Selasa, 31 Disember 2024

Kisah Taubat Pembunuh 100 Orang

 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا، فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ، فَأَتَاهُ فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا، فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟ فَقَالَ: لَا، فَقَتَلَهُ، فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً، ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الْأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ، فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ، فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ؟ انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا، فَإِنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللهَ فَاعْبُدِ اللهَ مَعَهُمْ، وَلَا تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ، فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ، فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ أَتَاهُ الْمَوْتُ، فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلَائِكَةُ الْعَذَابِ، فَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ: جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلًا بِقَلْبِهِ إِلَى اللهِ، وَقَالَتْ مَلَائِكَةُ الْعَذَابِ: إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ، فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ، فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ، فَقَالَ: قِيسُوا مَا بَيْنَ الْأَرْضَيْنِ، فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ، فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ، فَقَبَضَتْهُ مَلَائِكَةُ الرَّحْمَةِ."

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Nabi Allah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Pada zaman sebelum kamu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 nyawa. Lalu dia bertanya (orang ramai) tentang orang yang paling alim di muka bumi, lalu dia ditunjukkan kepada seorang rahib. Dia pergi berjumpa rahib itu dan berkata: Aku telah membunuh 99 nyawa, adakah masih ada taubat untukku? Rahib itu menjawab: Tidak. Maka lelaki itu membunuhnya dan genaplah 100 nyawa yang dibunuhnya.

Kemudian dia bertanya lagi tentang orang yang paling alim di muka bumi, lalu dia ditunjukkan kepada seorang alim. Dia berkata kepada alim itu: Aku telah membunuh 100 nyawa, adakah masih ada taubat untukku? Alim itu menjawab: Ya. Siapa yang dapat menghalang antara pembunuh dengan taubat? Pergilah ke suatu negeri yang tertentu, kerana di sana terdapat orang-orang yang menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kembali ke negerimu kerana ia adalah tempat yang buruk.

Lelaki itu pun pergi. Dalam perjalanan, apabila dia sampai di pertengahan jalan, maut menjemputnya. Maka malaikat rahmat dan malaikat azab pun berebut untuk mengambil rohnya. Malaikat rahmat berkata: Dia telah datang dalam keadaan bertaubat dan hatinya berpaling kepada Allah. Malaikat azab pula berkata: Dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit pun.

Lalu datang seorang malaikat dalam rupa manusia. Mereka menjadikan malaikat itu sebagai hakim di antara mereka. Dia berkata, Ukur jarak antara kedua-dua negeri, ke mana dia lebih hampir, maka itulah tempatnya. Mereka mengukur dan mendapati dia lebih dekat dengan negeri yang ditujunya, lalu malaikat rahmat mengambilnya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Lafaz hadis di atas daripada riwayat Muslim.

Huraian Hadis:

1 – Dalam riwayat al-Bukhari, disebutkan bahawa lelaki tersebut adalah daripada kaum Bani Israel.

2 – Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari, tidak ditemui nama lelaki yang membunuh tersebut dan begitu juga nama setiap individu yang disebutkan dalam kisah tersebut.

3 – Rahib adalah orang yang meninggalkan kesibukan dunia, meninggalkan kelazatannya, zuhud terhadapnya, mengasingkan diri daripada manusia dan sengaja menempuh hidup yang susah. Rahib yang ditanya tersebut beragama Nasrani. 

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, ini menunjukkan bahawa perkara tersebut berlaku selepas diangkatnya Nabi Isa kerana sistem kerahiban hanya dimulakan oleh para pengikutnya, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran.

4 – Rahib tersebut mengatakan tiada taubat untuknya setelah membunuh 99 orang dan dia memberi fatwa sedemikian kerana: Rasa takut yang menguasainya atau dia menganggap mustahil taubatnya diterima selepas membunuh orang tanpa alasan yang munasabah. 

Menurut Mulla Ali al-Qari, rahib itu berkata demikian sama ada kerana kejahilannya tentang ilmu taubat atau kerana dikuasai rasa takut atau kerana dia membayangkan mustahil untuk mendapat keredhaan dari pihak-pihak yang dizalimi.

5 – Dalam riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, disebutkan kampung asal pembunuh itu bernama Kufrah manakala kampung yang dia ingin tuju untuk bertaubah itu bernama Nadhrah.

Pengajaran Hadis:

1 - Keindahan gaya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam memberi panduan dan nasihat dengan memberi contoh-contoh yang realistik.

2 - Keharusan menceritakan tentang umat terdahulu selagi tidak bertentangan dengan Islam.

3 - Jiwa-jiwa yang mempunyai kesediaan untuk kebaikan dan kebenaran akan kembali kepada jalan yang benar walaupun pernah dipesongkan dengan hawa nafsu.

4 - Disyariatkannya taubat dari semua dosa besar, bahkan termasuk dosa membunuh kerana Allah Ta'ala menerima taubat lelaki yang membunuh seratus orang ini. 

Tidak boleh dikatakan: Sesungguhnya pembunuhan adalah berkaitan hak manusia yang tidak diterima taubat melainkan dengan mendapat keizinan, kemaafan dan keredaan dari pemilik hak. 

Ini kerana apabila Allah menerima taubat seseorang hamba maka Dia akan membuatkan pihak yang dizalimi meredai haknya.

5 - Pintu taubat sentiasa terbuka dan orang yang bertaubat diterima taubatnya walau sebesar mana pun dosanya dan sebanyak mana pun kesalahannya.

6 - Seorang pendakwah dan orang yang menyeru ke arah kebaikan hendaklah memiliki kebijaksanaan yang tinggi sehingga dapat memahami apa yang sesuai untuk memperbaiki jiwa sasaran dakwahnya dan dapat membimbingnya ke jalan harapan serta menunjuk pintu kebaikan.

7 - Kelebihan berpindah dari tempat di mana seseorang melakukan maksiat kerana sama ada kerana dia akan mengingati perbuatan-perbuatan yang dilakukan sebelumnya lalu kembali melakukannya atau kerana adanya orang-orang yang membantu dan mendorongnya untuk kembali melakukan maksiat tersebut.

Hendaklah dia menggantikan sahabat yang jahat itu dengan bersahabat dengan orang-orang yang baik dan soleh, para ulama dan ahli ibadah yang warak, serta orang-orang yang boleh diteladani dan mendapat manfaat daripada persahabatan mereka dan dengan itu taubatnya akan lebih kukuh.

8  - Orang yang bertaubat sepatutnya meninggalkan keadaan-keadaan yang biasa dilakukannya semasa bermaksiat, beralih daripada semuanya dan menyibukkan diri dengan perkara-perkara lain.

9 -  Keutamaan ilmu walaupun dengan sedikit ibadah berbanding banyaknya ibadah dengan kejahilan, kerana ahli ibadah yang jahil mungkin melakukan keburukan dalam keadaan dia ingin melakukan kebaikan, lalu dia binasa dan membinasakan, sedangkan orang yang berilmu mendapat petunjuk dengan cahaya ilmu lalu dia diberi taufik kepada kebenaran maka dia mendapat manfaat dan memberi manfaat.

10 - Kemampuan malaikat untuk berubah bentuk.

11 - Kemuliaan manusia di mana malaikat yang menjadi hakim dijadikan dalam bentuk manusia.

12 - Luasnya rahmat dan kurnia Allah, di mana Allah menerima taubat pembunuh itu walaupun kesalahannya sangat besar, kerana Allah Ta'ala mengampuni semua dosa kecuali syirik kepada Allah Ta'ala. Firman Allah Ta’ala: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya" [An-Nisa': 116].

13  - Pegangan Ahli Sunnah bahawa taubat menghapuskan semua dosa kecil dan dosa besar. 

Adapun nas-nas yang menunjukkan kekalnya pembunuh yang sengaja di dalam neraka, seperti firman Allah Ta'ala: "Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatinya serta menyediakan azab yang besar baginya" [An-Nisa': 93], maka ia ditafsirkan sebagai penekanan dan ancaman berat terhadap pembunuhan beserta azab yang keras yang menantinya. Ini adalah dari sudut menakutkan dan mencegah, agar manusia tidak berani menumpahkan darah. 

Atau ia ditafsirkan kepada orang yang menghalalkan darah Muslim tanpa hak, maka dia kafir yang kekal dalam neraka kerana menghalalkan apa yang Allah haramkan dan ini adalah kesepakatan para ulama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan