Ahad, 22 Disember 2024

Sebab Banyaknya Tulisan al-Hafiz al-Suyuti

Dalam tulisan saya pada 4 tahun lepas saya ada menulis tentang banyaknya karya yang dihasilkan oleh al-Hafiz al-Suyuti (m. 911H) sehingga ada ulama dan pengkaji yang menghitung jumlahnya yang mencapai 1000 buah karangan. Boleh baca di sini.

Tidak diragukan lagi bahawa banyaknya tulisan beliau disebabkan Allah Ta'ala telah memberkati waktu dan usianya, yang menjadi sebab utama di sebalik banyaknya karya yang beliau tinggalkannya. Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibnu 'Athaillah dalam Hikam-nya: "Sesiapa yang diberkati umurnya, nescaya dalam masa yang singkat dia akan mencapai kurniaan-kurniaan Allah Taala yang tidak terungkap oleh kata-kata dan tidak dapat dijelaskan dengan isyarat."

Namun begitu, tidak salah jika kita cuba mencari beberapa sebab luaran/material lain yang boleh dijadikan dorongan bagi kita untuk menjaga waktu dan mengisinya dengan perkara yang bermanfaat lagi berguna. Antara sebab-sebab tersebut ialah:

1 - Memulakan penulisan pada usia yang muda:

Beliau menulis karya pertamanya semasa gurunya, ‘Alamuddin al-Bulqini (m. 868H) masih hidup dan ketika itu beliau baru berusia 17 tahun. Karya tersebut ialah Syarah al-Isti'azah wa al-Basmalah yang dikarang pada tahun 865 Hijrah. Pada tahun yang sama, beliau juga mengarang kitab Syarah al-Hai'alah wa al-Haiqalah dan sebuah kitab berjudul al-Syam'ah al-Mudhiyyah fi Ilm al-Arabiyyah. Dalam fasa awal kehidupannya, beliau juga mengarang beberapa karya yang kemudiannya beliau hapuskan dan tarik balik semula, seperti: Syarah al-Jumal oleh al-Zajjaji, Syarah al-Kafiyah al-Kubra oleh Ibnu Malik, Syarah 'ala Matan al-Ajurrumiyyah, Syarah Nazam  al-Ajurrumiyyah dan lain-lain.

2 - Banyaknya sumber rujukan yang dimilikinya:

Ayahnya telah meninggalkan sebuah perpustakaan yang kaya dengan pelbagai karya ilmiah untuknya. Sejak kecil, beliau juga sering mengunjungi Madrasah al-Mahmudiyyah, yang memiliki sebuah perpustakaan besar yang mengandungi koleksi buku paling berharga di Kaherah.

3 - Kepantasannya dalam menulis:

Muridnya, al-Daudi, menyebut bahawa beliau adalah salah satu keajaiban yang hebat dalam kepantasan menulis. Beliau berkata: "Aku telah menyaksikan sendiri Syeikh menulis dalam satu hari sebanyak tiga buku kecil (kurras), baik dalam bentuk karangan mahupun suntingan."

Al-Hafiz Abdullah al-Ansari berkata: "Seorang ahli hadis perlu memiliki sifat: cepat berjalan, cepat menulis, dan cepat membaca."

4 – Pengunduran diri daripada memberi fatwa dan mengajar:

Beliau berhenti memberi fatwa dan mengajar ketika berusia 40 tahun, yang mana ia telah membantunya untuk memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyusun karya-karyanya. Muridnya, Abdul Qadir al-Syazili berkata: "Apabila Syeikh Jalaluddin mencapai usia 40 tahun, beliau mula mengasingkan diri untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah Taala serta berpaling daripada dunia dan penghuninya. Beliau mula menyusun karya-karyanya, serta meninggalkan tugas memberi fatwa dan mengajar"

5 - Kaedah yang digunaakan oleh al-Suyuti dalam penulisan:

Kaedah yang digunakan oleh al-Suyuti dalam penulisan juga memberi kesan kepada banyaknya karya-karya beliau. Beliau memulakan penulisannya dengan meringkaskan kitab-kitab ulama terdahulu, yang mana ia membantunya mengumpul khazanah ilmu yang sangat besar. Ini memberinya kemampuan pada kemudian harinya untuk mengarang secara menyeluruh dan bebas.

Dari sudut yang lain pula, al-Suyuti mengkaji secara mendalam bagi topik-topik yang ingin dikarangnya, sehingga beliau menulis satu karya khusus untuk satu topik. Sekiranya beliau memperoleh bahan ilmiah baru mengenai topik yang sama, beliau akan menyusulkan karyanya yang pertama dengan karya baru dan begitulah seterusnya.

Sudut ketiga yang disedari oleh sejumlah pengkaji ialah al-Suyuti akan mengarang sebuah kitab yang menyeluruh, kemudian beliau akan membahagikan perbahasannya kepada beberapa karya dan risalah kecil. Kadang-kadang beliau melakukan sebaliknya, iaitu mengumpulkan beberapa risalah dan karya dalam satu kitab.

Terdapat sebahagian pengkaji yang beranggapan bahawa al-Suyuti hanyalah seorang yang sekadar meringkaskan karya-karya yang diringkaskannya. Berdasarkan anggapan ini, mereka menyimpulkan bahawa al-Suyuti memiliki pandangan dan pemikiran yang bercanggah disebabkan perbezaan pendapat antara pengarang-pengarang kitab yang diringkaskannya dengan pendapatnya sendiri. Mereka juga beranggapan bahawa al-Suyuti tidak teliti dalam meneliti pendapat-pendapat tersebut dan tidak memilihkan pendapat yang lebih kuat.

Pandangan terhadap karya ringkasan al-Suyuti ini tidak berasaskan bukti yang kukuh, malah menunjukkan kurangnya pengalaman dalam meneliti karya-karya dan ringkasan-ringkasan al-Suyuti serta membandingkannya dengan karya asal. Hakikatnya, apabila al-Suyuti meringkaskan, beliau tidak melakukannya secara literal seperti maksud biasa perkataan ‘ringkasan’. Sebaliknya, beliau memilih dan menapis isi kandungan dengan cara memberikan pembaca inti pati yang menjadi tujuan asal penulisan karya tersebut. Beliau mengekalkan inti karya asal dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat, kemudian menambah banyak faedah yang tidak terdapat dalam karya asal. Dengan itu, keperibadian dan cara pemikiran al-Suyuti tetap jelas kelihatan dalam karya-karya tersebut.

Adapun anggapan sebahagian pengkaji bahawa terdapat percanggahan dalam pandangan al-Suyuti yang berpunca daripada dakwaan mereka sebelum ini, sebenarnya ia hanyalah perubahan dalam ijtihad atau perubahan pandangan, sebagaimana yang biasa berlaku kepada ramai penulis dan pengkaji lain.

6 - Sebahagian besar karya al-Suyuti adalah risalah kecil atau fatwa:

Lebih daripada dua pertiga karya al-Suyuti terdiri daripada risalah-risalah kecil atau fatwa-fatwa mengenai peristiwa-peristiwa tertentu, yang mana sebahagiannya kadangkala tidak lebih daripada sehelai kertas.

Beliau juga meletakkan tajuk yang berasingan untuk sebuah qasidah yang tidak melebihi 20 buah bait, jika ia mempunyai tema atau topik yang lengkap, seperti Tuhfah al-Muhtadin fi Asma' al-Mujaddidin dan Qatf al-Thimar fi Muwafaqat Umar. Mungkin inilah yang menyebabkan sebahagian ulama memperkecilkan semua karya al-Suyuti berbanding karya-karya Ibnu Hajar.

Menurut Abdul Hayy al-Kattani, ada sebahagian orang yang memperkecilkan semua karya al-Suyuti berbanding karya-karya Ibnu Hajar dan berkata: “Tidak ada seorang pun daripada kaum Muslimin yang mengarang sebanyak karangan beliau - yakni Ibnu Hajar - hatta al-Zahabi dan al-Suyuti. Dikatakan bahawa salah satu karangan beliau (Ibnu Hajar) menyamai semua karya al-Suyuti."

Al-Kattani menjawab kenyataan ini dengan berkata:

"Kenyataan tersebut tidak terlepas daripada unsur keterlaluan (mubalaghah), kerana karya terbesar Ibnu Hajar dari segi saiz adalah Fath al-Bari, dan saiznya tidak pun menyamai seperempat daripada karya-karya al-Suyuti yang bersaiz sederhana."

Kenyataan ini adalah benar kerana jumlah karya al-Suyuti jauh lebih banyak daripada jumlah karya Ibnu Hajar. Selain itu, saiz karya-karya al-Suyuti juga jauh lebih besar daripada saiz karya-karya Ibnu Hajar, seperti yang kita dapat saksikan.

7 – Perdebatan ilmu dengan pesaingnya:

Perselisihan ilmiah yang dialami oleh al-Suyuti telah memberi kesan positif dalam memperkayakan karya-karyanya. Ini kerana beliau tidak cenderung kepada perdebatan lisan dalam menyelesaikan perselisihan dengan pihak yang tidak sependapat dengannya. Sebaliknya, beliau berpendapat bahawa mengarang karya yang mendalam tentang isu-isu yang diperdebatkan adalah lebih bermanfaat dan berkesan. Beliau berkata: “Penulisan memberikan manfaat yang berterusan sepanjang zaman, sedangkan perdebatan hanyalah bersifat sementara dan sering kali membawa kepada perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah.”

Rujukan:

1 - الإمام الحافظ جلال الدين السيوطي معلمة العلوم الإسلامية - إياد خالد الطباع.

2 - الامام الحافظ جلال الدين السيوطي وجهوده في الحديث وعلومه - بديع السيد اللحام.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan