Beliau ialah Burhanuddin atau Burhanul Islam, al-Zarnuji.
Buku-buku biografi tidak menyebutkan perincian
tentang kehidupan al-Zarnuji, melainkan kemasyhurannya datang dari satu-satunya
karya beliau yang terkenal, iaitu kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq
al-Ta'allum.
Apa yang disebutkan oleh rujukan yang ada
ialah beliau menuntut ilmu di bawah bimbingan pengarang kitab al-Hidayah
dalam fiqh Hanafi iaitu Burhanuddin Ali bin Abi Bakar al-Farghani
al-Marghinani, yang dianggap oleh al-Zarnuji sebagai gurunya dalam kitab ini.
Al-Zarnuji juga menyebutkan bahawa Fakhrul Islam al-Hasan bin Mansur
al-Farghani Qadikhan adalah gurunya.
Tarikh Lahir
Tidak ditemui dalam rujukan-rujukan tarikh
lahir al-Zarnuji, yang menyukarkan penentuan tempoh masa beliau hidup.
Sebagaimana kitab-kitab biografi mengabaikan penyebutan maklumat tentang
kehidupannya, tidak disampaikan juga maklumat tentang tahun kemasyhurannya atau
tahun beliau mengarang kitabnya.
Dalam penulisan-penulisan moden tentang
al-Zarnuji dan pandangannya tentang pembelajaran, disebutkan tahun kematiannya
ialah (591 H) atau (593 H) atau (597 H) tanpa bukti atau rujukan untuk maklumat
ini. Sebahagian penulisan hanya menyebutkan bahawa beliau adalah salah seorang
tokoh abad keenam Hijrah tanpa menentukan tahun tertentu.
Gelaran al-Zarnuji
Al-Zarnuji dinisbahkan kepada negerinya, Zarnuj.
Menurut al-Qurashi, pengarang kitab al-Jawahir al-Mudhi'ah, negeri itu
termasuk dalam negeri-negeri orang Turk. Adapun Yaqut al-Hamawi berkata
tentangnya dalam Mu'jam al-Buldan: “Sebuah negeri yang terkenal di Ma Wara'a
al-Nahr, selepas kawasan Khujand, sebahagian daripada wilayah Turkistan.”
Ma
Wara'a al-Nahr (Transoxiana) ialah negeri-negeri yang terletak di seberang
Sungai Jeyhun di Khurasan yang dikatakan Yaqut al-Hamawi sebagai salah satu
wilayah yang paling indah, paling subur, dan paling makmur. Orang pertama yang
menghantar tentera untuk menaklukinya ialah al-Hajjaj bin Yusuf (m. 95 H) atas
perintah Khalifah Abdul Malik bin Marwan bin al-Hakam (m. 86 H).
Guru-Guru
Rujukan utama untuk mengetahui guru-gurunya
ialah kitabnya sendiri. Beliau menyebut sebilangan daripada mereka di dalam
kitabnya dan memetik kata-kata yang dinisbahkan kepada mereka. Antara guru-guru
yang disebut beliau ialah:
1 - Burhanuddin Ali bin Abu Bakar
al-Marghinani, yang meninggal dunia pada tahun 593 H, pengarang kitab al-Hidayah
dalam fiqh dan banyak karya lain. Beliau adalah salah seorang fuqaha besar
mazhab Hanafi pada zamannya. Beliau merupakan tokoh yang paling masyhur yang
banyak dipetik daripadanya di banyak tempat dalam kitab ini
2 - Rukun al-Islam Muhammad bin Abi Bakar yang
dikenali sebagai Khawāhar Zāda atau Imām Zāda, mufti penduduk Bukhara. Beliau
seorang faqih, sasterawan, dan penyair. Beliau meninggal dunia pada tahun 573
H/1177 M.
3 - Hammad bin Ibrahim, seorang faqih,
sasterawan dan ahli kalam. Beliau meninggal dunia pada tahun 576 H/1180 M.
4 - Fakhr al-Din al-Kasani, kemungkinan besar
beliau ialah Abu Bakar bin Mas'ud al-Kasani, pengarang kitab Badā'i' al-Ṣanā'i'
dalam bidang fiqh. Beliau meninggal dunia pada tahun 587 H/1191 M.
5 - Fakhr al-Din Qadikhan al-Uzjandi, beliau
mempunyai banyak karya dalam bidang fiqh dan merupakan seorang mujtahid. Beliau
meninggal dunia pada tahun 592 H/1196 M.
6 - Al-Adib Al-Mukhtar Rukn Al-Din
Al-Farghani: Seorang faqih, sasterawan dan penyair, meninggal dunia pada tahun
594 H/1198 M.
Hasil Penulisan
Burhan al-Islam al-Zarnuji dikenali sebagai
pengarang kitab Ta'lim Al-Muta'allim. Kitabnya tidak masyhur kerana
penisbahannya kepada beliau, berbeza dengan ramai pengarang lain. Ramai yang menyebutkan
biografinya sebagai ‘pengarang kitab Ta'lim al-Muta'allim’. Ini
menunjukkan kemasyhuran kitab tersebut kerana kepentingannya, walaupun maklumat
mengenai pengarangnya sedikit seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Berkemungkinan al-Zarnuji telah meninggalkan
banyak tinggalan ilmiah yang tidak sampai kepada kita, namun berat pada
sangkaan bahawa kitab ini merupakan satu-satunya karya yang ditulis oleh al-Zarnuji.
Beliau tidak mempunyai karya ilmiah lain, sama ada dalam bidang pendidikan,
fiqh, atau ilmu-ilmu lain. Semua yang telah menyebutkan biografinya hanya
menyebut kitab ini sahaja sebagai karyanya.
Tahun Kewafatan
Setelah menyelidik daripada kitab-kitab yang
ada, jelas bahawa al-Zarnuji wafat pada abad ketujuh Hijrah. Ini berdasarkan
bukti yang dikemukakan oleh al-Qurashi, pengarang kitab al-Jawahir,
bahawa al-Zarnuji adalah sezaman dengan al-Nu'man bin Ibrahim al-Zarnuji yang
wafat pada tahun 640 H di Bukhara.
Jika al-Zarnuji tidak wafat pada tahun itu,
maka beliau wafat tidak lama selepas itu kerana beliau sezaman dengan al-Nu'man
dan hidup pada era yang sama. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa al-Zarnuji
hidup antara pertengahan abad keenam hingga akhir sepertiga pertama abad
ketujuh Hijrah
Biografi al-Zarnuji Dalam Beberapa Buah
Kitab
Berikut adalah beberapa maklumat yang ditulis
mengenainya dalam kitab-kitab yang menyebutkan biografinya:
1 – Imam Abdul Qadir al-Qurashi al-Hanafi (m.
775H) berkata dalam kitab al-Jawahir al-Mudiyyah fi Tabaqat al-Hanafiyyah
tentangnya:
"Burhanul Islam adalah salah seorang
murid pengarang al-Hidayah. Beliau adalah pengarang kitab Ta'lim al-Muta'allim
Tariq al-Ta'allum. Kitab ini bernilai tinggi, bermanfaat, dan mengandungi
beberapa bab yang jumlahnya (menyamai) kira-kira tiga risalah kecil. Kitab ini
jarang ditemukan di negeri kami, namun saya berjaya memperolehnya. Segala puji bagi
Allah."
2 – Imam Abdul Hayy al-Laknawi al-Hindi (m. 1304H)
dalam kitab al-Fawaid al-Bahiyyah fi Tarajim al-Hanafiyyah berkata:
"Burhanul Islam al-Zarnuji adalah
pengarang kitab Ta'lim al-Muta'allim. Kitab ini bernilai tinggi, bermanfaat,
mengandungi bab-bab tertentu, kecil dari segi saiz tetapi banyak faedahnya.
Beliau adalah murid kepada pengarang al-Hidayah.
Saya telah menelaan Ta'lim al-Muta'allim
dan ia sebagaimana yang dikatakan oleh al-Kafawi: Kitab yang bernilai tinggi
dan bermanfaat."
3 - Edward van Dyck dalam kitabnya Iktifa'
al-Qanu' bima Huwa Matbu' berkata:
"Burhanuddin al-Zarnuji adalah seorang
tokoh pada abad ke-6 Hijrah dan merupakan murid kepada Burhanuddin, pengarang
al-Hidayah dalam cabang-cabang fiqah. Beliau mempunyai sebuah kitab dalam
bidang nasihat (mawa’iz) dan tasawuf yang berjudul Ta'lim al-Muta'allim Tariq
al-Ta'allum. Kitab ini dicetak di kota Murshidabad pada tahun 1265H, juga di
Leipzig pada tahun 1838M dengan syarah oleh Ibnu Ismail, salah seorang ulama
abad ke-10 Hijrah, beserta terjemahan dalam bahasa Latin. Kitab ini juga
dicetak dengan syarah tersebut di Mesir pada tahun 1301H dan di Istanbul di
Matba'ah al-Jawa'ib dengan syarah ringkas."
4 - Carl Brockelmann dalam kitabnya Tarikh
al-Adab al-'Arabi berkata:
"Burhanuddin al-Zarnuji hidup sebelum
tahun 600H. Beliau memiliki kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-Ta'allum."
5 - Yusuf Elian Sarkis dalam kitabnya Mu'jam
al-Matbu'at al-'Arabiyyah wa al-Mu'arrabah berkata:
"Burhanuddin al-Zarnuji atau Burhanul
Islam adalah murid kepada pengarang al-Hidayah, Burhanuddin al-Farghani,
seorang tokoh dari abad ke-6 Hijrah. Beliau memiliki kitab Ta'lim al-Muta'allim
Tariq al-Ta'allum atau Ta'lim al-Muta'allim Tariq al-'Ilm, sebuah karya ringkas
yang mengandungi bab-bab seperti:
(i) Tentang hakikat ilmu.
(ii) Tentang niat.
(ii) Tentang perkara yang mendatangkan
rezeki.
Dicetak di Jerman dengan usaha Monsieur Relandus
pada tahun 1709M, di Leipzig pada tahun 1838M dengan usaha Monsieur Caspari,
dan disertai mukadimah oleh Monsieur Fleischer. Ia juga dicetak di Murshidabad
pada tahun 1265H, di Kazan pada tahun 1901M dengan syarah ringkas di akhirnya,
di Tunisia pada tahun 1286H, di Istanbul pada tahun 1292H dan 1307H, di Kazan
pada tahun 1898M, serta di Mesir pada tahun 1300H dan 1307H.”
Yusuf Elian Sarkis juga menyebutkan biografi
Ibrahim bin Ismail, pensyarah Ta'lim al-Muta'allim:
"Beliau adalah salah seorang ulama
abad ke-10 Hijrah. Beliau telah mensyarahkan Ta'lim al-Muta'allim karya
Burhanuddin al-Zarnuji dalam bidang nasihat. Syarah ini berbentuk syarahan yang
bercampur dengan teks asal (mamzuj) yang ditulis untuk Sultan Murad Khan III bin Salim. Beliau
menyelesaikan penulisannya pada tahun 996H. Kitab ini telah dicetak di Matba'ah
Muhammad Mustafa pada tahun 1301H dan di Matba'ah al-Maimaniyyah pada tahun
1311H, dengan Ta'lim al-Muta'allim dicetak di pinggir halamannya."
6 - Haji Khalifah dalam kitab Kasyf
al-Zunun 'an Asami al-Kutub wa al-Funun berkata:
"Burhanul Islam adalah salah seorang
murid pengarang al-Hidayah, penyusun kitab Ta'lim al-Muta'allim Tariq
al-Ta'allum, sebuah kitab yang sangat bernilai. Kitab ini telah disyarahkan
oleh Ibnu Ismail dengan syarahan yang bercampur dengan teks asal (mamzuj) dan diterjemahkan ke dalam bahasa
Turki oleh Syaikh Abdul Majid bin Nasuha bin Israel, yang menamakannya dengan
Irshad al-Talibin fi Ta'lim al-Muta'allimin."
Biografi beliau juga ditulis oleh Tash Kubri
Zadah dalam Tabaqat al-Fuqaha' dan ditulis biografinya dalam Taj al-Tarajim
wa Tarajim al-A'ajim, Idhah al-Maknun, Hadiyyah al-'Arifin, Mu'jam
Al-Mu'allifin dan lain-lain. Semua biografi ini mempunyai maklumat yang
serupa.
Ringkasan Ta’lim al-Muta’allim
Terdapat juga manuskrip ringkasan kepada kitab
ini yang dinisbahkan kepada Abu Bakar bin Abi Al-Qasim Al-Ahdal Al-Yamani dari
abad kesepuluh dan kitab itu berjudul al-Fawa'id al-Muntakhabah min Kitab
Thalabat al-Thalabah fi Thariq al-'Ilm liman Thalabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan