pengurusan jenazah, melaksanakan urusan berkaitan dengannya, dan
mendorong untuk berkumpul bagi tujuan tersebut.
3 - Peringatan
tentang besarnya kurniaan Allah Taala dan kemuliaan-Nya kepada seorang Muslim
dengan memperbanyakkan pahala bagi sesiapa yang menguruskan urusannya setelah
kematiannya.
4 - Penentuan
amalan berdasarkan kadar timbangan, sama ada sebagai perumpamaan untuk
memudahkan pemahaman, atau secara hakikatnya.
5 – Dorongan agar
kita mengikuti jenazah dari saat ia keluar dari rumah hingga dikebumikan.
Tindakan ini memberikan ganjaran yang lebih besar dan lebih menghiburkan hati
keluarga si mati.
Hadis Ketiga
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ. قَالَ: قال رسول الله ﷺ:
مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ صَائِمًا؟ قَالَ
أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ جَنَازَةً. قَالَ أَبُو
بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ مِسْكِينًا؟ قَالَ أَبُو
بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ عَادَ مِنْكُمُ الْيَوْمَ مَرِيضًا.قَالَ أَبُو بَكْرٍ:
أَنَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: مَا اجْتَمَعْنَ فِي
امْرِئٍ، إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ.
Daripada Abu
Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Siapakah
di antara kamu yang berpuasa hari ini?"
Abu Bakar
menjawab: "Saya."
Baginda bertanya:
"Siapakah di antara kamu yang mengiringi jenazah hari ini?"
Abu Bakar
menjawab: "Saya."
Baginda bertanya:
"Siapakah di antara kamu yang memberi makan orang miskin hari
ini?"
Abu Bakar menjawab: "Saya."
Baginda bertanya:
"Siapakah di antara kamu yang menziarahi orang sakit hari ini?"
Abu Bakar
menjawab: "Saya."
Maka Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda: "Tidaklah berkumpul amalan-amalan ini
pada seseorang melainkan dia akan masuk syurga."
Riwayat Muslim
(hadis no. 2162).
Pengajaran
Hadis:
1 - Menjelaskan
kelebihan bersegera dalam melakukan amalan-amalan kebaikan.
2 - Kelebihan Abu
Bakar yang dianugerahkan Allah dengan taufik untuk melakukan amalan-amalan
terpuji, lalu mendapat kelebihan syurga.
3 - Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam sentiasa mengikuti dan bertanya kepada para sahabat
tentang amalan kebaikan yang mereka lakukan, untuk menunjukkan kepada orang
ramai siapa terkehadapan dalam melakukan amalan, agar mereka boleh mengikuti
teladan mereka.
4 - Sesiapa yang
banyak melakukan sesuatu amalan, maka dia akan dikenali dengannya.
5 - Amalan-amalan
kebajikan jarang berkumpul semuanya pada satu orang pada tahap yang sama.
6 - Mengharapkan
kebaikan di dunia dan akhirat adalah sesuatu yang dituntut.
7 - Menunjukkan kebesaran kurniaan Allah Ta'ala kepada hamba-hamba-Nya, di mana Dia memudahkan untuk sebahagian mereka pelbagai pintu kebaikan sehingga mereka mencapai darjat yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan