Isnin, 16 Disember 2024

Status Hadis Dalam Kitab al-Firdaus Bi Ma’thur al-Khitab

 

Kitab al-Firdaus dikarang oleh Abu Syuja’ Syirawaih bin Syahradar al-Dailami (w. 509H) yang mengumpulkan 10 ribu buah hadis tanpa disebutkan sanadnya. Kebanyakan hadis-hadis ini adalah hadis yang ringkas dan berkaitan dengan adab, peringatan, perumpaan, kelebihan dan balasan dosa. Lalu datang anaknya, Abu Mansur Syahradar bin Syirawaih al-Dailami (w. 558H) yang meletakkan kembali sanad bagi hadis yang dikumpulkan oleh ayahnya dalam al-Firdaus dalam sebuah kitab yang berjudul Musnad al-Firdaus.

Walaupun pengarang kitab ini memiliki kedudukan yang tinggi dalam ilmu hadis dan berniat baik ketika mengarang kitab ini iaitu untuk menghalang orang awam daripada hadis-hadis yang munkar dan palsu, namun kitab ini tidak terlepas daripada mengandungi hadis-hadis munkar dan palsu. Ini adalah bukti kekurangan manusia dan kesempurnaan itu hanyalah milik Allah semata-mata.

Ibn al-Solah dalam Fatwanya menjelaskan perkara ini: "Sesungguhnya pengarang kitab al-Firdaus telah menghimpunkan di dalamnya antara hadis yang sahih dan yang lemah dan sehingga kelonggaran yang sampai ke tahap memasukkan beberapa hadis palsu."

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam Tasdid al-Qaus: "Abu Shuja’ telah berlebihan dalam mencela hadis-hadis yang dibawa oleh para penceramah (al-qussas) sebagai hadis-hadis palsu dan munkar, serta sikap mereka yang berpaling daripada hadis-hadis yang disebutkan dalam kitab-kitab imam yang masyhur. Beliau menulis kitab ini sebagai nasihat kepada para imam. Demi hidupku, beliau memang telah melakukan sesuatu yang baik, melainkan bahawa beliau mengumpulkan kedua-dua jenis hadis (yang sahih dan yang lemah/palsu) dalam satu cara yang sama, sehingga dia turut melakukan perkara yang sama seperti yang dia cela terhadap mereka."

Ibn Taimiyyah pula dalam Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah berkata: "Kitab al-Firdaus mengandungi hadis-hadis palsu yang banyak. Penyusunnya, Syirawaih bin Syahradar al-Dailami, walaupun dia termasuk dalam kalangan penuntut ilmu hadis dan perawinya, namun hadis-hadis yang dia kumpulkan dan dia buang sanadnya itu diambil tanpa membezakan antara yang sahih, lemah, dan palsu. Oleh sebab itu, kitab tersebut mengandungi sangat banyak hadis-hadis palsu."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan