Dalil Amalan Ini
Diriwayatkan oleh Bukhari (hadis no. 216, 1361) dan Muslim (hadis no. 299) daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pernah melalui dua buah kubur yang penghuninya sedang diazab. Baginda bersabda:
"Sesungguhnya mereka berdua sedang diazab dan mereka
diazab bukanlah kerana perkara yang terlalu besar/berat untuk ditinggalkan (atau
mereka menganggap perkara itu bukan perkara besar). Salah seorang dari mereka
tidak bersuci selepas kencing manakala yang seorang lagi suka mengadu
domba."
Kemudian Baginda mengambil sebatang pelepah kurma lalu
membelahnya menjadi dua, dan menancapkan satu di atas setiap kubur.
Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, mengapa
engkau berbuat demikian?"
Baginda menjawab: "Mudah-mudahan ia dapat meringankan azab mereka selagi ia belum kering."
Sebab Mereka Diringankan Azab
Terdapat perbezaan pendapat mengenai sebab diringankan azab.
Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata:
"Adapun perbuatan baginda meletakkan dua pelepah
kurma segar (masih hijau) di atas kubur, maka para ulama berpandangan bahawa
perbuatan itu adalah kerana baginda memohon syafaat untuk kedua-duanya
(penghuni kubur tersebut), lalu syafaat Baginda diterima dengan diberikan
keringanan (azab) kepada mereka berdua sehingga pelepah itu menjadi kering.
Muslim rahimahullah telah menyebutkan di akhir kitabnya
dalam hadis panjang riwayat Jabir tentang dua penghuni kubur tersebut: Maka
syafaatku diterima, sehingga diringankan azab daripada mereka selama kedua
pelepah itu masih segar.
Ada juga pendapat yang mengatakan kemungkinan baginda
mendoakan untuk mereka selama tempoh itu.
Pendapat lain menyatakan bahawa kedua pelepah itu
bertasbih selama ia masih segar, sedangkan pelepah yang kering tidak lagi
bertasbih. Pendapat ini adalah pandangan ramai, bahkan kebanyakan mufassir
berkenaan firman Allah Ta'ala: Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih
dengan memuji-Nya. (Surah al-Isra: 44). Mereka berkata, maksudnya ialah: Dan
tidak ada sesuatu yang hidup melainkan ia bertasbih. Kemudian mereka
menjelaskan bahawa setiap sesuatu mempunyai cara hidupnya yang
tersendiri."
Kemudian Imam al-Nawawi berkata lagi:
"Para ulama mensunatkan bacaan al-Quran di sisi
kubur berdasarkan hadis ini, kerana jika tasbih pelepah kurma segar diharap
dapat memberikan keringanan, maka bacaan al-Quran adalah lebih utama.”
Kemungkinan-kemungkinan yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi
adalah berasas, tetapi dakwaan terbatasnya perkara ini khusus kepada Rasulullah
memerlukan penelitian. Bahkan, Ibnu Hibban dalam Sahihnya (hadis no. 824) telah
meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa beliau berkata:
"Maka Baginda meminta dua pelepah kurma, lalu
meletakkan satu di setiap kubur."
Kami bertanya: "Adakah itu memberi manfaat kepada
mereka wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Ya, ia dapat meringankan azab
mereka selama kedua pelepah itu masih segar."
Maka, kata-kata para sahabat: ‘Itu’, merujuk kepada
‘perbuatan’. Oleh itu, jelas bahawa keringanan azab itu adalah disebabkan oleh perbuatan
tasbih yang dilakukan oleh pelepah kurma tersebut. Sekiranya keringanan itu
semata-mata kerana syafaat Nabi atau keberkatan baginda sahaja, sudah tentu baginda
hanya akan berdoa untuk penghuni-penghuni kubur tersebut. Ini kerana telah
sahih melalui banyak jalur riwayat bahawa Nabi memang mendoakan
penghuni-penghuni kubur, terutamanya apabila baginda masuk ke kawasan
perkuburan.
Namun, dalam hadis ini doa tidak disebutkan. Maka, jelaslah
bahawa terdapat keistimewaan pada pelepah kurma tersebut yang diketahui oleh
Nabi.
Ibnu al-Mulaqqin
telah menyebut dalam kitab Syarah ‘Umdah al-Ahkam bukti yang menyokong
bahawa peringanan azab itu adalah melalui tasbih dua pelepah kurma. Beliau
berkata: “Ini disokong oleh riwayat Ibnu ‘Umar yang diriwayatkan oleh
al-Tabarani: Mereka tidak akan diazab selagi kedua-duanya (pelepah tersebut)
masih segar.”
Ibnu Hibban turut
menjelaskan maksud ini dalam kitab Sahih-nya: “Ini adalah khabar yang menunjukkan
bahawa benda-benda yang tumbuh tetapi tidak memiliki roh akan bertasbih selagi
ia masih segar.”
Sahabat Mengamalkan Perbuatan Ini
Perkara ini juga
disokong oleh perbuatan dua sahabat besar, iaitu Buraidah al-Aslami dan Abu
Barzah al-Aslami. Al-Bukhari menyebut dalam kitab Sahih-nya: “Buraidah
al-Aslami telah berwasiat agar dua pelepah kurma diletakkan di dalam kuburnya.”
Kisah ini diriwayatkan secara bersambung sanadnya oleh Ibnu
Sa‘ad dalam al-Tabaqat al-Kubra, di mana beliau berkata: Telah
memberitakan kepada kami ‘Affan bin Muslim, katanya: Telah menceritakan kepada
kami Hammad bin Salamah, katanya: Telah memberitakan kepada kami ‘Asim
al-Ahwal, katanya: Muwarriq berkata:
“Buraidah al-Aslami telah berwasiat agar diletakkan dua
pelepah kurma di dalam kuburnya. Kemudian, beliau meninggal dunia di kawasan
berhampiran Khurasan, tetapi mereka tidak menjumpai pelepah kurma melainkan di
sekitar pelana seekor keldai.’”
Adapun kisah Abu Barzah al-Aslami, ia telah diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad: Daripada Ibrahim bin Makhlad, katanya: Telah memberitakan kepada kami Abu Sa‘id al-Nasawi: Aku mendengar Ahmad bin Muhammad bin ‘Umar bin Bustam berkata: Aku mendengar Ahmad bin Siyar berkata: Telah memberitakan kepada kami al-Shah bin ‘Ammar, katanya: Telah menceritakan kepadaku Abu Salih Sulaiman bin Salih al-Laithi, katanya: Telah memberitakan kepada kami al-Nadr bin al-Munzir bin Tha‘labah al-‘Abdi, daripada Hammad bin Salamah, daripada Qatadah bahawa Abu Barzah al-Aslami berkata:
“Rasulullah pernah melewati sebuah kubur dan penghuninya sedang
diazab. Baginda mengambil sebatang pelepah kurma lalu menanamnya di kubur
tersebut dan bersabda: Semoga ia dapat meringankan azabnya selagi pelepah ini
masih segar.”
Abu Barzah juga berwasiat: “Apabila aku meninggal dunia,
letakkan dua pelepah kurma di kuburku.”
Qatadah berkata: “Beliau meninggal dunia di sebuah kawasan
padang pasir antara Kerman dan Qumis.”
Orang-orang yang ada di situ berkata: “Beliau berwasiat
kepada kami agar meletakkan dua pelepah kurma kuburnya, tetapi kawasan ini
tidak mempunyai apa-apa untuk diperoleh.”
Ketika mereka dalam keadaan demikian, tiba-tiba muncul satu
rombongan dari arah Sijistan, dan mereka membawa pelepah kurma bersama mereka.
Maka, mereka mengambil dua pelepah itu dan meletakkannya bersama beliau di
dalam kuburnya.
Namun, pada sanad kisah ini terdapat perawi yang tidak ditemui
biografinya. Selain itu, Qatadah bin Di‘amah juga tidak mendengar secara
langsung daripada Abu Barzah al-Aslami. Tidak dapat dinafikan bahawa bersikap
longgar dalam meriwayatkan hadis-hadis mauquf adalah satu kaedah yang meluas
dan digalakkan untuk digunakan.
Disunatkan Meletak Pelepah Kurma Segar di Dalam Kubur
Menurut Mazhab Empat
Ramai ulama dari mazhab empat telah menyatakan tentang
sunatnya meletakkan pelepah kurma segar di dalam kubur atau menanamnya,
berdasarkan perbuatan Nabi.
1 - Mazhab Hanafi:
Ulama mazhab Hanafi secara jelas menyatakan bahawa
disunatkan meletakkan pelepah segar atau yang seumpamanya seperti ranting pokok
myrtle di atas kubur. Rasulullah menyebut bahawa pelepah tersebut dapat
meringankan azab selagi ia tidak kering, iaitu azab akan diringankan kerana
keberkatan tasbih pelepah tersebut. Ini kerana tasbih benda yang masih segar
lebih sempurna berbanding yang kering, kerana tumbuhan segar mempunyai
unsur kehidupan. Rujuk Hashiyyah Ibnu ‘Abidin.
Ibnu Muflih al-Hanbali dalam kitab al-Furu‘ turut
menukilkan daripada ulama mazhab Hanafi tentang makruhnya mencabut rumput segar
di atas kubur. Mereka berkata: "Ini kerana rumput tersebut bertasbih
dan mungkin si mati merasa tenang dengan tasbihnya."
2 – Mazhab Maliki:
2. Imam al-Qurtubi berkata dalam al-Tazkirah:
"Sebahagian ulama kami berdalilkan tentang membaca
al-Quran di atas kubur dengan hadis pelepah kurma segar, di mana Nabi
membelahnya kepada dua bahagian, kemudian menanam satu pelepah di atas satu
kubur dan satu lagi di atas kubur yang lain, lalu bersabda: Semoga ia dapat
meringankan azab keduanya selagi kedua-duanya masih segar. Hadis ini
diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Dalam Musnad Abu Daud al-Tayalisi, disebut bahawa baginda
meletakkan separuh pelepah pada satu kubur dan separuh lagi pada kubur yang
lain, lalu baginda bersabda: Ia akan meringankan azab keduanya selagi pelepah
tersebut masih segar.
Mereka berkata: Daripada hadis ini, dapat diambil
pengajaran tentang (sunatnya) menanam pokok serta membaca al-Quran di atas
kubur.”
3. Mazhab al-Syafi‘i:
Disunatkan menurut ulama mazhab al-Syafi‘i untuk meletakkan
pelepah hijau di atas kubur, begitu juga dahan pokok raihan (basil) atau
tumbuhan segar yang seumpamanya. Ini kerana dengan meletakkannya, azab akan
diringankan ke atas si mati selagi tumbuhan tersebut masih segar, sebagaimana
yang disebutkan dalam hadis sebelum ini. Rujuk Mughni al-Muhtaj.
4. Mazhab Hanbali:
Ibnu Muflih al-Hanbali berkata dalam kitab al-Furu‘:
"Sebagaimana si mati merasa terganggu dengan perkara
yang mungkar, maka dia juga akan mendapat manfaat daripada perkara yang baik.
Ini dinyatakan secara jelas oleh sekumpulan ulama. Secara zahirnya, ini
termasuklah meletakkan pelepah kurma segar di kubur, berdasarkan hadis dan
Buraidah juga pernah berwasiat agar perkara ini dilakukan. Hal ini disebut oleh
al-Bukhari."
Perkara yang sama turut disebut dalam kitab Kasysyaf
al-Qina‘ dan Ghayah al-Muntaha.
Menjawab Orang yang Mengingkari Amalan Ini
Sebahagian orang yang mengingkari meletakkan pokok di kubur
berkata:
"Pendapat yang mengatakan bahawa ia adalah khusus
untuk Nabi adalah yang benar, kerana Rasulullah tidak meletakkan pelepah kurma
kecuali di atas kubur yang baginda ketahui penghuninya sedang diazab dan
baginda tidak melakukannya untuk kubur-kubur yang lain. Sekiranya ia adalah
sunnah, baginda pasti melakukannya untuk semua kubur.
Tambahan pula, para Khulafa' al-Rasyidin dan
sahabat-sahabat besar tidak melakukannya. Sekiranya ia disyariatkan, mereka
pasti akan segera melakukannya.
Adapun apa yang dilakukan oleh Buraidah, ia adalah
ijtihad daripadanya dan ijtihad boleh salah dan boleh betul. Pendapat yang
benar adalah bersama mereka yang meninggalkan perkara itu seperti yang telah
dinyatakan sebelumnya."
Dakwaan tersebut dapat dijawab seperti berikut:
1 - Dakwaan bahawa ia khusus untuk Nabi perlu dikaji semula
kerana ia bertentangan dengan perbuatan dua orang sahabat yang mulia, Buraidah
al-Aslami dan Abu Barzah al-Aslami. Oleh itu, pendapat yang mengatakan ia
khusus bertentangan dengan usul (prinsip) Ahmad bin Hanbal, yang antaranya
adalah mengambil kira pendapat dan fatwa para sahabat, terutamanya apabila
tiada pertentangan (dengan dalil lain). Dakwaan kekhususan juga bertentangan
dengan pendapat para imam fiqh yang sebahagiannya telah disebutkan sebelum ini.
2 - Pengetahuan dan kesedaran Nabi Muhammad tentang keadaan
para penghuni kubur adalah salah satu keistimewaan baginda. Bagi orang lain, perkara
ini berlegar antara sangkaan tentang keadaan si mati dan harapan untuk
meringankan azab dengan meletakkan atau menanam pelepah tamar. Jika ia memberi
manfaat, maka itu baik, dan jika tidak, maka tiada mudarat.
3 - Katanya: "Jika ia adalah sunnah, pasti semua
orang akan melakukannya."
Ini adalah syarat yang pelik dalam menentukan sesuatu itu
sunnah. Tiada seorang pun yang mensyaratkan bahawa amalan yang disunatkan
haruslah terkenal pengamalannya. Akibat daripada syarat ini adalah buruk yang
mana orang yang berakal akan sedar keburukannya.
4 - Katanya: "Dan kerana para Khulafa’ al-Rasyidin
dan sahabat besar tidak melakukannya. Jika ia disyariatkan, pasti mereka akan
segera melakukannya."
Ini adalah satu kenyataan untuk menafikan dan ia adalah
hujah umum yang sering digunakan. Jelas bahawa tindakan Nabi meninggalkan
sesuatu amalan bukanlah petanda bahawa ia tidak disyariatkan, tetapi hanya
menunjukkan boleh untuk meninggalkannya. Ini telah dijelaskan oleh Sayyid
Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari dalam risalahnya, Husn al-Tafahhum wa
al-Dark li Mas'alat al-Tark.
5 - Katanya: “Adapun apa yang dilakukan oleh Buraidah itu
adalah hasil ijtihad daripadanya dan ijtihad itu kadang-kadang boleh salah dan
boleh benar.”
Tidak ada perkara yang menuntut untuk meninggalkan tindakan
Buraidah dan Abu Barzah. Apa yang diriwayatkan daripada mereka berdua adalah selaras
dengan dalil syarak dan tidak bertentangan dengannya. Dakwaannya bahawa apa
yang dilakukan oleh Buraidah adalah hasil ijtihad semata-mata adalah suatu
penyempitan tanpa dalil. Para sahabat mempunyai pemahaman yang mereka miliki secara khusus yang tidak kita
miliki. Maka, adalah mungkin bahawa tindakan tersebut diambil daripada
Nabi Muhammad sendiri, atau daripada sahabat lain yang merupakan dalam
kalangan sahabat besar atau ia mungkin adalah hasil ijtihad beliau sendiri sebagaimana
yang dijelaskan oleh Ibnu al-Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi’in.
Sekiranya benar ia adalah hasil ijtihad beliau, maka ijtihad
beliau lebih utama dan lebih layak untuk diikuti, terutamanya apabila terdapat
sahabat lain yang bersetuju dengannya dan para fuqaha juga telah menyokongnya.
Tiada seorang pun yang menolak atau membantahnya, bahkan mereka mengikuti
perbuatannya.
Buraidah al-Aslami adalah antara sahabat yang awal memeluk Islam. Beliau telah memeluk Islam ketika Nabi melintasi beliau sewaktu dalam perjalanan hijrah. Beliau telah menyertai 16 peperangan bersama Nabi. Beliau hidup lama selepas kewafatan Nabi dan meninggal dunia pada tahun 63 Hijriah. Beliau adalah seorang sahabat mulia yang lama bersahabat dengan Nabi. Oleh itu, pemahaman Buraidah terhadap hadis ini lebih utama untuk diambil dan diikuti.
Rujukan:
Kasyf al-Sutur 'Amma Usykila Min Ahkam al-Qubur karangan Syeikh Dr Mamud Sa'id Mamduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan